Tag Archive: Shoubra


MAQAZ DUKACITA

Sebagai orang yang pernah menuntut ilmu di sana, hati ini juga terkesan dengan perbuatan manusia tidak bertanggungjawab sehingga 140 siswa siswi tahun 1  Maahad Qiraat al-Azhar Shoubra Kaherah dan di Mansoura sesi 2009/2010 tidak dapat menduduki peperiksaan sabtu lalu.

Siswa siswi yang melanjutkan pengajian lebih tinggi khususnya dalam ilmu al-Quran dan al-Qiraat di Mesir ditempatkan di Shoubra (siswa) dan Mansoura (siswi). Syarat utama kemasukan ke sini, mestilah sudah disahkan khatam menghafaz al-Quran 30 juzu’.

Membaca blog rasmi Dewan Perwakilan Mahasiswa (DPM) Shoubra http://mymaqaz92.blogspot.com/, saya merasakan ada tangan dan hati yang busuk bagi memburukkan imej siswa/siswi al-Azhar, khususnya mereka yang dalam bidang tahfiz ini.

Selain maklumat langsung daripada blog mereka, saya juga mendapat sms, facebook dan emel langsung daripada adik-adik dan pelajar yang menuntut di Shoubra dan Mansoura.

Maqaz Dukacita

KUALA LUMPUR: Insiden kira-kira 140 pelajar baru Malaysia yang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Qiraat di Maahad Qiraat Al-Azhar, Mesir gagal menduduki peperiksaan Sabtu lalu berpunca daripada beberapa sebab termasuk lewat mendaftar sangat dikesali.

Pengerusi Dewan Perwakilan Mahasiswa (Maqaz) Syubra, Mohammad Naim Hassan, berkata pihaknya dukacita perkara terbabit kerana sebelum ini kelewatan mendaftar tidak menjadi masalah besar.

Menurutnya, kelewatan mendaftar sering berlaku di pusat pengajian tinggi terbabit, malah cukup ketara sejak empat tahun lalu.

“Sebelum ini walaupun pelajar lewat mendaftar, mereka masih berpeluang menduduki peperiksaan. Tetapi kali ini berlainan pula, mereka tidak dibenarkan menduduki peperiksaan,” katanya, ketika dihubungi semalam.

Pelajar berkenaan tiba di negara itu mulai September tahun lalu, dibiayai pelbagai pihak termasuk tajaan kerajaan negeri dan institusi zakat negeri sepanjang tiga tahun pengajian di sana.

Mohammad Naim yang juga pelajar tahun tiga di pusat pengajian itu berkata, disebabkan masalah berkenaan mereka hanya dibenarkan menduduki peperiksaan, Julai nanti.

“Setahu saya, sejak tiba di sini September lalu mereka tidak mendaftar mengikuti peperiksaan kerana di sini walaupun tidak mendaftar tetap boleh mengikuti kelas pengajian seperti biasa.

“Apabila hampir dengan peperiksaan berlakulah masalah kelewatan dan disebabkan kelewatan ini mereka, baik pelajar baru lelaki di Maahad Shoubra mahupun pelajar perempuan di Maahad Mansourah tidak dibenarkan menduduki peperiksaan,” katanya. Sementara itu, melalui maklumat yang diperoleh daripada blog Maqaz, Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK) ada menerima aduan mengenai masalah terbabit.

“Jabatan ini menerima aduan daripada wakil pelajar Maahad Qiraat Al-Azhar Mesir (Syubra dan Mansourah) dan penjaga pelajar berkaitan larangan menduduki peperiksaan syafawi (lisan) pada 29 April 2010 dan peperiksaan tahriri (penulisan) pada 8 Mei 2010,” katanya.

Menurut JPMK, pihaknya mendapati beberapa sebab iaitu pelajar lewat sampai ke Mesir, lewat menyerahkan keputusan pemeriksaan kesihatan, visa tamat tempoh dan ada sebahagian pelajar tidak membuat visa, malah wakil pelajar tidak mengikut prosedur.

Berikutan itu, JPMK mengambil beberapa tindakan termasuk mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Majmak Al-Buhus Al-Islamiah, Syeikh Ali Abdul Baqi dan Imam Besar Syeikh Al-Azhar As-Syarif, Dr Ahmad Tayyib.

Namun, Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) Mansourah dan Syubra menyifatkan kenyataan dan tindakan yang diambil JPMK wujud kekeliruan fakta yang jelas.

Katanya, pelajar terbabit tidak pernah mendapat sebarang makluman JPMK berkenaan ketetapan tarikh tiba di Mesir.

 

Ust Hj Md Ilham (kiri) bersama Dato Hj Sallehuddin Omar

Ust Hj Md Ilham (kiri) bersama Dato Hj Sallehuddin Omar

 

Salah seorang lagi tenaga lajnah tahsih al-Quran KDN yang senior ialah Ust Hj Md Ilham Hj Ihsan. Berumur 62 tahun (lahir 1948), beliau berasal dari Sabak Bernam.

Ust Hj Md Ilham sebenarnya adalah salah seorang pelajar tahfiz daripada kumpulan yang kedua pada 1969-1971 di Masjid Negara setelah kumpulan sulung menyelesaikan pengajian mereka pada 1965-1968.

Menurut Ust Hj Md Ilham, kumpulan mereka ada seramai 12 orang.

Selain beliau sendiri, rakan-rakannya ialah Ust Hj Abd Ghaffar Rijim (Sabah), Ust Hj Salleh Yakob (Sabah), Dato’ Sheikh Hj Mohammad Nor Mansur (Perak), Ust Salam Mohammad (Terengganu), Allahyarham Ustaz Zainul Noh (Kedah), Dato’ Hj Shaa’ri Abdullah (Johor), Ust Mohammad Saman (Melaka), Ust Syam Talib (Sarawak), Ust Ahmad Badawi Abdullah (Pahang), Ust Hassan Mahmud (Perlis) dan Ust Hj Zaharuddin Hj Ahmad (Negeri Sembilan).

Ketika itu guru yang membimbing mereka ialah Tuan Hj Ismail, orang Johor yang pernah bertugas sebagai qadhi dan mengaji di Mesir sebelum itu.

Antara pelajaran yang diajar selain menghafaz al-Quran ialah Rasmul Quran, Tafsir, Qiraat dan lain-lain lagi.

BERANGKAT KE MESIR

Seterusnya, pada 1975 Ust Hj Md Ilham berangkat ke bumi Mesir untuk melanjutkan pelajaran di Maahad Qiraat al-Azhar Shoubra Kaherah bermula pada kelas Aliyah selama 4 tahun dan kemudiannya pengkhususan qiraat selama 4 tahun.

Lapan lagi sahabat sepengajiannya turut melanjutkan pelajaran bersama-sama ke Mesir manakala baki yang lain meneruskan aktiviti dakwah ke dalam masyarakat.

AKTIVITI PERSATUAN

Ketika di Mesir, Ust Hj Md Ilham pernah menjadi Yang diPertua Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) dan menjadi Presiden Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) pada awal 80an selama setahun.

Bukan itu sahaja, selesai pengajian di Maahad Qiraat, beliau tidak terus pulang.

Beliau mengambil peluang mempelajari ilmu khat secara serius dan formal melalui sekolah khat selama 4 tahun yang dipanggil Tahsinul Khutut yang terletak di Medan Jaisy, Atabah.

JADI JURUHEBAH RADIO

Menurut Ust Hj Ilham, di Mesir beliau pernah bertugas sebagai juruhebah radio Suara Malaysia.

Pada ketika itu, terdapat empat petugas dari Malaysia yang kesemuanya merupakan pelajar. Radio Suara Malaysia hanya bersiaran 4 hari seminggu selama 2 jam mulai 4 petang melalui studio mereka di Tahrir.

Antara tugasan beliau dan rakan-rakan juruhebahnya ialah menterjemahkan berita-berita berbahasa Arab ke dalam bahasa Melayu sekaligus menjadi penyampainya.

Begitu juga mereka akan melakukan temuramah dengan pemimpin negara yang datang berkunjung ke sana.

Tugasan sebagai juruhebah radio memberikan pendapatan sampingan beliau di sana, tambahan lagi ketika itu beliau sudah pun berkeluarga.

Pernah beliau mempunyai pendapatan sehingga LE300 yang dianggap mewah bagi kehidupan orang Mesir, sehingga beliau pernah memiliki kereta dan motorsikal.

KEMBALI KE TANAHAIR

Puas mengutip pengalaman di bumi orang, pada 1989 beliau sekeluarga kembali ke Malaysia. Tidak lama berehat, beliau terus bertugas di Institut Pengajian Tahfiz al-Quran (IPTQ), Pusat Islam sebagai pensyarah tahfiz sehingga 1991.

Mulai 1991 pula, beliau berkhidmat di negeri sendiri dan menjadi pensyarah di Maahad Tahfiz Selangor yang beroperasi di Masjid Negeri, Shah Alam sehingga bersara pada 2003.

Sejak bersara, aktiviti dakwah beliau terus berjalan dan berkembang. Tumpuan mengajar al-Quran dan kuliah-kuliah maghrib di merata tempat khususnya di Shah Alam.

Sejak kembali ke tanahair, khidmat kepakaran beliau juga dimanfaatkan sebagai ahli lajnah tashih al-Quran, Kementerian Dalam Negeri (KDN), sehingga kini.

Beliau juga merupakan hakim bagi Majlis Tilawah al-Quran Negeri sejak 1989 dan hakim Majlis Tahfiz al-Quran peringkat negeri Selangor sejak tahun 2000.

Kepakaran beliau dalam ilmu khat juga dimanfaatkan apabila dilantik sebagai guru khat di Yayasan Restu sejak awal 2000 sehingga kini.

Mudah-mudahan Allah SWT memberi umur yang panjang serta kesihatan yang baik kepada beliau dan isterinya Ustazah Khamsatun Hj Ibrahim serta 5 orang anak beliau yang kini  berumur antara 35 hingga 13 tahun serta dua cucu dan dua menantu.

SyeikhRidha

Sumber : http://mymaqaz92.blogspot.com/

SHOUBRA, Kaherah Mesir 18 Julai – Seluruh warga Maahad Qiraat Al-Azhar Shoubra telah dikejutkan dengan berita pemergian Syeikh Redha Salim. Syeikh Redha merupakan syeikh dan qurra’ di Maahad Qiraat Al-Azhar Shoubra.

S6303492Beliau kembali ke rahmatullah pada pagi ini di kediaman beliau di Mumbiyadhah, Shoubra.

Berita pemergian beliau amat mengejutkan ramai pihak lebih-lebih lagi para pelajar Maahad Qiraat Al-Azhar Shoubra.

Ini berikutan keadaan beliau yang kelihatan masih sihat dan mampu berjalan ke sini sana tanpa menunjukkan tanda-tanda yang beliau tidak sihat.

Difahamkan beliau meninggal akibat diserang penyakit lelah. Beliau meninggal ketika berusia 56 tahun.

Kehilangannya amat dirasai oleh warga Maahad lebih-lebih lagi beliau merupakan salah seorang syeikh yang mempunyai sanad yang tinggi dalam periwayatan Al-Quran.

Satu kelebihan yang dikurniakan Allah kepada beliau adalah walaupun beliau buta, tetapi hatinya tetap ‘celik’ dan mampu mengingati 30 juzuk Al-Quran.

Jenazah almarhum disemadikan di kampung halamannya di Qalyubiah. Semoga Allah memberkati dan merahmati Sheikh Redha Salim Rahmatullahi ‘alaihi wasia’ah.

Sesungguhnya pemergian beliau merupakan satu kehilangan yang amat besar dalam bidang ilmu Qiraat.

Tarikh 18 Julai 2009 masehi bersamaan 25 Rejab 1430 hijrah pasti akan menjadi ingatan yang terpahat kukuh di hati para pelajar beliau.

Allahummaghfirlahu warhamhu wa’aafihi wa’fu’anhu.

%d bloggers like this: