Tag Archive: Seminar Perubatan Islam


nik

Sebarkan.

IMBAS DAN RAWAT

Sesi scan dan rawat disertai kebanyakan peserta. Malah ada yang sebelum kursus ini berlangsung ramai yang menghubungi secara peribadi bertanya sesi ini, kerana kata mereka hendak membawa ahli keluarga mereka untuk dirawat. Manakala yang agak segan sekadar meminta nombor telefon ustaz untuk temujanji lain di Surau SMKA KK, lokasi biasa ustaz melakukan rawatan.

Sesi berkenaan yang dikendalikan oleh Ustaz Nik Anwar juga dibantu oleh Ustaz Baharuddin Daud, sahabat seusrah saya yang sering mengikuti Ustaz Nik dalam sesi-sesi rawatan. Menurut pemerhatian, tiada kes yang agak teruk dalam sesi rawatan ini kecuali dua orang – seorang lelaki dan seorang perempuan – yang nampaknya perlu sesi lain untuk rawatan lanjut. Beberapa jamaah tetap masjid termasuk imam – Imam Amiruddin Amir, Tuan Haji Rauzan, Cikgu Zainal Yusuf, Amran Aliamat dan lain-lain turut di’scan’ sama.

Saya dimaklumkan sebanyak 150 helai borang untuk penyertaan kelas mingguan perubatan Islam yang bermula pada 13 Februari nanti laris dan sudah 100 borang dikembalikan. Mudah-mudahan kelas ini kelak berjaya melahirkan muallij (perawat) yang akan membantu menangani masalah gangguan makhluk halus dan sihir yang berlaku di dalam masyarakat.

 

SEMINAR PERUBATAN ISLAM

Hampir 200 peserta hadir dalam seminar sehari perubatan Islam bertajuk : ‘Menangani Gangguan Makhluk Halus dan Sihir’ yang diadakan di Masjid Negeri Sabah sabtu lalu. Seminar tahunan berkenaan yang disampaikan oleh Ustaz Nik Anwar Zakaria el-Besuti diadakan bagi mendedahkan kepada masyarakat Islam akan bentuk-bentuk gangguan makhluk halus serta rawatan yang dibenarkan di dalam Islam bagi menanganinya.

Seminar berkenaan juga menarik perhatian dan minat peserta bukan sekadar sekitar Kota Kinabalu bahkan terdapat peserta dari Kota Marudu, Keningau dan Beaufort. Menurut Ustaz Nik Anwar, apa yang lebih penting bagi seorang Islam ialah meyakini bahawa segala kemudharatan termasuk gangguan makhluk halus dan sihir hanya boleh berlaku dengan izin Allah SWT. Situasi berkenaan katanya menjadi ujian kepada manusia sama ada mahu beriman kepada Allah SWT atau tunduk kepada makhluk halus yang cuba menguasai diri manusia berkenaan.

Selain itu berdasarkan pengalaman beliau melakukan rawatan, masih ramai umat Islam yang bergantung dengan tangkal dan azimat yang jelasnya bertentangan dengan ajaran Islam. Begitu juga dengan rawatan yang merujuk kepada pawang  yang menggunakan khidmat jin. Justeru itu katanya, umat Islam perlu mendalami aqidah, syariat dan akhlak yang sebenar dengan mendatangi kuliah-kuliah agama di masjid dan surau untuk memantapkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT.

Pada sebelah petang, majlis diteruskan dengan sesi imbasan dan rawatan yang jelas menarik perhatian ramai peserta untuk mengesan sama ada terdapat gangguan makhluk halus di dalam diri masing-masing. Penceramah bagaimanapun menyeru peserta agar masing-masing mengukuhkan ‘pendinding diri’ dengan memperbanyakkan membaca al-Quran dan zikrullah harian bagi membendung diri daripada gangguan makhluk halus dan sihir.

Seminar yang dianjurkan oleh Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah juga turut mengumumkan pengwujudkan Kuliah Perubatan Islam secara mingguan yang akan diadakan setiap ahad malam isnin bermula pada 13 Februari 2011 (Ahad) jam 8.30 – 10.00 malam di bilik kuliah Masjid Negeri Sabah khususnya bagi melahirkan muallij-muallij satu hari nanti.

Semua dijemput hadir. Yuran pendaftaran dibayar pada pagi sebelum seminar berlangsung. Hubungi Tuan Hj Md Pozi Awang 019-8025254 selaku setiausaha syukbah dakwah untuk sebarang pertanyaan.

“Sesiapa yang menggantung azimat, sesungguhnya ia telah melakukan syirik.” (HR Imam Ahmad di dalam Kitab al Musnad)

Ketika sesi rawatan berjalan di bilik kuliah Masjid Negeri Sabah petang ahad lalu, Ust Nik diberikan satu bungkusan kecil yang berjahit (gambar atas). Ia diberikan oleh seorang suami kepada isterinya yang diserang jin saka.

Menurut abang berkenaan, dia diberikan bungkusan berkenaan ketika membawa isterinya di satu lokasi di Kg Tanjung Aru, Kota Kinabalu beberapa hari sebelum ini. Kepada saya beliau bercerita bomoh yang ditemui mereka memberikan beberapa syarat agar menyimpannya di tempat tertentu.

Tujuannya supaya isterinya akan sembuh dan pulih.Sebenarnya, tidak pulih pun.

Sebenarnya ketika abang berkenaan menghubungi saya beberapa hari sebelum seminar berkenaan untuk bantuan perubatan, saya mengajaknya bersama isterinya datang untuk mendengar dulu kuliah yang disampaikan.

Mungkin terbuka hatinya mendengar kuliah dan Ust Nik menceritakan tentang tangkal dan azimat, akhirnya dia menyerahkan bungkusan kami lewat petang itu. Ust Nik menyuruh saya membukanya, dan inilah yang kami lihat isinya…


Bungkusan berisi cili padi itu kemudiannya dibuang begitu sahaja. Mudah-mudahan Allah SWT mengampunkan mereka.

SESI RAWATAN


Selesai sesi Seminar Perubatan Islam dengan soal jawab yang bertalu-talu berakhir jam 2 petang, para peserta beransur ke bilik kuliah Masjid Negeri Sabah di aras bawah.

Asalnya kami menjangkakan kehadiran dibawah 50 orang sahaja, namun nampaknya hampir keseluruhan peserta berada di bilik berkenaan.

Mulanya, peserta lelaki yang mempunyai ciri-ciri ‘serangan’ makhluk halus dipersilakan untuk duduk di lantai menghadap kiblat bagi sesi rawatan. Namun belum sempat sesi berkenaan, beberapa audien muslimat tumbang satu demi satu terkena serangan jin.

Melalui semakan yang saya buat, ada di kalangan yang dirawat itu dirasuki jin saka, ada yang disihir,  kena santau dan sebagainya. Alhamdulillah, walaupun saya lihat Ust Nik Anwar sendiri kurang sihat, sesi rawatan berjalan lancar dan berakhir pada jam 5.30 petang.

Buat audien yang hadir dan berminat untuk sesi berikutnya, kami sedang merancang untuk mengadakan sesi ini dalam bentuk kuliah mingguan khususnya dalam membentuk para muallij yang benar-benar mahir dan mengikut syarak. Maklumat selanjutnya akan diberitahu daripada masa ke masa.



Hati saya sendiri sebenarnya berdebar-debar menanti kehadiran peserta pada masa yang ditetapkan. Walaubagaimanapun saya sudah memutuskan, kalau ramai yang datang ertinya orang berminat. Kalau kurang ertinya mungkin sebab pertembungan program kenduri kahwin dan balik kampung.

Demikianlah saya dimaklumkan ramai rakan-rakan berhalangan kerana 2 perkara tersebut. Namun gembira juga di hati kerana hampir 200 orang datang ke seminar ini. Perubatan Islam ini sangat perlu diketahui masyarakat Islam khususnya di Sabah ini kerana masih banyak berlaku amalan khurafat seperti perbomohan tidak syar’ie, azimat, tangkal dan sebagainya.

Sebenarnya perubatan seumpama ini merupakan satu bentuk dakwah yang sangat baik khususnya untuk memperbaiki umat Islam dan mendekatkan orang bukan Islam berkenaan keindahan Islam.

Yang hadir menurut pemerhatian kasar sebahagiannya merupakan yang biasa menghadiri kursus tahsin solat dan kursus haji, manakala sebahagian lagi orang baru yang mungkin nampaknya terkesan dengan tajuk ‘hakikat jin dan perawatannya’.

Dalam kertas kerja yang dibentangkan, Ust Nik menceritakan tentang kewajiban beriman kepada perkara ghaib, dalil  al-Quran dan hadith berkenaan kewujudan makhluk jin, asal kejadian jin, nama-namanya, asal usulnya, jelmaannya dan gangguannya.

Ustaz juga menceritakan tentang sebab gangguan berlaku, tanda-tandanya, serta kaedah rawatan berkaitan gangguan jin. Tidak lupa ustaz menerangkan tentang doa-doa dan zikir yang sepatutnya menjadi amalan harian.

Saya suka apabila ustaz menerangkan tentang kewajiban kita beriman kepada Allah SWT yang Maha Berkuasa dan sewajibnya menjadi keyakinan kita bahawa semua makhluk tidak mempunyai daya upaya melainkan dengan izin Allah SWT jua.

Bagi pihak rakan-rakan dari Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah selaku penganjur amat terhutang budi kepada Ustaz Nik Anwar Zakaria yang memaklumkan saya bahawa beliau masih belum sihat sepenuhnya, namun kesungguhan beliau datang seawal jam 8 pagi sehingga sesi rawatan berakhir jam 5.30 petang.

Harapan kami, peserta yang hadir dapat mengaplikasikan dalam kehidupan masing-masing doa dan zikir yang diajar serta memimpin masyarakat sekitar agar sentiasa beramal dengan Islam termasuk dalam soal yang telah dibincangkan oleh penceramah.



%d bloggers like this: