Tag Archive: Sejarah PAS


Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/35653-menelusuri-sejarah-pas-bahagian-1

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | 27 Mei 2015.

Ulama memimpin tindakan: Sebuah cerminan sejarah 

Langit sejarah telah merakamkan seawal abad ke-20, telah menyaksikan kemuculan arus kesedaran Islam di Tanah Melayu dalam memperjuangkan nasib Islam dan bangsa Melayu di negara ini.

Antaranya gerakan perlawanan menentang penjajah yang berlakudi Kelantan oleh Tuan Guru Haji Hassan bin Munas (Tok Janggut) pada tahun1915, juga kebangkitan ulama dalam menentang penjajah Barat di Terengganu pada1928 yang di pimpin oleh Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong yang mengibar bendera Khilafah Uthmaniah.

Kebangkitan Ulama Tanah Melayu juga mengakar dari simbahan kebangkitan ulama Islam yang berlaku di seluruh belahan dunia.

Islam telah telah menjadi pemangkin dan simbol penyatuan kepada kesedaran rakyat untuk menentang penjajah kuffar sebagaimana yang dimanifestasikan oleh dua peristiwa tersebut di Tanah Melayu.

Di luar Tanah Melayu seperti Indonesia, Mesir, libya, Algeria, Iraq, Iran, Sudan, Nigeria dan negara umat Islam yang lain. Islam telah menjadi kuasa pengerak yang ampuh dalam membajai perjuangan menentang penjajah Barat dan menyuntik energi perjuangan kepada pejuang-pejuang kemerdekaan.

Ulama dan gerakan Islam telah menjadi pemacu utama dalam perjuangan menentang penjajahan di seluruh bumi umat Islam seperti Sheikh Abdul Quader Al Jazair di Algeria, Sheikh Umar Mukhtar di Libya, Sheikh Uthman Den Fodio di Nigeria, Hassan Al Banna di Mesir, Sheikh Amin Al Husini di Palestin, Sultan Hasanuddin dan Iman di Ponegoro (Perang Jawa 1825- 1830) di Indonesia, Tuan Guru Hassan bin Munas atau dikenali sebagai Tok Janggut (1915) dan Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong (1922-1928) di Tanah Melayu.

Malangnya bagi umat Islam ialah walaupun kemenangan menentang penjajah adalah kerana kegigihan ulama dan pendokongnya tetapi buah kemanisan kejayaan kemerdekaan telah dipetik oleh golongan sekular berpendidikan Barat seperti Front Liberatian Nasionalis (FLN) di Algeria, Soekarno dan kelompoknya di Indonesia dan Umno di Tanah Melayu. Kelompok ini yang telah mengisi kemerdekaan dengan sistem dan nilai-nilai yang ditinggalkan oleh penjajah.

Pada awal abad 20 juga telah berkembang gerakan Isla Islamiah telah mencetuskan fenomena bahkan meriuhkan seketika tentang perbahasan agama di Tanah Melayu.

Gerakan yang juga digelar sebagai kaum muda ini, antara lain berpunca daripada pelajar-pelajar yang mendapat pendidikan di Timur Tenggah yang memperjuangkan citra perjuangan agama yang perlu dimurnikan daripada khurafat dan bidaah, juga kesedaran pan Islamisme bertolak daripada penjajahan yang menimpa umat Islam oleh kuasa Barat pada abad ke 19 dan abad ke-20.

Gerakan ini telah menyebarkan fahaman mereka melalaui wacana penulisan, pendidkan dan aktiviti berpersatuan.

Sedikit sebanyak, gerakan kaum muda ini telah menginspirsikan kepada orang Melayu untuk berpartipasi dalam gerakan politik perlawanan dan juga menyuburkan dunia pendidikan yang akhirnya diterjemahkan dengan penubuhan Hisbul Muslimin pada tahun 1948 di Mahaad Al- Ehya Asyariff Gunung Semanggol.

PAS sebagai mana gerakan Islam lain telah merakamkan nama di langit sejarah merupakan tuntutan beragama yang memerlukan kewujudan tanzim atau organisasi tersusun untuk menegakkan Islam.

Di Mesir tertubuhnya Ikhwanul Muslimin oleh Hassan Al- Banna pada tahun 1928 di subcontinent tertubuhnya Jamaat- e-Islami oleh Maulana Maududi, Jamaah An-Nur di Turki, Majlis Syura Muslimin di Indonesia dan PAS di Tanah Melayu.

Sejarah penubuhan PAS adalah berkaitan dengan sejarah perjuangan Hizbul Muslimin, sebuah gerakan Islam kontemporari yang telah diharamkan oleh penjajah British pada bulan Jun tahun 1948. Hizbul Muslimin ditubuhkan Maahad Ar-Ehya asyariff di Gunung Semanggol, Perak dengan idea daripada tokoh-tokoh politik kiri seperti Dr Burhanuddin Al-Helmy dan Kiai Masyhur Azahari, seorang pemimpin kanan Majlis Syura Muslimin (Masyumi).

Parti ini ditubuhkan secara rasmi pada 17 Mac 1948 di bawah pimpinan seorang tokoh agama, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir dan didukung oleh kalangan elit agama tradisional seperti guru-guru serta pelajar agama- agama tradisional seperti guru-guru serta pelajar agama.

Pertubuhan politik Islam ini telah mengsasarkan tiga matlamat utama perjuangannya iaitu untuk membebaskan bangsa Melayu dan Tanah Melayu daripada penjajahan, membentuk negara Islam yang bersifat sejagat dan menjadikan Tanah Melayu sebagai negara Islam.

Dengan citra besar dan nuansa yang murni inilah yang memungkinkan British menghidu bahaya yang dibawa oleh parti Islam ini yang dilihat mampu menggembleng sokongan orang Melayu. Penjajah British seperti yang diungkapkan Sir Lord Cromer (The Modern Egypt) tidak akan membenarkan tegaknya negara Islam di mana sahaja wilayah jajahan British walaupun sesaat. – HARAKAHDAILY 27/5/2015

Penulis adalah AJK PAS Pusat.

Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/35021-64-tahun-pas-pimpinan-dan-orientasi-perjuangan

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | 21 April 2015.

PAS telah merentasi jalan juang yang panjang selama enam dekad semenjak ia ditubuhkan di tanah leluhur ini. Gerakan Islam ini berada dekat dengan hamparan relung hati umat Islam yang sayangkan agamanya dan ingin melihat Islam tertegak dengan sempurna mungkin.

Jemaah ini tidak akan mati terkejang nafas selagi mana bergerak di atas dasar, matlamat dan rujukannya. Dalam tempoh yang panjang ini, PAS dilambung dengan jutaan ujian, bersilih ganti dan bertindan -tindih, namun ia masih merengkuh sokongan dan dokongan umat Islam.

Di manakah rahsia kebugaran PAS sehingga mampu bertahan gagah mendepani segunung ujian yang datang, sedangkan puluhan parti dan gerakan politik lain telah ditalkinkan tanpa batu nisan? Rahsia kekuatan PAS adalah terletak di tangan ulama yang merencahi perjalanan panjang ini dengan batu tanda perjalanan yang benar.

PAS tidak tersasar kerana pemanduannya memahami arah jalan, peraturan, permainan dan kemampuan membaca unjuran masa depan. PAS tanpa lelah memimpin ummah dengan keberkatan ulama, kecerdasan profesional dan kerja keras para aktivis parti di semua peringkat.

Gerakan Islam tertua di negara ini yang mewarisi kejerihan Hizbul Muslimin ini terus berdada dengan kezaliman regim BN dan PAS terus memugar kekuatan dengan berteraskan tarbiah dan dakwah.

Penubuhan PAS bermula di Pulau Pinang, dengan pantas mewangi berkembang ke negeri Pantai Timur sehinggalah beberapa kali berkuasa di peringkat negeri. PAS dengan citra perjuangan Islamnya telah berjaya menarik para agamawan dan para santri untuk mendokong parti tersebut.

Laungan dan pekikan takbir membesarkan Allah mengingatkan hati pendokong PAS untuk tabah mengharungi badai samudera yang menghempas, pemenjaraan, penistaan, intimidasi, pembantaian dan pengucilan yang menyelimuti anggota jamaah di sepanjang keberadaannya dalam pentas siasah dan dakwah ini.

PAS memusar arus magnetnya dari sekolah agama, madrasah dan pondok. Jajaran sekolah agama rakyat dalam dekad 1950-an dan 1960-an telah banyak tertumpu di negeri seperti Perak Utara, Kedah, Seberang Perai (Pulau Pinang), Kelantan dan Terengganu, maka tidak pelik jika negeri-negeri ini terpercik dengan pantas pengaruh PAS.

Dengan berlakunya kebangkitan Islam di seluruh dunia dalam dekad 70-an dan 80-an, PAS tidak terkecuali mendapat simbahan pengaruh kebangkitan Islam sehingga berlaku transformasi kepimpinan yang dikenali sebagai kepimpinan ulama dalam parti tersebut.

Era kepimpinan ulama telah menyaksikan keseriusan PAS dalam menangani pelbagai isu, memecah kepompong nasionalisme Melayu sebagai bertindak balas kepada dasar-dasar kerajaan yang tidak mesra syariah dan juga giat menubuhkan institusi pendidikan di bawah PAS sendiri.

Selama enam dekad ini juga telah menyaksikan PAS telah dipimpin oleh tokoh-tokoh pimpinan yang telah mencorakkan PAS dengan wajahnya yang tersendiri. Bermula dengan Ustaz Ahmad Fuad, berganti dengan Dr. Abbas Alias dan bersambung dengan cemerlang di bawah Dr. Burhanuddin al-Helmy yang bergandingan dengan tokoh ‘ideologue’ PAS, Dr. Zulkifli Muhammad.

Era cemerlang ini pudar seketika dengan kembalinya Dr. Zulkifli ke rahmatullah dan Dr Burhanuddin diserkap di bawah ISA dengan tuduhan ingin menubuhkan kerajaan buangan. PAS dalam keadaan separuh terkejut akhirnya diwariskan kepimpinan kepada Datuk Asri.

Era Datuk Asri dengan beberapa kontroversi akibat demokrasi terpimpin ala Asri dan juga kemasukan PAS dalam kerajaan campuran BN.

PAS di bawah kepimpinan ulama bermula dengan Haji Yusof Rawa, arus deras bawah dan olakan permukaan telah membawa pelbagai perubahan kepada PAS dalam dekad kemuncak kebangkitan Islam. Jemaah ini dipimpin oleh Ustaz Fadzil Noor dan melakukan beberapa tindakan strategik seperti gagasan APU dan PAS memetik buah manis dengan kejayaan menawan kembali Kelantan pada tahun 1990.

Seterusnya menawan kembali Terengganu pada tahun 1999 dengan kehangatan gelombang Reformasi 1998 akibat penyingkiran Anwar Ibrahim.

Kepimpinan ulama telah membuktikan gerakan Islam mampu mempersada perjuangan walau dihambat dengan sejuta ujian. PAS dipilih oleh rakyat kerana mereka melihat contoh yang hidup di Kelantan, 20 tahun pemerintahan Tuan Guru Nik Aziz tanpa rasuah dan berjaya menterjemah aspirasi Islam serta membumikan syariah secara berhikmah.

PAS juga menjadi pilihan kepada peserta kebangkitan Islam kerana wadah ini menawarkan kepada mereka ruang untuk pendidikan seumur hidup, kepimpinan ulama yang tidak jemu menabur bakti di ladang ilmu dan pencerahan.

Kini harakatul ummah ini dengan usia 64 tahun, tertegak dengan tiga sendi  laras iaitu siasah, dakwah dan tarbiah terus dipacu dengan jaya oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang juga Naib Ketua Kesatuan Ulama Dunia.

Jemaah Islam ini juga beroperasi di medan massa dengan sinergi ulama, profesional dan aktivis, akan terus  menjadi payung buat rakyat negara ini. –HARAKAHDAILY 21/4/2015

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, AJK Lujnah Politik Pusat)

pas1

Sumber : http://www.pas.org.my/v2/index.php/info/sejarah

Kejayaan cemerlang PAS dalam pilihan raya umum ke-12 pada 2008 telah meletakkan PAS sebagai sebuah parti pembangkang utama yang dilihat oleh rakyat berupaya mengambil alih pemerintahan negara.

Semenjak 1990, PAS telah melangkah maju daripada sebuah parti pembangkang yang dianggap “ekstrem” menjadi sebuah parti pemerintah yang moderat dalam melaksanakan cita-cita Islamnya bermula di Kelantan semenjak 1990, kemudian ke Terengganu pada 1999 hingga 2004, dan kini PAS mendapat kepercayaan rakyat di Kedah, Perak dan Selangor.

Di Parlimen juga, PAS telah bangkit dan menguasai 10 peratus daripada kerusi Parlimen atau 25 peratus daripada keseluruhan kerusi pembangkang. Perkembangan ini meletakkan PAS dalam perhatian peminat politik, pengkaji dan juga penyelidik.

Sebenarnya, kemunculan PAS dalam sejarah politik tanah air telah bermula semenjak 23 Ogos 1951 apabila para ulamak yang bersidang di Kuala Lumpur bersetuju menubuhkan sebuah persatuan yang dinamakan Persatuan Ulamak Se-Malaya. Nama persatuan ini kemudiannya diubah menjadi Persatuan Islam Se-Malaya (PAS) pada 24 November 1951, dalam satu persidangan ulamak Malaya di Bagan Tuan Kecil (Butterworth), Seberang Prai.

Itulah sekelumit permulaan sejarah PAS yang diasaskan oleh para ulamak yang kemudiannya berkembang menjadi sebuah pertubuhan politico-dakwah yang penting di negara ini. Penglibatan dan sumbangan PAS dala politik negara bermula sebaik sahaja ia ditubuhkan walaupun ramai pengkaji mengatakan PAS hanya menyertai politik menjelang pilihan raya 1955.

Kemunculan PAS ini dikatakan hasil daripada silang pengaruh yang berlaku antara beberapa gerakan Islam yang lebih awal seperti Ikhwanul Muslimun di Mesir, Masyumi di Indonesia dan Jamaat Islami di Pakistan. Ketiga-tiga pengaruh ini telah menyerap masuk ke Tanah Melayu melalui para ulamak yang belajar di Mesir, Mekah, India dan Indonesia.

Ksedaran yang awal ialah para ulamak atau umat Islam memerlukan sebuah pertubuhan atau badan yang boleh mewakili mereka dalam semua aspek kehidupan terutama dalam keadaan Tanah Melayu sedang dijajah oleh British ketika itu. Longgokan ksedaran ini kemudiannya menghasilkan Majlis Tertinggi Agama Malaya (MATA) pada 1947 diikuti oleh Hizbul Muslimin pada 1948 kesan daripada usaha gigih Dr Burhanuddin al-Helmy dan Ustaz Abu Bakar al-Baqir. Walau bagaimanapun, gerakan Islam yang berpusat di Gunung Semanggol ini terkubur ekoran penguatkuasaan Ordinan Darurat pada Jun 1948.

Para ulamak mengambil beberapa sikap selepas tragedi darurat ini. Ada yang “tawakuf” daripada politik kepartian tetapi menggerakkan kesedaran rakyat melalui institusi pendidikan atau media massa. Dalam fraksi yang lain, para ulamak telah mengambil sikap untuk menyertai parti nasionalis Umno bagi membolehkan isu-isu umat Islam diperkatakan.

Beberapa tokoh Hizbul Muslimin seperti Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan, seorang lepasan Maahad Il Ihya Assyariff, Gunung Semanggol telah menyertai Umno pada 1950 dan dilantik mengetuai Bahagian Agama dan Pelajaran Umno. Bahagian ini kemudiannya mengaturkan beberapa persidangan untuk membolehkan ulamak menubuhkankan persatuan. Dalam tulisannya, ‘Ulamak Malaya Belum Bersatu dan Belum Punya Persatuan, Haji Ahmad Fuad menyifatkan kedudukan ulamak ketika itu umpama sampah yang tidak dihargai kerana tiada kekuatan.

Lebih-lebih lagi ketika itu ulamak telah muak dengan sikap Umno yang mengabaikan isu pemurtadan Natrah, pengajuran judi loteri, fun fair, kaberat dan lain-lain. Dalam satu persidangan ulamak yang dipimpin oleh Sheikh Abdullah Fahim, Mufti Pulau Pinang di Seberang Perai pada 1951, mereka telah mengeluarkan fatwa mengharamkan judi loteri anjuran Umno.

Dalam konflik pelbagai yang dihadapi oleh para ulamak dan situasi politik semasa yang masih tidak menuju kepada jalan Allah itu, maka para ulamak membuat pendirian untuk menubuhkan PAS. Haji Ahmad Badawi, seorang ulamak di Seberang Perai telah mengeluarkan satu manifesto yang dinamakan “Manifesto al-Badawi” dengan tema “Ulamak ke Jalan Allah” bagi menyambut persidangan untuk menubuhkan PAS pada 24 November 1951.

Mereka memutuskan supaya PAS menjadi sebuah pertubuhan politik Islam yang memperjuangkan kemerdekaan melalui landasan demokrasi ke arah membentuk sebuah negara yang diredhai Alah. Para ulamak menolak bentuk perjuangan yang diasaskan berdasarkan ideologi ciptaan manusia yang dibawa masuk oleh penjajah.

Semenjak itulah, PAS muncul sebagai sebuah pertubuhan politik Islam yang memperjuangkan kemerdekaan negara, kemudian menyertai pilihan raya demi pilihan raya. PAS juga menggunakan pelbagai saluran untuk menyampaikan mesej dakwahnya termasuk membentuk beberapa kerjasama politik dengan orang bukan Islam semenjak 1953.

Di bawah kepemimpin Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan dan Dr Haji Abbas Alias, PAS bercakap soal kemerdekaan yang boleh ditegakkan hukum Islam. PAS menolak kerakyatan jus soli yang merugikan peribumi dan PAS mendesak supaya Islam dijadikan dasar negara yang merdeka.

Apabila Dr Burhanuddin al-Helmy mengambil alih kepemimpinan PAS pada akhir 1956, PAS mula memperincikan sikapnya terhadap kemerdekaan yang hendak dicapai yang dianggap masih kosong dari matlamat sebenar kerana mengabaikan kebangsaan Melayu dan ketuanan Islam1. Hal ini tergambar daripada hasrat Dr Burhanuddin,

“Dalam perjuangan kita (PAS) bagi mencapai kemerdekaan, kita telah dan terusmenerus memperjuangkan Melayu itu sebagai kebangsaan bagi negara Tanah Melayu ini dengan bertapak di atas asas ideologi Islam yang maha suci”.

Penyertaan PAS dalam pilihan raya 1959 telah memberikan kejayaan besar apabila Terengganu dan Kelantan berjaya dikuasai. PAS membentuk kerajaan yang dipimpin oleh Mohd Daud Abdul Samad di Terengganu dan Ustaz Ishak Lotfi Omar di Kelantan sebagai Menteri Besar. PAS memulakan langkah sebagai kerajaan di dua negeri Pantai Timur untuk menterjemahkan ideologi perjuangannya yang berasaskan al-Quran dan Sunnah.

Namun begitu, kerajaan PAS di Terengganu telah dijatuhkan pada Oktober 1961 hasil permainan politik kotor Perikatan. Di Kelantan, PAS berjaya bertahan sehingga BN mendaruratkan Kelantan pada akhir 1977. Dalam konteks ini, PAS-lah satu-satunya pembangkang yang diberikan kepercayaan oleh rakyat untuk memerintah kerajaan negeri di negara ini.

Selepas kejatuhan Terengganu pada hujung 1961, PAS mulai menerima tekanan-tekanan politik seperti penyalahgunaan ISA, penahanan Dr Burhanuddin al-Helmy diikuti oleh sekatan politik, keganasan Pemuda Tahan Lasak Umno dan beberapa siri pembunuhan politik. Perjuangan PAS untuk memartabatkan kebangsaan Melayu Raya berasaskan Islam telah dijadikan kambing hitam dalam Konfrantasi Indonesia pada 1963.

PAS menolak pembentukan Malaysia kerana mahukan sebuah negara Melayu yang lebih besar meliputi seluruh alam Melayu dibentuk. Dalam masa yang sama Umno mencanangkan isu-isu perkauman yang akhirnya membawa kepada beberapa siri perbalahan kaum di Pulau Pinang, Perak dan Singapura antara 1964 hingga 1969, dan kemuncaknnya tercetus Tragedi 13 Mei 1969 yang mengubah landskap politik negara. Selepas tragedi ini, Datuk Mohd Asri Muda yang memangku jawatan Yang Dipertua Agung PAS semenjak 1965 telah dilantik sebagai Yang Dipertua Agung PAS pada 1971.

PAS memasuki era baru dalam politik negara apabila PAS mula meneroka kerjasama dengan Umno bagi menjamin kestabilan politik negara, mengekalkan ketuanan Melayu dan menyerapkan Islam dalam pemerintahan. PAS menyertai beberapa parti lain telah membentuk Kerajaan Campuran PAS-Perikatan pada 1973, kemudian sama-sama mengasaskan Barisan Nasional (BN) pada 1974.

BN mencapai kejayaan besar dalam pilihan raya 1974 dan PAS sendiri telah berjaya menembusi ruang-ruang yang baru sehingga membolehkan Islam di sampaikan ke corong telinga rakyat dengan lebih berkesan. Walau bagaimanapun, keterbukaan PAS dalam membentuk kestabilan politik negara telah disalahgunakan oleh musuh-musuh politiknya dengan melaga-lagakan pimpinan PAS sehingga terjadi krisis politik Kelantan pada 1977. Akibatnya, PAS telah menolak Akta Darurat (Kelantan) 1977 yang menyebabkan PAS bukan sahaja disingkirkan dari BN, tetapi turut kehilangan Kelantan.

Setelah melalui tempoh yang mencabar antara 1978 hingga 1982 di mana PAS terpaksa berhadapan dengan perpecahan, kehilangan kuasa pemerintahan, tekanan ISA dan krisis kepemimpinan, akhirnya PAS telah mengasaskan kepemimpinan ulamak pada Oktober 1982. Tuan Haji Yusof Rawa telah diangkat untuk memimpin PAS bagi menggantikan Datuk Mohd Asri yang meletakkan jawatan.

Permulaan era kepemimpinan ulamak memperlihatkan PAS kembali kepada asas perjuangannya untuk mendaulatkan Islam dan memberikan penekanan terhadap kwajipan tersebut. Gerakan dakwah PAS berkembang dengan lebih tersusun melalui pendekatan haraki dan dalam masa yang sama PAS terus membina jambatan dakwah dengan non-Muslim sehingga terbentuk Majlis Perundingan Cina (CCC).

Di sudut yang lain, pendekatan PAS telah disambut oleh kerajaan dengan melaksanakan juzuk tertentu daripada Islam seperti Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam, Dasar Bersih, Cekap dan Amanah serta penubuhan Bank Islam, Universiti Islam Antarabangsa dan lain-lain.

Paling mencabar pada era kepemimpinan ulamak ialah beberapa siri penyalahgunaan ISA yang berlaku pada 1984, 1987 dan 1989, ketimbang dengan desakan PAS untuk diadakan Debat Terbuka PAS-Umno pada 1984. Dalam kemelut ini, tercetus pula tragedi Memali pada November 1985 yang mengorbankan 14 orang ahli PAS.

Tetapi, pada 1987, Umno pula menghadapi krisis kepemimpinan sehingga parti tersebut diharamkan. Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Fadzil Mohd Noor memanfaatkan kesempatan ini dengan mewujudkan kerjasama politik dengan serpihan Umno, Semangat 46 yang membolehkan PAS berkuasa semula di Kelantan.

Ketua Dewan Ulamak PAS (kemudian Mursyidul Am PAS), Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat diberikan kepercayaan untuk memimpin kerajaan Kelantan semenjak 1990. Dengan dasar “Membangun Bersama Islam”, PAS berjaya melaksanakan tanggungjawabnya untuk menegakkan hukum Allah yang berada dalam bidang kuasana.

Pada 1996, PAS mula berkrisis dengan Parti Melayu Semangat 46 (PMS46) yang menyebabkan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang dibentuk pada 1989 berpecah. Dua tahun kemudian, Umno sekali lagi menghadapi perpecahan ekoran pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyebabkan wujudnya gerakan Reformasi.

PAS telah memimpin Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK) bagi menuntut keadilan kepada rakyat, kemudian menubuhkan Barisan Alternatif (BA) pada 1999. Melalui BA, PAS berjaya merampas semula Terengganu. Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang diamanahkan untuk mengetuai kerajaan Terengganu sehingga 2004.

Selepas pencapaian lemah PAS pada 2004 kerana momentum Perdana Menteri baru, PAS bangkit semula pada 2008 dengan mengetuai tiga kerajaan negeri dan turut serta dalam kerajaan di Selangor. Kini, PAS dilihat sebagai pencabar utama Umno dalam menguasai politik orang Melayu Islam.

Sepanjang tempoh 1951-2008 ini, PAS telah dipimpin oleh tujuh orang Yang Dipertua Agung/Presiden iaitu Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan (1951-1953), Dr Haji Abbas Alias (1953-1956), Profesor Dr Burhanuddin al-Helmy (1956-1969), Datuk Mohd Asri Muda (1969-1982), Tuan Haji Yusof Rawa (1982-1988), Dato’ Fadzil Mohd Noor (1988-2002) dan Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (2002 hingga sekarang).

Para pengkaji yang menganalisis perkembangan PAS ini mengatakan PAS telah mengalami empat jenis kepemimpinan iaitu kepemimpinan ulamak tradisi (1951-1956), kepemimpinan nasionalis kiri (1956-1969), kepemimpinan nasionalis kanan (1969-1982) dan kepemimpinan ulamak haraki (1982-sekarang)3.

Dalam pada itu juga, mereka mengatakan PAS telah melalui empat tahap perkembangan iaitu tahap kemunculan (1951-1959), tahap kebangkitan (1959-1973), tahap kemuncak (1973-1977), tahap kejatuhan (1977-1990) dan tahap kebangkitan semula (1990-sekarang)4. Dari sudut pembinaan ideologi perjuangan PAS, dikatakan berlaku tiga fasa iaitu fasa penubuhan dan pembentukan ideologi (1951-1958), fasa pencernaan ideologi (1958-1982) dan fasa pengukuhan idelogi (1982-1995)5.

————————————

1 Burhanuddin al-Helmy (1957), Panduan Jiwa Pergerakan, dlm. Suara Islam, Thn. 2, Bil. 1, Disember.
2 Burhanuddin al-Helmy (1960), Sambutan Kemerdekaan Kali Ketiga, Utusan Melayu, 31 Ogos.
3 Mohd Fadli Ghani (2003), Dewan Pemuda PAS: Suatu Kajian Terhadap Tahap-tahap Perkembangan Organisasi Dalam Era Bertindak, 1975-2003, Tesis Sarjana Sastera, Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi UKM, h. 27.
4 Wan Abdul Rahman Latif (1992), Parti-parti Politik di Malaysia: Asas Perjuangan dan Penerimaan Masyarakat, dlm. Dunia Islam, Feb., h. 35.
5 Zambry Abd Kadir (1995), Religion and Politics: The Search for Political Legitimacy of The Pan-Islamic Party of Malaysia, Tesis PhD, Temple University, h. 25-28.

60 TAHUN

60 TAHUN : PAS SEMAKIN DIYAKINI SEMUA RAKYAT

Nazri Abdullah/Harakahdaily

KEPALA BATAS, 1 Okt: PAS kini sudah memasuki era baru dalam perjalanan perjuangannya yang kini mencecah usia 60 tahun sejak penubuhannya 1951, kata Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Bercakap sewaktu menyampaikan ucaptama di Kongres Sambutan 60 Tahun PAS di Dewan Milenium, Kepala Batas di sini, Presiden PAS itu berkata parti Islam itu kini telah mendapat kepercayaan pelbagai pihak di negara ini.

Kepercayaan itu ujarnya hasil daripada pengamatan rakyat melihat ketabahan PAS yang tidak berganjak memperjuangkan keadilan Islam biarpun menghadapi tekanan dan penindasan sejak zaman penjajah dan penafian hak oleh pusat biarpun telah menguasai beberapa negeri.

“PAS adalah parti yang bertunjang dengan teguh dan kuat, tidak terpengaruh dibawa arus penjajah. Ada yang terjebak dengan Komunis, British dan Jepun. Tapi PAS tidak hanyut dengan mana-mana fahaman penjajah,” katanya. Selepas merdeka pula, PAS yang mengambil sikap menyertai pilihan raya untuk menegakkan Islam terus mendapat tekanan daripada parti pemerintah biarpun kini telah berjaya menguasai beberapa negeri bersama Pakatan Rakyat.

“Semangat faderalisme dicabul pemerintah. Sewaktu kita memerintah Terengganu hak royalti dirampas, dinafikan hak di Kelantan,” katanya lagi. Kepercayaan terhadap PAS yang perjuangannya dipandu Majlis Syura Ulama, terus menebal apabila mempamerkan pentadbiran yang baik dan adil di negeri-negeri yang dikuasai. Jika dahulu katanya, PAS hanya dilihat diskong oleh orang Islam, namun hari ini PAS sudah mempunyai Dewan Himpunan Penyokong PAS yang terdiri dari kaum Cina dan India.

Malah gabungan profesional dan ulama yang memimpin PAS juga telah menguatkan lagi parti itu sekaligus menafikan persepsi bahawa PAS hanya untuk golongan agama. Sehubungan itu ujarnya, PAS kini menjadi harapan sebagai “bahtera penyelamat” kepada segala permasalahan yang sedang menimpa masyarakat pada hari ini.

“Di zaman Nabi Nuh, bahtera Nabi Nuh menjadi penyelamat, di zaman ini PAS adalah bahtera penyelamat terhadap kehidupan manusia berlandaskan al-Quran, hadis, ijma’ dan qias,” tegasnya. Sementara itu, lebih 7000 hadirin hadir ke Kongres 60 Tahun PAS hari ini. Selain ucaptama presiden, kongres kali ini juga turut memberikan anugerah “Pahlawan Umat” kepada Presiden PAS ke-3 Dr. Burhanudin Al-Helmi. Sehubungan itu, gelaran tersebut akan digunakan setiap kali nama Dr Burhanudin disebut. Sebelum penyampaian anugerah itu yang diterima isteri beliau, jasa dan semangat perjuangan Dr. Burhanudin diceritakan melalui puisi khas yang didelamasikan Saterawan Negara, Datuk A.Samad Said.

Hayati ini juga :

%d bloggers like this: