Tag Archive: SB


MELEPASI SERATUS RIBU

 

Sama ada tengah malam tadi atau pun pada awal pagi hari ini, blog Abu Nuha Corner sudah mencapai 100 ribu statistik.

Pernah saya katakan, blog ini asalnya ditulis untuk tatapan dan bacaan kawan-kawan dan keluarga sahaja. Kisah dan cerita di dalam ini pada awalnya berlegar dalam ruang lingkup kehidupan seharian saya sahaja.

Kegemaran saya sejak zaman sekolah, mungkin atas pengaruh ahli keluarga ialah menangkap gambar. Sejak sekolah menengah saya ada kamera sendiri, dilantik sebagai jurugambar sekolah dan minat itu bercambah sehingga sekarang.

Tangkap gambar kawan-kawan, ahli keluarga serta kenalan kemudian maklumkan kepada mereka bahawa gambar mereka ada dalam blog ini. Itulah cara saya mempromosikan blog ini sehingga secara purata, blog ini dikunjungi 400 ke 500 sehari.

Ia masih terlalu kecil dan sangat kerdil dibanding blog tokoh-tokoh terkenal dan selebriti pujaan yang mencecah ribuan atau ratusan ribu sehari. Dahulu saya beranggapan, cukuplah sehari ada 15 orang ahli keluarga dan kawan-kawan yang baca.

Melalui statistik itu juga, saya beranggapan pelayar paling ramai ialah penjawat awam. Buktinya, sepanjang isnin-jumaat, blog ini melonjak sementara pada hujung minggu ia menurun dibawah 300 pelawat sahaja.

Mungkin itu sebabnya (walaupun angka itu sedikit), blog ini dipantau dan menjadi minat beberapa anggota cawangan khas sehingga saya pernah dipanggil oleh orang tertentu agar isi kandungan blog ini diperlahankan sedikit. 🙂

Sementara saya masih belajar dan mempelajari selok belok foto dan blog sedikit demi sedikit sama ada bacaan blog ke blog atau bertanya kepada yang lebih arif; penulisan dalam blog akan diteruskan dengan beberapa penambahbaikan yang tidak akan disedari.

Terima kasih atas kunjungan semua. Kunjungan dan sokongan semua (termasuk pemantau) amat saya hargai.

DUGAAN MINGGU LEPAS

Salam.

Ramai yang tahu, khutbah jumaat minggu lepas tidak disenangi oleh pihak-pihak tertentu yang begitu merasai bahang kehangatannya. Tajuknya : Berhati-hati mendengar khabar berita.

Tapi bak kata sahabat yang baru berpindah ke Kedah, Ust Abdullah Din, katanya : “Tanda khutbah tu berkesan, apabila selepas jumaat ramai yang memperkatakannya”.

Memang benar, tuan imam yang menjadi khatib dihubungi SB jam 1.30 petang. Balik ke pejabat jam 2, pejabat Ketua Menteri meminta teks khutbah hari itu difakskan ke pejabat mereka.

Sebenarnya, khutbah itu saya yang susun. Isunya, ingin menerangkan kepada umat Islam supaya menyelidiki khabar berita yang diterima. Dalilnya dari surah al-Hujurat, ayat 6. Semua maklum apabila sesuatu berita tidak benar, akan menyusahkan orang lain tambahan lagi apabila khabar yang melibatkan maruah orang.

Khabarnya, pejabat pentadbiran menerima panggilan bertalu-talu. Saya tau Pengarah ditekan oleh orang politik yang tidak mau menerima nasihat.

(Sabda Nabi SAW : “Agama itu nasihat”. Kami para sahabat bertanya : “Untuk siapa?” Jawab Nabi : “Untuk Allah, untuk RasulNya, untuk pemimpin orang Islam dan untuk seluruh rakyatnya”)

Akibatnya, saya diambil tindakan. Saya tidak dibenarkan lagi menulis khutbah dan kebenaran asal pergi ke Kedah untuk menghadiri tilawah kebangsaan ditarik semula.

Keadaan itu menunjukkan Islam diperintah bukan memerintah. Islam terpaksa menurut kehendak orang politik yang rakus. Kalau dia kata bab ni boleh kata, maka kita boleh kata. Kalau dia kata tak boleh, maka kita kena ikut, walaupun Islam kata kena sebut.

(Sabda Nabi : “Katakanlah yang benar sekalipun pahit”)

Saya tahu itu mehnah dan tribulasi. Adat dalam berdakwah, ada suka dan duka. Bukan semua orang boleh terima dakwah kita. Tapi saya juga manusia biasa, bukannya pejuang hebat. Datang juga rasa takut dan bimbang.

Akhirnya saya sedar, sebenarnya tindakan yang dikenakan itu tidak ada apa-apa yang mesti dirisaukan. Kecik punya hal. Lagipun ia menepati sunnah dalam berdakwah – sentiasa diuji.

Dalam masa yang sama, saya yakin dakwah Islam tidak boleh disekat. Bak kata Dato’ Ismail Kamus, dakwah umpama air sungai. Ia akan terus mengalir dan mengalir.

Ya! Saya tidak akan berhenti. Kerja dakwah itu tidak hina di sisi Allah. Ya Allah bantu hambaMu menegakkan agamaMu!

%d bloggers like this: