Tag Archive: Sayyid Qutb


Sumber : http://www.harakahdaily.net.my/index.php/kesatuan-fikrah/42268-sayyid-qutb-memperingati-maestro-jihad-abad-moden

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | 24 Ogos 2016.

SAYYID Qutb adalah nama besar yang menggugah nurani kita apabila berbicara tentang Ikhwanul Muslimin selain Hassan al-Banna dan tokoh-tokoh yang lain seperti Abdul Qadir Audah, Said Hawwa, Dr Mustapha as-Sibaie, Abdul Aziz al-Badri, Hassan Ismail Hudhaibi dan yang lainnya.

Sayyid Qutb mempunyai sejarah yang tersendiri sebagai tokoh ideologue Ikhwanul Muslimin serta diklasifikasikan sebagai tokoh pemikir yang sukar digalang ganti oleh dunia islam.

Sayyid Qutb telah dilahirkan pada tahun 1906 di Asyut, Mesir dalam lingkungan yang taat beragama, keluarbiasaan bakatnya dapat dikesan semenjak umurnya masih hijau.

Menghafal al-Quran dan menamatkan hafazan semasa berusia sepuluh tahun, bapanya Qutb Ibrahim merupakan pencinta al-Quran dan sangat tegas dalam urusan mendidik anak-anaknya dengan sakhsiah Islam, beliau memberikan perhatian langsung kepada pembelajaran anak-anak terutama Sayyid Qutb.

Keberkesanan sang ayah kepada anaknya pernah dirakamkan oleh Sayyid Qutb dalam sebuah bukunya:

“Wahai ayahku! Kutujukan tulisan ini kepada rohmu. Aku masih kecil ketika engkau menanamkan ke dalam jiwaku rasa takut kepada hari akhirat. Tidak pernah engkau mengherdikku, namun engkau mempamerkan hidupmu di depanku. Hari akhirat menjadi perhitungan dan peringatanmu, dihati dan di lidahmu. Engkau bersungguh menunaikan hak orang ke atasmu, namun engkau berlebih kurang dengan hakmu di atas orang lain, kerana engkau takut kepada hari akhirat. Engkau memaafkan kesalahan orang, walaupun engkau mampu membalasnya, lantaran mengharapkan ia menjadi kifarat di Akhirat. Engkau selalu mengenetepikan keperluanmu agar mendapat ganjaran di Akhirat. Wajahmu terbayang dalam ingatanku, setiap kali kita selesai makan malam, engkau membacakan al-Fatihah dan engkau menujukan kepada roh kedua ibubapamu di negeri akhirat. Dan kami anak-anakmu yang kecil turut bersamamu membacanya, terputus di sana sini kerana kami masih belum menghafalnya dengan sempurna”.

Sayyid Qutb merupakan seorang yang genius malahan pernah diungkapkan oleh Abbas Mahmud Aqqad sebagai pelajarnya yang paling cerdas, mempunyai bakat dan kecederungan yang besar dalam bidang sastera dan penulisan.

Karyanya dalam pelbagai genre seperti puisi, sajak, cerita telah diterbitkan dalam pelbagai penerbitan malah sebelum menggabungkan diri beliau dengan Ikhwanul Muslimin, beliau lebih dikenali oleh khalayak Mesir sebagai seorang sasterawan.

Kesyahidan Hasan al-Banna pada 12 Februari 1949 telah menyeruak relung hati Sayyid Qutb untuk mengenali fikrah Ikhwan dan akhirnya beliau menggabungkan diri dalam bahtera Ikhwanul muslimin. Bermula dengan Exco Dakwah sehinggalah menjadi ideologue Ikhwan dengan pelbagai magnum opus yang memercik kesedaran kepada ummah yang sedang lena dibuai khayalan.

Regim Jamal Naser telah memenjarakan Sayyid Qutb dengan pelbagai tuduhan palsu, bahkan mengharamkan Ikhwanul Muslimin yang dilihat pesaing utama regim dalam medan politik Mesir.

Sayyid Qutb mendekam dalam penjara militer dan beliau tidak pernah mengangkat bendera putih dalam perjuangan. Sosok sesepuh dakwah ini terus menuang idea-idea daripada celah jeriji penjara, termasuk tafsir fenomenal “fi Zilalil Quran”.

Penghujung bulan Ogos ini, indah sekiranya kita semua, abnaul harakah mengenang kembali getir perjuangan as-syahid, yang mati di tiang gantungan regim Mesir pada 29 Ogos 1966. Perjuangan ini tidak bermula dengan kita, dan bukan diakhiri oleh kita, Sayyid Qutb antara keteladanan dakwah zaman kontemporari ini. – HARAKAHDAILY 24/8/2016

Penulis ialah AJK PAS Pusat dan AJK Tarbiah Pusat.

sunset

Sumber : http://www.eperjuangan.com/2013/07/surah-yusuf-harga-sebuah-kesabaran.html

Pengarang kitab tafsir kontemporari berjudul “Fi Zilalil Quran”, karangan Sayyid Qutb menyatakan bahawa antara surah yang Allah turunkan kepada Rasulullah s.a.w pada masa-masa sukar dalam sejarah dakwah dan kehidupannya, adalah surah Yusuf. Surah ini diturunkan antara ‘amul huzni (tahun duka cita kerana kematian Abu Talib dan isterinya Khadijah binti Khuwailid) dan antara baiah ‘Aqabah pertama yang dilanjutkan sehingga ke baiah ‘Aqabah kedua.

Pada saat itu, baginda Rasulullah selain mengalami kesedihan kerana ditinggalkan dua orang yang menjadi sandarannya, baginda turut mengalami kepedihan akibat pemulauan masyarakat jahiliyyah yang terdiri daripada kaumnya sendiri, bangsa Quraish. Maka Allah menceritakan kepada Nabi-Nya yang mulia, kisah Yusuf bin Ya’qub bin Ishaq bin Ibrahim, yang juga mengalami berbagai-bagai ujian dan cubaan yang getir.

Saudara-saudara Nabi Yusuf sendiri sanggup menghumbankannya ke dalam sumur agar menjadi umpan haiwan-haiwan liar dan buas, dengan harapan hilanglah Yusuf dari perlindungan dan perhatian orang tuanya iaitu Ya’qub a.s. Nabi Yusuf hidup dalam gelandangan, dan terus diuji dengan tipu daya isteri penguasa Mesir. Baginda selanjutnya dihumban ke dalam penjara setelah sebelumnya hidup dalam kemewahan istana sang penguasa.

Kepahitan tersebut ditempuhi dengan tabah dan sabar, di mana selepas itu Nabi Yusuf diuji pula dengan kemakmuran dan kekuasaan yang mutlak di tangannya. Nabi Yusuf ditugaskan mengatur urusan sosial dan perekonomian masyarakat. Akhirnya Nabi Yusuf kembali menghadapi saudara-saudaranya yang dahulu telah cuba memerangkap untuk membunuhnya, dalam pada masa yang sama mereka jugalah yang menjadi sebab ujian-ujian dan penderitaan dalam kehidupan Nabi Yusuf sehingga mencapai puncak kekuasaan.

Sekalipun saudara-saudaranya membenci dan mencemburuinya, apa yang mustahak di sini adalah bagaimana semua ujian itu dihadapi Yusuf dengan penuh sabar sambil terus melanjutkan peranannya menyampaikan dakwah tauhid dan menyelamatkan masyarakat dari kesengsaraan. Surah ini (surah Yusuf), kata Sayyid Qutb, bertujuan menghiburkan serta memantapkan hati orang yang diuji dengan pengusiran dan pemulauan. Bagaimana Nabi Yusuf menyelesaikan semua masalah yang menimpanya dengan satu kalimah, iaitu ‘sabar’.

Di dalam surah Yusuf mengandungi isyarat tentang berlakunya sunnatuLlah ketika para Rasul merasa putus asa menghadapi kaumnya, bahawa akan ada jalan keluar yang membawa kepada kegembiraan yang didambakan setelah sekian lama mengalami ujian dan cubaan. Penceritaan kisah Nabi Yusuf bukan hanya sekadar bertumpu kepada ketampanannya sahaja, malah seharusnya kita merasai momentum perjuangan Nabi Yusuf a.s menghadapi tekanan dan cabaran.

Surah Yusuf adalah kisah yang paling lengkap dari segi liputannya. Lantaran itu, di dalam surah Yusuf disebut oleh Allah antara ‘ahsanul qasasi’ (kisah yang terbaik), kerana di dalamnya banyak mengandungi ‘ibrah (pelajaran) bagi orang-orang yang beriman dan memanfaatkan akal dengan membawa pesan induknya iaitu; maslahah kehidupan duniawi-ukhrawi, sabar menanggung derita dan sifat pemaaf ketika berkuasa.

“Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) seindah-indah kisah dengan jalan Kami wahyukan kepadamu Al-Quran ini, padahal sebenarnya engkau sebelum datangnya wahyu itu, adalah dari orang-orang yang tidak pernah menyedari akan halnya.” (Yusuf:3)

“Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal. Al Quran itu bukanlah cerita yang dibuat-buat, akan tetapi membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya dan menjelaskan segala sesuatu, dan sebagai petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman.” (Yusuf:111)

Secara khusus surah ini menjadi bekalan yang sangat berharga kepada pelanjut perjuangan harakah Islamiyah, untuk menyiapkan kesabaran di atas kesabaran dalam mengharungi medan perjuangan di jalan dakwah. Barangkali, masalah-masalah yang menimpa kepada harakah Islamiyah adalah petanda masih ada resepi-resepi kejayaan yang belum selesai kita capai, atau masih belum sampai tahap kepiawaiannya.

Kerana kesabaran Yusuf a.s, Allah menyiapkannya ujian untuk mencapai hikmah dan ilmu. Sayyid Qutb berkata, “Inilah Yusuf! Saudara-saudaranya menghendaki sesuatu terhadapnya, tetapi Allah menghendaki sesuatu yang lain untuknya. Kerana Allah itu berkuasa atas segala urusan-Nya. Sedangkan saudara-saudara Yusuf tidak berkuasa atas urusan mereka sehingga Yusuf dapat lepas daripada tangan mereka dan bebas dari apa yang mereka kehendaki terhadapnya.”

Jadi, makar (muslihat busuk) kaum pendengki kadangkala menjadi transisi menuju kemenangan dan kemuliaan daripada Allah. Makar yang mereka rencanakan dijadikan jalan oleh Allah untuk membina kehebatan insan yang dikasihi-Nya.

“Dan merekapun merencanakan makar dengan sungguh-sungguh dan kami merencanakan makar (pula), sedang mereka tidak menyedari.” (An-Naml:50)

Ketika saudara-saudara Yusuf datang memohon pertolongan. Disinilah Nabi Yusuf diuji, apakah ia tetap sabar atau melempiaskan kemarahannya ke atas perilaku zalim saudara-saudaranya itu? Ternyata Yusuf memilih kesabaran dan memaafkan saudara-saudaranya itu.

“Dia (Yusuf) berkata; Pada hari ini tiada cercaan terhadap kamu, mudah-mudahan Allah mengampuni (kamu), dan Dia-lah Maha Penyayang di antara para penyayang.” (Yusuf:92)

Begitulah juga luasnya samudera kemurnian hati Rasulullah s.a.w ketika baginda berkata di saat Fathu al Makkah kepada musuh-musuhnya, “Hari ini aku katakan sebagaimana saudaraku Yusuf a.s. bahawa tiada cercaan terhadap kamu, pergilah kalian kerana kalian adalah orang-orang yang bebas.” – rujuk sirah Ibnu Hisham

“Tidaklah sama kebaikan dengan kejahatan. Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik, maka tiba-tiba orang yang antaramu dan antara dia ada permusuhan seolah-olah telah menjadi teman yang sangat setia.” 

“Sifat-sifat yang baik itu tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang sabar, dan juga tidak dianugerahkan melainkan kepada orang yang mempunyai kelebihan yang besar.” (Fussilat:34-35)

Di jalan dakwah ini, seorang aktivis mesti memiliki persiapan spritual dan mental untuk menghadapi makar para pendengki atau musuh dakwah. Kerana makar itu adakalanya merosakkan reputasi kehormatan dan menjadikan kita terhina. Namun yakinlah, selama kita ikhlas dalam melangkah, Allah sentiasa membimbing dan menolong kita. Yakinlah ujian dan cubaan, hanyalah untuk sementara waktu sahaja sifatnya.

Keyakinan ini mendokong peribadi Nabi Yusuf a.s untuk meninggalkan legasi moral kemanusiaan yang cukup memberikan inspirasi kepada umat Muhammad s.a.w bahawa pada saat paling genting, masih ada rahmat Allah, ketika pada saat susah, masih ada sifat pemurah, ketika meratanya kesengsaraan, masih ada kemanusiaan. Kesusahan bukan alasan untuk meninggalkan kepedulian.

Semoga kita mendapat iktibar daripada khabar gembira (ahsanul qasas) surah Yusuf ini untuk terus bergerak menyongsong kegemilangan masa hadapan. Kesimpulan daripada artikel ini maka dapatlah kita mengambil beberapa pelajaran;

  • Sabar menghadapi makar perancangan musuh dengan memohon pertolongan Allah Taala. Sesungguhnya kesabaran itu akan mengiringi kita kepada kebangkitan. “Pahlawan bukanlah orang yang berani menetakkan pedangnya ke bahu lawan, tetapi pahlawan sebenarnya ialah orang yang sanggup menguasai dirinya dikala ia marah.”
  • Makar para pendengki kadang-kadang menjadi kesempatan bagi para pendakwah untuk menjana kekuatan. Ia menjadi wahana tarbiyah rabbaniyyah dalam rangka mematangkan persiapan mengharungi medan yang lebih luas.
  • Islam tidak mengajarkan umatnya berputus asa, sebaliknya mestilah terus berusaha mencari jalan untuk keluar daripada kesempitan.
  • Apapun bidang keahlian dan kerjaya kita, tidak pernah walau sesaat Yusuf a.s melupakan misi asasinya iaitu dakwah dan tarbiyah membina ummah.

Oleh : Mohd Azmir bin Maideen

2TOKGURU

Sumber : FB Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat

Disebut oleh Al Syahid Sayyid Qutb di dalam bukunya Ma’alim fi Toriq;

“Meskipun Allah Taala boleh memberi kemenangan kepada umat Islam sebagaimana turunnya hujan dari langit, tetapi oleh kerana Islam itu diturunkan kepada manusia, maka kejayaan dan kegemilangan Islam ini hendaklah berjalan melalui proses kemanusiaan itu sendiri.

Melalui sifat-sifat yang ada pada manusia, yang dibentuk melalui cara kehidupan manusia serta melalui tekanan dari penindasan yang dihadapi oleh mereka. Oleh kerana itulah Allah melatih dan membentuk mereka melalui wahyu secara individu dan jamaah, membentangkan di hadapan mereka ribuan tribulasi yang nyata dan praktikal.

Sentuhan wahyu yang menggarap sikap dan semangat untuk memikul amanah Islam sehingga lahirnya individu-individu dalam rangkaian suatu jamaah yang padu dan kuat. Lahirnya jamaah Islam yang dapat melaksanakan perintah Allah tanpa syarat.

Suatu jamaah yang tidak pernah menyimpang walau di saat wafatnya Rasulullah SAW. Mereka tidak mungkin dapat digugat, sebagaimana mereka tidak dapat digugat di zaman Rasulullah SAW.”

%d bloggers like this: