IMG_8102

Ramai sudah dan baru maklum akan kebakaran yang memusnahkan satu blok surau asrama putera isnin lepas.

Bagi pihak alumni SMAI Toh Puan Hajjah Rahmah, saya pohonkan sumbangan segulung sajadah untuk disedekahkan kepada pihak surau.

Untuk makluman, kesemua peralatan di surau musnah sama sekali termasuk sajadah, karpet, PA system, kitab al-Quran sebagainya.

Menurut kefahaman saya, para pelajar buat masa ini diarahkan ke Masjid Negeri yang terletak kira-kira 400 meter dari asrama untuk menunaikan solat 5 waktu. Terdapat juga yang solat di bilik masing-masing.

Khabar yang saya terima sebentar tadi juga menjelaskan bahawa surau baru akan didirikan dengan kadar segera di blok c, berdekatan rumah warden.

Jadi antara keperluan penting sekarang ialah sajadah untuk alas solat mereka.  Kalau ada yang berminat untuk menyumbangkan kitab suci al-Quran juga dialu-alukan.

Hasil saranan ini, setakat ini sudah ada 5 pihak – kumpulan dan individu – yang bersetuju untuk menyumbangkan sajadah gulung seperti yang diharapkan.

Tinjauan ringkas sebentar tadi di Wisma MUIS, harga sajadah gulung selepas diskaun ialah RM160 sahaja.

Surau yang berjasa mentarbiyah pelajar sekolah ini sejak pertengahan 1970an sehingga kini sudah menjadi kenangan. Kenangan solat berjamaah, usrah bersama, ceramah agama, tadarrus al-Quran dan sebagainya akan diingati sebagai kemanisan zaman belajar.

Semoga Allah membalas jasa mereka yang melakukan sumbangan walaupun sedikit, khususnya dalam bulan Ramadhan ini.

“Jika mati seorang manusia, terputuslah amalannya kecuali 3 perkara : Sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat serta anak soleh yang mendoakan untuknya”.