Buku yang baru dibaca :

Penulis : Ustaz Hasrizal Abdul Jamil

Penerbit : Galeri Ilmu

Harga : RM25.00 / RM 27.00

Buku ini adalah naskhah yang merakam catatan kembara Abu Saif di bumi Khilafah Othmaniyyah, pada mengenal hati budi kenalan dan teman, yang sudah lama berkongsi persaudaraan atau yang disapa di pinggir jalanan. Semua itu adalah cara Allah mendidik untuk melihat Islam dengan penuh yakin, bahawa sehitam mana pun gelapnya malam, sentiasa ada kunang-kunang meminjamkan cahaya, bekal menanti sirnanya gelita, hingga terbit fajar janji-Nya.

Petikan 1

Bolvadin sendiri pun suasananya cukup baik. Walaupun ia dianggap sebagai pekan kecil (kerana penduduk Turki yang melebih 70 juta), 65 ribu penduduk bukanlah suatu angka yang boleh diremehkan. Namun, jarang kita bertemu dengan perempuan yang tidak bertudung di jalan raya Bolvaden. Malah kalau boleh saya katakan, kebanyakan perempuan di sini berpurdah.

Petikan 2

Aktiviti menghafal al-Quran yang begitu aktif di seluruh pelosok Turki juga harus diambil iktibar oleh kita semua. Di Istanbul sahaja ada kira-kira 100 buah sekolah tahfiz. Di seluruh negara, jumlah mereka yang menghafal al-Quran menjangkau angka berjuta-juta dan mereka ini sangat berperanan menghidupkan masyarakat dengan kalamullah, memakmurkan masjid khususnya pada bulan Ramadan dengan tadarus secara hafalan dan sebagainya.

Petikan 3

Saya kira, kebersihan yang terbit daripada iman, memang benar-benar dapat dirasakan di Turki. Kalau di masjid, berhati-hati! Anda mungkin akan diminta keluar oleh ‘orang masjid’ sekiranya anda masuk ke masjid dengan stoking yang ‘tidak molek’. Apabila anda keluar dari pintu masjid, junjung kedua-dua pasang kasut anda ke atas kerana orang Turki tidak mahu kasut yang dijinjing menyentuh pakaian orang lain.