Tag Archive: Sahabat


HARI KELUARGA ‘SAHABAT’

Saya kongsikan beberapa foto menarik program Hari Keluarga anjuran Pertubuhan Kebajikan Saudara Kita Kota Kinabalu (SAHABAT) di Pantai Tanjung Aru pada sabtu lalu. Saya sangat memahami keperluan mengadakan majlis seumpama ini jesteru pernah mengajar mereka suatu ketika dahulu. Kadang-kadang sesi pembelajaran boleh jadi stres juga kerana mereka dikehendaki mempelajari al-Quran daripada peringkat asas.

Selepas itu, mereka berada dalam kuliah pula sehingga tengahari. Pembimbing yang diamanahkan akan mengajar mengikut silibus yang telah ditetapkan. Satu sisi lain, apa yang diajar adalah perkara sangat asas dalam Islam yang berkait dengan rukun iman, rukun islam dan akhlak. Selepas kelas berakhir, mereka akan pulang ke rumah masing-masing dan bertemu kembali pada sabtu akan datang. Demikianlah kelas mereka berlangsung setiap sabtu di Madrasah Islamiah Sembulan.

Justeru apabila majlis hari keluarga dianjurkan, mereka dapat bertemu dalam suasana lebih santai, ceria dan bebas sedikit bersama keluarga masing-masing dengan aktiviti ringan tetapi ada maksud dan objektif tertentu. Tahniah saya ucapkan kepada seluruh AJK SAHABAT dan ahli-ahlinya, semoga program berkenaan mengeratkan ukhuwah sesama mereka disamping para pembimbing. Dengan catatan, jangan lupa hadir kuliah setiap minggu ya..

(Foto-foto disedut dari facebook Teratak Fitrah dengan izin)

Foto lain menyusul..

Kali kedua berziarah dan bertemua rakan-rakan dalam SAHABAT sepanjang Ramadhan ini tetapi di lokasi yang berbeza. Tempoh hari di kelas pengajian Teratak Fitrah sementara kali ini di markas mereka di Jalan Kurol Melangi, Kg Likas bersama 60 ahli yang hadir diketuai presidennya Sdr Abu Bakar Ongkosing.

Saat saya tiba, rakan-rakan dari IKRAM baru selesai menyampaikan sumbangan mereka dan saya terus mengganti untuk slot berikutnya. Ia penyampaian sumbangan sekampit beras kepada 60 penerima yang dipilih oleh SAHABAT sendiri sebagai lambang keprihatinan kami kepada saudara kita. Oleh kerana ramai rakan-rakan sudah pulang ke kampung dan yang ada di KK semuanya sibuk dengan persiapan masing-masing, maka saya hadir sendirian bagi mewakili semua pihak yang terlibat.

Tazkirah saya sekitar setengah jam, saya sentuh pelbagai topik – sedekah, lailatul qadar, hari raya sehinggalah keperluan ahli-ahli menyumbang demi kebaikan Islam – sama ada berbentuk wang ringgit, harta, tenaga dan idea khususnya dalam NGO SAHABAT dan keterlibatan mereka dalam apa juga program keislaman sama ada di pejabat atau masjid surau berhampiran kediaman masing-masing. Saya doakan agar semuanya baik-baik saja dalam kehidupan mereka di dalam Islam.

SEBELAS UNDANGAN

Sabtu. Pergerakan kami dari rumah bermula pada jam 11.15 pagi, lewat sedikit berbanding rancangan awal disebabkan tetamu istimewa daripada puteri-puteri Maahad Tahfiz yang berziarah ke rumah.

1. Lokasi pertama ialah rumah Ustaz Muhammad Sayuti Abdul Shukor, guru agama berasal dari Pendang Kedah yang kini bertugas di SK Lok Yuk, Likas dan tinggal di Taman Kinarut. Beliau yang berumur 37 tahun adalah lepasan al-Azhar, dan kini aktif dalam menyampaikan kuliah agama di sekitar Papar dan Kota Kinabalu. Alhamdulillah, tenaga agama seperti beliau sangat diharapkan khususnya dalam perkembangan dakwah.

2. Undangan berikutnya kami ke Madrasah Islamiyyah Masjid Negeri, lokasi rumah terbuka Pertubuhan Kebajikan Saudara Kita Kota Kinabalu (SAHABAT). Kami tiba dihujung majlis kerana majlis bermula seawal 9 pagi. Alhamdulillah, menurut Presiden Abu Bakar Ongkosing, kira-kira 300 tetamu hadir termasuk dari JHEAINS, JAKIM dan sahabat-sahabat NGO’s Islam yang lain. Insya Allah, saya sentiasa memberi sokongan terhadap program yang baik yang dijalankan oleh mereka. Saya dipujuk oleh Kak Hajah Maria untuk merasa juadah roti jala yang sedap itu.

3. Hanya bersebelahan lokasi, kami berikutnya ke rumah terbuka Datuk Haji Asmali Bachi, imam Masjid Negeri Sabah di  rumah quarters MUIS. Menariknya, deretan 10 unit rumah kakitangan MUIS di sini mengadakan rumah terbuka secara serentak. Mereka berpakat menyediakan juadah dan menjamu tetamu masing-masing di perkarangan rumah unit 8, 9 dan 10. Dahulu masa belajar di Maahad, kami pernah tinggal di rumah unit 7, yang kini dihuni oleh Tuan Imam Haji Isa Omar, juga imam Masjid Negeri Sabah. Baki rumah yang lain adalah pemandu JHEAINS dan MUIS yang juga tidak asing kepada kami.

4. Kami bergerak ke Dewan MAKSAK Likas menghadiri perkahwinan keluarga kepada kenalan isteri saya. Dewan ini memang selalu menjadi lokasi majlis-majlis perkahwinan dan seumpamanya. Di sini kami tidak lama, hanya sekadar mengucap tahniah, mengambil gambar pengantin yang kebetulan sedang memotong kek dan kemudiannya duduk barang 5 minit sebelum berangkat keluar. Terdengar pengacara mengumumkan acara berikutnya.. tari menari.

5. Lokasi paling jauh, Politeknik Sepanggar menziarahi rumah Ustaz Ahmad Fawwaz orang Kedah yang berkelana di bumi Sabah sejak beberapa tahun. Beliau pernah mengaji di bumi Jordan satu ketika dahulu. Di sini kehadiran tetamu masih ramai kerana undangan bermula pada awal petang. Kami berkongsi minat yang sama, iaitu fotografi. Jadi itulah antara topik bualan kami. Perjalanan dari Sembulan ke Likas lalu ke Sepanggar ini, sekitar 30 minit. Perut selesa sedikit untuk diisi dengan mi rebus yang menjadi hidangan utama mereka.

6. Kami berpatah balik ke arah pusat bandaraya, mengunjungi undangan Ustaz Zulhazmi Osman. Kami berada di senarai antara tetamu terakhir, kerana tiba sesudah masa jemputan berakhir. Melihat segala pinggan mangkuk dan gelas yang banyak, jelas tetamu yang datang memang ramai. Oleh kerana kami hanya sekeluarga, mudah bersembang dengan tuan rumah. Ustaz Zul mengadakan rumah terbuka di premis Siddqi Auto Taman Mesra. Beliau sekali lagi bercerita tentang hasrat untuk kembali dan berbakti ke Kedah hujung tahun ini. Nampaknya kami terpaksa bersedia dengan kehilangan seorang lagi jentera pendakwah yang gigih. Kami pulang, Cikgu Nordi pula tiba.

7. Di rumah Ustaz Azman Mustafa, Taman Senibina bersebelahan KK High School. Undangannya sepanjang waktu asar sehingga maghrib sahaja. Beliau bertugas di SK Pulau Gaya, sekolah yang pernah saya kunjungi untuk berceramah beberapa kali bersama para pelajar di sana. Ustaz Azman santai orangnya, tetapi boleh diharap untuk buat kerja-kerja dakwah dan seumpamanya. Di rumah beliau, tetamu berselera dengan menu istimewanya yang tiada di rumah orang lain, serawa durian.

8. Bergerak ke rumah pakcik, Haji Zakaria Mahali di Kampung Petagas. Semua tetamu sudah beransur kecuali keluarga terdekat. Khabarnya dua ekor kambing selesai dikerjakan tetamu mereka. Kami berehat lama di sini dan bersolat maghrib sambil sembang cerita-cerita keluarga dulu-dulu. Along dan keluarga kebetulan ada sama, bercerita tentang salsilah keturunan keluarga kami yang bersambung sehingga ke Hongkong. Alhamdulillah, nampaknya suasana sebegini amat sesuai mengeratkan hubungan kekeluargaan.

9. Selesai solat maghrib, kami bergerak pula ke Taman Pasir Putih berziarah rumah adik kepada kakak ipar sulung kami @ biras along, Abang Hassan Julai yang juga jamaah masjid Kg Pasir Putih. Kali ini, kami mendahului waktu undangan sebenar mereka iaitu selepas isyak. Tetamu sudah mulai datang dan kami bersilaturrahim sebentar dan hanya minum ringkas sebelum beredar.

10. Menuju ke rumah sahabat lama sejak sekolah menengah, Ustazah Pg Siti Umi Kalsum dan suaminya Zulfikar di Lok Kawi Height. Mereka pernah kami kunjungi beberapa kali, dan anak sulung kami Nuha sentiasa mengingati anak sulung Umi & Zul yang juga bernama Nuha. Umi sebelum ini mengajar di Sipitang kini sudah bertugas di SK Petagas beberapa bulan lalu. Nasi kambingnya membuatkan selera saya naik semula kerana tidak makan berat di tiga buah rumah sebelum ini.

11. Selesai menghantar anak isteri ke rumah, saya patah balik ke arah Likas bersama sahabat @ jiran Mahmud Yunus ke rumah Ustaz Haji Parmin Sahlan dan keluarga di Taman Kingfisher Likas. Beliau adalah guru al-Quran yang tidak perlu diperkenalkan lagi di bumi Sabah. Kemahiran tarannum al-Quran, barzanji dan marhaban tidak perlu dipersoalkan lagi kerana beliau adalah ahlinya. Anak-anak beliau juga berketerampilan dalam soal agama. Cerita kami lebih sejam (sehingga lupa bergambar), berkisar soal isu semasa dan persoalan dakwah serta masjid. Pulang ke rumah, tidak menyedari beg berisi kamera tertinggal di rumah beliau.


Selesai tarawih di rumah Abu Aslam saya langsung ke Kg Likas untuk menziarahi majlis berbuka puasa sehingga tarawih bersama warga Pertubuhan Saudara Kita Kota Kinabalu (SAHABAT) di rumah kebajikan saudara kita di di Jalan Kurol Melangi. Saya sendiri menerima undangan beberapa hari sebelum itu untuk majlis berbuka puasa bersama-sama warga SAHABAT. Namun saya bertembung dengan program lain dan hanya dapat datang selepas selesai tarawih.

Di sana Ustaz Haji Abdullah Din sedang menyampaikan tazkirah. Antaranya nasihat beliau berlegar tentang tanggungjawab sebagai seorang muslim apatah lagi saudara baru. Tanggungjawab memberi dan bukan sekadar menerima mestilah diterapkan dalam pemikiran semua ahli mereka. Ustaz Abdullah meminta mereka menghayati firman Allah SWT :

“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.”

Semoga islam dan iman mereka semakin mantap dan terus mempelajari Islam secara menyeluruh. Walaupun saya sudah tidak terlibat secara langsung dalam kelas-kelas pengajian mereka lagi, saya sentiasa menyokong semua usaha murni mereka dalam mengukuhkan kefahaman mereka terhadap Islam.

AQIDAH DAN AKHLAK

Ada 3 perkara yang saya sebut dalam kuliah siang tadi bersama pelajar saudara kita di Kelas Bimbingan Teratak Fitrah, Sembulan dalam tempoh 40 minit :

1) Maha Mengetahuinya Allah SWT akan segala perbuatan makhluk, baik atau jahat dalam gelap dan terang, sendirian atau ramai, zahir atau batin;

2) Malaikat Raqib Atid yang berada di kanan dan kiri manusia, mencatat segala perbuatan manusia tanpa satu pun yang tinggal;

3) Hari Pembalasan, saat ketika semua amalan manusia ditayang dan dinilai; mulut dikunci, tangan bercakap, kaki serta seluruh anggota menjadi saksi; buku catatan amal sebagai bukti.

Justeru, banyak melakukan kebaikan di mana sahaja berada kerana Allah SWT Maha Mengetahui dan meninggalkan kejahatan kerana Allah SWT jua Maha Mengetahui. Aqidah yang mantap akan melahirkan akhlak yang mulia.

Alhamdulillah, sepanjang petang jumaat sehingga tengahari ahad semalam, NGO Islam berkumpul di Beringgis Beach Resort Papar untuk Bengkel Penyelarasan Program JAKIM dan NGO Islam Sabah bagi 2010 akan datang.

Hj Sainuri Yamin selaku pengerusi Majlis Gabungan NGO Islam Sabah (CONCERN) mengetuai senarai kehadiran NGO yang lain.

Antara NGO yang hadir menghantar wakil ialah Wadah Pencerdasan Ummat (WADAH), Yayasan Amal Malaysia (AMAL Malaysia), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Jamaah Islah Malaysia (JIM), Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM), Persatuan Puteri Islam Malaysia (PPIM), Persatuan Graduan Iranun Sabah (PAGISA), Pertubuhan Kebajikan Saudara Baru Kota Kinabalu (SAHABAT), Persatuan Siswazah Sabah (PSS) dan Persatuan Melayu Bugis Kota Kinabalu (KECAPI).

Pada malam pertama, Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Ust Aziz Mohamad membentangkan senarai program yang bakal dilaksanakan oleh JAKIM sebagai pembuka bicara dan idea kepada semua yang hadir.

Pada hari kedua sehingga tengahari ahad, setiap NGO memikir, menyedia dan membentangkan program mereka sebelum diperincikan satu persatu, dibincang dan dibahaskan kesesuaian (brainstroming), penyelarasan dan sebagainya.

Antara yang paling bersemangat sudah tentu saudara Abu Bakar Ongkosing Presiden SAHABAT yang membentang 22 projek mereka dengan jumlah kos sebanyak RM10 juta.

Mudah-mudahan RM12 ribu yang dibelanjakan oleh urusetia JAKIM sepanjang bengkel ini menatijahkan sesuatu yang baik. Sebagaimana kata Ust Shamsuri, projek dan program cadangan NGO akan diangkat ke pihak atasan untuk kelulusan bajet.

Perwakilan Muslimat daripada pelbagai NGO

Zikri (ABIM) dan Ust Firdaus (SAHABAT)

Ust Aziz Mohamad (Pengarah JAKIM) dan di sebelah beliau Hj Sainuri Yamin (Pengerusi CONCERN)

Abu Bakar (SAHABAT) dan Dr Ali (PUM)

Perwakilan CONCERN mendengar taklimat Pengarah JAKIM Sabah

Sdr Abu Bakar Ongkosing membentang projek / program SAHABAT bagi 2010

Sesi ‘pecah otak’ demi dakwah Islam

Perbahasan demi perbahasan..

Hari sabtu, saya ada 5 undangan ke majlis yang berkaitan dengan sambutan Idul Adha. Masanya pula hampir serentak. Mana mungkin saya dapat memenuhi kesemuanya.

Pertubuhan Kebajikan Saudara Kita (SAHABAT) buat Majlis Sambutan Idul Adha di markas  mereka di Jalan Kurol Melangi Kg Likas. Timbalan Presidennya, Kak Selly sudah menempah saya sejak 3 minggu lalu untuk mengisi slot tazkirah.

Oleh kerana ketika itu ruang kosong ada, saya menerima. Beberapa hari sebelum raya, barulah saya menerima undangan lain, khususnya memeriahkan majlis penyembelihan ibadah qurban.

Sekitar 9.30 pagi majlis bermula.

Takbir raya dan bernasyid beramai-ramai, selain ucapan-ucapan tetamu. Ada Ustazah Fatimah dari JAKIM Sabah dan Ustazah Hjh Zaloha (KPP Dakwah JHEAINS). 

Majlis juga diserikan dengan penyampaian sijil penghargaan kepada para penyumbang, sukarelawan, tenaga pengajar serta exco SAHABAT. Tazkirah ringkas saya pula mengambil slot terakhir.

Dalam tempoh hampir 30 minit di hadapan lebih 100 yang hadir, antara yang saya petik ialah berkaitan 4 perkara yang dibimbangi missionary kristian. Hal ini saya petik daripada sebuah buku yang saya beli ketika di Mesir dan ditulis oleh seorang mahasiswa al-Azhar.

Catatan itu tidak menamakan secara terperinci missionary yang dimaksudkan, tetapi menyatakan 4 perkara yang dibimbangi mereka ialah al-Quran, Universiti al-Azhar, himpunan Jumaat dan himpunan ibadah haji.

Jam 11.15 pagi, setelah menjamah sedikit jamuan, saya beredar untuk ke majlis berikutnya. Saya meninggalkan mereka yang akan meneruskan majlis penyembelihan.

Tahniah untuk Presiden Abu Bakar Ongkosing, bersama jenteranya yang dapat mengendalikan majlis dengan baik dan lancar.

“Ustaz, nanti ada daging untuk ustaz”. Demikian mereka memberi pesan.

“NABI DAPAT DISKAUN..”

IMG_5969

Masa Nabi turun naik mi’raj itu, Nabi dapat diskaun daripada Allah. Sembahyang diwajibkan 5 kali sehari..”

Saya tersenyum mendengar ungkapan yang dilafazkan oleh saudara Abu Bakar, Presiden Pertubuhan Kebajikan Saudara Kita Kota Kinabalu (SAHABAT) ketika beliau sendiri menyertai pertandingan pidato semalam.

Semalam, SAHABAT mengadakan sambutan Isra’ & Mi’raj di bangunan Madrasah Islamiah, Sembulan yang juga lokasi mingguan kelas Teratak Fitrah diadakan saban sabtu.

Terdapat 6 peserta pidato dengan Abu Bakar sebagai wakil tunggal lelaki manakala 3 peserta pertandingan azan. Yang hebatnya, beliau sendiri bertindak sebagai pengerusi majlis mempersilakan dirinya sendiri sebagai peserta pidato di hadapan 140 audien kalangan saudara kita.

Saya kurang maklum siapa yang menang, kerana terpaksa meninggalkan majlis berkenaan sejurus Ust Awwaluddin memulakan ceramah Isra’ & Mi’raj kerana jam 2 petang saya punya ceramah pula di Kota Belud.

IMG_5958

IMG_5965

IMG_5970

IMG_5971

IMG_5977

Malam tadi, saya berada di Rumah Kebajikan Teratak Fitrah yang menjadi markas bagi Pertubuhan Kebajikan Saudara Kita Kota Kinabalu (SAHABAT).

Ada majlis pengislaman dua individu. Seorang perempuan dan seorang lelaki.

Baitah baru berumur 20 tahun dan berasal dari Tenom. Sementara Harry pula dari Keningau berumur 22 tahun dan kini  bekerja di Luyang.

Majlis dimulakan dengan sesi penerangan oleh Ustazah Hajjah Mariah Hasibuan dari Bahagian Dakwah JHEAINS yang sememangnya banyak bertanggungjawab soal muallaf ini di pihak jabatan.

Perkara paling asas diterangkan kepada mereka berdua ialah bahawa mereka tidak dipaksa untuk memeluk Islam. Ustazah sempat menceritakan, terdapat mereka yang memeluk Islam di JHEAINS, kemudiannya datang semula untuk keluar Islam dengan pelbagai dalih dan alasan.

Kepada Baitah dan Harry, berulang kali ustazah mengingatkan bahawa mereka tidak dipaksa, dan disuruh berfikir sehabisnya. Alhamdulillah, kedua-dua mereka tetap bertegas dan konsisten dengan keputusan untuk menganut Islam.

Baitah memeluk Islam di tangan Ustazah Mariah, sementara saya pula mengislamkan Harry. Semoga mereka istiqamah dengan Islam.

Malangnya, majlis bersejarah ini saya tidak dapat berkongsi gambar kerana tidak membawa kamera yang sedia tinggal di rumah seharian.

%d bloggers like this: