Tag Archive: Sadong Jaya


Satu lagi pengalaman manis.

Kali ini sebuah restoran pula mengundang untuk mengisi slot tazkirah di premis mereka sempena mengingati keputeraan junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Restoran Tokmi Station di Sadong Jaya Karamunsing – blok belakang Hotel Epal – milik keluarga sahabat / senior sekolah Aminuddin Abd Rahman menjemput saya melalui facebook seminggu sebelum majlis berlangsung.

Ia satu pengalaman berharga kerana pertama kali bertazkirah di perkarangan sebuah restoran yang dihadiri oleh tetamu-tetamu undangan mereka. Majlisnya ringkas sahaja. Majlis dimulakan dengan doa yang dipimpin oleh Ustaz Haji Arshad Hashim (pensyarah UiTM Sepanggar), kemudian ucapan di pihak penganjur, tazkirah selama 15 minit, persembahan kompang, solawat beramai-ramai dan diakhiri dengan jamuan.

Tazkirah ringkas saya sampaikan berkaitan dengan makan minum Rasulullah SAW, mengambil sempena majlis yang diadakan di sebuah restoran, mengingatkan kepada hadirin akan kehidupan Nabi SAW yang amat sederhana, selalu berpuasa, tidak sombong dengan cara dan menu makan minum baginda sekeluarga dan sebagainya. Saya bacakan juga beberapa hadith yang menunjukkan cara makan minum Nabi yang memperlihatkan sikap baginda yang menghargai rezeki yang dinikmati. Kitab Syamail Muhammadiyyah menjadi rujukan saya.

Saya kira restoran lain juga boleh mengambil pendekatan seumpama ini disamping itu mengundang anak-anak yatim atau fakir miskin menjamu selera secara percuma. Kalau selalu makan berbayar, maka sesekali buatlah makan-makan percuma pula. Bukankah menyantuni anak yatim dan fakir miskin serta memberi makan kepada orang lain termasuk dalam saranan Rasulullah SAW?

Oh ya, restoran ini dibuka setiap hari antara jam 6 pagi hingga 6 petang. Kata Amin, nanti apabila kawasan belakang bangunan – kerja-kerja mengindahkan sepanjang persisiran Sungai Sembulan siap, mereka mungkin akan membuka beberapa meja di sana. Tahniah kepada seluruh pengurusan Tokmi Station semoga menjadi contoh yang baik kepada restoran yang lain. Semoga berjaya.

Kali ini rakyat tempatan sudah banyak berubah.

Tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, abang teksi  berbangsa melayu yang menghantar saya ke lokasi yang ditetapkan meluahkan perasaannya sendiri dengan suasana politik di bumi kenyalang. Dia berterus terang kerajaan yang ada kini menghampakan rakyat Sarawak. Baginya, bukan soal lama atau sekejap memerintah tetapi sejauh mana mereka melaksanakan amanah atau menyeleweng daripada amanah yang diberikan rakyat.

Saya datang sebagai pelancong pilihanraya, khususnya melaksanakan aktiviti fotografi yang menjadi kegemaran saya yang semakin menjadi-jadi. Heh, apatah lagi kurang seminggu lalu model kamera saya sudah sudah bertukar kepada yang lebih baik. Ada pula seorang hamba Allah yang sudi membayarkan tiket penerbangan ke bandaraya meow ini. Abang teksi tadi turut menjelaskan kawasan-kawasan panas dan menyatakan ramalannya.

“Hanya dua : BN tumbang atau setidak-tidaknya mereka kehilangan majoriti dua pertiga”.

Sebenarnya, bacaan di media maya menurut kajian pelbagai pihak tidak banyak berubah daripada ramalan abang teksi. Ia barangkali sukar dipercayai bagi penonton setia tv1 dan tv3 sahaja. Jika mereka adalah orang yang terbuka dan berlapang dada, nescaya kajian itu ternyata berasas. Pakatan Rakyat boleh dikatakan menguasai bandar-bandar utama seperti Kuching, Sibu dan Miri dan semakin melebarkan pengaruh ke pinggir bandar dan kampung.

Hari ini saya dibawa seseorang ke Sadong Jaya, sejam dari Kuching. Pertembungan tiga penjuru antara BN, PAS dan Bebas. Ramai kawan-kawan bertanya, maka jawapan saya : Pertembungan sengit antara BN dan PAS. Jika tidak begitu masakan Presiden UMNO DS Najib datang ke DUN ini selasa lalu. Kami dikhabarkan, sementara BN hampir mengalah di bandar-bandar, mereka menumpukan perhatian di kawasan melayu seperti Sadong Jaya. Bahkan BN mengkategorikan Sadong Jaya sebagai kawasan kelabu.

Mengejutkan saya, kerja-kerja kempen PAS banyak dibantu oleh orang tempatan, tidak kira mereka anak-anak muda atau dewasa berumur 40 tahun keatas. Anak-anak muda tidak segan silu mengangkat bendera bulan hijau putih,  atau mengenakan baju t-shirt bercetak pelbagai ayat seperti undilah PAS, kamek mau ubah, dan sebagainya. Petugas juga terkejut dengan layanan mesra penduduk tempatan walaupun mereka adalah ahli parti BN-PBB, menerima kedatangan tetamu dan mendengar penjelasan perayu undi.

Namun kata perayu-perayu undi, apa pun situasinya kerja-kerja kempen akan terus berjalan hingga ke saat-saat akhir apatah lagi BN dijangka akan menggunakan senjata terakhir mereka bagi memikat para pengundi. Saya pula akan terus merakam foto-foto menarik untuk dikongsi bersama.

 

%d bloggers like this: