Tag Archive: Sabah


Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali Ke-53 akan diadakan di Dewan Saadah Wisma MUIS Kota Kinabalu pada 29 Jun hingga 3 Julai 2010 setiap malam mulai jam 8 hingga 11 malam.

Pada sebelah siang, diadakan pameran di tingkat 1 dan jualan di aras bawah Wisma MUIS. Pengunjung bertuah MTQ Kebangsaan ini berpeluang menerima hadiah istimewa, antaranya tiket menunaikan ibadah umrah.

Sila..

DUSUN BONGGI & ISLAM

Masyarakat Dusun Bonggi pernah terima syiar Islam 50 tahun lalu

Oleh Azrul Affandi Sobri

PAGAN adalah cara hidup atau pegangan masyarakat Dusun Bonggi sejak berabad lamanya. Hidup bebas tanpa pegangan agama itu sudah sebati di kalangan mereka yang menjadikan tempayan dan batu besar sebagai alat penyembahan atau tempat meminta pertolongan jika ditimpa bencana.

Namun, segala-galanya berubah apabila bekas tokoh utama Sabah, Allahyarham Tun Datu Mustapha Harun dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam menggerakkan kemasukan Islam ke Pulau Banggi dengan menyasarkan masyarakat Dusun Bonggi yang ketika itu masih begitu kuat dengan kepercayaan pagan.

Menurut ketua Kampung Limbuak Darat, Firdaus Abdullah, pada penghujung 1960-an, ketika Mustapha menjadi Ketua Menteri Sabah, sesi penyebaran Islam secara serius digerakkan di semua perkampungan etnik itu, bermula dengan sesi penerangan dan pengislaman beramai-ramai masyarakat Dusun Bonggi yang buat pertama kalinya diadakan di Sekolah Kebangsaan Limbuak Laut.

“Ketika itu, atas kata putus dan persetujuan beberapa ketua masyarakat Dusun Bonggi termasuk dari Limbuak Darat, Batu Layar, Mamang, Palak Darat dan Kalangkaman, ramai masyarakat memeluk Islam lantaran konsep keagamaan yang ditekankan dalam siri penerangan oleh Mustapha.

“Ketika itu, lebih 70 peratus masyarakat di Pulau Banggi memeluk Islam sekali gus menjadikan Islam agama utama di pulau terbesar di negara kita itu.

“Namun, segala-galanya berubah apabila pada awal 1980-an, sebahagian besar masyarakat Islam Dusun Bonggi memilih kembali kepada pegangan asal iaitu pagan dan ada pula yang menganut Kristian lantaran kurangnya dakwah untuk memperkukuhkan pegangan agama mereka,” katanya.

Katanya, alasan utama ialah jarak kerana bukan mudah untuk mencari pendakwah yang sanggup keluar masuk ke perkampungan mereka dan menjalankan aktiviti dakwah secara intensif.

Atas sebab kurangnya pendedahan agama, kebanyakan mereka merasakan tiada bezanya memeluk apa saja agama atau pegangan sekali gus menyebabkan ramai yang kembali murtad.

Kebanyakan masyarakat Dusun Bonggi yang tetap dengan Islam pula dikatakan kurang dalam aspek kefahaman serta pengetahuan agama yang menjadikan mereka hanya Islam pada nama.

Masih ramai golongan dewasa tidak tahu solat dengan sempurna dan kurang kanak-kanak Islam yang tahu mengaji. Senario itu menyebabkan Islam masyarakat Dusun Bonggi semakin goyah, tambahan pula dengan kemasukan pengaruh Kristian di Pulau Banggi.

Meskipun mereka Islam, kepercayaan kepada perkara tahyul dan menyesatkan tetap diteruskan. Masih ramai menjalankan aktiviti penyeruan kepada kuasa ghaib yang dikatakan mampu menyembuhkan penyakit. Upacara tarian Tamadak yang khusus untuk menyeru roh ghaib masih popular di kalangan masyarakat itu termasuk mereka yang Islam.

Firdaus berkata, tarian tradisi itu mula diamalkan masyarakat Dusun Bonggi sejak generasi kedua dan terus menjadi budaya rasmi masyarakat itu, malah sudah dipersembahkan untuk tontonan orang ramai.

“Mengikut kaedah sebenar, untuk memulakan tarian Tamadak, kami perlu menyediakan satu rumah khas dan tujuh bendera pelbagai warna.

“Tujuh genggam nasi pelbagai jenis dihantar ke beberapa objek yang dipercayai mempunyai kuasa seperti pokok atau batu puaka untuk dijadikan hidangan makhluk ghaib.

“Tarian ini akan diteruskan tujuh malam berturut-turut. Ia khusus untuk penyembuhan penyakit dan tidak boleh ditarikan sebarangan.

“Tidak boleh untuk dipersembahkan semasa perkahwinan atau apa saja tujuan. Apa yang kami pertontonkan kepada khalayak juga hanya sebahagian kecil daripada tarian ini.

“Tarian Tamadak asli hanya boleh ditarikan orang tertentu seperti bomoh atau mereka yang terpilih. Untuk dipersembahkan, sesiapa saja boleh menarikannya tetapi tidak boleh menunjukkan sesuatu yang asli,” katanya.

Tarian itu mempunyai pergerakan yang mudah. Penarinya kelihatan melangkah mengelilingi sesuatu dengan sedikit hentakan kaki sambil tangan memegang daun ubi kayu atau silabangun.

“Tarian mereka diiringi muzik dari tetogog (gong) dan alat ketukan kuntangan seperti cempuling. Turut digunakan, gendang, tin kosong yang dibalut dengan kain dan diketuk dengan kayu,” katanya.

Penari perempuan memakai banduong, sejenis baju tradisi seakan kebaya ringkas bersama sindaang iaitu sejenis kain batik berserta selampi (selendang yang diletak pada bahu kanan). Penari lelaki pula memakai sembit, kain yang diikat menjadi cawat.

Kebiasaannya, ia boleh ditarikan beramai-ramai apabila ada orang yang ‘begin’, iaitu dimasuki makhluk lain sehingga tidak sedar diri dan turut dalam tarian. Penarinya pula kebiasaannya berusia lebih 30 tahun.

Suatu ketika dulu, sebelum Pulau Banggi dibangunkan, ada beberapa lokasi utama yang dijadikan tempat penyembahan kepercayaan pagan dan kebanyakannya menggunakan tempayan besar sebagai alat perantara.

Tempayan itu bukan sebarangan dan tiada orang luar dibenar melihat atau mengunjungi kawasan itu dan ia kekal sehingga kini, meskipun tempayan berkenaan sudah dimusnahkan. Bagi mereka, kawasan itu mempunyai kuasanya tersendiri dan berpuaka.

Kini, kawasan itu yang berada di satu lokasi berbukit di pinggir Limbuak Darat masih dikawal ketat masyarakat Dusun Bonggi dan terhalang daripada pandangan.

Difahamkan, ada dua tempayan yang pernah menjadi alat utama penyembahan iaitu satu di Limbuak Darat dan satu lagi di Sabur.

Malah, meskipun Dusun Bonggi mempunyai beberapa perkampungan, satu sistem zon digunakan yang mengehadkan penduduk di luar sempadan mengunjungi kawasan tempayan yang bukan di bawah sempadannya.

Selepas kedua-dua tempayan itu dihapuskan kerana kemasukan Islam suatu ketika dulu, apa yang masih tinggal untuk dijadikan penyembahan masyarakat Dusun Bonggi ialah batu besar misteri yang ada di Mamang.

ALLAHYARHAM DATUK HJ SAID IBRAHIM

hjsaid3

Saya memetik dari blog http://www.nazrichik.com/ berkenaan tokoh ini.

Allahyarham pernah bertugas sebagai mufti negeri Sabah satu ketika dahulu. Seorang ulama’ yang masyhur, jujur serta meninggalkan banyak buku untuk generasi selepasnya.

Ust Nazri pula memetik artikel ini dari utusan, hasil tulisan pensyarah daripada UKM. Sementara saya tidak dapat mencari sumbernya secara terus di utusan online, hanya menemukan salinan di blog Ust Nazri Chik.

Semoga ada manfaatnya.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

ALLAHYARHAM Said Ibrahim adalah seorang mufti dan ulama yang telah memperlihatkan sumbangan yang besar dalam menegakkan syiar Islam di negara ini.

Rekod perkhidmatannya menampilkan ciri-ciri beliau sebagai seorang pemuka atau pemimpin agama yang giat membimbing dan memandu umat Islam dalam masalah-masalah agama mahupun masalah sehari-hari yang diperlukan baik dari sisi keagamaan ataupun sosial kemasyarakatan.

Sungguhpun telah hampir sedekad meninggal dunia, Haji Said Ibrahim masih diingati kerana dua sifat dan sikapnya, iaitu seorang mufti yang tegas dan ulama terbilang.

Ketegasannya amat ketara terutama apabila menetapkan sesuatu hukum, atau semasa menjawab apa juga persoalan dan kemusykilan yang dikemukakan kepadanya.

Beliau tidak ragu-ragu menyatakan pendapatnya sungguhpun apa yang dilafazkannya itu memang disedarinya tidak menyenangkan beberapa pihak.

Ulama kelahiran Kelantan pada 1923 ini kemudian mendapat pendidikan di Jambi, dan Tanah Suci Mekah. Jambi adalah tanah tumpah darah kedua-dua orang tuanya yang kemudian merantau hingga ke Kelantan.

Apabila orang tuanya kembali ke Jambi, Said mengambil peluang mengaji di pondok di Sumatera khususnya di Jambi. Dari Jambi Said belayar ke Mekah dan mengaji ilmu agama di Masjidil Haram.

Beliau kemudian memulakan kegiatan dakwahnya dengan mengajar di pondok di Kelantan sebelum merantau ke Singapura. Said bersama isteri dan anak sulungnya singgah di Lipis dan menjadi tukang jahit beberapa ketika di situ sementara menunggu tawaran bekerja di Singapura.

Di Singapura beliau mengajar di Madrasah al-Hidayah pada sekitar 1954-56 serta menjadi pegawai agama tentera British. Beliau sempat juga menjadi Yang Dipertua, Persatuan Guru-guru Agama Singapura (PERGAS) antara 1963-68. Banyak kegiatan yang dianjurkan oleh PERGAS sewaktu dipimpin oleh Said.

Dari Singapura Said terbang pula ke Brunei dan mengajar di Sekolah Menengah Arab di Brunei. Beliau turut terlibat dalam menyusun sukatan pelajaran untuk Maktab Perguruan Agama Brunei ketika itu.

Selepas berkhidmat tiga tahun di Brunei antara 1968-71, Said dilantik pula menjadi Pegawai Penerangan Agama di Sabah dan bergerak bersama-sama Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA).

Antara 1972-75 Said menjadi Imam Masjid Negara.

Kerana pengetahuannya yang luas dalam hal keagamaan dan hukum-hakam, Said kemudian dilantik pula menjadi Mufti Negeri Sabah antara 1975-78. Ketika itu Said berkhidmat di bawah pentadbiran Datuk Harris Salleh sebagai Ketua Menteri Sabah.

Dari Sabah beliau terbang dan kembali berkhidmat dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) sebagai Pakar Rujuk berkaitan syariat Islam. Kemudian semasa pentadbiran Datuk Pairin Kitingan, Said dilantik bagi kali kedua sebagai Mufti negeri Sabah antara 1985-89.

Haji Said sepanjang usianya berdakwah tidak langsung menunjukkan minatnya untuk terjun ke dalam arena politik.

Meskipun ada sahabat karibnya seperti Tok Jiring yang terjun ke dalam dunia politik dan berjaya mendapat kedudukan yang baik dan kemudiannya dikenang dan diabadikan namanya pada sebuah sekolah di Terengganu, Said langsung tidak pernah terlibat dengan bidang tersebut.

Walau bagaimanapun, apabila menyatakan pandangannya tentang hukum hudud beliau tidak pula menyembunyikan pandangannya yang agak kritikal adn berterus terang.

BERTERUS TERANG

Sebagai seorang mufti dan pakar rujuk kerajaan, ada ketika pendirian dan pandangannya yang berterus-terang itu menimbulkan polemik dalam kalangan pentadbir dan pemimpin politik dan ada juga yang tidak disenangi.

Kadang-kadang kenyataannya yang bersifat politik itu digunakan pula sebagai hujah oleh pihak pembangkang. Said sedar bahawa di pihak kerajaan juga terdapat kesedaran bagi melaksanakan hukum Allah dan kerana itulah beliau berkata benar.

Said juga insaf akan kedudukannya sebagai penjawat awam yang terikat dengan pelbagai peraturan.

Pendapat yang dikemukakan oleh Said dalam tulisan-tulisannya terutamanya tentang hukum hudud bukanlah semata-mata bermaksud menyebelahi pembangkang tetapi demi menegakkan kebenaran.

Oleh yang demikian pendirian Haji Said ini tidak sepatutnya dilihat sebagai bersikap anti establishment. Pendiriannya yang tidak popular ini lebih didorong oleh sikapnya yang sentiasa berpegang pada kebenaran.

Bagi Haji Said, apabila beliau mengkritik kerajaan bukanlah bermakna beliau menentang kerajaan. Tidak ada gunanya jika kita menjadi sokong yang membawa rebah. Memang dalam banyak keadaan kita mesti memilih untuk berubah, jika tidak, kita pasti akan rebah.

Tidak pernah sama sekali kita lihat arwah mengambil jalan tengah semata-mata mahu menyedapkan hati orang tertentu. Beliau menyatakan apa saja kebenaran meskipun pahit untuk ditelan. Demikianlah tegasnya Allahyarham Haji Said Ibrahim dalam menegakkan kebenaran.

Ketegasan Haji Said juga dapat kita lihat dalam beliau menjalani perancangan hidupnya.

Setiap kali apabila beliau sudah membuat keputusan, beliau akan menurut apa saja kata hatinya asalkan keputusannya itu diyakininya berada pada landasan syarak. Ketegasannya inilah yang telah menghantarnya jauh hingga ke Makkah meskipun beliau bukanlah datang dari keluarga yang berada.

Demikianlah juga apabila menetapkan hendak ke Singapura dan singgah di Kuala Lipis, beliau mengharunginya dengan yakin dan tabah.

Semasa menjadi imam Masjid Negara, beliau pernah memohon cuti untuk mengerjakan haji di Mekah tetapi permohonannya tidak diluluskan atas alasan pentadbiran.

Oleh sebab telah memutuskan hendak menunaikan haji sebaik mengetahui permohonannya ditolak dan ini dapat menahan niatnya ke tanah suci, maka, Haji Said terus mengutus surat meletakkan jawatan sebagai imam Masjid Negara.

Tidak ada apa yang dapat menghalang niat dan hajatnya kecuali kuasa Allah. Demikianlah ketegasan Said Ibrahim dalam meniti kehidupannya.

Beliau tidak pernah bimbang akan kehilangan pekerjaan kerana Said penuh yakin pintu rezekinya berada pada ketentuan Allah. Tuhan tidak akan melupakan hamba-Nya yang murah hati dengan ilmu.

Dengan sedikit sebanyak wang sagu hati yang berikan kepadanya apabila menyampaikan ceramah, wang hasil jualan buku dan honorariumnya menulis di akhbar dan majalah lebih dari cukup untuk beliau menyara hidup lapan orang anaknya dengan serba sederhana.

Sikap kedua yang kental pada Allahyarham Haji Said memang amat langka pada kebanyakan ulama ialah kebolehannya berbahasa Arab dengan fasih, iaitu salah satu bahasa utama di dunia.

Beliau juga memiliki pelbagai minat dan kebolehan selain menjadi mufti beliau juga terus menjadi pendakwah bukan sekadar menjalankan kerja pentadbiran di pejabat. Masanya yang cukup padat diisinya juga dengan menulis dan kemudian menjadi editor, melakukan penterjemahan dan juga menjadi penerbit.

Jiwanya mendesak Said agar tekun dan rajin menulis tanpa mempedulikan jadual kerjanya yang memang sudah ketat dengan kuliah, ceramah selain urusan pentadbiran di pejabat. Jika terlalu sibuk, Said menulis berdikit-dikit. Sehari sesuku, lama-lama menjadi buku.

Beliau menguasai ilmu mantik dan ilmu logik, ilmu fikah dan tauhid selain bukunya menunjukkan beliau juga memiliki kepakaran dalam ilmu perbankan.

Sepanjang hayatnya beliau telah menulis dan menerbitkan lebih dua puluh judul buku dan kitab. Pada hari ini memang boleh dibilang dengan jari seorang ulama yang memiliki kesemua kebolehan ini.

Dengan setiap kebolehan inilah yang menjadi ramuan lengkap menghasilkan resipi terbaik yang melengkapkan peribadi Allahyarham Haji Said Ibrahim muncul sebagai seorang ulama terbilang.

Dalam zaman yang serba moden ini, dengan segala kemudahan berkomunikasi dan jalinan pengangkutan yang serba pantas belum tentu setiap orang bersedia meninggalkan kampung halamannya bertahun-tahun untuk menuntut ilmu di tempat yang jauh.

Dengan kemudahan penulisan yang serba mudah berbantukan komputer, belum tentu dapat menjadikan semua orang penulis yang prolifik seperti Said Ibrahim.

TERBILANG

Kerana sifatnya yang terbilang itulah Said Ibrahim dihargai dan diberikan pengiktirafan.

Said yang hanya lulus daripada pondok pengajian di Jambi dan kemudian ke Mekah dianugerahkan sarjana kehormat Universiti Kebangsaan Malaysia, sesuatu yang tidak pernah diimpikannya.

Pada hujung perjalanan hidupnya beliau berdiri dengan rendah diri di hadapan para sarjana dan cendekiawan pengajian Islam dan pakar pelbagai bidang ilmu yang lain.

Pada 1991 Said Ibrahim dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah Wilayah Persekutuan.

Selain rumahnya yang sebuah di Gombak, Said Ibrahim tidak meninggalkan harta benda dan kekayaan dunia. Beliau meninggalkan anak-anaknya yang soleh.

Sedekah jariahnya yang kita ketahui adalah dalam bentuk bukunya yang dirompak lanun penerbitan. Karyanya disalin dan diulang cetak. Haji Said menghalalkan semua itu demi ilmu dan amalnya.

Ilmunya juga banyak sudah ditaburkan selama beliau hidup dan kebanyakannya ditulis dan diterbitkan. Itulah harta peninggalannya yang paling berharga.

Said Ibrahim berharap ilmu yang ditinggalkannya itu akan dimanfaatkan oleh umat Islam dan generasi akan datang selepas putus hubungannya dengan dunia yang serba fana ini.

Penulis : Roosfa Hashim, Universiti Kebangsaan Malaysia

%d bloggers like this: