Tag Archive: Rosli Abdul Jabar


Sumber : http://www.harakahdaily.net.my/index.php/kesatuan-fikrah/41465-pas-disindir-sejak-dahulu

USTAZ ROSLI ABD JABAR | 07 Jun 2016.

SETENANG AIR -SIRI 10

APABILA pimpinan dan ahli PAS menyebut bahawa perjuangan kita yang pertamanya ialah untuk mencari keredhaan Allah, PAS menjadi bahan perli setengah pihak sejak dari mula ditubuhkan sehingga kini. Sinis dan sangat sinis sepertinya mereka tidak mengharapkan keredhaan Allah didalam perjuangan mereka.

Dulu saya mendengar pemimpin Umno kata, orang PAS tak usah pakai kereta, tak usah lalu jalan raya sebab dia cuma nak redha Allah, Baru-baru ni dengar seorang pemimpin berceramah, saya masih menyimpan videonya, dia kata apa guna PAS bertanding pilihan raya kalau hanya mengharap redha Allah, lebih baik PAS duduk di masjid, berzikir dan baca Qur’an.

Teringat kata seorang guru saya masa di Pondok dulu, “kalau mu nak selamat, mu jangan bagi Allah marah kat mu, kalau mu buat bende yang Allah tak redha sampai bila-bila mu tak selamat dunia dan akhirat”. Dari pesanannya fahamlah saya bahawa nak dapat redha Allah mesti buat apa yang Allah redha bukan apa yang Allah benci.

Islam dah sempurna, tiada lagi yang diredhai Allah SWT kecuali Islam. Maka semua urusan kehidupan kita mesti berpandukan Islam kerana hanya dengan pada Islam itu ada redha-Nya.

Maka tanpa pedulikan sinis, PAS teruskan agenda perjuangannya dengan memelihara wadah dan dasar perjuangan agar tidak mendapat kemurkaan Allah meskipun dibenci dan tidak diredhai oleh sebahagian manusia.

Mana mungkin orang yang beriman tidak mahu keredhaan Allah SWT kerana tiket untuk ke syurga ialah “Raadiatan Mardhiyyah”, kamu redha kepada Allah dan Allah meredhai kamu.

Untuk mendapatkan keredhaan Allah, kita mesti redha dengan apa yang diperintahkan oleh Allah, meskipun berat dan ringan, bukan setakat kena perli, kena apapun yang lebih dari itu wajib kita utamakan keredhaan Allah, apalah sangat sinis dan perli tu, kalau nak dibandingkan dengan keredhaan Allah SWT.

PAS tetap dengan politik Islamnya, berjuang untuk menegakkan hukum yang akan memelihara maslahah manusia tanpa mengira bangsa, suku dan agama, tidak mungkin Islam yang diredhai oleh Allah akan menzalimi manusia. PAS tetap akan menjadikan Islam yang diredhai Allah sebagai dasarnya demi mendapat keredhaan-Nya.

Dunia boleh diperoleh dengan apa cara sekalipun, dengan cara baik atau jahat, tetapi kebaikan Akhirat hanya diperoleh dengan redha Allah semata, setelah manusia melaksanakan apa yang diredhai oleh Allah.

PAS tetap berjuang untuk menang, iaitu kemenangan yang diredhai bukan kemenangan yang dimurkai yang hanya akan menyebabkan bertambahnya kezaliman terhadap manusia. – HARAKAHDAILY 7/6/2016

Sumber : http://www.harakahdaily.net.my/index.php/kesatuan-fikrah/41353-pejuang-pas-dulu-dulu-macam-makhluk-asing

USTAZ ROSLI ABD JABAR | 29 Mei 2016.

SETENANG AIR – SIRI 8

BARA api jika terus digenggam pasti membakar tangan, ngeri dan sangat menyakitkan, jika tidak sanggup menahan kepanasannya, ia pasti akan dilepaskan. Begitulah gambarannya suasananya mereka yang berpegang dengan Islam diakhir zaman ini sebagaimana yang telah digambarkan oleh Rasulullah SAW.

Hanya mereka yang kuat, mampu terus menerus mengharungi cabaran perjuangan sehingga keakhir hayat. Saya menziarahi seorang otai, dia ahli PAS sejak tahun 1964, waktu saya masih belum lahir di muka bumi. Katanya “cabaran sentiasa bertambah mengikut zaman, semakin PAS kuat dan ramai ahli serta penyokongnya maka semakin pula kuat tribulasinya”.

Pada zamannya, PAS begitu asing dalam kalangan masyarakat, “orang seperti saya dianggap seperti makluk asing, apatah lagi di Negeri Pahang. Susah nak cari orang PAS, ada, tapi tak ramai. Kesedaran terlalu sedikit, doktrin barat telah berjaya membelah dua minda masyarakat Melayu pada masa itu, sehingga tegar kefahaman mereka bahawa agama dan politik adalah terpisah dan tiada kaitan lansung antara keduanya.

Sangat sukar untuk menghubungkan kembali saraf minda mereka agar menerima dan meyakini bahawa tiada suatu pun urusan dunia yang tidak bekait dengan akhirat dan tiada suatu pun urusan kehidupan kita yang tidak berkait dengan dosa dan pahala.

Siapa yang kaitkan politik dengan agama akan dianggap sebagai seorang saudagar agama, hanya seperti berniaga tanpa lesen yang bila-bila sahaja diangkut oleh penguatkuasa.

Media hanya milik kerajaan, tidak seperti sekarang. Masa-masa yang dilalui oleh ahli PAS dipenuhi dengan cabaran, Pahang bukan Negeri yang ramai para Ulama pada masa tu, tidak seperti Kelantan, Kedah, Terengganu dan lain-lain.

Kami sangat sedikit, dakwah dan penerangan sangat perlahan dan ruangnya sangat sempit, kami yang mengajak orang berpolitik dengan cara agama pada masa tu hanya dianggap golongan yang mengotorkan agama kerana dicampurkan dengan politik”.

Katanya, “ada juga yang bersama PAS bukan kerana Islam, ada juga yang asalnya sertai PAS bukan kerana Islam, tetapi apabila mendapat tarbiyyah, mereka sedar tujuan perjuangan mereka, namun yang masuk PAS kerana politik semata-mata kebanyakan menyertai BERJASA dan ikut pemimpin-pemimpin kesayangan mereka yang keluar dari PAS.” Katanya.

Kami bertukar cerita tentang cabaran perjuangan antara dua zaman, yang pasti cabaran terhadap perjuangan PAS semakin hebat, “Ustaz kena banyak bersabar, kerana dengan sabar itu kita dapat keampunan, rahmat dan juga petuntuk dari Allah”, sambil ia bacakan sepotong ayat al-Qur’an sebagai sandaran nasihatnya. Saya angguk. Dia senyum sambil pandang saya.

Dia kata “masa zaman pulau memulau dulu, kami lawan musuh secara berdepan, tapi sekarang ni nampaknya musuh ada dari segenap penjuru, dulu musuh menjauhi kami, tapi sekarang musuh PAS duduk disekeliling dan dekat, parahlah sikit, musuh yang dekat mudah sampai senjata dan penumbuknya kemuka kita, apatah lagi kalau dia ada kat tepi, depan, belakang, atas dan bawah, teruklah sikit kita dibelasah, dan penatlah kena bersilat,” katanya.

“Ustaz kena sabar, tiada satu keadaanpun yang menyebabkan kita dapat bertahan dengan ujian perjuangan melainkan apabila kita berbuat sesuatu itu kerana menuntut redha Allah dan tiada sesuatupun yang Allah redha melainkan kita berbuat sesuatu mengikut apa yang diperintahkan kepada kita, tiada suatu pun yang merupakan perintah Allah melainkan apa yang terkandung didalam Islam, maka genggamlah Islam tu, meskipun terbakar tangan,” nasihatnya.

Berkata-kata itu lebih mudah dari menahan derita, semoga aku tabah seperti dirinya. – HARAKAHDAILY 29/5/2016

Sumber : http://www.harakahdaily.net.my/index.php/kesatuan-fikrah/41322-kisah-guru-besar-kagum-pengorbanan-ahli-pas

USTAZ ROSLI ABD JABAR | 27 Mei 2016.

SETENANG AIR – SIRI 7

SEORANG guru besar, masa tu dia masih belum memeluk Islam, dia datang ke rumah saya, selama dua jam kami bersembang, dia banyak bertanya tentang PAS, namun dia nampaknya banyak membaca dan faham aspirasi PAS yang berada di medan politik Malaysia. Dia juga banyak tahu tentang parti lain terutama Umno.

Dia kata, dia banyak kali pergi dengar ceramah PAS, dah lebih 30 kali sejak 3 tahun lalu, ada juga masa, dia dengar khutbah jumaat dan kuliah sambil duduk di dalam kereta. Dia boleh bezakan jika sekiranya khatib yang berkhutbah itu adalah pendokong PAS atau tidak. Dia kenal hampir semua tokoh-tokoh ulama yang menjadi kepimpinan di dalam PAS terutama didalam negeri Pahang.

Satu perkara yang menjadikan dia teruja dengan PAS ialah semangat pengorbanan ahli PAS yang tiada pada parti lain. Soalan dia “mengapa ahli PAS sanggup keluar duit sendiri dan sanggup kerja untuk PAS walaupun tiada upah, saya banyak dengar tentang jihad, itu saya faham, katanya, cuma apa sebenarnya yang ada di dalam hati orang PAS sampai sanggup begitu?”

Saya menjawabnya “Ahli PAS tidak bekerja dan berhabis duit kerana dunia tetapi kerana Akhirat, kalau untuk dunia semata kami tak perlu berjuang di dalam PAS, lebih baik kami berjuang untuk cari duit, berniaga atau sebagainya, ataupun kami masuk je parti yang telah menang, tapi ahli PAS tetap juga berjuang walaupun kami berulangkali kalah.

Kami parti Islam, Islam adalah agama yang diturunkan oleh Allah dan kami diperintahkan oleh Allah untuk berjuang dijalan-Nya, kami diperintahkan untuk mengajak manusia kepada agama-Nya dan diperintah untuk mentadbir manusia dengan agama-Nya. Kami masuk politik bagi mencapai tujuan tersebut, kami bukan masuk politik saja suka-suka atau kerana nak kuasa semata-mata.

Kami ada matlamat perjuangan dan kami yakin perjuangan kami tidak sia-sia walaupun kalah atau kehabisan tenaga, masa dan harta. Sebab kami yakin semua pengorbanan kami untuk Islam, Allah akan berikan pahala dan akan mendapat balasan baik di Akhirat. Allah yang menciptakan langit, bumi dan sekelian yang ada antara keduanya, dialah juga yang menurunkan Islam untuk manusia.

Dialah yang menurunkan al-Qur’an sebagai tanzim atau sistem untuk manusia hidup baik dan sempurna di dunia dan akhirat. Kami yakin tiada sistem terbaik kecuali sistem yang diturunkan oleh Allah, sebagaimana kami yakin tiada penciptaan lain yang lebih baik dari penciptaan Allah, cikgu rasa ada tak manusia boleh ciptakan sesuatu yang lebih hebat dari ciptaan Allah sebagaimana langit, bumi, matahari dan apa yang kita lihat dialam ini? Dia senyum sambil gelengkan kepala.

Jika kita yakin tiada penciptaan terhebat melainkan ciptaan Allah, maka begitulah juga kami yakin tiada sistem yang paling hebat melainkan Islam yang diturunkan oleh Allah yang telah menciptakan alam ini, atas keyakinan itu kami berjuang dan sanggup berkorban meskipun tidak mendapat sebarang balasan dari pengorbanan kami.

Tetapi Allah janjikan balasan pahala dan kebaikan di Akhirat walaupun kami kalah dalam pilihan raya. Apa yang diperintahkan oleh Allah wajib dilaksanakan, kami tetap solat, walaupun kami tak dapat upah, begitu juga kami tetap berjuang walaupun masih belum diberikan kemenangan, kerana apa yang ada dalam hati orang PAS ialah “Kami berjuang bukan kerana lain, tetapi kerana ia adalah perintah dari Allah SWT.”

Dia kini telah memeluk Islam dan memilih Kelantan Darul Naim sebagai negeri untuk dia melafazkan Syahadah. – HARAKAHDAILY 27/5/2016

Sumber : http://www.harakahdaily.net.my/index.php/kesatuan-fikrah/41287-difitnah-kerana-ajak-manusia-kepada-islam

USTAZ ROSLI ABD JABAR | 24 Mei 2016.

SETENANG AIR – SIRI 6

HEBATNYA jiwa pejuang Islam begitulah ungkapan hati saya bila melihat ketegasan As-Syahid Sheikh Mariur Rahman Nizami pemimpin Jamiat Islami yang dihukum mati oleh kerajaan Bangladesh, diusia beliau 73 tahun, Allah anugerahkan kepadanya Syahid setelah sekian lama dia bersabar dan Istiqamah diatas perjuangan Islam.

Insan yang tua ini telahpun mengidap berbagai penyakit, tubuhnya juga begitu lemah, sama seperti As Syahid Sheikh Ahmad Yasin pemimpin HAMAS yang dibunuh dengan menggunakan helikopter Apache sehingga tubuh tua dan tidak bermaya itu hancur berkecai. Apakah yang mampu dilakukan oleh insan-insan tua tersebut, namun mereka sangat digeruni sehingga jalan untuk menghilangkan ketakutan mereka hanya dengan cara membunuhnya.

Pada usia awal remaja saya, negara kita dikejutkan dengan peristiwa Memali, As-Syahid Ustaz Ibrahim Libya dan rakan-rakannya dibunuh, orang kampung yang tidak ada apa-apa ini diserang dengan menggunakan senjata api dan turut dilengkapi dengan kereta perisai. Mereka ditembak tanpa kasihan belas, sepertinya mereka adalah golongan komunis ataupun pengganas.

Pada masa itu berdetik dalam hati, salah apakah mereka? Begitu juga apabila sembang politik dengan orang kampung saya pada zaman usia remaja saya, pelbagai tuduhan dan nista dilemparkan kepada orang PAS, walhal orang PAS yang saya kenali dikampung saya adalah mereka yang jernih mukanya, sentiasa solat berjamaah, rajin menuntut ilmu dan baik akhlaknya.

Masa berlalu mencambahkan kecerdikan dan kematangan berfikir, mencari dan terus mencari punca, bongkar segala bentuk cerita dari orang-orang yang lebih tahu dan intima saya di dalam PAS memahamkan saya betapa perjuangan Islam itu sentiasa berhadapan dengan musuh yang cuba memadamkan cahayanya, bukan setakat dengan mulut-mulut mereka malahan dengan apa jua kekuatan yang mereka ada.

Namun PAS adalah sebuah parti tarbiyyah, ahlinya sangat memahami tentang ini, ahli PAS sangat memahami bahawa PAS dibenci bukan kerana batang tubuh seorang manusia, tetapi kerana Islam yang menjadi dasar kepada perjuangan PAS. Tubuh As-Syahid Matiur Rahman Nizami dan As-Syahid Ahmad Yasin terlalu tua, namun beliau sangat digeruni bukan kerana batang tubuhnya tetapi kerana Islam yang menjadi perjuangannya.

Begitulah juga PAS, walaupun PAS bukannya parti memerintah, bukan juga parti yang berduit, bukan juga sebuah armada tentera yang memiliki kelengkapan senjata, namun musuh siang malam memfitnah untuk jauhkan manusia dari PAS, tidak lain dan tidak bukan kerana PAS adalah sebuah parti yang mengajak manusia kepada Islam bukan sahaja kepada amalan Fardiyyah malahan PAS turut berada di medan politik untuk menyertai pilihan raya.

Politik adalah medan dakwah berskala tinggi, ia sebuah medan pertempuran untuk merebut kuasa pemerintahan. Semakin besar ruangnya, semakin besar semakin besar pula mehnahnya. Pengamal politik adalah manusia tegar dengan pertembungan sama ada pemerintah atau pembangkang, siapapun akan tersingkir jika tidak memiliki ketegaran untuk berjuang dan pertahankan dasar atau ideologi perjuangannya, keyakinan terhadap apa yang diperjuangkan menjadi menjadi teras yang paling kukuh untuk berterusan sehingga mati atas dasar perjuangannya. – HARAKAHDAILY 24/5/2016

Sumber : http://www.harakahdaily.net.my/index.php/kesatuan-fikrah/41226-akhirnya-dia-tahu-kelebihan-markas-pas

SETENANG AIR -SIRI 5

AHLI PAS ada pelbagai kerjaya, latar belakang pendidikan dan tahap kemampuan. Dari yang miskin hingga kepada golongan jutawan, dari penoreh getah hingga kepada golongan korporat, dari golongan agama hingga golongan profesional, dari golongan pondok hingga golongan universiti malahan yang pernah merengkok dalam penjara pun ramai saya jumpai, mereka menyertai PAS setelah insaf dan bertaubat termasuklah juga golongan artis.

Golongan inilah yang membangunkan markaz PAS di merata-rata sehingga aset PAS seluruh negara mungkin mencecah berbilion ringgit. Memberi ikut kemampuan, malahan ada juga markaz yang saya temui kos pimbinaan markaz PAS yang bernilai hampir 400 ribu tersebut hanya didermakan oleh seorang sahaja. Dia memiliki banyak tanah peninggalan orang tuanya, lalu dijual dan duitnya diwakafkan untuk membina markaz PAS.

Ada juga markaz PAS yang dibina dengan penuh kesusahan, mengumpulkan dana sedikit demi sedikit mengikut kemampuan cawangan, kerja pembinaan pula dilakukan secara bergotong-royong, sedikit demi sedikit akhirnya siap.

Kini rasanya ratusan lagi markaz PAS yang masih belum siap dibina dan juga banyak cawangan dan kawasan sedang berkira-kira untuk membina markaz PAS baru, termasuklah di Pahang yang sekarang kami sedang membina Kompleks PAS Al-Makmur di Kerdau yang bernilai 6 juta ringgit yang telah pun 60 peratus siap dan kami masih memerlukan lagi 2 juta untuk siapkan kompleks kami.

Lima tahun lalu seorang kontraktor mula berjinak dengan PAS, dia memang banyak duit, sokong PAS setelah mula berjinak dengan masjid, pernah dia ingin mengikuti saya bermusafir selama tiga hari, masa tu baru berjinak dan tak masuk PAS lagi.

“Saya tak tahu pun yang selama ini markaz PAS dibina melalui duit derma ahli-ahli”, katanya, dia gambarkan bahawa PAS Pusat yang keluarkan belanja untuk cawangan dan kawasan membina markaz seperti pembinaan balai raya.

Saya kata “Bukan binaan markaz sahaja, malahan semua pergerakan parti termasuk belanja pilihan raya adalah sumbangan dari ahli dan penyokong.”

Dia menggelengkan kepala ‘teruja’.

“Banyak tu Ustaz, bukan sikit.”

Waktu saya singgah di pejabat agung seketika bersamanya, dia sekali lagi teruja melihat pejabat agung PAS di Jalan Raja Laut.

“Bangunan ni dibeli dengan sumbangan ahli dan penyokong PAS,” kata saya, tak terkata dia hanya sepatah kalimah ‘hebat’ katanya.

“Kalau derma kat Masjid tu, saya tak hairan lah Ustaz, tapi kalau orang PAS sanggup derma berjuta-juta untuk Markaz, itu yang pelik tu, apa istimewa Markaz PAS ni Ustaz, sampai begitu sekali sumbangan orang PAS”?, tanya dia. Saya terpaksa bercerita tentang pergerakkan Rasulullah SAW pada awal Islam ketika Nabi SAW dan sahabat berkumpul di rumah Arqam bin Abi Arqam, bagi menjelaskan tentang Islam dan strategi dakwah. “Itulah antara fungsi Markaz”, kata saya.

Markaz adalah bangunan kedua selepas Masjid bagi orang PAS, kehidupan sebahagian besar ahli PAS adalah adalah di Masjid dan Markaz. Di Masjid kita solat berjamaah, menuntut ilmu dan bermuamalat dengan masyarakat seluruhannya, di Markaz orang PAS berkumpul untuk bermesyuarat, berbincang soal strategi dakwah dan menuntut ilmu berkaitan perjuangan seperti Ijtima Tarbawi, Usrah, Liqa Fikri, ceramah dan bagai-bagai lagi.

Sekarang ni dia antara penyumbang besar di kawasannya, Pusat Tarbiyyah di kawasannya, dialah antara penyumbang terbesar. Sekarang dia faham fungsi Markaz PAS, insan kelahiran Markaz sangat hebat pengorbanannya untuk agama, Markaz PAS melahirkan ramai golongan tegar dalam berjuang untuk kemenangan PAS tanpa mengira masa dan keadaan, tak kira susah ataupun senang, tak kira sihat ataupun sakit.

Dia kini adalah penyumbang besar pembinaan Markaz kerana tarbiyyah yang diperolehi di Markaz PAS menjadikan ia meletakkan perjuangan Islam itu lebih berharga dari harta yang dia miliki.” Itulah hebatnya Markaz PAS ni”, kata saya.

Nak ukur kekuatan jamaah PAS di suatu tempat, lihatlah Markaznya dan nak tahu mengapa orang PAS sanggup berhabis harta kerana bina Markaz, jawapannya “Jom masuk PAS”. – HARAKAHDAILY 18/5/2016

Sumber : http://www.harakahdaily.net.my/index.php/kesatuan-fikrah/41180-kisah-markas-tarbiyah-macam-buaian

USTAZ ROSLI ABD JABAR | 13 Mei 2016.

SETENANG AIR – SIRI 4

MUNGKIN dah ratusan markas diseluruh pelosok negara saya berceramah, dari markas yang kecil hingga yang tersergam, yang mencecah puluhan ribu ringgit hingga kepada jutaan ringgit, ada bangunan markas yang disewa, beli dan dibina secara upah ataupun gotong-royong.

Begitu juga tanah yang dibina markas, ada yang dibeli dan ada juga yang diwakafkan kepada PAS. Dah tak terhitung banyaknya, rasanya dah berbilion ringgit duit dihabiskan untuk membina markas atau pusat tatbiyyah PAS di seluruh negara, malahan di cawangan pelosok kampung pun ada markas.

Pernah saya berusrah sekali disebuah markas yang sangat dhaif disebuah kampung terpencil, hanya boleh menaiki motorsikal di Kuala Lipis pada tahun 90-an. Dibuat dalam kebun getah seorang ahli, ahlinya hanya sekitar 25 orang termasuk muslimat. Semua ahli hanya kerja kampung sebahagian besarnya adalah penoreh getah. Bersyahadah saya apabila melangkah kaki menaiki tangga markas.

Mahunya tidak, bangunan markas kayu itu hanya bertiangkan kayu bulat, pokok hutan yang ditebang, dinding kayunya hanya baru sebahagian, atap zink buruk yang entah dari mana diperolehi dengan kekudanya juga dari kayu-kayu hutan. Bangunan markas itu menari-nari mengikut hayunan kaki saya walaupun saya ni bertubuh kecil, kurus kering pulak pada masa tu.

Sahabat di sana ketawa bila saya katakan ‘macam naik buaian’, ketua cawangan PAS kata ‘jangan bimbang Ustaz, kalau roboh, kita syahid bersama’, hihihi. Mereka bina secara gotong-royong, masa tu program lepas asar, tak boleh buat malam sebab tak ada elektrik. Yang duduk dalam markas sekitar 10 orang, muslimat semua duduk di bawah, bentang tikar atas tanah.

“Kami himpun getah 2 ‘pot’ seminggu setiap orang.” Masa tu harga getah sekitar 60 hingga 80 sen sekilo. “Yang takde getah bagi je apa sahaja. Yang bagi ikan sungai pun ada,” kata ketua cawangan. Markas itu dibina secara bergotong-royong dengan kos dalam 3 ribu ringgit, upah orang cari dan angkat kayu juga beli sedikit papan dinding dan atap yang tidak mencukupi dicampur dengan atap terpakai.

Panas berasap rasanya nak habiskan usrah sekitar satu jam setengah. Macam dok dalam “sauna”. Macam port kominis pun ada jugak, dok dalam kebun. Begitulah semangat ahli PAS dalam usaha membina markas atau pusat tarbiyyah harakiyyah ditempat masing-masing.

Betapa ahli PAS sanggup membina markas atau pusat tarbiyyah kerana mereka melihat kepentingan tarbiyyah sebagai nadi kepada jamaah.

Namun begitu, dari markas yang dhaif inilah lahirnya graduasi amilin ISTIQAMAH yang sanggup untuk berkorban apa sahaja demi perjuangan Islam. Tidak seindah universiti atau balai raya, namun kelahiran pusat tarbiyyah ini mampu membina ketamadunan dan pembangunan jiwa yang kental demi perjuangan untuk menegakkan agama Allah SWT melalui wadah PAS.

Esok saya sambung lagi cerita Markaz PAS, cuma nak bagitaunya, orang PAS sangat pentingkan tarbiyyah sebab itu bila adanya cawangan, maka pastinya akan ada markas yang menjadi pusat tarbiyyah dibina walaupun kecil, kalau kat bandar atau kawasan orang berduit tu, usah ceritalah, hingga ada markas yang dibina dengan kos jutaan ringgit. – HARAKAHDAILY 13/5/2016

Sumber : http://www.harakahdaily.net.my/index.php/kesatuan-fikrah/40785-kalau-mati-masa-ni-mak-tak-runsing

13 April 1966 – 13 april 2016, Meniti jambatan usia bersama kebingitan suara mak.

Membesar dengan situasi kemiskinan dan sebagai anak yatim seusia 4 tahun. Namun bahagia dalam pelukan dan didikan ibuku yang miskin harta tetapi kaya dengan kasih sayangnya.

Masa berlalu tanpa cita-cita, mengikut arus masa, mungkin masa itu tiada yang menyalur dan menghulur di hati untuk genggam cita-cita kecuali dari seorang ibu yang mahunya hanya anaknya menjadi soleh.

Ingat lagi pesan Mak, “Mak tak kisah anak mak kerja apapun, asalkan halal, yang penting anak mak tak tinggal sembahyang, pandai baca al-Qur’an dan berdoa untuk ayah dalam kubur dan untuk mak bila mati.

Cita-cita begitu tiada value ekonomi, tapi itulah cita-cita mak saya, seorang ibu miskin yang sedaya upaya membesar saya dan adik-beradik, ketika meninggalnya ayah semuanya masih bersekolah dan kecil-kecil lagi.

Tak pernah jemu kejutkan saya untuk solat dan nasihatkan saya supaya jangan tinggal solat, tapi masa remaja, nasihat itu bingit bunyinya, selalunya saya menutup telinga. Tapi yang bingit itulah juga siang malam dilagukannya.

Tapi akhirnya yang bingit itulah juga yang meresap dijiwa, suara bingit itu akhirnya mampu mengalahkan semua suara-suara lain. Yang bingit itu rupanya menjadikan saya mengangkat kaki menjauhi kebingitan itu.

Dengan iringan kebingitan itu saya mencari tempat untuk memenuhi cita-cita mak supaya jadi anak yang soleh. Mungkin tidak sesempurna harapan mak, tapi cukuplah untuk dia tersenyum memandang saya, tak lah seperti saya yang dulu, hanya menyebabkan panadol dikedai berhampiran semakin laku.

Kini tiada lagi suara bingit, tiada lagi sebab untuk dia membingitkan saya, dia pun dah semakin lemah, suaranya sangat perlahan, lusuh tubuhnya.

Saya bagitau dia “Hari ini hari jadi saya ke-50”,

“Alhamdulillah awak hidup lagi,” katanya.

“Mak suka saya mati ke?” tanya saya.

“Kalau awak mati masa ni, mak tak runsing sangat, tapi kalau awak mati masa belasan tahun dulu”, mmmmm sambil dia geleng kepala. Saya senyum jer, tahu sangat dah jawapan dia.

Sekarang saya faham rupanya cita-cita dia lebih hebat dan jauh ke hadapan, dia faham bahawa ‘dunia akan mengiringi akhirat, tetapi akhirat tidak mengiringi dunia’, bingitannya suruh saya mencari akhirat supaya saya juga akan memiliki dunia.

Umur saya dah 50 tahun, cita-cita mak nak tengok saya solat, solat, solat, Insya-Allah saya kerjakan, terserahlah pada Allah SWT untuk menilainya,saya lakukan dengan kadar mampu dan kadar ilmu sedikit ini.

Cita-cita saya sahaja belum tercapai iaitu:
1. Nak mati syahid
2. Nak tengok hukum Allah tertegak di Malaysia.
3. Nak tengok Ma’had Tahfiz Darul Fikri menjadi sekurang-kurangnya sebuah kolej universiti.

Yang akhirnya moga semua cita-cita saya tercapai walaupun usia kehidupan dah tak panjang.

Kini saya pula yang membingitkan telinga anak-anak, padan muka dia, biar dia rasa apa yang aku rasakan. “Pedih tapi bahagia”. – HARAKAHDAILY 13/4/2016

BANDUAN ISTIQAMAH

Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/40462-kisah-banduan-akhirnya-istiqamah

USTAZ ROSLI ABD JABAR | 21 Mac 2016.

DAH lama sangat tak mencoret, hari ni saya belanja sebuah coretan.

Jumpa seorang jamaah masjid, selepas kuliah bersembang seketika dengannya, dia ajk masjid. Kami bersembang agak panjang, walaupun baru tu je kenal, seperti dia tak puas-puas nak bercerita tentang dirinya.

Oleh sebab saya ada program lain, dia ajak saya berjumpa minum pagi keesokannya. Saya memenuhi permintaannya, lelaki seusia saya, namun dia nampak lebih tua mungkin kerana cara pemakaiannya dan jambangnya yang agak terbiar.

“Ustaz boleh tulis kisah saya ni”, katanya, saya kata, saya dah lama tak menulis, agak sibuk dan tak sempat nak menulis walaupun banyak kisah-kisah manusia di sekeliling saya yang boleh saya tulis untuk ambil pengajaran, namun bila dengar ceritanya saya gagahi untuk coretkan sedikit kisahnya untuk dijadikan iktibar kita bersama.

Dia anak lelaki tunggal, ayahnya hanya kerja kampung dan dah meninggal. Dia anak yang liar dan sering memeningkan kepala ayah dan ibunya. Masa umur 14 tahun dia dah mula mencuri, umur 16 tahun dia dah berhenti sekolah, ayah dan maknya dah tak larat nak memujuk dia untuk bersekolah.

Ayahnya seorang yang sangat lembut dan tak pernah putus asa menasihatinya. Pelbagai usaha dilakukan oleh ayahnya supaya dia jadi anak yang baik. Ayahnya sanggup lakukan apa sahaja untuknya. Dia mula sebak bila bercerita kisah ayahnya yang sangat baik.

Dia pernah tipu ayahnya, nakkan modal konon nak berniaga, ayahnya berusaha untuk dapatkan 2 ribu ringgit, kumpul dan sanggup berhutang, tapi dia guna buat berjudi, tapi ayahnya tetap berlembut dan menasihati dia. Bukan sekali dua tapi banyak kali dia perdaya ayahnya untuk dapatkan duit, namun ayahnya tetap juga tidak membencinya, “kalau marah pun seminggu jer Ustaz, pastu dia pujuk saya semula”.

“Dua kali saya masuk penjara, saya mencuri dan pecah kedai orang”, katanya. Kesalahan pertama dia dipenjara 3 tahun dan kedua 5 tahun. Dua kakaknya pun tak larat nak menasihati dia, maknya pun dah tak mampu berkata apa-apa lagi. Namun ayahnya tak pernah putus asa berusaha agar dia berubah.

Ayah jual kebun untuk jamin dia ketika dilokap kali pertama, tiada lagi harta ayah, kebun tiada geran berapa sen lah sangat dapatnya. Dia dijatuhkan hukuman penjara 3 tahun. Hampir setiap bulan ayahnya datang ziarah dia dipenjara, bawa makanan.

“Bila hari raya dia dan mak serta kakak datang seawal pagi sambut raya bersama saya dipenjara”.

Dipenjarakan kali kedua selang dua tahun selepas bebas dari penjara kali pertama. “Masa ikat jamin saya kali kedua, saya tak tahu ayah ambil duit dari mana”. Masa dia dipenjara, ayahnya masih jugak seperti dulu tetap datang walaupun kali kedua dipenjara agak jauh dari tempat tinggalnya memerlukan 4 jam perjalanan.

Ayah tetap datang dengan bas, kadang-kadang berdua dengan mak, tapi biasanya dia seorang kerana jimatkan kos tambang bas, tapi makanan masakan ibunya tetap ada. Setahun sebelum keluar dari penjara, ayahnya meninggal “masa tu usia saya 35 tahun, ayah pula dah 60-an”, katanya. Ayahnya mengidap strok otak.

Bila ayahnya meninggal, tiada lagi sesiapa datang menziarahinya, maknya tak pandai dan takut nak naik bas seorang diri, kakak-kakaknya dah bersuami, agak sukar untuk datang, dalam tempoh setahun tu hanya sekali sahaja seorang kakaknya datang, itupun hari raya, “saya tak salahkan mereka, sebab mereka pun orang susah juga”.

“Mereka susahpun kerana saya, walaupun kakaknya pintar juga di sekolah, tapi keewangan sangat terhad, duit ayah habis kerana menampung kejahatan saya, kakak menjadi korban, tak dapat belajar”, ceritanya. Hatinya mula terasa penyesalan bila ayahnya meninggal, apatah lagi bila tiada lagi orang datang menziarahinya, dia mula rasa bahawa tiada orang yang menyayanginya kecuali ayahnya.

“Lebih kurang sebulan sebelum keluar, saya rasa sebak sangat dan tak sabar nak balik, nak tengok basikal ayah, katil ayah, topi yang selalu ayah pakai dan semua yang selalu ayah guna, entah macamana perasaan saya begitu, saya rasa menyesal sangat hingga saya menangis je bila teringatkan ayah. Dia keluar penjara disambut oleh mak dan seorang kakaknya.

“Mak saya macam putus asa dengan saya, apa yang saya cakap, macam dia tak endah, saya tak salahkan dia, hati ibu mana yang tak kecewa, tapi tak kecil hati sebab semuanya salah saya”. Dia nekad untuk berubah, dia kerja kontrak dan berkebun sikit-sikit untuk mencari pendapatan menampung diri dan ibunya.

Selepas dua tahun perubahannya barulah kelihatan maknya yakin dengannya dan mula bersikap seperti ayahnya yang sentiasa menasihatinya, dia nekad mengumpul duit untuk menunaikan umrah bersama ibunya. Di usianya 40 tahun hajatnya tercapai untuk menunaikan Umrah bersama ibunya, tidak dapat dibayangkan betapa gembira ibunya, kerana tak menyangka anaknya yang sebegini mampu membawa ia keMekah.

“Anak saya dah 6 orang”, katanya, saya tanya dia bila dia kawin, dia kata masa umur dia 42 tahun, maknanya baru lapan tahun kawin, saya hairan jugak takkan usia perkahwinan begitu dapat anak dah 6 orang, “kembar ke?, tanya saya, dia ketawa tengok saya kehairanan “tak lah Ustaz, anak segera 4 orang, anak hasil usaha sendiri ada 2 orang”, katanya.

Saya ketawa bila dia kata “anak hasil usaha sendiri”, hahaha, dia pun ketawa jugak. Dia berkahwin dengan seorang guru janda anak 4, sekarang ni dia dah jadi kontraktor kelas F, “Alhamdulillah rezeki Allah bagi” katanya. Maknya meninggal 2 tahun lepas, “Alhamdulillah saya sempat minta maaf dengan mak dan sempat bawa dia gi umrah, cuma saya harap ayah maafkan saya”, katanya sebak.

“Tapi ada arwah mak bagi tahu, masa ayah belum kena strok dia bersembang dengan mak, ayah kata dia sayang semua anak-anaknya dan maafkan semuanya dan ayah juga pesan supaya minta maaf dengan anak-anaknya jika kesalahan dia mendidik menjadikan anak-anak jadi jahat”.

“Saya harap Allah ampunkan dosa saya, banyak sangat salah saya terutama dengan ayah”, katanya.

Begitulah kasih ayah, tak mungkin seorang ayah sanggup melihat anaknya menderita, walau susah macamna sekalipun dia tetap berusaha agar anak-anaknya dapat bebas dari kesusahan walaupun dia sendiri menderita. Penat lelah ayah hanya dihabiskan untuk menyara anak, sakit pening ayah adalah kerana berhempas pulas tenaganya untuk anak-anak, ayah tak bersusah payah mencari duit melainkan untuk anak-anaknya, begitulah pengorbanan seorang ayah.

Dia mula berjinak dengan aktif kesurau dan masjid sejak berkahwin, sebelum ni jarang-jarang je, banyak solat kat rumah je katanya. Isterinya sentiasa mendorong. Dia juga aktif sebagai bendahari PAS cawangan di kampungnya. Pagi tu dia pakai baju FASTAQIM, “saya nak pakai baju ni, biar Ustaz tahu bahawa saya ni istiqamah hingga kemenangan,” katanya. Dia masuk PAS sebelum gi umrah lagi.

Sejak dia bergaul dengan orang PAS, dia rajin belajar dan telahpun khatam al-Qur’an, “belajar ngaji dengan Ust …………….,”. Saya senyum bila dia sebut nama rakan seperjuangan saya. Lama jugak kami bertenggek di kedai kopi, matanya semakin jernih, mungkin air matanya tadi telah membersihkannya.

Dia bekalkan saya udang galah, “ni bawak balik”, siap dengan tong dan air batunya sekali, bolehlah bertahan untuk dua hari lagi permusafiran saya. Kami berpisah kerana saya perlu meneruskan perjalanan seawal mungkin kerana berceramah di lokasi yang agak jauh dari tempatnya, dari utara akan keselatan.

“Jalan baik-baik Ustaz.”

“Insya-Allah”, kata saya.

Sepanjang perjalanan saya selama hampir 13 jam, jarang-jarang perkara lain bermain di otak dan hati saya, melainkan kisahnya, seperti menonton filem yang banyak anugerahnya. Saya tak sempat membesar bersama ayah kerana menjadi anak yatim pada usia 4 tahun tapi dapat saya rasakan betapa besarnya pengorbanan seorang ayah. Dunia kita berada dalam hati seorang ayah. – HARAKAHDAILY 21/3/2016

Penulis ialah Pesuruh Jaya PAS Pahang dan Adun Tanjung Lumpur

AKU & PAS

Buku yang baru dibaca :

aku & pas

Penulis : YB Ustaz Rosli Abdul Jabar (ADUN Tg Lumpur Pahang)

Harga : RM20.00

Sebuah buku bersifat ‘travelog’ menceritakan tentang penglibatan Ustaz Rosli Abdul Jabar dengan Parti Islam SeMalaysia (PAS) sejak zaman remajanya sehingga Allah SWT memberikan nikmat kemenangan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Lumpur Pahang.

Catatan langsung daripada status facebook beliau yang kemudian dibukukan, suatu catatan santai dan mudah dihayati, bahkan dalam banyak keadaan membaca catatan beliau seperti membaca kisah diri sendiri. Buku yang sangat baik dibaca.

%d bloggers like this: