Tag Archive: Rohingya


Tarikh : 10 Disember 2016

Lokasi : Surau Riyadhus Solihin Taman Austral Kepayan

Penceramah : Tuan Haji Abdul Aziz Abu Bakar (MAPPIM)

Sumber : http://ulamasedunia.org/2016/11/26/myanmar-rohingya-dan-kepentingan-kuasa-asing/

Oleh: HARIS ZALKAPLI

Konflik di Myanmar melibatkan genosid etnik Rohingya mempunyai satu dimensi persaingan kuasa-kuasa besar, dan dasar luar Naypidaw yang lebih pragmatik dalam hal kepentingan politik dan ekonomi negara.

Dimensi ini menambah, dan pada masa sama menyumbang kepada halangan dalam menangani masalah negara itu, yang tidak berdepan tekanan kuat Asean melibatkan isu genosid, pada masa sama terus membina hubungan baik dengan kuasa-kuasa dunia.

Selama dua dekad sehingga 2011, Myanmar berstatus negara pariah di arena antarabangsa, ekoran dipinggirkan oleh Barat, terutama Amerika Syarikat yang menentang pemerintah junta tentera negara itu.

Sepanjang tempoh itu, China menjadi sekutu dan penaung Myanmar, memberi sokongan politik dan melabur berbilion dolar dalam pelbagai projek terutama melibatkan sumber asli.

Myanmar bergantung sepenuhnya pada China, yang kelihatan memberikan talian hayat kepada negara Asia Tenggara itu, dan pada masa sama menggunakan jumlah besar sumber-sumber alam Myanmar.

Walau bagaimanapun, pergantungan ini menghadkan potensi perkembangan ekonomi Myanmar yang mempunyai banyak kelebihan termasuk dari sudut kedudukan geografi dan sumber alam.

Pada masa sama, selepas dua dekad di bawah pengaruh China, Myanmar menyedari kelebihan dimilikinya, dan bergerak ke arah memulihkan status antarabangsanya.

Pada 2011, perubahan besar berlaku di Myanmar, selari dengan perubahan dilaksanakan pemerintah untuk menjadikan negara itu lebih demokratik dan memulihkan status di peringkat antarabangsa.

Pada September tahun itu, kerajaan Myanmar menghentikan projek mega empangan hidro elektrik Myitsone, projek bernilai AS$3.6 bilion yang menjadi simbol kuasa ekonomi dan geopolitik China di Myanmar.

Projek itu, di kawasan utara berdekatan sempadan China ialah satu daripada pelaburan-pelaburan besar China untuk memenuhi keperluan tenaganya yang terus meningkat.

Perkembangan itu menandakan satu perubahan besar dalam dasar luar baharu Myanmar, yang mula berubah daripada pemerintahan tentera kepada pemerintahan campuran awam dan tentera.

Tanda paling menarik perhatian berlaku pada hujung tahun 2011, apabila Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton mencatat sejarah melawat Myanmar, membincangkan perubahan-perubahan yang dirancang pemerintah Myanmar dan memulakan pemulihan hubungan Washington-Naypidaw.

Perubahan ke arah lebih demokratik itu menyaksikan Myanmar mula mengimbangi kedua-dua kuasa besar AS dan China, menunjukkan kesediaan Myanmar mengambil langkah drastik mengurangkan pergantungan pada China.

Tindakan Myanmar itu menjejaskan sedikit hubungan dengan China, tetapi kepentingan Myanmar kepada China mengawal keadaan daripada merosot lebih teruk.

Perkembangan sejak 2011 menjelaskan kepentingan Myanmar kepada AS dan negara-negara kuasa serantau, terutama China dan juga India.

Walaupun hubungan dengan China merosot, pengaruhnya di Myanmar masih kuat, dengan pelaburan dan pelbagai projek pembangunan yang telah dan akan dilaksanakan.

Beijing dilihat masih cuba menggerakkan semula projek empangan Myitsone, yang selain boleh menjadi sumber tenaga elektrik China, juga memberikan hasil pendapatan ratusan juta dolar AS kepada Myanmar setiap tahun.

Myanmar juga salah sebuah negara ahli pengasas Bank Pelaburan Infrastruktur Asia (AIIB), institusi yang menyokong projek mega merentasi Asia hingga ke Eropah yang sedang diusahakan oleh China, One Belt, One Road.

Kedudukan geografi Myanmar di antara China di sebelah timur laut dan Teluk Bengal dan Lautan Hindi menjadikan Myanmar satu laluan penting kepada China.

China setakat ini telah berjaya dalam kerjasama dengan Pakistan dengan satu projek utamanya, pelabuhan Gwadar di pesisir Laut Arab berhampiran Teluk Parsi telah mula beroperasi.

Kedudukan geografi kedua-dua Pakistan dan Myanmar mempunyai kepentingan bukan sahaja dari segi perdagangan tetapi juga keperluan ketenteraan kepada China.

China juga mengawasi India, jiran Myanmar di sebelah barat yang turut mempunyai kepentingan dan telah pun melabur berbilion dolar, tetapi jauh di belakang China.

Kedudukan geografi dan sumber ini menjadi satu faktor penting mendorong AS berusaha menghakis pengaruh China di Myanmar dan membina hubungan lebih baik dengannya, walaupun dilakukan secara berperingkat.

Hubungan rapat Aung San Suu Kyi, pemimpin Liga Demokrasi Kebangsaan dengan Hillary Clinton dan, dan dengan Presiden Barack Obama yang ditunjukkan melalui lawatan pemimpin Myanmar itu ke Washington pada September lalu memberi gambaran nilai hubungan Myanmar-AS.

Tetapi, pihak tentera yang berpengaruh masih mengekalkan hubungan baik dengan China, dan Suu Kyi sendiri menyedari keperluan menjaga hubungan dengan kedua-dua Beijing dan Washington, yang dikunjungi beberapa bulan lalu untuk mengukuhkan hubungan.

Beliau melawat kedua-dua Beijing dan Washington dalam satu tempoh yang singkat – pada Ogos (Beijing) dan September (Washington) – mengelakkan daripada persepsi mengabaikan mana-mana pihak, memberi gambaran kepentingan kedua-dua kuasa itu.

Hal ini menjelaskan kenapa tidak ada pihak yang bertindak tegas terhadap kekejaman dan genosid dilakukan pemerintah dan pelampau Buddha di negara itu terhadap etnik Rohingya.

Tidak ada kuasa berpengaruh yang mempunyai kepentingan untuk menangani tindakan kejam pemerintah Myanmar itu, yang kini sedang dalam fasa terbaru penghapusan etnik Rohingya.

Kuasa-kuasa terbabit tidak mahu menjejaskan hubungan dengan pemerintah Myanmar, yang kini melalui dasar luar barunya mempunyai kelebihan dalam menangani negara-negara berpengaruh termasuk AS dan China.

Asean yang tidak mahu terlibat dalam politik dalaman negara anggota turut menyebabkan keadaan menjadi semakin parah, ekoran tidak ada sebarang tindakan tegas negara-negara jiran.

Sumber : http://www.harakahdaily.net.my/index.php/presiden/43315-segera-sekat-kerakusan-myanmar-zalimi-etnik-minoriti-rohingya

Myanmar yang baharu hidup untuk menegakkan pemerintahan negara sedang mendirikannya dengan menggadai nyawa dan darah manusia tanpa hak. Tindakan membunuh, menyiksa jasad, mencabul maruah, mengusir dari kediaman dan enggan mengiktiraf kerakyatan penduduk asal, meletakkan pemerintahan Myanmar di luar batas ketamadunan.

Kelakuan jenayah, zalim, purba dan melampaui perikemanusiaan dilakukan ke atas etnik minoriti Muslim Rohingya di Arakan serta wilayah diduduki umat Islam di negara itu, tidak mungkin dapat disembunyikan dari pengetahuan dunia yang diliputi kecanggihan teknologi maklumat pantas lagi terkini.

Tanpa campur tangan badan dunia dari Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC), Asean dan lainnya, tidak mustahil Myanmar akan mengukir tragedi berdarah seperti pernah berlaku di Bosnia-Herzegovina. Bahkan, mungkin lebih buruk jika tidak ditangani penyelesaian segera.

Junta tentera Myanmar mesti menyedari, di sebalik kuasa senjata dan keganasan dilakukan, negara mereka sedang berjiran dengan negara-negara Asia Tenggara yang dihuni lebih 300 juta umat Islam, tidak termasuk 100 juta di benua India. Solidariti umat Islam sedang memandang serius operasi penghapusan etnik ini dan kesabaran itu ada batasnya, jangan hingga ianya tercabar.

PAS menggesa PBB, OIC, Asean dan semua pihak untuk mengambil langkah segera yang adil dan menyelamatkan kemanusiaan dan tamadun ini sendiri agar tidak meletus keadaan lebih parah hingga sukar dibendung. PAS juga menyeru seluruh umat Islam menggandakan munajat dan mengajak seluruh warga dunia mengutuk tindakan jahiliyah Myanmar.

“Inilah Penyelesaian Kita”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
23 Safar 1438 / 23 November 2016

Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/35880-menyantuni-rohingya-di-aceh

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | 11 Jun 2015.

Telah menjadi perbualan umum dan dokumentasi rasmi bahawa Aceh sebuah negeri yang dijadikan tuhan, kaya dengan hasil alamnya tetapi dikuras oleh kerajaan pusat tanpa membangunkan kembali Aceh seimbang dengan pulangan yang diperolehi Jakarta. Suasana dan realiti ini telah menjauhkan kepercayaan masyarakat Aceh terhadap Jakarta sehingga akhirnya telah melahirkan pertembungan berdarah di Aceh.

Kemerdekaan Indonesia yang dicapai pada tanggal 17 ogos 1945 dengan janji Soekarno yang berjaya meyakinkan tokoh-tokoh Aceh untuk bergabung dalam negara kesatuan Indonesia, antara lain menjanjikan pelaksanaan syariat Islam dan pembangunan Aceh. Ternyata janji ini tidak ditepati dan masyarakat Aceh mulai berprasangka terhadap kerajaan pusat terutama apabila ramai orang dari luar Aceh ditempatkan di pejabat-pejabat kerajaan di Aceh.

Tengku Daud Beureuh telah mengisytiharkan negara Islam Indonesia (NII) pada bulan September 1953 yang mengakibat krisis yang hebat sehingga pada 1957. Perlawanan ini berakhir dengan sekali lagi Aceh dipujuk dengan janji-janji manis iaitu boleh membangunkan sendiri autoriti agama dan pendidikan. Namun janji ini tetap tidak menjadi kenyataan.

Aceh dilantari dengan kemiskinan yang menyayat hati sedangkan buminya terkandung dengan emas hitam (mungkin berkat doa ulama silam). Semasa zaman regim Soeharto sebuah syarikat gergasi minyak Amerika iaitu Exxon Mobil telah dibawa masuk untuk membangunkan sektor carigali minyak di Arun, Lhokseumawe dengan kerjasama PERTAMINA. Aceh hanya menikmati hanya satu peratus daripada hasil minyak ini, bangsa Aceh hanya berputih mata melihat emas hitam diangkut keluar dari Aceh dan ini telah menambah pandangan serong terhadap Jakrta.

Gerakan Aceh merdeka telah diisytiharkan pada tahun 1976 dan telah menyebabkan Aceh medan pertempuran di antara ABRI (kini TNT) dengan GAM. Tidak sedikit darah yang tumpah di kedua-dua belah pihak ataupun kes-kes penculikan dan jenayah seksual yang berlaku. Semua ini memahat sejarah hitam bagi Indonesia terutama apabila operasi militer yang dilaksanakan secara agresif seperti operasi jaring merah sejak tahun 1989 sehingga 1998. Operasi ini telah menyebabkan Aceh digelar Daerah Operasi Militer’ ( DOM).
Acheh mencuat kembali namanya apabila berlaku tsunami pada 26 Disember 2004 ,dimana 161 000 nyawa telah terkorban. Penulis menjadi saksi mata bagaimana kesedihan warga Aceh pasca tsunami apabila terlibat dalam misi bantuan kemanusiaan. Aceh dibangunkan kembali daripada puing-puing runtuhan termasuk kesedaran Islam yang pernah memuliakan sejarah moyang mereka.

Pasca reformasi 1998 pula memberikan Aceh ruang yang besar untuk mewajahkan kembali mereka sebagai negeri “Serambi Mekah”. Mutakhir ini nama Acheh mula menggema ke seluruh belahan dunia apabila warga Aceh membantu menyelamatkan pelarian Rohingya yang terapung di Laut Andaman.

Nelayan Aceh Utara yang mencari rezeki di laut Andaman adalah wira yang tak didendang, mereka terserempak dengan manusia hanyut yang kelaparan. Manusia hanyut dengan wajah kusam serta terpampang kejerihan. Bot yang sendat seperti bergoncang dengan laungan memberi salam. Ada kanak-kanak yang menangis kelaparan, ada lelaki tua yang keuzuran, juga wanita sedang merayu.

Manusia hanyut itu telah berbulan menggodam nasib di laut Andaman, terusir dari tanah Arakan yang mereka diami daripada satu generasi ke satu generasi.

Penulis mengikuti misi kemanusiaan membantu pengungsi Rohingya bersama Muslim care, AFMY, IMBnet minggu ini, melihat dan menyantuni mereka daripada dekat. Tim seramai 17 orang dengan pelbagai kepakaran turun ke penempatan pengungsi kuala Langsa Aceh Utara. Hati terasa sebak melihat kegembiraan pelarian ini makan walaupun hanya nasi berlaukkan telur rebus. Kanak-kanak Rohingya seakan mendapat kegembiraan daripada kotak pandora. Puluhan NGO menyantuni pelarian ini termasuk dari United Kingdom. Penulis berkesempatan menemubual petugas UNHCR, beliau melahirkan kebimbangan nasib pelarian ini selepas tempoh tiga bulan kerana isu kemanusiaan hanya hangat seketika. Kebanyakan negara dalam dunia tidak mahu menerima pelarian politik atau pelarian ekonomi.

“Apa pun kita membantu mereka atas alasan manusiawi apatah lagi dengan akidah yang mereka anuti password kita ialah lafaz Assalamualaikum maka itu titik tolak mengapa kewajipan itu wajib dipikul,” tegas Pak Ardi, petugas UNHCR. – HARAKAHDAILY 11/6/2015

(Penulis adalah AJK PAS Pusat dan Ketua Penerangan Muslim Care yang mengikuti misi Bantuan ke Aceh)

Sumber : Web JAKIM

Dalam Islam nilai kemanusiaan telah digariskan di dalam beberapa perkara antaranya ialah, pertama; Islam memberi jaminan hak untuk semua manusia sebagaimana termaktub dalam Piagam Madinah. Kedua: Islam memelihara dan menghargai nyawa setiap manusia.  Agama Islam amat menghargai dan memelihara nyawa setiap manusia, kerana itulah melakukan pembunuhan terhadap seseorang tanpa hak dilarang dalam Islam. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 190 bermaksud :

Maksudnya: “Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) agama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu. Dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan) kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh.

Ketiga: Memelihara hak keamanan, kemerdekaan dan keadilan sejagat dan keempat: Islam memberi kebebasan beragama.

Sepanjang sejarah Islam tidak pernah wujud sebarang paksaan, kerana Islam berkembang melalui dakwah secara berhikmah. Tidak ada seorang pun dibunuh kerana keengganan memeluk Islam bahkan Islam tidak membenarkan unsur-unsur paksaan sepertimana yang didakwa oleh sesetengah pihak bahawa agama  Islam tersebar melalui peperangan dan pertumpahan darah.

Pada ketika ini negara kita dikejutkan dengan isu kemanusiaan antaranya pelarian Rohingya yang hanyut di lautan, mencari tempat perlindungan. Secara ringkasnya, mimbar ingin menyatakan bahawa rakyat Rohingya kebanyakannya adalah satu kumpulan etnik beragama Islam di utara negeri Rakhine yang terletak di barat Burma.

Sebagai umat Islam yang beriman, marilah sama-sama kita mengambil tanggungjawab dan perhatian kepada isu kemanusian ini, kerana mereka sebahagian dari umat manusia yang memerlukan pembelaan dan pertolongan dari kita semua. Ingatlah bahawa  ajaran Islam telah menetapkan bahawa aktiviti amar makruf (menyuruh melakukan kebaikan) adalah suatu tuntutan atau agenda tertinggi dan ianya melangkau sempadan negara dan bangsa.

Andaikata aktiviti amar makruf ini tidak dipedulikan, maka kita akan menyaksikan keperitan dan kesusahan hidup yang dialami ini akan berpanjangan. Hulurkanlah segala bantuan yang termampu samada dari segi fizikal atau pemikiran demi membebaskan segala permasalah yang dihadapinya agar dapat hidup sempurna, aman dan damai sebagaimana umat Islam yang lain.

Sumber : http://m.harakah.net.my/index.php/kesatuan-fikrah/35308-tangisan-pilu-muslim-rohingya-siapa-peduli

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | 08 Mei 2015.

Langit merah jingga menebar cahaya keperakan di gigi Pantai Burma yang bersebelahan dengan negara Bangladesh. Kelihatan pihak aparat keamanan Bangladesh mengawal ketat sempadan negara kerana bimbang ribuan pelarian muslim Arakan akan membolosi sempadan negara mereka. Tiada sebersit rasa kemanusiaan di hamparan relung hati tentera Bangladesh ini walaupun pelarian Arakan sebangsa dan seakidah dengan mereka, malah mereka juga tidak segan melepaskan tembakan kepada pengungsi Arakan yang kelaparan.

Muslim Arakan tak ubah seperti muslim Palestin yang hilang peta dan tanah, cuma berbeda dengan nasib ummat Palestin yang sentiasa dilimpah cahaya lensa, kesengsaraan Palestin menggema keseluruh belahan dunia. Bantahan awam sentiasa menjerkah rejim zionis dan “uncle Sam” , samada oleh NGO Islam atau bukan Islam. Bulan Mei pula, sambutan Nakbah Palestine terus menyubur kepedulian terhadap kejerihan Palestine. Arakan adalah Gaza di Asia yang berselimut kesakitan dan menebar aroma kematian.

Muslim Arakan hidup di tanah Burma sejak abad ketujuh dan pernah bernaung di bawah kerajaan Islam Moghul India, dengan identiti mereka sendiri.

Kerajaan Moghul mengamalkan pemerintahan yang adil untuk semua agama dan etnik. Ini menyebabkan Islam berkembang dan memaut nurani manusia kepada agama fitrah. Kejatuhan Empayar Islam Moghul di tangan empayar Pax Britannica , maka dengan perlahan-lahan nasib umat Islam di Burma memburuk.

Muslim dimusuhi sehingga terjadi pergeseran agama secara sistematik, sejak awal abad 20 nasib muslim Rohingya mula terumbang ambing.

Kumpulan Buddha adalah kelompok yang kuat menentang imperialisme Barat seperti Persatuan Buddha Burma, Persatuan Pemuda Buddha Burma dan sebagainya. Selepas Barat meninggalkan Burma, nasib muslim semakin parah, mereka dianggap orang asing, apatah lagi dengan perbedaan agama dan etnik.

Muslim Rohingya berkulit agak gelap kerana mereka berketurunan Benggali serta merupakan penganut Islam yang taat. Mereka dinafikan hak untuk mendapatkan pendidikan, memiliki perniagaan, memiliki senjata, bahkan hak sebagai manusia itu sendiri. Jutaan muslim Rohingya akhirnya cuba melarikan diri daripada Arakan, kerana mereka dibunuh, dibakar dan dirogol.

Ratusan ribu mengungsi di Coox Bazaar, Bangladesh dalam keadaan terpuruk dan sangat dhaif. Nasib mereka semakin buruk apabila rejim sekular Bangladesh menutup pintu sempadan. Misi bantuan kepada muslim Rohingya juga dihalang dan mengalami sekatan melampau. Antara NGO Malaysia yang aktif membantu muslim Rohingya ialah MAPIM, Muslim Care, Yayasan Amal, namun tak semudah membantu muslim di peta luka ummat yang lain seperti Gaza, Syria, Pakistan, Cambodia.

PBB dan OIC kurang mencaknai isu ini bahkan negara Asean sendiri seolah memekakkan telinga.

Konsep ZOPFAN (Zone of peace, freedom,and neautrality) seolah membunuh kepedulian ummah. Darah yang tumpah seolah darah kerbau yang tidak mempunyai nilai harga. Bahkan Malaysia tetap menghantar kontijen ke Sukan Sea di Burma sebelum ini tanpa merasa bersalah.

Pelarian Rohingya juga menjadi mangsa pemerdagangan manusia yang sangat dahsyat. Mereka dilayan seperti hamba, bahkan terkini kuburan massa dijumpai di sempadan Malaysia Thai.

Isu muslim Rohingya memerlukan komitmen seluruh umat Islam dan penguasa umat, tindakan bersepadu wajar diambil dengan segera terhadap rejim Burma. Pihak berkuasa Thailand juga wajib menyiasat sehingga ke akar umbi dalam isu pembunuhan di sempadan negara itu. Atas nama akidah yang satu, ayuh kita bangkit membantu dan bersuara. Rohingya, kami peduli!

Penulis ialah AJK PAS Pusat, Timbalan Pengerusi Lujnah Kebajikan Pusat.

%d bloggers like this: