Tag Archive: Riduan Mohd Nor


Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/35880-menyantuni-rohingya-di-aceh

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | 11 Jun 2015.

Telah menjadi perbualan umum dan dokumentasi rasmi bahawa Aceh sebuah negeri yang dijadikan tuhan, kaya dengan hasil alamnya tetapi dikuras oleh kerajaan pusat tanpa membangunkan kembali Aceh seimbang dengan pulangan yang diperolehi Jakarta. Suasana dan realiti ini telah menjauhkan kepercayaan masyarakat Aceh terhadap Jakarta sehingga akhirnya telah melahirkan pertembungan berdarah di Aceh.

Kemerdekaan Indonesia yang dicapai pada tanggal 17 ogos 1945 dengan janji Soekarno yang berjaya meyakinkan tokoh-tokoh Aceh untuk bergabung dalam negara kesatuan Indonesia, antara lain menjanjikan pelaksanaan syariat Islam dan pembangunan Aceh. Ternyata janji ini tidak ditepati dan masyarakat Aceh mulai berprasangka terhadap kerajaan pusat terutama apabila ramai orang dari luar Aceh ditempatkan di pejabat-pejabat kerajaan di Aceh.

Tengku Daud Beureuh telah mengisytiharkan negara Islam Indonesia (NII) pada bulan September 1953 yang mengakibat krisis yang hebat sehingga pada 1957. Perlawanan ini berakhir dengan sekali lagi Aceh dipujuk dengan janji-janji manis iaitu boleh membangunkan sendiri autoriti agama dan pendidikan. Namun janji ini tetap tidak menjadi kenyataan.

Aceh dilantari dengan kemiskinan yang menyayat hati sedangkan buminya terkandung dengan emas hitam (mungkin berkat doa ulama silam). Semasa zaman regim Soeharto sebuah syarikat gergasi minyak Amerika iaitu Exxon Mobil telah dibawa masuk untuk membangunkan sektor carigali minyak di Arun, Lhokseumawe dengan kerjasama PERTAMINA. Aceh hanya menikmati hanya satu peratus daripada hasil minyak ini, bangsa Aceh hanya berputih mata melihat emas hitam diangkut keluar dari Aceh dan ini telah menambah pandangan serong terhadap Jakrta.

Gerakan Aceh merdeka telah diisytiharkan pada tahun 1976 dan telah menyebabkan Aceh medan pertempuran di antara ABRI (kini TNT) dengan GAM. Tidak sedikit darah yang tumpah di kedua-dua belah pihak ataupun kes-kes penculikan dan jenayah seksual yang berlaku. Semua ini memahat sejarah hitam bagi Indonesia terutama apabila operasi militer yang dilaksanakan secara agresif seperti operasi jaring merah sejak tahun 1989 sehingga 1998. Operasi ini telah menyebabkan Aceh digelar Daerah Operasi Militer’ ( DOM).
Acheh mencuat kembali namanya apabila berlaku tsunami pada 26 Disember 2004 ,dimana 161 000 nyawa telah terkorban. Penulis menjadi saksi mata bagaimana kesedihan warga Aceh pasca tsunami apabila terlibat dalam misi bantuan kemanusiaan. Aceh dibangunkan kembali daripada puing-puing runtuhan termasuk kesedaran Islam yang pernah memuliakan sejarah moyang mereka.

Pasca reformasi 1998 pula memberikan Aceh ruang yang besar untuk mewajahkan kembali mereka sebagai negeri “Serambi Mekah”. Mutakhir ini nama Acheh mula menggema ke seluruh belahan dunia apabila warga Aceh membantu menyelamatkan pelarian Rohingya yang terapung di Laut Andaman.

Nelayan Aceh Utara yang mencari rezeki di laut Andaman adalah wira yang tak didendang, mereka terserempak dengan manusia hanyut yang kelaparan. Manusia hanyut dengan wajah kusam serta terpampang kejerihan. Bot yang sendat seperti bergoncang dengan laungan memberi salam. Ada kanak-kanak yang menangis kelaparan, ada lelaki tua yang keuzuran, juga wanita sedang merayu.

Manusia hanyut itu telah berbulan menggodam nasib di laut Andaman, terusir dari tanah Arakan yang mereka diami daripada satu generasi ke satu generasi.

Penulis mengikuti misi kemanusiaan membantu pengungsi Rohingya bersama Muslim care, AFMY, IMBnet minggu ini, melihat dan menyantuni mereka daripada dekat. Tim seramai 17 orang dengan pelbagai kepakaran turun ke penempatan pengungsi kuala Langsa Aceh Utara. Hati terasa sebak melihat kegembiraan pelarian ini makan walaupun hanya nasi berlaukkan telur rebus. Kanak-kanak Rohingya seakan mendapat kegembiraan daripada kotak pandora. Puluhan NGO menyantuni pelarian ini termasuk dari United Kingdom. Penulis berkesempatan menemubual petugas UNHCR, beliau melahirkan kebimbangan nasib pelarian ini selepas tempoh tiga bulan kerana isu kemanusiaan hanya hangat seketika. Kebanyakan negara dalam dunia tidak mahu menerima pelarian politik atau pelarian ekonomi.

“Apa pun kita membantu mereka atas alasan manusiawi apatah lagi dengan akidah yang mereka anuti password kita ialah lafaz Assalamualaikum maka itu titik tolak mengapa kewajipan itu wajib dipikul,” tegas Pak Ardi, petugas UNHCR. – HARAKAHDAILY 11/6/2015

(Penulis adalah AJK PAS Pusat dan Ketua Penerangan Muslim Care yang mengikuti misi Bantuan ke Aceh)

Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/35785-mengimbau-sejarah-perjuangan-pas-siri-5

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | 04 Jun 2015.

Dasar perjuangan PAS ialah untuk membebaskan Tanah Melayu daripada belenggu penjajahan British dan menegakan sebuah pemerintahan Islam berlandaskan al-Quran dan Hadis. Maka untuk mencapai matlamat itu, PAS telah berkerjasama dengan parti-parti yang lain di persekutuan Tanah Melayu untuk mendesak British hak pemerintahan sendiri dan merdeka. PAS telah menghantar tiga orang wakil iaitu Mohad Asri Hj. Muda, Tuan Haji Ahmad Tuan Hussien dan Ustaz Uthman Abdullah.

Dalam persidangan itu, PAS mempertahankan pendirian politiknya iaitu Persekutuan Tanah Melayu adalah milik bangsa Melayu. oleh kerana itu, PAS membawa usul bahawa apabila Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, kedudukan orang Melayu sebagai pemilik negeri ini yang asal dan sah tidak harus dilupakan. PAS telah meminta supaya bahasa Melayu dijadikan bahasa rasmi negara secepat mungkin sebagai penganti bahasa Inggeris. PAS juga mendesak supaya agama Islam diletakkan di tempat yang penting di Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka nanti. PAS juga tidak menyokong cadangan UMNO-MCA untuk menjadikan prinsip Jus Soli sebagai syarat kelayakan mengundi bagi orang-orang asing. Bagi PAS, orang-orang asing tidak mempunyai hak untuk mengundi kerana mereka bukan rakyat negara itu. PAS juga menolak cadangan perikatan UMNO-MCA yang mahukan suruhanjaya bebas dilantik untuk menggubal perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.

Sungguhpun berbeza pendapat berhubung dengan corak kemerdekaan Tanah Melayu yang bakal merdeka, PAS tidak mengkhianati atau menghalang usaha-usha parti perikatan parti tersebut sehubung dengan tuntutan kemerdekaan Prof. Dr. Zulkifli Muhamma, Timbalan Yang Dipertu Agung, pernah menegaskan bahawa:

“Salah besar hukumnya bagi orang Islam duduk di bawah penjajah asing oleh orang yang tidak seagama dengannya. Sebab itu umat Islam diwajibkan oleh Tuhan-nya memperjuangkan kemerdekaan bagi melepaskan dirinya dari ikatan penjajahan oleh orang-orang yang tidak sekeyakinan dengannya. Jadi nyatalah bahawa memperjuangkan kemerdekaan itu adalah kewajipan bagi umat Islam, dan bagi PAS sebagai parti politik Islam bukan sahaja merupakan kewajipan politik semata-mata tetapi lebih merupakan perintah agama, perintah Tuhan yang mesti dijunjung dan dilaksanakan.”

Musuh PAS beberapa dekad selepas merdeka telah memfitnah PAS sebagai parti penghalang kemerdekaan, sebuah parti yang tidak ingin kepada kemerdekaan dan dilahirkan oleh British. Sejarah pula menyaksikan ulamalah yang mengucur kernigat dalam memperjuangkan kemerdekaan.

PAS memberikan sokongan sepenuhnya terhadap rombongan Tunku Abdul Rahman, Yang Dipertua UMNO, ke London pada bulan September 1953 untuk.menyerahkan memorandum yang disusun oleh Jawatankuasa Persidangan Kebangsaan kepada kerajaan British bagi menuntut diadakan segera pilihan Raya di peringkat Persekutuan. Hasil desakan bersepadu daripada parti-parti politik itu, British bersetuju untuk mengadakan Pilihan Raya Persekutuan pada tahun 1955.

Pada bulan Ogos dan Oktober 1953, PAS menyertai persidangan kebangsaan tajaan perikatan UMNO-MCA bagi membahaskan cadangan untuk mendesak kerajaan British mengadakan Pilihan Raya Persekutuan 1954, iaitu sebagai langkah awal ke arah pemerintahan sendiri. Maknanya PAS melakukan apa sahaja bagi memastikan jalan kemerdekaan dapat diraih, pilihan raya yang pertama sangat penting bagi menyediakan rakyat Tanah Melayu untuk bekerajaan sendiri.

Persatuan Islam Se-Malaya (PAS) kemudiannya didaftarkan dengan Pandaftar Persatuan sebagai Pan-Malayan Islamic Party (PMIP) atau PAS (dua minggu) sebelum 31 Mei 1955 iaitu hari penamaan calon pilihan raya pertama Persekutuan Tanah Melayu yang telah berlangsung pada 27 Julai 1955. Nama Persatuan Islam Se-Malaya kemudiannya ditukar dalam persidangan pada 25-27 Disember 1971, ia ditukar sekali lagi menjadi Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan kekal hingga ke hari ini. – HARAKAHDAILY 4/6/2015

Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/35726-mengimbau-sejarah-perjuangan-pas-siri-4

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | 01 Jun 2015.

DALAM persidangan di Kepala Batas, Pulau Pinang pada tarikh 4 Januari 1953, parti itu telah menggariskan matlamat utama perjuangannya iaitu menegakkan sebuah negara yang merdeka berlandaskan ajaran Islam serta matlamat-matlamat lain seperti berikut.

1. Berusaha dengan kuat untuk memperkenalkan kepada rakyat jelata akan kemerdekaan yang tulen serta menanamkan ke dalam jiwa mereka semangat kemerdekaan itu sambil menunjukkan cara-cara mencapainya

2. Berusaha dengan kuat memperkenalkan demokrasi yang sejati dan menyatakan faedah kepada negara dan umat Islam serta berusaha menanamkan semangat demokrasi ke dalam jiwa masing-masing sambil menunjukkan cara-cara bagi mencapai demokrasi.

3. Mengatur dengan kemas cita-cita merdeka PAS dan menjalankan segala tanggungjawab yang berkaitan dengan Agama Islam.

4. Berikhtiar memperkenalkan diri PAS sebagai mewakili umat Islam Melayu kepada alam Islamiyyah dan badan-badan kebajikan Islam seluruh dunia serta membuat perhubungan dengannya sama ada dalam perkara kebajikan bagi Malaya khasnya dan dunia amnya.

5. Berkhtiar melaksanakan hukum-hukum Islam.

PAS pada awal penubuhannya telah bergiat cergas dalam bidang pendidikan Islam yang tertumpu di madrasah dan sekolah-sekolah agama.Tuan-tuan guru pondok sememangnya menjadi tarikan besar kepada orang Melayu untuk menyokong PAS, lantaran tuan guru adalah institusi penting dalam hierarki sosial masyarakat Melayu. Latar belakang darurat yang menyaksikan kekangan kepada aktiviti politik juga mencorakkan perjalanan awal PAS yang menjuruskan program parti kepada pendidikan

PAS semenjak ditubuhkan bergerak di atas landasan dakwah, mengajak masyarakat untuk hidup di atas jalan Islam yang syumul Melayu yang cintakan kepada Islam maka peranan PAS sebagai gerakan dakwah dicatatkan dalam perlembagaan PAS kemudiannya:

PAS diawal penubuhannya telah bergiat cergas dalam bidang pendidikan Islam yang tertumpu di madrasah dan sekolah-sekolah agama. Tuan-tuan guru pondok sememangnya menjadi tarikan besar kepada orang Melayu untuk menyokong PAS, lantaran tuan guru adalah institusi penting dalam hierarki sosial masyarakat Melayu. Latar belakang darurat yang meyaksikan kekangan kepada aktiviti politik juga mencorakkan perjalanan PAS yang menjuruskan program parti kepada pendidikan

PAS semenjak ditubuhkan bergerak di atas landasan dakwah, mengajak masyarakat untuk hidup di atas jalan Islam yang syumul. Dengan berkembangnya, PAS sebagai wadah perhimpunan orang Melayu yang cintakan kepada Islam maka peranan PAS sebagai gerakan dakwah dicatatkan dalam perlembagan PAS kemudiannya:

Fasa 6 – Perlembagaan PAS menyebut:
1. Menyeru umat kepada Syari’at Allah dan Sunnah Rasulnya melalui dakwah secara lisan, tulisan dan amalan.

2. Memperjuangkan Islam sebagai akidah dan syariat serta menjadikan sebagai panduan berpolitik dan bernegara serta memperkenalkan nilai-nilai keislaman dalam usaha menegakkan keadilan dan kemajuan di segenap bidang termasuk pemerintahan dan pentadbiran, ekonomi dan sosial serta pelajaran dan pendidikan.

3. Memupuk dan memperkukuh ukhuwah Islamiah dan meyuburkan rasa perpaduan di kalangan rakyat bagi memelihara kehidupan politik dan masyarakat yang sihat dan berkebajikan.

4. Mengajak dan mengalakkan badan-badan, pertubuhan-pertubuhan dan orang-orang perseorangan bagi mengenali dan memahami serta memperluaskan konsep dan pandangan hidup Islam.

5. Menyediakan rencana-rencana dan bertindak bagi memperbaiki susunan serta institusi masyarakat, bentuk politik dan keadilan ekonomi dan negara, untuk membela kepentingan umat Islam dan rakyat seluruhnya.

6. Menyertai dan berkerjasama dengan badan-badan, persatuan-persatuan, dan pertubuhan-pertubuhan yang tidak berlawanan tujuannya dengan PAS bila mana dan selama ia mustahak dan sesuai serta tidak bercanggah dengan undang-undang negara.

7. Mempertahankan Bahasa Malaysia sebagai bahasa resmi negara yang tunggal dalam amalannya di samping berusaha mengembangkan bahasa al-Quran.

8. Memperjuangkan wujudnya kebudayaan negara berasaskan nilai-nilai yang tidak bercanggah dengan ajaran-ajaran Islam.

9. Memperjuangkan hak dan kepentingan umat Islam di negara ini tanpa mengabaikan tanggungjawab melaksanakan keadilan terhadap seluruh umat rakyat Malaysia dan tanggungjawab mewujudkan kehormanian antara kaum di negara ini.

10. Menyertai dan bekerjasama dengan bangsa-bangsa bersatu dan badan-badan lain yang sah bagi mengekalkan keamanan dan menjamin hak-hak asasi manusia serta menhapuskan segala macam kezalimam, kepalsuan, perhamban, dan penindasan di kalangan umat manusia

11. Melakukan apa- apa jua usaha dan tindakan dalam batas-batas perlembagaan dan undang-undang negara bagi mencapai semua tujuan-tujuan PAS ke dalam dan ke luar.

PAS telah bergerak di atas kerangka dan matlamat untuk menyeru manusia kepada Islam dan parti ini mempunyai segudang pengalaman berhadapan dengan ujian di sepanjang jalan dakwah yang terhampar dengan mehnah. PAS juga semenjak penubuhannya di era kolonial telah berjuang untuk kemerdekaan tanahair. –HARAKAHDAILY 1/6/2015

Penulis adalah AJK Pas Pusat.

SIRI 3 : PENUBUHAN PAS

Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/35697-siri-3-penubuhan-pas

DR RIDUAN MOHD NOOR | 29 Mei 2015.

PAS yang ditubuhkan pada tahun 1951 telah menjadi pesaing baru kepada Umno selepas ketiadaan Hizbul Muslimin, terdapat beberapa faktor mengapa parti ini di tubuhkan.

Di antaranya ialah kerana tuntutan beragama itu sendiri yang mewajibkan perjuangan Islam digerakan secara kolektif dan tersusun rapi. Faktor berikutnya ialah kerana keinginan pucuk pemimpin Umno untuk mendapatkan sokongan daripada orang Melayu yang tinggal di kampung-kampung.

Umno menyedari bahawa alim ulama mempunyai pengaruh yang besar di kalangan orang Melayu yang beragama Islam manakala di kalangan pemimpin Umno pula berlaku keretakan di antara golongan yang menyokong Dato’ Onn bin Jaafar dan golongan menentangnya.

Keretakan yang berlaku dalam Umno ini turut mengheret pergeseran di kalangan ulama dalam Umno walaupun dalam skala yang kecil. Ada yang secara terang menyokong Dato’ Onn. Senario inilah menyebabkan ada di antara tokoh-tokoh ulama yang  mula berfikir bahawa golongan ulama patut memilih jalan sendiri dalam menentukan masa depan ummah dan agama di tanahairnya sendiri.

Dalam suasana inilah menjadi latar belakang kepada persidangan alim ulama yang ketiga di Butterworth yang telah melahirkan PAS yang kemudiannya menjadi pesaing utama kepada Umno untuk lebih separuh abad.

Walaupun terdapat kecenderungan di kalangan ulama yang hadir untuk memisahkan diri daripada anggapan bahawa kegiatan alim ulama daripada menjadi satelit Umno, tetapi pengaruh Umno kepada persidangan itu tidak dapat dielakkan. Ini kerana tenaga-tenaga penting persidangan adalah ‘orang kuat’ Umno seperti Haji Ahmad Badawi dan Haji Ahmad Maliki malah tempat persidangan itu berlangsung adalah tempat di mana aktiviti-altiviti Umno dijalankan.

Persidangan ini agak berbeza dengan persidangan ulama sebelumnya apabila turut terbuka kepada badan-badan Islam yang lain seperti Lembaga Pentadbiran Masjid-Masjid seperti Jamaah Masjid Telaga Ayer Butterworth, wakil Mahaad Al-Ehya As-Shariff dan Persatuan Ehya As-Shariff. Persidangan itu telah bersetuju dengan suara majoriti untuk meletakkan nama Persatuan Islam Se-Malaya sebagai nama bagi badan siasah yang hendak ditubuhkan itu atau ringkasannya PAS.(Baharuddin Latif 1994)

Selain membincangkan soal nama pertubuhan, perwakilan juga turut membahaskan rangka perlembagaan persatuan baru itu. Pada malam perwakilan telah memilih pemegang-pemegang jawatan.

Terdapat beberapa nama yang dicadangkan untuk jawatan Presiden parti tetapi, ramai yang telah menarik diri kecuali Tuan Haji Ahmad Fuad dan Sheikh Abdullah Fahim. Pemilihan Presiden telah dibuat dengan undian yang memberikan kelebihan kepada Haji Ahmad Fuad. Jawatan lain seperti Timbalan Presiden dijawat oleh Haji Mohamad Ghazali Abdullah, Naib Presiden oleh Haji Husain Che Dol, Faqeh Mohd Nor dan Abdul Rahman Jamaluddin.

Manakala Setiausaha Agung PAS yang pertama ialah Haji Ahmad Maliki dan jawatan Bendahari disandang oleh Haji Ahmad Tuan Husain. Senarai ahli-ahli jawatankuasa yang lain ialah Haji Yahya Junid dari Kedah, Haji Osman Talib dari Negeri Sembilan,Haji Mohamad Nor dari Kuala Lumpur, Haji Zabidi Ali daripada Pulau Pinang, Haji Abdul Wahab dari Kuala Lumpur, Haji As’iya dari Perak, Mohd Majzub dari Negeri Sembilan dan Haji Ahmad Badawi dari Seberang Perai. Parti ini juga telah memilih ucapan salam sebagai cogan kata parti yang melambangakan ikatan Islamiyyah di kalangan ahli-ahlinya. (Baharuddin Latif, 1994)

Kewujudan PAS telah menyediakan satu ruang kepada ahli-ahli Hizbul Muslimin untuk berpartisipasi dengannya, apatah lagi terdapat ramai daripada kalangan bekas pemimpin Hizbul Muslimin turut serta menganggotai parti tersebut seperti Khaidir Khatib, Othman Hamzah dan Baharuddin Latiff, Mohd Asri dan yang lain-lain. PAS dengan mudah menghimpunkan kekuatan di kalangan guru dan pelajar agama kerana jaringan yang telah terbina sebelumnya oleh MATA, LEPIR dan Hizbul Muslimin.

Juga jaringan pelajar dan guru-guru agama di sebelah Pantai Barat Semenanjung. Kejelasan perjuangan PAS menyebabkan inilah titik pesona terbesar mengapa agamawan memilih wadah ini sebagai bahtera mereka.

PAS semenjak awal lagi tumbuh dan berkembang di persekitaran sekolah agama, bahkan kerana pendukungnya adalah tokoh-tokoh pendidikan Islam, bahkan Pejabat Agung PAS yang pertama ialah Madrasah, Seberang Perai.

Ulama dan golongan agama di Tanah Melayu adalah inti sokongan utama kepada PAS, lantaran sistem nilai orang Melayu sejak zaman-berzaman meletakkan ulama dan agamawan di tempat yang tinggi.

Dalam rakaman sejarah awalnya PAS telah berkembang pesat di negeri Perak terutama di sebelah Perak Utara dan juga di Seberang Perai, Pulau Pinang, iaitu kawasan yang mempunyai rangkaian pusat-pusat pengajian Islam seperti madrasah dan sekolah pondok. Manakala, selepas itu PAS mula dikembangkan di Kelantan oleh Amaluddin Darus yang mula menubuhkan PAS cawangan Pasir Mas  (Amaluddin Darus:1976).

Seterusnya PAS mula berkembang subur di negeri itu dengan hasil kerja gigih Amaluddin yang berkempen menyebarkan pengaruh PAS. PAS akhirnya mendapat sokongan daripada kalangan guru-guru pondok yang mempunyai pengaruh yang besar di kalangan masyarakat negeri itu dan seterusnya dengan pantas berkembang dalam sendi masyarakat Kelantan. – HARAKAHDAILY 29/5/2015

Penulis adalah AJK PAS Pusat.

Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/35630-dr-mursi-dan-tugu-arca-kezaliman-rejim-kudeta

Ardhul Kinanah tak pernah gagal menyaksikan kezaliman demi kezaliman terhadap pejuang Islam, hembusan angin Sahara sekali lagi membawa khabar duka bumi Mesir.

Komplot rejim kudeta dengan tangan ghaib zionis telah memberangus harkat manusiawi tanpa sepicing rasa malu mereka kepada dunia bertamadun yang menyaksikan sistem keadilan Mesir tak ubah kandang kanggaru. Dr Mursi, Dr Muhamad Badie’, Sheikh Mehdi Akif dan seratus orang yang lain bakal dikenakan hukuman gantung dengan pendakwaan dan tuduhan palsu yang memualkan pencinta keadilan.

Jerkahlah sekuatnya kepada rejim tolol Fatah as-Sisi, namun mereka tetap tak peduli, seolah-olah tuli dan tanpa nurani serta memperalatkan kelompok agamawan rasmi untuk menjustifikasikan kezaliman mereka.

Isu Mesir yang berdarah, berkubang air mata, pembantaian sekaligus merupakan menifestasi Ahzab moden yang menunjukkan wajahnya yang hodoh dan pongah. Gejolak isu Mesir rasanya begitu hampir dengan nurani umat Islam di negara ini, paling kurang dalam tempoh semenjak satu abad yang lampau.

Pengaruh Mesir begitu membumi dan mempunyai keunikannya yang tersendiri terhadap rakyat negara ini, apatah lagi dengan sebahagian cendekiawan Islam ini mencicip ilmu di kota seribu menara itu.

Gelombang kebangkitan rakyat Mesir turut menyentuh perkembangan politik rakyat negara ini lebih seabad lampau, seawal abad ke-20, Mesir begitu sekali dekat dengan rakyat negara ini. Pelajar-pelajar Melayu yang pintar meraih ilmu di dada bumi ambia’ ini. Kepulangan mereka telah melakarkan landskap sosio politik bernuansa islami.

Semenjak sebelum merdeka simbahan semangat pan islamism yang digalang tokoh-tokoh pemikir seperti Syeikh Mohd Abduh, Syeikh Jamaluddin Al-Afghani. Syeikh Rashid Ridha turut menyentak perasaan orang Melayu yang terlalai dengan penjajahan barat, sekaligus mundur terpuruk segalanya.

Mesir juga menjadi tempat bermuara ilmu pelajar-pelajar Malaysia dan sebahagiannya muncul sebagai tokoh -tokoh agama di negara ini. Mereka mencetak sejarah watan, Syed Syeikh Al-Hadi, Syeikh Tahir Jalaluddin, Dr Zulkifli Mohamad, Datuk Yusof Zaki Yaakob dan ribuan tokoh cemerlang yang lain.

Mesir bukan sekadar diingati kerana firaun dan piramidnya, haman dan kebejatannya tetapi kerana getirnya Hassan Al-Banna berjuang mencerdaskan umat Islam.

Pembantaian dan kejerihan yang dialami oleh Ikhwanul Muslimin semenjak penubuhannya pada tahun 1928 di Ismailiah, Mesir.

Gerakan islam kontemporari ini terus menjadi model kepada gerakan Islam yang lain, malah perkembangannya sentiasa diintai dan dirasakan kehadiran. Ikhwanul Muslimin telah menyumbang kepada peradaban dunia islam abad moden dengan ratusan pemikir dan ideologinya terus mengalirkan kristal-kristal indah pemikiran dan kitab-kitab islami pelbagai tajuk.

Maka tidak pelik apabila berlakunya revolusi 2011, rakyat negara ini turut sama berkongsi kepedihan melihat kezaliman yang ditimpakan terhadap rakyat Mesir. Revolusi telah mengubah lanskap politik negara yang puluhan tahun secara sistematik memperbodohkan rakyat dan mengekang hak demokratik.

Perubahan politik baru Mesir juga telah memungkinkan Ikhwanul Muslimin menyerlahkan tampang mereka yang sebenarnya. FJP dan Dr Mursi akhirnya membawa aspirasi baru rakyat dan Mesir dalam tempoh dua tahun ini sentiasa menjadi tajuk utama berita antarabangsa.

Tanggal 3 Julai 2013 menyaksikan episod hitam yang mencacatkan sejarah Mesir. Rampasan kuasa tentera yang terancang rapi itu akhirnya mengheret tragedi kemanusiaan yang paling ngeri apabila enam ribu lebih telah gugur sebagai syuhada manakala puluhan ribu yang lain mendekam dalam penjara militer. Mesir terpancing dalam nafas dan gelora hitam, awan hitam menyerkup kemanusiaan dengan dengusan ngeri.

Tragedi ini juga telah menyingkap wajah sebenar kemunafikan rejim negara Teluk yang turut bersekongkol untuk memadamkan Ikhwanul Muslimin daripada peta umat Islam. Israel yang menjadi dalang untuk turut berpesta pora sehingga Gaza turut dihempap duka lagi dengan penutupan semula Rafah.

Hari ini dunia terpanar dengan hukuman gantung terhadap 100 orang lebih pimpinan dan aktivis Ikhwanul Muslimin.

Mesir seolah-olah memekakkan telinga dengan bantahan awam yang berlaku di pelbagai negara umat Islam, juga sikap diam membisu Amerika ‘polis antarabangsa; sangat menjengkelkan.

Hanya negara Turki yang berani menjerkah sistem keadilan Mesir dan juga kebobrokan rejim kudeta. Kerajaan Malaysia juga seolah-olah membiarkan kezaliman tetap menyerkap tanah Mesir.

Siapa lagi yang akan membela kebenaran ini wahai orang beriman? Diam adalah jenayah terbesar dalam bongkah jasad manusia. – HARAKAHDAILY 26/5/2015

Penulis ialah AJK PAS Pusat, AJK Lujnah Politik Pusat.

prof-dr-zulkifli-muhammad

Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/35574-dr-zulkifli-muhammad-lantera-perjuangan

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | 22 Mei 2015.

Tokoh besar PAS ini dilahirkan di Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar, Perak, negeri yang menyaksikan ramai tokoh-tokoh PAS dilahirkan. Dr Zulkifli lahir dalam keluarga yang paling mengambil berat pendidikan anak-anak, beliau mengambil pendidikan awal di kampungnya.

Kecerdasan serta bakat yang membumbui tokoh ini terserlah semenjak kecil lagi. Beliau pernah menghadiri peperiksaan khas bagi mengambil pelajar peringkat tinggi Mahaad Al-Ehya As-Shariff dan beliau satu-satunya calon yang lulus dalam ujian tersebut. Kecerdasan beliau menarik minat guru-guru di Mahaad Al-Ehya As-Shariff, Zulkifli tertonjol sebagai mutiara di kalangan pelajar.

Minatnya terhadap politik terserlah sejak remaja, beliau anti penjajah dan meminati tokoh-tokoh perjuangan anti penjajah dalam dan luar negara. Anak muda ini berbakat dalam bidang penulisan dan dunia kesusasteraan malah turut menghasilkan beberapa karya.

Beliau mendapat pendidkan tinggi Mesir dan dilantik sebagai kepimpinan pelajar yang mempunyai jaringan di antara pelajar Tanah Melayu dan pelajar Indonesia.

Saat belajar inilah beliau dan rakan-rakanya yang lain mengunjungi markas Ikhwanul Muslimin di Kaherah, menjadi kader muda dakwah dan dialirkan energi perjuangan Islam yang sistematik.

Namun semasa di Mesir, Zulkifli sentiasa menghadapi gangguan kesihatan yang amat mengganggu masa belajar. Beliau sentiasa sakit perut, pinggang dan kesihatan yang semakin memburuk ini memaksa beliau pulang ke tanah air.

Permata orang Melayu pada dekad 50-an ini ditawarkan jawatan sebagai Mufti Negeri Perak tetapi ditolak olehnya kerana tidak mahu terikat, bimbang akan menyekat. Beliau bercita-cita mewakafkan diri untuk perjuangan Islam, apatah lagi dengan kemunduran berfikir umat Islam yang sesat oleh fahaman sekular Barat.

Dalam dekad 60-an, beliau adalah fenomena dalam dunia politik dan dakwah. Dr Zulkifli pernah bertanding di kawasan Parlimen Klang pada pilihan raya pada tahun 1955 tetapi tewas. Bintangnya tetap menyinar terutama selepas menjawat jawatan Timbalan Yang Dipertua Agung PAS pada tahun 1956.

Beliau berjaya menjadi Ahli Parlimen Bachok pada tahun 1959 dan mengekalkan kemenangan pada tahun 1964, pidato beliau sentiasa menjadikan medan himpunan yang menyihir puluhan ribu umat manusia, ada yang sanggup mengayuh basikal puluhan batu semata-mata ingin mendengar hujah bernas daripada sumur akal yang cerdas ini.

Dr Zulkifli dilihat sebagai intelektual awam yang berkesan disegani oleh kawan dan lawan, idea-idea yang segar membaca unjuran masa depan termasuk mengesyorkan keahlian bukan Islam Dalam PAS.

Manusia tersihir dengan tokoh muda yang mempuyai orasi yang memukau, sarat dengan fakta yang diselit dengan ayat-ayat suci Al-Quran dan Hadis junjungan Nabi SAW. Dekad 60-an menyaksikan ramai bayi yang lahir diabadikan dengan nama beliau, dengan harapan menjadi hebat dan berkarisma seperti tokoh-tokoh Islam ini.

Beliau merupakan pemimpin yang paling awal menggagaskan persoalan negara Islam di dalam PAS secara akademik dan berdokumen dengan menghasilkan beberapa buah karyanya. Antaranya masyarakat dan Syariat, Peganggan Hidup Umat Islam dan Practicalbility of Islam As a socio- political system. Tulisan-tulisan ilmiah karya beliau juga berserakan dalam pelbagai  majalah dan akhbar.

Intipati ucapan beliau juga sentiasa berlegar kepada membina kekuatan PAS sebagai gerakan Islam, persoalan membina peribadi Muslim dalam kalangan pendukung PAS serta mewujudkan pemerkasaan tarbiah sebagai akar tunjang gerakan Islam.

Sebahagian ahli PAS yang lain lebih selesa joka PAS dipimpin oleh Dr Zulkifli Muhammad, seorang tokoh muda PAS yang sangat karisamatik dan semasa belajar di Mesir beliau telah mendapat tarbiah secara langsung daripada Hassan Al-Banna dan Sayyid Qut. Kekaguman beliau terhadap perjuangan Islam yang dibawa Ikhwanul Muslimin telah menyeret  beliau untuk menyertai PAS pada awal  1950-an.

Beliau adalah di antara tokoh penting yang telah menjadi idealoque kepada pengikut PAS yang telah berusaha keras memastikan eleman tarbiah mengukuhkan wadah PAS. Beliau menterjemahkan akhlak yang mulia yang terpancar daripada diri beliau yang merendah diri, sebagai tokoh tarbiah beliaulah yang sering dipangil untuk mengisi program pembinaan yang dianjurkan oleh PAS. – HARAKAHDAILY 22/5/2015

Penulis adalah AJK PAS Pusat.

drburhanuddin

Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/35526-dr-burhanuddin-tokoh-pas-yang-cemerlang

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | 19 Mei 2015.

Beliau dilahirkan di Cangkak Tualang, Perak pada 29 ogos 1911. Mendapat pendidikan awal di sekolah Melayu Behrang Ulu dan  kemudian di Bakap sehingga Darjah 3. Beliau terdiri daripada kalangan yang mempunyai latar belakang agama yang mapan. Beliau dan adiknya Abdul Halim dihantar belajar ke Sumatera Barat pada tahun 1924. Indonesia di awal abad 20, lebih menonjol berbanding Tanah Melayu dalam pendidkan Islam dan juga pergulatan menentang penjajah.

Di sana beliau mencium pengaruh pemikiran Sarekat Islam, sesebuah pergerakan fenomenal berbasis Islam yang dipimpin oleh Omar Said Chokroaminoto. Sekembalinya ke tanah air, beliau masuk belajar ke pondok pisang, Jitra untuk mendalami kitab-kitab tradisional yang menjadi teras pengajian di pondok. Pendidikan sekolah pondok sangat subur di Tanah Melayu terutama di Kedah, Kelantan dan Terengganu. Ternyata acuan dalam kaedah belajar di situ tidak menyelerakan beliau yang agak kritis dan sukakan cabaran intelektual. Sistem pendidkan menumpukan hafazan dan tidak mencabar pemikiran pelajar.

Bapa Burhanuddin telah memindahkan beliau ke Madrasah Al-Masyur Al-Islamiyyah di Pulau Pinang, sebuah sekolah agama tersohor bagi negeri utara. Beliau telah menamatkan Tingkatan Menegah Atas (Thanawi) pada 1934. Di atas kedermawan seorang usahawan dari Pulau Pinang beliau telah mendapat biasiswa untuk melanjutkan pelajaran di India, sebuah negara yang pernah menjadi tempat penting pertapakan ilmu Islam terutama bidang hadis. Senario politik di India yang begitu  subur dengan tuntutan rakyat untuk menuntut kemerdekaan telah menyubur dan membajai semangat anti- kolonial yang telah berkembang biak di dalam diri beliau.

Bermukim ilmu di India telah membuka ruang seluas mungkin kepada Dr Burhanuddin untuk memahami tabiat perjuangan dan sikap penjajah Barat. Di sana beliau berpeluang mengenal lebih rapat akal  budi pejuang-pejuang anti-kolonial seperti Ghandi dan Nehru.

Dr Burhanuddin merupakan anak Melayu yang pertama mempelajari disipilin ilmu Homeopathi dan beliau telah memperolehi gelaran Doktor Falsafah (Ph.D) dari Universiti Islam Aligharh, India dalam jurusan metafizik dan falsafah. Sebelum pulang ke tanah Melayu, beliau sempat menziarahi beberapa negara Arab termasuk bumi Palestin. Kembara ilmu semakin memantapkan pengalaman beliau untuk menjadi tokoh perjuangan kemudiannya.

Sekembalinya beliau ke tanahair, beliau telah menjawat jawatan guru bahasa Arab di sekolah Arab al-Juned, Singapura. Dalam masa yang sama beliau memainkan peranan menubuhkan akhbar ‘ Taman Bahagia’ pada tahun 1937 untuk meluahkan rasa mual dan jijik beliau kepada sikap penjajah dan beliau cuba mengempur semangat dan pemikiran orang Melayu supaya menginsafi nasib mereka sebagai bangsa yang tertindas di watan sendiri.

Akhbar sebagai wahana pencerahan politik ini hanya bertahan untuk sekali keluaran sahaja (diharamkan di British) dan beliau telah membayar harga yang mahal, terpaksa menjenguk ke penjara British Dr. Burhanuddin telah memberi rancangan kepada penubuhan parti Islam yang pertama di Malaya iaitu Hizbul Muslimin yang ditubuhkan di Gunung Semanggol pada Mac 1948. Dasar dan slogannya ialah “Islam semata-mata bagi mencapai kemerdekaan bangsa Melayu yang berdaulat, ciptakan masyarakat bedasarkan Islam dan mencapai Tanah Melayu darul Islam”.

Sejarah tanah air menyaksikan ketokohan, kesegaran idealisme dengan stamina perjuangan yang gencar sehingga beliau telah memberi mandat untuk memimpin beberapa wadah popular gerakan politik tanah air. Pada 30 November hingga 3 Disember 1945, Dr. Burhanuddin telah dilantik sebagai yang Dipertua Agung PKMM, menggantikan Mokhtaruddin Lasso seorang yang mempunyai identiti yang samar juga free thinker (anggota komunis) yang menghilangkan diri.

Pengaruh Dr. Burhanuddin kepada orang Melayu begitu sekali mengesankan, menyebabkan PKMM (Parti Kebangsaan Melayu Malaya) berjaya merebut hati rakyat dan ini amat mengusarkan British. Parti ini merupakan pertubuhan pertama yang melaungkan slogan ‘merdeka’ di Tanah Melayu dan mempunyai sayap penopangnya seperti API (Angkatan Pemuda Insaf) dan AWAS (Angkatan Weanita Sedar). Jalur politik perlawanan menyebabkan PKMM meraih sokongan daripada orang melayu yang inginkan kemerdekaan.

Beliau juga telah menganjurkan persidangan Ekonomi- Ugama Se-Malaya pada 22-24 Mac 1947. Perhimpunan ini telah menghimpunkan rakan-rakannya di Maahad Al-Ehya As-Shariff. Persidangan ini telah mengorak langkah kepada pertubuhan PEPERMAS (Pusat Perekonomian Malaya Se-Malaya) dan MATA (Majlis Islam Tertinggi Se-Malaya). Dr. Burhanuddin telah menyertai PAS (Parti Islam Se Tanah Melayu) pada 14 Disember 1956 dan dilantik menjadi Yang Dipertua Agung PAS dalam Muktamar PAS ke-5.

Wibawa sebagai pemimpin ummah telah menyebabkan kemenangan PAS yang cermerlang di Kelantan dan Terengganu dalam Pilihan Raya Umum 1959. Beliau dalam Pilihan Raya itu telah diberi mandat oleh warga Parlimen Besut untuk menjadi jurubicara mereka di Parlimen Malaya. Tidak syak lagi kemasukan Dr. Burhanuddin ke dalam PAS telah meledakkan perubahan yang besar. Sebelum ini PAS telah dimomokkan oleh rakyat dan pemerhati politik, “PAS laksana ular, ekor bergerak tetapi kepalanya tidur”.

Era kepimpinan yang paling berkesan dan paling menonjol dalam PAS ialah semasa PAS dipimpin oleh dua tokoh besar alam Melayu iaitu Dr. Burhanuddin dan Dr. Zulkifli Muhammad, kepimpinan mereka telah berjaya melonjakkan PAS ke persada arus utama politik negara ini. Pandangan mereka menjadi buruan akhbar apatah lagi kerana inteligensia Melayu tidak ramai terlibat dengan politik Tanah Melayu secara langsung.

Dr. Burhanuddin adalah mentor kepada politik kiri Tanah Melayu yang telah mendekam beberapa kali di penjara British. Akhbar ‘Melayu Raya’ sentiasa memberikan beliau publisiti yang lumayan sebagai pemimpin rakyat yang tidak gentar berhadapan dengan gertakan British pada tahun 1950 beliau adalah tokoh utama dalam peristiwa Natrah di Singapura sehingga beliau dipenjarakan. Beliau dibebaskan kemudiannya akibat desakan rakyat, juga kebijakan rejim British untuk meredakan kemarahan orang Melayu.

Dr. Burhanuddin Al-Helmy mula dilantik dalam muktamar PAS pada 25 Disember 1956 yang berlangsung di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur dalam program muktamar yang hangat, Beliau telah berjaya menewaskan calon lain iaitu Dr. Zulkifli Muhammad untuk jawatan Yang Dipertua Agung PAS yang ketiga. Sungguhpun Zulkifli Muhammad telah mendapat pencalonan yang banyak daripada kawasan-kawasan. – HARAKAHDAILY 19/5/2015

Penulis adalah AJK PAS Pusat.

Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/35448-pengiktirafan-lajnah-tarbiah-dan-latihan-kepimpinan

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | 15 Mei 2015.

Kesan daripada kepimpinan ulama telah memunculkan ledakan budaya tarbiah harakiah di dalam PAS pada era 80-an dan 90-an, termasuk juga ialah meningkatnya peranan Lajnah Tarbiah dan Latihan Kepimpinan di semua peringkat organisasi PAS.

Program pembinaan dan pemantapan fikrah perjuangan ini menjadi penting dan rancak apabila lulusan pelajar dalam dan luar negara berbodong-bodong menyertai PAS dalam dekad ini dan golongan ini telah memanafaatkan pengalaman mereka menerima proses tarbiah harakiah di kampus ke dalam PAS pula.

PAS melalui ulama muda telah menyusun skema pentarbiahannya kepada ahli-ahli parti.

Program pendidikan kepada ahli ini telah menjadi begitu rancak pada dekad 80-an untuk membina pemikiran politik ahli PAS supaya diselaraskan dengan matlamat perjuangan parti tersebut. Program pendidikan untuk ahli seperti usrah, tamrin, daurah, dan ijtimak telah mewarnai parti tersebut apatah lagi dengan kebangkitan  Islam yang berlaku di negara dan seluruh dunia.

Kerancakan program tarbiah begitu dirasai apabila berkembangnya kemuculan markas-markas dan pusat tarbiah di seluruh negara serta kehadiran tenaga nuqaba’ yang semakin bertambah terutama dari Pusat Pusat Pengajian di Timur Tengah.

Setiausaha Agung PAS, iaitu Ustaz Hassan Shukri telah mengeluarkan arahan supaya setiap cawangan dan kawasan PAS mempunyai markas tarbiah, menghidupkan budaya ilmu serta sebagai pusat penting PAS membina jaringan dengan masyarakat.

Lajnah Tarbiah PAS Pusat dalam usaha untuk menggerakkan program tarbiah secara tersusun telah mengadakan Seminar Tarbiah pada tahun 1982. Dalam seminar itu Lajnah Tarbiah telah memperkenalkan sukatan tarbiah secara berkala meliputi usrah, tamrin, mukhayyam,liqa’ fikri dan ijtimak dengan melibatkan semua peringkat ahli dan kepimpinan parti bermula dari peringkat cawangan, kawasan, perhubungan dan pusat.

Pada setiap tahap telah disediakan silibus atau sukatan tarbiah tertentu. Tarbiah harakiah ini telah tersusun oleh tiga tahap (marhalah) iaitu ta’ arif (pengenalan), takwin (pembentukan) dan tanfiz (perlaksanaan). Inilah kali pertama di dalam pembinaan organisasi tarbiah PAS mempunyai satu skema tarbawi yang tersusun.

Teks-teks usrah telah diwujudkan sama ada yang ditulis oleh pemimpin PAS sendiri seperti Tuan Guru Haji Hadi Awang, Ustaz Haji Harun Taib, Ustaz Yahya Othman, Dr Daeng Sansui Daeng Mariok atau oleh tokoh-tokoh gerakkan Ikhwan. Contohnya Fiqh Al-Sunnah (Sayyed Sabiq), Al-Akidah Al-Islamiah (Hassan Al-Banna), Fiqh Sirah (Said Ramadan Al-Buti dan Al- Ghazali), Usul Al- Dakwah (Dr. Abdul Karim Zaidan), Al-Adalah Al- Ijtima’iah (Sayyid Qutb), peraturan dan arahan (Hassan Al-Banna), Amal Islami dan Jundullah (Said Hawwa) serta sejumlah karya-karya lain yang dijadikan teks dan rujukan dalam pelaksanaan tarbiah itu.

Budaya tarbiah telah meledak menjadi fenomena yang subur, menghangatkan intelektual, mewujudkan persaingan ilmu yang sihat di semua peringkat PAS, ulama muda, kepimpinan Dewan Pemuda galak menganjurkan pelbagai bentuk program tajnid. Presiden PAS yang menerajui kepimpinan ulama iaitu Haji Yusof Rawa telah memberikan perhatian yang istimewa kepada persoalan tarbiah dan kaderisasi dakwah seperti yang diungkap dalam ucapan muktamar pada tahun 1984.

“Melihat kepada keperluan harakah kita.Kerana orang-orang yang kita kehendaki itu tidak akan muncul dengan sendiriya tanpa latihan dan pendidikan yang dirancang secara teliti dan dilaksanakan dengan penuh kegigihan. Oleh itu semua angota parti kita, mulai pada hari ini, hendaklah menjadi orang yang mentarbiah atau ditarbiahkan. Saluran-saluran tarbiah yang diwujudkan hendaklah dijadikan sebagai petugas-petugas  perjuangan yang setia dan gigih”.

PAS semenjak dekad 50-an, 60-an dan 70-an telah berusaha dengan gigih untuk mencetak para amilin serta mentarbiah ahli-ahlinya. Tokoh jurubina seperti Dr Zulkifli Mohamad, Ustaz Jais Anwar, Ustaz Omar Shukri Embong, Ustaz amaluddin Darus, Ustaz khaidir Khatib, Ustaz Hasan Shukri adalah tokoh-tokoh tarbawi  yang berjasa besar. Kepimpinan ulama terus melangsungkan gerakerja tarbawi dengan munazomah serta berkesan, malah gerak kerja tarbiah membezakan PAS dengan parti konvesional yang lain.

Seperti ungkap Ustaz Idris Ahmad, “sesibuk mana dan sehebat mana pun para abnaul harakah,tiada istilah untuk membebaskan diri daripada menerima tarbiah dan bersiap untuk ditarbiah”. PAS kental berdada dengan regim tirani selama puluhan tahun kerana dipasak dengan khursani tarbiah, tanpa tarbiah gerenti rebah!

HARAKAHDAILY 15/5/2015

Penulis ialah AJK PAS Pusat, AJK Tarbiah Pusat.

Sumber : http://m.harakah.net.my/index.php/kesatuan-fikrah/35393-2-dekad-ilham-menabur-bakti-memperkasa-tarbiah-pas

DR RIDUAN MOHD NOOR | 13 Mei 2015.

Satu usaha yang paling serius dilakukan oleh Lajnah Tarbiah PAS Pusat dalam membina kefahaman ahli kepada perjuangan Islam ialah dengan menubuhkan Institut Latihan Kepimpinan dan Perkaderan Dakwah Islamiyyah atau lebih dikenali sebagai ILHAM pada tahun 1994. Tenaga nuqaba’ PAS mestilah dicetak dengan bersistem dan melengkapi piawaian sebagai tenaga teras dalam jamaah.

Matlamat utama menubuhkan ILHAM ialah untuk menyediakan kepada masyarakat khususnya ahli-ahli PAS satu program berupa persiapan yang mantap dan sesuai dengan persiapan menghadapi cabaran perjuangan Islam di Malaysia.

Bagi mempersiapkan ILHAM sebagai institusi pengkaderan parti, ia telah dimantapkan dengan struktur organisasinya yang dianggotai oleh gabungan barisan PAS, para ulama dan golongan profesional.

PAS tidak pernah memencilkan profesional dan kelompok lain jika mereka mempunyai keupayaan dalam memberikan sumbangan yang berkesan dalam jemaah.

Semasa peringkat awal dilaksanakan, ILHAM yang berpusat di markas Tarbiah Taman Melewar menawarkan pengajian diploma Tasawwur Islam (DTI), Kursus Pengurusan dan Organisasi (ILPO) dan Kursus Kefahaman dan Visi (ILKV).

Hasil daripada kesungguhan Lajnah Tarbiah dan pimpinan PAS di era kepimpinan ulama, kini ILHAM telah mengembangkan cawangannya ke seluruh negara dan mampu menawarkan pelbagai kursus kepada ahli-ahli PAS seperti Diploma Tasawwur Islam, Kursus kefahaman dan misi, Kursus Pengurusan Dan Organisasi, Sijil Bahasa Arab dan kursus-kursus intensif yang diadakan dari semasa ke semasa. Penubuhan ILHAM dilihat sebagai satu keseriusan PAS untuk melahirkan para nuqaba’ yang akan membina jaring tarbiah di dalam PAS.

Sehingga Kini ILHAM telah berjaya mengeluarkan ribuan graduannya dan memberi sumbangan yang bermakna kepada masyarakat.

Tidak dinafikan perkembangan  ILHAM tidak serancak yang diimpikan oleh pimpinan PAS namum institusi ini hanya boleh mencapai tahap yang membanggakan jika mempunyai dukungan dua hala, pusat dan akar umbi parti.

Pimpinan PAS di era kepimpinan ulama sentiasa memastikan ‘al-fahmu’ adalah elemen yang penting dalam membina kesiapsiagaan PAS dalam berdepan dengan cabaran, menekankan soal membina kefahaman dan tarbiah untuk ahli-ahli sebagaimana yang disarankan oleh Ustaz Fadzil Noor dalam Ucapan Dasar Muktamar PAS kali ke-42:
“Di sini suka saya mengulangi seruan kepada semua pendukung PAS supaya mempertingkatkan program tarbiah kerana tarbiah adalah nadi kepada PAS sebagai jamaah Islam. Tarbiah yang dimaksudkan di sini bukan sekadar usrah dan tamrin serta pengisian ilmu, tetapi juga bersedia membentuk diri sebagai petugas Muslim yang mampu memperlihatkan wataknya sebagai ‘role model’ yang ceria kepada masyarakat.bukan sahaja dari segi syakhsiyyah, ilmu, disiplin, malah ketrampilan sebagai mujahid”.

Menurut Ustaz Fadzil Mohd Noor, penubuhan ILHAM adalah untuk memenuhi tuntutan ini dengan menginstitusikan ilmu untuk meningkatkan keupayaan dan kemantapan ahli kerana menjadi pendokong gerakan Islam bukan sahaja perlu memiliki semangat juang yang tinggi, tetapi juga kemantapan tarbiah dan ilmu yang meliputi semua bidang. Dengan itu program- program tarbiah hendaklah menjadi agenda pertama dalam jamaah.

Misi PAS juga ialah memperkasakan tahap kepimpinan, bagi Ustaz Fadzil Mohd Noor, PAS mestilah memainkan peranan yang serius dalam mengintelektualkan ulama dan mengulamakan intelektual.

ILHAM lebih dua dekad menabur bakti melahirkan kelompok nuqaba’ dalam PAS dengan sistem pembelajaran formal.

Bakti ini tak mampu dipadamkan daripada sejarah, walaupun jamaah mengalami pasang surut prestasi. Pada 9 Mei yang lalu lebih 300 orang lebih pelajar ILHAM menerima diploma mereka dalam majlis konvokesyen di KUIZM Taman Melewar.

PAS yang telah menjangkau lebih enam dekad umurnya, semakin tersusun membina kader-kader yang kompeten dan akan merancakkan program amal tarbawi di persada perjuangan. – HARAKAHDAILY 13/5/2015

Penulis ialah AJK PAS Pusat, AJK Tarbiah Pusat.

Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/35170-pas-dan-lonjakan-gerakan-pendidikan

DR RIDUAN MOHD NOOR | 30 April 2015.

Kepimpinan ulama juga telah membawa bersama satu budaya menghargai pendidikan, melonjakkan kepekaan ahli untuk menghantar anak ke pusat pendidikan Islam. PAS mula mengorak langkah untuk menubuhkan sebanyak mungkin institusi pengajian di bawah seliaan parti.

Kepimpinan ulama PAS telah menubuhkan majlis pendidikan PAS bagi merancak, menyelia dan memayungi sekolah-sekolah yang ditubuhkan di bawah PAS dan juga oleh aktivis PAS dekad 1980an dan juga merupakan fasa kebangkitan Islam juga menyaksikan institusi pendidikan semakin galak tumbuh, bermula dengan pusat pendidikan pra sekolah dan juga sekolah rendah.

Sebahagian pula merupakan institusi pendidikan yang ditubuhkan oleh ahli ABIM yang menjadi penyokong PAS. Kelompok ini telah mengeluarkan institusi mereka daripada penyeliaan ABIM selepas Anwar Ibrahim menyertai UMNO pada tahun 1982, contohnya Taski ABIM akhirnya menjadi PASTI. DPP Pusat telah mengambil inisiatif untuk menyelaras pendidikan Islam pra sekolah di bawah DPPP yang akhirnya dikenali sebagai PASTI. Kini PASTI telah menjadi jenama yang paling popular dalam arena pendidikan pra sekolah di negara ini termasuk mendapat sambutan hangat daripada masyarakat bukan Islam.

Selain Dewan Pemuda PAS, anggota-anggota Dewan Ulama PAS juga dikesan paling aktif menubuhkan pusat pendidikan Islam seperti sekolah rendah Islam, sekolah menengah Islam, madrasah atau sekolah agama rakyat, maahad tahfiz, sekolah pondok, pusat belajar al-Quran dan sebagainya.

PAS semenjak ditubuhkan mempunyai pertalian yang rapat dengan institusi pendidikan Islam di negara ini, parti itu juga telah dilahirkan di serambi sekolah agama dan juga latar belakang kepimpinannya terdiri daripada aktivis pendidikan.

Seawal keberadaan PAS mempunyai agendanya yang tersendiri apabila menggerakkan bidang pendidikan tetapi ia secara langsung juga membantu proses melahirkan rakyat yang berilmu dan membantu kerajaan dalam menjayakan agenda pendidikan negara. Tokoh awal PAS semenjak daripada awal parti itu telah mensasarkan keutamaan PAS untuk membangunkan pendidikan, seperti yang diungkapkan oleh Haji Baharuddin Latif.

“Langkah pertama yang mesti diselenggarakan untuk memajukan kaum muslimin di Tanah Melayu kita ialah dengan mengembang dan memajukan usaha-usaha pendidikan dan pelajaran secara seluas-luas dan sebesar-besarnya. Pengetahuan ialah asas kemajuan. Langkah ini bercabang dua, untuk orang-orang dewasa dan untuk kanak-kanak serta pemuda-pemudi.

Tetapi yang lebih penting dalam usaha membangunkan pendidikan itu dijalankan dengan semangat dan kesedaran akan cita-cita yang dituju dalam mengadakan pendidikan itu. Tegasnya usaha pendidikan yang dijalankan itu hendaklah mempunyai satu ideologi atau cita-cita, ke mana dan apa yang hendak dihasilkan dengan pendidikan itu.

Masanya telah sampai bagi tiap perguruan Islam di tanahair kita ini mempunyai suatu ideologi pendidikan yang tegas dan nyata. Ideologi itu tidak lain ialaj untuk mengeluarkan pelajar-pelajar, orang-orang atau pemuda-pemudi dalam segenap gerak geri hidupnya, baik dalam hidup perseorangan, dalam masyarakat dan dalam negaranya.”

PAS semenjak awal lagi terlibat menubuhkan sekolah agama rakyat melalui pendukung-pendukungnya di seluruh negara termasuk di Sabah. Aktivis-aktivis PAS terlibat dalam usaha membina sekolah agama rakyat, menggerakkannya dan memayungi sekolah-sekolah tersebut walaupun dengan seribu halangan daripada pihak kerajaan seperti penarikan bantuan per kapita dan sebagainya.

Sekolah agama rakyat di negara ini muncul akibat kesungguhan graduan pendidikan Islam dan juga sokongan masyarakat yang merasakan kepentingan pendidikan Islam anak-anak mereka.

Pada asalnya PAS tidak menubuhkan secara langsung sekolah agama rakyat tetapi ianya ditubuhkan oleh ahli dan pimpinan PAS di semua peringkat. Ini berkemungkinan kerana PAS memberikan kebebasan kepada ahlinya untuk mewujudkan sekolah sendiri untuk mengelakkan karenah birokrasi dan memfokuskan kepada aktiviti politik parti berkenaan. Namun selepas kebangkitan semula Islam yang berlaku dalam dekad 70an dan 80an, PAS mula mebunjukkan kecenderungan untuk menubuhkan sebanyak mungkin sekolah agama rakyat.

Pendukung PAS di bawah kepimpinan ulama menubuhkan pelbagai institusi pendidikan di seluruh negara

PAS bukan sahaja di bawah kepimpinan ulama berjaya menubuhkan pendidikan prasekolah, jaringan sekolah rendah dan menengah Islam tetapi telah berjaya menubuhkan kolej universiti  Antara yang terawal ditubuhkan ialah INTIS (Institusi Teknologi Ibnu Sina).

Penubuhan kolej Universiti yang terletak di Seri Gombak ini adalah diinisiatif oleh sebuah badan koperasi yang ditubuhkan di bawah Dewan Pemuda PAS Pusat iaitu Koperasi Siswazah Berhad (KOSIS). KOSIS telah ditubuhkan pada tahun 1994 semasa Dewan Pemuda PAS dipimpin oleh Haji Abu Bakar Chik, bertujuan untuk menghimpun dan menyatukan siswazah penyokong PAS, lulusan dalam dan luar negeri.

Koperasi ini mendapat sambutan yang hangat di awal penubuhannya dan mendapat publisiti yang baik daripada jaringan PAS. KOSIS telah meluaskan perniagaan termasuk telah berjaya menubuhkan sebuah kolej yang menawarkan pengajian di peringkat diploma. Lulusan INTIS sebahagiannya melanjutkan pelajaran ke Universiti al Azhar Mesir.

Di antara kolej pengajian tinggi yang telah berjaya ditubuhkan oleh PAS ialah Kolej Universiti Darul Quran yang terletak di Kampung Kubang Lembek. Kolej ini telah diasaskan oleh Dato’ Harun Taib dan diletakkan di bawah Badan Perhubungan PAS negeri Terengganu.

Dato’ Harun Taib adalah Ketua Dewan Ulama PAS Pusat yang juga Exco Pendidikan Kerajaan Negeri Terengganu (1999-2004). Selain KUDQI, PAS Kedah juga telah menubuhkan Kolej Islam Darul Ulum. Kolej Islam ini adalah cetusan idea Datuk Fadzil Noor, Presiden PAS yang juga menyandang jawatan Pesuruhjaya PAS negeri Kedah.

Penubuhan kolej ini adalah bertujuan untuk melahirkan ulama amilin yang mampu memimpin masyarakat ke arah pengamalan Islam yang menyeluruh. Menurut Fauze Husain, Datuk Fadzil Noor terinspirasi dengan Markas Pusat Jamaat-e-Islami Pakistan yang terletak di Mansoorah, di mana terdiri daripada kompleks pendidikan yang lengkap, termasuk rumah tetamu dan rumah pimpinan utama Jamaat-e-Islami.

Kolej Universiti yang terkini ditubuhkan oleh PAS melalui Majlis Pendidikannya ialah Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) yang terletak di Taman Melewar. KUIZM direalisasikan oleh kepimpinan ulama PAS dengan dokongan para profesional yang cintakan Islam, bertujuan untuk melahirkan graduan yang memahami Islam dan bersedia untuk terjun di medan dakwah.

Kepimpinan ulama PAS sentiasa merangsang dan memupuk kesedaran ilmu kepada ahli PAS dan seterusnya menggerakkan tarbiah nizomi yang menjadikan gerakan Islam ini mempunyai kekuatan jaringan massa, pendokong yang berterusan, mampu mempertahankan akidah perjuangan dan disegani oleh musuh dan kawan.

Di seluruh negara, institusi pendidikan PAS terus menabur bakti kepada masyarakat seawal pendidikan prasekolah sehingga peringkat pengajian tinggi m ilik parti tersebut.

HARAKAHDAILY 30/4/2015

Penulis adalah AJK PAS Pusat.

%d bloggers like this: