Tag Archive: Riduan Mohamad Nor


Sumber : http://www.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/32521-retreat-dakwah-menali-kekuatan-para-amilin

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | 04 Disember 2014.

DAKWAH merupakan idiom yang menggegarkan sukma kita para Mukmin kerana inilah jalan juang yang ditempuh oleh para Ambiya’ wal Mursalin. Dakwah sepanjang zaman telah mengharungi jalan panjang perjuangan, merentasi hamparan bongkah benua, merenangi gelombang lautan terhampar luas, dan  menembusi tembok kekuasaan.

Dalam rakaman langit Sirah, perjuangan dakwah Nabi SAW di kota Mekah telah berjaya menembusi bongkah dan karang jahiliah Arab Mekah berjalan secara rahsia selama tiga tahun. Baginda SAW telah memilih unsur-unsur terpilih dalam kalangan peserta pertama generasi dakwah.

Seruan merayap dari telinga ke telinga, dan akhirnya menyatu di lubuk hati. Generasi al-Quran telah dipasak dengan keupayaan terbaik dalam menyampaikan dakwah. Tahapan pertama ini memerlukan kesiapsiagaan yang tinggi dan berstrategi, bukan digarap sambil lewa.

Nabi dan para sahabat memilih untuk berhimpun di rumah Arqam bin Abi Arqam untuk menyalur ilmu dan tenaga dalam berdakwah. Dalam tempoh ini juga pemantapan akidah serta jalinan ukhuwwah fillah dipasak dengan bersungguh-sungguh kerana dakwah memerlukan bahtera yang kuat, papan lantainya mestilah kukuh, dan akan berada dengan serkupan kezaliman serta penistaan golongan musyrikin.

Samudera perjuangan akan bergelombang dengan deru angin yang paling ganas. Maka pemerkasaan tarbiah adalah sangat penting sebagai bekalan di jalan dakwah yang terhampar dengan ribuan ranjau ujian.

Ribut petir akan sambar-menyambar. Deruman angin akan melibas kiri dan kanan. Mereka yang tanpa persiapan jiwa akan berguguran di jalan dan medan yang mencabar ini. Inilah dakwah yang meletakkan pendukungnya mestilah berketerampilan dan tahan uji.

Dakwah semakin mencabar dengan tegaknya pemerintahan Islam di Madinah, malah dipicu dengan lebih rencam dalam suasana politik perang dan damai sehinggalah dalam peristiwa haji widak telah mencecah 130,000 umat Islam yang hadir berhimpun.

Dakwah memerlukan komitmen, sinergi, kesinambungan dan kajian unjuran yang komprehensif, maka Lujnah Dakwah PAS Pusat telah mengadakan pemukiman  khas (retreat) di Tasik Kenyir Terengganu pada 29 dan 30 November baru-baru ini.

Sesi ini Lujnah Dakwah dipisahkan daripada Lujnah Penerangan, maka satu pencerakinan tugas wajar dilakukan memandangkan skop dakwah terlalu rencam. Menarik jika dilihat latar belakang penggerak lujnah ini yang terdiri daripada kalangan pendakwah yang telah bergerak di medan dakwah, kebajikan dan pendidikan.

Pemukiman ini sekali gus rehlah keluarga besar lujnah telah berjaya menghimpunkan hampir 80 orang peserta yakni keluarga penggerak lujnah jika terlibat untuk memeriahkan pelbagai acara termasuk acara fizikal, pengisian kerohanian, santai keluarga dan sebagainya.

Lujnah dakwah merangka plan dan gerak kerja dakwah yang meliputi dakwah terhadap masyarakat dalam menghadapi cabaran era pos-Islamisme dengan mengadakan pelbagai forum ilmu, wacana, diskusi, nadwah.

Ustaz Nasrudin Hasan mengepalai tim pertama dalam menjadikan PAS peka dengan cabaran kontemporari dan mewajahkan PAS sebagai wadah pembenteng akidah. Tim kedua lujnah menfokuskan kepada dakwah kepada masyarakat Sabah dan Sarawak, memobilisasi pelbagai jaringan sivil untuk menebar peduli dakwah termasuk kaum etnik Borneo. Ustaz Zulfikar Mizan akan mengemudi cabaran dakwah di Borneo termasuk Haji Husein Ismail yang telah terbabit aktif di kawasan pedalaman Borneo.

Pemerkasaan dakwah kepada non muslim pula digerakkan oleh Ustazah Nuridah Salleh, yakni sektor ini juga akan memikirkan wadah transit untuk para mualaf dan gerakan merapati bukan Islam dengan lebih sistematik.

Lujnah dakwah juga memberikan perhatian besar kepada aspek penulisan dan penerbitan buku -buku bernuansa dakwah. Juga lujnah melalui unit penerbitan akan mengadalan kem kejurulatihan penulisan untuk merekrut kader-kader penulis dakwah.

Retreat selama dua hari ini berjalan dengan lancar malah diserikan dengan pembentangan oleh tokoh korporat dan kejurulatihan industri negara iaitu Haji Razali Muhsin. Antara pengkuliah jemputan ialah Ustaz Norazli Musa yang juga AJK Ulama dan juga penggerak beberapa, NGO dakwah dan kebajikan. Ahli keluarga besar lujnah juga sempat meracik ukhuwwah antara satu sama lain, juga tim gerak khas lujnah yang terdiri aktivis pemuda pelbagai peringkat.

Menurut Datuk Tuan Ibrahim, ahli-ahli keluarga yang hadir paling kurang dapat menjiwai betapa lujnah dakwah adalah lujnah yang paling besar tanggungjawab dalam gerakan Islam, maka semoga mereka berempati dengan suami atau isteri yang terlibat di medan dakwah ini.

Begitu juga anak-anak kecil yang turut serta, tangis tawa mereka adalah pelengkap kepada retreat lujnah dakwah yang menuntut kerahan idea para peserta. Insya-Allah, kami tidak akan berhenti berdakwah walau terhampar titian mehnah dan ibtilak di sepanjang denai dakwah ini. – HARAKAHDAILY 4/12/2014

Sumber : http://www.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/32209-mengimbau-29-tahun-tragedi-memali

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | 19 November 2014.

BALING sebuah daerah yang sarat dengan peristiwa besar negara dan melakar sejarah. Di saat tanah leluhur ini diselimuti perlawanan dengan gerila Bintang Tiga, maka Baling dipilih untuk dijadikan medan perbincangan solusi antara PKM dan pihak Kerajaan pada tahun 1955.

Pada tahun 1974 pula, ekoran daripada harga getah yang merudum, maka Baling menyaksikan kebangkitan rakyat tani yang digalang oleh gerakan mahasiswa Malaysia sehingga menyebabkan ribuan anak-anak kampus ditahan oleh pihak berkuasa dalam lanjutan bantahan di kuala Lumpur.

Akta Universiti dan Kolej Universiti telah dipinda dan diketatkan pasca bantahan gerakan mahasiswa paling besar dalam sejarah negara ini. Kejerihan rakyat Baling telah memacu kebangkitan anak muda prihatin negara ini yang menjadi kuasa semak dan imbang yang berkesan.

Baling sekali lagi melakar sejarah, namun dengan lebih tragis dan merobek jantung hati dengan berlakunya peristiwa berdarah Memali pada 19 November 1985. 14 penyokong PAS dan empat orang polis terkorban akibat kerakusan dan kesilapan regim BN menanggani peristiwa ini yang mengundang kritikan berpanjangan sepanjang tiga dekad ini. Dekad 1980-an adalah dasawarsa kebangkitan Islam yang menyaksikan kerajaan BN melancarkan kempen Penerapan Nilai Islam untuk menghadapi kebangkitan Islam yang sedang bersemarak hangat.

Tokoh utama yang menjadi watak tragedi ini ialah as-Syahid Ustaz Ibrahim Mahmud yang dikenali juga sebagai Ustaz Ibrahim Libya. Beliau adalah pendakwah dan ulama yang pernah mendapat pendidikan di Deoband India, Universiti al-Azhar Mesir dan juga Maahad Dakwah di Tripoli Libya.

Beliau yang juga pemidato yang handal sehingga pernah dinobatkan sebagai pendakwah terbaik di Wilayah Persekutuan, aktif menyampaikan kuliah-kuliah agama di Lembah Klang. Ustaz Ibrahim berkerja dibawah Pusat Islam sehinggalah beliau mengambil keputusan untuk berhenti makan gaji dan pulang ke daerah kelahirannya untuk sepenuh masa menyebarkan pencerahan dan ilmu agama untuk masyarakat desa yang dahagakan ilmu.

Ustaz Ibrahim mengasaskan pusat pengajian Islam di kampung Memali Baling, aktif menyampaikan kuliah agama di Utara Semenanjung dan popularitinya dengan pantas mencuat dalam kalangan masyarakat Utara Semenanjung. Beliau pernah bertanding dalam pilihan raya umum pada tahun 1978 di DUN Bayu, namun tewas tipis kepada calon BN. Selain itu pernah menjadi Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Kedah, juga Pengerusi ABIM daerah Baling.

Pada tahun 1984, berlaku tangkapan tokoh-tokoh pimpinan pemuda PAS di bawah ISA , antaranya Ustaz Abu Bakar Chik, Ustaz Abdul Latif Mohamad, Ustaz Bunyamin Yaakob dan Ustaz Ibrahim antara nama yang tersenarai untuk ditahan tanpa bicara.

Namun pihak berkuasa gagal menahan Ustaz Ibrahim kerana beliau dikawal rapi oleh penyokong-penyokongnya yang setia. Umno kedah semakin gelisah dengan populariti almarhum yang tidak gentar dengan ugutan dan ancaman, sentiasa hadir menyampaikan kuliah di mana sahaja beliau dijemput.

Dalam perhimpunan Agong Umno pada tahun 1985, sekali lagi wakil Umno Kedah mendesak KDN supaya mengambil tindakan tegas terhadap Ustaz Ibrahim Libya yang dilihat mengancam penguasaan Umno di Kedah.

Pada tahun yang sama berlaku tragedi Lubuk Merbau dalam Pilihan Raya kecil Padang Terap yang membawa pembunuhan terhadap Osman Talib, seorang aktivis PAS Kedah, juga kecederaan parah seorang ahli PAS dari Besut, Haji Ayub Mir. Bahang kebangkitan PAS semakin menyala di negara ini, apatah lagi dengan fenomena Haji Hadi yang sedang melanda.

Dengan desakan berterusan, maka akhirnya pada 19 November 1985 berlakulah tragedi yang memerihkan hati umat Islam negara ini, plot ceritanya hampir sama dengan peristiwa Talangsari dan Tanjung Periuk di Indonesia. Ribuan anggota keselamatan dikerah untuk mengepung Ustaz Ibrahim Libya dan pengikutnya, warga desa tak berdosa.

Memali bergema dengan ledakan senjata api, mengalir darah syuhada bahkan menyebabkan anggota polis juga terkorban dalam misi ini. Panggung misteri belum terungkap, dengan senjata apakah anggota polis itu terbunuh.

Usai tragedi Memali, seluruh media perdana terus menghukum Ustaz Ibrahim dan pengikutnya sebagai penganut ajaran sesat, manakala ulama PAS dan ulama pondok di Kedah seperti Tuan Guru Haji Umar Zuhdi, Tuan Guru Yahya Juneid mengisytiharkan mereka yang teraniaya itu sebagai syuhada.

Peristiwa Memali tetap utuh bersemayam ditangkai hati kita yang cintakan kebenaran. Walaupun terabai di mahkamah dunia namun mahkamah akhirat pasti kezaliman ini disingkap tirainya yang berlapis-lapis. Ustaz Ibrahim Mahmud adalah ikon perlawanan antara hak dan batil, juga keteladanan dijalan dakwah yang penuh dengan hamparan mehnah dan ibtila’.

Sosok pendakwah yang mengorbankan kesenangan hidup untuk menjadi lantera dalam kegelapan pekat kejahilan masyarakat desa Baling. “Daripada hidup bercerminkan bangkai, lebih baik mati bergalang tanah” frasa kata itu terpacul daripada mulut almarhum sebagai manifestasi menyintai kebenaran dan tidak akan bermanis muka dengan kebatilan. Semoga kita semua tidak melupakan Tragedi berdarah Memali 29 tahun lalu walaupun dalam gema ratib “Putrajaya” kita, mereka menyiram baja perjuangan!

HARAKAHDAILY 19/11/2014

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Timbalan Pengerusi Lujnah Dakwah Pusat)

Sumber : http://www.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/31918-mendobrak-kesesatan-islam-liberal

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | 05 November 2014.

Aliran Liberalisme lahir di Barat adalah lanjutan daripada zaman Renaisans (kebangkitan) yang berlaku di Eropah. Ia adalah hasil daripada tindak balas kaum intelek Eropah terhadap penindasan gereja terhadap ilmu sains dan juga teori-teori palsu ciptaan cendekiawan Yahudi untuk memusnahkan agama Kristian. Aliran pemikiran ini bertujuan untuk meningkatkan kebebasan yang diberi kepada individu.

Sebagaimana Ideologi Liberal atau Liberalisme di Barat yang terbina di atas kebebasan individu (dari cengkaman agama) dan perasaan syak atau ragu terhadap agama, maka begitu juga dengan fahaman Islam Liberal. Fahaman Islam Liberal berakar pada kebebasan akal tanpa batasan ditambah pula dengan perasaan syak dan ragu terhadap Islam.

Bagi pendukung fahaman Islam Liberal, tidak ada di dalam agama suatu yang dianggap kudus dan suci yang tidak boleh dikritik atau dipertikai. Sepertimana Muktazilah, golongan Islam meletakkan akal lebih tinggi dari wahyu. Kerana itu mereka layak digelar Muktazilah moden atau Neo-Muktazilah.

Bagi mereka, penerimaan terhadap wahyu hendaklah berasaskan kepada penilaian akal dan rasional. Tidak ada yang dapat dikategorikan sebagai Qat’iyyat atau Musallamat iaitu ajaran-ajaran agama mesti diterima kebenarannya tanpa merujuk kepada akal terlebih dahulu (yakni diterima atas dasar iman dan keyakinan kepada Allah dan Rasul) sebagaimana yang menjadi pegangan umat Islam selama ini.

Semua ajaran dalam agama bagi mereka adalah Dzanniyat (tidak pasti) dan Muhtamalat (mengandungi pelbagai kemungkinan). Oleh demikian, ia tertakluk kepada penerimaan akal dan rasional.

Golongan Islam Liberal tidak menzahirkan diri mereka sebagai orang yang menolak agama, tetapi berselindung di sebalik gagasan mengkaji semula agama, mentafsir semula al-Quran, menilai semula as-Sunnah dan menapis semula hukum-hakam Syari’at dan Fiqh.

Mereka menolak segala tafsiran yang dianggap lama dan kolot mengenai agama termasuklah dalam hal-hal yang telah menjadi Ijmak ulama termasuklah tafsiran dari Rasulullah SAW, para sahabat dan ulama-ulama mujtahid.

Bagi mereka, agama hendaklah ditundukkan kepada waqi’ (realiti) semasa sekalipun terpaksa menafikan hukum-hakam dan peraturan agama yang telah sabit dengan nas-nas Syarak secara qat’ie (putus). Jika terdapat hukum yang difikirkan tidak menepati zaman dan kemodenan maka hukum itu hendaklah ditakwilkan atau sebolehnya digugurkan.

Menurut Syeikh Abdullah Khatib dalam bukunya (Islam adalah penyelesaian; jawapan kepada pendakyah-pendakyah free thinker), golongan pemikiran bebas mempunyai agenda-agenda tersendiri yang menjadi matlamat mereka, iaitu;

1. Untuk menggugurkan agama secara sepenuhnya dari masyarakat iaitu memisahkan agama dari pendidikan, menjauhkan Syariat Islam dari kedudukannya sebagai sumber perundangan dan mengasaskan di atas dasar riba.

2. Untuk menjauhkan fikrah atau pemikiran manusia dari setiap yang mempunyai kaitan dengan roh, wahyu dan alam ghaib dan dari segala ikatan dengan akhlak, aqidah dan keimanan kepada Allah.

3. Untuk memartabatkan ketuanan akal, kebendaan (materialis) dan ilhad (ketidakpercayaan kepada agama dan wahyu) dalam setiap urusan kehidupan dan menjadikan Islam hanya sebagai agama rohani semata-mata dan menolak agama sebagai penentu dan pencorak perjalanan politik.

Golongan Islam Liberal mempunyai kecenderungan yang kuat untuk menghidupkan kembali pemikiran Muktazilah yang menurut mereka mewakili kumpulan Islam Rasional dalam sejarah peradaban Islam. Kerana itu, tokoh-tokoh Islam Liberal di Timur Tengah seperti Ahmad Amin, Thaha Husain dan sebagainya amat menyanjung Muktazilah dan memusuhi golongan Ahlus-Sunnah Wal Jamaah khususnya Asya’irah yang dituduh jumud, beku dan anti-rasional.

Ahmad Amin pernah menulis; “Kaum Muslimin lemah dan mundur kerana mereka tidak menggunakan cara berfikir Muktazilah…..”. (Lihat; al-Muamarat ‘Ala al-Islam, oleh Anuar al-Jundi, hlm 19).

Tidak terkecuali dari kecenderungan sedemikian tokoh-tokoh Islam Liberal Indonesia dan Malaysia. Sebagai contohnya, Kassim Ahmad dalam bukunya “Hadis; Jawapan kepada Pengkritik”, telah menegaskan; “Untuk mengetahui di mana umat Islam telah tersilap bila mereka mendapati diri mereka terjebak dalam kemerosotan berpanjangan, kita harus mengesan langkah-langkah kita kembali ke dalam sejarah.

Sebelum kaum teologi Assy’ariyyah menang mengatasi kaum rasional Muktazilah dalam abad-abad kesepuluh, kesebelas dan kedua belas, aliran saintifik dan rasional kuat dalam sains Islam, yang sememangnya telah menyebabkan terbina sains dan tamadun saintifik Islam yang agung.

Di antara masalah-masalah yang hangat diperdebatkan di kalangan mereka ialah kebebasan dan tanggungjawab manusia di atas perbuatannya dan keadilan dan keesaan Ilahi. Dalam perbahasan ini, kaum Muktazilah mewakili aliran saintifik dan rasional.

Malangnya, keadaan di Timur pada masa itu tidak memihak kepada mereka, berbeza dengan keadaan di Barat. Kaum Muktazilah tewas. Peristiwa bersejarah ini memberi laluan kepada kaum Assy’ariyyah berkuasa di seluruh Timur”.(Halaman 80)

Aliran Islam Liberal wujud hampir di setiap negara umat Islam hari ini. Nama mereka mungkin berbeza-beza dan mungkin tidak dikenali dengan nama tertentu, akan tetapi manhaj dan gaya mereka tetap sama iaitu meragui Syariat dan hukum-hakam agama, berprasangka buruk terhadap ulama dan mentafsir agama dan al-Quran melalui akal secara bebas.

Apabila menyebut tentang tokoh-tokoh Islam Liberal, terdapat satu kesamaan antara mereka semua iaitu mereka pernah mendapat didikan di negara Barat atau pernah berkhidmat di mana-mana institusi Barat. Pengalaman ini menyebabkan mereka cenderung kepada apa sahaja yang berasal dari Barat tanpa memisahkan antara yang baik dan yang salah.

Manakala di rantau Asia Pasifik pula, negara Indonesia yang merupakan negara yang mempunyai penduduk Islam paling ramai dalam dunia telah menerima serangan yang sangat hebat daripada jalur pemikiran liberal dan pluralisme teologi. Negara ini semenjak zaman penjajahan kuasa Belanda telah diterjah dengan pelbagai serangan pemikiran malah kini menjadi markas rantau Asia Pasifik bagi gerakan Kristianisasi.

Menurut Adian Husaini (2002), di Indonesia untuk menyebar dan menyemarakkan fahaman ini tokoh Islam Liberal yang terdiri daripada kalangan tempatan atau luar negara sentiasa dimunculkan di dalam wacana berkaitan dengan fahaman ini.

Kelompok ini menerima dana yang besar daripada pendana luar negara seperti Asia Foundation, dan sebagainya. Mereka aktif dalam pelbagai wacana awam dan kelihatan berprestij dengan program yang diadakan di hotel, saluran radio tv dan pelbagai medium yang lain.

Di Malaysia kelompok Islam liberal mewujudkan jaringan tersendiri, antaranya forum Islam liberal (FIL) yang secara konsisten menebarkan fahaman sesat ini.

Penulis teringat pertemuan dengan almarhum Ustaz Hussein Umar, ketua Dewan Dakwah Islamiyyah Indonesia pada awal 2005 di Jakarta yang mengingatkan penulis dan anak muda Islam untuk mengawasi penularan Islam Liberal di Malaysia.

Almarhum mengingatkan tentang NGO yang bernama SIS yang gencar menyebarkan fahaman sesat ini, malah dengan kunjungan -kunjungan tokoh Islam liberal Malaysia yang kerap ke Utan Kayu Jakarta iaitu markas besar JIL.

Hari ini ingatan Ustaz Husein Umar menjadi realiti apabila arus Islam Liberal dan pluralisme agama makin mendapat tempat dihati umat Islam yang jahil dan lingkungan sosial yang semakin jauh daripada Islam.

HARAKAHDAILY 5/11/2014

Penulis ialah AJK PAS Pusat yang juga Timbalan Pengerusi Lujnah Dakwah PAS.

GUA IKUT ENTA

Buku yang baru dibaca :

guaikuenta

Penulis : Riduan Mohamad Nor

Penerbit : Jundi Resources

Harga : RM20.00 / RM22.00

“Perintah dunia kita, jika orang Jepun masuk Islam. Sifat-sifat terpuji Islam direngkuh oleh mereka,” ujar aku perlahan. Teman pemandu bercerita tentang kehidupan rakyat Malaysia di Negara itu. Budaya persaingan, juga sisi hitam putih rakyat Jepun. Ada wilayah hitam yang tidak diterobos oleh media.

Engkau tahu kawan tentang dunia gelap Yakuza? Manusia berdarah dingin yang siap membunuh dengan punting rokok yang tidak terlepas di bibir. Juga geisha yang menggiurkan pesona seorang lelaki. Juga kisah manusia yang dengan mudah menjunamkan diri dari bangunan pencakar langit dengan masalah yang remeh temeh. Bumi Sakura paling ramai bilangan yang membunuh diri. Islam perlu disampaikan kepada mereka.

Buku yang baru dibaca :

Penulis : Riduan Mohamad Nor & M. Abd Malik Abd Karim

Penerbit : Jundi Resources

Harga : RM25.00/RM27.00

Dr. Muhammad Mursi dilahirkan pada 20 Ogos 1951 di wilayah Syarqiyah, di sebuah perkambungan al-‘Idwah. Beliau hidup dalam sebuah keluarga sederhana yang mementingkan pendidikan Islam. Bapanya seorang petani dan ibunya seorang suri rumah. Mursi mendirikan rumahtangga pada tahun 1978, dikurniakan lima cahaya mata dan tiga cucu. Beliau dan isteri serta lima orang anaknya menghafal al-Quran.

***

Sumber ‘Masr al-Youm’ (akhbar Mesir) melaporkan dua ‘cabaran utama’ pasukan polis dan pihak keselamatan yang mengiringi Presiden baru Mesir, Dr Muhammad Mursi :

1. Suka menunaikan solat subuh berjemaah di masjid.

2. Enggan menutup lalu lintas jika kenderaannya berada di jalanraya kerana tidak mahu menyusahkan rakyat.

Menurut pihak keselamatan, mereka tidak terbayang Presiden akan meminta untuk menunaikan solat di masjid, bukan di rumah yang memaksa mereka menjaga keselamatan Presiden yang menjadi tanggungjawab utama mereka. Menurut sumber, Presiden juga telah mengimami solat kakitangan istana yang bersama-sama beliau semalam dan hari sebelumnya.

Selain itu, Presiden juga tidak suka pegawai keselamatan berdiri di panas terik bagi mengawalnya. Beliau bertanya kepada pengawal, “Mereka berdiri sudah berapa lama?” Jawab pengawal, “Sudah lebih dua jam.” Presiden kemudian memarahi dan menyuruh mereka pulang. Anda tahu jam berapa waktu solat subuh di Mesir musim panas sekarang? Pukul 3.05 pagi!

Buku yang baru dibaca :

Penulis : Riduan Mohamad Nor
Terbitan : Jundi Resources
Harga : RM18.00

Isi Kandungan

1. Tokoh agama dan lingkaran fenomena
2. Ustaz Azhar Idrus, Daie Sejuta Ummat
3. Kejora yang menyinari Langit Malam
4. Bagaimana Ustaz Azhar Idrus bermula
5. Aura dan magnet Ustaz Azhar Idrus
6. Kerikil-kerikil di Jalan Dakwah
7. Man Jadda Wajada
8. Menjawab fitnah yang cuba memalitkan aib
9. Sham Kamikaze: “Ustaz Azhar dan Anak Muda”
10. Anda Bertanya, Ustaz Azhar Idrus Menjawab

Penceramah fenemenal merupakan sisi terang yang sentiasa berlaku di belahan dunia Islam di setiap zaman. Abad ke-20 sendiri menyaksikan pelbagai tokoh muncul di pelbagai dunia Islam. Contoh karismatik seorang tokoh gerakan Islam sebagaimana yang dirakam oleh langit sejarah seperti Imam Hasan al-Banna yang menubuhkan Ikhwanul Muslimin pada tahun 1928 di bandar Ismailiah Mesir. Kecerdasan al-Banna dalam mentarbiah dan membina, akhirnya meletakkan Ikhwanul Muslimin sebagai gerakan fenomenal dalam kurun ke-20 dan 21.

Paling akhir negara kita digegarkan dengan fenomena Ustaz Azhar Idrus yang muncul seiring dengan kepesatan teknologi jalur lebar. Terjahan langit terbuka jika diuruskan dengan baik akan menguntungkan dakwah, sebab itulah Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam Fiqhul Jihad menyarankan potensi di langit terbuka direbut oleh para pendakwah dan juga para pejuang Islam di akhir zaman. Musuh memulakan gelanggang ini, namun pejuang Islam jangan ketinggalan zaman, merebut pengaruh dan menebar kebenaran.

Ustaz Azhar Idrus adalah contoh kehebatan daie yang pandai memanfaatkan ruang maya ini. Maestro dakwah ini bukan sahaja meriuhkan panggung dakwah dengan pendekatan kuliah santai yang begitu meramahi anak muda tetapi juga dengan pelbagai pendekatan dakwah yang mesra anak muda.

Fenomena Ustaz Azhar menenggelamkan kemasyhuran pendakwah lain walaupun dikekang unuk muncul di media arus perdana, namun anak muda hari ini yang tidak bergantung dengan media arus perdana mendapat sentuhan luar biasa (pelbagai asbab) juga telah mengembalikan ramai anak muda yang nakal untuk mengenali  sejadah dan masjid.

Beliau tidak memusuhi budaya popular tetapi merapati anak muda dengan menyelami budaya popular dan faktor inilah juga ramai selebriti  tanahair mendekati kuliah beliau dan mencari kehidupan bertuhan.

Ustaz Azhar Idrus, sosok istimewa yang kini menjadi fenomena anak muda. Kehadirannya dalam program seperti magnet sebenar bukit Uhud yang mampu menyihir anak muda pelbagai jalur, daripada kelompok berserban dililit kemas sehinggalah para rockers koyak dengan ‘muka pecah gudang’. Sudah tentu ada yang istimewa dengan pendakwah ini sehingga dia diminati dan dicemburui, limpahan publisti telah memuncakkan nama pendakwah dari negeri penyu menangis ini.

Mampirlah anak muda, mampirlah orang kebanyakan, mampirlah mat rempit, mampirlah artis.. hidayah perlu dicari, bukan dinanti. Dekatilah daiemu, carilah sinar dan hidayah-Nya sebelum nafas berada di tenggorok. Masa itu tidak gunanya sesalan, tiada gunanya harta berjuta.

DISIPLIN BERJAMAAH

 

 

 

 

 

Buku Yang Baru Dibaca :

Editor : Ustaz Riduan Mohamad Nor

Penerbit : Jundi Recources

Harga : RM10.00

Keilmuan yang dikahwinkan dengan segudang pengalama di medah jemaah, yang dirempuh semenjak usia belasan tahun. Jemaah diuji dengan kepayahan dan kesenangan naum beliau tetap dengan dirinya yang sederhana. Intailah dia di markas tarbiah, di halaman markas dengan hamparan rumput hijau yang dipastikan terpelihara, memungut sampah sarap agar keceriaan markas melambangkan citra perjuangan Islam yang mendambakan kebersihan.

Ustaz membersihkan tandas markas, memeriksa aliran longkang agar tidak tersumbat, walaupun beliau seorang ahli legislatif yang berkesan di Dewan Negara. Sosok seperti ini juga sukar digalang ganti, mesra dengan anak muda, mudah berkira dengan orang tua, mendengar dengan setia rintihan dan masalah ahli bawahan.

Marah dan jerkahlah, Ustaz akan membalas dengan senyuman, sedangkan dia juga mampu menunjukkan ‘kebanjarannya’. Makan bersila, berlaga lutut dengan ahli bawahan di bawah rimbunan teduh pokok, bergurau mesra merapatkan jurang pimpinan dengan akar umbi yang pelbagai.

Saya akan terus memancang sebuah ingatan Ustaz Hassan terhadap kami pimpinan pemuda, “PAS parti orang kampung, orang susah menyokong PAS kerana perjuangan Islam yang PAS bawa, jagalah akar umbi, jagalah cawangan-cawangan”.

***

Buku ini adalah koleksi 10 artikel berkenaan Allahyarham Ustaz Haji Hassan Shukri (71 tahun) yang telah kembali kerahmatullah pada 14 Jun 2010 Hospital Selayang Selangor. Juga satu artikel oleh Allahyarham sendiri bertajuk ‘Fikrah Pemimpin’ yang pernah disiarkan oleh Harakah pada tahun 1988.

MEMOIR TRAGEDI MEMALI

Buku Yang Baru Dibaca :

Penulis : Riduan Mohamad Nor & C.N. Afghani

Penerbit : Jundi Resources

Harga : RM20.00 / RM22.00

“Yang wajib kita perjuangkan ialah Islam, bukan bangsa. Perjuangan bangsa ialah perjuangan taghut yang Nabi tidak mengaku ummat. Apalagi kerajaan yang zalim yang tidak menghukum dengan hukum Allah, memakai undang-undang otak manusia. Sebab itu jika mereka mati di dalam perjuangan bangsa, Nabi tidak mengaku umat”. – Ucapan Ustaz Ibrahim Libya (1985).

Baling terus melakar nama dengan berlakunya peristiwa Memali pada 19 November 1985, peristiwa pembunuhan yang tragis, tanpa mendapat keadilan daripada sistem perundangan yang ada, darah yang tumpah seolah darah kerbau tanpa nilai. Memali berlaku di tengah gejolak kebangkitan Islam yang sedang menyerbu dunia Islam termasuk Malaysia.

Angin kebangkitan Islam menyenak dinding kejahilan ummat, anak-anak muda menjadi peserta barisan hadapan yang mengumandangkan keperluan untuk kembali menghayati Islam sebagai cara hidup.

%d bloggers like this: