Tag Archive: Recep Tayyip Erdogen


turki6

Sumber : http://bm.harakahdaily.net/index.php/columnist/subky-latif/20175-turki-di-bawah-erdogen-tak-sama-dengan-negara-arab

Subky Abd Latif

SEMUA negara Arab baik yang terlibat dengan Arab Spring dan tidak, tidak sama dengan Turki yang ditadbir oleh Perdana Menteri Recep (Rejab) Tayyip (Taib) Erdogen dan partinya AK. 

Rata-rata negara Arab  dan pemerintahannya diktator baik ia monarki atau republik. Rakyat tidak dapat bersuara, tidak dapat menikmati keadilan sosial, bagi yang tidak berminyak hidup dalam kemiskinan sedang pemerintahannya  kaya raya. Rata-rata rasuah dan tiada negara yang dapat dijadikan contoh negara Islam. Dengan segala  yang ada di negara-negara Arab itu tiada yang terkejut jika Arab Spring berlaku.

Semua tahu Turki sejak kalahnya khilafah Osmaniyah. Ia negara  sekular anti-Islam dan anti-Arab. Sekularisma adalah fahaman yang tidak hidup dan ditadbir secara agama tetapi ia tidak anti mana-mana agama. England adalah sekular tetapi Queennya boleh menjadi ketua agama Kristian dan gereja. Ia boleh membantu keperluan rakyat secara agama tetapi kerajaan dan politiknya tidak dijalankan mengikut kehendak agama.

Kerajaan Turki tidak ada bajet tentang Islam. Tiada surau di mana-mana bangunan kerajaan. Siapa yang hendak solat di waktu pejabat, solatlah secara curi. Kerajaan dan kaki tangannya dikira jenayah jika melibatkan diri dengan Islam. Islam adalah dalam rumah dan masjid. Sekularismanya adalah anti Islam.

Ia tidak pernah ada kerajaan yang stabil setelah ketiadaan Kamal Ataturk. Ia demokrasi tetapi tiada parti politik yang dapat majoriti sebelum  parti dan kerajaan Erdogen. Kebanyakan kerajaan yang dibentuk adalah kerajaan campuran. Ekonominya buruk, inflasi tinggi. Nilai mata wang Liranya berubah mengikut minit. Nilai petang sudah tidak sama dengan nilai tengah hari. Harga barang berubah setiap minggu.

Wajib bagi Istanbul putus bekalan air paling kurang dua hari  seminggu. Parti Ergoden adalah yang pertama dapat membentuk kerajaan majoriti Turki. Pertama kali partinya menyertai pilihanraya, ia menang.

Semua mengaku kerajaan Erdogen berjaya memulihkan politik, ekonomi, memendung inflasi, mengukuhkan Lira dan  dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat. Bekalan air  di Istanbul tidak putus lagi. Kerajaannya adalah antara yang terbaik di dunia dan berada di depan dibandingkan kebanyakan negara Arab dan Islam.

Stesyen TV CNN pun bertanya apa yang rakyat Turki mahu dengan tunjuk perasaan anti kerajaan yang merebak ke seluruh negara sejak lebih dua minggu lalu? CNN mengakui kerajaan Erdogen telah melakukan yang terbaik yang belum dapat dicapai oleh kerajaan yang terdahulu. Erdogen telah menyelamatkan negara dan rakyatnya dari kehancuran.

Turki cuba menyertai pakatan komuniti Eropah untuk membolehkannya menikmati kejayaan ekonomi dan sosial yang Eropah capai. Tetapi ia tidak tolek sebabnya komuniti itu adalah untuk Kristian dan Turki adalah Islam sekalipun pegangan agamanya senipis kulit bawang sebelum Erdogen berkuasa. Dan apa lagi Erdogen itu dikenali orang beragama dan pro agama,  tidak ruang diterima oleh EU.

Ketika Grecce, Itali, Sepanyol dan beberapa negara Eropah berdepan dengan ancaman muflis, Turki adalah terselamat. Turki sekarang bersaing dengan  Jepun dan beberapa negara untuk menganjurkan Sukan Olimpik. Ia menyediakan bajet yang jauh lebih besar dari persediaan Jepun.

Tidak ada yang mewajarkan rakyat Turki untuk melakukan Arab Spring. Keadaan  di Turki adalah lebih baik dan dijangka menuju masa depan yang lebih cemerlang jika parti Erdogen  terus berkuasa. Tetapi mengapa ada tunjuk perasaan  berlanjutan?

Jawabnya sekalipun Erdogen mengaku mempertahankan dasar sekular tetapi dunia barat tidak percaya kepada pegangan Islam dan mereka cemburu dengan Islam. Turki sudah ke depan dalam menghadapi isu Palestin dan amat tidak disenangi Israel. Negara-negara Arab  yang dilanda Arab Spring melihat Turki di  bawah Erdogen sebagai contoh yang baik.

Sukar bagi lain parti di Turki untuk menang selagi Erdogen menjadi pemimpin rakyat. Mereka yang menyokong Erdogen di barat tidak menyatakan tentngan kepadanya kerana dia demokrati dan pimpinannya baik. Tetapi mereka lebih suka sekular anti Islam berkuasa di Turki sekali mereka tidak mampu memajukan Turki.

turki1 turki2 turki3 turki4 turki5

Antara Gambar Pembangunan Di Sekitar Masjidil Haram. Angka 299 di atasnya, menunjukkan baki hari untuk projek disiapkan dengan izin Allah.

16 Mac 2010 (Selasa)

Apabila balik ke hotel sekitar jam 3 pagi, kami terpisah kerana ada belum selesai, ada yang sibuk mencari selipar yang entah diletak di mana ketika masuk. Ada yang kehilangan selipar dan lucu pula ada yang hilang sebelah sahaja.

Tiada sahabat-sahabat yang tahu sebenarnya dalam perjalanan balik itu, saya tersesat kerana tersalah jalan balik. Dalam keadaan panik bercampur letih dan mengantuk, saya pulang keseorangan tercari-cari bentuk bangunan hotel kami menginap.

Sebenarnya, saya nampak hotel itu tetapi tersalah jalan. Mungkin kerana sikap teruja saya hendak menangkap gambar sambil berjalan ketika itu menyebabkan saya terlalai seketika menuju ke jalan yang lain.

Tidak lama dalam solawat dan istighfar, saya menemui kembali laluan pulang.

Subuh

Meski dalam keadaan letih kerana baru selesai umrah pertama pada jam 3 pagi, kami kuatkan juga untuk turun solat Subuh di Masjidil Haram.

Memang ada di kalangan kami yang terus iktikaf selepas umrah sehingga ke subuh, sementara saya dan beberapa sahabat balik untuk tidur sebentar.

Sesudah itu, pergerakan untuk ke Masjidil Haram dilakukan secara sendirian ataupun dalam kumpulan kecil. Ini kerana masing-masing sudah tahu jalan dan ingin melakukan aktiviti ibadah menurut rancangan sendiri.

Mungkin ada yang hendak tawaf sunat lebih, atau tilawah al-Quran, zikir, iktikaf dan seumpamanya. Hanya aktiviti lawatan keluar yang dilakukan secara berkumpulan kecil atau kesemua sekali.

Sesudah subuh, saya melepak sendirian di dataran Masjidil Haram buat beberapa jam.

Duduk menyandar menghadap Kaabah antara Rukun Yamani dan Hajarul Aswad. Sambil tilawah al-Quran, sesekali saya perhati gelagat manusia yang beribadah di Baitullah.

(Saat ini saya sudah menghabiskan dua pertiga al-Quran).

Ada yang bergerak laju, ada yang perlahan, ada suami menolak isteri yang duduk di kerusi roda, tidak kurang juga yang isteri menyorong suami yang duduk di kerusi roda. Tersenyum sendirian melihat anak-anak kecil 3-4 tahun memakai kain ihram dan bertawaf bersama keluarganya.

Kalau orang Arab, yang saya perhati jamaah dari Mesir agak ramai. Begitu juga dari Oman, Syria dan lain-lain. Saya kurang maklum dengan penduduk negara ini sendiri.

Sebab ada cakap-cakap mengatakan, pengimarahan Masjidil Haram dengan ibadah umrah dan haji majoritinya oleh umat Islam dari negara luar, bukannya orang Saudi. Wallahu a’lam.

Sementara yang bukan Arab, selain kumpulan umrah dari Malaysia, kelihatan dari Indonesia, juga sedikit dari Iran. Biasanya rombongan Malaysia dan Indonesia ini dikenali dengan lambang negara, paras rupa, serta telekung putih muslimat yang lebih panjang ke bawah berbanding orang Arab.

Namun, yang jelas dan paling menonjol ialah kumpulan-kumpulan umrah dari Turki yang mudah dikenali. Kebanyakan mereka orang-orang tua dan bergerak secara kumpulan, zikir mereka juga beramai-ramai dipimpin oleh seorang ketua.

Pakaian mereka biasanya warna krim, coklat muda atau kelabu, dengan tertera lambang dan bendera negara Turki. Saya masih mendengar ungkapan takbir mereka dengan bunyi lafaz ‘Allahu Acbar’.

Perlu kita ingati bersama, sewaktu Mustafa Kamal Atarturk memerintah Turki, beliau melarang semua unsur serta syiar Islam dan bahasa Arab berleluasa di negaranya. Azan dalam bahasa Turki, pakaian menutup aurat seperti tudung dilarang dan sebagainya.

Dalam masa yang sama, unsur sekular dan mungkar diterap bersungguh-sungguh. Budaya tari menari, pergaulan bebas lelaki perempuan, minum arak secara terbuka dan seumpamanya.

Pernah rakan saya bercerita, dia menjumpai kedai-kedai di Turki yang menjual al-Quran dan buku-buku lucah di meja yang sama sekaligus.

Namun Allah SWT memastikan bahawa agama Islam tidak pernah terhapus di bumi Turki. Ini terbukti dengan bercambahnya pusat-pusat tahfiz al-Quran di sana, serta kehadiran rakyatnya menunaikan ibadah haji dan umrah di sini.

Lebih jelas, kemenangan Parti Islam Refah satu ketika dahulu dan berterusan sehingga kini dengan parti serta kumpulan Islam iaitu Parti Pembangunan & Keadilan (AKP) memegang tampuk pemerintahan di bawah pimpinan Recep Tayyip Erdogen, menunjukkan umat Islam di Turki masih sayang kepada Islam.

Ada rezeki, ingin benar pula saya berziarah ke sana, melihat kesan sejarah pemerintahan Khilafah Uthmaniah yang telah berakhir pada 1924. Mudah-mudahan Allah membantu.

Suasana Masjidil Haram sesudah solat subuh pada 16 Mac 2010

Antara kumpulan umrah dari Turki.

Anak kecil berihram bersama keluarganya (tidak kelihatan) di Masjidil Haram

Suasana Masjidil Haram setelah solat Maghrib pada 16 Mac 2010

%d bloggers like this: