Tag Archive: Ranau


 IMG_7785

Dengan izin Allah, kami selamat tiba di lokasi pada 7.30 malam tadi pada saat kedengaran iqamah isyak dilaungkan di Masjid al-Bukhari.

Kami mendapat tahu hidangan berbuka puasa sudah disediakan pihak asrama, kerana jangkaan awal kami tiba menjelang maghrib.

Sebenarnya, kami hampir-hampir membatalkan program pada saat-saat akhir khususnya setelah suhu kereta persona saya menghala ke 120 darjah.

Ketika itu kami sudah memulakan perjalanan dan singgah di stesen minyak petronas Kg Bakut, Tuaran.

Hampir jam 6 petang, barulah perjalanan dapat diteruskan setelah usaha-usaha mengurangkan suhu kereta dapat dibereskan. Mujurlah keadaan itu disedari lebih awal, dan bukannya ketika perjalanan mendaki banjaran Croker.

Alhamdulillah.

Di lokasi, program bermula pada jam 9.30 malam setelah para pelajar selesai menunaikan solat tarawih. Untuk program kali ini, ia dipimpin oleh Ust Amir Hamzah.

Saya mengisi slot pertama – Asas Islam & al-Quran. Dibentangkan hadapan pelajar sekolah agama, ia lebih mudah kerana mereka mempunyai asas yang baik khususnya peserta yang terdiri pelajar tingkatan 4-6.

Sesi malam berakhir pada jam 12 tengah malam dengan latihan dalam kumpulan (ldk) pertama. Untuk malam ini, program diadakan di dewan sekolah.

IMG_7804

IMG_7784

IMG_7779

Hari kedua (Masjid al-Bukhari).

IMG_7851

Slot pertama bermula jam 6.30 pagi dengan penampilan sulung Ust Arbaen Syawal dari SK Mutiara, KK dengan tajuk Mukjizat al-Quran. Memang beliau pernah beberapa  kali menyertai program seumpama ini sebagai pemerhati sahaja.

Kali ini beliau tampil sebagai penceramah dan alhamdulillah, kami bergembira dengan penyampaian beliau. Kemunculan sulung ini biasanya sangat penting sebagai rekod pertama dan bagi saya, beliau lulus dengan cemerlang.

Ceramah berikutnya menampilkan Ust Amir Hamzah memimpin tajuk Asas Bible. Saya perhatikan, beliau semakin mahir dengan huraian-huraian yang mudah difahami para peserta seramai 100 orang itu.

Sebelum tengahari, Ust Zulkifli Nawawi dari SMKA KK mengambil alih dengan huraian sejarah agama Kristian. Beliau jarang menyertai program ini kecuali beberapa kali, tetapi ceramah beliau tetap tidak menghampakan.

Selain ceramah, program turut diselang selikan dengan latihan dalam kumpulan (ldk) sebanyak 5 kali. Ldk terakhir ialah kombat kit pendakwah, dimana peserta didedahkan dengan contoh-contoh persoalan atau serangan-serangan terhadap islam.

Antaranya dakwaan Islam sebagai agama pengganas, diskriminasi terhadap wanita, nabi berkahwin lebih daripada 4 isteri, dan sebagainya. Peserta didedahkan kaedah dan jawapan-jawapan untuk menepis dakwaan ini.

 Alhamdulillah, menjelang asar, program berakhir dengan sesi fotografi. Apa yang diharapkan, matlamat kami ialah agar para peserta semakin kasih dengan agama ini dan istiqamah dalam mengamalkan ajaranNya.

Terima kasih buat sahabat-sahabat di sana khususnya Ust Rezany – walaupun dalam keadaan kurang sihat, Ust Jazlan dan beberapa tenaga pengajar lagi. Juga buat para pelajar yang sangat sporting sehingga ke akhir program. Mereka memberikan reaksi yang baik dalam setiap ceramah dan ldk.

Tidak ketinggalan buat para fasilitator dari Persatuan Siswazah Sabah (PSS) dan rombongan Ust Zul dari SMKA KK.

Ada umur bertemu lagi. Kami beredar untuk ke lokasi berikutnya pula.

IMG_7863

IMG_7867

IMG_7872

IMG_7886

 IMG_7346

7) Ustaz Hj Abd Aziz Samad

Bagi para pelajar lepasan SMAI TPHR, sudah tentu tidak dapat melupakan jasa guru ini khususnya dalam ilmu seni khat.

Sehingga hari ini, hasil tangan dan didikan beliaulah SMAI TPHR sentiasa berada di hadapan dalam pertandingan sepanduk dalam perhimpunan Maulidur Rasul, dimana ukiran khat menjadi ukuran utamanya.

Bukan setakat sepanduk SMAI TPHR, mana-mana sepanduk yang mendapat nombor dalam mana-mana kategori sama ada jabatan, swasta, IPT, sekolah, kampung dan seumpamanya, pasti orang belakang tabirnya ialah anak-anak lepasan SMAI TPHR.

Ust Abd Aziz adalah orang Kg Bijal Jitra Kedah. Beliau berkhidmat selama 36 tahun di bumi Sabah.

Dahulu ketika datang pada 1973, beliau memulakan khidmatnya di SK Bundutuhan Ranau. Ketika itu sekolah-sekolah berada di bawah pentadbiran kerajaan negeri.

Tiga tahun di sana, beliau berpindah pula ke SUI Ranau selama 7 tahun pula sehingga 1982. Ketika di daerah Ranau inilah anak kedua hingga keempatnya dilahirkan.

Dari Ranau, beliau sekeluarga berhijrah pula ke Tuaran sehingga 1990. Di Tuaran ini ustaz bertugas di beberapa tempat. Antaranya SUI Tuaran, SUI Tembalang, SUI Mengkabong dan SUI Giling.

Pada 1990, barulah ustaz ke SMAI TPHR. Saya teringat lagi, suara lantang beliau mengajar sehingga menerobos ke bilik darjah yang lain.

Pada 2006, ustaz menamatkan tugasnya di Sabah dan kembali ke Kedah, khususnya di Kg Tanjung Musang, Jalan Telok Jamat, Mukim Langgar Alor Star. Di sinilah kampung isteri beliau, Ustazah Hjh Che Jam yang kami kenali sebagai ustazah yang peramah.

Rumahnya kini sebenarnya telah dibina sejak 1975 lagi, ditambah dan dibesarkan sedikit demi sedikit sehinggalah apa yang ada pada hari ini.

Ustaz ada mengusahakan kebun duku, rambutan, pisang dan sebagainya yang terletak di sebelah rumahnya seluas 3 ekar. Ustaz juga ada kebun getah tidak jauh dari rumahnya.

Di rumah ini, ustaz dan ustazah tinggal berdua saja. Anak pertama berada di daerah lain di Kedah ini, sementara yang kedua dan ketiga berada di Sabah (Ust Azlan dan Ustazah Norazlinda)

Sementara yang bungsu, Nor Azmawati kini bertugas sebagai pensyarah di UiTM Segamat, dimana Prof Dr Hj Md Kamil Ibrahim menjadi pengarahnya.

Azma juga khabarnya sedang meneruskan pengajian ke peringkat PhD dan bakal menamatkan zaman daranya pada 12 Disember ini atas pilihan keluarganya.

IMG_7368

8) Hj Ali Sibramulisi Hj Abd Rahman @ Pak Ali

Secara jujur, saya tidak pernah bertemu dengannya tetapi namanya cukup harum dan terkenal khususnya ketika beliau mengasas dan mengimarahkan Surau Bernas di Kolombong.

Pak Ali berada di Sabah lebih 20 tahun dan tugasan terakhir beliau adalah sebagai Pengurus Pemasaran Bernas Negeri. Banyak cerita suka duka beliau khususnya penglibatan beliau dalam PAS.

Di Surau Bernas itu, antara tokoh yang pernah mengisi ceramah adalah Ust Hj Abd Ghani Samsuddin, Tuan Guru Hj Yahya Joned, Ust Yusuf Embong, Ust Wan Azhar dan ramai lagi.

Apabila beliau meninggalkan Sabah pada 2003, surau Bernas terus malap dan terbiar. Baik oleh orang Bernas mahupun penduduk taman sekitar.

Semenjak sebulan dua ini, barulah ia dimeriahkan semula atas inisiatif penduduk berhampiran khususnya mereka yang cintakan surau dan program keagamaan.

Pak Ali beristerikan orang Weston Beaufort – Puan Rosni Sulai yang kini menghidapi penyakit kencing manis. Kaki beliau menjadi kaku, tidak dapat bergerak dan berjalan sendiri.

Pak Ali tinggal di sebuah kedai runcit miliknya di Kg Gelam, Langgar. Kedai itu telah diusahakannya sejak 3 tahun lalu. Di sinilah beliau tinggal bersama isteri dan seorang anaknya daripada sejumlah 8 cahayamata.

Sementara yang lain berada daerah dan negeri lain. Ada seorang di sabah, 3 orang di KL, seorang di Norway, seorang di Pahang, seorang di Kedah.

Sambil mengusahakan kedai, Pak Ali juga dilantik sebagai ketua kampung di sini.

IMG_7443

9) Cikgu Md Nasirin Abd Ghani.

Cikgu Nasirin orang Terengganu. Beberapa ketika, beliau pernah bertugas di Sabah khususnya di SMK Teknik Likas sehingga mendirikan rumahtangga dengan orang Sabah dan beroleh seorang putera bernama Muhammad Wafiy. 

Secara jujurnya, saya lambat merapati beliau.

Saya merasakan waktu paling dekat ialah ketika kami pulang bersama dari Tamparuli setelah bermesyuarat bersama perihal seorang remaja yang hendak dimurtadkan keluarganya. Peristiwa itu berlaku setahun lalu.

Di kereta itulah kami banyak berbual tentang peribadinya.

Ketika beliau menghadapi masalah rumahtangga sehingga berakhir dengan perceraian, saya juga salah seorang yang mengetahuinya daripada peringkat awal.

Apabila bertemu di Permatang Pasir malam minggu lalu, setelah 2 bulan beliau berpindah ke mari, saya mendapat tahu beliau menjalinkan hubungan dengan seseorang pula. Jangan salah sangka, menurut penilaian saya hubungan itu masih bersih sehingga kini.

Tiada lain nasihat dan pandangan saya selain agar Cikgu Nasirin cepat-cepat berumahtangga. Bila bertemu orang yang baik agamanya, apa lagi hendak ditunggu. Sementara umur masih muda..

RANCANGAN YANG TIDAK MENJADI

IMG_6701

Ketika berprogram ke Ranau semalam, saya ada beberapa rancangan lain selepas itu. Sekurang-kurangnya adalah program lain selain ceramah di sekolah.

Saya berhasrat bertemu seorang ustaz @ pendakwah yang telah lama bergiat dalam dunia dakwah ini. Namanya Ustaz Hassan yang berasal dari Kelantan.

Dahulu beliau berkhidmat di Kota Belud dan kemudian beralih ke Ranau. Sudah puluhan tahun beliau di bumi Sabah ini. Hasrat bertemu tidak kesampaian kerana beliau balik bercuti ke Kelantan.

Berehat di Masjid Jamek Kundasang, saya juga berhasrat bertemu keluarga imam masjid di sana. Anak-anak beliau adalah rakan-rakan kami ketika di Mesir.

Ust Suzairy, Ust Fadly dan Ust Nizam, Ustazah Khairunnisa. Nisa pula berkahwin dengan rakan serumah saya di Kaherah Ust Hj Azlan Bakri, orang Lumadan.

Ust Suzairy dan Ust Fadly ketika saya datang ke masjid mereka sedang berprogram di Pusat Latihan Islam (PLI) Kundasang. Ust Azlan pula menyampaikan ceramah di Kem Bina Negara BTN tidak jauh dari rumah mereka.

Nizam pula berada di Kedah dengan isteri yang baru dinikahi. Nisa tengah menunggu detik untuk melahirkan anak ketiga mereka.

Dalam perjalanan pulang, saya teringin singgah di rumah seorang sahabat, Ust Md Khairul Anwar di Nabalu. Ustaz dari Kedah yang bertahan bertugas di kawasan majoriti bukan Islam bersama isteri dan anak-anaknya.

Beliau juga berada di luar kawasan dan hanya balik ke rumah jam 5 petang. Mudah-mudahan lain kali bertemu pula.

IMG_6689

Jam 6.50 pagi, saya bertolak ke Ranau ditemani 2 anak muda yang sering menyertai kuliah maghrib saya di Masjid Nurul Ihsan, Kg Lok Kawi Baru.

Mujur ada teman seperjalanan, boleh bawa sembang dan lebih mengenali mereka. Selama ini setiap minggu mereka hadir, tetapi tidak pernah berjalan, atau minum bersama.

Hardie, 17 tahun  dan Obot 28 tahun, adalah antara pendengar setia kuliah saya di masjid mereka sejak 2 tahun lalu.

Hardie adalah pelajar tingkatan 5 SMK Tansau sementara Obot pemuda kampung yang bekerja sendiri.

Masjid Nurul Ihsan Kg Lok Kawi yang saya berkuliah setiap malam minggu sedikit berlainan berbanding tempat lain saya berkuliah. Anak muda remaja dan belianya ramai, apatah lagi ketika ada ceramah tertentu.

IMG_6660

Kami tiba lewat 5 minit berbanding jadual asal program ceramah.

Khusus untuk program ini, ia diatur oleh sahabat saya Ust Md Rezany Taufek, guru yang sudah bertugas di SMKA Mohammad Ali ini sejak 3 tahun lalu.

Rezany adalah junior sekolah, sementara isterinya bersahabat baik dengan isteri saya ketika di sekolah dan di Mesir juga. Nama mereka berdua pun lebih kurang.

Ketika di Mesir, sijil-sijil isteri saya berada di Iskandariah dan di situlah sepatutnya isteri saya belajar. Takdirnya, isteri Rezany yang ditempatkan di situ sementara nama isteri saya sangkut dan tidak dapat meneruskan pengajian selama 2 bulan sebelum lepas dan dihantar ke Mansoura pula.

Ceramah ini diatur oleh Rezany setelah beliau melayari blog Abu Nuha Corner ini, melihat team P.U.M. ligat ke sana ke mari, bahkan ke Ranau juga melintasi 2 kali sekolah mereka menuju ke SMK Lohan yang menjadi jiran mereka dan SMK Timbua yang lebih ke dalam lagi.

Katanya, cemburu melihat kami berprogram dan tidak singgah ke sekolah mereka. Apabila tarikh diajukan, saya tidak berfikir panjang untuk bersetuju.

Alhamdulillah, saya teruja berhadapan dengan 500 pelajar sekolah agama, dimana puteranya lengkap bersongkok dan berkopiah sementara semua puterinya dengan tudung labuh menzahirkan ciri muslimat yang baik.

Ceramah saya berlegar tentang 4 perkara. Matlamat hidup, isra’ mi’raj, kepentingan memelihara aqidah serta persediaan Ramadhan.

Insya Allah persetujuan asas sudah dicapai, bahawa kami akan datang lagi pada Ramadhan untuk program pemantapan aqidah pula.

Terima kasih untuk semua adik-adik di sana, yang mendengar ceramah dan yang melayan ketika kami dijamu makan. Juga ustaz-ustaz yang hadir, Ust Rezany, Ust Wan, Ust Jazlan serta Cikgu Hardi rakan lama saya yang 15 tahun tidak saya temui.

IMG_6661

IMG_6673

IMG_6677

IMG_6675

UST MD KHAIRUL ANWAR MD YUSOB

IMG_2199Dalam perjalanan pulang dari Kundasang, rombongan kami singgah di rumah Ust Md Khairul Anwar di Nabalu. Menariknya tempat ini menjadi sempadan dan hujung kepada 3 daerah, iaitu Tamparuli, Kota Belud dan Ranau.

Ust Md Khairul berasal dari Kulim Kedah. Sudah 5 tahun bertugas di SK Kaung, Kota Belud. Dahulunya beliau mengaji di Maktab Mahmud dan kemudian ke Shibin El Kom, Mesir menyambung di Universiti al-Azhar dalam kuliah Usuluddin – Tafsir sehingga 1998.

IMG_2196Di Nabalu, beliau tinggal di rumah guru SK Dallas, sekolah tempat isteri beliau Ustazah Rafidah Salleh bertugas. Jarak dari rumah di SK Dallas ke SK Kaung cuma 9km.

Ustazah Rafidah sebelum ini juga mengaji di Universiti al-Azhar, Mansoura dan tamat pada tahun 2000.

Bagi kami, Ust Khairul sekeluarga ada ruang dan boleh memilih untuk tinggal di Tamparuli, atau di Pekan Kundasang di mana umat Islam lebih ramai.

Tetapi beliau teguh untuk berada di kawasan ini yang majoriti penduduk Islamnya sangat sedikit.

Di kawasan ini, masjid dan surau memang tiada langsung. Pada hari jumaat, Ust Khairul terpaksa solat jumaat di Masjid Pekan Kundasang, kira-kira 30km.

Alangkah eloknya, jika kerajaan memikirkan untuk mendirikan sekurang-kurangnya sebuah surau khususnya di Pekan Nabalu, untuk kemudahan penduduk dan musafir beragama Islam. Pekan Nabalu ini adalah jalan utama menghubungkan Kota Kinabalu menuju Ranau, Sandakan dan Tawau.

IMG_2190Di SK Kaung, tempat beliau bertugas ada 30 pelajar muslim daripada 108 jumlah pelajar keseluruhan. Sementara di SK Dallas tempat isterinya bertugas, cuma ada 10 pelajar muslim daripada 86 pelajar.

Itu pun termasuk anak sulung mereka Khalidah Khairinah yang berada di tahun 1.

Selain Khalidah, pasangan Ust Khairul dan Ustazah Rafidah punya 2 lagi anak iaitu Abdullah Syatibi (4 tahun) dan Raihan Athirah (2 tahun).

Melihat raut wajah dan ceritanya, saya yakin Ust Khairul boleh meredah cabaran hidup bersama penduduk kampung yang rata-rata bukan Islam. Inilah ruangnya untuk memperlihatkan keindahan Islam kepada mereka.

Dalam masa yang sama, beliau boleh mengukuhkan kefahaman penduduk Islam yang beberapa kerat itu terhadap agama yang suci ini. Semoga beliau sekeluarga terus tabah.

MANDUR SYARIF

IMG_2125Bagi pengkaji sejarah perkembangan Islam di Sabah, Mandur Syarif bukanlah satu nama kecil dalam dunia dakwah khususnya di sebelah pantai barat dan di Ranau.

Raden Jaya Winata – itulah nama sebenar Mandur Syarif (menurut Pakcik Saip yang kami temui). Di Kg Tebobon dan Kg Lobou Kota Kinabalu, Mandur Syarif bekerja sebagai mandur di ladang getah. Hebatnya, beliau bukanlah seorang ustaz tetapi beliau berdakwah dan menyampaikan Islam melalui perubatan.

Kemahiran mengubat secara tradisi melalui doa-doa dan seumpamanya, memberi ruang kepada beliau untuk memasukkan unsur Islam kepada pesakit yang datang. Lebih mengkagumkan, pesakit yang berkunjung bukan saja dari kampung berdekatan bahkan sehingga ke Ranau termasuk yang bukan Islam.

Peristiwa ini dirakamkan berlaku pada tahun-tahun sekitar 40an, sehingga ramai di kalangan pesakit bukan Islam memeluk Islam secara sukarela.

Demikianlah apabila kita memerhatikan nama-nama orang Islam di sebelah Ranau khususnya orang-orang tua, nama-nama mereka mempunyai pengaruh dan unsur jawa, kerana Mandur Syarif berasal dari sana.

Ternyata setelah berlalu lebih 50 tahun, agama Islam telah berkembang begitu baik, sebahagian besarnya hasil usaha Mandur Syarif sendiri.

Terima kasih kepada Pakcik Saip – bapa kepada Ust Junaidi yang sudi bercerita kepada kami serba sedikit tentang Mandur Syarif secara spontan. Pencarian kisah beliau akan diteruskan selepas ini.

Ini adalah satu contoh yang baik khusus kepada pendakwah muda dan kepada umat Islam secara umum, bahawa apa yang dilakukan oleh Allahyarham Mandur Syarif telah menyampaikan Islam menurut kemampuan beliau sungguhpun bukan seorang ustaz.

Hakikatnya setiap orang Islam adalah pendakwah. Mandur Syarif telah membuktikannya. Kita?

IMG_2136Dua puteri manis ini adalah anak sahabat sekelas SMAI TPHR, Ustazah Jusminah Paumat @ Saip. Gambar ini diambil ketika rombongan kami berziarah ke rumah keluarganya di Kg Tagudon Lama, Kundasang seminggu lalu. Yasmin (3 tahun) dan Aisyah (9 bulan).

Ustazah Juss mendirikan rumahtangga pada 1 Mei 2005 dengan Ust Musli Ismail, penyelia di SPPIM, Jabatan Pelajaran Sabah, orang Membakut. Dahulu, Juss mengaji di UPM dalam bidang bahasa Arab dan kemudian menyertai KPLI di Maktab Perguruan Kent Tuaran pada 2004.

Juss kini bertugas di SMK Tansau, Kg Ketiau Putatan sejak pertengahan mac lalu, dan sebelum itu di SMA Limau-Limauan, Kimanis.

    IMG_2114Ada satu kesempatan kami bersama, berziarah ke sebuah masjid di Kg Bundu Tuhan, Kundasang.
    Khabarnya, masjid ini dibina sejak zaman pemerintahan USNO dan pernah dijadikan pusat pengislaman beramai-ramai satu ketika dulu.
    IMG_2118Walaubagaimana pun, masa berubah dan ramai di kalangan penduduk beragama Islam berhijrah ke Pekan Ranau dan ke daerah-daerah lain.
    Keadaan itu menyebabkan majoriti penduduk kampung ini kembali dikuasai oleh penduduk bukan Islam.
    Sebenarnya, menurut pemerhatian, penduduk beragama Islam berada di seberang selepas jambatan.
    Di sebelah itu, khususnya kampung Himbaan dan Tagudon mempunyai masjid @ surau sendiri.
    Melihat kepada struktur masjid Kg Bundu Tuhan tadi, nampaknya ia masih elok dan seperti baru diperbaiki.
    Zink atapnya baru diganti manakala keseluruhan bangunan dicat semula. Hanya sanya masjid yang masih elok ini nampaknya terbiar tanpa diimarahkan.
    Saya ada mendengar cadangan masjid ini hendak dirobohkan memandangkan ia sudah tidak dimanfaatkan.IMG_2081
    Saya berpendapat jika itu berlaku, adalah sangat malang, tambahan tidak jauh sebelum bertemu masjid berkenaan, terdapat sebuah bangunan untuk menjaga anak-anak yatim (gambar kiri) dan retreat centre milik orang Kristian. 
    Sekiranya bangunan masjid dirobohkan, secara moralnya umat Islam dilihat gagal dan kalah.
    Dalam tempoh terdekat ini, saya sangat berharap pihak berkaitan agar duduk berbincang untuk memanfaatkan masjid itu semula dalam bentuk yang lebih baik.
    Jika ia sukar diimarahkan dalam bentuk masjid lagi kerana di kampung ini orang Islam tiada langsung (?) atau sangat sedikit, bolehlah diikhtiarkan agar ia menjadi pusat pengajian atau penempatan muallaf atau seumpamanya.
    Alangkah moleknya jika Yayasan Amal Malaysia Negeri Sabah dan Persatuan Siswazah Sabah boleh memulakan projek memuliakan semula masjid ini bersama-sama JHEAINS Ranau.

img_2158Encik Siriman MF Basir ketika merasmikan penangguhan Bengkel Peningkatan Kualiti Muslim di Dewan Tun Mustapha, Pusat Latihan Islam (PLI) Kundasang ahad lalu mengharapkan gandingan mantap semua agensi berasaskan Islam bagi mengukuhkan program pemantapan aqidah kepada umat Islam khususnya di Ranau.

Dalam konteks Sabah, antara lain beliau menyebut seperti Badan Dakwah Daerah, JHEAINS, JAKIM serta NGO’s Islam seperti USIA, ABIM, Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) dan lain-lain.

Beliau yang juga Pegawai Daerah (D.O.) Ranau merangkap Pengerusi Badan Dakwah Daerah berkata, pada zaman ini semua pihak perlu berganding bahu menjayakan program bermanfaat memandangkan pihak-pihak lain juga giat mengadakan program yang bertentangan dengan ajaran Islam.

“Kalau pertandingan karaoke, unduk ngadau, konsert artis ramai yang hadir melihatnya”, kata di hadapan 150 peserta, sambil mengharapkan penganjur lebih kreatif menarik golongan muda.

Dalam ucapan beliau itu juga, Siriman meluahkan penghargaan beliau kepada Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) yang merintis program ini ke pelusuk daerah seluruh Sabah, selain mengucapkan terima kasih atas kesudian dua penceramah berkaliber iaitu Tuan Hj Ayub Abd Rahman dan Tuan Hj Nicholas Sylvester Abdullah hadir ke daerah Ranau.

Program sejak petang jumaat itu berakhir pada tengahari ahad adalah anjuran bersama JHEAINS, JAKIM dan NGO’s Islam.

Dari Pusat Latihan Islam (PLI) Kundasang, yang suhunya sekitar 15 darjah, pagi-pagi sementara menanti sarapan, saya paparkan kembali gambar-gambar berlatarkan gunung tertinggi di Asia Tenggara ini.

Renungan jauh.. memikir masalah yang melanda umat. Hj Ayub Abd Rahman Abdullah

Renungan jauh.. memikir masalah yang melanda umat. Hj Ayub Abd Rahman Abdullah

"Umat Islam di Sabah wajib bersyukur, Allah SWT memberi nikmat gunung kinabalu yang sangat cantik dan gagah. Tiada sesiapa yang boleh menjadikan makhluk sehebat ini kecuali Allah. Besarkan dan agungkan Allah" - Hj Ayub

"Umat Islam di Sabah wajib bersyukur, Allah SWT memberi nikmat gunung kinabalu yang sangat cantik dan gagah. Tiada sesiapa yang boleh menjadikan makhluk sehebat ini kecuali Allah. Besarkan dan agungkan Allah" - Hj Ayub

Azizul dan Jubair, dua anak muda Kundasang yang bakal membela masyarakat Islam setempat

Azizul dan Jubair, dua anak muda Kundasang yang bakal membela masyarakat Islam setempat

Rombongan Kota Kinabalu merakam kenangan

Rombongan Kota Kinabalu merakam kenangan

"Sudi apalah kiranya Tuan menurunkan ilmu-ilmu berharga itu kepada kami.."

"Sudi apalah kiranya Tuan menurunkan ilmu-ilmu berharga itu kepada kami.."

Dokumentasi - Che'gu Jamil merakam hasrat, cita-cita, harapan dan penghargaan dalam program pemantapan aqidah.

Dokumentasi - Che'gu Jamil merakam hasrat, cita-cita, harapan dan penghargaan dalam program pemantapan aqidah.

%d bloggers like this: