Tag Archive: Ramadhan


TAZKIRAH RAMADHAN (10)

Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz

Tazkirah Ramadhan (10)

Sifat amanah adalah mutlak, tak boleh dibelah dan dipisah-pisahkan. Sekali khianat, amanah menghilang walau janji berbuih mulut.

Tiada lagi kepercayaan nabi Yaakob عليه السلام terhadap anak-anaknya yang telah mengkhianati amanah pertama (menjaga Yusuf عليه السلام).

(قَالَ هَلْ آمَنُكُمْ عَلَيْهِ إِلَّا كَمَا أَمِنْتُكُمْ عَلَىٰ أَخِيهِ مِنْ قَبْلُ ۖ فَاللَّهُ خَيْرٌ حَافِظًا ۖ وَهُوَ أَرْحَمُ الرَّاحِمِينَ)

Maksudnya: “Berkata Yaakob (kepada anak-anaknya): Tiada lagi aku mempercayai kamu dalam menjaganya (saudara Yusuf) kecuali (aku mungkin dikhianati lagi) sebagaimana aku telah mempercayai kamu dalam menjaga saudaranya (Yusuf) sebelum ini. Maka ALLAH-lah sebaik-baik penjaga dan DIA-lah tuhan yang maha merahmati”

[Surat Yusuf 64]

PENGAJARAN

Jagalah sifat amanah dalam diri sebaik-baiknya. Sekali khianat, jangan mengharap kepercayaan datang balik dengan mudah walaupun bernama al Amin atau bergelar amanah.

TAZKIRAH RAMADHAN (9)

Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz

Tazkirah Ramadhan (9)

Diciptakan manusia di atas fitrah atau kesemulajadian menyembah ALLAH, tuhan yang menciptakan-NYA. Fitrah tidak dibina dengan ilmu, bahkan ia adalah binaan asal seluruh makhluk tanpa tuntutan menambah ilmu.

Justeru anda boleh melihat ada di antara muslim yang soleh adalah orang awam yang sedikit sekali ilmunya. Dengan ilmu yang sedikit mengenai Islam dan iman, dia sudah melihat wujud dan esa ALLAH dalam hidupnya, lalu dia menyembah ALLAH dengan penuh khusyu’.

Tetapi fitrah adalah kesucian yang diciptakan ALLAH di alam atas (alam malakut) yang penuh kesucian. Ia begitu sensitif dan akan terdedah kepada gangguan kekotoran jika diletakkan di tempat yang tidak suci dan bersih.

Oleh kerana manusia diciptakan dengan ketentuan san hikmat daripada-NYA untuk dihantar hidup di dunia yang penuh kekotoran dan ujian, maka fitrah yang suci itu mula dilekati dan dicomoti kekotoran duniawi sebaik bayi kecil dilahirkan ke dunia bersama fitrah kesemulajadiannya yang mengenali dan menyembah Allah.

Setiap manusia sudah dikotori dunia kecuali para nabi yang maksum yang dijaga rapi fitrah mereka dengan kehendak ALLAH yang penuh hikmah. Kekotoran akhirnya menutup fitrah dan membutakannya daripada mengenali ALLAH. Berlakulah kekufuran dalam kehidupan. Kufur bermaksud tutupan. Fitrah yang tertimbus, tertutup dan terhalang daripada mengenal al haq.

Dihidangkan ILMU dalam kehidupan manusia. Ilmu adalah kekayaan dan anugerah. Ilmu adalah cahaya, petunjuk dan penawar yang didatangkan oleh ALLAH buat menyucikan kembali fitrah manusia yang comot, kabur dan rabun dalam mengenal dan melihat ALLAH.

Lihatlah betapa orang yang dianugerahi ilmu begitu maju ke hadapan menuju ALLAH. Mereka berjaya membersihkan jiwa dan mengembalikan fitrah yang bersinar. Dengan ilmu juga, mereka mampu menghindar fitrah daripada serangan kekotoran duniawi. Anda melihat betapa orang-orang berilmu hidup zuhud di dunia dengan ibadah dan amal soleh yang terbaik yang menyinari dunia dengan cahaya kebenaran.

Justeru pilihlah kehidupan berilmu. Pilihlah kehidupan menyucikan kembali fitrah kita yang berdepan ujian yang dahsyat. Dengan ALLAH kita bergagah dan kepada-NYA kita bergantung.

Itulah semangat Ramadhan yang hujungnya adalah perayaan Eidul Fitr. Merayakan kejayaan kembali kepada fitrah yang bersinar buat diri menyembah ALLAH tuhan yang maha agung.

Tarikh : 13 Jun 2016

Lokasi : Pekan Sook

20160613_201540 20160613_201606 img-20160613-wa0059img-20160615-wa0037 img-20160613-wa0069

Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz

Tazkirah Ramadhan (7)

#Akta355

Apabila satu hasil kajian mudah oleh seorang tokoh anak muda negara yang melibatkan undian lebih 20 ribu pengguna twitter menunjukkan lebih 80% rakyat Malaysia menyokong pelaksanaan hukum hudud (apatah lagi jika sekadar meningkatkan bidang kuasa mahkamah syariah melalui pindaan akta 355) untuk orang Islam, maka kita boleh meneguhkan beberapa hakikat berikut:

1) Arus kesedaran Islam di kalangan rakyat adalah semakin bertambah baik dan kuat berbanding dulu.

2) Arus inilah yang menjadi punca kerajaan BN akhirnya bersetuju meminda akta 355 yang bertujuan meningkatkan bidang kuasa mahkamah syariah.

Adalah nyata liatnya pihak kerajaan sebelum ini untuk menyokong pindaan ini. Tekanan tinggi oleh rakyat di samping faktor-faktor politik dan selainnya akhirnya memaksa kerajaan untuk bersetuju meminda akta ini melalui rang undang-undang persendirian presiden PAS.

3) Arus kesedaran Islam adalah paling ketara di kalangan penjawat awam dan para ilmuan muslim. Merekalah sebenarnya yang berjaya meyakinkan orang-orang politik tentang tuntutan dan keperluan sistem Islam diperkasakan di dalam pentadbiran kerajaan dan masyarakat.

4) Fenomena ini menguatkan hakikat bahawa perubahan atau islah sesebuah kerajaan, sebagaimana ia bermula dari atas oleh pemerintah sendiri, ia juga boleh bermula dari bawah oleh rakyat yang menjadi faktor pendesak yang kuat.

5) Kebanyakan tuntutan perjuangan PAS yang diterima dan dilaksanakan oleh kerajaan selama ini banyak dibantu dan disokong oleh arus rakyat daripada pelbagai peringkat. Ini menunjukkan PAS lebih berperanan dan lebih cepat membina pemikiran rakyat berbanding membina pemerintah.

6) Suatu hari tuntutan ke arah sebuah kerajaan yang adil, bersih, cekap dan berintegriti akan pasti tercapai. Sukar untuk melihat cepatnya kerajaan berubah. Tetapi kerajaan pasti berubah dengan berubahnya minda dan pemikiran rakyat yang sedang bergerak begitu positif.

7) Gerakan Islam (PAS) usah gusar dengan tuduhan musuh bahawa mereka hanya tahu berbicara mengenai hukum dan syariah Islam tetapi membelakangkan bicara mengenai penyelewengan dan salah laku pihak kerajaan (BN) dalam pelbagai skandal ekonomi dan kewangan. Hakikatnya PAS-lah pemilik penentangan terhadap kerajaan yang korup sejak dulu lagi. Ia sejarah yang ditulis tinta emas. Ia tidak akan berubah dengan izin Allah.

8) Hanya sanya yang menakutkan musuh adalah kecenderungan rakyat untuk kembali kepada Islam yang syumul dalam pemerintahan negara.

9) Matlamat mereka adalah menukar kerajaan BN. Matlamat PAS ialah menukar atau membina sebuah kerajaan dengan nilai-nilai Islam yang sejagat dan syumul.

10) Menjadi kewajiban setiap individu muslim untuk terus memugar kesedaran dan kebangkitan Islam dalam negara. Ia perjuangan yang diwarisi daripada nenek moyang terdahulu. Jangan terleka daripada sejarah gemilang Islam di tanah air tercinta dengan tipudaya dan makar pihak yang memusuhi Islam.

#TazkiahNafs
#SalamRamadhan

TAZKIRAH RAMADHAN (6)

Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz

Tazkirah Ramadhan (6)

Jika anda bertekad untuk berlumba memburu kelebihan dan ganjaran besar di bulan Ramadhan yang penuh berkat ini, maka ketahuilah bahawa sanya ada dua ibadah yang tiada tandingan baginya oleh segala ibadah yang lain. Ia adalah ibadah solat 5 waktu dan ibadah puasa.

Itulah dua kefardhuan dan persembahan yang paling disukai oleh ALLAH daripada setiap hamba-NYA.

Setiap hari sepanjang tahun, kewajiban kita adalah menunaikan solat 5 waktu. Tatkala bulan Ramadhan menjelma, ALLAH mahukan kebaikan berganda buat para hamba-NYA yang soleh dengan memfardhukan ibadah puasa yang penuh hikmat sepanjang hari beriringan dengan solat 5 waktu.

Justeru ketahuilah bahawa peluh yang gugur dek merentas kepanasan mentari atau kesejukan yang mencengkam diri di kedinginan subuh menuju solat berjamaah di masjid adalah lebih besar timbangannya di sisi ALLAH daripada air mata yang gugur pada malam hari saat menunaikan solat qiam al lail.

Begitu juga seharian puasa Ramadhan di musim sejuk yang tidak meletihkan dan melaparkan adalah lebih besar pahalanya berbanding berpuasa sunat dalam tempoh yang panjang dan kedahagaan yang melampau.

Beriktibarlah bahawa bulan Ramadhan-lah sebaik-baik masa untuk mengislahkan kembali solat kita agar bertambah khusyu’ dan nafsu kita agar menjadi suci lalu membenci kejahatan dan kefasiqan.

Kemudian, kewajiban menunaikan zakat fitrah pada bulan Ramadhan (sebaik-sebaiknya pada malam atau pagi sebelum solat hari raya) adalah mengiringi kebesaran ganjaran ibadah solat 5 waktu dan puasa. Maka tunaikanlah zakat fitrah dengan penuh keikhlasan kepada-NYA.

Oleh kerana antara hikmat terbesar berpuasa pada bulan Ramadhan adalah agar diinsafi kehidupan orang-orang miskin, maka memberi makan dan menginfaqkan harta kepada mereka adalah menjadi sebaik-baik ibadah sunat di bulan Ramadhan.

Maka tiadalah sebarang kebaikan kepada orang yang bakhil pada bulan Ramadhan. Bagaimana boleh si bakhil menuntut ALLAH bersifat pemurah dengan kurniaan pahala berganda-ganda kepadanya?

#TazkiahNafs
#SalamRamadhan

Tarikh : 12 Jun 2016

Meneruskan tradisi anak-anak bertadarrus sesama mereka dalam bulan Ramadhan kali ini. Mudah-mudahan diberikan kekuatan untuk mereka melazimi al-Quran di dalam Ramadhan dan selepasnya nanti.

20160612_112633

TAZKIRAH RAMADHAN (5)

Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz

Tazkirah Ramadhan (5)

قال الإمام ابن القيم:

والصائم هو الذي صامت جوارحه عن الآثام ، ولسانه عن الكذب والفحش وقول الزور ، وبطنه عن الطعام والشراب ، وفرجه عن الرفث.

الوابل الصيب [٤٣]

Berkata al Imam Ibn al Qayyim:

‘Orang yang berpuasa ialah orang yang mendiamkan anggota tubuhnya daripada segala dosa, lidahnya daripada bercakap bohong, kotor serta palsu, perutnya daripada makanan dan minuman serta kemaluannya daripada keberahian.’

Keterangan:

Ketahuilah bahawa ibadah puasa itu adalah jalan atau alat menuju taqwa secara intensif tetapi mudah (ولا يريد بكم العسر).

Jikalah menahan lidah dan anggota tubuh daripada melakukan kesalahan dan dosa itu dijadikan salah satu ‘rukun’ puasa sebagaimana menahan perut daripada makan dan minum, sudah pasti tiada siapa pun yang mampu berpuasa kecuali sedikit sekali.

Justeru demi kemudahan buat hamba-NYA, menjaga lidah dan anggota tubuh daripada melakukan dosa adalah menjadi syarat (bukan rukun) kesempurnaan puasa. Ia agar perlumbaan mengejar ketinggian darjat taqwa itu berterusan dan tidak terhenti pada menahan diri daripada makan dan minum sahaja (darjat paling rendah).

Beriktibarlah bahawa lebih mudah mengawal keburukan luar (makan dan minum) masuk ke dalam diri lalu merosakkannya daripada menahan keburukan dalam diri (bohong, syahwat, kotor) keluar lalu merosakkan orang lain. Justeru janganlah diri anda menjadi sarang segala kerosakan.

Bersihkan diri dan bertaqwalah. Ia sebaik-baik bekalan di dalam diri dan perjalanan menuju ALLAH.

#TazkiahNafs
#SalamRamadhan

TAZKIRAH RAMADHAN (4)

Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz

Tazkirah Ramadhan (4)

Maha suci ALLAH, zat yang esa yang memiliki segala kesempurnaan dan mustahil dicalar walau secalit kekurangan. DIA-lah yang selayaknya disembah.

Bermula keagungan ALLAH adalah pada wujud-NYA. Wujud-NYA adalah tanpa tiada, tidak pernah tiada, sedangkan yang selain-NYA, wujud mereka bermula dengan tiada.

Sesuatu yang tiada mustahil dapat mengadakan dan melahirkan sesuatu kepada ada. Bagaimana boleh digambarkan seorang anak lahir tanpa ibu atau kereta tercipta tanpa perekanya? ‘Ada’-lah yang menciptakan ‘tiada’ kepada ada, sedangkan mustahil ‘tiada’ menciptakan tiada kepada ada.

Daripada ayam wujudlah telur dan daripada telur wujudlah ayam. Justeru siapakah yang memulakan wujud telur dan ayam?

Tiada di alam ini kecuali berasal daripada tiada. Adanya kini adalah kerana adanya sesuatu yang lebih awal daripadanya, lalu menciptakannya. Itulah zat pertama yang wajib ada. Itulah ALLAH, zat yang wajib wujud dan pemilik segala kewujudan.

Justeru ALLAH itu ADA yang tidak pernah tiada. DIA-lah yang pertama. DIA-lah yang satu dan terawal yang mewujudkan ADA, yang memulakan sesuatu daripada tiada, yang menciptakan segala yang ada dan yang juga meniadakan yang ada.

Tak terkata, betapa kekufuran terhadap ALLAH adalah seburuk-buruk perbuatan dan paling terkutuk. Manakala beriman wujudnya ALLAH adalah makna dan ibu segala kebenaran dan kebahagiaan hidup.

Mari bersyukur bahawa setiap muslim telah memulakan langkah dalam hidup ini dengan benar dan asli.

Puji-pujian bagi ALLAH yang telah memberi hidayat kepada kita dengan ISLAM.

#TazkiahNafs
#SalamRamadhan

Sumber : Web JHEAINS

Jika usia kita hari ini 30, 40 atau 50 tahun, bermakna kita sudah berpuasa antara 15, 25 atau 35 kali. Apakah kesan terbesar ibadah puasa Ramadan ini kepada diri, sikap, sahsiah, akhlak, iman dan taqwa kita.

Sesungguhnya ibadah puasa itu amat berkesan dalam membentuk peribadi, sahsiah, akhlak, kesihatan dan kehidupan umat Islam, sebab ibadah puasa itu mempunyai fadilatnya khusus kepada orang yang berpuasa dengan iman dan ikhlas semata-mata kerana Allah Ta’ala. Marilah kita renung, hayati dan amalkan segala amal soleh dan amal ibadah bagi memperolehi fadilat dan kebaikan ibadah puasa kepada orang yang berpuasa, antaranya, ialah:

1. Puasa menghapus dosa, hal ini dijelaskan dalam sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa dengan penuh iman dan berazam bersungguh-sungguh, Allah mengampun dosa-dosanya yang telah lalu dan sesiapa yang bersolat pada malam LailatulQadar dengan penuh iman dan berazam bersungguh-sungguh, Allah mengampunkan dosadosanya yang telah lalu”. (HR Al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, At-Tirmizi dan An-Nasa’ie)

2. Orang berpuasa pasti akan dikurniakan kesihatan, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “…berpuasalah nescaya kamu menjadi sihat dan menggembaralah nescaya kamu menjadi kaya…”. (HR At-Thabrani)

3. Solat malam dibalas syurga. Sabda Rasulullah SAW lagi, yang bermaksud: “Wahai manusia, sebarluaskanlah ucapan salam dan berilah makan serta solatlah pada waktu malam ketika manusia sedang tidur, nescaya kamu akan masuk syurga dengan selamat”. (HR Imam AtTirmizi)

4. Qiamul-lail atau berjaga malam untuk beribadah seperti Solat Sunat Tarawih, tadarus Al-Quran, Solat Tahajud, berzikir, istighfar, bertasbih, tahmid dan lain-lain mencegah perbuatan keji, sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Hendaklah kamu sentiasa menghidupkan malam, sesungguhnya amalan ini adalah amalan orang solihin sebelum kami, ia adalah mendekatkan diri kepada Tuhan kamu, menghapuskan dosa dan menegah daripada melakukan amalan keji”. (HR Imam At-Tirmizi)

5. Syafaat puasa dan banyak membaca Al-Quran, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Puasa dan Al-Quran memohon syafaat kepada Allah pada hari Kiamat bagi orang yang berbakti (yang selalu berpuasa dan banyak pula membaca Al-Quran)…”. (HR Imam Ahmad dan lain-nya)

6. Memperolehi limpahan rahmat bagi orang yang bertadarus membaca Al-Quran sepanjang bulan Ramadan, sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “…dan tidak berhimpun suatu kaum dalam sebuah rumah (masjid atau surau) dari rumah-rumah Allah, sedang mereka membaca Kitabullah (Al-Quran) serta mereka mempelajari kandungan isinya, melainkan turun kepada mereka semangat tenang tenteram dan mereka diliputi oleh limpahan rahmat, mereka pula dilingkungi oleh Malaikat serta mereka juga dipuji oleh Allah Ta’ala dalam kalangan (Malaikat) yang ada di sisi-Nya”. (HR Muslim)

7. Terselamat dari bakaran api neraka. Dari Abu Said Al-Khudri RA berkata: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidaklah seorang hamba berpuasa satu hari di jalan Allah, melainkan dengan puasa satu hari itu, Allah menjauhkan wajahnya dari api neraka sejauh perjalanan tujuh puluh tahun”. (HR Muttafuqun A’laihi)

Ketahuilah, bahawa Allah SWT mengurniakan hamba-hamba-Nya yang beriman dengan bulan Ramadan penuh rahmat dan barakah ini, ia hanya sebulan dalam setahun.

Oleh itu, sebagai umat Islam yang beriman marilah kita rebut dan cari segala peluang dan tawaran yang terbaik ini dengan mengisi sebulan Ramadan ini sebanyak-banyak amal ibadah, amal soleh dan kebajikan seperti qiamullail, tadarus Al-Quran, sedekah, hadir majlis ilmu dan lain-lain. Namun, sia-sialah dan rugilah orang yang berpuasa tetapi sekadar lapar dahaga sahaja, berqiamul-lail sekadar berjaga malam sahaja, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Boleh jadi seorang yang berpuasa untung daripada puasanya sekadar lapar dan dahaga dan boleh jadi seorang yang solat malam (berqiamul-lail) untungnya sekadar berjaga malam”. (HR Imam Ahmad dan Al-Hakim)

TAZKIRAH RAMADHAN (3)

Tazkirah Ramadhan (3)

قال ابن القيم :
وكم من مفتون بثناء الناس عليه، ومغرور بستر الله عليه، ومستدرج بنعم الله عليه؛ وكل هذه عقوبات وإهانة، ويظن الجاهل أنها كرامة.

– من كتاب الجواب الكافي

Berkata Ibn al Qayyim:

Berapa ramai orang yang terpedaya dengan pujian manusia ke atasnya, tertipu dengan tutupan ALLAH terhadap keaibannya dan terleka (istidraj) dengan bermacam-macam nikmat ALLAH kepadanya. (Sebenarnya) Inilah hukuman dan penghinaan ALLAH ke atasnya, sedangkan si jahil itu menyangka ia adalah satu kemuliaan (karamah).

Maksud: Dosa takkan diampun tanpa taubat dan penyesalan. Nikmat yang diperolehi dalam dosa dan maksiat adalah hukuman Allah kepada orang yang melengahkan taubat, menjadikannya terus hanyut dalam dosa tanpa sedar. Justeru beriktibarlah..

#TazkiahNafs
#SalamRamadhan

%d bloggers like this: