Tag Archive: Qurban


Majlis Qurban di Surau Riyadhus Solihin Taman Austral Kepayan terbahagi kepada dua sesi; sesi satu selepas solat hari raya pada pagi jumaat dikhususkan kepada sembelihan kambing berjumlah 7 ekor sementara sesi kedua pada pagi sabtu untuk 5 ekor lembu. Terdahulu pada khamis, sehari sebelum hari raya diadakan sembelihan beberapa ekor kambing untuk ibadah aqiqah.

Untuk pembahagiannya, beberapa tim anak muda secara sukarelawan mengagihkan daging-daging qurban kepada sasaran fakir miskin dan seumpamanya di beberapa buah kampung antaranya di Kg Pasir Putih Putatan, Kg Muhibbah Putatan, Kg Sembulan, Tanjung Aru, Pulau Gaya dan lain-lain. Tahniah kepada semua peserta qurban dan para petugas.

Foto yang diambil ialah pada pagi dan petang jumaat sahaja.

Ada dua fokus utama yang dapat saya simpulkan berkenaan isi kandungan ceramah ‘Bicara Qurban’ yang disampaikan oleh Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim di Masjid al-Hilal Kg Tanjung Dumpil Putatan pada jumaat malam sabtu lepas. Pertama, galakan dan anjuran untuk mengadakan qurban; serta kedua, beberapa isu hukum berkaitan dengan ibadah ini.

Saya bersetuju dengan saranan ustaz bahawa masih ramai yang memandang remeh dengan ibadah qurban ini sama ada untuk melaksanakannya atau tatacara pelaksanaannya. Mereka yang mampu berqurban seakan memandang negatif kalimah hukum sunat pada ibadah ini sehingga mengabaikannya walaupun banyak fadhilat daripadanya. Saya kira mereka yang berkemampuan wajar insaf dengan sebuah hadith Rasulullah SAW :

“Sesiapa yang ada kelapangan (rezeki), lalu tidak mengadakan qurban, maka janganlah ia mendekati tempat solat kami” (HR Ahmad dan Ibnu Majah).

Dari segi pelaksanaan, ramai juga memandang remeh tentang pemilihan haiwannya sehingga tidak menepati syarat, sehinggalah tahap pembahagiannya  ada yang langsung tidak memberikan kepada fakir miskin yang wajib menerima sekurang-kurang sepertiga bahagian.

Cuma sahaja dengan kandungan serta penyampaian ustaz yang baik itu sepatutnya dihadiri lebih ramai audien berbanding sekitar 100 orang malam berkenaan. Jika saya boleh mencadangkan kepada JK Masjid, promosinya tidak cuma poster lewat facebook atau iklan yang ditampal beberapa masjid, bahkan berdasarkan pengalaman, undangan melalui surat jemputan kepada JK masjid berhampiran rasanya lebih baik.

Dalam konteks ini, mengundang melalui surat kepada masjid-masjid dan surau seluruh Putatan dan memohon mereka menghantar sekian wakil biasanya mendapat respon yang lebih menggalakkan walaupun kerja teknikalnya agak lebih banyak.

KISAH QURBAN KAMI

Saya ‘jeles’ kepada kesungguhan Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim sekeluarga yang mengusahakan ibadah qurban setiap tahun. Saya dimaklumkan aktiviti qurban melibatkan anak-anak dan menantu beliau yang masing-masing mengambil satu bahagian sehingga cukup qurban untuk seekor lembu, dan untuk tahun ini lembu yang ditempah untuk qurban mereka boleh tahan juga besarnya sekitar 330kg.

Saya luahkan hasrat yang sama kepada isteri agar kami dapat menyertai ibadah qurban sekeluarga. Kami menyertai dua bahagian – satu qurban dan satu aqiqah untuk anak ketiga – Abdul Hadi. Alhamdulillah hasrat itu disahut oleh abang ipar yang menyertai dua bahagian qurban. Cuma tiga bahagian yang berbaki disertai oleh rakan-rakan lain – Chef Abdullah, Haji Amrullah dan seorang sahabat dari Brunei. Tidak mengapalah untuk kali pertama, hanya dapat empat bahagian, kerana barangkali hasrat itu lewat saya sampaikan kerana ipar-ipar yang lain masing-masing berqurban di tempat lain. Jadi program penyembelihan qurban diadakan serentak untuk kedua-dua ekor lembu milik kami dan keluarga Ustaz Muchlish.

Hampir jam 8 pagi semalam, (raya kedua) kami sudah sampai ketika pagar kawasan premis Jabatan Perkhidmatan Haiwan Kinarut sudah masih tertutup. Rupanya keluarga kami yang pertama sampai. Bersemangat terutama anak-anak yang ingin melihat lembu disembelih. Sejak awal saya asyik bercerita  dengan anakanda Abdul Hadi kerana dia adalah penama untuk aqiqah. Maka dialah yang bertahan sehingga tiba giliran penyembelihan dan selesai jam 1.30 petang sementara isteri dan anak-anak yang lain dihantar pulang ke rumah lebih awal.

Entah apa silapnya, barangkali kecetekan pengalaman, walaupun kami datang awal, kamilah pelanggan terakhir yang lembunya disembelih kerana kononnya ada orang lain terlebih dahulu. Mungkin kerana kami tidak mendaftar atau sebab-sebab lain. Tempat sembelihan hanya satu, dan terpaksa menanti sehingga lembu kami adalah sembelihan yang ke-15. Tidak mengapalah, kerana hikmahnya kami dapat melihat banyak lembu yang diqurbankan dan menyaksikan kekemasan pekerja jabatan berkenaan menyelesaikan sembelihan.

Dua ekor lembu kami – satu untuk keluarga Ustaz Muchlish dan satu lagi untuk kami, kedua-duanya disembelih oleh Ustaz Muchlish sementara pekerja di sana menyelesaikan kerja-kerja melapah. Sebelum itu sementara menanti giliran masuk untuk lembu disembelih, Ustaz menyapa saya, agar melihat gelagat dua ekor lembu itu yang saling membersihkan tubuh temannya dengan jilatan-jilatan, seolah-olah bersedia untuk berpisah antara satu sama lain. Alhamdulillah, selesai semuanya dan kami pulang ke rumah jam 2.30 petang.

 

TEMPAH LEMBU

Petang tadi, kami bertiga – Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim, Chef Abdullah Ahmad dan saya, bergerak ke Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan Perusahaan Ternak di Penampang untuk meninjau lembu yang bakal kami beli untuk ibadah qurban. Tempahan kami pada asalnya adalah bersama-sama dengan tempahan lembu yang dibuat oleh Masjid Negeri Sabah sebanyak 14 ekor (termasuk dua ekor lembu untuk kami). Kami dimaklumkan lembu dibawa dari Lahad Datu.

Kami dibawa ke kawasan kandang oleh pekerja di sana. Kami difahamkan puluhan lembu-lembu yang ada ditempah sempena ibadah qurban. Sebahagian sudah mula dihantar ke lokasi qurban masing-masing dan sebahagian lagi akan dihantar pada sabtu atau ahad mengikut permintaan pelanggan. Kami ditunjukkan lembu yang baru sampai dari Lahad Datu dan Keningau, teruja melihat lembu-lembu yang akan diqurbankan nanti. Pekerja tersebut memaklumkan beberapa lembu yang ditempah oleh TYT Tun Juhar Mahiruddin untuk diagihkan ke beberapa buah masjid terpilih.

Lembu yang pada awalnya untuk kami didatangkan dari Lahad Datu, berharga sekitar RM32++ seekor dengan berat tidak sampai 250kg. Kami meninjau lembu dari Keningau, kelihatannya lebih besar. Rezeki kami, kata pekerja di situ, boleh tukar tempahan dan kebetulan ada dua ekor lembu dari Keningau yang masih belum bertuan. Beratnya 310kg dan 330kg, beza sekitar 80-90kg berbanding yang tadi, tetapi harga melonjak sedikit. Seekor berharga RM3720 dan seekor lagi RM3960.

“Lagi besar, lebih banyak dagingnya, maka itu lebih utama”, kata ustaz.

Saya pakat-pakat setuju dengan chef, dengan sedikit tambahan ongkos kerana kami hanya mengutip RM500 satu bahagian bersamaan RM3500 seekor, perlu tambahan RM270. Teruja melihat lembu-lembu yang sihat-sihat, gemuk, tegap dan mantap. Ada yang berharga lebih RM4000, melihat kepada besar dan beratnya. Kami setuju dengan dua ekor lembu dari Keningau, justeru pekerjanya meletak tanda di tubuh lembu berkenaan untuk kami.

Dua ekor lembu berkenaan akan dihantar ke pusat penyembelihan di Kinarut pada pagi atau petang ahad dengan kos RM50 sahaja untuk sekali penghantaran. Kami merancang sembelihan diadakan pada pagi isnin di sana dan semua kerja melapah dilakukan oleh pekerja di sana secara percuma. Kemudian diagih kepada tujuh bahagian atas penama masing-masing, seterusnya masing-masing akan mengagihkan kepada sasaran mereka. Saya teruja menantinya.

Foto lembu menyusul…

TUMBANG

Alhamdulillah, di sana sini, masjid, surau serta pelbagai organisasi mula mengadakan ibadah qurban. Surau Riyadhus Solihin Taman Austral selepas solat hari raya hari ini mengqurbankan empat ekor lembu dengan kekuatan petugas sekitar 100 orang menggembeling tenaga menyembelih, melapah serta memotong daging sebelum diserahkan kepada mereka yang berhak.

Pada esok hari, Masjid Negeri Sabah dijangka akan melakukan ibadah berkenaan dengan jumlah 15 ekor lembu, Masjid Bandaraya dengan jumlah 17 ekor lembu, Masjid Nurul Hikmah khabarnya dengan 21 ekor, UMS pula dengan 13 ekor. Demikianlah antaranya.

Ibadah qurban mempunyai tujuan dan hikmah yang sangat besar kepada umat Islam. Selain membiasakan dengan amalan tolong menolong, memberi dan menyumbang, secara simboliknya membuang dan menghapuskan sifat kebinatangan yang ada dalam diri manusia.

Ibadah qurban seringkali mengingatkan kita akan peristiwa bersejarah Nabi Ibrahim dan keluarganya. Kisahnya bukan sekadar bermula daripada penyembelihan Nabi Ismail AS tetapi jauh sebelum itu, bagaimana Allah SWT menguji Nabi Ibrahim AS yang menimang cahayamata sesudah berusia lanjut.

Baginda diperintahkan agar menghantar anak isteri jauh-jauh ke bumi yang tandus dan kemudian ditinggalkan. Sesudah si anak remaja, dikunjungi dan disuruh sembelih pula akan anak yang tercinta itu. Bayangkan pula ketaatan dan kepatuhan ketiga-tiga beranak itu dalam menghadapi perintah Allah SWT.

Kisah ini menunjukkan sifat perhambaan yang ditunjukkan oleh mereka, tidak mengomel atau mempertikai barang sedikit pun akan perintah Allah SWT. meski pun ia kelihatan tidak masuk akal. Dari sisi lain, ketaatan Nabi Ismail AS juga menunjukkan kejayaan kedua orang tua – Nabi Ibrahim dan Hajar mentabiyah anak agar menghormati dan mengasihi ibu bapa sendiri.

Sifat perhambaan inilah menjadi misi dan visi sebagai umat Islam yang patut menjadi fokus kita. Kedapatan banyak perintah agama ditentang secara terang-terangan atau secara diam-diam walaupun mengaku sebagai orang Islam. Semoga pada tahun mendatang ibadah qurban semakin bertambah bilangannya dan dalam masa yang sama bertambah juga kesedaran dalam memupuk perhambaan kepada Allah SWT.

Hari sabtu, saya ada 5 undangan ke majlis yang berkaitan dengan sambutan Idul Adha. Masanya pula hampir serentak. Mana mungkin saya dapat memenuhi kesemuanya.

Pertubuhan Kebajikan Saudara Kita (SAHABAT) buat Majlis Sambutan Idul Adha di markas  mereka di Jalan Kurol Melangi Kg Likas. Timbalan Presidennya, Kak Selly sudah menempah saya sejak 3 minggu lalu untuk mengisi slot tazkirah.

Oleh kerana ketika itu ruang kosong ada, saya menerima. Beberapa hari sebelum raya, barulah saya menerima undangan lain, khususnya memeriahkan majlis penyembelihan ibadah qurban.

Sekitar 9.30 pagi majlis bermula.

Takbir raya dan bernasyid beramai-ramai, selain ucapan-ucapan tetamu. Ada Ustazah Fatimah dari JAKIM Sabah dan Ustazah Hjh Zaloha (KPP Dakwah JHEAINS). 

Majlis juga diserikan dengan penyampaian sijil penghargaan kepada para penyumbang, sukarelawan, tenaga pengajar serta exco SAHABAT. Tazkirah ringkas saya pula mengambil slot terakhir.

Dalam tempoh hampir 30 minit di hadapan lebih 100 yang hadir, antara yang saya petik ialah berkaitan 4 perkara yang dibimbangi missionary kristian. Hal ini saya petik daripada sebuah buku yang saya beli ketika di Mesir dan ditulis oleh seorang mahasiswa al-Azhar.

Catatan itu tidak menamakan secara terperinci missionary yang dimaksudkan, tetapi menyatakan 4 perkara yang dibimbangi mereka ialah al-Quran, Universiti al-Azhar, himpunan Jumaat dan himpunan ibadah haji.

Jam 11.15 pagi, setelah menjamah sedikit jamuan, saya beredar untuk ke majlis berikutnya. Saya meninggalkan mereka yang akan meneruskan majlis penyembelihan.

Tahniah untuk Presiden Abu Bakar Ongkosing, bersama jenteranya yang dapat mengendalikan majlis dengan baik dan lancar.

“Ustaz, nanti ada daging untuk ustaz”. Demikian mereka memberi pesan.

Sumber : ‘Buku Ibadat Korban Hukum & Cara Pengendaliannya’ terbitan Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Negara Brunei Darussalam.

1) Binatang yang buta atau rosak matanya, atau yang tidak dapat melihat sekalipun biji matanya masih ada. Jika matanya itu ada sedikit kecacatan seperti sedikit rabun tetapi ia masih boleh melihat, maka ia sah dijadikan korban.

2) Binatang yang jelas tempang kakinya yang mana jika ia berjalan bersama-sama sekumpulan kawan-kawan binatang yang lain di padang untuk mencari makan, ia tidak dapat ikut berjalan bersama dengan binatang-binatang itu, bahkan ia tertinggal jauh di belakang.

Jika tempangnya itu sedikit iaitu tempang yang tidak menghalang daripada mengikuti kawan-kawannya, maka ia sah dibuat korban.

3) Binatang yang nyata sakitnya sehingga menyebabkannya menjadi kurus dan kurang dagingnya. Tetapi jika sakitnya itu sedikit dan tidak mengurangi dagingnya maka ia sah dibuat korban.

4) Binatang yang kurus sama ada kerana sakit, gila atau kurang makan dan sebagainya.

5) Binatang yang telinganya terpotong walaupun sedikit atau yang tidak bertelinga semulajadi kerana telah hilang sebahagian anggota yang boleh dimakan dan mengurangkan dagingnya.

Tetapi tidak mengapa jika telinganya itu koyak atau berlubang dengan syarat tidak gugur daripada dagingnya walaupun sedikit.

6) Binatang yang terpotong ekornya walaupun sedikit. Adapun yang dilahirkan tanpa berekor semulajadi adalah sah dibuat korban. Tidak memadai yang terpotong sebahagian lidahnya atau yang terpotong suatu yang nyata daripada pahanya.

7) Binatang yang gugur semua giginya sehingga menghalangnya makan rumput. Adapun yang tanggal sebahagian giginya dan tidak menghalangnya makan rumput dan tidak mengurangkan dagingnya (tidak kurus) ia boleh dibuat korban.

8) Binatang yang berpenyakit gila atau yang kena penyakit kurap sekalipun sedikit.

9) Binatang yang bunting kerana bunting itu mengurangkan dagingnya. (Al-Majmu’ : 8/373-376 dan Mughni al-Muhtaj : 4/360). Bagi binatang yang baru beranak boleh dibuat korban berdasarkan pendapat Ibnu Hajar dalam at-Tuhfah dan ar-Ramli dalam an-Nihayah.

%d bloggers like this: