Tag Archive: Quba’


KEBUN KURMA

Masih 14 Mac 2010 (Ahad)

Dari Masjid Quba’ yang bersejarah dan tapak Masjid Dhirar di sebelahnya, bas sewa kami seterusnya bergerak menuju ke kebun dan pasar kurma yang terletak sekitar 10 minit berkenderaan dari lokasi sebelumnya.

Kota Madinah tidak dapat dipisahkan dengan kesuburannya khususnya kebun-kebun kurma yang terdapat di dalamnya. Pohon-pohonnya bermacam jenis, sehingga ada yang mengatakan lebih 200 jenis kurma.

Saya perasan setelah tiba di kawasan berkenaan bahawa jualan pelbagai jenis kurma, kacang dan seumpamanya di kawasan kebun kurma adalah satu bentuk psikologi yang hebat dan menawan mereka yang datang.

Manakan tidak, pengunjung seperti dari Malaysia, Indonesia, Brunei dan sekitarnya khususnya bagi yang tidak pernah melihat kawasan ladang atau kebun kurma begitu teruja melihat satu premis yang penuh dengan bermacam jenis kurma / tamar dijual di dalamnya.

Apatah lagi, kebanyakan tidak mengetahui harga patut bagi setiap jenis kurma atau kacang yang dibeli. Yang penting, asal ada duit, beli! Lagipun kebanyakan berfahaman bahawa kurma yang dijual di premis berkenaan dikait dari pohon-pohon sekitarnya.

Yang seronoknya itu, penjual dan pekerjanya bertutur dalam bahasa Melayu. Ya, ada di kalangan mereka orang Arab dan ada juga pekerja Indonesia. Keadaan itu menyukakan para pelanggan yang berurusan.

Pelanggan juga dibenarkan mencuba pelbagai jenis kurma yang ada. Di belakang premis disediakan secawan teh secara percuma. Pendek kata, layanan begitu istimewa kepada pelanggan yang datang.

Ada rakan-rakan menghabiskan belian di sini sehingga 400-500 riyal Saudi. Mungkin ada yang lebih lagi. Saya hanya belanjakan 100+ riyal sahaja. Beli beberapa jenis coklat inti kurma dan kekacang yang menjadi kegemaran anak-anak.

Kurma Ajwah yang berkhasiat dan ditanam oleh Rasulullah SAW itu tidak saya beli di sini. Di kawasan premis ini harga tamar ajwah berharga 80 riyal sekilo.

(Malam itu, saya meronda sendirian di deretan kedai di hadapan Masjid Nabawi, khususnya mencari tamar ajwah. Di sini saya beroleh tamar ajwah yang berharga 50 riyal sahaja sekilo. Jadi saya beli 2 kilo dengan harga 100 riyal.

Kemudiannya, saya mendapat tahu, kurma yang dijual di kawasan kebun itu diambil bukan dari kebun berkenaan. Bahkan ada yang menempah dari premis-premis di sekitar Kota Madinah sendiri. Jangan terkejut, ada bacaan yang saya rujuk banyak juga kurma dibawa dari luar Madinah dan diimport dari luar.

Selain itu ada maklumat saya perolehi, sebahagian komisyen diberi kepada pemandu-pemandu bas agar membawa rombongan jamaah datang ke kebun kurma).

Walaubagaimanapun, kita tidak menafikan kelebihan kurma secara umum khususnya daripada sudut kesihatan sebagaimana kajian pakar-pakar perubatan dan kesihatan. Apatah lagi kurma ajwah yang istimewa itu.

Maksud hadith Nabi SAW :

“Sesiapa yang makan tujuh biji tamar ajwah pada waktu pagi, nescaya dia tidak dapat dimudharatkan oleh racun dan sihir pada hari itu”(HR al-Bukhari)

Apapun, bagi yang sudah membeli sakan, tambahkan lagi dengan harga yang mahal, redhakan sajalah. Kita belajar untuk tidak terlalu sayangkan duit, apatah lagi yang sudah terlepas akibat kealpaan diri.

Orang ramai berpusu ke premis ini. Yang jelas kelihatan orang Malaysia dan Indonesia.

Macam-macam ada. Penjual di luar premis, orang Indonesia.

Tamar Ajwah dengan harga 80 riyal sekilo

Pelanggan bersusun untuk membayar barangan yang sudah dibeli.

Tapak masjid dhirar yang bersebelahan dengan Masjid Quba’ yang ditandai dengan beberapa biji batu besar.

Selesai menziarahi Masjid Quba’, Ust Azam mengajak kami keluar masjid, menuju ke arah kanan hadapan Masjid Quba’. Beliau  menceritakan tentang tapak Masjid Dhirar yang telah dimusnahkan berada bersebelahan Masjid Quba’.

Sebelum datangnya Nabi SAW ke Madinah ada seorang tokoh Khazraj bernama Abu Amir Ar-Rahib yang telah memeluk Nasrani pada zaman jahiliyah dan mempelajari selok belok agama berkenaan sehingga dia digelar ar-Rahib (pendeta).

Setelah hijrahnya Rasulullah SAW dan kaum Muhajirin, kemudian kemenangan umat Islam dalam Perang Badar,  Abu Amir merasa kecewa. Dia merasa sakit hati lalu keluar dari Madinah menuju ke Makkah menghasut kaum musyrikin agar menuntut bela atas kekalahan mereka dalam Perang Badar. 

Dalam Perang Uhud, Abu Amir menyertai pasukan musyrikin Makkah. Walaupun umat Islam kehilangan 70 pejuang yang mati syahid, umat Islam hakikatnya bertambah kuat. Kesilapan yang berlaku dalam Perang Uhud menjadi pengajaran buat semua.

Akhirnya Abu Amir lari ke Damsyik menghadap Heraclius Kaisar Romawi meminta bantuan bagi menghancurkan kekuatan Islam. Raja Rom memberi harapan kepadanya bahawa Madinah pasti diserang. Lalu Abu Amir berutus surat kepada kaumnya daripada kalangan Ansar yang berjiwa munafik tentang khabar semasa.

Maka atas saranan Heraclius Kaisar Romawi maka disepakatilah untuk membangun tempat untuk memantau jamaah kaum muslimin, dan supaya tidak mencurigakan bagi pergerakan mereka, maka dibangunkanlah sebuah masjid untuk memantau kegiatan mereka.

Beberapa ahli tafsir menjelaskan seramai 12 orang munafik yang menyertai pembinaan masjid dhirar ini. Setelah siap, mereka mengundang Rasulullah SAW untuk hadir bersolat di masjid ini, sebagai tanda restu baginda. Baginda SAW ketika itu menolak kerana dalam perjalanan menuju Perang Tabuk.

Dalam perjalanan pulang, baginda diajak sekali lagi untuk ke masjid berkenaan. Ketika itulah turun wahyu yang melarang baginda dan rombongannya singgah dan bersolat di dalamnya.

Menurut al-Quran surah at-Taubah ayat 107 (yang beriringan dengan ayat berkenaan Masjid Quba’), tujuan pembinaan masjid dhirar ada empat iaitu : membahayakan keselamatan orang Islam, mengukuhkan keingkaran puak munafik, memecahkan perpaduan orang Islam, dan sebagai tempat musuh mengintip umat Islam.

Firman Allah SWT :

“Dan (di antara orang-orang munafik juga ialah) orang-orang yang membina masjid dengan tujuan membahayakan (keselamatan orang-orang Islam), dan (menguatkan) keingkaran (mereka sendiri) serta memecah-belahkan perpaduan orang-orang yang beriman, dan juga untuk (dijadikan tempat) intipan bagi orang yang telah memerangi Allah dan RasulNya sebelum itu. Dan (apabila tujuan mereka yang buruk itu ketara), mereka akan bersumpah dengan berkata : “Tidaklah yang kami kehendaki (dengan mendirikan masjid ini) melainkan untuk kebaikan semata-mata”. Padahal Allah menyaksikan, bahawa sesungguhnya mereka adalah berdusta”.

Sudah tentu sesudah itu Rasulullah SAW membatalkan hasrat menuju ke masjid berkenaan. Bahkan baginda memerintahkan agar umat Islam membakar masjid berkenaan. Orang yang diarah baginda ialah Malik bin Dukhsyum dan Ma’an bin Adi atau Ashim bin Adi.

Mereka yang menerima arahan tersebut berangkat ke Quba’ dan setiba di sana mereka mengumpul daun-daun dan pelepah kurma yang sudah kering sebagai bahan bakar bangunan masjid berkenaan. Mereka membakarnya pada waktu antara maghrib dan isyak.

 

%d bloggers like this: