Tag Archive: Quarters Bank Negara


IMG_6039

Buat kali ketiganya, saya mengisi program usrah bulanan di Quarters Keselamatan Bank Negara, Kepayan Ridge. Tajuk yang dipohon oleh penganjur, khususnya Abang Nazri Nawawi ialah berkenaan isra’ dan mi’raj.

Rupanya apabila saya semak arkib blog ini, tahun lepas juga saya berceramah tentang tajuk yang sama.

Oleh kerana tahun lepas saya hanya bercerita tentang muqaddimah kepada ayat 1 surah al-Isra serta latar belakang sejarah, kali ini saya mengisi masa ceramah dengan perjalanan isra’ sahaja.

Adapun tentang mi’raj, insya Allah akan bersambung pada tahun hadapan pula.

Di hujung majlis, saya dihadiahkan sekeping wang RM50.00 keluaran khas sempena 50 tahun kemerdekaan. Ia ada sedikit berbeza dengan note baru RM50.00 yang dikeluarkan seminggu ini.

Khabarnya, peminat pengumpul wang sudah ada yang mendapatkannya dengan nilai ratusan ringgit, dan dijangka naik dalam jangka masa yang panjang.

IMG_6038

IMG_6044

MODAL CERAMAH ISRA’ & MI’RAJ

Ahad lepas saya dijemput mengisi program usrah bulanan di Quarters Bank Negara, Kepayan Ridge.

Berdasarkan bacaan di buku-buku dan mendengar tuan-tuan guru berceramah, banyak sudut boleh disentuh apabila diberikan tajuk Isra’ Mi’raj.

1) Latar belakang sebelum berlakunya peristiwa Isra’ Mi’raj. Di mana Nabi SAW dan umat Islam diuji dengan pelbagai mehnah, disiksa, diboikot, pemergian Abu Tolib dan Khadijah, perjalanan ke Toif dan beberapa kisah lagi. Ini semua melatari peristiwa Isra’ Mi’raj, lalu Allah memberikan berita gembira kepada Rasulullah dengan memujuk dan memperlihatkan beberapa projeknya kepada baginda.

2) Menghuraikan ayat 1 Surah al-Isra’. Jika kena gaya, menghuraikan ayat ini sahaja boleh mengambil masa sejam atau lebih. Setiap patah kalimah ayat tersebut mempunyai huraian tersendiri, hikmah Allah menggunakan perkataan-perkataan berkenaan. 

3) Menghuraikan kelebihan Masjidil Haram yang menjadi tempat bermulanya Isra’.

4) Menghuraikan kelebihan Masjidil Aqsa yang menjadi kekuatan pejuang Islam di Palestin. Boleh dikaitkan dengan suasana semasa, perjuangan HAMAS, Jihad Islami dan sebagainya.

5) Menghuraikan gambaran peristiwa-peristiwa yang disaksikan oleh Nabi SAW di sepanjang perjalanan Isra’ dan Mi’raj.

6) Menghuraikan permasalahan aqidah yang menjadi topik utama peristiwa ini. Perjalanan Nabi SAW pada waktu malam tidak dipercayai orang, perjalanan jauh dihabiskan dalam masa yang singkat dan kisah beberapa orang yang murtad setelah mendengar kisah isra’ dan mi’raj Nabi SAW.

7) Menghuraikan keutamaan Nabi SAW keatas Nabi-Nabi yang lain. Nabi SAW mengetuai solat bersama para Nabi lain, diberi keistimewaan dengan umat yang ramai serta bertemu Allah SWT dalam keadaan malaikat jibril tidak lagi dapat menemani baginda.

8) Menghuraikan peranan solat yang diterima oleh Nabi SAW. Seolah-olah semua permasalahan yang disaksikan oleh baginda, diselesaikan dengan solat yang sempurna.

Demikianlah beberapa sudut yang boleh dilihat apabila kita menyampaikan ceramah, tazkirah tentang Isra’ Mi’raj. Kaitannya sangat banyak dari sudut aqidah, feqah, akhlak, sains dan sebagainya.

Firman Allah : “Maha Suci Allah yang memperjalankan hambaNya pada waktu malam, bermula dari Masjidil Haram menuju ke Masjidil Aqsa, yang Kami berkati sekitarnya, supaya Kami memperlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami, sesungguhnya Allah itu Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

%d bloggers like this: