Tag Archive: Putatan


Salah satu keberkatan di dalam sebuah rumah sebagaimana diajar oleh agama ini ialah dengan selalu tilawah ayat suci al-Quran al-Karim di dalamnya.

Tidak hanya untuk anak-anak kami, di rumah ini sejak 2005 diadakan kelas-kelas al-Quran untuk anak-anak jiran. Ia kendalian isteri saya pada setiap hari selepas solat maghrib sehingga jam 8 malam.

Bahkan saya dimaklumkan bahawa kelas itu sudahpun dimulakan lebih awal pada akhir 90an dengan bimbingan abang-abang isteri saya ketika itu secara bergilir-gilir.

Jumlah terkini, seramai 22 orang anak-anak kampung ini bahkan daripada kampung berdekatan datang menghantar anak-anak mereka yang berumur antara 5-12 tahun untuk mengaji sama ada iqra atau al-Quran bersama isteri saya.

Saya tidak dapat membantu kerana mengisi program kuliah maghrib di surau dan masjid mengikut jadual yang sudah disusun.

NENEK LAUT

Begitu panggilan anak-anak saya kepadanya.

Nenek Laut kerana rumahnya dibina di atas air menghadap Laut China Selatan. Anak-anak juga biasa bertandang ke rumahnya sesekali. Bahkan Nenek Laut juga acap kali ke rumah kami.

Hubungan akrab itu bukan baru bahkan sudah terbina berpuluh tahun lalu dengan keluarga mertua saya. Akrabnya, ketika saya mendirikan rumahtangga, Nenek Laut ikut serta ke WP Labuan untuk majlis kenduri kahwin di sana.

Kenduri kendara di rumah kami di KK, beliaulah salah satu tenaga dan teraju utamanya dalam hal masak memasak. Nenek Laut salah seorang daripada ahli kumpulan kaum ibu yang begitu aktif di kampung ini.

Kini, wajah itu hanya tinggal kenangan.

Petang semalam, tepatnya ketika azan asar berkumandang, Nenek Laut kembali kerahmatullah dalam usia 55 tahun. Secara asasnya, penyakit yang dihidapi adalah ulser tetapi kemudian berkembang.

Beliau agak kritikal pada pagi ahad di Hospital Queen Elizabeth dan masuk ICU menjelang tengahari. Pagi semalam, saya sempat menziarahinya di ICU dalam keadaan beliau sudah tidak sedarkan diri dan tekanan darah terlalu rendah.

Selesai zuhur tadi, jenazahnya dikebumikan di Taman Perkuburan Islam Kg Meruntum dan bacaan talqin dipimpin oleh al-Ustaz Hj Muchlish Ali Kasim yang juga rakan baik suaminya, Sdr Saberun Abd Kadir.

Semoga Allah SWT mengampunkan dosa Allahyarham Puan Salbiah Asmawi, memberi kesabaran kepada suaminya Saberun Abdul Kadir dan juga anak-anaknya, Sani, Johari dan Adam.

Ibu mertua saya bersama rakan-rakannya yang lain termasuk antara yang bersedih kerana kehilangan kawan rapatnya.

Daripada Dia kita datang, kepadaNya kita kembali. Al-Fatihah.

Sumber rasmi Jabatan Bomba & Penyelamat kata 42 buah rumah musnah dalam kebakaran besar pagi ini di Kg Sri Pandan.

Sumber ketua kampung pula kata 70 buah rumah dan 79 ketua keluarga. Sumber rakan daripada Pejabat Daerah pula kata 52 rumah.

Namun yang penting, musibah sudah terjadi. Sebagai orang yang mengaku beriman dan bersaudara, hulurkanlah bantuan menurut kemampuan masing-masing.

Saya sendiri sebenarnya mula melihat kepulan asap seawal jam 8.55 pagi ketika bergerak ke Wisma MUIS, tetapi tidak menyangka kebakaran besar bakal berlaku.

Hampir jam 10 pagi, saya dimaklumkan oleh Pengerusi Masjid al-Hilal Tg Dumpil mengatakan kebakaran ketika itu sudah memusnahkan 5 buah rumah. Bergerak terus ke lokasi dari Wisma MUIS, mood untuk menyaksikan kesudahan majlis sambutan maulidur rasul sudah tiada lagi.

Saya terus mendapat maklum pelbagai sumber sms dan saksi kejadian bahawa tidak ada pili bomba di kawasan kejadian. Jentera bomba pula hanya mempunyai bekalan air yang terbatas. Wallahu a’lam.

Namun penduduk kampung dan anggota bomba tetap bekerja keras mengawal kebakaran. Begitu juga kawalan anggota trafik begitu pantas sekali mengawal jalan kampung agar tidak mengganggu kerja-kerja pemadaman.

Dari sudut lain, saya melihat kesatuan anak-anak murid Ust Hj Muchlish yang segera ‘berkubu’ dan berkumpul di rumah beliau. Yang jelas, kebakaran itu begitu hampir dengan rumah beliau. Kenderaan yang memenuhi laman rumahnya dialihkan oleh anak-anak murid.

Kelihatan para pelajar SMUI Toh Puan Hajjah Rahmah, para guru, jamaah Masjid Negeri, Surau Austral dan jamaah Masjid Kg Pasir Putih bergilir melawat rumah ustaz bagi memastikan bantuan yang boleh dihulurkan.

Demikianlah kasihnya kepada guru.

Dari sana, barulah kami bergerak melihat kebakaran berlaku. Satu demi satu rumah musnah dijilat api. Ketika itu cerita orang kampung, sudah 40 buah rumah musnah.

Sekejap angin bertiup kencang, dan kemudian perlahan pula. Bersama rakan-rakan, kami melihat sebuah rumah yang disambar api, musnah serta merta tidak sampai 5 minit.

Kalaulah kita mempelajari makna nama Allah yang disebut al-Jabbar, al-Qahhar dan seumpamanya, nescaya kita akan memahaminya hikmah kejadian ini. Mudah-mudahan ada pengajarannya kepada kita semua.

Pihak kami sekeluarga dan Abu Nuha Corner mengucapkan takziah kepada mangsa kebakaran, tidak lupa Ust Izhar Hussin sekeluara, seorang guru agama veteran yang rumahnya turut menjadi mangsa dalam musibah ini.

Kita adalah milik Allah, kepadaNya kita kembali.

11.35 pagi, saya beredar untuk bergerak pulang ke rumah sebelum ke Masjid Kg Pengalat Besar Papar menyampaikan khutbah di masjid baru dan ‘merasmikan’ mimbar jumaat mereka.

Selesai solat jumaat di Papar, saya kembali semula melihat sisa musibah ini. Kelihatan anggota bomba masih berkawal di tempat kejadian. Antara yang selamat ialah Surau Nurul Huda Kg Linsuk yang juga begitu hampir dengan salah sebuah rumah yang menjadi korban.

Sementara Surau al-Firdaus Kg Sri Pandan sedikit jauh dari lokasi dan terselamat dalam kejadian ini. Khabarnya surau-surau ini menjadi antara penempatan sementara bagi mangsa-mangsa kebakaran.

Edit : Sumber Berita Harian pula 45 buah rumah musnah.

MUKHTASAR IBNU ABI JAMRAH

Alhamdulillah, dengan segala kekurangan dan serba kelemahan, kami di Masjid as-Sobirin Kg Sipanggil Putatan berjaya menamatkan bacaan hadith-hadith Rasulullah SAW yang dipetik dari Kitab Mukhtasar Ibnu Abi Jamrah.

Kitab ini mengandungi 294 hadith pilihan dari Kitab Sahih Imam al-Bukhari. Buku terjemahannya ditulis oleh Ustaz Mustafa Abd Rahman terbitan Dewan Pustaka Fajar.

Kitab Hadith al-Jami’ as-Sahih susunan Imam al-Bukhari merupakan kitab hadith yang mendapat perhatian paling besar di kalangan para ulama’, baik yang terdahulu sehingga kini.

Para ulama’ kemudiannya mengarang kitab-kitab syarah, ulasan dan komentar, mengeluarkan istinbath hukum daripadanya. Di kalangan mereka terdapat juga yang mengusahakan ikhtisar atau ringkasan supaya lebih diambil manfaatnya.

Antara kitab yang mensyarahkan kitab al-Jami’ as-Sahih karangan Imam al-Bukhari ialah

1) Kitab al-Kawakib ad-Darari Fi Syarh Sahih al-Bukhari tulisan al-Allamah Syamsuddin Muhammad bin Yusuf bin Ali al-Karmani yang wafat pada 786H. Kitab ini selesai ditulis pada 775H.

2) Kitab Fathul Bari bi Syarh Sahih al-Bukhari karya al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqolani yang wafat pada 825H. Fathul Bari mengandungi sebanyak 13 jilid dan ditulis oleh Ibnu Hajar selama 25 tahun (817H-842H).

3) Kitab Umdatul Qari karya al-Allamah Syaikh Badruddin Mahmud bin Ahmad al-Aini al-Hanafi yang wafat pada 855H. Kitab ini dikarang beliau selama 26 tahun (821H-847H).

4) Kitab Irsyadus Sari ila Sahih al-Bukhari, karya al-Allamah Syaikh Syihabuddin Ahmad bin Muhammad al-Khatib yang terkenal dengan sebutan al-Qastalani yang wafat pada 922H.

Selain itu, antara kitab ikhtisar (ringkasan) kepada al-Jami’ as-Sahih al-Bukhari ialah Kitab Jam’un Nihayah Fi Bad’il Khair wal Ghayah karya Abu Muhammad Abdullah Saad bin Abi Jamrah al-Azdi al-Andalusi. Beliau wafat pada 699H di Mesir.

Kitab ini kemudiannya beliau syarahkan dan diberi judul Bahjatun Nufus wa Ghayatuha bi Ma’rifati Ma Laha wa ‘Alaiha. Mukhtasar ini kemudiannya lebih dikenali sebagai Mukhtasar Ibnu Abi Jamrah memuatkan 294 hadith sahih yang disaring daripada sejumlah 7397 buah hadith dalam al-Jami’ as-Sahih al-Bukhari.

Bermula dengan hadith kisah permulaan wahyu yang diturunkan kepada Rasulullah SAW, kami terus berdikit-dikit membaca dan bergerak sehingga hadith yang terakhir berkenaan firman Allah SWT kepada penduduk syurga.

Mengakui dengan segala kekurangan dan kelemahan itu, bacaan hadith-hadith ini banyak saya rujuk hasil mengaji bersama Shaikh Muhammad Nuruddin al-Banjari satu ketika dahulu.

Di Masjid as-Sobirin ini, kuliah bermula pada 2 April 2007 dan berakhir pada Disember 2009 lalu. Semoga ada sedikit hasilnya untuk saya hadapi di hadapan Allah SWT.

Terima kasih kepada pengerusi JK Masjid Hj Ag Damit Yusuf bersama AJKnya serta jamaah yang setia mendengar celoteh dan teguran saya selama hampir 3 tahun lamanya.

Kontrak sudah habis, saya menanti pelawaan seterusnya, sama ada kekal di sana atau menerima undangan di surau atau masjid lain.

MUNGKINKAH TERCAPAI?

Projek yang sedang  berjalan. Lokasi projek ini ialah di Pekan Putatan, berhadapan dengan Pasaraya Servay dan di belakang Pasaraya Giant.

KENDURI KAWIN ANAK YAZID

Ahad, saya meluangkan masa hadir sebentar dalam kenduri kahwin anak perempuan kepada seorang jamaah masjid di kampung, Sdr Mohd Yazid Mohammad. Aqad nikah sudah berlangsung pada petang jumaat lalu di masjid ini.

Kenduri diadakan di tengah gelanggang bola tampar, berhadapan dengan masjid. Rumah saudara Yazid pula terletak di belakang masjid sahaja.

Menantu Yazid adalah seorang ahli tentera berasal dari Negeri Sembilan. Minggu ini khabarnya kenduri akan diadakan di Negeri Sembilan, sementara minggu akan datang kenduri di Johor pula, kampung asal Sdr Yazid.

Nama pengantin – Nurul Ashikin binti Mohd Yazid dan Aminudin Alias.

Malam ini saya menyambung kuliah di Masjid as-Sobirin Kg Sipanggil Putatan. Buku Mukhtasor Ibnu Abi Jamrah, 294 hadith terpilih dari sahih Bukhari. Kitab ini hampir sampai ke penghujungnya.

Selesai membacakan 4 buah hadith berkaitan mimpi, saya mengambil ruang untuk menyebut sedikit soal qurban dan bulan zulhijjah.

Walaupun hari-hari tasyriq sudah berlalu, saya sebutkan juga sebagai peringatan pada masa akan datang.

Antara yang saya sebutkan ialah tuntutan berpuasa pada awal Zulhijjah atau sekurang-kurangnya pada 9 Zulhijjah, hari Arafah, sehari sebelum menyambut raya haji.

Saya sebutkan kelebihan berdasarkan hadith Nabi SAW iaitu diampunkan dosa dua tahun, setahun sebelum dan setahun selepas.

Ada di kalangan jamaah yang tercengang dan merasa kesal yang amat sangat kerana tidak mengetahui amalan tersebut beserta kelebihannya.

Selesai kuliah, seorang daripada mereka menyapa : “Ruginya kami ustaz.. saya langsung ‘nda tau, tiada yang kasi ingat kami..”

“Berdoalah mudah-mudahan panjang umur, tahun depan bertemu lagi. Banyakkan berpuasa, nanti awal Muharram jangan lupa..” Saya mengingatkan.

Bukanlah tujuan saya menyebut hal itu untuk menimbulkan rasa susah hati dan sesal mereka, hanya bertujuan supaya mereka melakukan persediaan tentang perkara yang menjadi tuntutan agama sama ada sunat atau wajibnya.

Sebenarnya, saya sedikit rasa bersalah kerana tidak hadir berkuliah pada isnin minggu sudah di masjid mereka, supaya boleh disebut lebih awal.

Tetapi saya sudah mengingatkan persediaan berpuasa pada 9 dan 10 Muharram, menyarankan JK masjid membuat majlis berbuka beramai-ramai serta mengiklankan kepada jamaah yang berminat tentangnya.

BUANG TUDUNG UNTUK GAJI LEBIH

Malam tadi selepas kuliah dan makan di restoran bersama beberapa jamaah, saya ke pasaraya di Putatan, membeli 2-3 barang keperluan pesanan orang rumah.

Tidak lama, memandangkan pasaraya berkenaan akan tutup jam 10, saya masuk sekitar 9.40 malam.

Ketika beratur membayar, juruwang yang bertugas seorang gadis muslim tidak bertudung. Tanda namanya diterbalikkan, mungkin tidak mahu dikenali orang.

Habis urusan bayaran, tanda namanya terbalik ke hadapan, menampakkan gambar mukanya yang sempurna memakai tudung.

“Kenapa di name tag pakai tudung?” Tanya saya.

“Kalau kerja cashier tudung kena buka” Jelas gadis berkenaan.

“Kalau kerja di dalam, boleh pakai tudung?” Dia mengangguk.

“Kenapa tidak kerja di bahagian dalam saja?”

“Gaji jadi cashier lebih mahal daripada kerja di bahagian dalam. Saya perlu duit lebih untuk sambung pelajaran”

Saya tidak tergamak menanya berapa gaji yang ditawarkan kepada gadis manis ini. Dia sanggup membuka tudungnya untuk dapat duit lebih.

“Sambung mana?”

“UMS. Tidak lama lagi”

“Dulu sekolah mana?”

“Putatan, SMK Putatan”

“Bunyi cakap macam orang Semenanjung, asal mana?”

“Selayang”.

Saya tidak tahu dia bercakap benar atau tidak dalam perbualan itu. Tentang larangan bertudung, UMS, SMK Putatan dan Selayang.

Saya beredar kerana sudah ada pelanggan menunggu untuk membuat pembayaran pula. Di luar gedung, hujan semakin lebat. Hati saya panas walaupun terpaksa basah kuyup untuk masuk ke dalam kereta.

***

Saya kira, perkara lebih teruk daripada ini pun ada. Menjadi GRO, teman sosial di karaoke dan seumpamanya. Mereka mencari pendapatan lebih untuk menyambung dan menyara pengajian.

Semua yang berkait dengan punca perkara ini berlaku akan berhadapan dengan mahkamah Allah SWT. Siapa lagi? Kita semualah.

Kenapa tidak menutup aurat? Kenapa larang pekerja Islam menutup aurat? Kenapa yuran pengajian mahal? Siapa buat peraturan biasiswa dan pinjaman?  Kenapa kamu menzalimi rakyat? Kenapa masih pangkah mereka yang tidak mahu kepada Islam? (Terpulang kepada Allah untuk menyoal mereka yang terlibat).

Jawab. Masing-masing jawab!

IMG_5911

Dalam suasana hujan renyai dan sesekali bertukar lebat, dalam tempoh sejam 15 minit malam tadi saya dapat mengganti ceramah berkenaan di Surau al-Amin Kg Serigai, Putatan.

Dalam jadual asal, saya dijemput ke dua lokasi serentak sempena sambutan isra’ & mi’raj ini iaitu di Masjid Kg Lok Kawi Baru dan Surau an-Nur Taman Limauan Kinarut.

Masjid Kg Lok Kawi Baru saya serahkan kepada Ust Bungsu Aziz Jaafar, sementara surau Taman Limauan saya serah kepada Ust Md Sayuti Abd Shukor.

Niat asal saya malam tadi tidak berceramah, hendak meninjau dan mendengar ceramah kawan-kawan pula.

Tetapi akhirnya terpaksa mengganti Ust Hj Awwaluddin yang dijadual asal berceramah di Kg Serigai. Beliau pula terpaksa ke Felda Sahabat Lahad Datu untuk mengisi ceramah yang sama di sana.

Saya menerima dengan senang hati kerana tidak pernah berceramah di surau berkenaan, walaupun jarak rumah ke surau berkenaan tidak sampai 10 minit.

Di surau ini, saya lebih menekankan tentang ujian-ujian yang menimpa manusia berdasarkan perjalanan isra’ & mi’raj Nabi SAW. Ujian nafsu syahwat, syaitan, dunia, yahudi dan kristian, ujian harta dan ujian ahli keluarga.

Alhamdulillah, mudah-mudahan semuanya mendapat rahmat dan hidayah Allah SWT. Terima kasih kepada Ust Ahmad Ukup, Pengerusi JK Surau dan semua jamaah yang hadir.

IMG_5914 

IMG_5916

IMG_4976

Setelah kebakaran berlaku pada pagi 30 Jun lalu di Kg Dumpil Putatan, berlaku lagi satu kebakaran kira-kira 800 meter dari lokasi terdahulu.

Gudang milik Chan Furniture, kedai perabot terkemuka, musnah dalam kebakaran sejak jam 1.30 tengahari semalam. Asap tebal kelihatan dari jarak 10km.

IMG_4970

Keadaan jalaraya juga sesak teruk terutama ketika pengguna jalanraya pulang daripada bekerja. Sehingga jam 9 malam, jalanraya utama ke arah Lok Kawi dan Putatan sesak teruk sehingga 3-4 km.

Saksi yang ramai menjelaskan 6 atau 7 jentera bomba berada di tempat kejadian. Ketika kami pulang ke rumah menjelang maghrib, laluan 3km itu mengambil masa kira-kira 40 minit untuk dilepasi.

Ketika saya melalui lokasi kebakaran sekali lagi untuk ke Kota Kinabalu pada 8 malam dan pulang sejam setengah kemudian, api belum dapat dipadamkan sepenuhnya, sementara pihak keselamatan masih mengawal lalulintas.

IMG_4986

Pagi tadi, saya sempat singgah sebentar dan mendapati sebuah jentera bomba masih berada di sana untuk pemerhatian. Saki baki asap masih kelihatan berkepul di udara.

IMG_4990

IMG_4993

%d bloggers like this: