Tag Archive: PUM Sabah


6 Ramadhan :

Ustaz Haji Muhammad Iyen Atim menjelaskan bahawa solat adalah ibadah syumuliyyah yang paling afdhal. Solat seorang hamba yang sebenar-benarnya menjadikan dia semakin tunduk dan patuh kepada Allah SWT serta tidak menjadikannya angkuh dan sombong. Demikian dalam solat dengan berlakunya rukuk dan sujud menunjukkan kepatuhan dan penghinaan diri kepada Allah SWT yang Maha Berkuasa.

7 Ramadhan :

Dr Ali Akbar Gulasan menyebutkan bahawa penghinaan terhadap Rasulullah SAW sudah berlaku sejak zaman hayat baginda lagi dan akan berlaku sepanjang zaman kerana musuh yang tidak berkesudahan. Bagi umat Islam, sekurang-kurangnya hendaklah selalu bercerita kepada anak dan ahli keluarga akan sirah perjuangan baginda SAW serta mengaplikasi semampunya sunnah-sunnah Rasulullah SAW.

8 Ramadhan :

Ustaz Syahir Ismail menyebutkan antara ciri pemuda yang dikasihi Allah SWT itu ialah apabila ia suka beribadah kepada Allah SWT tanpa jemu. Pada zaman Rasulullah SAW, para pemuda adalah tonggak kepada perjuangan Islam yang sering menjadi saf hadapan perjuangan. Dalam zaman serba mencabar ini, syabab yang berkualiti bukan sekadar mempunyai pendidikan tinggi tetapi mampu menongkah cabaran massa menurut ajaran Islam.

9 Ramadhan :

Dalam tazkirah Ustaz Haji Nor Azamuddin Umar, seorang manusia yang benar-benar merindui Allah SWT akan sentiasa tekun melaksanakan segala perintah-Nya dan  menjauhi larangan-Nya. Ia rindu untuk bertemu dengan-Nya, dengan membawa amal kebaikan serta mengharap ridha tuhannya. Ia bimbang dengan amalan yang sedikit dan serba kekurangan. Maka dengan itu selalu bermohon agar Allah SWT mengampuni kesalahannya serta menampung segala kekurangan ibadah yang telah dilakukannya.

11 Ramadhan :

Alam barzakh adalah sesuatu yang pasti. Ia boleh saja menjadi satu taman daripada taman-taman syurga bagi hamba yang patuh kepada Allah SWT, dan boleh saja menjadi satu lubang daripada lubang-lubang api neraka bagi manusia yang kufur dan ingkar kepada-Nya. Jika pertanyaan alam barzakh dapat dijawab dengan baik, maka rintangan selepasnya semakin mudah. Sementara jika sebaliknya, maka cabaran selepas itu akan semakin susah lagi. Demikian tazkirah Ustaz Zainuddin Lateh.

12 Ramadhan :

Ustaz Mohd Jumat Abd Razak mengambil ruang untuk menerangkan kepada audien tentang cara penentuan arah kiblat. Penentuan arah kiblat, bukan saja untuk solat, bahkan ketika meletak janazah di dalam kubur. Menghadap kiblat juga disunnatkan ketika membaca al-Quran dan sebagainya. Maka umat Islam perlu mengetahui sedikit sebanyak tatacara penentuan kiblat apatah lagi ketika bermusafir dan sebagainya. Pihaknya juga bersedia diundang untuk menerangkan kaedah ini di mana-mana jabatan atau majlis yang bersesuaian.

13 Ramadhan :

Datuk Hj Md Safari Abdul Manan memberikan taklimat pembinaan masjid daerah penampang yang kini baru dalam proses mendapatkan tanahnya. Kebersamaan umat Islam khususnya di negeri Sabah amat diperlukan apatah lagi Penampang adalah satu-satunya daerah yang belum mempunyai masjidnya sendiri. Maka umat Islam diseru untuk menyertai program wakaf yang dilancarkan oleh JK Wakaf Masjid Penampang. Dianggarkan, keseluruhan projek ini memakan kos sebanyak RM6.5 juta.

14 Ramadhan :

Ustaz Hj Mohd Hilham Md Noor menceritakan tentang sejarah pembinaan Masjid Nabawi sejak hijrah Rasulullah SAW ke al-Madinah al-Munawwarah. Masjid adalah pusat bagi perkembangan Islam, pusat pertemuan, pusat pentadbiran dan pusat segala gerakan Islam. Oleh itu umat Islam hendaklah mengambil pengajaran pada zaman ini untuk menjadikan masjid sebagai lokasi wajib bukan sekadar untuk mendirikan solat semata-mata.

15 Ramadhan :

Imam an-Nawawi RH adalah ulama’ terbilang dalam Mazhab asy-Syafie. Beliau mengarang ratusan kitab. Antara yang terkenal ialah Arbain an-Nawawi (hadith 40), Riyadhus Solihin, al-Azkar dan banyak lagi. Ketekunan beliau di dalam menyebarkan ilmu terutama fekah dan hadith sehingga beliau tidak berkahwin dan mendambakan dirinya untuk ilmu Allah SWT. Kehebatan beliau sudah terserlah sejak kecil apabila beliau tidak gemar bermain tetapi suka belajar dan membaca. Kitab-kitab beliau  yang terkenal ke seluruh dunia Islam hari ini merupakan saham untuk beliau bawa ke hadapan Allah SWT. Demikian tazkirah oleh Ustaz Hj Muchlish Ali Kasim.

16 Ramadhan :

Perang Badar al-Kubra adalah siri peperangan terpenting dalam Islam yang berlaku dalam bulan Ramadhan dengan tentera Islam seramai 313 orang dipimpin sendiri oleh Rasulullah SAW bertembung dengan musuh seramai seribu orang. Kesatuan umat Islam khususnya antara muhajirin dan ansar serta kebersamaan dan kepatuhan mereka bersama Rasulullah ketika susah dan senang membawa kepada kemenangan umat Islam menewaskan musuh yang lebih ramai. Oleh itu umat Islam zaman ini mesti mengambil iktibar daripadanya, demikian antara pengisian oleh Ustaz Murtadha Mansor.


Dengan izin Allah SWT, kita akan menyambut bulan Ramadhan Kareem tidak lama lagi. Semua maklum akan kelebihan yang ada di dalamnya yang mesti diambil peluang oleh kita semua. Sama ada pahala yang berlipat kali ganda dalam ibadah solat, puasa, tilawah al-Quran, sedekah atau juga kesempatan mentarbiah hawa nafsu dan merubah sikap yang negatif menjadi manusia yang lebih baik.

Sedekah adalah salah satu kaedah bagi kita melawan nafsu yang jahat. Sikap tamak, sombong, pentingkan diri sendiri dan pelbagai sifat mazmumah lain dilawan dengan bersedekah. Sedekah yang strategis apabila kita melakukan sedekah sesuai pada tempat, masa, kaedah, penerima dan sebagainya.

Sedekah pada bulan Ramadhan sudah tentu lebih baik berbanding masa yang lain.Sedekah dengan sesuatu yang lama dan berkekalan manfaatnya lebih utama berbanding yang sekejap manfaatnya. Sedekah kepada mereka yang memerlukan seperti anak yatim, janda, muallaf, fakir miskin, petugas  dan badan dakwah, lebih baik berbanding kepada yang lain.

Kami menerima beberapa permohonan dan dalam masa yang sama akan mengadakan beberapa program.

Pertama, seorang muallafah (perempuan) yang baru memeluk Islam belum sampai setahun diboikot oleh orang tuanya untuk menyambung pelajaran. Puncanya kerana dia memeluk Islam, dan dalam masa yang sama bapanya seorang kaki botol yang selalu menyusahkan anaknya ini. Saya mengetahui keadaan ini melalui rakan seusrah dan sebenarnya  dia memeluk Islam tahun lalu ‘di tangan’ saya. Jika saudara bersimpati, hulurkan sumbangan ke akaunnya 121 062 9000 113 392 (BSN).

Kedua, dalam tempoh terdekat, kami akan menziarahi beberapa buah sekolah di sekitar Kota Kinabalu dan Penampang untuk menyampaikan sumbangan berbentuk sejadah, buku iqra, kelengkapan solat dan seumpamanya kepada pelajar yang memerlukan. Setakat ini saya sudah dihubungi sebuah sekolah berkenaan hal ini. Kata gurunya, betapa anak-anak muridnya berebut dengan buku iqra  yang sedikit jumlahnya apabila dia mengusahakan kelas Iqra dan al-Quran. Yang hendak menyumbang, sila maklumkan di ruangan komen ini atau klik ke facebook Abu Nuha atau hubungi ke hp Abu Nuha.

Ketiga, saya mengalu-alukan sumbangan kekal tuan-tuan untuk mewaqafkan sedikit wang untuk pembinaan Masjid Penampang yang kini dalam proses untuk pembelian tanah. Tuan punya tanah sudah pun mengurangkan harga daripada harga semasa dengan sumbangannya lebih 40 peratus. Perlu dimaklumkan bahawa harga asal tanah dimaklumkan lebih sejuta ringgit. Sumbangan waqaf tuan-tuan boleh membantu perkembangan dakwah di daerah Penampang yang sehingga kini belum mempunyai masjidnya sendiri. Di kanan blog ini, klik foto berkaitan Waqaf Masjid Penampang.

Ada sebuah hadith yang menyebutkan bahawa sedekah yang paling baik ialah memberi ketika kita sedang sihat dan berangan-angan pula hendak menjadi kaya. Mudah-mudahan Allah SWT memberi petunjuk kepada kita semua untuk menyumbang.


Rancangan asal ceramah ini adalah pada minggu lalu yang sudah saya persetujui sebelumnya. Namun terpaksa ditangguh kerana saya ke ibu negara menyertai mesyuarat Lajnah Tashih al-Quran, KDN.

Ceramah di dewan persidangan Wisma LHDN dihadiri lebih ramai kali ini berbanding beberapa kali saya hadir sebelum ini. Pihak yang mengatur khususnya Sdr Redzuwan Salleh meminta saya menyampaikan tajuk tentang tahsin as-solah tumpuan kepada pergerakan solat yang betul.

Alhamdulillah, tidak banyak persediaan saya sediakan kerana tayangan power point sememangnya sudah sedia ada. Saya hanya menggunakan bahan yang sama ketika menyampaikan ceramah Klinik Solat di Masjid Negeri hujung Jun lalu.

Sesi soal jawab juga agak meriah dan ada di kalangan mereka bertanya tentang wakaf Masjid Penampang yang sedang diwar-warkan di merata tempat. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan baik dan berakhir pada jam 10 pagi. Semoga dapat hadir ke sana lagi pada masa akan datang. Terima kasih semuanya.

Malam tadi kami sahabat-sahabat akrab Allahyarham Ustaz Haji Nahar berziarah ke rumah beliau di Kg Likas. Saya sudah berpesan kepada sahabat-sahabat agar membawa sekali isteri masing-masing bagi mengucap tazkiah kepada Kak Shida.

Orang yang datang begitu ramai sekali. Bertali arus. Antaranya mantan mufti Datuk Haji Ismail Abbas bersama-sama jamaah Masjid Kg Likas yang baru menunaikan solat isyak. Datuk Sanin Pandin, mantan Ahli Suruhanjaya Cobbold juga kelihatan sama.

Sebelah siangnya, juga tidak kurang ramainya jamaah yang datang. Antaranya Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (SPANS) Datuk Haji Ismail Ag Besar, mantan Imam Besar Datuk Haji Mokhtar Rapok, Pengerusi Yayasan Amal Malaysia (Sabah) Haji Khairan Untoh, Pengerusi Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Sabah Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim, mantan Pengerusi MUIS Datuk Haji Matusin Ag Damit, ADUN Pantai Manis Datuk Rahim Ismail, Ahli MPT PKR Haji Ansari Abdullah dan ramai lagi.

Hujan lebat beberapa jam petang itu di sekitar Kota Kinabalu telah menenggelamkan beberapa lokasi. Demikian kami dimaklumkan. Namun jenazah Ustaz Nahar tidak putus dikunjungi orang. Rakan-rakan sekerja dari JHEAINS, guru agama,  pengawai tinggi kerajaan, orang-orang politik hadir silih berganti. Asalnya kami dimaklumkan jenazah mahu diselenggarakan secepat mungkin, namun hujan lebat itu menjadi salah satu halangannya. Tambahan lagi pihak waris masih menanti beberapa ahli keluarga yang hanya tiba ke Kota Kinabalu lewat petang.

Hampir 10 malam, kami mula meminta diri untuk pulang. Saya bersalam erat dengan Nasyraf, 17 tahun, anak sulung Ustaz Nahar. Saya menyabarkan beliau dan mengatakan bahawa kini amanah ketua keluarga berada di pundaknya. Kami sebagai rakan-rakan seusrah babahnya bersedia membantu sekadar yang termampu.

Rupanya Kak Shida ada permintaan lanjut. “Bolehkah ahli usrah bermalam di sini malam ni?” “Ya”, jawab saya. Kami berunding dengan rakan-rakan akan datang semula pada tengah malam. Saya juga balik sebentar untuk menghantar isteri dan anak.

Jam 1 pagi kami datang berkumpul. Ketika itu, keadaan sudah sunyi sepi kecuali suara bacaan al-Quran. Yang lain sudah mulai melelapkan mata. Banyak cerita kenang-kenangan bersama Allahyarham kami luahkan. Kisah saat-saat akhir hayatnya juga kami kongsikan bersama. Saudara Amir, pembantu Ustaz Nahar banyak bercerita tentang detik pemergian ustaz. “Ustaz Nahar sempat mengucap dua kalimah syahadah”, katanya, sebelum Allahyarham terlentok di bahunya.

Di rumah, anak-anak dari SMKA Tun Ahmadshah Inanam membacakan al-Quran sejak tengah malam sehingga ke jam 4.30 pagi. Kami pula mengambil saat akhir sebelum subuh untuk membacakan Yasin dan doa untuk Allahyarham. Sebelum berangkat ke masjid, saya buka lagi kain yang menutup wajahnya. Demi Allah, kami melihat wajah beliau dengan bibirnya yang tersenyum.

CHE’GU JAMIL


Perjalanan di bumi semenanjung semakin indah apabila bertemu dengan sahabat seusrah dan seperjuangan dalam Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) Sabah, Che’gu Jamil Dayan sekeluarga.

Saya merasakan kemanisan bersahabat dengan beliau, bahkan kedua-dua keluarga kami bersama ketika mereka masih berada di Sabah dahulu.

Maka kerana perpindahan mereka akhir tahun lalu itu begitu menyedihkan saya sendiri, maka saya tidak sanggup menyambut panggilan dan mendengar suaranya. Sehingga sehari dua lalu beliau ada menghantar sms dan kami berjanji bertemu di satu tempat.

Saat sama-sama mencari untuk bertemu dan beliau membuat panggilan, barulah saya menyambut dan mendengar suaranya.

Kami bertemu di gerai makan, bercerita tentang banyak hal. Kisah-kisah PUM Sabah, CONCERN Sabah, aktiviti dakwah di Sabah, tentang dunia barunya di SMK Tambun, aktiviti dakwah di sekitar Ipoh, hal keluarga dan anak masing-masing.

Namun yang jelas, beliau masih mencari rentak dan stand untuk bergerak dalam misi dakwah yang tidak pernah selesai.

Meski tidak lama kami bercerita, pertemuan itu jelas mengubati kerinduan setelah perpisahan. Mudah-mudahan  terubat rindu rakan-rakan aktivis dakwah di Sabah apabila membaca entri ini. Betul kata orang, biar hilang di mata; di hati jangan.


USTAZ HAJI HARUN HAYA


Dalam kunjungan ke Pulau Mutiara malam tadi, kami disambut oleh Ustaz Harun Haya, Ketua Jabatan Pendidikan Islam & Moral di Institut Pendidikan Guru Kampus Tuanku Bainun Bukit Mertajam.

Sebenarnya saya kurang mengenali beliau dan tidak begitu rapat dengannya. Hanya sekadar mengetahui bahawa beliau pernah bertugas di beberapa sekolah di Sabah selama 16 tahun sehingga berpindah ke sini kalau tidak salah pada tahun 2004.

Kesemua anak-anak beliau juga khabarnya dilahirkan di Sabah, yang bungsunya Mujahid darjah 1 lahir di Tamparuli.

Antara tempat beliau pernah bertugas ialah di SMKA Limau-Limauan (kini SMKA Tun Mustapha) dan terakhir di Maktab Perguruan Kent, Tuaran. Geli hati juga mendengar beliau bercakap dengan slang Sabah.

Saya turut dimaklumkan, beliau adalah antara pengasas Pondok Fii Zilalil Quran di Kg Rosok Kota Belud dan juga pernah diamanahkan sebagai Pengerusi Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) Cawangan Sabah.

Mudah-mudahan jasa beliau dikira sebagai amal baik yang dibawa sehingga bertemu Allah SWT.


Saya berpandangan, Wacana Pendidikan Fatwa anjuran Pejabat Mufti Negeri Sabah dan JAKIM yang diadakan di Dewan Kinabalu Kompleks Tabung Haji Sabah pagi semalam kalaupun tidak mencapai keseluruhan objektifnya, ia hampir mencapai sasarannya.

Saya datang atas kapasiti Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) Negeri Sabah. Di dewan itu, audien pelbagai latar belakang saya saksikan namun kebanyakannya adalah penjawat awam termasuk pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri. Juga kelihatan pimpinan-pimpinan NGO Islam seperti ABIM, JIM, PUM, Yayasan Amal Malaysia dan lain-lain, juga para imam, guru-guru, AJK Masjid-Masjid dan sebagainya.

Saya juga mendapat maklum akan kehadiran wakil-wakil Jabatan Mufti seluruh Malaysia yang diundang hadir ke majlis ilmu ini.

Setahu saya, amat jarang sekali kedengaran Pejabat Mufti menganjur program besar yang mengundang umat Islam menghadiri suatu wacana atau seminar berkenaan kepentingan umat Islam. Jadi atas asas itu, penghargaan saya rakamkan kepada mereka semua di sana.

Saya memahami kalaupun tidak kesemuanya bahawa program ini bertujuan hendak mendidik masyarakat Islam bagaimana proses fatwa berjalan. Dengan memberi contoh dengan kertas kerja terhadap isu kehamilan luar nikah, satu kertas kedua dibincangkan tentang hukum menggugurkan kandungan. Umat didedahkan bagaimana sesuatu hukum diputuskan bukan dengan sesuka hati para alim ulama’, bahkan setelah meneliti pelbagai sumber hukum Islam barulah diambil suatu keputusan.

Tajuk ini sebenarnya menarik bagi audien yang hadir, kerana sebenarnya saya turut merasai perasaan geram masyarakat terhadap keengganan kerajaan melaksanakan Islam secara keseluruhan. Ia bukan sahaja melibatkan proses hukum hakam jinayat yang diabai dengan sengaja, tetapi bagaimana pemerintah sepatutnya memberi contoh yang baik terhadap rakyat yang dipimpinnya.

Semuanya tahu tentang antara punca masalah kegawatan sosial ialah kekurangan ilmu pengetahuan, keruntuhan institusi keluarga, gaya hidup yang tidak berlandaskan agama, serangan dan pengaruh media dan seumpamanya, namun punca-punca ini seperti diabaikan oleh pemerintah supaya diatasi.

Lihatlah suatu contoh dan pendekatan yang mudah, bagaimana kalau pendidikan agama itu kurang, sepatutnya diperkukuh dan diperkasakan. Seperti tiada usaha agar mata pelajaran agama Islam itu menjadi subjek wajib dan teras. Begitu juga budaya hiburan melampau pelbagai peringkat, daripada peringkat pemerintah sehingga rakyat marhaen digula-gulakan dengan hiburan.

Dua pembentangan dalam slot awal oleh Prof Madya Dr Harlina Haliza Siraj (Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi Jabatan Pendidikan Perubatan Pusat Perubatan, UKM yang juga Naib Presiden JIM) bertajuk ‘Isu Kehamilan Luar Nikah : Situasi Terkini Dalam Masyarakat Dan Kesannya Pada Generasi Umat Islam’, dan Prof. Madya Datin Dr. Paizah Hj. Ismail, (Ahli Jawatankuasa Fatwa MKI) bertajuk : ‘Hukum Menggugurkan Kandungan’, saya anggap berjaya dan mengesankan.

Saya tersentak apabila Dr Harlina menyatakan rakyat Malaysia masih dibuai dan lalai apabila kebanyakan masih mengatakan kebejatan masalah sosial di negara ini masih sedikit dan tidak teruk berbanding di Barat.

Statistik rasmi Jabatan Pendaftaran Negara 2005-2009  (5 tahun) mencatatkan bahawa jumlah anak tidak sah taraf adalah seramai 214,033, dan 74, 723 daripadanya adalah Melayu Islam. Kalau kita pecahkan lagi, purata setahun anak luar nikah ialah seramai 42,806 orang, sebulan 3567 orang, sehari 119 orang, dan 5 orang setiap jam.

Bagi saya pemerintah khususnya yang beragama Islam bertanggungjawab kerana tidak melaksanakan Islam secara keseluruhan – sama ada undang-undang, pendidikan dan lain-lain. Umat Islam dan rakyat Malaysia juga mempunyai saham yang mesti dijawab di hadapan Allah SWT apabila membiarkan negara ini ditadbir tidak dengan peraturan-Nya.

Sementara itu, pembentangan kedua oleh Dr Abd Hayei Bin Abd Shukor, (Ahli Jawatankuasa Fatwa MKI) dengan tajuk : ‘Amalan Khurafat dan Penggunaan Jin Dalam Masyarakat Islam’, meski hanya menceritakan perkara asas berkaitan dengan asal usul jin dan tersasar daripada tajuk yang dikehendaki, namun bagi saya pada peringkat ini amat wajar juga dan memadai untuk mengetahui perkara asas berkaitannya.

Untuk bercerita tentang makhlus halus bernama jin ini sudah tentu tidak memadai dengan masa yang terbatas, bahkan perlu kepada perbincangan lanjut yang berkaitan dengan amalan khurafat.

Saya meyakini sebahagian daripada jumlah 800 audien pelbagai latar belakang yang memenuhi dewan agak bersemangat pada awalnya, namun kemudian kurang berpuas hati, dan mereka telahpun membuat cadangan di dalam kertas soal selidik yang diedarkan. Mudah-mudahan itu diperhati oleh urusetia yang bertanggungjawab.

Keseluruhannya, tahniah buat Pejabat Mufti Negeri Sabah dan JAKIM yang bekerja keras menjayakan program penting ini. Mudah-mudahan membuka mata dan hati semua pihak yang berkepentingan akan maksud dan tujuan tersiratnya. Semoga ada lagi program seumpama ini pada masa akan datang untuk menyuntik kesedaran umat Islam dan tanggungjawab mereka di hadapan Allah SWT.






Solat hajat pada 24 April 2009 di Surau Taman Austral

Mungkin ramai orang Sabah sendiri yang berada di luar daerah Penampang tidak mengetahui bahawa daerah ini tidak mempunyai masjidnya sendiri. Baik masjid kampung ataupun bertaraf masjid daerah.

Hanya sebelum ini daerah Putatan – yang kini sudah  menjadi daerah penuh – ketika ia masih dalam kawasan Penampang, Putatan sendiri mempunyai banyak surau dan masjid. Tetapi di kawasan utama Penampang sendiri tidak mempunyai masjidnya sendiri.

Beberapa tahun lalu, SMK Peter Mojuntain di Penampang membuat usaha murni dengan mengadakan solat Jumaat di surau sekolah. Ia jelas menjadi tumpuan umat Islam yang semakin ramai di daerah ini.

Kedudukan daerah Penampang sama seperti Tuaran dan Putatan, iaitu daerah yang berjiran dengan ibu negeri Sabah, Kota Kinabalu. Ketiga-tiga daerah ini menjadi pintu masuk khususnya jalan darat ke ibu negeri.

Memang menjadi rahsia umum, usaha-usaha mendirikan sebuah masjid di daerah ini sudah lama diikhtiarkan, namun ia mendapat bantahan banyak pihak yang berkepentingan.

Memang sejarah Penampang tidak jauh dengan jirannya Tambunan yang majoriti penduduknya satu masa dahulu  (dan sehingga kini) bukanlah beragama Islam. Daerah Tambunan sendiri meski peratus umat Islamnya sedikit kini sudah mempunyai banyak masjid, surau.

Bahkan ada masjid daerah, beberapa masjid dan surau kampung, ada sekolah agama negeri, sekolah menengah agama Islam dan rumah anak yatim (RAY) kelolaan JHEAINS.

Itulah pula bezanya dengan Penampang. Selain surau di SMK Peter Mojuntain, memang tiada surau dan masjid lain di sini. Sekolah agama peringkat rendah dan menengah apatah lagi.

Sedangkan penduduk, peniaga, penjawat awam dan pekerja muslim di daerah ini sudah bertambah ramai dengan adanya taman-taman perumahan, pusat perniagaan dan jabatan-jabatan kerajaan yang menempatkan pekerja dan pegawai muslim bertugas di sini.

Bahkan saya pernah mendengar seorang kenalan yang tinggal di daerah ini sejak 4-5 tahun lalu merungut kerana sangat jarang menyertai solat berjamaah di masjid atau surau kerana ketiadaan rumah ibadat itu di sekitar mereka.

Seorang pakcik yang berjuang agar sebuah masjid didirikan di daerah ini, kami kenali beliau sebagai Hj Ahmad. Setiap minggu beliau terpaksa turun naik bas beberapa kali untuk solat Jumaat di Masjid Negeri dengan tambah tidak kurang RM5-RM7.

Untuk solat berjamaah dan solat Jumaat, yang terdekat ialah di Masjid Nurul Hikmah Bukit Padang, Masjid Negeri Sabah atau Masjid Nurul Ihsan Kg Lok Kawi Baru. Masjid Nurul Hikmah dan Masjid Negeri berada dalam daerah Kota Kinabalu sementara Masjid Nurul Ihsan dalam daerah Putatan.

Dengan idea asal beberapa sahabat, kemudiannya dibawa ke dalam Majlis Gabungan NGO Islam Sabah (CONCERN), kini usaha serius sudah berjalan.

Saya teringat lagi, dalam rekod saya pada 24 April 2009 di Surau Austral pernah diadakan solat hajat agar hasrat urusan pembinaan Masjid Penampang ini dirahmati dan mendapat inayah-Nya.

Saya tentu tidak dapat menghadiri kesemua mesyuarat JK Waqaf Masjid Penampang sehingga kini, namun nampaknya menurut maklumat, kehadiran ketika itu adalah antara yang teramai.

Dengan izin Allah, seorang hamba Allah telah bersetuju menjual tanahnya dengan nilai yang  lebih murah berbanding  harga pasaran. Keluasan tanah berkenaan di Jalan Penampang Bypass amat bersesuaian dengan sebuah bangunan masjid yang sederhana.

Kini, kami memohon ihsan tuan-tuan dan puan-puan untuk bersama-sama kami, membantu dengan menginfaqkan sedikit wang dengan kadar RM100 untuk satu lot berukuran 1 kaki persegi.

Sumbangan boleh disalurkan secara tunai, cek, pemindahan wang bank, atau memasukkan terus ke akaun bank ‘Jawatankuasa Wakaf Masjid Penampang’ di Akaun Bank Islam bernombor : 10016010074517.

Ingatlah waqaf juga termasuk salah satu jenis sedekah jariah yang pahalanya sentiasa mengalir selama ia masih dimanfaatkan. Ia boleh diniatkan untuk diri sendiri atau ahli keluarga yang masih hidup atau sudah kembali kerahmatullah.

Mudah-mudahan Allah SWT memurahkan rezeki tuan-tuan dan puan-puan atas sumbangan ini demi tertegaknya sebuah masjid di daerah Penampang. Maklumat lanjut di sini.

Gambar mesyuarat 24 April 2009 dalam koleksi saya.

Beberapa hari sebelum ini, saya sudah dimaklumkan akan kedatangan Dr Md Arip Kasmo ke Sabah untuk program ceramah Sains Dalam al-Quran di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan pada malam sabtu anjuran siswa-siswi Sabah yang menuntut di USM.

Pada hari ketibaan beliau, baru saya tahu pula bahawa Dr Arip hanya balik pada malam isnin (malam ini) dan beliau mempunyai banyak masa yang terluang untuk mengisi program ceramah seumpama itu.

Beberapa rakan-rakan yang mengajar di sekolah-sekolah dihubungi untuk meminta laluan ceramah buat Dr Md Arip Kasmo, namun kebanyakannya berhalangan. Tidaklah mereka dipersalahkan kerana permohonan kami dibuat secara mengejut bagi mengisi ruang penceramah.

Hajat saya untuk membawa ke SMAI Papar di Pantai Manis bermula apabila pengetuanya Ust Hamdani Omar tersalah dail menghubungi saya sedangkan beliau hendak bercakap dengan orang lain. Ketika itu saya baru berkira-kira mencari sekolah dan asrama yang berkelapangan.

Alhamdulillah, Prof Dr Md Arip pula bersetuju untuk berjalan ke sebelah Papar dan Ust Hamdani saya hubungi semula untuk memohon persetujuan sekolah mengadakan ceramah yang bermanfaat ini.

Kami – Dr Md Arip, Ust Amir Hamzah dan saya, tiba di surau sekolah hampir jam 7 malam dan pihak sekolah ketika itu sedang menyediakan persiapan dan kelengkapan ceramah untuk Dr Md Arip.

Saya kira dengan kedatangan Dr Md Arip Kasmo ke sekolah ini membawa ruang dan hubungan baru khususnya dalam mengadakan pengisian untuk pelajar sekolah apatah lagi sekolah agama.

Ceramah hampir 100 minit berlangsung, saya nampak para pelajar sekitar 400 orang itu dan guru yang hadir begitu gembira dan teruja walaupun sesekali agak kebingungan kerana fakta-fakta bernombor yang dibentangkan beliau.

Sebelum pulang, Dr Arip juga ada menghadiahkan beberapa naskhah buku beliau untuk koleksi perpustakaan sekolah.

Nampaknya pihak sekolah gembira dengan kehadiran beliau, dan Dr Arip sendiri juga gembira kerana diberi ruang menyampaikan ceramah yang begitu menarik berkenaan Sains & al-Quran itu.

%d bloggers like this: