Tag Archive: pulau mantanani


Sumber : http://www.islam.gov.my/ziarah-dan-dakwah-di-pulau-mantanani

Dari mata kasar, Pulau Mantanani adalah ‘syurga’ bagi golongan penyelam kerana ia adalah antara lokasi tercantik di negeri ini untuk pelbagai aktiviti laut. Kedudukannya di bahagian barat laut daerah Kota Belud dan 80 kilometer dari bandar Kota Kinabalu. Namun apa yang tersirat di sebalik segala keindahan ciptaan Allah S.W.T itu ialah gerakan dakwah perlu diperkasakan. Penduduk pulau berkenaan sangat ‘dahagakan’ bimbingan dakwah.

Justeru, pada 23 Jun 2012 yang lepas, Jakim Cawangan Sabah dengan kerjasama JHEAINS Daerah Kota Belud, Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Cawangan Selangor, PUSPANITA Jakim Cawangan Sabah dan KAFA Daerah Kota Belud telah mengadakan Program Ziarah Mahabbah ke Pulau Mantanani, Kota Belud. Perjalanan dari Jeti Kampung Rampaian Laut, Kota Belud ke Pulau Mantanani dengan menaiki bot nelayan telah mengambil masa selama 2 jam. Ombak kuat yang mengiringi di sepanjang perjalanan itu langsung tidak melunturkan semangat 35 ahli rombongan yang mengikuti ekspedisi ini.

Objektif utama program ialah untuk menyuburkan rasa kasih sayang, menyampaikan ilmu agama serta menyuntik elemen motivasi iaitu dengan menjadikan ‘Islam Sebagai Cara Hidup’ kepada masyarakat Islam pulau berkenaan. Antara pengisian yang diterapkan kepada masyarakat kampung itu termasuklah kuiz kepada kanak-kanak, sesi halaqah ilmu, soal jawab agama dan beramah mesra. Para peserta yang hadir sangat teruja dan dan memberikan respon yang sangat menggembirakan ahli rombongan.

Tuan Haji Ahmad Zaki bin Haji Arsad, Pengarah Jakim Cawangan Sabah sendiri telah menyelitkan tazkirah ringkas dalam ucapan perasmian beliau. Sambil menyifatkan setiap manusia perlu gigih untuk menuntut ilmu agama, beliau juga mengharapkan agar lebih banyak NGO seperti PUM dan lain-lain agensi dapat mencurah khidmat bakti dan berdakwah di kawasan pedalaman dan pulau-pulau. Turut hadir, Ustaz Mohamad Zamri bin Mohamad Shapik, Pengerusi PUM Cawangan Selangor, Encik Albi bin Alad, Ketua Kampung Pulau Mantanani, Pengerusi Puspanita Jakim Cawangan Sabah dan Penyelia KAFA Daerah Kota Belud.

Yang terakhir, para penduduk dan masjid pulau tersebut telah dihadiahkan dengan pelbagai sumbangan berupa bahan keperluan asas, buku-buku agama dan alat kelengkapan pengurusan jenazah.

Foto oleh Ustaz Jumat Abd Razak albelurani.

Rasanya hanya sekitar 3 minggu membincang dan mengatur sebahagian program sempena kunjungan Persatuan Ulama’ Malaysia Negeri Selangor (PUMSEL) ke Sabah, maka pada hari jumaat malam sabtu lepas, berlangsung pertemuan mahabbah dan muzakarah diantara PUMSEL dan PUM Sabah di Hotel Shangri-La Bandaran Berjaya.

Pertemuan mahabbah berkenaan diatur diadakan bagi mengeratkan silaturrahim, mencambah idea bagi mengatur aktiviti-aktiviti dakwah di kedua-dua negeri dan perkongsian maklumat diantara dua negeri. PUMSEL diketuai oleh Ustaz Mohamad Zamri Mohamad Shafik selaku pengerusinya bersama lapan lagi anggota lain, sementara PUM Sabah diketuai oleh Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim bersama AJK dan ahli yang lain.

PUMSEL dalam rangka kunjungan dakwah ke Sabah, mengisi beberapa program termasuk ziarah ke JAKIM Sabah, misi dakwah di Pulau Mantanani Kota Belud dan kuliah maghrib serentak yang diadakan di lapan buah masjid serentak pada ahad malam isnin di sekitar Putatan dan Kota Kinabalu. Insya Allah, pertemuan dan program lain akan menyusul nanti.

%d bloggers like this: