Tag Archive: Pulau Banggi


Selepas solat zuhur dan asar – jamak qasr – bermula aktiviti dan penyediaan masak memasak yang akan disediakan kepada penduduk Kg Lambuak Darat. Semua kerja-kerja ini dilakukan di perkarangan Masjid Daerah (Kecil) Pulau Banggi, diketuai oleh Tuan Haji Salman Ismail.

Sebahagian pula berkeliling di sekitar pekan dan persisiran pantai yang indah. Memang mengasyikkan melihat air lautnya yang sangat jernih dan suasana yang mendamaikan. Sebahagian anak-anak kecil di sini kelihatan memancing dengan cara mereka sendiri, manakala kami mencuba-cuba memancing bersama mereka.

Hampir jam 5, kami tiba di Surau Kg Lambuak Darat, meneruskan kerja-kerja menyediakan sumbangan kepada penduduk kampung dan jamuan berbuka puasa. Ada sedikit masa berbaki sebelum tiba penduduk kampung dan masuk waktu maghrib, kami membaca ma’thurat dan menempah buah kelapa untuk menghilang dahaga beberapa minit lagi.

Satu perkara yang kami sedari, surau ini tidak mempunyai bekalan elektriknya sendiri, melainkan menumpang dan ditarik dari rumah berhampiran yang juga menggunakan generator sahaja. Ia hanya dipasang apabila waktu maghrib hampir tiba. Soket yang ada di dalam surau kecil ini hanya ada satu, berkongsi dan bergilir antara kipas dinding (yang dipinjam) dengan sistem pembesar suara.

Ketika solat, suis kipas ditutup untuk memberi laluan kepada suis mikrofon pula. Saya tidak tahu keadaan penduduk kampung, tetapi rombongan kami memang terasa kepanasan dan peluh membasahi pakaian masing-masing.

Dalam suasana cahaya yang tidak cukup, saya menyampaikan tazkirah ringkas, sementara anakanda Brenge siswa Maahad yang saya bawa sebagai imam solat sehingga selesai tarawih dan witir. Sejumlah penduduk kampung juga menerima sumbangan yang kami bawa dari Kota Kinabalu.

Selesai majlis, kami kembali ke Pekan Karakit menaiki kenderaan pikap dan bermalam di Masjid Daerah (Kecil) Banggi dan sebuah rumah rehat yang berdekatan dengan masjid tersebut. Alhadulillah, misi kami selesai pada pagi tersebut dan kembali ke tanah besar Sabah di Pekan Kudat seterusnya singgah ke destinasi berikutnya.

Banggi (8) Banggi (9) Banggi (10) Banggi (11) Banggi (12) Banggi (13) Banggi (14) Banggi (15) Banggi (16) Banggi (17) Banggi (18) Banggi (19) Banggi (20) Banggi (21)Banggi (22)Banggi (23)

Tarikh : 5 Julai 2014

Lokasi : Pulau Banggi

Alhamdulillah, saya menyertai 15 peserta rombongan anjuran Yayasan Amal Malaysia Negeri Sabah membuat amal bakti di Pulau Banggi, di utara negeri Sabah sehari semalam pada 5-6 Julai lepas. Pulau Banggi adalah salah satu pulau yang dekat di hati petugas dan aktivis Yayasan Amal Malaysia kerana kekerapan mereka berziarah ke pulau ini. Saya pula untuk kunjungan ke sini adalah buat kali kedua.

Turut serta dalam rombongan ini ialah 2 pelajar muslimin Maahad Tahfiz yang saya bawa sebagai latihan beraktiviti bersama masyarakat mustad’afin. Perjalanan kami bermula dengan solat subuh di Masjid Bangka-Bangka Likas sebelum bergerak ke Kudat dengan 2 kenderaan selama hampir 3 jam. Pelayaran menaiki feri ke Pulau Banggi pula hampir sejam.

Kami disambut oleh wakil Yayasan Amal Malaysia yang merupakan aktivis dan pendakwah yang dilatih melalui Pusat Dakwah Serantau bawah kendalian Yayasan Amal juga. Berkumpul di Masjid Daerah (Kecil) Pulau Banggi di Pekan Karakit untuk berehat, menerima taklimat untuk pergerakan seterusnya, dan menunaikan solat zuhur/qasr secara berjamaah.

Bersambung..

 Banggi (1) Banggi (2) Banggi (3) Banggi (4) Banggi (5) Banggi (6) Banggi (7)

Pusat pentadbiran Pulau Banggi ialah Pekan Karakit dan pekan ini menempatkan Pejabat Daerah Kecil Banggi, Rumah Rehat, Klinik Kesihatan, Balai Polis, jabatan-jabatan kerajaan, SMK Banggi, Pangkalan Polis PGA, dan rumah-rumah para penduduk kampung. Penduduk pekan ini dianggarkan seramai 1000 orang. Penduduk utama Pulau Banggi ialah daripada suku kaum Ubian dan Dusun Bonggi. Terdapat juga kaum-kaum lain iaitu orang Βajau, Kagayan, dan Ѕuluk. (wikipedia)

Sesuatu yang saya gemari apabila bermalam di pekan ini ialah kemudahan wifi. Kami mendapati sekurang-kurangnya 3 atau 4 wifi dapat dikesan dan kami memanfaatkannya sehingga berada di jeti sebelum keberangkatan pulang ke tanah besar di Kudat. Kunjungan ke pulau ini sangat bermanfaat dan saya berhajat untuk datang lagi pada masa akan datang.

 

Kami tiba di Surau Kg Daranan menjelang asar setelah perjalanan termasuk rehat di Masjid Pekan Kudat kesemuanya mengambil tempoh 8 jam. Memang meletihkan tetapi program tetap diteruskan dengan persiapan untuk majlis ringkas penyampaian sumbangan sebelum maghrib. Kami dimaklumkan terdapat sekitar 700 penduduk beragama Islam di kampung ini namun menjangkakan sekitar 70-100 orang hadir sudah memadai.

Ketibaan kami disambut oleh seorang petugas Yayasan Amal Malaysia di pulau ini bersama seorang lagi sahabatnya. Mereka membuat persiapan dengan jemputan kepada penduduk kampung sebagaimana yang sudah dirancang lebih awal. Di sebelah surau baru ini ada sebuah surau lama yang dijadikan tempat jamuan makan dan dapur mereka. Beberapa kaum ibu dibantu oleh anak-anak remaja membantu membuat persiapan berbuka.

Sementara kami juga melakukan sedikit persiapan membahagi-bahagikan barang yang bakal disumbangkan kepada 200 bungkusan berisi kurma, ubat-ubatan dan sedikit wang raya. Ada lapan kotak berisi pakaian juga dikirimkan oleh sahabat di Kota Kinabalu untuk disampaikan kepada penduduk kampung yang memerlukan. Penyampaian ringkas dilakukan beberapa minit sebelum berbuka dan ketika itu kehadiran antara 70-100 orang penduduk kampung termasuk kanak-kanak, ketika generator baru dipasang dan dihidupkan kerana ketiadaan kemudahan elektrik.

Ketika berbuka, kami sungguh tidak menyangka menu yang kami anggap istimewa disediakan oleh penduduk kampung. Dalam cahaya lampu yang agak suram, mereka menyantuni kami pula dengan hidangan ketam, ikan putih, ubi pelbagai jenis dan nasi yang dibungkus dengan daunan sangat menyelerakan. Allah, sungguh mereka kaya jiwa dan budi bahasa terhadap tetamu jauh mereka  dengan makanan yang kami kira lebih mewah berbanding di rumah kami sendiri walaupun kehidupan mereka ramai yang susah dan sederhana.

Kami solat maghrib berjamaah dan saya menyampaikan sedikit tazkirah sebelum isyak dan tarawih. Selepas selesai kesemuanya kami berangkat kembali ke Pekan Karakit untuk bermalam di Masjid Daerah Kecil Pulau Banggi. Kunjungan ke kampung ini akan saya kenang sebagai pengalaman manis bersama umat Islam di sebuah pulau di hujung negeri Sabah. Insya Allah ada rezeki akan berziarah lagi.

 

Sudah beberapa kali saya terlepas peluang untuk berziarah ke pulau terbesar di Malaysia ini. Apabila Tuan Haji Abu Aslam mengajak berziarah dan jaulah dakwah ke pulau ini untuk menyampaikan bantuan umat Islam kepada sebahagian kecil penduduknya di Kampung Daranan, saya mengiyakan saja tanpa berfikir panjang. Ini adalah program jaulah dakwah Ramadhan anjuran Yayasan Amal Malaysia Cawangan Sabah dengan kerjasama JHEAINS dan JAKIM Cawangan Sabah.

Perjalanan kami terdahulu bermula sekitar jam 7.30 pagi dari Kota Kinabalu seramai 5 orang (Hj Abu Aslam, Dr Shafie, Nordin Sakke, Azman Talib dan saya) membawa sepuluh kotak berisi pakaian terpakai, 200 bungkusan ubatan asas, kurma dan sedikit wang sebagai sumbangan hari raya yang dikirimkan oleh ramai pihak di Kota Kinabalu. Perjalanan dengan kelajuan sederhana ke daerah Kudat sejauh 190 km memakan masa hampir 3 jam, sementara perjalanan dari tanah besar di Kudat ke Pulau Banggi pula mengambil masa 70 minit menaiki feri ekspess dengan tambang promosi sebanyak rm10 sahaja seorang.

Kami difahamkan ada beberapa feri ekspress yang membawa penumpang dua hala Kudat-Pulau Banggi-Kudat.  Kampung Daranan yang kami tuju ini memakan masa perjalanan 50 minit dari Pekan Karakit, Pulau Banggi. Perjalanan 15 minit pertama dari Pekan Karakit menuju ke lokasi agak selesa dengan jalanraya yang berturap kecuali sedikit yang rosak. Baki 35 minit berikutnya perjalanan dengan jalan tidak rata dan beralun-alun, sehingga kenderaan bergerak perlahan sahaja. Namun sesuatu yang sangat memukau ialah pemandangan indah di sepanjang perjalanan. Foto-fotonya saya kongsikan bersama di dalam entri ini dan entri berikutnya secara bersiri.

Pulau Banggi terletak di timur laut Kudat. Kudat ialah daerah paling utara di Sabah (atas sekali dalam peta Sabah). Keluasan Pulau Banggi ialah 440.7 km persegi. Penduduk utama pulau ini ialah suku kaum Ubian dan Dusun Bonggi diikuti oleh kaum-kaum lain seperti Bajau, Kagayan dan Suluk. Penduduk seluruh pulau ini tidak kurang daripada 20 ribu, dan daripada segi persempadanan pilihanraya, kawasan dewan undangan negeri mereka dinamakan sebagai DUN N1 Banggi dengan menggabungkan pulau dan sebahagian daerah Pitas di tanah besar.

Foto yang dirakam dalam entri ini adalah sepanjang perjalanan sebelum tiba ke Kampung Daranan. Program di kampung berkenaan akan disiarkan dalam entri berikut nanti.

Kami melalui sebuah rumah yang di aras bawahnya sebuah kedai runcit, diusahakan oleh orang Kelantan yang dikhabarkan berkahwin dengan orang pulau ini. Kelihatan bendera Kelantan.

Kami tiba di terminal feri Kudat-Pulau Banggi hampir jam 10.30 pagi setelah perjalanan yang selesa dan santai hampir 3 jam dari Kota Kinabalu. Proses pertama ialah membeli tiket feri – rm10 sahaja untuk seorang bagi perjalanan yang dimaksudkan pada jam 1.30 tengahari. Kelihatannya ada beberapa feri ekspress yang melakukan perkhidmatan antara tanah besar ke Pulau Banggi mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Proses kedua ialah mengangkut barangan yang kami bawa untuk disampaikan kepada sasaran, dari kenderaan dibawa masuk ke feri berkenaan terlebih awal. Maklumlah ada lapan kotak pakaian, beberapa kotak kurma, 200 bungkus ubatan asas dan lain-lain lagi untuk diagihkan nanti. Selesai kesemuanya, kami beredar untuk berehat, membeli barang keperluan lain untuk sehari semalam di pulau ini nanti. Selesai membeli, kami beredar untuk solat zuhur dan asar di Masjid Pekan Kudat dan seterusnya bergerak kembali ke terminal untuk meneruskan perjalanan dan misi ke pulau berkenaan.

Terminal ini menjadi penghubung dan laluan penting dan utama penduduk di kedua-dua kawasan. Saya difahamkan ada kapal besar yang juga boleh membawa kenderaan ke pulau dengan bayaran antara rm500-rm700 bagi sebuah kenderaan. Untuk feri ekspress yang kami naiki ini, kami melihat ada juga penumpang yang membawa motorsikal, mengikat kemas motornya di sisi feri. Sayangnya saya tidak sempat merakam.

 

 

NORSHILLA ABTARA

Setiap kali menziarahinya, dia sering kelihatan tersenyum. Saya suka benar menziarahi Shilla. Dia pesakit istimewa bagi ramai orang terutama warga Hospital Queen Elizabeth ini. Bagi sesetengah pegawai perubatan hospital sama ada doktor atau jururawat, mereka lebih baru atau junior berbanding Shilla.

Shilla yang dilahirkan pada tahun 1994 bakal berumur 17 tahun pada 20 Februari nanti. Shilla sudah berada di sini sejak 30 Mei 2001 iaitu hampir 10 tahun. Lebih separuh umurnya di sini. Mula-mula diletakkan di wad kanak-kanak ketika dia berumur 7 tahun. Sakitnya bermula apabila bermain dengan sepupunya lalu terhantuk di kepala. Sepupunya itu meninggal dunia sehari kemudian sementara dia dihantar ke Kota Kinabalu dari kampungnya di Pulau Banggi.

Sejak itulah Shilla terlantar di Hospital Queen Elizabeth dan berpindah-pindah wad apatah lagi dia sudah masuk dalam wad perempuan dewasa. Dia tidak boleh lagi berjalan-jalan walaupun disorong di kerusi roda untuk dibawa bersiar-siar. Mujurlah kakaknya yang sering menemaninya di wad ini. Shilla baru pandai membaca dan menulis sedikit demi sedikit. Kerana istimewanya Shilla, dia selalu mendapat hadiah daripada pengunjung seperti anak patung dan ada sebuah tv kecil yang mengubati kesunyiannya.

Kata kakaknya, seorang tua berbangsa tionghua sering menziarahinya dan pada setiap tahun akan membawakannya kek harijadi untuk Shilla. Sesiapa yang ada masa, ziarahilah Shilla untuk mengubati kesunyiannya, apatah lagi untuk mengajarnya mengaji iqra, al-Quran, beribadah dan sebagainya.

DUSUN BONGGI & ISLAM

Masyarakat Dusun Bonggi pernah terima syiar Islam 50 tahun lalu

Oleh Azrul Affandi Sobri

PAGAN adalah cara hidup atau pegangan masyarakat Dusun Bonggi sejak berabad lamanya. Hidup bebas tanpa pegangan agama itu sudah sebati di kalangan mereka yang menjadikan tempayan dan batu besar sebagai alat penyembahan atau tempat meminta pertolongan jika ditimpa bencana.

Namun, segala-galanya berubah apabila bekas tokoh utama Sabah, Allahyarham Tun Datu Mustapha Harun dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam menggerakkan kemasukan Islam ke Pulau Banggi dengan menyasarkan masyarakat Dusun Bonggi yang ketika itu masih begitu kuat dengan kepercayaan pagan.

Menurut ketua Kampung Limbuak Darat, Firdaus Abdullah, pada penghujung 1960-an, ketika Mustapha menjadi Ketua Menteri Sabah, sesi penyebaran Islam secara serius digerakkan di semua perkampungan etnik itu, bermula dengan sesi penerangan dan pengislaman beramai-ramai masyarakat Dusun Bonggi yang buat pertama kalinya diadakan di Sekolah Kebangsaan Limbuak Laut.

“Ketika itu, atas kata putus dan persetujuan beberapa ketua masyarakat Dusun Bonggi termasuk dari Limbuak Darat, Batu Layar, Mamang, Palak Darat dan Kalangkaman, ramai masyarakat memeluk Islam lantaran konsep keagamaan yang ditekankan dalam siri penerangan oleh Mustapha.

“Ketika itu, lebih 70 peratus masyarakat di Pulau Banggi memeluk Islam sekali gus menjadikan Islam agama utama di pulau terbesar di negara kita itu.

“Namun, segala-galanya berubah apabila pada awal 1980-an, sebahagian besar masyarakat Islam Dusun Bonggi memilih kembali kepada pegangan asal iaitu pagan dan ada pula yang menganut Kristian lantaran kurangnya dakwah untuk memperkukuhkan pegangan agama mereka,” katanya.

Katanya, alasan utama ialah jarak kerana bukan mudah untuk mencari pendakwah yang sanggup keluar masuk ke perkampungan mereka dan menjalankan aktiviti dakwah secara intensif.

Atas sebab kurangnya pendedahan agama, kebanyakan mereka merasakan tiada bezanya memeluk apa saja agama atau pegangan sekali gus menyebabkan ramai yang kembali murtad.

Kebanyakan masyarakat Dusun Bonggi yang tetap dengan Islam pula dikatakan kurang dalam aspek kefahaman serta pengetahuan agama yang menjadikan mereka hanya Islam pada nama.

Masih ramai golongan dewasa tidak tahu solat dengan sempurna dan kurang kanak-kanak Islam yang tahu mengaji. Senario itu menyebabkan Islam masyarakat Dusun Bonggi semakin goyah, tambahan pula dengan kemasukan pengaruh Kristian di Pulau Banggi.

Meskipun mereka Islam, kepercayaan kepada perkara tahyul dan menyesatkan tetap diteruskan. Masih ramai menjalankan aktiviti penyeruan kepada kuasa ghaib yang dikatakan mampu menyembuhkan penyakit. Upacara tarian Tamadak yang khusus untuk menyeru roh ghaib masih popular di kalangan masyarakat itu termasuk mereka yang Islam.

Firdaus berkata, tarian tradisi itu mula diamalkan masyarakat Dusun Bonggi sejak generasi kedua dan terus menjadi budaya rasmi masyarakat itu, malah sudah dipersembahkan untuk tontonan orang ramai.

“Mengikut kaedah sebenar, untuk memulakan tarian Tamadak, kami perlu menyediakan satu rumah khas dan tujuh bendera pelbagai warna.

“Tujuh genggam nasi pelbagai jenis dihantar ke beberapa objek yang dipercayai mempunyai kuasa seperti pokok atau batu puaka untuk dijadikan hidangan makhluk ghaib.

“Tarian ini akan diteruskan tujuh malam berturut-turut. Ia khusus untuk penyembuhan penyakit dan tidak boleh ditarikan sebarangan.

“Tidak boleh untuk dipersembahkan semasa perkahwinan atau apa saja tujuan. Apa yang kami pertontonkan kepada khalayak juga hanya sebahagian kecil daripada tarian ini.

“Tarian Tamadak asli hanya boleh ditarikan orang tertentu seperti bomoh atau mereka yang terpilih. Untuk dipersembahkan, sesiapa saja boleh menarikannya tetapi tidak boleh menunjukkan sesuatu yang asli,” katanya.

Tarian itu mempunyai pergerakan yang mudah. Penarinya kelihatan melangkah mengelilingi sesuatu dengan sedikit hentakan kaki sambil tangan memegang daun ubi kayu atau silabangun.

“Tarian mereka diiringi muzik dari tetogog (gong) dan alat ketukan kuntangan seperti cempuling. Turut digunakan, gendang, tin kosong yang dibalut dengan kain dan diketuk dengan kayu,” katanya.

Penari perempuan memakai banduong, sejenis baju tradisi seakan kebaya ringkas bersama sindaang iaitu sejenis kain batik berserta selampi (selendang yang diletak pada bahu kanan). Penari lelaki pula memakai sembit, kain yang diikat menjadi cawat.

Kebiasaannya, ia boleh ditarikan beramai-ramai apabila ada orang yang ‘begin’, iaitu dimasuki makhluk lain sehingga tidak sedar diri dan turut dalam tarian. Penarinya pula kebiasaannya berusia lebih 30 tahun.

Suatu ketika dulu, sebelum Pulau Banggi dibangunkan, ada beberapa lokasi utama yang dijadikan tempat penyembahan kepercayaan pagan dan kebanyakannya menggunakan tempayan besar sebagai alat perantara.

Tempayan itu bukan sebarangan dan tiada orang luar dibenar melihat atau mengunjungi kawasan itu dan ia kekal sehingga kini, meskipun tempayan berkenaan sudah dimusnahkan. Bagi mereka, kawasan itu mempunyai kuasanya tersendiri dan berpuaka.

Kini, kawasan itu yang berada di satu lokasi berbukit di pinggir Limbuak Darat masih dikawal ketat masyarakat Dusun Bonggi dan terhalang daripada pandangan.

Difahamkan, ada dua tempayan yang pernah menjadi alat utama penyembahan iaitu satu di Limbuak Darat dan satu lagi di Sabur.

Malah, meskipun Dusun Bonggi mempunyai beberapa perkampungan, satu sistem zon digunakan yang mengehadkan penduduk di luar sempadan mengunjungi kawasan tempayan yang bukan di bawah sempadannya.

Selepas kedua-dua tempayan itu dihapuskan kerana kemasukan Islam suatu ketika dulu, apa yang masih tinggal untuk dijadikan penyembahan masyarakat Dusun Bonggi ialah batu besar misteri yang ada di Mamang.

%d bloggers like this: