Tag Archive: Presiden PAS


10 ARAHAN PRESIDEN PAS

COVER2

Sumber : http://muktamar59.pas.org.my/index.php/health-menu/724-sepuluh-arahan-presiden-bersempena-muktamar-pas-ke-59

1. Semua pihak dalam Dewan, Lajnah, Badan Perhubungan PAS Negeri dan Wilayah serta Kawasan mestilah mempunyai kefahaman yang jelas terhadap tema ”RAHMAT UNTUK SEMUA”, dan seterusnya bertindak merangka perancangan dan strategi pelaksanaan agar intipati ini dapat berada dalam masyarakat dan difahami bahawa dasar Islam ini dibawa oleh PAS. Jadikanlah tema ini sebagai sesuatu yang benar bernafas, bukan sekadar slogan kosong yang sedap didengar sebagai halwa telinga untuk Muktamar semata-mata.

2. Badan Perhubungan PAS Negeri-Negeri dan Wilayah Persekutuan juga perlu lebih dinamik dalam gerakerja tersusun yang mempunyai sasaran bulanan dan tahunan, menambahkan ahli yang berkualiti, mendekati medan baharu dalam masyarakat, dan mempunyai sekurang-kurangnya 50% program di kalangan ahli baharu atau masyarakat awam di luar lingkungan ahli jamaah. Penentuan petunjuk prestasi perlu dibangunkan, sebagai sasaran kerja yang lebih terarah. Kukuhkan organisasi parti dengan berbagai ilmu pengurusan, kepimpinan perlu dibajai dengan tarbiyah untuk membentuk diri seterusnya mengikhlaskan niat perjuangan. Usaha yang berterusan untuk mengaktifkan ILHAM, dan modul-modul pembinaan diri ahli di berbagai peringkat mestilah diperkukuhkan dengan menjadikannya sebagai salah satu sasaran tahunan.

3. Sabah dan Sarawak adalah rakan penting dalam pembentukan Malaysia. Rakyat di sana telah bersama dalam referendum yang melahirkan negara Malaysia, maka hargailah hasil yang turut sama dibina oleh rakyat Sabah dan Sarawak ini. Maka seluruh jentera PAS di medan ini perlulah berusaha gigih untuk menyedarkan rakyat tentang hak mereka ini supaya tidak dibuli oleh UMNO-BN disetiap masa dan ketika. Badan Perhubungan PAS di Sabah dan Sarawak pula perlulah melengkap dan memperkemaskan organisasi, mempertingkatkan kerja dakwah, menghilangkan phobia masyarakat di sana terhadap PAS, dan seterusnya merakyatkan PAS supaya diterima sebagai parti yang berupaya menjadi tempat bergantung mereka.

4. Dewan Ulama pula merupakan nadi denyutan jamaah yang perlu bertindak pantas menjadi jurubicara jamaah dan menjelaskan isu di sekitaran dengan merujuk kepada panduan al-Quran dan as-Sunnah, ijma dan qiyas. Bahan-bahan penerbitan dalam pelbagai rupa dan bentuk yang bersesuai dengan masyarakat perlu lebih dinamik dan bertenaga menjelaskan pendirian jamaah khususnya menterjemahkan Islam bagi menangani masalah semasa, juga membantu kerajaan negeri melaksanakan Islam yang menjadi rahmat kepada seluruh alam. Perbincangan ilmiah dan seminar khusus dalam memahami persoalan maqasid syariah, siyasah syari’yyah, perlu dijalankan dari masa ke semasa untuk menangani ketidakfahaman dalam masyarakat kita ini dan seterusnya menyediakan penyelesaian yang sesuai untuk sepanjang zaman.

5. Dewan Pemuda pula mestilah sentiasa dinamik, melengkapkan diri dengan ilmu Islam dan kefahamannya, serta bersedia menyambung legasi perjuangan kepimpinan terdahulu sehingga mampu untuk melakukan islah di dalam masyarakat Malaysia yang masih sarat dengan berbagai fikrah yang berlawanan dengan Islam. Inovasi baharu dakwah perlu diterokai. Pemuda juga perlu mendepani isu semasa nasional, tempatan dan antarabangsa; dan mampu mengenengahkan permasalahan ummah dan mencadangkan penyelesaiannya dengan menonjolkan Islam sebagai rahmat untuk sekalian alam. Program siyasah yang bersifat inklusif perlulah diterokai untuk mendekatkan diri kepada masyarakat awam di luar sana.

6. Dewan Muslimat perlulah mendepani berbagai isu dalam bahasa yang mudah dan menyentuh hati nurani masyarakat dalam negara kita ini, bahkan menerokai isu-isu antarabangsa. Program dalaman seperti tarbiyah wajar dimantapkan lagi, sejajar dengan keperluan semasa terutamanya untuk berdepan dengan zaman penggunaan pelbagai media supaya Dewan Muslimat berperanan besar dalam masyarakat terkini yang meletakkan kaum wanita menjadi penentu kepada wajah umat dan negara.

7. Dewan Himpunan wajar untuk diperkembangkan peranan mereka dengan mempunyai modul-modul latihan khusus kepada ahlinya. Modul ini perlu dibangunkan, untuk melahirkan ahli Dewan Himpunan yang mampu bergerak dengan lebih baik lagi sebagai satu dari sayap parti yang penting, menjadi jambatan atau pintu yang menghubungkan rahmat Islam perjuangan PAS kapada kaum bukan Islam.

8. Kawasan dan Cawangan perlu mempunyai sasaran kerja yang jelas yang dan dipantau oleh pimpinan negeri. Zaman mesyuarat tanpa fail dan tidak berkala itu adalah sudah berlalu. Program dalaman seperti program tarbiyah dan latihan mestilah menjadi agenda yang penting dalam aktiviti Kawasan dan Cawangan.

9. Ahli dan kepimpinan PAS yang memikul amanah sebagai Ahli Dewan Negara, Ahli Dewan Rakyat, Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Majlis dan Anggota Lembaga Pengarah, Ketua Kampung dan semua yang berkaitan perlulah melaksanakan amanah dengan sepenuhnya mengikut adab dan batas-batas akhlak, kerana peranan mereka yang telah dipilih oleh rakyat ini adalah sebagai wajah depan PAS. Prestasi mereka akan dipantau, dinilai dan akan dibantu oleh jemaah sekiranya terdapat kelemahan dalam melaksanakan tugas mereka. Semua dari kalangan mereka ini akan dijemput menyertai forum, perbincangan meja bulat, bengkel dan sesi latihan yang bersesuaian supaya lebih mahir dan dapat membantu dalam menjalankan tugas masing-masing.

10. Ahli – ahli PAS secara keseluruhannya perlulah mempunyai disiplin dan akhlak yang tinggi, merapatkan saf ahli, mempunyai hubungan dengan Allah yang kuat, berada dalam suasana sentiasa dahagakan ilmu, dan seterusnya terlibat dalam aktiviti majlis ilmu, usrah, tamrin, muqayyam dan sebagainya dengan pelbagai pendekatan yang sesuai dengan waqi’ dan keupayaan masing-masing.

 

Antara petikan penting ucapan bahas Bajet 2014 oleh Tok Guru Presiden PAS;

1) Ucapan dimulakan dengan mengungkap kembali terjemahan ayat Quran yang telah dibacakan oleh PM Najib pada awal ucapan pembentangan Jumaat lepas;

“Tuntutlah dengan sebanyak-banyaknya kebaikan untuk Akhirat yang dijanjikan oleh Allah dan jangan kamu lupa habuan kamu di atas dunia ini dan hendaklah kamu berbuat baik (kebajikan) seperti Allah telah berbuat baik kepada kamu. Dan janganlah kamu melakukan kejahatan. Sesungguhnya Allah tidak mengasihi orang yang melakukan kejahatan.” (Surah Al Qasas: 76).

Ayat ini hendaklah dibaca bersama dengan ayat sebelum dan selepasnya. Ia berkait akan kisah Qarun yang kaya tetapi dibinasakan Allah pada zaman Firaun yang melawan Nabi Musa. Qarun berbuat zalim demi menambahkan kekayaan dirinya.

2) Pihak kerajaan mengumumkan kenaikan cukai dalam pembentangan Bajet yang disediakan oleh pihak eksekutif sedangkan pihak legislatif (parlimen) yang membawa suara rakyat tidak pun dibawa berbincang terlebih dahulu.

3) Kita boleh mengambil contoh perkara baik yang dilakukan oleh Barat. Contohnya dalam isu Syria, PM Britain David Cameron ingin menyerang Syria tetapi beliau merujuk dahulu ke Parlimen. Dengan beraninya Parlimen menyanggah cadangan PM dan terpaksa hasrat tersebut dibatalkan. Begitu juga Presiden US, Barack Obama yang merujuk dahulu kepada Kongres dan tidak menggunakan kuasa vetonya untuk menyerang Syria. Kongres hanya bersetuju jika kos serangan tersebut ditangguh oleh negara-negara Arab.

4) Seringkali kewangan negara itu hilang dek kerana sebab perkara mendatang luar jangka dan salahlaku. Antara perkara luarjangka itu ialah peperangan,keselamatan dan bencana alam yang memerlukan kos yang besar. Salahlaku pula ialah ketirisan, kebocoran wang negara dan hutang.

5) Isu keselamatan-jenayah kian meningkat, kes bunuh, rompak, curi di sana sini. Kita perlu sedari dan akui masalah ini tidak dapat diatasi dengan penggunaan senjata dan pasukan keselamatan sahaja. Di sana adanya aspek lain yang perlu diambilkira iaitu modal insan. Acuan yang telah digunapakai tidak dibangunkan dengan fitrah yang sebenar. Manusia itu secara fitrahnya ada jasad, ruh, akal dan hidup bermasyarakat. Kaitan ini perlu diadun dengan acuan pendidikan. Maka, pentingnya sistem pendidikan negara ini diperbaiki.

6) Seterusnya, peranan media juga perlu dilihat. Filem-filem yang mengandungi aksi bagaimana nak merompak, menyamun dan menipu. Ini boleh mempengaruhi anak-anak kita yang telah diasuh dalam acuan yang salah tadi.

7) Undang-undang yang ada hari ini tidak digeruni oleh penjenayah. Negara Barat yang mencipta sistem ini gagal menangani masalah jenayah. Jenayah yang berlaku di Amerika tidak dihitung mengikut bulan dan hari, tapi dikira mengikut jam dan minit kerana terlalu banyak. Tok Guru mengucapkan syabas kepada negara Brunei yang mengisytiharkan pelaksanaan hukum Hudud dan Qisas walaupun mendapat bantahan oleh Pertubuhan Hak Asasi Dunia kerana mereka tidak memahami bahawa undang-undang Islam bersifat mendidik bukan menghukum. Undang-undang yang mampu menggerunkan penjenayah. Kaedah gantung sampai mati, sebatan yang begitu menyakitkan itu bertentangan dengan Islam.

8) Kita perlu akui terdapat kecelaruan dalam Perlembagaan negara berkaitan agama. Islam dijadikan agama rasmi persekutuan, agama-agama lain diberikan hak untuk beramal. Hairannya, Islam yang dikatakan agama rasmi persekutuan itu sendiri tidak bebas dan dikongkong.

9) Isu ketirisan yang menghilangkan duit negara. Laporan Audit Negara dengan ikhlas mendedahkan segala yang berlaku. Sepatutnya, ia dijadikan iktibar dan pengajaran kepada kita semua malangnya penyelewengan ini terus berulang dari tahun ke tahun. Pesalah lama tidak dihukum dan dilupakan seperti kes Kapal Terbang Skyhawk, Perwaja, KWSP, Tabung Haji dan bermacam lagi. Yang lama dilupakan, datang pula yang baru.

10) Kita semua berada dalam bahtera yang sama, jika bahtera ini tenggelam semua kita terkena. Inilah tugas pembangkang menyelamatkan negara melalui kritikan dan teguran atas masalah yang berlaku.

11) Kebocoran dalam pengagihan subsidi. Ia tidak diagih dengan betul, atas dasar kaum dan parti. Penggunaan wang dibelanjakan dengan sewenangnya apabila berlaku P.Raya Umum dan P.Raya Kecil. Maka, apabila kewangan sudah tidak ada maka kerajaan pun membebankan rakyat dengan mengenakan Cukai GST.

12) Apa makna keadilan..? Keadilan bukan semua kena, dalam Islam ia bermakna meletakkan sesuatu kena pada tempatnya. Rakyat yang miskin sepatutnya dikecualikan. Yang berlaku hari ini, kekayaan negara berpusing dalam kalangan orang kaya sahaja. Begitu juga masalah konsep federalisme yang gagal dilaksanakan, masalah di Pantai Timur dan Pantai Barat, Malaysia Timur dan Malaysia Barat. Pantai Timur sama nasibnya dengan Malaysia Timur yang ketinggalan.

13) Ada pencelahan oleh MP BN (Lenggong) bertanya isu janji Kerajaan Kelantan untuk membina Lebuhraya Rakyat pada PRU baru ini. Lantas, Tok Guru Presiden membidas dan berkata ‘ini bola tanggung yang kamu berikan kepada saya.” Bukankah itu sebenarnya tanggungjawab Kerajaan Pusat..!! Kerajaan Pusat yang tidak menunaikan tanggungjawab ini.

(Dewan gamat sebentar dengan bunyi tepukan meja dan sorakan sokongan dari MP PR yang lain)..

Lihat apa yang berlaku dalam kes Lebuhraya Pantai Timur (LPT), majlis pecah tanah telah dibuat daripada Terengganu sehingga ke Kelantan. Selepas BN kalah pada tahun 1999, lebuhraya itu tidak dibuat maka Kerajaan PAS Negeri Terengganu ketika itu membuat inisiatif sendiri untuk membina lebuhraya daripada kewangan anak syarikat, konsortium luar negara namun ia tersekat kerana perlu melalui MITI dan Bank Negara. Berikan kebebasan kepada negeri, berikan kembali royalti kepada Terengganu dan Kelantan. Dia suruh kita buat tapi dia cekik kita..!

14) Isu hutang dan riba- apabila berpeluang kerajaan sering berhutang dengan bank-bank sehingga terlupa perlunya membayar kembali hutang-hutang tersebut.Apatah lagi, ia dibejati pula dengan riba yang diharamkan Islam. Lihat dalam kes Amerika, Presiden Obama membatalkan lawatan ke negara ini kerana masalah ekonomi yang punca utamanya ialah hutang. Sedangkan US telah diberi amaran pada tahun 90-an lagi kerana bank begitu mudah memberikan pinjaman kepada kerajaan yang ketika itu berbelanja untuk Perang di Vietnam. Pada awalnya, hutang berbilion kemudian Trilion dan apa lagi selepas ini..? Bahkan, mungkin kita ditipu dengan matawang kertas Dollar US yang tidak ada sandaran.

15) Isu TPPA- Kini, kita hendak masuk perangkap pula melalui Perjanjian TPPA. Cuba menyelamatkan mereka dengan masuk dalam perjanjian. Kita jadi macam pakatan antara kucing dengan singa. Kucing hanya boleh jilat sisanya dan kemudian kucing itu ditelan oleh singa.Tok Guru memberikan amaran awal agar jangan terlibat dengan perjanjian antarabangsa yang boleh merosakkan negara.

16) Perbankan Islam- sistem ini amatlah dialukan dan sangat baik tetapi mesti ada matlamat untuk menghapuskan riba. Jangan pula sama-sama naik dan tidak menuju ke arah penghapusan riba.

17) Isu GST- cadangan ini ditolak. Lihatlah kembali dalam kisah Khalifah Umar Abdul Aziz ketikamana gabenor menulis surat kepadanya meminta dinaikkan cukai untuk menampung kewangan negara. Lalu, dia menjawab “kamu berlaku adil atau kamu akan dipecat”. Boleh dikenakan cukai tapi mesti adil. Zakat dikenakan pada golongan yang kaya tidak pada yang miskin, cukai Kharaj dikenakan pada golongan bukan Islam. Zakat tidak boleh dihapuskan tapi cukai bukan Islam boleh dihapuskan apabila kewangan negara mencukupi. Inilah konsep yang adil.

18) Walaupun dikatakan budu, cencalok, tempoyak tidak dikenakan cukai GST tapi ia memerlukan garam, gula,petrol untuk kos pengangkutan. Ia berkait dengan pelbagai aspek lain.

19) Demokrasi yang tulen, sihat, telus dan benar-benar mewakili suara rakyat, ialah apabila ahli parlimen BN dibenarkan untuk berbeza pendirian dengan kerajaan kerana tidak semestinya semua tindakan kerajaan disokong oleh ahli parlimen BN.

20) Akhir sekali, aspek pembangunan insan yang sepatutnya tidak memisahkan elemen ruhani, jasmani dan akal. Kita bukan sahaja ingin melahirkan insan yang bijak dalam ilmunya tetapi turut mulia akhlaknya. Ilmu dan Iman tidak boleh dipisahkan. Kita tidak ingin menjadi ahli parlimen yang ‘rubber stamp’,mengiyakan sahaja apa yang kerajaan cadangkan.

**Catatan ini dibuat berpandukan rakaman ucapan Tok Guru Presiden Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang pada 28 Oktober 2013.

PERUTUSAN MAAL HIJRAH 1434

Parti Islam Se-Malaysia PAS mengucapkan selamat menyambut maal hijrah kepada seluruh umat Islam di Malaysia dan dunia amnya. Peristiwa hijrah adalah peristiwa besar yang memberi pengajaran bermakna kepada kita khususnya rakyat Malaysia dalam berdepan dengan pilihanraya.

Tindakan pertama Rasulullah SAW selepas hijrah dalam membangunkan negara Madinah ialah mendirikan masjid dan keduanya membina pasar. Kedua tindakan nabi ini adalah simbolik kepada pembangunan insan dan pembangunan ekonomi yang dititik beratkan dalam membina sesebuah negara. Masjid adalah tempat membangunkan manusia untuk bertaqwa kepada Allah dan menghubungkan manusia sesama mereka. Manakala pasar pula sebagai pusat kegiatan ekonomi yang kedua penting dalam membangunkan negara.

Sudah lebih setengah abad Malaysia merdeka dalam keadaan rasuah dan jenayahnya yang sangat parah. Ia telah merosakkan negara dan rakyat sehingga menjadikan negara dan rakyatnya mundur. Begitu juga dengan agihan ekonomi yang berlaku secara tidak adil. Yang kaya dikalangan kroni terus menerus menjadi kaya dan yang miskin terus miskin walaupun keras berusaha. Perkara ini tidak tepat dengan kehendak Islam.

Oleh itu mengambil semangat hijrah, perlu untuk kita berubah dengan meletakkan kepimpinan negara kepada manusia yang amanah yang bukan sahaja mampu membangunkan negara, tetapi amanah dalam pemerintahan dan adil layanannya kepada rakyat.

Disamping itu kita sebagai individu muslim juga mesti berubah kearah yang lebih baik dalam amal ibadah dan kefahaman kita untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Semoga tahun baru hijrah ini akan membawa perubahan bermakna kepada seluruh dunia kearah melihat dunia yang lebih adil dan terkeluar daripada kezaliman, peperangan dan penindasan yang banyak berlaku dimasa ini.

Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

Presiden PAS.

IKTIBAR RAMADHAN

Sumber : http://www.pas.org.my/

شَہۡرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلۡقُرۡءَانُ هُدً۬ى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَـٰتٍ۬ مِّنَ ٱلۡهُدَىٰ وَٱلۡفُرۡقَانِ‌ۚ فَمَن شَہِدَ مِنكُمُ ٱلشَّہۡرَ فَلۡيَصُمۡهُ‌ۖ وَمَن ڪَانَ مَرِيضًا أَوۡ عَلَىٰ سَفَرٍ۬ فَعِدَّةٌ۬ مِّنۡ أَيَّامٍ أُخَرَ‌ۗ يُرِيدُ ٱللَّهُ بِڪُمُ ٱلۡيُسۡرَ وَلَا يُرِيدُ بِڪُمُ ٱلۡعُسۡرَ وَلِتُڪۡمِلُواْ ٱلۡعِدَّةَ وَلِتُڪَبِّرُواْ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَٮٰكُمۡ وَلَعَلَّڪُمۡ تَشۡكُرُونَ

Maksud: Bulan Ramadan yang diturunkan padanya Al-Quran, menjadi petunjuk bagi  manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa ; (Al-Baqarah :185)

Petikan ayat ini bukan sahaja menegaskan wajib berpuasa dibulan Ramadan. Bulan yang mulia ini juga dipilih masa yang paling munasabah diturunkan Al Quran kitab petunjuk, keterangan-keterangan dan penjelasan kepada petunjuk, serta menegaskan pemisah yang mebezakan diantara dua perkara yang bertentangan. Ia bagi menentukan benar dan salah, adil dan zalim, petunjuk dan kesesatan daripada Allah Pencipta Alam Yang Maha Mengetahui segala-galanya dan bersifat dengan segala sifat kepujian.

Ibadat puasa bukan hanya sekadar ibadat yang terlalu besar pahalanya, tidak saperti ibadat lain yang dinyatakan pahala sekurang-kurangnya sepuluh kali ganda sehingga tujuh ratus kali ganda. Allah menyimpan puasa itu disisinya dan berjanji untuk diserahkan pada hari qiamat kelak. Ibadat puasa juga adalah tarbiyah diri dengan sifat ikhlas dan kemuncaknya membuahkan taqwa yang menentukan nilai harga diri manusia disisi Allah. Menjelaskan bahawa martabat manusia bukannya keturunan, bangsa, pangkat, ilmu, harta dan warna kulit.

Apabila berpuasa dengan ikhlas bermakna kesediaan patuh kepada Allah di atas sifat hamba, sehingga  meninggalkan makan minum dan kepuasan hawa nafsu walaupun dihalalkan dimasa yang lain. Walaupun semua perkara yang membatalkan puasa itu adalah rukun hidup manusia secara tabie’nya. Kepatuhan menunaikan perintah itu secara memperhambakan diri kepada Allah, yang berbeza dengan patuh kepada sesama makhluk saperti ibubapa, ketua, raja dan pemimpin.

Menunjukkan bahawa ketaatan kepada Allah adalah mutlak. Adapun ketaatan kepada sesama makhluk pula bersyarat selagi tidak berlawanan dengan perintah Allah. Ia menunjukkan bahawa hubungan hamba dengan Allah adalah Maha tinggi, berbeza dengan hubungan rakyat dengan raja dan pemimpin, hubungan pekerja dengan majikan, hubungan anak dengan ibu bapa.

Adalah menjadi hikmat paling besar Allah memilih bulan ramadan, bahawa Al Quran diturunkan seluruhnya ditempat mulia yang ditentukannya. Ada kalangan para ulama yang menamakannya dengan Bait Al Izzah dan ada yang menamakanya dengan Mawaqei’ Al Nujum.  Kemudian Al Quran diturunkan melalui wahyu oleh Malaikat Jibril A.S secara berperingkat mengikut sebab dan keperluan yang diatur supaya mendidik generasi awal yang menerimanya dengan cara paling berkesan. Ini kerana mereka menjadi contoh kepada seluruh manusia.

Al Quran adalah kalam Allah. Sifatnya yang wajib dinyatakan ke dalam bahasa Arab, bahasa pilihan Allah di dunia dan pada hari Qiamat. Al Quran juga adalah petunjuk daripada Allah kepada manusia dalam semua perkara yang berkait dengan kejadian mereka dan peranan mereka di alam dunia dengan cara yang betul. Allah memilih manusia berperanan dibumi kerana sifat kejadian mereka dan menguji kesetiaan mereka kepada Allah dengan kemampuan jasad, roh dan akal. Dengan kemampuan ini manusia mampu beribadat dibumi dan memakmurkan segala yang lain dengan petunjuk Allah dan kemampuan akal dan ilmu yang ada kepada mereka.

Ada kalangan manusia yang menerima perintah Allah itu dengan Islam (menyerah diri) dan Iman (percaya). Namun ramai kalangan manusia yang tidak bersyukur, lalu menjadi kufur dan sombong menolak petunjuk Allah dengan mencipta cara yang merosakkan diri manusia dan alam kelilingnya. Maka berlakulah perlawanan sengit dalam kalangan manusia itu. Rasulullah S.A.W. terpaksa berdepan dengan pertembungan yang membawa kepada perpecahan yang wajib berlaku, bermula daripada perbalahan sehingga terpaksa berperang kerana adanya kalangan manusia yang melampau. Maka menjadi ujian diantara hubungan dengan Allah yang lebih diutamakan atau hubungan dengan manusia yang wajib dijaga dengan semangat kekeluargaan dan persaudaraan.

Bulan ramadhan dipilih berlakunya peristiwa Badar dan Fathu Makkah. Rasulullah S.A.W. dituduh menjadi sebab perpecahan dalam satu bangsa dan satu keluarga kerana tidak bersedia  menerima tawaran menjadi Raja Makkah atau pemimpin bersama harta kekayaan dengan syarat yang ditetapkan supaya meninggalkan Islam, sama ada semua atau sebahagian. Puncanya para pemimpin Makkah tetap mempertahankan sistem jahiliyah dan menolak petunjuk Allah yang diamanahkan kepada Rasulullah S.A.W. menyampaikannya supaya dilaksanakan kepada seluruh manusia di seluruh dunia sehingga hari qiamat.

Allah mewajibkan kepada Rasulullah S.A.W. mencari tempat hijrah. Akhirnya berjumpa Madinah dan berbagai kaumnya yang bersedia menerima Islam sehingga ditegakkan negaranya. Maka Islam yang adil kepada seluruh manusia masyarakat majmuk dapat ditunjukkan secara nyata dan terbuka. Tiba-tiba para pemimpin Makkah berketuakan Abu Jahal membawa bala tentera menyerang Rasulullah dan para sahabatnya, kerana Islam yang diamalkan itu mendedahkan kejahatan dan kesesatan penentangnya. Kedua-dua belah pihak bertempur di tempat bernama Badar dan berlaku dibulan ramadhan.

Abu Jahal berdoa kepada Allah supaya membinasakan Muhamad yang dituduh membawa ajaran sesat dan memecahbelahkan keluarga dan bangsa. Rasulullah S.A.W. juga berdoa dengan munajat memohon pertolongan supaya Islam dan penganutnya diselamatkan. Kedua-dua belah pihak mengaku benar dan berdoa.

Akhirnya Allah mengurniakan kemenangan kepada Rasulullah S.A.W. dan para sahabat yang setia dalam keadaan terlalu kecil jumlahnya dan tidak mencukupi kelengkapan peperangannya. Bala tentera Musyrikin Makkah dikalahkan. Abu Jahal pemimpin utama dan ramai kalangan para pemimpin dibunuh dan ramai yang ditawan dengan hina walaupun jumlahnya berlipat kali ganda dan lengkap bersenjata.

Allah menamakan hari Badar dengan Hari Furqan (pemisahan diantara dua pihak), daripada satu bangsa dan satu keluarga. Menjadi peristiwa yang menguji diantara perasaan beriman dan cintakan Allah bertembung dengan perasaan kasihkan keluarga dan bangsa. Maka Allah menentukan supaya hubungan dengan Allah mengatasi hubungan dengan sesama manusia. Walaupun kalangan paling hampir hubungan kekeluargaannya. Allah  memberi sanjungan paling tinggi kepada mereka yang berjaya dalam ujian perasaan dan peperangan dalam peristiwa Badar dengan firmannya :

يا أهل بدر اعملوا ما شئتم , قد غفرت لكم

(wahai Ahli Badar! Lakukanlah apa sahaja yang kamu mahu, kerana aku telah mengampunkan kamu).

Di bulan ramadhan juga berlakunya Fathu Makkah (Makkah di bebaskan). Apabila negaranya yang dipimpin oleh Abu Sufian (bapa mertua Rasulullah S.A.W.) yang dilantik selepas terbunuhnya Abu Jahal dalam peperangan Badar. Apabila pengikut Abu Sufian mencabuli perjanjian damai (Hudaibiyah) dan apabila qabilah yang bernaung di bawah kerajaan Islam diserang oleh kabilah yang berpihak kepada Makkah.

Maka Rasulullah S.A.W. menggerakkan bala tentera Islam menyerang Makkah (tanah airnya sendiri) yang dikuasai oleh keluarga dan bangsanya sendiri, bukannya bangsa asing atau makhluk asing. Akhirnya Abu Sufian dan pengikutnya menyerah kepada Islam dan masuk Islam. Rasulullah S.A.W. mengisytiharkan pengampunan umum yang tidak diduga oleh mereka yang pernah berlaku zalim terhadap Rasulullah S.A.W. dan para sahabatnya, menyebabkan hati mereka terbuka beramai ramai menerima Islam dengan redha tanpa paksaan.

Semua perkara tersebut adalah hikmat ramadhan yang tinggi nilainya kepada seluruh alam, khususnya kepada umat Islam. Hidayahnya! Bahawa Islam yang menyelamatkan diri, keluarga, bangsa dan tanahair. Maka Islam hendaklah diutamakan dengan melaksanakan rukun puasa sehingga membuahkan taqwa dan menegakkan Islam diutamakan, perintah Allah didahulukan, sehingga mengatasi kepentingan diri. Begitulah makan minum, hawa nafsu yang dihalalkan diketepikan dahulu, apabila berpuasa kerana Allah dengan ikhlas.

Saya dimaklumkan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) akan menganjurkan Muzakarah Pakar Menjelaskan Isu Kalimah Allah pada 21 Januari 2010 akan datang.

Antara yang diundang untuk membentangkan pendapat dan pendirian masing-masing ialah SS Mufti Kerajaan Negeri Kedah Dato’ Paduka Syeikh Badaruddin Bin Ahmad; Penasihat Agama Kepada Perdana Menteri, Dato Dr Abdullah Md Zin; Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang dan Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama  PKR, Dr. Muhd Nur Manuty.

Turut diundang sama ialah Dr Mohd Asri Zainal Abidin, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Datuk Hj Amri Suratman dan beberapa tokoh lain.

Mudah-mudahan muzakarah berkenaan akan menatijahkan sesuatu yang baik demi kemaslahatan agama Islam dan keharmonian serta kerukunan hidup masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.

Maklumat lain boleh layari di web rasmi IKIM di sini.

%d bloggers like this: