Tag Archive: PPI an-Nur


KELAS TAHFIZ HUJUNG MINGGU 3

Untuk sesi kanak-kanak (9-12 tahun) ini, sebahagian bakat hafazan mereka sudah mula menonjol saat ini. Sememangnya majoriti menghafaz surah lazim, tetapi ada dua orang yang menghafaz juzu’ 28, dan juga dua orang lagi menghafaz juzu’ ‘amma.

Masih ada juga 2-3 orang anak-anak ini yang masih kabur tentang cara menghafaz al-Quran. Barangkali perlu lebih tumpuan dan perhatian kepada anak-anak ini. Namun secara keseluruhan, mereka dapat menghafaz surah masing-masing dengan baik. Alhamdulillah setakat ini berjalan lancar.

KTHM M3 (1) KTHM M3 (2) KTHM M3 (3) KTHM M3 (4) KTHM M3 (5) KTHM M3 (6) KTHM M3 (7) KTHM M3 (8)

Kelas Dewasa :

KTHM M3 (9) KTHM M3 (10) KTHM M3 (11) KTHM M3 (12) KTHM M3 (13)

Kelas Tahfiz Hujung Minggu (3)

Hati saya berdebar menanti tarikh 1 Disember 2012.

Inilah permulaan bagi pelaksanaan hajat kami untuk mengadakan Kelas Tahfiz Hujung Minggu yang kami rencanakan lebih sebulan lalu. Alhamdulillah, sambutan terhadap kelas ini sangat baik dengan penyertaan (setakat ini) keseluruhannya lebih 50 orang. Insya Allah ada yang sudah menzahirkan hasrat untuk turut serta atau menghantar anak-anak dalam tempoh terdekat.

Suka saya nyatakan watak yang berperanan ialah sahabat kami Cikgu Nik Suhaimi, seorang guru di SK Pulau Sepanggar. Memang niat dan hasrat saya sudah lama untuk membuka kelas seumpama ini kepada orang awam. Niat asal kelas ini ialah untuk orang dewasa, kemudian diperluaskan kepada kanak-kanak dan remaja.

Cikgu Nik dan saya sependapat, mungkin satu ketika dahulu ada orang yang bercita-cita untuk masuk ke maahad atau sekolah tahfiz tetapi terhalang dengan pelbagai sebab. Mungkin kelulusan akademik tidak mencukupi, ibu bapa tidak benarkan, atau kerana tidak tahu apa itu tahfiz. Sesudah hidup berkeluarga, baru tahu tentang keutamaan dan kelebihannya.

Jadi kewujudan kelas ini mungkin membantu merealisasikan cita-cita mereka yang tertangguh sejak puluhan tahun sudah. Walaupun mungkin tidak lagi mampu menghafaz keseluruhan al-Quran, menghafaz surah-surah tertentu, atau tasmik semula surah-surah lazim dalam bentuk kelas bersama kawan-kawan sebaya pun sudah memadai.

Seperkara lagi, kelas ini tetap terbuka kepada peminatnya walaupun ia sudah bermula sejak 1 Disember lepas. Ini kerana soal surah atau ayat apa yang dihafaz setiap minggu adalah mengikut kemampuan masing-masing dan dihafaz di rumah. Kelas hanya menyediakan tempat dan sesi tasmik (memperdengarkan) hafazan serta kelas tajwid mengikut buku yang disediakan.

Tahniah kepada semua yang turut serta termasuk ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke dalam kelas ini.

Jadual : Kanak-Kanak Setiap Sabtu (8.30 – 10 pagi atau 10.30-12 tengahari). Remaja Setiap Khamis (8-9.30 malam) Dewasa Sabtu Malam Ahad atau Ahad Malam Isnin (8-9.30 malam). Semua kelas berlangsung di Pusat Pendidikan Islam an-Nur, Taman Austral bersebelahan Surau Riyadhus Solihin Taman Austral.

Kelas Tahfiz Hujung Minggu (1)Kelas Tahfiz Hujung Minggu (2)Kelas Tahfiz Hujung Minggu (4)Kelas Tahfiz Hujung Minggu (5)

Ini salah satu bilik kelas di PPI an-Nur.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

KERTAS KERJA MOHON BANTUAN DANA UNTUK  MEMPERLENGKAPKAN BILIK GURU PUSAT  PENDIDIKAN ISLAM AN NUR

 1.      MUQADDIMAH

Pusat Pendidikan Islam An Nur (PPIAN) adalah Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang  berorientasikan Pengajian Al Quran dan Bahasa Arab  berpandukan sukatan pelajaran dan Kurikulum Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS)

la ditubuhkan dengan tujuan mendidik pelajar-pelajar agar dapat menghayati kebesaran Al Quran melalui penulisan, pembacaan dan hafalan Al Quran serta ilmu-ilmu berkaitan seperti Bahasa Arab, Tajwid, Qiraat, Khat  dan Tarannum.

PPIAN telah memulakan sesi pembelajarannya pada 15 Februari 2006 dengan 10 orang pelajar berdaftar berumur 5 tahun – 10 tahun dan 2 orang tenaga pengajar.

Di atas peningkatan kesedaran masyarakat yang inginkan anak-anak mereka terdidik, institut ini telah menerima pertambahan pelajar dari masa ke semasa. Sehingga kini, jumlah pelajar telah mencecah kepada 151  orang pelajar, 7 orang guru dan seorang guru besar. Pertambahan ini sangat menuntut kepada peningkatan tenaga pengurusan, ruang pembelajaran dan lain-lain fasiliti tambahan. Atas perkembangan ini dan harapan untuk mewujudkan suasana pendidikan yang terbaik, maka kertas kerja bagi memohon dana pembangunan ini dikemukakan.

Barangsiapa yang berkehendakkan dunia hendaklah ia memiliki ilmu, barangsiapa yang berkehendakkan akhirat hendaklah ia memiliki ilmu dan barangsiapa yang berkehendakkan kedua-duanya sekali maka hendaklah ia memiliki ilmu”(al-Hadis)

 2.       OBJEKTIF BANTUAN DANA

Tujuan utama penubuhan tabung ini adalah untuk mengumpul dana bagi membolehkan PPIAN memperlengkapkan kemudahan dalam bilik guru demi keselesaan para guru. Dana ini ini diperlukan kerana pada masa ini yuran sekolah hanya mampu untuk menampung operasi sekolah dari segi pembayaran gaji guru dan kos pentadbiran.

 3.       STATUS PEMBANGUNAN

Lokasi : Surau Taman Austral, Taman Austral, Kepayan, Kota Kinabalu (Jalan Penampang by pass)

 4.      LEMBAGA PENGURUSAN SEKOLAH

Pengerusi : Encik Hambali Bin Saad

Timbalan Pengerusi : Encik Abd Jaid Bin Paki

Setiausaha : Ustaz Mohd Radzi Bin Amaran

Bendahari : Ustaz Idzhar Jaafar

AJK

Dr Nidzam

Dr Adlin Zafrulan Zakaria

Ustaz Muhasibi Razali

 5.      SUMBANGAN ANDA DIPERLUKAN

Pihak Jawatankuasa sedang berusaha memohon derma daripada individu dan tokoh-tokoh korporat yang sudi menyumbang. ( Lampiran disertakan )

 6.      AKAUN BANK

Sumbangan boleh disalurkan terus kepada pihak kami samada dalam bentuk wang atau material ke alamat kami. Atau sumbangan kewangan, anda boleh hulurkan kepada

Pusat Pendidikan Islam An Nur

Maybank Islamic Berhad (Cawangan Sadong Jaya)

No. Akaun :  151137819732

Sebarang pertanyaan boleh hubungi :

  • Encik Hambali Saad                      017  818 2728
  • Encik Idzhar Jaafar                        019  871 1837

 7.      PENUTUP

Semoga usaha murni ini dapat dilakukan dengan jayanya. Kepada pihak yang sudi dan telah menyumbang kepada perkembangan Islam di bawah kendalian PPIAN, didahului dengan ucapan jutaan terima kasih. Moga Allah menerima semua amal kita dan menjadi bekalan di akhirat.

Disediakan oleh

Pengerusi

Pusat Pendidikan Islam An Nur

Majlis Ihtifal Pusat Pendidikan Islam (PPI) an-Nur, Taman Austral yang diadakan di ruang terbuka sekolah berkenaan semalam berlangsung sederhana tetapi tetap membanggakan ibu bapa yang hadir apabila mereka dimaklumkan dengan pencapaian 100% lulus dalam peperiksaan Sijil Rendah Ugama (SRU) untuk darjah enam bagi sesi tahun ini 2011.

Menurut jurucakap sekolah, ini tahun ketiga pusat pendidikan bertaraf sekolah agama rakyat (SAR) itu menyertai SRU yang dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) di mana sekolah berkenaan menggunakan sukatan pembelajaran yang dikeluarkan oleh JHEAINS sejak ia ditubuhkan enam tahun lalu.

Ustaz Abdul Rahman Talipuddin, Penolong Pengarah Hal Ehwal Akademik yang merasmikan majlis berkenaan turut mengucapkan tahniah kepada PPI an-Nur dan berharap mereka meneruskan kecemerlangan untuk tahun-tahun mendatang dengan mengambil langkah-langkah perlu seperti mengadakan seminar persediaan peperiksaan dan kaedah menjawab soalan dengan memanggil pihak Bahagian Pendidikan JHEAINS untuk menyampaikan taklimat kepada para pelajar terbabit.

Selain itu kata beliau, mengambil kira suasana mencabar yang melanda masyarakat, tiada pertahanan paling penting dalam kehidupan ini melainkan ilmu agama yang mesti ada dalam diri setiap umat Islam, dan ia mesti ditanam sejak awal lagi. Sebab itu katanya, JHEAINS sentiasa menyokong dan mengalu-alukan mana-mana pihak yang membantu mengadakan sekolah agama rakyat agar lebih ramai anak-anak antara 7-12 tahun mendapat pendidikan agama secara formal.

Dalam majlis berkenaan, pelajar-pelajar yang mendapat kedudukan terbaik mendapat penghargaan pihak sekolah. Begitu juga mereka yang mendapat markah 100% dalam setiap subjek diberikan sijil penghargaan. Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan nasyid, tilawah al-Quran, syarahan agama dan hafazan surah-surah lazim kesemuanya oleh para pelajar sendiri. Majlis berakhir sepenuhnya 10.30 pagi.

Abu Nuha Corner mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada semua murid, guru-guru, ibu bapa dan para penyumbang yang membangunkan infrastruktur sekolah ini. Semoga semuanya mendapat ganjaran daripada Allah SWT.

Alhamdulillah, Pusat Pendidikan Islam (PPI) an-Nur, Taman Austral selamat dirasmikan oleh Ketua Sektor, Sektor Pendidikan Islam  Jabatan Pelajaran Negeri Sabah Ustaz Idrus Abdul Rahman di sini pagi semalam di hadapan lebih 150 tetamu yang hadir khususnya para ibu bapa.

PPI an-Nur yang ditubuhkan sejak 5 tahun lalu merupakan sekolah agama rakyat (SAR) yang berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan menggunakan sukatan pelajaran yang disediakan oleh JHEAINS bagi tahun 1 hingga 6.

Ustaz Idrus Abdul Rahman ketika berucap merasmikan PPI an-Nur mengucapkan tahniah atas kesedaran masyarakat mewujudkan sekolah agama rakyat berkenaan. Katanya, kesedaran masyarakat terutama ibu bapa mesti terus dipupuk dan digembeling agar pendidikan agama terus menjadi keutamaan umat Islam.

Terdahulu, Ustaz Zulhazmi Osman yang berucap mewakili pihak PPI merakamkan penghargaan kepada semua pihak khususnya ibu bapa yang memberi sokongan kepada sekolah tersebut dengan menghantar anak-anak mereka bagi mendalami ilmu-ilmu asas agama Islam. Katanya, selain bantuan  jabatan dan agensi kerajaan seperti Jabatan Pelajaran Sabah, pihaknya banyak menerima sumbangan daripada orang ramai  bagi menampung dana pembangunan sekolah tersebut.

Sekolah ini katanya bermula dengan hanya beberapa orang pelajar dan beroperasi di Surau Riyadhus Solihin kemudiannya dipindahkan ke bangunan sedia ada memandangkan peningkatan pelajar hasil keinginan ibu bapa melihat anak-anak mereka mendapat pendidikan asas agama Islam. Sehingga kini PPI an-Nur mempunyai seramai 120 orang pelajar berumur 6 hingga 12 tahun dengan dukungan tujuh orang guru agama.

Majlis berkenaan turut diisi dan dimeriahkan dengan persembahan nasyid dan bacaan hafazan al-Quran serta penyampaian hadiah kepada para pelajar yang mendapat kedudukan yang terbaik dalam kelas dan juga penyampaian sijil tamat sekolah kepada pelajar darjah enam.

PPI beroperasi di tiga blok bangunan sendiri hasil sumbangan dana umat Islam seluruh Malaysia bersebelahan dengan Surau Riyadhus Solihin Taman Austral, Jalan Pintas, Kepayan. Bagi mengetahui maklumat lanjut, boleh berhubung dengan Ustaz Agus Latif (0168812825), Ustaz Armutra (0128360981) atau Ustaz Idhar Jaafar (0198711837).


SITI NORAFIDAH GHULAM RASUL

IMG_9114

Petang semalam, saya bergegas bersama isteri dan anak sulung, Nuha juga Ustazah Marinah ke LTAKK, menghantar dan mengucap selamat jalan kepada Fidah.

Dia pelajar saya, sahabat isteri saya dan guru anak saya yang berangkat ke bumi Mesir, tepatnya ke Maahad Qiraat al-Azhar Mansoura, untuk tempoh 3 tahun. Insya Allah.

Siti Norafidah adalah pelajar Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Sabah yang berakhir pada 2006/07 kalau tidak salah. Tempoh sebelum itu saya bertugas di sana dan pernah menjadi guru tasmik al-Quran mereka seketika.

Sepanjang mengajarnya di MTQQ, umumnya prestasi Fidah adalah baik. Sesekali hafalannya melonjak 2-3 helai sekali tasmik, dan sesekali pula jatuh merudum, terdiam tiada stok langsung.

Tetapi itulah rencah orang menghafaz al-Quran.

Daripada situ, saya pernah merasakan Fidah ada potensi yang baik dalam al-Quran. Sehingga kini pun, dia masih merujuk, mengadu masalah serta sering bertanya kaedah mengulang al-Quran yang paling baik.

Sejak tahun lalu, Fidah mengajar di Pusat Pendidikan Islam (PPI) an-Nur, Taman Austral. Sejak itu pula dia bersahabat baik dengan Ummu Nuha kerana sama-sama mengajar di sana.

Tahun ini, Nuha masuk darjah 1 di sana. Dia ada juga bergurukan Fidah dalam beberapa subjek.

Fidah adalah anak ke-7 daripada 12 beradik dan dua ibu. Fidah pula daripada emak yang kedua. Di LTAKK petang semalam, bapa serta kedua-dua ibunya hadir bersama keluarga besarnya.

Katanya, dalam keluarganya dialah setakat ini satu-satunya yang berpeluang belajar ke luar negeri.

Dalam sembang singkat kami, Fidah mengucapkan penghargaan kepada para penyumbang, dan katanya Allah lebih berhak membalasnya. Dia juga memohon doa semua termasuk jamaah Surau Austral dan para murid di sana agar mendoakan kejayaannya.

Fidah juga memohon berbanyak kemaafan dan menitipkan salam kepada pengurusan PPI khususnya Tuan Hj Rahimin, Ust Zulhazmi serta guru-guru di sana.

Saat ini, mungkin Fidah sudah berehat di kediaman barunya di Mansoura, atau masih di Kota Kaherah.

Saya agak sentimental, Fidah adalah pelajar keempat saya yang menyambung pengajian di Mesir. Doa saya dia akan memberikan natijah yang baik seperti yang pelajar saya yang lain juga.

Kepada Fidah berkali saya pesankan, jaga hubungan dengan BKPSM, DMSM, DPMM, bertalaqqi al-Quran semula dengan para masyaikh di sana, sertai usrah dan aktiviti tarbiyyah dalaman, serta bina persahabatan dengan semua pihak.

Ada masalah, berhubunglah dengan kami.

Selain menghidupkan malam-malam terakhir ini dengan qiyam dan seumpamanya, diturunkan beberapa catatan untuk para pembaca ini memberikan sumbangan sekadar yang mampu kepada mereka.

1) Dua siswi dari Maahad Tahfiz Sabah akan berangkat ke Mesir pada hujung bulan ini untuk melanjutkan pengajian. Kedua-dua mereka adalah guru di Pusat Pendidikan Islam (PPI) an-Nur Taman Austral. 

Salah seorang daripada mereka memang berasal daripada keluarga yang susah.

Tinjauan saya bersama beberapa orang sahabat, rumah mereka yang terletak dalam parlimen Kimanis tidak mempunyai elektrik sama sekali bahkan tandas dan bilik air pun tiada.

Kesusahan keluarga ini bagaimanapun tidak menghalang anak-anak untuk tekun belajar. Dua daripada empat anak sudah berada di Mesir, dan bakal dijejaki oleh seorang lagi.

Hubungi Ust Zulhazmi Osman 012-4299897 atau ke blog ini untuk sebarang sumbangan.

2) Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) al-Hikmah Taman Sempelang Kota Kinabalu masih memerlukan dukungan umat Islam dalam menyelesaikan dana waqaf yang berlangsung sejak  beberapa tahun lalu.

Pelancaran dana waqaf PASTI Taman Sempelang telah dilancarkan oleh Ust Nasaruddin Mat Isa pada 1 September 2008. Beritanya boleh dirujuk di sini.

Kewujudan PASTI merupakan antara produk yang berjaya menawan hati masyarakat apabila ia semakin berkembang dengan lebih 40 buah PASTI di seluruh negeri setakat ini.

Berminat menyumbang dana PASTI al-Hikmah boleh menghubungi Ust Muhasibi 013-8600545.

3) Semalam berlaku lagi kebakaran dalam kawasan Parlimen Putatan yang membabitkan 3 buah rumah.

Salah satu daripada rumah yang musnah itu dimiliki oleh kakak kepada Sdr Nazrey Johani, bekas vokalis kumpulan nasyid Raihan.

Sumbangan kewangan, makanan atau pakaian terpakai sangat dialu-alukan apatah lagi umat Islam akan menyambut Eidul Fitri dua tiga hari mendatang.

Hubungi Ust Wan Zaidel 019-8807232 untuk menyampaikan bantuan. Sumbangan dikumpul di Terapi as-Salam Putatan atau bank in 100 160 100 259 73 (BIMB) PAS Kawasan Putatan.

Apa yang kita beri, itu kita punya.

Apa yang ada dalam kocek, dompet atau dalam bank, itu belum tau kita punya. Mungkin perompak punya, mungkin mekanik punya, mungkin suami baru isteri kita punya.

SUNGKAI D POKOK CERRY

 IMG_8151

Semalam diadakan majlis berbuka puasa @ sungkai bersama para guru Pusat Pendidikan Islam (PPI) an-Nur dan warga kerja Siddqi Auto di restoran d pokok cerry dekat Petagas.

Majlis yang dihadiri kira-kira 40 orang termasuk ahli keluarga masing-masing itu bertujuan untuk meraikan dua orang tenaga pengajar yang akan menyambung pelajaran ke Maahad Qiraat al-Azhar, Mansoura Mesir pada akhir bulan ini.

Ustazah Maslinah Md Rosdi berasal dari Kimanis Papar dan Ustazah Norafidah Ghulam Rasul dari Kg Tg Aru KK – kedua-duanya lepasan diploma Maahad Tahfiz al-Quran Wal-Qiraat Negeri Sabah telah menyumbangkan ilmu dan tenaga mereka sekitar 2 tahun bersama PPI an-Nur.

Dalam ucapan ringkasnya, pengerusi PPI an-Nur Tuan Hj Rahimin Mustafa mengharapkan kedua-dua mereka akan mengambil kesempatan untuk mendalami ilmu sebanyak-banyaknya di Mesir seterusnya kembali ke tanahair sebagai graduan yang berjaya dan berkhidmat kepada masyarakat.

Hj Rahimin juga menegaskan keperluan mereka agar terus menyertai program-program tarbiyyah khususnya usrah untuk memantapkan diri mereka dalam gerakan Islam.

Dalam majlis yang sama, pihak PPI an-Nur turut memberikan sedikit sumbangan kepada kedua-dua mereka untuk menampung pembiayaan perjalanan mereka ke bumi para nabi itu.

Bagi pihak semua, blog Abu Nuha Corner mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua mereka atas sumbangan yang diberikan selama berkhidmat di PPI an-Nur, dan selamat berangkat ke ard al-kinanah.

 IMG_8152

IMG_8158

IMG_8161

IMG_8168

IMG_8190

IMG_8192

%d bloggers like this: