Ia sebahagian kenangan terindah saya dalam dunia dakwah ini.

Perjalanan dari rumah di Putatan sehingga ke lokasi mengambil masa hampir dua setengah jam. Tetapi dari bulatan Tamparuli ke sekolah berkenaan sahaja hampir satu jam. Terdahulu, undangan saya terima daripada guru besar sekolah, Cikgu Adiah Mustapha yang sudah saya kenali sejak tahun 2005.

Cikgu Adiah bertugas di sana baru dua bulan lebih. Tetapi dia pantas mengambil peluang untuk mengadakan satu program keagamaan sempena Ramadhan ini. Pelajar muslim hanya lapan orang – lima lelaki dan tiga perempuan. Saya tersentuh apabila beliau mengatakan, mereka ini lebih kenal gereja berbanding masjid, lebih kenal krismas berbanding aidil fitri.

Saya tidak pernah ke sekolah ini, justeru undangan ini lebih bernilai disamping maklumat awal yang disampaikan kepada saya. Ketika undangan disampaikan untuk menyampaikan ceramah pada 2 September lalu, saya pantas menerima tanpa sebarang syarat, bahkan terfikir spontan buat rakan-rakan di facebook agar sama-sama menyumbang kepada murid dan sekolah berkenaan.

Ajakan saya berbalas. Ramai rakan-rakan facebook memberikan reaksi untuk membantu sama. Ada yang datang bertemu, ada yang berkirim dengan orang lain dan ada juga yang bank-in duit mereka untuk disampaikan kepada sasaran. Sebenarnya, undangan guru besar hanya setakat untuk menyampaikan ceramah sempena ihya Ramadhan, tetapi saya fikir perlu melibatkan rakan-rakan yang berminat untuk menyumbang lebih daripada sekadar ceramah. Sumbangan itu saya namakan ‘Sumbangan Umat Islam’ yang diselaraskan oleh Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) Negeri Sabah.

Perjalanan khususnya dari bulatan Tamparuli sehingga ke lokasi begitu indah sehingga beberapa kali saya berhenti atau memperlahankan kenderaan untuk mengambil gambar. Gunung Kinabalu tersergam indah dari beberapa sudut di sini. Begitu juga pemandangan sungai yang berbatuan, hutan hijau yang rupanya berdakwah kepada manusia yang mahu berfikir tentang kekuasaan Allah SWT. Sepanjang itu juga saya melihat sekurang-kurangnya enam lokasi tanah runtuh di mana jalan dilencong atau disempitkan kepada satu lorong.

Selain amanah sumbangan yang saya terima, Perbadanan Baitulmal juga banyak membantu. Mereka memberikan sekian jumlah wang tunai yang kemudiannya dibelikan pakaian hari raya oleh guru sekolah di sana. Sebak juga apabila dimaklumkan, inilah pertama kali mereka mengenakan pakaian hari raya. Selain itu setiap mereka juga memperolehi hamper mengandungi makanan.

Sahabat saya, Ustaz Zamrul yang bertugas di sini sejak akhir tahun lalu menjadi orang kuat program ini. Beliau menyambut saya di satu persimpangan kerana kereta saya tidak dapat lagi melalui beberapa jalan  berbatu dan tidak beraspal yang sesetengahnya agak berlumpur akibat hujan lebat. Dengan kenderaan pacuan empat roda, perjalanan sepuluh minit terakhir turut melalui dua sungai cetek yang begitu indah sekali, sedangkan sebelum melalui jalan itu, saya melalui jalan baru yang begitu cantik sekali.

Sebenarnya perasaan saya agak teruja juga. Manakan tidak sehingga lewat malam saya menyiapkan tayangan powerpoint untuk anak-anak dan ibu bapa mereka yang hadir. Tapi saya tersenyum sendiri apabila dimaklumkan tenaga elektrik terputus sejak 15 jam sebelumnya. Jadi persediaan ceramah terpaksa diubah. Isi ceramah berlegar tentang asas rukun iman, islam dan ihsan. Tersentak pula mendengar penjelasan gurunya bahawa inilah pertama kali program ceramah bersama ustaz dari luar diadakan sejak sekolah ini dibina pada 1961 dan berpindah ke bangunan sekarang sejak 1976.

Menurut Cikgu Adiah, ada 135 orang murid sekolah buat masa ini dengan lapan daripadanya dikesan beragama Islam. Namun katanya, ada tujuh orang lagi dalam pemerhatian sama ada mereka beragama Islam atau tidak. Namun usaha mendekati mereka sedang diusahakan. Terdapat 14 orang guru dan hanya empat termasuk guru besar beragama Islam, dua daripadanya adalah ustaz. Selain Zamrul yang berasal dari Ranau, seorang lagi Ustaz Irfan dari Kedah.

Tuan Haji Baharuddin Abdul Wahid, Pengurus Besar Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS) menambahkan semangat semua yang hadir apabila beliau turut tampil berucap dan menyampaikan sendiri sumbangan PBNS. Beliau bersama rombongannya juga tersesat jalan dan terpaksa berpatah balik mencari lokasi sekolah. Gembira juga mendengar persetujuan Haji Baharuddin yang mengumumkan ketulusan hati mereka dengan mengambil sekolah ini sebagai sekolah angkat mereka.

Buat pengetahuan para penyumbang, wang yang diamanahkan sudah disampaikan dalam bentuk sejadah gulung untuk surau sekolah, sementara untuk murid dan keluarga mereka menerima set sajadah, telekung, kain pelikat, kopiah, buku iqra’ serta makanan mentah seperti gula, milo, minyak masak, susu pekat dan biskut. Seorang penyumbang juga bersedekah sekian jumlah kampit beras untuk program ini.

Saya yakin, kunjungan ini  membawa manfaat kepada banyak pihak. Ia bukan sekadar program dakwah, bahkan juga program aqidah, ibadah dan akhlak.  Ia menyentuh tentang aqidah umat Islam di kampung ini, tentang bagaimana mereka beribadah dan akhlak kita terhadap saudara seagama. Mudah-mudahan semua amal ini diterima oleh Allah SWT dan semakin mendekatkan kita semua (pemberi dan penerima) kepada-Nya. Doakan yang terbaik untuk mereka.

Terima kasih warga SK Mantob. Terima kasih Pejabat Pelajaran Daerah Tuaran. Terima kasih PBNS. Alhamdulillah. Insya Allah saya sedang berfikir untuk satu lagi program di sana tidak lama lagi. Harap semua dapat membantu.