Ketika menghadiri satu kenduri kesyukuran sempena 10 Muharram di Labuan baru-baru ini, seorang sahabat ada menceritakan tentang pokok mangga yang berada di belakang rumahnya.

Katanya, sejak 20 tahun lalu tinggal di situ, pokok itu sudah ada ditanam oleh pekerja kepada sebuah syarikat perumahan.

Bayangkanlah katanya, sekitar setahun kemudian pokok itu berbuah dan berjasa kepada keluarganya sehingga kini.

Suatu hari, ada seseorang datang memajak buah-buahannya sebanyak 150 biji dengan hanya membayar RM5 sahaja, dan beliau tidak juga terlalu kisah sangat. Kepadanya saya menceritakan sebuah hadith yang pernah kami pelajari ketika tingkatan 2.

Saya terbayang pula jika pekerja yang menanam pokok itu seorang yang beragama Islam. Sudah tentu pahalanya berlipat kali ganda :

ما من مسلم يغرس غرساً إلا كان ما أكل منه له صدقة، وما سرق منه له صدقة، ولا يرزؤه أحد إلا كان له صدقة‏”‏ ‏(‏‏(‏رواه مسلم‏.‏ ‏)‏‏)‏ وفي رواية له‏:‏ ‏”‏ فلا يغرس المسلم غرساً، فيأكل منه إنسان ولا دابة ولا طير إلا كان له صدقة إلى يوم القيامة‏”‏‏.‏

“Tiadalah seorang muslim yang menanam satu tanaman, kecuali semua hasil yang dimakan daripadanya itu menjadi sedekah untuknya. Apa saja yang dicuri daripadanya, juga menjadi sedekah buatnya; dan tiadalah sesuatu yang diambil oleh seseorang melainkan untuk si penanam itu pahala sedekah”.

Dalam riwayat lain : “Tiada seorang muslim yang menanam satu tanaman, kemudian dimakan oleh orang, binatang atau burung, melainkan semuanya menjadi pahala sedekah kepada si penanam sehingga hari kiamat”.

Demikian balasan orang yang menghargai tanah dengan melakukan aktiviti pertanian. Dalam masa yang sama, setelah  berusaha, Allah memberinya pahala walaupun hasilnya mungkin dicuri orang atau dimakan binatang.

Baru-baru ini, beliau telah mengupah orang untuk menebang pokok yang semakin membesar itu. Walaupun jasanya besar, katanya ia ternyata telah mengganggu rumah dan merosakkan lantai kerana akarnya yang menjalar.