Tag Archive: Persatuan Ulama’ Malaysia


Tarikh : 7 September 2014

Lokasi : Shah Alam Selangor

Alhamdulillah, seiring dengan Seminar Kebangsaan : Islam dan Tajdid 2014, Persatuan Ulama’ Malaysia juga mengadakan muktamar tahunannya yang mengumpulkan perwakilan-perwakilan dari seluruh negara. Kali ini saya menemani Ybhg Ustaz Haji Muchlish sebagai wakil PUM negeri Sabah.

Banyak isu-isu pentadbiran, organisasi, termasuk isu-isu semasa ulama’ dan dakwah diperbincangkan, begitu juga nasihat-nasihat daripada YDP Dato’ Sheikh Abdul Halim serta pimpinan PUM yang lain yang sangat bermanfaat khususnya orang baru dan muda seperti saya.

MesPUM (1) MesPUM (2) MesPUM (4) MesPUM (5) MesPUM (6) MesPUM (7) MesPUM (8) MesPUM (9) MesPUM (10) MesPUM (11) MesPUM (12) MesPUM (13) MesPUM (14)

Tarikh : 6 September 2014

Lokasi : UNISEL Shah Alam Selangor

Alhamdulillah, saya hadir ke sini bagi mewakili Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) Negeri Sabah menghadiri Seminar Kebangsaan : Islam dan Tajdid yang diadakan selama 2 hari iaitu 6 dan 7 September. Banyak kertas kerja disampaikan oleh tokoh-tokoh pelbagai latar belakang akademik, perundangan, siyasah dan sebagainya.

Seminar ini dirasmikan oleh YB Ustaz Solehen Muhyi, Exco Agama Negeri Selangor. Turut hadir Yang Di Pertua PUM, Ybhg Dato’ Sheikh Abdul Halim dan semua JK PUM.

Islam@Tajdid (1) Islam@Tajdid (2) Islam@Tajdid (3) Islam@Tajdid (4) Islam@Tajdid (5) Islam@Tajdid (6) Islam@Tajdid (7) Islam@Tajdid (8) Islam@Tajdid (9) Islam@Tajdid (10) Islam@Tajdid (11) Islam@Tajdid (12) Islam@Tajdid (13) Islam@Tajdid (14) Islam@Tajdid (15) Islam@Tajdid (16)

SEMINAR KEBANGSAAN UNDANG-UNDANG SYARIAH DI MALAYSIA

SABTU , 7 JULAI 2012 / 18 SYA’ABAN 1433H

AUDITORIUM DAENG CHELAK, MUZIUM SULTAN ALAM SHAH, SHAH ALAM, SELANGOR.

PENGENALAN

Islam adalah al-din yang mengatur keseluruhan kehidupan manusia di muka bumi ini. Ia merupakan satu pakej yang lengkap merangkumi semua aspek seperti aqidah, ibadat, muamalat, munakahat dan jenayah. Justeru keindahan Islam akan terserlah apabila semua pengajarannya dalam kesemua aspek di atas dilaksanakan. Di Malaysia sebagai contoh, aspek-aspek di atas dilaksanakan dengan baik, namun persoalan mengenai undang-undang jenayah islam seperti qisas, hudud terus menjadi polemik. Perbincangannya mengalami pasang surut.

Dari senario masyarakat di Malaysia hari ini, saban hari akhbar-akhbar, televisyen mendedahkan kepincangan masyarakat terutama dari aspek kejadian-kejadian jenayah. Pembunuhan, pembuangan bayi, penculikan, mencederakan, pukul, merompak, mencuri, menyamun, meragut, zina, rogol, pelacuran, judi, minum arak, penagihan dadah, murtad, qazaf, pecah amah dan sebagainya. Adakah undang-undang sedia ada gagal mencegah dan menghalang individu daripada melakukan perkara-perkara di atas?

Oleh itu, Persatuan Ulama Malaysia cuba mengambil inisiatif untuk menganjurkan seminar ini agar segala tanggapan negatif terhadap undang-undang jenayah Islam dapat diperbetulkan. Pada masa yang sama dapat menyatakan kedudukan sebenar undang-undang jenayah Islam.

OBJEKTIF

1. Menghuraikan Islam sebagai sebuah cara hidup yang komprehensif.

2. Menghuraikan falsafah undang-undang jenayah Islam.

3. Menjelaskan kategori-kategori jenayah mengikut Islam.

4. Menjelaskan senario kesalahan dan jenayah yang berlaku di Malaysia

PENYERTAAN

Seminar ini terbuka kepada semua lapisan masyarakat, para ulama’, intelektual, pegawai-pegawai agama, penyelidikan, pertubuhan-pertubuhan gerakan Islam dan badan-badan NGO, agensi-agensi kerajaan, wakil institusi-institusi pengajian tinggi awam dan swasta, badan-badan kebajikan dan lain-lain pertubuhan serta orang perseorangan.

ATUCARA

8.15 am Pendaftaran

9.00 am Aluan Pengerusi Majlis

9.10 am Majlis Perasmian/Ucaptama

9.40 am Minum pagi

10.00 am Pembentangan 1

Islam Agama Komprehensif – Prof. Madya Dr. Fauzi Deraman – Universiti Malaya (UM)

10.45 am Pembentangan 2

Falsafah Uqubah Dalam Kesalahan Jenayah Islam – Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri – Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Darul Khusus dan Negeri Terengganu Darul Iman

11.30 am Pembentangan 3

Adakah Sistem Federalisme Penghalang Kepada Pelaksanaan Syariah di Malaysia – Puan Nurhafilah bt. Musa – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

12.15 pm Pembentangan 4

Kedudukan Undang-Undang Jenayah Islam Di Malaysia – Tuan Hj Mahamad Naser bin Disa – Biro Undang-Undang, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan

1.00 pm Rehat/makan tengahari

2.00 pm: Pembentangan 5 

Penerimaan Non Muslim Terhadap Undang-Undang Jenayah Islam – Ustaz Nik Muhammad Zawawi bin Salleh

2.45 pm Pembentangan 6

Political Will Dalam Pelaksanaan Undang-Undang Jenayah Islam – Prof. Madya Dr. Hasan Bahrom – Universiti Teknologi MARA (UiTM)

3.30 pm Pembentangan 7

Hukuman Mati dan Hak Asasi Manusia – Prof. Madya Dr. Azman bin Mohd Nor – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

4.15 pm Pembentangan 8

Kemalangan Jalanraya Dan Penyelesaiannya Mengikut Islam – Ustazah Shahidra Abdul Khalil – Universiti Malaya (UM)

5.00 pm Pembentangan 9

Kaedah-Kaedah Pembuktian Dalam Undang-Undang Jenayah Islam – Prof. Madya Dr. Ruzman bin Mohd Nor – Universiti Malaya (UM)

5.45pm Pembentangan 10:

Kesalahan Murtad Dan Senarionya Di Malaysia – Ustaz Mohamad Zamri Mohamad Shafik – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

MAKLUMAT DAN PENDAFTARAN

YURAN PENYERTAAN :

Organisasi / Agensi / Pertubuhan : RM100.00

Individu / Perseorangan : RM100.00

Pelajar / Ahli PUM : RM 50.00

Pendaftaran Penyertaan :

Untuk penyertaan seminar, sila buat pendaftaran sebelum atau pada 05 Julai 2012 dengan menghubungi:

Sdra. Azmi : 013-384 0710 / Pn. Suraya : 013-403 8507 / Pejabat : 03-5512 4300 / 03-5511 4301 / Email : pumpusat@yahoo.com /Website : http://www.pum.org.my/

Pengesahan kehadiran bolehlah difakskan terus ke : 03-5511 4302 atau email ke : pumpusat@yahoo.com atau SMS (sila nyatakan <SYARIAH LAW>-<NAMA PENUH>-<NO.KAD PENGENALAN>) ke nombor 013-3840710.

Segala pembayaran boleh dibuat melalui :

1. Akaun Persatuan Ulama’ Malaysia

(No. Akaun Bank Islam Malaysia Berhad : 12-047-01-000112-7 – Cawangan Seksyen 14, Petaling Jaya).

2. Pembayaran melalui cek/tunai juga boleh dijelaskan pada hari seminar.

 

NASI AMBENG

Pertama kali mendengar istilah ini, pertama kali juga menikmatinya saat kami makan tengahari sabtu lalu di pejabat Persatuan Ulama Malaysia (PUM). Makan dengan pinggan mini talam untuk bertiga. Urusetia khabarnya menempah di sebuah restoran berdekatan di kawasan Seksyen 7 ini juga. Kata mereka menu nasi ambeng adalah antara makanan istimewa orang jawa.

Saya kurang maklum adakah menu ini terdapat di mana-mana restoran atau warung di Kota Kinabalu. Ehem, biar baru sekali menikmati nasi ambeng, saya sudah jatuh hati dengannya. Sebut betul-betul, nasi ambeng. Foto atas adalah mini talam bermenu nasi ambeng yang belum terusik, tersedia untuk tiga seorang sekali. Foto bawah, Ustaz Haji Muchlish, Ustaz Khidir berkongsi mini talam menikmati nasi ambeng, sedang satu bahagian lagi untuk saya.

Sedikit masa yang terluang ketika waktu rehat tengahari kami isi dengan berkunjung ke kedai buku Tinta Ilmu milik Encik Baharom Kassim yang juga Bendahari Agung Persatuan Ulama Malaysia (PUM). Tinta Ilmu terletak di Kompleks Ole-Ole, Seksyen 18 Shah Alam, sekitar 10 minit dari lokasi program kami di Seksyen 7.

Menurutnya, Tinta Ilmu mula beroperasi pertengahan 2007 dan dirasmikan setahun kemudian – 18 Julai 2008 oleh Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Dato Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat. Ketika perasmian itu katanya, kompleks ini penuh sesak dengan kehadiran ramai orang yang ingin melihat secara dekat sosok dan wajah MB Kelantan. Jualan kedai buku beliau juga melonjak mulai hari itu berbanding sebelum kedatangan tuan guru.

Masa terbatas di sini kerana kami perlu kembali ke Seksyen 7. Hanya sekitar 40 minit, saya  sebenarnya tidak puas membelek buku-buku di sana. Saya hanya dapat memilih lebih 10 buah buku sebagai ole-ole untuk dibawa balik ke Sabah. Terima kasih Encik Baharom memperkenalkan kami kedai bukunya sekaligus diskaun harga buku yang berbaloi. Insya Allah ada masa kami borong lagi.

DAURAH TARBAWI PUM

Program bermula selepas asar dengan sesi pendaftaran. Nampaknya wakil Sabah – Ustaz Haji Muchlish dan saya sendiri antara yang terawal sampai. Sebelum jam lima lagi kami sudah terpacak di luar bangunan baru Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) Seksyen 7 Shah Alam. Selepas itu barulah wakil-wakil dari negeri lain datang satu persatu.

Program ini khabarnya sudah disusun beberapa bulan lalu dengan mengumpul AJK Pusat bermula daripada Yang Di Pertua sehingga ke perwakilan negeri-negeri. Saya amat seronok bertemu dan bersua dengan beberapa personaliti ulama’ terkemuka seperti Dato’ Shaikh Abdul Halim Abdul Kadir (mantan Mufti Terengganu), Dato’ Haji Salleh Haji Ahmad (AJK Fatwa Selangor dan WP), Dr Fauzi Deraman dan ramai lagi. Lebih teruja lagi kami semua hanya bermalam di pejabat ini tanpa kecuali walaupun terdapat sebuah hotel terletak bersebelahan dengan bangunan PUM.

Dato’ Shaikh Abdul Halim memimpin slot pertama selepas maghrib dengan diskusi buku kecil al-Qaid al-Qudwah ‘ala Toriq ad-Da’wah yang ditulis oleh Mustafa Masyhur. Antara yang disentuh ialah kewajiban amal jamaie, elemen-elemen kepimpinan, akhlak dan sifat-sifat pimpinan dan yang dipimpin, serta banyak lagi. Walaupun bab ini bukan sesuatu yang baru, ia wajar disentuh dan diperingat-ingatkan kepada semua. Beliau meminta buku kecil ini dihadamkan dalam usrah negeri masing-masing.

Dr Fauzi Deraman selaku NYDP2, mengambil slot berikutnya dengan tajuk ‘Ulama dan Isu-Isu Semasa’.  Beliau menyentuh keperluan para alim ulama mengetahui hal yang berlaku dalam masyarakat mereka. Namun begitu, ulama perlu berhati-hati sebelum memberi respon secara tergesa-gesa dengan terlebih dahulu memeriksa latar belakang kes tersebut, apatah lagi kadang-kadang terdapat pihak media membuat soalan ‘perangkap’ sehingga berlaku salah faham akibat permainan media ini.

Kuliah subuh dan soal jawab bersama Dato’ Haji Salleh Haji Ahmad paling menarik minat saya. Beliau menekankan para pendakwah agar lebih kerap menjiwai al-Quran. Soal jawab isu semasa dijawab dengan mantap oleh beliau, antara lain berkaitan dengan isu duit judi (dakwaan UMNO) di Pulau Pinang, termasuk soalan terkini berkaitan solat jumaat di PWTC. Kepetahan beliau itu menimbulkan satu idea untuk saya mencadangkan kepada PUM Sabah mengadakan ceramah hukum isu semasa satu hari nanti.

Selain tiga slot berkenaan, terdapat juga taklimat lain khususnya dalam soal pengurusan dan pentadbiran yang disampaikan oleh Setiausaha Agung Dr Mohd Roslan Mohd Nor dan Bendahari Encik Baharom Kasim. Banyak idea dan maklumat dapat dikongsikan untuk gerakerja PUM di peringkat negeri-negeri. Dalam taklimat ini, barulah saya mengetahui banyak sejarah awal PUM yang antara lain melibatkan ramai tokoh besar dalam negara. Ketika penubuhan awal pada 8 April 1972, Allahyarham Tan Sri Ahmad Ibrahim adalah penasihat JK Penaja sementara pengerusi penaja ialah Allahyarham Haji Nik Muhyiddin Musa.

Suka saya catatkan semula petikan kertas kerja Dr Roslan dalam tajuk kecil KEAHLIAN DAN STRUKTUR ORGANISASI :

Dari segi keahlian pula, ahlinya terdiri daripada mereka yang berpendidikan agama secara formal. Namun begitu, PUM tidak pernah menutup pintu kepada mereka yang berlatarbelakangkan ilmu-ilmu lain. Ini dibuktikan dengan wujudnya sebuah lajnah khas untuk menumpukan kepada golongan profesional. Oleh sebab itu, PUM menerima mana-mana individu yang berminat menjadi ahli, asalkan ia seorang muslim yang mencintai atau beriltizam dengan tugas ulama’.

Sesuatu yang harus juga difahami bahawa menjadi ahli kepada Persatuan Ulama bukanlah bererti seseorang itu sudah mempunyai autoriti ilmu-ilmu Islam. Ini yang sering disalahfaham oleh masyarakat di mana ada yang cuba mengeluarkan kata-kata sinis “mudahnya menjadi ulama, hanya perlu isi borang dan bayar yuran”.

Sebenarnya tidak begitu, malah menurut YDP PUM kata-kata sebegini tidak seharusnya keluar daripada mulut seorang muslim. Menjadi ahli PUM bermaksud beriltizam dengan matlamat pertubuhan ini yang ingin melihat bahawa Islam dan masyarakat muslim terus mendapat pembelaan yang wajar dan tidak ditindas di dalam negara sendiri.

Dari Kompleks Pertama, saya berjalan kaki sambil menyandang beg berisi laptop dan pakaian, sebuah beg kamera dan sekotak buku yang baru diborong dari beberapa buah kedai sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman menuju ke Stesen Bank Negara di seberang jalan.

Saya terasa keletihan kerana sebelumnya sudah banyak berjalan kaki, tambahan lagi ketika itu hujan mulai turun membasahi jalan. Dalam komuter hampir sejam menuju ke Shah Alam saya melihat pelbagai ragam manusia. Mujur keadaan tidak terlalu sesak kerana waktu bekerja belum berakhir.

Naik teksi dari stesen komuter Shah Alam, akhirnya  saya tiba juga buat pertama  kalinya ke bangunan Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) yang terletak di Pusat Komersial Seksyen 7 Shah Alam hampir jam 5 petang setelah melalui perjalanan yang sedikit meletihkan. Deretan bangunan kedai-kedai di sini agak menarik dan warna warni dengan majoritinya kepunyaan orang Islam. Kalau naik teksi ke sini, dengan mudahnya kita sebutkan Wisma Jakel yang tersergam indah di sebelah hadapan dan bangunan PUM di sebelah belakangnya.

Bangunan tiga tingkat PUM ini dibeli dengan nilai RM2 juta dan beroperasi sejak bulan Jun lalu bersama enam kakitangan sokongan yang dibayar gaji. Ruang bawah disewakan kepada kedai butik dan kedai kek yang khabarnya hasil sewa itu boleh menampung kos penyelenggaraan serta pembayaran gaji staf setiap bulan. Terasa semangat juga melihat bangunan beserta isi di dalamnya, tambahan lagi dengan ketekunan staf mengendalikan urusan pejabat setiap hari.

Di tingkat 1 menempatkan dewan latihan sementara di tingkat 2 adalah pejabat pentadbiran yang termasuk bilik-bilik untuk YDP, TYDP, Naib YDP 1 dan Naib YDP 2, Setiausaha Agung dan Bendahari, ruang tamu dan bilik mesyuarat yang boleh memuatkan sekitar 30 orang dalam satu-satu masa. Dalam tempoh beberapa bulan ini, PUM telah mengadakan beberapa program termasuk menerima tetamu khas seperti perbincangan dengan penasihat syariah ESQ, kunjungan Menteri di JPM dalam sambutan hari raya dan lain-lain. Saya amat teruja mendengar bahawa seorang ulama terkenal dari Mesir Dr Zaghlul an-Najjar juga berkunjung ke sini.

Kami berkumpul dan bermalam di sini sejak petang jumaat dan kembali ke tempat masing-masing pada petang sabtu setelah menyertai program Daurah Tarbawi yang melibatkan semua AJK PUM Pusat dan wakil-wakil seluruh Malaysia. Program berkenaan akan saya catatkan dalam entri berasingan nanti.

%d bloggers like this: