Tag Archive: Penjara Kepayan


Mengisi program di Penjara Kepayan sentiasa mendebarkan hati saya. Saya bukan seperti kawan-kawan di Bahagian Dakwah yang sering mengisi slot tazkirah dan khutbah, manakala saya pula ini baru pengalaman kedua berkhutbah dan keseluruhannya kali keempat berkunjung ke dalamnya. Memandangkan hari jumaat lalu adalah hari cuti, saya datang sedikit awal untuk mengambil mood dan suasana bersama mereka.

Jam 12 tengahari saya sudah terpacak di luar pagar penjara. Disambut oleh pegawai-pegawai yang bertugas, menanti beberapa minit di bilik menunggu sebelum  dibawa dan diring masuk oleh seorang anggota menuju surau yang boleh memuatkan sekitar 150 orang. Sebarang alat seperti telefon bimbit, peralatan tajam,  wang, rokok, pemetik api, kamera video dan seumpamanya adalah diarang untuk dibawa masuk. Saya hanya membawa buku untuk khutbah hari itu. Sebenarnya sehingga pagi jumaat baru saya mendapat ilham untuk berkhutbah tentang ‘mencari husnul khatimah’.

Saya  sudah tiba di surau ketika surau baru diisi oleh seorang dua, manakala yang lain masih dikerah. Saya dimaklumkan pihak pengurusan tidak boleh membenarkan semua banduan muslim (khabarnya hampir seribu orang) untuk menunaikan solat jumaat atas alasan keselamatan. Ada blok-blok tertentu yang digilirkan untuk menghadiri khutbah dan solat  jumaat dan ada juga banduan-banduan terpilih yang dibenarkan hadir setiap minggu.

Barangkali pihak berkuasa seperti JHEAINS, Pejabat Mufti, Jabatan Penjara dan PDRM dan lain-lain boleh duduk bersama membincangkan kaedah terbaik pelaksanaan solat jumaat di sini. Harapan saya agar semua banduan muslim dibenarkan bahkan diwajibkan solat jumat tanpa mengabaikan aspek keselamatan agar tiada banduan yang mengambil kesempatan untuk menimbulkan kekecohan.

Sementara menanti azan dilaungkan oleh kalangan banduan juga, saya bersembang dengan salah seorang mereka. Abbas Abdul (bukan nama sebenar) yang berumur 65 tahun, meminta saya menulis tentang dirinya yang sudah lebih 33 tahun merengkok dalam penjara akibat kesalahan menyeludup senjata. Di kalangan pegawai penjara dan banduan, beliau dikira senior yang baik, menjadi antara ketua blok dan boleh bergerak bebas dalam sekitar kawasan penjara. Sepanjang keberadaannya di sini, hanya sekali keluarganya dari Mindanao datang berziarah.

Sehingga ke akhir khutbah dan solat, saya anggarkan jumlah yang hadir hampir mencecah 100 orang sahaja. Majoritinya memakai pakaian khas sebagai banduan. Ada warna hijau tua, hijau muda, merah dan biru yang saya difahamkan melambangkan tahap senioriti mereka di sini. Selain mereka terdapat beberapa orang pegawai warden yang turut sama bersolat jumaat. Harapan saya khutbah itu sedikit sebanyak menyuntik semangat mereka untuk berubah dan bergantung harap dengan Allah SWT. Saya lihat ada wajah yang kelihatan sayu, ada yang muram dan mengalirkan air mata,  bahkan ada seorang yang dalam keadaan sakit, solat secara duduk.

Saya ingin benar bersembang dengan mereka lagi tetapi selesai solat, mereka keluar beransur-ansur. Sebahagiannya diarah berbaris, duduk mencangkung di luar surau sebelum bangkit dan keluar dari kawasan surau seorang demi seorang. Saya sempat menyapa seorang anak muda dari Inanam berumur 20 tahun yang dihukum penjara setahun lapan bulan kerana mencuri laptop dan bakal keluar penjara bulan ogos nanti. Saya berikan semangat kepadanya supaya bersungguh-sungguh untuk berubah dan jadikan hukuman ini sebagai satu titik perubahan menjadi manusia yang lebih baik.

Khatib : Abu Nuha

Lokasi  : Surau Penjara Kepayan (Bersama banduan)

“Demi Allah, tiada Tuhan melainkan Dia, sesungguhnya seseorang  daripada kamu ada yang beramal dengan amalan ahli syurga  (ketika hidupnya) sehingga jarak antaranya dengan mati hanya sehasta lagi,  lalu dia pun beramal dengan amalan ahli neraka, maka dia akan masuk ke dalam neraka. Dan sesungguhnya ada di kalangan kamu yang beramal dengan amalan ahli neraka, sehingga jarak antaranya dengan mati itu hanya sehasta saja, tiba-tiba dia pun beramal dengan amalan ahli syurga, maka dia dimasukkan ke dalam syurga”

Hadith ini sangat menggerunkan kita agar jangan berbangga dengan diri masing-masin dan jangan menghina orang lain dengan tidak menghitung amalan diri kita sendiri. Sedar dan insaflah betapa kita wajib bergantung kepada Allah SWT. Manusia yang lemah kadang-kadang tidak tahan dengan ujian yang terlalu banyak serta tipu daya syaitan, jin dan manusia menyebabkan kita terpesong dari jalan Allah SWT.

Perjalanan di atas jalan yang betul (seperti doa dalam surah al-Fatihah) terlalu banyak ujian dan mudah manusia terpesong. Berlakulah takdir yang ditentukan Allah, manusia yang terpesong dari jalan Allah walaupun ketika hayatnya ia seorang manusia yang baik tetapi berbangga dengan amaan dirinya dan lupa bergantung kepada Allah, tiba-tiba ia hanyut dan mendapat su’ul khatimah (kesudahan umur yang buruk) yang membawanya ke neraka walaupun pada awalnya dia beramal dengan amalan ahli syurga.

Dalam masa yang sama, adanya manusia yang dikasihi Allah, yang beramal dengan amalan yang jahat ketika hidupnya kerana dia jahil tetapi hatinya bergantung kepada Allah, benar-benar mahu berubah ke jalan yang betul maka Allah menunjukkan hidayah-Nya walaupun hanya sehasta lagi jaraknya untuk meninggal dunia. Oleh itu kita disuruh bermujahadah (bersungguh-sungguh) untuk memohon jalan yang baik dan berada di jalan yang betul.

%d bloggers like this: