Tag Archive: Pengubatan Islam


SETIAP AHAD TERAKHIR SETIAP BULAN, SELEPAS SOLAT ISYAK DI MASJID KG SEMBULAN.

Untuk kali keduanya di Masjid Kampung Sembulan diadakan sesi rawatan pengubatan Islam bulanan secara percuma. Ia diadakan selepas isyak ahad terakhir setiap bulan. Kali ini Sdr Hamid Ismail dan Chef Abdullah Ahmad tampil membantu mereka yang memerlukan. Terdahulu sebelum itu, secara panjang lebar saya mengambil kesempatan dalam kuliah maghrib  menerangkan tentang beberapa pendekatan dakwah dalam Islam.

Secara umumnya ada 3 kaedah iaitu (1) dakwah secara lisan seperti ceramah, forum, khutbah, syarahan, tazkirah dan sebagainya. (2) dakwah secara tulisan sama ada di buku, majalah, surat, atau menggunakan internet seperti web, blog, facebook, twitter, smartfon dan lain-lain. (3) dakwah secara perbuatan iaitu akhlak yang luhur, contoh teladan, kebajikan dan seumpamanya.

Sementara pengubatan ini termasuk dalam kategori ketiga, dan memasukkan juga kategori pertama iaitu dengan meruqyah atau mendoakan pesakit dengan menggunakan ayat al-Quran atau Hadith Nabawi. Ketika inilah juga unsur nasihat, pandangan, teguran dan cadangan disampaikan kepada mereka yang datang. Program bulanan yang diadakan ini niat saya supaya dakwah di masjid dipelbagaikan bukan sekadar ceramah sahaja dan satu elemen yang mulia ialah membantu masyarakat melalui pengubatan Islam.

Pertemuan seterusnya ahad terakhir bulan oktober 2012 iaitu 28hb bermula dengan kuliah maghrib dan kemudian solat isyak berjamaah seterusnya sesi rawatan sejurus selepas itu. Jika ada kekuatan, program seumpama ini diperluaskan ke masjid-masjid lain secara bulanan juga.

DI BAWAH POKOK TARAP

Seorang wanita berusia 40an dirawat kerana gangguan jin di sebuah taman perumahan di Putatan beberapa hari kebelakangan ini. Melalui dialog dengan jin yang berada di dalam tubuh perempuan itu mendakwa mahu keluar balik ke tempatnya tapi tidak tahu jalan kerana tidak biasa dengan jalan di taman perumahan berkenaan. Ia kelihatan kebingungan kerana apabila soalan-soalan diaju kepadanya, dia tidak tahu apa-apa.

Sebenarnya kita tidak tahu hakikat sebenarnya. Boleh jadi dia bohong dan boleh jadi juga dia benar. Seperti mana manusia apabila dibawa ke tempat yang baru pertama kali dia sampai, ada kebarangkalian juga dia tidak tahu jalan pulang semula. Berkali-kali perempuan ini cuba muntah – kerana dia sekejap sedar dan sekejap hilang ingatan. Sesekali mengadu minta tolong agar dirawat dan dikeluarkan jin yang mengganggunya dan sesekali pula jin itu mendakwa selesa tinggal di tubuh perempuan berkenaan.

Hanya satu perkara yang jin berkenaan ingat, katanya : “Aku ingat ada pokok tarap dan di bawahnya ada batu-batu. Di sanalah kami tinggal”.  Dan lokasi tempat itu menurut tuan rumah ialah di salah kampung di Bongawan.

SESI PENGUBATAN ISLAM @ SEMPORNA

Antara tujuan ziarah kami ke Semporna ialah menyempurnakan satu sesi pengubatan Islam di PASTI Nur al-Islah. Kami tiba beberapa minit sebelum jam 10 pagi, dan kami dimaklumkan penduduk kampung sudah berada di lokasi bermula jam 8 pagi. Kasihan mereka, mereka tiba sedang kami masih berada di perut pesawat. Kemudian perjalanan dari Lapangan Terbang Tawau menuju ke daerah ini juga mengambil masa lebih sejam.

Majlis berkenaan kami mulakan dengan ceramah ringkas sekitar 30 minit yang saya sampaikan berkenaan perkara khurafat dan kaedah rawatan yang akan dijalankan selepas itu. Tuan Haji Ahmad Kambar, Cikgu Zaidi dan saya kemudian mengambil tempat melakukan rawatan sehingga zuhur dan keseluruhannya dapat melakukan khidmat ini kepada lebih 50 orang peserta yang rencam asbab penyakitnya.

Antara yang akan saya kenang ialah seorang perempuan berumur 27 tahun tetapi bisu sejak kecil. Selain ujian bisu itu, kakinya sering bergetar pada masa-masa tertentu setiap hari yang menyebabkannya tidak dapat berjalan betul. Juga seorang suami yang mengalirkan air mata melihat isterinya sakit dibawa ke hadapan saya, tiada yang saya ucapkan kepada sang suami melainkan agar berdoa dan bersabar. Seorang ibu yang berumur lebih 90 tahun juga datang membawa harapan, dan kami menyatakan agar pergantungan kita kepada Allah SWT.

Di daerah ini juga kami dapat bertemu dengan sepasang suami isteri yang merupakan lepasan Darussyifa Melaka, syukur sang ustazah dapat membantu kami melaksanakan ibadah rawatan ini. Letih memang letih tapi kami bersyukur dapat membantu masyarakat di daerah ini. Insya Allah jika ada kelapangan akan berziarah lagi.

%d bloggers like this: