Tag Archive: Pendakwah


MENGUNDANG USTAZ ISMAIL KAMUS

Ustaz Najion Jamil, pegawai di pejabat kami telah mencadangkan nama beliau dalam program ‘Bicara Hijrah : Isu-Isu Aqidah siri 1’ tempohari. Masalah sihir , perbomohan memang banyak berlaku di Sabah. Bahkan ada dikalangan orang agamawan sendiri terjebak atau terfitnah dalam institusi yang dipanggil rawatan perubatan Islam dan seumpamanya.

Apabila nama beliau dicadangkan dan kawan-kawan di pejabat semuanya bersetuju, saya tuliskan surat undangan dan kemudian ditandatangani oleh Timbalan Pengarah (Bahagian HEI) Ustaz Sidik Ag Adi tanpa sebarang komen. Sejurus itulah saya hubungi langsung al-Fadhil Ustaz Ismail Kamus.

Mendapatkan nombor telefon beliau juga satu kerja yang melucukan. Sejak awal memikirkan cara menghubungi beliau, saya bertanya juga kawan-kawan di Semenanjung. Tiada yang tahu caranya. Kemudian saya teringat web Persatuan Perubatan Islam Darussalam yang beliau asaskan dan menjadi penasihatnya. Di sanalah semuanya bermula.

Ketika saya berhubung dengan orang di pejabat pusat rawatan itu, saya dimaklumkan ustaz masih di Tanah Suci dan akan balik dalam masa yang terdekat. Saya diminta menghubungi ustaz sendiri dan bertanya jadual pergerakan aktiviti dakwah beliau. Saya tanya : “Ustaz ada PA atau pembantu peribadi yang mengatur jadualnya?” (Kerana saya memahami kesibukan beliau). Maka jawapannya : “Tiada”. Terkejut juga saya mendengar jawapan itu kerana semua maklum beliau orang yang sibuk dengan undangan ke merata tempat.

Saya nantikan beberapa hari kemudian untuk memberi keselesaan kepada ustaz sebelum menghubunginya. Takut dan bimbang benar saya bercakap dengan beliau, bimbang-bimbang undangan kami bertembung dengan program beliau yang lain.

Saya memperkenalkan diri sebagai anak murid beliau dari Sabah. Memang kalau bertemu muka mungkin boleh dibilang dengan jari. Tetapi mengikuti ceramah beliau melalui kaset, cd, vcd dan lewat internet sudah saya ikuti lebih 10 tahun. Bahkan pernah menemani beliau tidur bermalam ketika kunjungan ustaz ke Sabah pada Ogos 2000 ketika beliau sebagai ADUN Gombak Setia. Saya ikuti ceramah beliau dari satu lokasi ke satu lokasi ketika itu. Papar, Likas, Sepanggar, hingga ke Kota Belud.

Saya kira ustaz turut terkejut apabila saya menyatakan hasrat mengundang beliau ke Sabah atas nama JHEAINS pada 21 Disember. “Aik, boleh pulak?” kata beliau. Saya kata, surat undangan sudah ditandatangani sekiranya beliau sudi. Dia minta masa beberapa saat melihat jadual dan kemudian menjawab : “Tarikh tu kosong dan boleh bincang”. Saya maklumkan tajuk dan sasaran kehadiran, dan dengarnya beliau gembira. Saya sendiri sangat gembira tidak terkata atas persetujuannya untuk hadir ke Sabah.

Saya memahami perasaan terkejutnya kerana sekatan di banyak tempat kepada beliau. Beberapa bulan lalu, beliau diundang menyampaikan ceramah di negara Brunei Darussalam dan kemudian keesokannya singgah ke WP Labuan seterusnya ada slot ceramah di Masjid Jamek an-Nur. Khabarnya imam masjid telah dipanggil oleh pihak berkenaan kerana mengundang ustaz berceramah.

Dalam sembang kami tengahari 21 Disember lalu di Wisma MUIS sebelum ceramah bermula, beliau bercerita ada satu lokasi di Semenanjung (saya lupa di kawasan mana yang ustaz sebut)  yang masih menghalang beliau berceramah, termasuk melarang membaca doa sebagai ganti ceramah tersebut. Akhirnya kata ustaz, keesokan harinya polis yang menyekat ceramah dan berdoa itu bisu secara tiba-tiba. Beliau sendiri datang menziarahi polis berkenaan. Moralnya, jangan kurang ajar dengan alim ulama’.

Saya dan kawan-kawan mendapat respon yang sangat positif dengan program ini termasuk keterbukaan JHEAINS mengundang Ustaz Ismail Kamus dalam membincangkan tajuk sihir dan perbomohan kerana beliau adalah orang yang pakar dan sering berhadapan dengan isu sebegini. Demikianlah sepatutnya kita menilai dan meletakkan kedudukan alim ulama serta mengambil ilmunya untuk kebaikan bersama.

Buku Yang Baru Dibaca :

Editor : Ustaz Riduan Mohamad Nor

Penerbit : Jundi Recources

Harga : RM10.00

Keilmuan yang dikahwinkan dengan segudang pengalama di medah jemaah, yang dirempuh semenjak usia belasan tahun. Jemaah diuji dengan kepayahan dan kesenangan naum beliau tetap dengan dirinya yang sederhana. Intailah dia di markas tarbiah, di halaman markas dengan hamparan rumput hijau yang dipastikan terpelihara, memungut sampah sarap agar keceriaan markas melambangkan citra perjuangan Islam yang mendambakan kebersihan.

Ustaz membersihkan tandas markas, memeriksa aliran longkang agar tidak tersumbat, walaupun beliau seorang ahli legislatif yang berkesan di Dewan Negara. Sosok seperti ini juga sukar digalang ganti, mesra dengan anak muda, mudah berkira dengan orang tua, mendengar dengan setia rintihan dan masalah ahli bawahan.

Marah dan jerkahlah, Ustaz akan membalas dengan senyuman, sedangkan dia juga mampu menunjukkan ‘kebanjarannya’. Makan bersila, berlaga lutut dengan ahli bawahan di bawah rimbunan teduh pokok, bergurau mesra merapatkan jurang pimpinan dengan akar umbi yang pelbagai.

Saya akan terus memancang sebuah ingatan Ustaz Hassan terhadap kami pimpinan pemuda, “PAS parti orang kampung, orang susah menyokong PAS kerana perjuangan Islam yang PAS bawa, jagalah akar umbi, jagalah cawangan-cawangan”.

***

Buku ini adalah koleksi 10 artikel berkenaan Allahyarham Ustaz Haji Hassan Shukri (71 tahun) yang telah kembali kerahmatullah pada 14 Jun 2010 Hospital Selayang Selangor. Juga satu artikel oleh Allahyarham sendiri bertajuk ‘Fikrah Pemimpin’ yang pernah disiarkan oleh Harakah pada tahun 1988.

USTAZ HAJI AZHARI HAJI OTHMAN

Beliau adalah satu nama besar dalam dunia tahfiz al-Quran di Malaysia.

Ustaz Haji Azhari Haji Othman al-Hafiz dilahirkan pada 30 Mei 1953 di Kampung Tegayung, Melor Kelantan. Mendapat pendidikan awal di SRK Tegayung sebelum menyambung pelajaran di Sekolah Shamsul Ma’arif Pulai Condong (1963-1968) dan  Maahad Muhammadi antara tahun 1968 hingga 1971. Beliau kemudiannya meneruskan pengajian di Institut Tahfiz yang ketika itu beroperasi di Masjid Negara pada 1973 hingga 1976.

Mengimbas kembali pengajian tahfiz di Masjid Negara, beliau menceritakan bahawa mereka seramai 12 orang adalah kumpulan yang ketiga dari seluruh Malaysia yang mendalami ilmu tahfiz al-Quran. Meskipun sudah berlalu  lebih 35 tahun, beliau masing mengingati rakan-rakan sekelas beliau iaitu Ustaz Datuk Haji Idris Talib, Ustaz Haji Salleh Sani Harun, Ustaz Datuk Haji Mokhtar Rapok, Ustaz Basri Khalil, Ustaz Mohd Ma’ruf Nasruni, Ustaz Abdullah Haji Anis, Ustaz Raihal Anis, Ustaz Yusuf Mohammad, Ustaz Abdul Aziz Mohd Noor, Ustaz Salleh Yaakub dan Ustaz Muhsin.

Seterusnya, Ustaz Haji Azhari melanjutkan pengajian ke Mesir, khususnya di Maahad Qiraat al-Azhar Shoubra selama enam tahun bermula dengan kelas Aliyah dan kemudian Takhassus Qiraat antara tahun 1978 hingga 1984. Dalam tempoh itu beliau sempat bertalaqqi al-Quran dengan tiga orang masyaikh iaitu Shaikh Said al-Khaidri dengan talaqqi qiraat tujuh, Shaikh Fathi Daud dengan talaqqi qiraat sepuluh dan Shaikh Abdul Rauf juga talaqqi qiraat sepuluh.

Sekembali ke tanahair, bermulalah kerjaya beliau dengan bertugas sebagai imam di Masjid al-Akram Datuk Keramat pada awal 1985. Beberapa bulan kemudian, beliau mula bertugas sebagai Pegawai Penasihat Agama di Institut Teknologi MARA (ITM) Shah Alam antara Julai 1985 sehingga Mac 1990. Bermula Mac 1990 itulah beliau mula melapor diri bertugas di Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS) Jabatan Perdana Menteri yang kini dikenali sebagai JAKIM.

Di BAHEIS, beliau ditempatkan di Pusat Islam sebagai pensyarah di Institut Pengajian Tahfiz al-Quran (IPTQ). Lokasi IPTQ seringkali berubah antaranya di Pinggir Taman Tun Dr Ismail dan Hulu Langat sebelum kampus tetapnya kini di Kuala Kubu Baru dengan nama Darul Quran. Sehingga kini, meski masih bertugas sebagai warga JAKIM, beliau pernah bertugas sebagai imam di Masjid Negara pada tahun 2000-2004, kembali ke Darul Quran pada 2004, berpindah ke Masjid Wilayah Jalan Duta pada 2005 dan kembali sekali lagi ke Darul Quran pada 2007 sehingga kini.

Kepakaran beliau dalam ilmu-ilmu al-Quran menyebabkan beliau seringkali diundang ke pelbagai majlis dan acara berkaitan. Antaranya sebagai hakim Majlis Tilawah al-Quran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Kebangsaan sejak 1985, MTQ PDRM Kebangsaan sejak 1988, MTQ Tenaga Nasional Berhad (TNB) sejak 1996, dan hakim Majlis Menghafaz al-Quran Kebangsaan sejak 1993. Beliau turut pernah diundang sebagai hakim Majlis Menghafaz al-Quran anjuran negara Arab Saudi pada 2009.

Selain sering menyampaikan ceramah di seluruh negara berkaitan ilmu-ilmu al-Quran seperti tajwid, fasahah, suara dan lain-lain, beliau juga adalah ahli Lajnah Tashih al-Quran Kementerian Dalam Negeri sejak 1992 dan pernah diberi peranan sebagai pengerusi pada tahun 1994-2002. Kini beliau adalah timbalan pengerusi di bawah kepimpinan Datuk Shaikh Haji Mohammad Nor Mansor al-Hafiz yang juga Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP).

Berkenaan keluarga bahagianya, beliau mendirikan rumahtangga dengan Ustazah Hajah Rosnani Tumijo yang berasal dari Selangor pada tahun 1978 dan dikurniakan dengan enam orang anak. Raihani, 30; Hannan, 26; Siti Marahaini, 23; Ruhi Najihah, 19; Ismah Azirah, 15; dan Nur Aqilah, 11 tahun. Anak sulung beliau, Raihani telahpun berumahtangga dan sehingga kini mempunyai dua orang cahayamata.

Beliau turut bercerita berkenaan rezeki dan ilmu yang Allah SWT kurniakan dalam dunia tahfiz al-Quran sehingga beliau berpeluang melawat negara-negara asing seperti Mesir, Arab Saudi, Syria, China, Indonesia, Brunei, Singapura, Thailand selain undangan dari negeri-negeri di seluruh pelusuk Malaysia.

Antara peristiwa yang menjadi kenangan beliau ialah apabila terjatuh dari keretapi di Mesir (dipanggil metro) ketika beliau baru tiba beberapa bulan di sana semasa pengajian di Maahad Qiraat al-Azhar. Selain itu, pengalaman manis beliau apabila pertama kali dijemput mengajar al-Quran pada 1974 (ketika masih belajar di tahfiz) di rumah Datuk Abdullah Ahmad ketika itu Timbalan Menteri Dalam Negeri.

Di hujung perbualan kami, beliau sempat menasihatkan guru-guru al-Quran terutama ribuan mereka yang pernah berguru dengannya agar beramal dengan al-Quran kerana Allah SWT, mengajarkan ilmu al-Quran kepada masyarakat tanpa bermegah-megah dengan ilmu yang dimiliki. Selain itu beliau turut menasihatkan guru-guru al-Quran agar tidak meletakkan harga tertentu kepada masyarakat. Kepada mereka yang menghafaz al-Quran beliau bersama-sama mengingatkan agar menjaga hafalan dengan selalu mengulang-ulang hafalan mereka.

Temuramah dan bual bicara diadakan pada 2 November 2010 di Hotel Holiday Villa, Alor Star Kedah sempena Mesyuarat Lajnah Tashih al-Quran Kementerian Dalam Negeri.

DAURAH TARBAWI PUM

Program bermula selepas asar dengan sesi pendaftaran. Nampaknya wakil Sabah – Ustaz Haji Muchlish dan saya sendiri antara yang terawal sampai. Sebelum jam lima lagi kami sudah terpacak di luar bangunan baru Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) Seksyen 7 Shah Alam. Selepas itu barulah wakil-wakil dari negeri lain datang satu persatu.

Program ini khabarnya sudah disusun beberapa bulan lalu dengan mengumpul AJK Pusat bermula daripada Yang Di Pertua sehingga ke perwakilan negeri-negeri. Saya amat seronok bertemu dan bersua dengan beberapa personaliti ulama’ terkemuka seperti Dato’ Shaikh Abdul Halim Abdul Kadir (mantan Mufti Terengganu), Dato’ Haji Salleh Haji Ahmad (AJK Fatwa Selangor dan WP), Dr Fauzi Deraman dan ramai lagi. Lebih teruja lagi kami semua hanya bermalam di pejabat ini tanpa kecuali walaupun terdapat sebuah hotel terletak bersebelahan dengan bangunan PUM.

Dato’ Shaikh Abdul Halim memimpin slot pertama selepas maghrib dengan diskusi buku kecil al-Qaid al-Qudwah ‘ala Toriq ad-Da’wah yang ditulis oleh Mustafa Masyhur. Antara yang disentuh ialah kewajiban amal jamaie, elemen-elemen kepimpinan, akhlak dan sifat-sifat pimpinan dan yang dipimpin, serta banyak lagi. Walaupun bab ini bukan sesuatu yang baru, ia wajar disentuh dan diperingat-ingatkan kepada semua. Beliau meminta buku kecil ini dihadamkan dalam usrah negeri masing-masing.

Dr Fauzi Deraman selaku NYDP2, mengambil slot berikutnya dengan tajuk ‘Ulama dan Isu-Isu Semasa’.  Beliau menyentuh keperluan para alim ulama mengetahui hal yang berlaku dalam masyarakat mereka. Namun begitu, ulama perlu berhati-hati sebelum memberi respon secara tergesa-gesa dengan terlebih dahulu memeriksa latar belakang kes tersebut, apatah lagi kadang-kadang terdapat pihak media membuat soalan ‘perangkap’ sehingga berlaku salah faham akibat permainan media ini.

Kuliah subuh dan soal jawab bersama Dato’ Haji Salleh Haji Ahmad paling menarik minat saya. Beliau menekankan para pendakwah agar lebih kerap menjiwai al-Quran. Soal jawab isu semasa dijawab dengan mantap oleh beliau, antara lain berkaitan dengan isu duit judi (dakwaan UMNO) di Pulau Pinang, termasuk soalan terkini berkaitan solat jumaat di PWTC. Kepetahan beliau itu menimbulkan satu idea untuk saya mencadangkan kepada PUM Sabah mengadakan ceramah hukum isu semasa satu hari nanti.

Selain tiga slot berkenaan, terdapat juga taklimat lain khususnya dalam soal pengurusan dan pentadbiran yang disampaikan oleh Setiausaha Agung Dr Mohd Roslan Mohd Nor dan Bendahari Encik Baharom Kasim. Banyak idea dan maklumat dapat dikongsikan untuk gerakerja PUM di peringkat negeri-negeri. Dalam taklimat ini, barulah saya mengetahui banyak sejarah awal PUM yang antara lain melibatkan ramai tokoh besar dalam negara. Ketika penubuhan awal pada 8 April 1972, Allahyarham Tan Sri Ahmad Ibrahim adalah penasihat JK Penaja sementara pengerusi penaja ialah Allahyarham Haji Nik Muhyiddin Musa.

Suka saya catatkan semula petikan kertas kerja Dr Roslan dalam tajuk kecil KEAHLIAN DAN STRUKTUR ORGANISASI :

Dari segi keahlian pula, ahlinya terdiri daripada mereka yang berpendidikan agama secara formal. Namun begitu, PUM tidak pernah menutup pintu kepada mereka yang berlatarbelakangkan ilmu-ilmu lain. Ini dibuktikan dengan wujudnya sebuah lajnah khas untuk menumpukan kepada golongan profesional. Oleh sebab itu, PUM menerima mana-mana individu yang berminat menjadi ahli, asalkan ia seorang muslim yang mencintai atau beriltizam dengan tugas ulama’.

Sesuatu yang harus juga difahami bahawa menjadi ahli kepada Persatuan Ulama bukanlah bererti seseorang itu sudah mempunyai autoriti ilmu-ilmu Islam. Ini yang sering disalahfaham oleh masyarakat di mana ada yang cuba mengeluarkan kata-kata sinis “mudahnya menjadi ulama, hanya perlu isi borang dan bayar yuran”.

Sebenarnya tidak begitu, malah menurut YDP PUM kata-kata sebegini tidak seharusnya keluar daripada mulut seorang muslim. Menjadi ahli PUM bermaksud beriltizam dengan matlamat pertubuhan ini yang ingin melihat bahawa Islam dan masyarakat muslim terus mendapat pembelaan yang wajar dan tidak ditindas di dalam negara sendiri.

Lebih 600 umat Islam menghadiri Diskusi Ramadhan bersama Ustaz Zahazan Mohamed di Dewan Kinabalu Kompleks Tabung Haji mulai jam 8.30 malam tadi. Diskusi berkenaan dianjurkan bersama Yayasan Amal Malaysia Negeri Sabah, Pustaka Aslam dan Hidayah Permai Construction dan dipengerusikan oleh Ustaz Md Jumat Albelurani yang juga aktivis Yayasan Amal Malaysia.

Majlis berkenaan didahului dengan tayangan video selama 10 minit yang memaparkan aktiviti Yayasan Amal Malaysia Negeri Sabah di seluruh negeri sejak beberapa tahun kebelakangan. Diskusi ini merupakan sebahagian daripada aktiviti sekaligus mempromosi Yayasan Amal ke tengah masyarakat agar umat Islam khususnya turut membantu dan menyumbang dalam program-program kebajikan di seluruh negeri.

Ustaz Zahazan pula memulakan diskusinya dengan menghuraikan ayat 183-185 surah al-Baqarah yang menceritakan tentang kefardhuan puasa. Beliau juga banyak mengutarakan kehidupan para salafus soleh dalam kehidupan beragama mereka untuk dijadikan panduan bersama.

EMPAT AMALAN UTAMA

Ustaz Zahazan memetik beberapa pendapat ulama’ agar sepanjang Ramadhan ini umat Islam menumpukan aktiviti kepada empat perkara iaitu puasa, qiyam (menghidupkan malam dengan solat dan seumpamanya), tilawah al-Quran dan bersedekah.

Dalam sesi kedua, audien mengutarakan lebih 20 soalan kebanyakannya berkaitan Ramadhan kepada Ustaz Zahazan dan beliau berjaya menjawabnya dengan baik dan berhikmah terutama soalan yang berbentuk khilafiyah.

Sebelum majlis berakhir, beliau turut mempromosi Majalah Solusi yang diusahakan Syarikat Telaga Biru Sdn Bhd. Saya dimaklumkan jumlah jualan majalah ini mencecah 80 ribu setiap keluaran. Majlis berakhir pada jam 11.20 malam dengan penyampaian cenderamata  dan sesi bergambar bersama JK penganjur.

Buku Yang Sudah Dibaca :

Penulis : Abdul Latip Talib

Penerbit : PTS Litera

Harga : RM24.00/ RM27.00

Nama sebenarnya An-Nukman bin Thabit lahir pada tahun 80 hijrah/699 masihi di sebuah kampung bernama Anbar di daerah Kufah, Baghdad. Mendapat gelaran Abu Hanifah kerana mempunyai seorang anak bernama Hanifah. Tetapi ada pula yang mengatakan beliau suka membawa dakwat ke mana sahaja beliau pergi lalu digelar Hanifah bererti dakwat dalam bahasa Parsi. Kemudian beliau lebih dikenali sebagai Imam Hanafi.

Beliau berkata “Aku memberi hukum berdasarkan al Quran. Sekiranya tidak terdapat dalam al Quran aku gunakan hadis. Jika tidak terdapat pada keduanya (al Quran dan hadis) aku gunakan pendapat para sahabat Rasulullah SAW. Aku berpegang pada pendapat siapa sahaja daripada mereka dan membuang mana-mana pendapat yang bertentangan dan aku berpegang pada pendapat yang benar sahaja.”

Beliau dikurniakan umur yang panjang. Beliau sempat hidup di bawah pemerintahan kerajaan khalifah Bani Umaiyah dan Bani Abbasiyah.

Beliau terkenal sebagai seorang yang ahli dalam ilmu fikah dan tauhid. Beliau belajar daripada lebih 200 ulama yang terbilang pada masa itu. Antaranya Abdullah bin Umar, Abdullah bin Abbas dan Abdullah bin Masud. Beliau juga sangat terkenal dengan kebolehan berdebat. Kebolehannya itu sangat dihormati lawan dan kawan.

Imam Abu Hanifah meninggal dunia dalam penjara pada tahun 150 hijrah ketika berumur 70 tahun. Beliau dikebumikan di tanah perkuburan al Khaizaran yang terletak di timur kota Baghdad. Novel ini menceritakan dengan lebih lanjut siapa Imam Hanafi dan mengapa beliau dianggap sebagai pendebat kebenaran.


Antara perkara yang menggembirakan di dalam hidup ini ialah apabila bertemu kembali dengan sahabat, rakan dan orang-orang yang sudah lama terpisah.

Menghadiri Ijtimak Lepasan Timur Tengah di Kota Bharu  malam tadi menemukan saya dengan ramai rakan-rakan sepengajian, baik di ketika di Darul Quran Kuala Kubu Bharu atau di Mesir.

Terdapat pula di kalangan mereka yang hanya saya kenali wajah mereka tetapi tidak tahu nama kerana sekadar pernah bersua suatu masa dahulu dan mungkin kerana zaman pengajian mereka memegang jawatan kepimpinan pelajar.

Ada di kalangan mereka yang tidak pernah ditemui dan diketahui khabar mereka sejak lebih 10 tahun lalu. Ada pula yang diketahui khabar mereka lewat facebook dan blog masing-masing. Di dewan Pak Nik Lah itu, hati  saya girang melihat satu demi satu sahabat mengendong anak masing-masing sambil bercerita tentang aktiviti dakwah masing-masing.

Saya bertemu dengan Ustaz Mohd Azizul Hisham, rakan sepengajian di Maahad Qiraat Shoubra Mesir yang terakhir saya temui setahun lalu. Beliau kini adalah Presiden Ikatan Lepasan Mahasiswa Mesir (ILMAM), berasal dari Kuala Terengganu.

Begitu juga rakan Ustaz Muhammad Tarmizi, orang Kelantan yang kini berhijrah ke Selangor, merupakan antara jiran dan rakan mutazawwijin di Mansoura Mesir satu ketika dahulu.

Ustaz Ahmad Ubaidillah Ilyas yang kini galak menulis juga saya temui. Beliau duduk di sebelah saya. Beliau sudah menulis 9 buah buku pelbagai bidang yang sudah terdapat di pasaran seluruh negara.

Saya juga pertama kali melihat Ust Asri Mat Daud, seorang ulama’ muda dari Kelantan lepasan al-Azhar yang sudah banyak menulis buku, termasuk ketika masih menuntut di Mesir. Saya ada membaca beberapa buku tulisan beliau sebelum ini termasuk ketika di Mesir. Ketika ini khabarnya beliau adalah pensyarah di KIAS.

Di dewan ini, sekitar 300 orang Lepasan Timur Tengah merangkumi Mesir, Madinah, Jordan, Algeria, Yaman, Sudan, Maghribi, Syria dan lain-lain berkumpul dan bertemu untuk mencari kekuatan strategi dakwah secara berjamaah melalui aktiviti dakwah dan penyelidikan tarbiyyah yang akan diserap ke negeri dan daerah masing-masing nanti.

Sebenarnya saya merasa begitu kerdil sekali melihat ulama’-ulama’ pelapis ini berhujjah dan berucap di hadapan pentas, menunjukkan suatu keyakinan masa depan dakwah yang cemerlang di tanah air ini, insya Allah.

Seorang yang pernah sekali saya lihat tetapi dari jauh satu ketika dahulu yang tidak saya ketahui namanya pun, menegur saya di majlis itu : Abu Nuha kan?

Saya hanya mengangguk tersenyum.


TAHNIK

Ibadah tahnik merupakan suatu yang dianjurkan oleh syariat apabila seorang anak dilahirkan selain azan, iqamah, cukur rambut, khitan, aqiqah dan memberi nama yang baik.

Di kalangan masyarakat tempatan khususnya di sebelah sini, ibadah tahnik dianggap asing dan jarang dilakukan. Mengazan dan mengiqamahkan bayi yang baru lahir biasa diketahui orang, begitu juga khitan dan memberi nama yang baik.

Namun ada sedikit masalah dalam pelaksanaan menggunting dan mencukur rambut bayi, di mana biasanya rambut bayi dibuat secara separuh-separuh sedangkan yang paling afdhal ialah mencukurnya sehingga botak.

Tetapi dalam soal tahnik, ia agak asing. Ketika anak abang saya lahir beberapa tahun lepas, diadakan kenduri kesyukuran seterusnya menggunting rambut seperti kebiasaan masyarakat kampung. Namun ibadah tahnik yang saya lakukan dipandang hairan dan aneh oleh mereka yang hadir kerana tidak pernah melihatnya.

Sayugia ibadah ini mesti dihebahkan dan dibuat secara terbuka supaya ia diketahui ramai, seterusnya diamalkan oleh ibu bapa yang mendapat bayi nanti. 

Ketika kehadiran Dato’ Ismail Kamus, beberapa sahabat termasuk saya mengambil kesempatan untuk meminta beliau mentahnikkan anak masing-masing setelah ceramah berakhir di Surau Riyadhus Solihin.

Memang seperti yang saya jangka, tidak ramai yang mengetahui ibadah tersebut. Ada yang tertanya-tanya apakah yang hendak dibuat oleh Ustaz kepada bayi-bayi berkenaan.

Alhamdulillah, setakat lima cahayamata kami, semuanya ditahnik oleh para alim ulama’.

Anak sulung ditahnik oleh 5 orang, antaranya seorang sahabat saya lulusan al-Azhar di Mansoura Mesir, 2 orang ulama qiraat yang saya berguru dengan mereka, dan Sheikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Makki al-Banjari di Kaherah saat Nuha berumur 3 minggu.

Anak kedua dan keempat ditahnik oleh Ust Hj Muchlish Ali Kasim, anak ketiga oleh Ust Hj Abdullah Din sementara anak kelima ditahnik oleh Dato’ Hj Ismail Kamus semalam. Kelima-lima anak saya ditahnik pertama kali oleh saya sendiri sebelum orang lain.

Dalam hidup saya sehingga kini, ada empat orang guru yang banyak memberi kesan serta mempengaruhi saya dalam ilmu pengetahuan agama, kaedah berdakwah, berceramah dan sebagainya.

Datuk Hj Asmali Bachi, Ust Hj Muchlish Ali Kasim, Ustaz Dato’ Hj Ismail Kamus dan Sheikh Nuruddin Marbu al-Makki al-Banjari.

Datuk Hj Asmali Bachi mula saya rapati sejak 1995 ketika beliau menjadi mudir Maahad Tahfiz al-Quran yang pertama sekaligus pernah menjadi guru tasmik saya dan rakan-rakan yang lain.

Beliau antara yang terawal mengajar kaedah-kaedah menghafaz al-Quran, melatih kami mengulangkaji al-Quran beramai-ramai serta hubungan akrab seperti bapa dan anak kerana saya sering bermalam di rumahnya ketika itu.

Ust Hj Muchlish Ali Kasim yang saya kenali sejak tingkatan 1, bahkan beliau dan bapa saya berkawan sebelum saya lahir kerana mereka sama-sama bertugas di daerah Sipitang. Kini kami bersama-sama pula dalam Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah dan Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) Sabah.

Beliau menjadi rujukan saya dalam banyak hal termasuk dalam soal-soal hukum hakam sehingga kini, dan hal peribadi termasuk nasihatnya ketika saya hendak mendirikan rumahtangga 8 tahun lalu.

Sheikh Nuruddin al-Banjari, meski hanya berguru beberapa ketika di Mesir dan pernah 2 kali datang ke Sabah dan saya pernah beberapa segmen mempengerusikan majlis ilmu kendalian beliau.

Namun, buku-buku yang saya turut menadah dalam program tafaqquh fiddin di Kaherah, serta CD kuliahnya yang sering saya ulangkaji kini menjadikan beliau sentiasa di hati saya. Begitu juga rakaman ceramah beliau di merata tempat sentiasa menjadi carian saya di internet.

Ustaz Dato’ Hj Ismail Kamus yang kita semua kenali, saya mula rapati ilmunya sejak pertengahan 90an, sejak zaman persekolahan, saya sering membeli kaset-kaset ceramahnya, kadang-kadang tidak puas didengar berkali-kali, saya salin di kertas lagi.

Pada akhir julai 2000, hampir 10 tahun lalu beliau datang ke Kota Kinabalu untuk program ceramah pelbagai tempat. Ketika itu beliau sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Selangor sementara saya bertugas di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu.

Saya ingat lagi, menyertai 6-7 siri ceramah beliau pelbagai tempat dalam masa sehari dua, saya perhatikan tajuk dan isu yang dibangkitkan semuanya berlainan. Di Papar, Kota Kinabalu, Kota Belud dan lain-lain.

Sungguh tidak saya menyangka ketika itu, puluhan (mungkin juga ratusan) kaset ceramah beliau yang saya simpan sejak 90an sehingga hari ini; mengutip ilmu berharga beliau sehingga kadang-kadang saya terbawa-bawa dalam ceramah dan kuliah saya sendiri.

Ketika kehadiran beliau pada julai 2000 itulah saya diminta menemankan ustaz bermalam di sebuah rumah di Taman BDC Kolombong. Mana mungkin saya menyangka pendakwah yang saya dengar suaranya saban hari kemudiannya saya temankan bersama.

Sebenarnya Allah SWT telah melembutkan hati saya suka dan kasih kepada para alim ulama’. Bukan sahaja orang-orang terkenal dan terkemuka seperti Dato Ismail ini, bahkan dengan rakan-rakan kami mencari, bertemu dan menyelongkar sejarah sedikit demi sedikit penglibatan dan pengalaman ustaz-ustazah dalam dunia dakwah di Sabah.

Sesungguhnya mereka menyimpan saham yang sangat bernilai untuk dibawa ke hadapan Allah SWT di dataran Mahsyar nanti.

Ketika Ustaz Dato’ Ismail berkempen untuk DUN Gombak Setia pada 1999, saya juga pernah melihatnya dari jauh. Katanya kepada pengundi dacing : “Biarlah hatimu UMNO tapi tanganmu PAS!”

Apabila bertemu Ustaz jumaat lalu, terubat kerinduan saya bertemu dengannya. Saya ceritakan kenangan tahun 2000 kepadanya, ketika itu saya masih bujang dan kini sudah mempunyai anak 5 orang.

Sebenarnya, saya kerap mendengar suara beliau dalam banyak kuliah dan ceramah melalui blog http://jeng3x.blogspot.com/. Pemilik blog ini adalah seorang pengikut beliau di merata ceramah khususnya sekitar Lembah Kelang. Tahun lalu telah menjemput saya masuk ke blog beliau dan sejak itu saya kerap melayari ceramah Ustaz Dato’ Ismail Kamus.

Mungkin tidak ramai tahu, bahawa sebelum ustaz datang ke Sabah tempohari, pada akhir april ustaz mengalami sedikit musibah. Ia diceritakan oleh blogger berkenaan. Beg ustaz yang disimpan dalam kereta dipecahkan orang. Duit beribu-ribu hilang dan pasport antarabangsa ustaz juga dicuri sama. Manakala kamera blogger berkenaan juga dicuri.

Ketika ceramahnya di Surau Austral tempohari, saya banyak memerhati gelagat dan kaedah dakwah beliau.

Suaranya sederhana – dengan volume begitu, beliau boleh bertahan lebih lama. Matanya sesekali ditumpukan kepada satu-satu audien, dan ia pasti memberi kenangan kepada audien yang dipandang.

Isi ceramahnya berkait dengan kemasyarakatan, kadang-kadang pedas mendengarnya tetapi oleh kerana diluah secara santai dan jenaka, orang mudah menerimanya.

Beliau banyak mengungkap hadith SAW dan qaul ulama’ dan hukama’, serta ungkapan falsafah yang menggeletek hati audien walaupun terasa disindir sebenarnya. Trademark beliau ialah : “Ni baru muqaddimah, belum start lagi”.

Hendak jadi macam Ustaz Dato Ismail Kamus saya tidak mampu, jadi di Masjid Kg Muhibbah Petagas setiap selasa malam rabu, saya menyampaikan kuliah maghrib menggunakan buku beliau – Indahnya Hidup Bersyariat terbitan Telaga Biru Sdn Bhd. Kata Ustaz Zahazan, buku itu adalah yang paling laris sekali di Telaga Biru.

Mudah-mudahan Allah SWT panjangkan umur beliau dan semua guru-guru yang pernah mendidik saya sejak kecil sehingga kini termasuk yang sudah meninggal dunia. Kepada audien Dato’ Ust Hj Ismail Kamus tempohari, jangan ingat yang lucu dan lawak beliau saja. Ambil sekali ilmu yang berharga.

Dato' Sheikh Hj Abdul Halim Abdul Kadir

Dato’ Asy-Syaikh Hj Abdul Halim Abdul Kadir, telah dipilih sebagai Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia (PUM) bagi penggal kedua dalam mesyuarat tahunan perwakilan kali ke-30, bagi sesi 2009-2011.

Beliau adalah YDP PUM yang kelima sejak NGO berkenaan ditubuhkan pada 1974.

Peneraju PUM sebelum ini ialah Hj Nik Muhammad Muhyiddin Musa (1974-81), Hj Ahmad Awang (1981-99) Hj Abd Ghani Shamsuddin (1999-2003), Dato’ Hj Salleh Hj Ahmad (2003-2007).

Asy-Syaikh Hj Abdul Halim merupakan anak kelahiran Jertih Besut Terengganu pada 1935.

Mendapat pendidikan awal di sekolah rendah agama di Pondok Jertih sebelum melanjutkan pelajaran menengah rendah pada 1953 di Darul Ulum, Makkah al-Mukarramah seterusnya ke Masjidil Haram Makkah sehingga 1959.

Dalam tempoh berkenaan, beliau juga menuntut di al-Maahad al-Ilmi as-Saudi Madinah sebelum ke Universiti al-Azhar Mesir dalam kuliah sarjana muda syariah antara 1960-1965.

Kerjaya beliau bermula pada 1967 sebagai penolong nazir guru-guru agama Kelantan. Pada 1978, beliau ditukar menyandang jawatan pensyarah pendidikan Islam di Maktab Seri Kota, Kuala Lumpur.

Pada 1985 beliau menjawat Penolong Pengarah Agama dan Dakwah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kementerian Pendidikan Malaysia sehingga 1990.

Setelah bersara, beliau ditawarkan sebagai pensyarah (kontrak) di Maktab Perguruan Islam, Bangi Selangor selama 2 tahun 1993-1994.

Pada julai 2000-2004, beliau dilantik sebagai Mufti Negeri Terengganu – pada zaman pemerintahan kerajaan PAS pimpinan YAB Dato’ Seri Hj Abdul Hadi Awang selaku Menteri Besar ketika itu.

Beliau pernah aktif dan melibatkan diri dalam gerakan-gerakan dakwah dan pertubuhan Islam seperti ABIM, MUAFAKAT, PUM dan sebagainya. Juga pernah menguruskan Koperasi Muslimin dan masih aktif sehingga kini.

Disamping itu, beliau merupakan Ahli Pangkuan Diraja Istana Terengganu dan beliau layak menggunakan gelaran Yang Berhormat atas kepercayaan yang diberikan oleh Sultan Terengganu bagi menjawat ahli majlis tersebut.

%d bloggers like this: