Tag Archive: Pemuda PAS


Sumber : http://www.harakahdaily.net.my/index.php/kesatuan-fikrah/41384-kenangan-muktamar-zaman-olakan-jamaah

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | 01 Jun 2016.

Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia menarik tirai mula dengan lebih harmoni. Kali ini dengan gimik tiga tokoh terpenting pemuda memakai pakaian tradisi pahlawan Melayu. Ucapan Tema Ketua DPPM juga sarat dengan arahan dan artikulasi tentang rencah sosiopolitik tanah air. Fikiranku menerawang jauh, mengingat kembali dua tahun lepas, muktamar DPPM di bumi Johor yang bersejarah.

“Mujur anta tak pengsan juga,” oceh Datuk Mustafa Ali sambil ketawa kecil menggenggam tangan saya sebelum bermula muktamar penuh PAS Pusat. Mantan Ketua Pemuda ini adalah antara arkitek gagasan kepimpinan ulama pada tahun 1982. Dewan Pemuda di zaman beliau mengambil tindakan berbeza dengan PAS Pusat dengan mengadakan muktamar berasingan di Bukit Mertajam. Muktamar itu adalah Muktamar Pemuda PAS yang melakar sejarah sehingga muktamar penuh PAS Pusat di Dewan Bahasa Dan Pustaka menjadi tegang, dramatik, malah menyebabkan Datuk Asri meletakkan jawatan sebagai Presiden apabila ucapan dasarnya ditolak. Paling kuat menentang Asri ialah anak-anak muda PAS, segelintirnya sangat tersihir dengan peristiwa ‘the black friday’ di Tehran.

Pemuda PAS pasca peralihan kepimpinan ulama menjadi elemen paling kuat untuk meneguhkan watak PAS sebagai gerakan Islam yang kompetitif. Mereka mengusulkan kewujudan Majlis Syura Ulamak untuk menjadi vanguard jamaah ini, juga menggerakkan dengan agresif gerakan jihad pendidikan yang digalang oleh ahli-ahli PAS sendiri. Anak- anak muda peserta kebangkitan Islam memilih PAS sebagai wadah mereka, apatah lagi dengan sikap vokal pemuda PAS terhadap regim Umno dan BN.

Pemuda PAS membayar harga yang mahal akan sikap vokal mereka terhadap regim apabila ramai kalangan pimpinan pemuda PAS dikurung dibawah ISA. Tangkapan demi tangkapan tak melunturkan istiqomah para pemuda menjadi pembenteng agama, walaupun digambarkan sebagai kelompok radikal dan ultra konservatif oleh media yang ditunggangi regim BN. Maksiat dan kemungkaran ditentang dengan gencar oleh pemuda PAS, suara mereka membela agama dan masyarakat tertindas.

30 tahun pasca perubahan kepimpinan ulama, peralihan kepimpinan dalam Dewan Pemuda PAS Pusat berjalan dengan lancar, jauh daripada ribut besar. Mudah difahami kerana sayap PAS ini paling bersungguh dalam program tarbiah dan tajnid, maka unsur politiking dapat dikawal dengan berkesan.

“Mengapa muktamar Pemuda PAS menjadi tegang, mengapa kita hilang adab,” tanya teman saya, seorang doktor perubatan yang juga aktivis bantuan kemanusiaan.

Saya terkedu dan membelek kembali kenangan selama dua dekad dalam pemuda, ramai yang bertanyakan tentang insiden keluar dewan oleh pemuda PAS semasa acara perasmian muktamar oleh Timbalan Presiden. Perkara sebegini belum pernah terjadi dalam muktamar hatta sebelum era kepimpinan ulama. Saya walaupun sebagai Timbalan Pengerusi Tetap Muktamar Pemuda, namun tidak berada dalam perasmian muktamar kerana sedikit keuzuran. Mesej masuk bertalu-talu masuk ke ponsel saya bertanyakan siapa dalang dan pemicu acara protes itu, saya tiada jawaban kerana tidak mencium maklumat itu.

Muktamar pemuda  pada malamnya juga bersambung tegang sehingga Pengerusi Tetap sesak nafas dan saya mengambil alih sidang muktamar tersebut. Saya melepaskan pandangan pada ribuan anak muda yang memenuhi Dewan Choon Moi Kota Tinggi, watak “the young angry man” bermuka bersih, mereka bukan anak-anak muda jalanan tak berpendidikan. Seorang perwakilan pemuda dari Terengganu yang meluru di rostrum adalah bekas ADO Daerah Besut, lulusan UIA. Dewan gamat tingkah meningkah, ditambah barisan pemerhati yang turut merencah takbir dan sorakan. Saya menghentikan sidang dengan doa wehdah, kalimah yang akan menyatukan anak muda Islam yang bergabung dalam PAS, mendamaikan muktamirin dengan pengkisahan sejarah PAS.

Banyak muhasabah dan iktibar yang wajib dikutip dalam muktamar Dewan Pemuda kali ini, antaranya pemerkasaan tajnid para amilin. Usaha pembinaan kader-kader baru juga wajib menjadi agenda utama pemuda PAS kerana di luar sana pelbagai NGO menawarkan pelbagai tarikan pesona untuk menarik anak muda menyertai mereka. Pemuda PAS Pusat wajib menggilap figura-figura mereka dalam pelbagai bidang,dalam pengamatan saya exco-exco dalam pemuda Pusat hari ini kurang terserlah. Ini berkemungkinan kerana watak-watak baru, namun perlu digilap kompetensi. Percayalah bahawa saf pimpinan Pemuda Pusat wajib digalang oleh anak muda-anak muda Islam terbaik negara ini.

“Jadilah anak muda yang genius, pemberani, bukan berkain batik, pentaksub ilmu” itu nasihatku buat Pemuda PAS Malaysia, kerana alumni Pemuda PAS telah melakar pelbagai sejarah besar dalam harakatul ummah ini. – HARAKAHDAILY 1/6/2016

Penulis ialah Timbalan Pengerusi Tetap Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/32591-allah-yang-tentukan-bagaimana-islam-menang

USTAZ KHALIL ABDUL HADI | 09 Disember 2014.

1. Antara tujuan Ijtima’ Tarbawi Pemuda PAS 4.0 adalah untuk para pemuda memahami tentang Fiqh Nasr wal Intisaar (Fiqh Pertolongan dan Kemenangan daripada Allah) yang merupakan di antara Fiqh al-Jihad.

2. Surah al-Fath dipilih sebagai tema bagi menerangkan mengenai erti kemenangan dalam Islam dan cara-cara untuk mendapat pertolongan daripada Allah bagi mencapai kemenangan di dalam perjuangan Islam.

3. Banyak cerita dan pengalaman orang lama perlu diambil oleh para pemuda untuk mencapai kemenangan iaitu perlu digabungjalinkan hamasatus syabab wa hikmatus syuyukh (semangat anak muda dan kebijaksanaan orang lama).

4. Walaupun kita tidak pernah menang secara mutlak (menang dalam PRU sehingga boleh menguasai kerajaan pusat), akan tetapi kita tetap menang di sisi Allah kerana erti kemenangan yang sebenar ialah kemenangan menegakkan kebenaran agama-Nya yang dijanjikan oleh Allah dengan pahala dan syurga di akhirat. Inilah yang menjadi akidah perjuangan kepada pemuda-pemuda PAS.

5. Kemenangan kepada perjuangan Islam bukan boleh dibeli dengan harga yang murah. Permata yang mahal untuk mendapatkannya memerlukan kepada pengorbanan apatah lagi untuk memperoleh kemenangan kepada perjuangan Islam, ia memerlukan pengorbanan nyawa, harta dan tenaga semaksima mungkin. Firman Allah yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah membeli daripada orang-orang beriman jiwa dan harta mereka bahawa bagi mereka syurga… “

6. Kita memilih jalan pilihan raya sebagai pendekatan untuk memenangkan Islam. Walaupun kita tahu pilihan raya yang diadakan di negara kita penuh dengan penipuan, rasuah dan salahguna kuasa.

7. Saya percaya dengan sistem demokrasi yang diamalkan di negara kita, tidak mungkin untuk PAS memenangi pilihan raya tetapi kita bertegas untuk terus istiqamah dengan pendekatan ini kerana inilah pendekatan yang mengikut manhaj anbiya yang berdepan dengan golongan pemerintah zalim pada zaman masing-masing dan bagi melaksanakan tuntutan menegakkan amar ma’ruf dan nahi munkar.

8. Kita selalu berfikir bahawa kemenangan itu akan dicapai mengikut acuan yang kita tentukan. Tetapi hakikat yang sebenar kemenangan itu ditentukan oleh Allah. Kita menjangka Namrud akan dikalahkan oleh Nabi Ibrahim a.s setelah orang ramai mengikutnya akan tetapi Namrud yang angkuh itu tersungkur dengan hanya seekor nyamuk. Kita memikirkan bahawa Nabi Muhammad SAW akan menang dan menakluk Mekah dengan peperangan akan tetapi ketentuan Allah Mekah dibuka dengan jalan damai. Kemenangan umat Islam menawan kota Konstantinople dijanjikan oleh Rasulullah SAW pada zamannya tetapi hanya menjadi kenyataan ratusan tahun selepas baginda wafat.

9. Begitulah juga dengan Umno/BN; kita memikirkan PAS akan menang dalam PRU menumbangkan Umno/BN akan tetapi apa yang dirancang oleh Allah kita tidak mengetahuinya. Apa yang penting kita mestilah istiqamah berjuang di atas jalan yang benar.

10. Hari ini kita melihat Umno/BN menuju ke jalan kemusnahan. Setiap perjuangan mempunyai rohnya. Roh perjuangan Umno ialah kebendaan dan wang ringgit; apabila ia susut dan berkurangan akan lenyaplah Umno dan BN. Adapun roh perjuangan PAS ialah Islam yang sentiasa hidup selagi mana PAS istiqamah dengan Islamnya maka kita terus kuat dan gagah.

11. Semakin kita ditekan dan diasak semakin kita perlu untuk terus berpegang dengan prinsip Islam dan pasti kita akan semakin kuat dengan pertolongan Allah

12. Kita pernah menegaskan bahawa kita akan menang dalam PRU13 tetapi kita belum lagi diberikan kemenangan oleh Allah. Pada kali ini kita juga menegaskan bahawa kita melangkah menuju kemenangan dalam PRU14. Jika sekiranya kita ditakdirkan tidak mencapai kemenangan juga kita sentiasa menegaskan bahawa kita akan menang dalam PRU15, 16, 17 dan seterusnya kerana kemenangan Islam itu adalah pasti sama ada dekat ataupun jauh. Firman Allah yang bermaksud;

“Dan adalah wajib ke atas kami menolong orang-orang yang beriman. “

13. Persiapan yang perlu kita lakukan untuk memacu kemenangan PRU14:-

a. Kita mestilah istiqamah dan berpegang teguh di dalam memperjuangkan isu-isu yang berkait dengan Islam dan hak-hak orang Islam dan mestilah kehadapan menegakkannya.

b. Fokus yang lebih kepada pengundi Melayu khususnya anak muda.

14. Akhirnya kita mestilah yakin kemenangan Islam adalah suatu perkara yang pasti, jangan kita persoalkan bila dan bagaimana kerana ia adalah rahsia Allah. Tanggungjawab kita adalah terus istiqamah memperjuangkan agama-Nya. – HARAKAHDAILY 9/12/2014

GUA IKUT ENTA

%d bloggers like this: