Tag Archive: Pejabat Mufti Sabah


 

Alhamdulillah, saya mengambil sedikit saham apabila dapat membantu kehadiran ulamak hadith dari Mansoura Mesir, Sheikh Dr Mustafa An-Nadawi datang ke Sabah buat beberapa hari ini.

Salah seorang anak murid beliau Ustaz Hairie yang berkahwin dengan muslimat Kota Marudu Sabah – Ustazah Intan Farhana Numan – memaklumkan kepada saya hajat untuk membawa sheikh ini ke Sabah. Sheikh dalam rangka program ilmu di seluruh Malaysia, dan Sabah salah satu destinasi yang dirancang, hanya mereka tidak tahu laluan untuk menempatkan program ilmu di Sabah kerana tiada hubungan peribadi dengan masjid-masjid di Sabah.

Saya membantu yang terdaya, berhubung dengan beberapa masjid sekitar Kota Kinabalu yang akan saya siarkan foto program dalam artikel yang berikut nanti. Untuk memastikan program berjalan lancar, saya menghubungi SS Mufti Sabah Ustaz Haji Bungsu Aziz untuk mendapatkan tauliah khas dan alhamdulillah tiada sebarang masalah daripada pihak pejabat mufti.

Bahkan SS Mufti bersetuju pula untuk bertemu jika mempunyai ruang kerana memandangkan Sheikh Dr Mustafa adalah antara anak murid Almarhum Sheikh Mustafa An-Nadawi, ulamak terkenal dari India. Maka beliau menganggap satu kesempatan yang baik untuk bertemu, dan saya juga turut hadir di pejabat SS Mufti pada petang tadi.

Terima kasih kepada Sdr Arwin yang sudi menjadi pemandu, menjemput rombongan dari Terminal 2 LTAKK Tanjung Aru dan menghantar serta mengiringi sehingga ke Pejabat Mufti. Foto pertama di bawah saya abadikan kenangan beliau bersama SS Mufti Sabah.

Sh Mustafa @ Pej Mufti Sabah (1) Sh Mustafa @ Pej Mufti Sabah (4)Sh Mustafa @ Pej Mufti Sabah (5)

Sh Mustafa @ Pej Mufti Sabah (2)Sh Mustafa @ Pej Mufti Sabah (3)Sh Mustafa @ Pej Mufti Sabah (6)



SEMINAR AKIDAH SUNNI

Saya hampir terlupa menghadiri seminar berkenaan yang diadakan di Dewan Besar, Dewan Bahasa & Pustaka Cawangan Sabah pada isnin lalu walaupun sudah mengesahkan nama mewakili Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) Sabah. Pada awal pagi saya menyertai pegawai JHEAINS menerima lawatan JAIS, tetapi sekitar jam 10 pagi saya bergerak ke Seminar Aqidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah.

Seminar dimulakan dengan pembentangan kertas kerja bertajuk “Konsep Akidah : Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah” yang disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Mohd Fauzi bin Hamat, Ketua Jabatan Akidah, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Kemudian diteruskan dengan pembentangan kedua yang bertajuk “Ancaman Ke Atas Akidah Ummah” yang disampaikan oleh Ustaz Haji Zamihan bin Mat Zin, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM).

Setelah melihat keperluan memahami aqidah yang sebenar, saya merasakan program ini sewajarnya diadakan secara bersiri apatah lagi pembentangan Ustaz Zamihan al-Ghari dirasakan terlalu singkat terutama apabila beliau hanya sempat menerangkan Syiah dan sebahagian berkenaan Wahabi. Selain itu, kehadiran boleh dikembangkan kepada lebih ramai pihak seperti wakil IPTA, IPTS, pegawai kanan kerajaan negeri dan persekutuan (kerana ada jabatan hanya menghantar kakitangan biasa sahaja) pegawai kanan pasukan beruniform seperti PDRM dan ATM.

%d bloggers like this: