IMG_6364

Salah satu sebab lagi saya bergegas balik dari Tambunan sebelum program berakhir pada tengahari ahad ialah kerana anak sulung saya ini.

Nuha Wafiyyah dilahirkan pada 3 Ogos 2003 di rumah sewa kami di Awwal Dirasat, el-Mansoura, 100km dari Kaherah.

Seingat saya, ketika itu masih banyak kedapatan ibu-ibu yang bersalin di rumah berbanding di hospital atau di klinik. Temujanji hanya dibuat dengan doktor atau bidan untuk menyambut bayi yang bakal lahir.

Tidak ketinggalan dengan hal isteri saya.

Sabtu, sekitar jam 2 petang. Isteri saya mula menunjukkan sakit perut yang agak kerap. Menurut bacaan buku kami yang sememangnya terhad, inilah agaknya tanda hendak bersalin walaupun jangkaan sebenar hanya 2 minggu lagi.

Rakan-rakan isteri saya dipanggil. Mujur rumah sewa mereka tidak begitu jauh. Letaknya antara 5-15 minit perjalanan.

Sementara kawan-kawan isteri menanti di rumah, saya pula menjemput Doktor Sofa datang ke rumah. Bukan dengan naik kereta, cuma berjalan kaki sahaja.

Sampai di rumah kami, doktor membahagi-bahagi tugas. Ada yang ditugaskan menyediakan air panas, lampin, pakaian dan sebagainya. Saya dan dua tiga rakan yang lain bertindak sebagai pemberi semangat, berada di sisi isteri.

Pengalaman pertama, jauh dari kampung dan keluarga, bersalin dan menyambut anak pertama di rumah bukan di hospital membuatkan kenangan itu begitu istimewa sekali. Tidak perlu kursus hendak menemani isteri seperti kehendak hospital Malaysia.

Rakan-rakannya pula berpeluang melihat rakan karib sendiri bersalin di hadapan mata, dalam keadaan mereka sendiri masih bujang lagi.

2.30 petang, Nuha selamat dilahirkan dengan berat 3.5kg.

Nuha sempat ditahnik oleh beberapa orang ulama’. Seorang guru qiraat saya di Mansoura, sheikh maahad qiraat di Shoubra dan oleh Shaikh Nuruddin al-Banjari ketika Nuha berusia 3 minggu.

***

Itu cerita 6 tahun lalu.

Sejak 3 tahun lalu, Nuha sudah memulakan pra sekolahnya di Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Taman Union Putatan sebagai kumpulan pelajar yang pertama.

Nostalgia sekali mengenangkan peristiwa itu, lalu permintaan Nuha hendak menyambut ulangtahunnya diadakan di PASTI kami raikan. Tahun hadapan, dia tidak lagi di sana.

Kali ini dua kali Nuha meraikan ulangtahunnya. Ahad buat di rumah, sementara pagi isnin di PASTInya.

PASTI Union pula terumbang ambing. Entah tahun hadapan masih ada atau tidak. Tuan rumah sudah menyuarakan hasrat untuk menjual rumah berkenaan.

Apa pun, susah senang PASTI Taman Union, Nuha masih kekal daripada awal sehingga kini sedangkan kawan-kawannya yang pertama dahulu sudah beralih ke tempat lain.

Sebelum mencapai 6 tahun, Nuha sudah pandai baca jawi, rumi dan al-Qurannya sudah masuk juz 4. Selain itu, ciri kepimpinan sebagai seorang kakak sudah jelas kelihatan.

Tadi, saya membahagi-bahagikan syiling 20 sen untuk mereka adik beradik masuk ke dalam tabung. Rupanya hanya 80 sen saja, kurang 20 sen untuk mereka berlima.

Tanpa disuruh pun, Nuha mengalah.

“Duit untuk kakak Nuha, kakak beri untuk baby..”

IMG_6370

IMG_6378

IMG_6395

IMG_6404

IMG_6407