Tag Archive: PASTI Taman Pasir Putih Putatan


PASTI Keretapi PASTI Pasir Putih PASTI Petagas PASTI Sembulan PASTI Sri Kepayan

pastiputatan2

HARI PERTAMA

Awalnya saya menyangka hari pertama persekolahan adalah hari selasa setelah hari isnin adalah cuti ganti kepada cuti tahun baru 2012 pada ahad. Maka kelam kabutlah saya memerintahkan anak-anak yang bersekolah agar tidur awal. Ada dua orang sekolah di PASTI dan dua orang lagi di sekolah rendah. Hmm.. sudah empat orang rupanya.

Pagi selasa, anak-anak bangun awal tapi relaks saja sambil tengok tv. Rupanya sesi persekolahan hanya bermula pada hari rabu. Patutlah anak-anak relaks semacam saja. Bapanya saja yang lebih. Barangkali terlebih semangat. Kononnya sudah bersedia untuk keadaan sibuk sejak pagi apabila hari persekolahan menjelang seperti sebelum ini.

Hari rabu menjelma.

Kami berbagi tugas. Isteri bersama pak mertua menghantar Nuha dan Hana di SK Kem Lok Kawi. Nuha masuk darjah 3 dan Hana baru darjah 1. Sebelum cuti tempoh hari saya sudah melihat nama Hana ‘naik’ di papan kenyataan sekolah. Tapi pada hari pendaftaran semalam, namanya tidak disebut sehingga ke akhir majlis. Rupanya guru terlepas pandang dan tercicir, tapi akhirnya dapat diselesaikan dengan baik. Pulang sekolah anak-anak terutama Hana seronok bercerita tentang sekolah barunya.

Saya pula ke Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) al-Fathonah di Taman Pasir Putih Putatan membawa Abdul Hadi dan Lu’lu’ Badriyyah. Abdul Hadi akan berada di tahun terakhir tahun ini untuk umur 6 tahun dan Lu’lu’ baru masuk untuk kelas umur 4 tahun. Seronok melihat Lu’lu’ terutamanya yang relaks saja di PASTI dan tidak menangis langsung (bukan macam bapanya dulu-dulu, hehehe).

Alhamdulillah, saat saya mendaftarkan Abdul Hadi dan Lu’lu’ jumlah murid-murid sudah mencapai angka 29 orang dan saya menjangka ia akan bertambah nanti. Sepanjang pengetahuan saya, jumlah ini tidak pernah dicapai sejak ia bermula sebagai PASTI Nur al-Fathonah di Taman Union Putatan sejak 2007 sebelum berpindah ke Taman Pasir Putih pula. Ia bermula dengan 6 orang murid, dengan situasi yang tidak stabil dan bertahan sehingga tahun keenam tahun ini.

Dengan murid tahun ini mencapai atau lebih 30 orang, insya Allah gurunya akan bertambah kepada tiga orang untuk memberi tumpuan kepada 3 kelas, mengikut umur 4, 5 dan 6 tahun. Tahniah kepada ibu bapa yang memilih PASTI sebagai tempat anak-anak mereka mendapat ilmu asas Islam dan kehidupan.

 

PASTI FATHONAH DI TAMAN PASIR PUTIH

Alhamdulillah, Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Fathonah memulakan operasinya di Taman Pasir Putih Putatan mulai semalam.

PASTI ini pada mulanya beroperasi di Taman Union pada awal tahun 2007 hasil usaha awal dua orang guru PASTI ketika itu, Cikgu Auni Munawwarah dan Fatimah az-Zahra sebelum diteruskan oleh sahabat-sahabat lain.

Akhir tahun lalu, hasil perbincangan rakan-rakan, pusat operasinya terpaksa dipindahkan sementara ke Plaza Platinum Putatan setelah rumah asal yang disewa PASTI dijual oleh tuan rumah kepada orang lain.

Beberapa rakan-rakan berikhtiar ke sana dan ke mari untuk mencari lokasi lebih sesuai dan mesra penduduk. Dua minggu mencari, beberapa pilihan yang ada, akhirnya lokasi di Taman Pasir Putih Putatan menjadi pilihan terbaik.

Rumah bernombor 117, berhadapan dengan Kompleks Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Persekutuan bersedia meneruskan operasinya dan terus membuka peluang kepada ibu bapa yang hendak menghantar anak seawal 4 hingga 6 tahun.

Sehingga hari ini, terdapat 21 orang murid dan dijangka terus bertambah dalam masa terdekat. Hubungi 016-8301432 (Cikgu Yusni) atau 014-5564386 (Cikgu Aisyah) untuk keterangan lanjut.

Kepada Allah kami memohon restu dan inayah.

%d bloggers like this: