Tag Archive: PASTI Sepanggar


Tarikh : 22 Oktober 2014

Lokasi : Bandar Sierra Kota Kinabalu

Letih tetapi saya gembira dapat membantu guru-guru Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Kawasan Sepanggar dan Putatan mengulangkaji ilmu tajwid daripada asas bermula awal pagi hingga menjelang asar. Antara bab yang diperbincangkan ialah tentang muqaddimah tajwid, hukum nun mati, hukum mad dan lain-lain.

Semoga ada pahala yang mengalir selepas ini lantaran mereka juga adalah para guru yang mendidik anak-anak kecil ilmu-ilmu Islam. Semoga bermanfaat.

Daurah Tajwid (1) Daurah Tajwid (2) Daurah Tajwid (5) Daurah Tajwid (6) Daurah Tajwid (7)

Usrah PASTI Sepanggar

Usrah bulan ini diadakan di Bandar Sierra dengan topik IKHLAS.

Ia satu tajuk yang mudah disebut tetapi amat susah untuk dilaksanakan. Hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui sejauh mana keikhlasan kita dan saya yang diamanahkan membimbing usrah guru PASTI Sepanggar.

Tidak sedikit para ulamak yang memulakan tulisan di kitab-kitab mereka dengan tajuk niat yang ikhlas. Ini menunjukkan ikhlas adalah satu perkara yang penting. Para ulamak menyatakan bahawa niat (yang ikhlas) adalah satu pertiga daripada amalan.

Begitu juga satu surah yang pendek tetapi sangat penting di dalam menjelaskan keesaan dan kehebatan Allah SWT iaitu surah al-Ikhlas. Walau hanya empat ayat, ia adalah surah yang penting sehingga dinyatakan fadhilatnya dengan satu pertiga al-Quran.

Demikianlah apabila segala perbuatan, perkataan dan niat yang tulus, dengan makna segala amalan itu benar-benar ditujukan semata-mata kerana Allah SWT, maka inilah yang dinamakan ikhlas. Wallahu a’lam.

Tarikh : 17 Februari 2013 (Ahad)

Lokasi : PASTI Taman Putera Perdana

Tajuk : Aurat

Usrah Feb MGP Sepanggar (1) Usrah Feb MGP Sepanggar (2) Usrah Feb MGP Sepanggar (3) Usrah Feb MGP Sepanggar (4) usrah1 usrah2 usrah3 usrah4

USRAH RAYA MGP SEPANGGAR

 

Alhamdulillah, sudah beberapa bulan memimpin usrah bulanan Majlis Guru PASTI (MGP) Sepanggar, kali ini usrah kami disekalikan dengan jamuan hari raya. Walaupun notis singkat yang mereka maklumkan kepada saya, kebetulan ada sedikit masa yang lapang, saya hadir juga.

Tazkirah sekitar sejam sebagai pengisian dan kemudian soal jawab seterusnya makan-makan. Tazkirah saya berlegar tentang memberi salam, menjamu makan, mengerat persaudaraan dan sebagainya yang berkait dengan hubungan kemanusiaan dalam perkara yang mudah dan bersifat harian. Mudah-mudahan guru PASTI dan penggerak-pengerak PASTI akan terus istiqamah dalam kerja-kerja mereka.

Turut hadir ialah Sdr Azman Talib @ Bacho selaku pengerusi PASTI Sepanggar.

 

 

ALAM RIA PASTI 2012

Tahniah kepada semua anak-anak, pengurusan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Pantai Barat Sabah (Putatan dan Sepanggar), beserta cikgu-cikgu dan ibu bapa yang telah menjayakan Alam Ria PASTI yang diadakan pada 1 Julai lepas di Sabah Trade Centre, Likas.

Sesungguhnya ia membawa makna yang besar kepada anak-anak itu sendiri, mereka menampilkan bakat-bakat Islami mereka, seperti melaungkan azan, khutbah, bernasyid, bercerita, menghafaz surah-surah lazim dan sebagainya. Saya kira ibu bapa yang pertama kali melihat dan membawa anak-anak mereka di pentas, akan merasa terharu dan teruja dengan kemampuan anak-anak kecil 4-6 tahun beraksi dengan batas syariat yang dianjurkan.

Suka saya menyatakan bahawa ibu bapa yang menghantar anak-anak ke PASTI tidak akan kerugian dengan melihat kemampuan anak-anak sekecil mereka mampu membaca dn menghafaz doa-doa harian, berpenampilan menutup aurat, boleh menghafaz surah lazim, melaungkan azan sehingga ia dibawa dalam kehidupan mereka seluruhnya. Terima kasih kepada PJ Aminuddin Aling, Cikgu Mohd Nazri Sulaiman, Ustaz Mohamad Suaid, Ustaz Azman Talib dan seluruh jentera yang menjayakan majlis ini sehingga ke akhirnya.

USRAH GURU PASTI SEPANGGAR

Di bawah rimbunan pokok-pokok dan dalam suasana angin yang bertiup, kami berkumpul santai dalam program usrah dan tazkirah santai di Tanjung Lipat Teluk Likas dalam suasana percutian sempena Hari Pekerja 1 Mei bersama guru-guru Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Kawasan Sepanggar.

Terima kasih buat saudara Azman Talib yang menyampaikan undangan untuk saya hadir dan membuat sedikit pengisian bersama-sama mereka. Untuk guru-guru PASTI Sepanggar, ini kali kedua saya dijemput setelah kali pertama pada awal tahun 2011. Lebih setahun yang lalu rupanya.

Suasana santai ditambah lagi lokasi tumpuan masyarakat yang berkelah dan lalu lalang di sekitar kami, saya hanya bersedia menyampaikan tazkirah secara santai juga supaya kelihatan lebih relaks tetapi berisi dan mudah diterima. Saya penuh maklum, mereka banyak diberikan taujihad khususnya tentang erti perjuangan Islam yang wajib didukung, dan saya pula setelah mereka minta saya isikan tentang ciri-ciri wanita Islam berdasarkan kisah dalam al-Quran, surah at-Tahrim.

Khulasohnya ialah, walaupun sudah menjadi guru, kerja-kerja menambah ilmu mesti diteruskan. Menerusi ilmu barulah amalan bermanfaat ditambah dengan keikhlasan. Dengan ilmu dan amalan yang ikhlas, semoga mereka menjadi wanita yang muslimat, mukminat, qanitat, taa’ibat, ‘abidat dan saa’ihaat. Semoga semuanya bermanfaat.

Di Dewan Sa’adah Wisma MUIS Kota Kinabalu siang tadi, seramai 253 murid berumur 6 tahun telah menerima sijil konvokesyen dan tamat belajar dalam satu Majlis Konvokesyen Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Pantai Barat Sabah bagi sesi 1432H/2011M. Mereka adalah murid-murid daripada 16 buah PASTI yang terdapat di sekitar Kota Kinabalu, Sepanggar dan Putatan.

Sementara itu, dua murid terbaik diisytiharkan sebagai penerima anugerah Tokoh Ibnu Sina. Aisyah Mahfuzah Bt Bachotang (5 tahun) daripada PASTI al-Amal Likas dan Nur Nassahel Hassan (6 tahun) daripada PASTI Nurul Hasanah Bukit Padang. Selain itu, murid-murid cemerlang dan mendapat tempat pertama hingga ketiga yang berumur 5 tahun juga menerima hadiah masing-masing dalam majlis berkenaan.

Majlis juga dimeriahkan dengan beberapa persembahan murid-murid seperti tilawah al-Quran, nasyid, praktikal pembelajaran al-Quran teknik al-Baghdadi, cabutan tiket bertuah dan sebagainya. Ketua Penerangan PAS Sabah, Hishamuddin Sulaiman hadir merasmikan dan seterusnya menyampaikan sijil konvokesyen berkenaan yang turut dihadiri tidak kurang 500 orang tetamu termasuk ibu bapa, keluarga murid dan tetamu undangan yang lain.

Alhamdulillah, kami sekeluarga hadir bagi memberi sokongan kepada dua orang anak yang tampil ke pentas kali ini. Hana Sumayyah, 6 tahun – anak kedua kami menamatkan pengajian di PASTI al-Fathonah Pasir Putih Putatan menerima sijil konvokesyen dan hadiah tempat pertama di PASTInya. Seorang lagi, Abdul Hadi turut menerima hadiah tempat kedua dari PASTI yang sama untuk kelas murid 5 tahun. Sehingga kini, 3 orang anak-anak kami menuntut di PASTI dan insya Allah seorang lagi akan memasuki institusi yang sama tahun hadapan.

BERSAMA GURU PASTI SEPANGGAR & PUTATAN

“Sesungguhnya Allah, malaikatnya sehinggalah semut di dalam lubang dan ikan di laut sentiasa berdoa bagi sesiapa yang mengajar perkara yang baik kepada manusia”

Rasanya ini penampilan pertama dalam program khusus bersama guru-guru Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) kawasan Sepanggar dan Putatan walaupun sebahagian daripada mereka memang saya kenali. Saya berbesar hati dapat menyumbang sedikit idea dalam pertemuan bersama 30 guru-guru dan juga muslimat lain yang hadir.

Dengan tajuk ‘Semangat baru pendidik anak-anak PASTI’, saya membentangkan beberapa buah hadith Rasulullah SAW berkaitan dengan keutamaan mereka yang mengajar kebaikan kepada orang lain. Selain mengajar, guru PASTI juga berperanan sebagai muaddibah, musaddidah, mujaddidah, muwahhidah, sekaligus mujahidah.

Alhamdulillah ceramah di PASTI Taman Kingfisher berakhir pada jam 11 malam dan saya gembira dapat bersama-sama berkongsi pandangan dan pendapat bersama mereka. Jika ada lagi, saya bersedia membantu. Selamat bertugas kepada para guru.

%d bloggers like this: