Tag Archive: PASTI al-Fathonah


HARI PERTAMA

Awalnya saya menyangka hari pertama persekolahan adalah hari selasa setelah hari isnin adalah cuti ganti kepada cuti tahun baru 2012 pada ahad. Maka kelam kabutlah saya memerintahkan anak-anak yang bersekolah agar tidur awal. Ada dua orang sekolah di PASTI dan dua orang lagi di sekolah rendah. Hmm.. sudah empat orang rupanya.

Pagi selasa, anak-anak bangun awal tapi relaks saja sambil tengok tv. Rupanya sesi persekolahan hanya bermula pada hari rabu. Patutlah anak-anak relaks semacam saja. Bapanya saja yang lebih. Barangkali terlebih semangat. Kononnya sudah bersedia untuk keadaan sibuk sejak pagi apabila hari persekolahan menjelang seperti sebelum ini.

Hari rabu menjelma.

Kami berbagi tugas. Isteri bersama pak mertua menghantar Nuha dan Hana di SK Kem Lok Kawi. Nuha masuk darjah 3 dan Hana baru darjah 1. Sebelum cuti tempoh hari saya sudah melihat nama Hana ‘naik’ di papan kenyataan sekolah. Tapi pada hari pendaftaran semalam, namanya tidak disebut sehingga ke akhir majlis. Rupanya guru terlepas pandang dan tercicir, tapi akhirnya dapat diselesaikan dengan baik. Pulang sekolah anak-anak terutama Hana seronok bercerita tentang sekolah barunya.

Saya pula ke Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) al-Fathonah di Taman Pasir Putih Putatan membawa Abdul Hadi dan Lu’lu’ Badriyyah. Abdul Hadi akan berada di tahun terakhir tahun ini untuk umur 6 tahun dan Lu’lu’ baru masuk untuk kelas umur 4 tahun. Seronok melihat Lu’lu’ terutamanya yang relaks saja di PASTI dan tidak menangis langsung (bukan macam bapanya dulu-dulu, hehehe).

Alhamdulillah, saat saya mendaftarkan Abdul Hadi dan Lu’lu’ jumlah murid-murid sudah mencapai angka 29 orang dan saya menjangka ia akan bertambah nanti. Sepanjang pengetahuan saya, jumlah ini tidak pernah dicapai sejak ia bermula sebagai PASTI Nur al-Fathonah di Taman Union Putatan sejak 2007 sebelum berpindah ke Taman Pasir Putih pula. Ia bermula dengan 6 orang murid, dengan situasi yang tidak stabil dan bertahan sehingga tahun keenam tahun ini.

Dengan murid tahun ini mencapai atau lebih 30 orang, insya Allah gurunya akan bertambah kepada tiga orang untuk memberi tumpuan kepada 3 kelas, mengikut umur 4, 5 dan 6 tahun. Tahniah kepada ibu bapa yang memilih PASTI sebagai tempat anak-anak mereka mendapat ilmu asas Islam dan kehidupan.

HANA, 6 TAHUN

Seperti yang kami lakukan untuk kakaknya pada tahun 2009, kali ini tahun 2011 kami mengadakan sedikit sambutan ulangtahun Hana Sumayyah di Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) al-Fathonah Taman Pasir Putih Putatan. Tahun ini adalah tahun ketiga dan terakhir buat Hana di PASTI sebelum melangkah ke tahun 1 pada tahun 2012.

Dua orang gurunya, Cikgu Hasmawati dan Cikgu Mersum adalah guru baru di PASTI al-Fathonah yang proaktif tetapi ini pertama kali mereka saya pinta mengadakan majlis ini bersama-sama mereka. Saya galakkan mereka mengadakan majlis seumpama ini untuk meraikan hari kelahiran sesama anak-anak PASTI khususnya bagi yang berada pada tahun terakhir.

SERAGAM BARU

Semangat awal minggu anak-anak hendak ke Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) kerana hendak menggayakan pakain seragam baru PASTI. Sejak melihat seragam baru ini, itu sajalah yang berulang disembangkan Hana dan Hadi. Cantik juga sebenarnya rekaan seragam terbaru ini.

Awal pagi lagi Hana dan Hadi menggayakan pakaian seragam mereka di hadapan saya. Namun yang penting mudah-mudahan mereka semakin bersemangat belajar di PASTI al-Fathonah.

MINGGU PERTAMA

Alhamdulillah tiga orang anak memulakan minggu pertama persekolahan dengan baik. Tahun berubah, umur meningkat dan insya Allah kualiti dan prestasi diharap semakin baik untuk anak-anak. Saya mengambil sedikit waktu sebelah pagi isnin untuk bersama mereka, menghantar dan melihat kelas-kelas mereka sebelum bergerak ke pejabat.

Nuha yang bersekolah di SK Kem Lok Kawi dalam darjah dua, mulai tahun ini berada di sesi pagi setelah pihak sekolah mengadakan sekolah satu sesi untuk semua pelajar tahun  satu hingga enam. Tahun lalu dia bersekolah agama pada sebelah pagi di Sekolah Agama Kem Lok Kawi dan SK Kem Lok Kawi pada sebelah petang.

Oleh kerana sekolah kebangsaan sudah di sebelah pagi, Nuha kembali bersekolah agama di Pusat Pendidikan Islam an-Nur Taman Austral pada sebelah petang dalam darjah tiga. Bukan sekali dia merungut dan minta pindah sekolah kerana tidak tahan perangai kawan-kawannya di sekolah agama dalam darjah dua pada tahun lalu yang selalu menyindir dan memulaukannya hanya kerana dia baru berumur 7 tahun dan dianggap budak (kononnya!).

Hana dan Hadi meneruskan pra sekolahnya di Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) al-Fathonah Taman Pasir Putih Putatan. Hana dalam kelas umur 6 tahun dan Hadi dalam kelas umur 5 tahun. Mudah-mudahan prestasi Hana khususnya tahun ini melonjak sebelum meninggalkan PASTI dan melangkah ke alam persekolahan sebenar tahun hadapan. Pada sebelah petang, Hana tahun ini mula bersekolah agama darjah satu di PPI an-Nur Taman Austral juga.

Secara umum, prestasi anak-anak pada semester kedua tahun lalu di sekolah masing-masing sedikit merosot. Barangkali faktor kelalaian kami sebagai ibu bapa sedikit sebanyak turut menyumbang prestasi akademik mereka. Namun untuk pengajian agama mereka, ada sesuatu yang saya sasarkan khususnya tentang pengajian al-Quran mereka tahun ini. Saya berharap Nuha akan khatam tahun ini, Hana akan memulakan al-Quran dalam sedikit masa (sudah iqra 6) dan Hadi memulakan iqra yang tertangguh.

Semoga diberi kekuatan.

 

%d bloggers like this: