Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/35867-pasca-muktamar-teruslah-melangkah-ke-hadapan

AHMAD HAKIMI OTHMAN | 10 Jun 2015.

MUKTAMAR PAS ke 61 telah melabuhkan tirainya pada petang sabtu 6 Jun 2015. Berakhirnya muktamar 61, bermula pula perjalanan baru gerakan Islam PAS mendepani cabaran dengan barisan kepimpinan yang baru. Cabaran pertama PAS ialah berhadapan respon dan serangan agresif parti lawan dan kawan serta rakan rakan yang kecewa dalam Pemilihan muktamar kali ini.

Serangan pasca muktamar 61 tertumpu kepada usul Dewan Ulama PAS Pusat yang diterima tanpa bahas dengan cadangan kepada Majlis Syura Ulamak PAS supaya menimbang untuk memutuskan tahaluf Siyasi dengan DAP di samping memperkukuhkan Pakatan Rakyat bersama PKR.

Usul ini, pastinya menerima reaksi agresif DAP yang seolah olah lupa akan tindakan mereka dalam 2-3 bulan yang lepas yang CEC DAP memutuskan hubungan dengan Presiden PAS dan sayap dan beberapa DAP Negeri juga memutuskan hubungan dengan PAS.

Turut membelasah PAS ialah tokoh tokoh yang sebelum ini berbeza pendekatan dan pendapat dengan Presiden PAS yang menggunakan media media lain seperti Malaysiakini, The Malaysia Insider dan juga roketkini untuk melepaskan geram terhadap kekalahan dalam perebutan jawatan dalam muktamar yang lalu.

Apa Seharusnya PAS lakukan?

PAS yang dipimpin dengan barisan baru yang teguh di belakang kepimpinan seharusnya melangkah gagah ke depan tanpa menghiraukan lagi suara suara sumbang yang tidak puas hati dengan perkembangan terbaru PAS.

Kesepaduan dalam barisan baru hari ini adalah aset penting dalam mengukuhkan PAS dan perjuangan ISLAM yang menjadi dasar dan prinsipnya. Dengan keutuhan yang ada kepada pimpinan dan akar umbi yang menyeluruh di seluruh pelosok negara boleh terus digilap dengan perjuangan Islam yang dilaungkan selama ini. Perjuangan meletakkan Islam sebagai Penyelesaian kepada masalah dunia hari ini tidak boleh lagi diganggu gugat dari dalam.

Masalah negara yang berpunca dari tadbir urus Umno dan BN sebelum ini perlu diambil kira oleh PAS untuk menyediakan penyelesaian alternatif secara Islam. PAS boleh mula mengorak langkah dengan mengukuhkan dakwah Islam dan Mukjizat al-Quran tatkala PAS hari ini menjadi tumpuan media dengan pelbagai tuduhan dan cerita palsu.

Kita boleh lihat daripada perspektif yang pernah dilalui oleh Nabi Muhammad SAW di Mekah. Ketika Nabi dituduh sebagai orang gila, ahli sihir dan tidak siuman. Tuduhan-tuduhan itu menyebabkan Nabi Muhammad SAW menjadi tanda tanya bagi orang yang mempunyai mata hati yang cerah dan jernih dalam mencari kebenaran.

Reputasi melalui propaganda buruk itu bertukar kepada tumpuan bijak pandai mendapat cerita sebenar dari Muhammad bin Abdullah SAW. Apa yang Nabi terangkan tidak lain hanyalah Penyelesaian ALLAH iaitu wahyu AL Quran sebagai panduan penyelesaian masalah Umat dunia waktu itu yang mengalami keruntuhan moral dan nilai nilai kemanusiaan.

Maka, mengambil iktibar ini, PAS tidak boleh berhenti mengutarakan Quran dan Sunnah Rasulullah SAW sebagai penyelesaian. Kesepaduan di bawah Kepimpinan Ulama yang dipimpin Majlis Syura Ulamak mendapat sinar dengan kepimpinan Baru pasca muktamar ke 61.

DAP, PASMA dan Pakatan Baru Politik?

Perkembangan serangan DAP dan desas desus parti orientasi Islam baru yang mungkin ditubuhkan dalam sedikit masa tidak akan memberi kesan besar kepada Perjuangan PAS. Reputasi DAP yang bertalu talu menyerang PAS sehingga keluar dari norma norma demokrasi menyebabkan ketakutan kepada sebahagian rakyat yang tidak suka kepada tindakan agresif dan dolak dalik.

Mereka yang berasosiasi dengan Politik DAP dalam waktu terdekat ini akan menerima tempias buruk kerana tindakan DAP mutaakhir ini. Bahkan penubuhan parti Politik baru pula pasti akan mengulangi sejarah Hamim, Berjasa dan S46 yang sudah berkubur ditelan zaman.

Layanan PAS kepada DAP dan rakan rakan yang lain boleh diteruskan dengan cara yang lain. PAS masih boleh lagi menghormati pimpinan yang senyap dan menghormati PAS. DAP bukan lawan PAS dalam medan pilihan raya. Lawan PAS dalam pilihan raya adalah Umno dan BN. Manakala DAP berhadapan dengan GERAKAN, MCA, PPP, MIC dan lain lain.

DAP terpaksa berhadapan dengan banyak pihak dalam pertembungan pilihan raya, sedangkan PAS tidak begitu rugnsing, kerana cabaran yang dihadapi zaman berzaman adalah Umno/BN yang sudah difahami pendekatan dan strategi mereka.

Kesimpulan

PAS berada atas landasan yang betul dalam membawa Perjuangan Islam tanpa tergugat dengan krisis dalaman lagi. Krisis yang sebelum ini berada di dalam, sudah dikeluarkan dan berada di pinggiran. Tinggal lagi, PAS perlu memenuhi syarat Allah untuk mencapai kemenangan iaitu terus istiqamah membawa seruan Islam sebagai dasar perjuangan. – HARAKAHDAILY 10/6/2015

Penulis ialah KP DPP Kuala Selangor