Tag Archive: PAS


CABARAN DISAMBUT

Sumber : http://www.harakahdaily.net.my/index.php/presiden/42856-cabaran-disambut

TUAN GURU ABDUL HADI AWANG | 17 Oktober 2016.

SAYA membaca satu laporan berita daripada akhbar Malay Mail Online bertajuk “Interfaith group urges MPs to reject Hadi’s Bill, says will empower hudud” menyebut bahawa The Malaysian Consultative Council of Buddhism, Christianity, Hinduism, Sikhism and Taoism (MCCBCHST) menyeru ahli Parlimen Malaysia menolak RUU 355.

Bagi pihak umat Islam, saya terlebih dahulu mengajak semua pihak yang terlibat dengan kenyataan tersebut dan dalang yang berada di belakangnya daripada parti politik supaya kembali kepada perkara asas dalam Perlembagaan Persekutuan. Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai dalam mana-mana Bahagian Persekutuan.

Marilah kita menghargai jasa pemimpin semua kaum dan agama yang telah berjaya memasukkan perkara ini dalam Perlembagaan Persekutuan. PAS yang tidak menyertai Perikatan (Umno, MCA dan MIC) adalah satu-satunya parti pembangkang yang telah wujud dan mempunyai hanya satu kerusi dalam Pilihan raya Umum pra kemerdekaan tahun 1955, ketika parti-parti lain khususnya dalam Pakatan Harapan belum dilahirkan di alam dunia ini.

Hudud terus menjadi senjata sejak zaman berzaman, walaupun RUU 355 bukan hukum hudud. Perkara yang tercakup dalam RUU 355 adalah bagi memperkenalkan konsep kehakiman dalam Islam.

Ya! Semua undang-undang adalah wajib melalui proses kehakiman yang adil termasuk hudud. Adakah mereka fahami bahawa Islam ini adalah agama kelam kabut yang tidak ada sistem kehakimannya, maka penganut Islam bergantung kepada tunjuk ajar warisan penjajah semata-mata?

Undang-undang Islam merangkumi seluruh kehidupan manusia daripada sudut individu, keluarga, kemasyarakatan, negara sehinggalah antarabangsa. Maka tidak adil terhadap Islam, kalau hukuman hudud terus sahaja dipotong tangan, seolah-olah hukum Islam termasuk hukum keluarga tidak perlu kepada proses kehakiman yang adil (mahkamah).

Adalah menjadi hak kepada umat Islam untuk beramal dengan agamanya sendiri tanpa gangguan daripada pihak agama lain yang kita juga menghormati kedudukan mereka untuk bebas beramal dengan agama mereka di bumi Malaysia ini.

RUU 355

Pada masa sekarang, bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah adalah sangat terbatas. Mengikut Perlembagaan Persekutuan, Mahkamah Syariah adalah mempunyai bidang kuasa mengenai kesalahan-kesalahan setakat yang diberi oleh undang-undang Persekutuan. Mengikut Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atauSyariah Courts (Criminal Jurisdiction) Act 1965, Mahkamah Syariah hanya diberi bidang kuasa mengenai kesalahan yang boleh dihukum dengan denda tidak lebih RM1,000 dan penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

Bidang kuasa itu telah ditambah pada tahun 1984 dengan pindaan kepada akta itu dan Mahkamah Syariah diberi bidang kuasa mengenai kesalahan yang boleh dihukum dengan penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau rotan tidak lebih enam sebatan atau gabungan hukuman itu. Bidang kuasa ini masih rendah dari bidang kuasa Majistret Kelas Pertama yang biasanya boleh membicarakan kes yang boleh dihukum dengan penjara sepuluh tahun dan boleh menjatuhkan hukuman lima tahun penjara atau denda RM10,000 atau sebat dua belas kali atau gabungannya.

Satu lagi pindaan yang dibuat kepada Perlembagaan Persekutuan melalui Akta Perlembagaan (Pindaan) 1988 ialah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan. Dengan pindaan itu, dalam hal penangkapan bagi sesuatu kesalahan yang boleh dibicarakan oleh Mahkamah Syariah, sebutan-sebutan dalam fasal itu mengenai seorang Majistret hendaklah ditafsirkan sebagai termasuk sebutan-sebutan mengenai seorang hakim Mahkamah Syariah.

Oleh kerana itu jika seorang ditangkap bagi kesalahan yang boleh dibicarakan oleh Mahkamah Syariah dan ia tidak dilepaskan orang itu hendaklah dibawa ke hadapan seorang hakim syariah dengan segera, sekiranya tiada apa-apa sebab yang berpatutan, walau bagaimanapun dalam tempoh dua puluh empat jam (tidak termasuk masa perjalanan yang perlu) dan orang itu tidak boleh ditahan selanjutnya dengan tiada kuasa hakim syariah itu. Sekurang-kurangnya pindaan itu telah menyamakan kuasa hakim Mahkamah Syariah dalam perkara itu dengan kuasa Majistret.

Tegasnya, RUU 355 adalah hak bagi penganut Islam sahaja. Maka saya menyeru supaya umat Islam bersabar dengan agama mereka berpandukan al-Quran (kitab suci yang mereka imani), Sunnah (amalan Nabi Muhammad S.A.W mengikut al-Quran), termasuk dalam hubungan masyarakat majmuk di Malaysia kerana konsepnya yang kekal.

Walaupun kewujudan masyarakat majmuk di sini adalah ciptaan penjajah mengikut acuannya bagi agenda pecah dan perintah, namun al-Quran lebih mendahului petunjuk bermasyarakat majmuk dengan adil dan bersaudara di atas konsep kemanusiaan sejagat. Firman Allah SWT:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ (سورة الحجرات: 13)

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)”. (Surah Al-Hujurat: ayat 13)

Kita diwajibkan berpegang kepada konsep tiada paksaan dalam beragama. Dalam masa yang sama, Islam memerintah penganutnya supaya berdialog dengan dengan cara terbaik, khususnya bersama penganut yang mempunyai kitab suci. Firman Allah SWT:

وَلَا تُجَٰدِلُوٓاْ أَهۡلَ ٱلۡكِتَٰبِ إِلَّا بِٱلَّتِي هِيَ أَحۡسَنُ إِلَّا ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ مِنۡهُمۡۖ وَقُولُوٓاْ ءَامَنَّا بِٱلَّذِيٓ أُنزِلَ إِلَيۡنَا وَأُنزِلَ إِلَيۡكُمۡ وَإِلَٰهُنَا وَإِلَٰهُكُمۡ وَٰحِدٞ وَنَحۡنُ لَهُۥ مُسۡلِمُونَ (سورة العنكبوت: 46)

“Dan janganlah kamu berbahas dengan Ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka dan katakanlah (kepada mereka): Kami beriman kepada (al-Quran) yang diturunkan kepada kami dan kepada (Kitab) yang diturunkan kepada kamu dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah Satu dan kepadaNyalah, kami patuh dengan berserah diri.” (Surah Al-Ankabut: ayat 46)

Demi melihat kepada penyelesaian terhadap gejala jenayah dan keruntuhan akhlak yang melanda dunia, termasuk negara kita Malaysia yang tercinta ini, maka saya mengajak kumpulan berbagai agama itu supaya kembali kepada kitab suci agama masing-masing, supaya mengambil sudut undang-undang yang ada di dalamnya dan mengkaji perbandingan dengan undang-undang Islam termasuk hudud dan perbandingannya dengan undang-undang warisan penjajah yang tidak ada dalam kitab suci semua agama. Sila tunjukkan kepada kami.

Kami mengajak pihak lain supaya melihat Islam secara langsung daripada sumber kitab suci al-Quran secara budaya ilmu yang bijak dan sihat. Bukannya budaya ISIS dan Daesh berhujahkan senjata tanpa ilmu seperti yang dipaparkan oleh Barat dan medianya yang merancang terhadap Islam dan penganutnya yang dizalimi.

Jangan zalimi Islam dan penganutnya sehingga melangkah sempadan.

“Inilah Penyelesaian Kita”

ABDUL HADI AWANG 
Presiden PAS
16 Muharam 1438 / 17 Oktober 2016 – HARAKAHDAILY 17/10/2016

PAS DAN POLITIK

Sumber : http://www.harakahdaily.net.my/index.php/kesatuan-fikrah/42695-pas-dan-politik

TUAN IBRAHIM TUAN MAN | 03 Oktober 2016.

Semua pihak perlu ketepikan sentimen melulu.

Apakah bentuk generasi yang kita impikan bagi negara ini?

Gunakan akal yang dikurniakan oleh Allah bagi mengkaji dan mendalami Islam secara ikhlas dan jujur, insya Allah kita akan memperolehi hakikat kebenaran dan dasar yang adil untuk semua pihak.

Kebencian yang ditanam oleh musuh Islam sejak turun temurun telah gagal mengemukakan suatu dasar dan sistem yang terbaik bagi manusia.

Kegagalan sistem ekonomi kapitalis dan liberal sosialis mengakibatkan lahir manusia yang rakus dan tamak menggunakan peluang dan kekayaan yang dimiliki bagi membolot kekayaan negara dan membiaknya amalan rasuah, salahguna kuasa, penipuan dan pelbagai penyelewengan yang kini sebati di dalam sistem kehidupan manusia.

Sistem ini telah mewujudkan golongan tidak berkemampuan yang jauh ketinggalan di belakang sehingga wujudnya jurang yang terlalu besar antara golongan kaya dan miskin.

Bukan itu sahaja, wujud satu pihak lain yang memperjuangkan hak dan persamaan taraf dengan melampau sehingga mencabut nilai asas manusia. Perjuangan ini telah merosakkan nilai kemasyarakatan dan peradaban manusia, sehingga lahir golongan tanpa segan silu menuntut perkahwinan sejenis.

Manusia tidak boleh dibiarkan bertindak dengan bebas sehingga menganggap dirinya sebagai Tuhan yang boleh melakukan apa sahaja sehingga tiada pertimbangan hukum halal haram, dosa dan pahala; apatah lagi untuk memikirkan kehidupan selepas kematian yang menjadi teras dan roh bagi agama.

Sebab itu, Presiden PAS menggesa agar semua pihak kembali kepada prinsip Islam kerana sifatnya yang lengkap dan sempurna. Kerana sistem Islam datangnya dari Allah pencipta manusia dan alam seluruhnya. Tidak mungkin ada suatu sistem dan peraturan yang lebih hebat dari ciptaan Allah. Yang mencipta  sistem yang tempang dan menganggapnya agung dan sempurna ialah manusia.

PAS diminta menyokong pelbagai gerakan dan program pihak lain, namun apabila tiba soal perjuangan Islam yang dipelopori PAS, ada di kalangan mereka bukan sekadar bersetuju untuk tidak setuju, malah menjadi penentang dan menggerakkan penentangan kepada apa yang PAS perjuangkan.

Tiada parti yang mungkin akan bersama dengan pihak yang hanya ingin mengambil kesempatan dengan apa yang dimiliki oleh parti tersebut. PAS tidak berkecuali dalam hal ini sebagaimana yang ditegaskan oleh Presiden PAS bahawa PAS tidak akan bersedia menjadi anak tangga bagi pihak lain.

Sejarah lampau banyak mengajar kita betapa gerakan Islam yang menjadi penggerak kepada perjuangan menuntut kemerdekaan dan keadilan, serta menjadi mangsa kepada kezaliman pimpinan namun hasilnya dinikmati oleh  pihak lain.

Cukuplah gerakan Islam menjadi alat bagi mencapai hasrat golongan sekular untuk mencapai hasrat mereka dan bilamana mereka berjaya Islam akan terus ditekan dan terus menjadi mangsa.

Seperti bisnes, di dalam politik juga ada pertimbangan untung rugi terhadap apa yang dianggap bernilai bagi parti masing-masing.

Bagi PAS, Islam berada di kedudukan tertinggi. Oleh itu, PAS sudah tentu menyokong apa yang menguntungkan dan selaras dengan perjuangan Islam yang menjadi dasar PAS.

Ada masanya, PAS hanya memberikan sokongan moral kepada agenda bersama yang dipersetujui PAS, akan tetapi tidak menyertai program untuk mengelak pihak lain mengambil kesempatan terhadap apa yang ada pada parti demi matlamat lain yang tidak selaras dengan matlamat PAS.

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Timbalan Presiden PAS
3 Okt 2016
Makatul Mukarramah – HARAKAHDAILY 3/10/2016

Sumber :

TUAN GURU ABDUL HADI AWANG | 12 Oktober 2016.

SELURUH dunia termasuk rakyat Malaysia yang tidak ada musim bernama ‘spring’ juga berminat dengannya. Musim yang dibandingkan dengan perkembangan politik dunia Arab yang diharapkan berbuah yang lazat dan menyegarkan, tiba-tiba buahnya berulat dan beracun, membunuh mangsanya lebih dahsyat daripada wabak penyakit biasa yang meragut mangsanya tanpa batas. Banyak darah yang mengalir, korban yang gugur, menjadi pelarian melarikan diri dan yang menunggu giliran.

Sebenarnya peristiwa seperti ini pernah berlaku di awal abad yang lalu, mereka namakan Revolusi Agung Bangsa Arab pada tahun 1916. Kini telah berlalu seratus tahun peristiwanya. Apakah iktibarnya?

Revolusi Arab Spring yang pertama berlaku apabila Syarif Husain, Raja Wilayah  Hijaz (Mekah, Madinah, Ta’if, Jeddah dan sekitarnya) dibawah Khilafah Uthmaniyyah  memulakan tembakan pertama di Mekah sebelum subuh pada tanggal 9 Syaaban 1334H bersamaan 2 Jun 1916, mengisytiharkanThaurah ‘Arabiyyah Kubra (Revolusi Agung Bangsa Arab) terhadap kerajaan Turki Uthmaniyyah yang berlaku zalim kerana mengalami kelemahan di era keuzurannya menyertai Perang Dunia Pertama dan dikepung oleh Eropah dan Rusia.

Revolusi dicetuskan dengan penuh semangat bersama dukungan negara musuh yang diketuai British menyokong supaya Arab diselamatkan daripada Turki dan menukar Khalifah Islam kepada bangsa Arab, dan calonnya ialah Syarif Husain yang berpusat di Mekah (dikira pilihan yang dapat menarik Islam dan Arab). Golongan Nasionalis Arab dan kumpulan Islam yang buta politik menyokong dengan penuh semangat bersama senjata yang dibekalkan daripada negara yang sedang berperang menentang Turki Uthmaniyyah di Eropah, seterusnya dihantar penasihat mereka seperti Lawrence dan lain-lain.

Akhinya gerakan ini berjaya menjatuhkan Khilafah Turki Uthmaniyyah. Tiba-tiba, Raja  Abdul Aziz Ibnu  Saud bersama gerakan Wahabinya (Salafi) akhirnya sekadar menjadi raja negara baru yang dinamakan Arab Saudi setelah berjaya menggulingkan Ibnu Rasyid, pemerintah Riyadh yang bernaung dibawah Khilafah Uthmaniyyah yang tidak bermazhab Wahabi. Seterusnya, Syarif Husain dan anak-anaknya dihalau oleh Ibnu Saud daripada negara Hijaz yang dihapuskan, kerana pihak British yang diharapkannya tidak membantunya lagi bagi menentang Ibnu Saud walaupun dia mencabar menarik diri daripada menjadi calon Khalifah yang dijanjikan sokongannya. Lalu putera-putera Syarif Husain didokong menjadi raja-raja. Putera Faisal dilantik menjadi Raja Syria dan Putera Abdullah menjadi Raja Iraq.

Apabila pihak Perancis yang mendapat bahagian Syria dan Lubnan dalam Perjanjian Sykes-Picot menolaknya, maka Faisal dipindah menjadi Raja Iraq, lalu dibentuk negara baru bernama Jordan bagi dilantik Abdullah bin Syarif Husin menjadi rajanya dengan mengambil sebahagian daripada Syria dan Tebing Barat.

Adapun Israel wajib diwujudkan mengikut Perjanjian Balfour yang berasingan daripada Arab. Pemimpin-pemimpin lain yang bersama menentang Uthmaniyyah mendapat bahagian masing-masing. Syiah Iran diperkasakan Syahnya menjadi Syahan Syah negara Iran, Yaman diteruskan Imam (raja) daripada kalangan Syiah Zaidiyyah. Agendanya ialah negara yang bersatu kepada berbagai negara qabilah, mazhab dan ideologi yang menjadi bom jangka meneruskan pecah dan perintah.

Adapun Arab Spring mutakhir terkini bermula di akhir tahun 2010, apabila pemuda bernama Mohamed Bouazizi di Tunisia membakar diri kerana menganggur. Akhirnya mencetuskan kebangkitan Arab menentang diktator di negara masing-masing di atas nama demokrasi dan pilihan raya bersih, menentang penyelewengan rasuah dan lain-lain, dengan sokongan daripada negara-negara besar yang mendokongnya. Arab Spring berakhir dengan kejatuhan Presiden Tunisia, Mesir, Libya dan Yaman, seterusnya terbakar di Syria dan huru-hara dikebanyakan negara Arab.

Muhasabah yang bijak, ikhlas dan adil hendaklah difikirkan, mengapa gelombang boleh berlaku seperti berulang dengan natijah yang memusnahkan dan boleh menenggelamkan mangsanya ke dalam bumi sejarah. Contoh masih paling panas ialah Syria yang menjadi medan perlumbaan paling sengit dalam kalangan kuasa besar perlu difahami.

Adakah negara Barat yang mahu menjatuhkan Basyar Asad itu sangat ikhlas bersama kumpulan Islam yang sedang bersemangat mengisytiharkan jihad di bumi Syria sangat ikhlas membantu jihadnya?

Begitu juga negara yang membantu sengitnya peperangan, ditambah pula dengan Yaman, adakah kerana kerana Sunni dan Syiahnya atau demokrasi dan adilnya?

Sebenarnya negara yang berusaha menjatuhkan Basyar Asad juga tidak akan memberi kemenangan kepada Islam yang dikira dapat menegakkan negara Islam yang sebenar, mengembalikan negara Islam yang berdaulat dan adil serta menjadi ancaman kepada mereka, khususnya Zionis-Israel yang menguasai politik negara kuasa besar, lebih khususnya Amerika dan sekutunya yang bernafsu menjadi kuasa besar tunggal. Israel juga bercita-cita menjadi pusat kuasa besar dunia selepasnya. Semua calon ketua negara tersebut, terkini di US berlumba untuk mendapat sokongan Zionis dalam setiap pilihan raya umum.

Maka negara Arab yang gelombang Arab Springnya berjaya menjatuhkan kerajaan masing-masing, menjadikannya lebih huru-hara daripada kezaliman kerajaan sebelumnya serta mengalami kesukaran huru-hara politik, keselamatan dan seluruh kehidupan yang lebih parah sehingga memaksa yang dapat berlari terpaksa melarikan diri menjadi pelarian yang hina, meninggalkan negara yang kaya hasil buminya, menjadi peminta sedekah di negara lain, sehingga negara Arab sendiri tidak menerima sahabat seagama dan sebangsa dengan mereka. Atau yang berada di dalam tanah airnya pula berperang sesama sendiri atau menunggu kematian, kelaparan dan wabak.

Hubungan kerajaan dan rakyatnya dengan negara Zionis juga menjadi ukuran menerima nasib daripada Arab Spring dan suhu kepanasannya. Mana-mana negara yang mengiktiraf negara haram Israel serta mengadakan segala hubugan di antara kerajaan dan rakyat adalah paling selamat. Taraf keduanya ialah negara yang mengadakan hubungan asmara atau hubungan secara rahsia dengan Israel juga selamat. Adapun negara yang menolak Israel atau gelombang rakyatnya menolak Israel secara terbuka, atau tidak menerima hubungan dan perjanjian damai dengan negara haram itu pasti menerima nasibnya ditumbangkan.

Iran negara jiran bukan Arab dibawah Syahan Syahnya dahulu juga menerima tempiasnya, ketika dianggap negara Islam sahabat yang akrab kerana hubungan yang semangat akrab dengan negara Israel dan Barat, maka aman tanpa ganguan dapat  menunaikan haji paling ramai jumlahnya. Ada pun Iran kini, yang dinamakan Republik Islam selepas Revolusi Islamnya dianggap musuh yang sesat bahkan ada yang menamakannya Majusi selepas memutuskan hubungan dengan Israel, serta membuat persediaan menghadapai serangan Isreal kerana mengisytiharkannya (Israel) negara haram, walaupun mengajak negara Arab dan Islam bersama menentang Israel itu. Rakyat Iran diharamkan hajinya ke Makkah, hanya layak menyertai musabaqah bacaan Al-Quran dan anggota OIC sahaja.

Kini buah yang dihasilkan daripada Arab Spring lebih meloyakan akal dan mungkin memabukkan fikiran yang waras, seterusnya boleh mematikan jati diri ummah. Banyak negara yang terlibat mencetuskan keganasan sama ada memberi kemudahan senjata, menghantar pejuang dan duit yang dibelanjakan kerana membunuh di atas nama menegakkan kebenaran. Ada yang melakukan secara terbuka, ada yang membaling batu sembunyi tangan.

Pihak media pula mencelarukan maklumat dan kefahaman dalam media baru tanpa sempadan, sama ada menyebarkan kebenaran atau pembohongan ke seluruh ufuk dunia. Lebih parah lagi, sekiranya benar maklumat yang dipetik secara rakaman bergambar adanya penglibatan Israel secara langsung memberi kemudahan bekalan dan rawatan kepada perjuangan yang dinamakan jihad. Inilah kalau dilihat daripada sudut politik.

Adapun sudut agama paling hangat, dikeluarkan fatwa daripada kalangan ulama di negara masing-masing, hujahnya ialah Mazhab Sunni yang wajib melawan Syiah dan di pihak Syiah pula wajib melawan Sunni. Ada juga yang membawa isu takfiri (mengkafirkan) kerana adanya perkara khurafat yang dikaitkan dengan aqidah atau terhadap yang tidak peduli agama pula kerana sekular ideologinya menolak Syariat Allah.

Ada pun ummah yang sudah lama tenggelam di dalam kejahilannya walaupun beramal dengan agama mengikut mazhab masing-masing atau buta agama sejak zaman penjajah, walaupun semuanya masih bersembahyang dan mengerjakan rukun Islam yang asasi, tetapi masih banyak melakukan perkara khurafat yang tidak ada dalam semua mazhab.

Semua kumpulan ini berada dalam kalangan Sunni dan Syiah, kini menjadi sasaran senjata hukum menghukum. Di sana pula ada kalangan ulama rasmi atau ulama jadian yang bangkit mendengar gendang perang Sunni dan Syiah yang dipalu oleh pemimpin kerajaan di negara masing-masing yang tidak ada mazhabnya Sunni dan Syiah. Para pemimpin itu agamanya di musim perayaan rasmi atau apabila bersama rakyat. Apabila bersama-sama syaitannya di dalam negara atau luar negara agamanya di belakang. Semuannya menjadi bahan bakar yang sedang dinyalakan.

Perbezaan Sunni dan Syiah di zaman dahulu menjadikan semuanya bersatu bersama Khulafa’ Rasyidin dan mengutuk pembunuh Umar (mertua Rasulullah S.A.W.), Uthman (menantu Rasulullah S.A.W), Ali (keluarga terdekat dan menantunya pula), Hasan dan Husain (kedua-duanya cucu Rasulullah S.A.W) Radhiyallahu ‘Anhum.

Para ulama kedua belah pihak di zaman awal selepasnya bersaudara dan bersama. Memulakan semuanya adalah para syuhada yang mulia dan bersama menentang pemerintah zalim di zaman masing-masing di era Umayyah dan Abbasiyyah. Menjadi sepakat Ulama’ Sunni dan Syiah bersedih dan mengutuk pembunuhan Husain, cucu kesayangan Rasulullah S.A.W. yang disebut Penghulu Pemuda di Syurga yang dibunuh syahid di Karbala.

Imam Abu Hanifah di penjara kerana bersama Imam Jaafar al-Sadiq. Imam Syafie diheret bersama Imam Zaid kerana menentang kezaliman khalifah zamannya, menunjukkan betapa Sunni dan Syiah boleh bersatu dengan satu Al-Quran dan satu Sunnah Rasul serta satu kiblatnya ke arah Kaabah dalam semua urusan. Barangkali, zaman terkini sudah berubah, kiblat sembahyangnya lain dan kiblat politik dan ekonominya lain pula.

Di zaman awal, walaupun adanya kecelaruan pemikiran dan ada yang merosakkan selepasnya, namun tetap hanya menjadi masalah dalaman umat Islam yang tidak menghalang dakwah Islam ke seluruh pelosok dunia. Bersatu menentang musuh bersama, melupakan perbezaan kaum dan mazhab, bahkan ada negeri yang bergilir mazhabnya, walaupun salah dan sesat, namun mereka tidak mengizinkan campur tangan pihak luar, jauh sekali menjemputnya.

Arab Spring Pertama (Revolusi Arab 1916) yang menentang kezaliman Turki, menjemput musuh menjadi tetamu yang dikatakan ikhlas menentang kezaliman, menyokong pertukaran Khalifah sehingga menerima bala tentera dan membina pengkalan. Akhirnya, melenyapkan Khilafah dan menjadikan dunia Arab berkecai walaupun tenggelam dalam kekayaan dan kemewahan di bawah bayangan Kaabah, bermakna kini genap seratus tahun pada tahun ini (2016).

Apakah Arab Spring kali kedua ini yang menentang kezaliman sesama arab akan menimbulkan apa-apa yang besar kepada dunia Islam setelah ditimpa bencana Arab Spring yang tidak menjadi dahulu?

Di Malaysia tiada musim bernama ‘spring’, yang ada hanya musim hujan dan tidak hujan. Maka jangan ciptakan musim yang tidak ada di sini. Tunggu dan beristiqamah bersama Islam, nescaya selamat, adapun tanpa Islamnya menjadi laknat.

“Inilah Penyelesaian Kita”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Tarikh: 11 Muharam 1438 / 12 Oktober 2016 – HARAKAHDAILY 12/10/2016

syura

Sumber : http://www.harakahdaily.net.my/index.php/presiden/42785-ustaz-hashim-jasin-mursyid-am-keempat

Saya ucapkan selamat bertugas kepada Ustaz Hashim Jasin kerana pelantikan beliau memegang jawatan Mursyid Am Parti Islam Se-Malaysia (PAS), bagi memenuhi keperkasaan kepimpinan ulama’ demi melaksanakan hasrat tertinggi daripada Perlembagaan PAS bahawa Islam adalah tertinggi berasaskan Al-Quran, As-Sunnah, Ijma’, Qias dan lain-lain. Mengepalai kumpulan ulama’ dan ilmuan duniawi segala lapangannya bagi memungkinkan nas dilaksanakan dengan betul dan istiqamah dengan kemampuan berijtihad dalam perkara terkini berpaksikan kesyumulan Islam.

Beliau adalah mata rantai yang masih bersambung dengan angkatan generasi awal yang menubuhkan PAS tahun 1951. Abangnya Al-Marhum Ustaz Ibrahim Yasin, pensyarah Pengajian Islam UKM merupakan salah seorang calon PAS dalam PRU 1959.

Ustaz Hashim adalah salah seorang daripada kumpulan Pelajar Asia Tenggara daripada Malaysia bersama Al-Marhum Ustaz Hasan Syukri mendapat biasiswa daripada Iraq pada masa Presiden Abdul Salam Arif yang memerintah kerajaan campuran bersama kumpulan Islam. PAS yang diberi tawaran menugaskan Al-Marhum Haji Yusof Rawa, Mursyid Am Pertama memilih pelajar daripada Malaysia. Ustaz Hashim bersama Ustaz Hasan dimasukkan dalam pilihannya. Kebetulan pula dalam kumpulan pelajar daripada Indonesia ialah Al-Marhum Abdul Rahman Wahid (Gusdor), bekas Presiden Indonesia.

Paling menarik pula ialah Ustaz Hashim berpeluang mendapat pendidikan dan tarbiyah daripada Al-Marhum Dr Abdul Karim Zaidan, salah seorang ulama besar, pemimpin Harakah Islamiyah daripada Iraq yang banyak menghasilkan buku-buku Islam dalam segala lapangannya. Saya sempat bertemu dengan Al-Marhum Dr Abdul Karim Zaidan di Yaman yang sentiasa ingatkan anak-anak didikannya di Malaysia di antaranya Ustaz Hashim Jasin.

Ustaz Hashim diberi tugas di bawah Al-Marhum Datuk Asri, Presiden PAS yang memegang jawatan menteri yang menubuhkan Felda bagi melakukan pengisian Islam ketika PAS bersama Kerajaan Campuran 1973 dan BN 1974. Ustaz Hashim terus beristiqamah menjadi mata rantai PAS yang tidak pernah terputus sehingga memberi sepenuh masa khususnya kebangkitan PAS di Perlis dan utara.

Ustaz Hashim menjadi ahli Majlis Syura sejak mula ditubuhkan, maka telah ditentukan sepatutnya oleh Majis Syura secara ijma’ supaya mengambil tugas yang terpenting ini bagi meneruskan perjalanan PAS agar sentiasa beristiqamah di atas dasar, pendekatan dan mencapai matlamat dunia dan akhirat bersama hidayah dan ilmu yang disertakan amalan pernuh berkat.

Saya doakan kesihatan beliau, kekuatan dan usia panjang bersama amal soleh yang berterusan khususnya daripada ilmu beliau yang sangat bermanfaat.

“Inilah Penyelesaian Kita”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
10 Muharam 1438 / 11 Oktober 2016 – HARAKAHDAILY 11/10/2016

bicaratentangturki-e1469433458611

Sumber : http://ulamasedunia.org/2016/10/10/penglibatan-dato-seri-tuan-guru-haji-abdul-hadi-awang-dalam-dunia-politik/

CATATAN RINGKAS, PENGLIBATAN DATO’ SERI TUAN GURU HAJI ABDUL HADI AWANG DALAM DUNIA POLITIK

Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Naib Presiden Kesatuan Ulamak Islam Sedunia (juga mesra dengan panggilan Ayah Chik) pernah ditanya oleh Wartawan;

“Apakah sejak kecil Tuan Guru minat dalam bidang politik?”

Ayah Chik menjawab;

“Kebetulan saya lahir di rumah politik. Ayah saya aktif dalam politik sejak zaman penjajah. Rumah kami menjadi persinggahan orang-orang politik seperti Dr Burhanuddin Al-Helmy, Dato’ Onn Jaafar, Tengku Abdul Rahman dan ramai lagi. Saya dan ayah saya bercakap politik sejak usia lima atau enam tahun lagi.

Terengganu adalah sebuah negeri yang menjadi pusat pengkalan tokoh-tokoh pejuang menentang penjajah seperti Haji Abdul Rahman Limbong, Dato’ Bahaman, Mat Kilau dan sebagainya. Ia menjadi pusat yang melahirkan pejuang-pejuang awal menentang kolonialisme. Malah Sultan Zainal Abidin III, adalah seorang Sultan yang juga seorang ulama, yang menentang penjajah.

Sejak kecil lagi, saya selalu membaca buku dan majalah-majalah koleksi ayah saya. Ketika itu saya telah membaca buku Ensiklopedia Politik karangan Muhammad Hanif. Buku itu tidak ada lagi di pasaran sekarang. Melalui buku itu, saya dapat tahu istilah politik, demokrasi, nasionalisme, diktator, dan pelbagai lagi istilah politik. Buku itu juga memuat tokoh-tokoh politik seperti Sukarno, Abdul Rahman Azzam, Tito, Hitler, dan sebagainya. Ia ditulis dalam tulisan jawi. Buku ini tidak ada lagi di pasaran sekarang.mungkin hanya ada dalam simpanan arkib. Muhamad hanif ini pernah jadi calon PAS di Kampung Baru.

Selain itu, saya sempat berkenalan dengan tokoh-tokoh seperti Dr Burhanuddin, Dato’ Onn, yang pernah datang ke rumah. Ini memberikan pendedahan awal kepada saya dalam bidang politik.”

Wartawan ada menanyakan soalan lagi kepada Tuan Guru;

“Sewaktu belajar di Universiti, apakah Tuan Guru terlibat juga dalam kegiatan mahasiswa?”

Ayah Chik menjawab lagi;

“Saya pernah menjadi Ketua Pelajar Malaysia Universiti Islam Madinah di samping menjadi Setiausaha Agung Gabungan Pelajar-pelajar Asia Tenggara di Madinah. Selain itu, ketika menuntut di Mesir saya pernah bersama Dr Said Hawa, Profesor Muhamad Al Wakeel serta Dr Abdul Satar Al Khudsi yang aktif dalam Ikhwanul Muslimin ketika itu. Saya juga pernah menjadi Setiausaha Seksyen Syariah dan Undang-undang Persatuan Melayu Republik Arab Mesir.”

Wartawan tersebut mengajukan lagi soalan kepada Tuan Guru;

“Setelah pulang ke tanahair, apakah Tuan Guru terus melibatkan diri dalam politik khususnya PAS?”

Ayah Chik menjawab dengan tenang;

“Sebelum ke Timur Tengah, saya mula aktif dalam Parti Islam SeMalaysia (PAS) sebagai Setiausaha Ranting PAS Kampung Rusila, Marang. Selepas pulang ke tanah air, saya dilantik menjadi Ketua Pemuda PAS Terengganu serta EXCO Dewan Pemuda PAS Pusat. Pada tahun 1977, saya dipilih menjadi Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan kemudiannya disahkan ke jawatan tersebut pada tahun 1980. Pada tahun 1989, saya terpilih menjadi Timbalan Presiden PAS dan setelah pemergian Dato’ Fadzil Mohd Noor, saya diamanahkan menjadi Presiden PAS.”

*point pada catatan ringkas ini dipetik daripada Facebook Yusuf Assidiq Ahmad Sharqawi.

img-20160921-wa0002

Sumber : http://ulamasedunia.org/2016/09/21/tokoh-azhari-yang-mesti-kita-contohi/

TOKOH AZHARI YANG MESTI KITA CONTOHI

Oleh : Muhammad Abdul Rahim

Kepada para Azhari (khususnya) dan semua ilmuan yang cintakan perjuangan menegakkan syariat Islam. Ini antara tokoh-tokoh Azhari yang perlu kita contohi. Keilmuan mereka tinggi dan amat disegani. Mereka istiqamah membimbing dan membela hak ummah serta mencegah kezaliman:

[1] Al-Marhum Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat

M.A. Universiti Al-Azhar, Syariah Perundangan Islam.
B.A. Universiti Al-Azhar, Pengajian Bahasa Arab.
[2] Al-Marhum Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din
Ph.D Universiti Darul Ulum, Syariah.
MA. Universiti Al-Azhar, Syariah.
[3] Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
M.A. Universiti Al-Azhar, Siyasah Syar’iyyah (Sains Politik).
B.A Universiti Islam Madinah, Syariah.

Ini contoh tokoh lepasan Azhari terdekat kita dalam konteks Malaysia. Mereka bukan Khawarij. Bukan ekstrimis. Tidak pernah berjuang secara ganas angkat senjata. Mereka istiqamah “Muwajahah Silmiyyah”. Lebih utama, mereka menyokong dan membela perjuangan Ikhwanul Muslimin !

Sumber : http://www.harakahdaily.net.my/index.php/presiden/42610-asas-penting-pendidikan-awal-anak-anak

DATUK SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG | 26 September 2016.

FIRMAN Allah: “Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami di kalangan suami isteri kami daripada zuriat keturunan kami kalangan yang menjadi pemimpin kepada orang-orang yang bertaqwa.” (al-Furqan: 74)

Marilah kita menghayati apa yang disebut oleh Rasululllah SAW,

“Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (sifat semulajadi yang sangat bersih) maka kedua ibu bapanyalah yang menjadi sebab anak-anak itu menjadi Yahudi, menjadi Kristian dan menjadi Majusi.”

Menunjukkan betapa Allah SWT menjadikan makhluk manusia dalam keadaan bersih, suci dengan sifat semulajadi ciptaan Allah SWT mempunyai jasad yang mulia, mempunyai roh dan akal fikiran. Itulah asal kejadian manusia sehingga mereka dipilih oleh Allah berada di atas muka bumi. Namun mestilah manusia itu dibentuk mengikut acuan penciptanya Allah SWT.

Untuk membentuk manusia, bukan seperti menternak haiwan, bukan seperti menjaga pokok mendirikan bangunan, hendaklah dita’lim, diberi ilmu, ditarbiyyah dan dididik bukan sahaja untuk mengisi jasad dengan makanan-makanan yang berbeza daripada baja pohon, makanan binatang ternakan, makanan yang halal, yang diizinkan oleh Allah SWT, tepat dengan kejadian mereka.

Yang terpentingnya ialah makanan akal dan roh mereka untuk menjadi seorang manusia yang benar-benar dapat melaksanakan tugas di atas muka bumi Allah SWT. Maka Allah menurunkan petunjuk-Nya melalui Rasul-Rasul AS, acuan yang khusus bagi mendidik manusia, bermula daripada permulaannya, sehingga dia meninggal dunia, adalah menjadi satu hikmat yang besar apabila kanak-kanak yang dilahirkan, ditahnik dengan air zam-zam dan buah tamar yang disebut kemuliaannya oleh Hadis Nabi SAW:

“Sesungguhnya air zam-zam itu mengikut tujuan apa diberi minum, tamar merupakan buahan yang berkat, tumbuh di bumi para anbiya’.”

Maka didoakan dengan doa yang betul-betul mendapat berkat daripada tahnik itu, mengikut doanya untuk diberi roh, jasad dan diri yang baik, iman yang teguh, akhlak yang mulia, ilmu yang memberi manfaat, menjadi satu hikmat yang besar mengapa anak-anak yang dilahirkan itu disunatkan azan pada telinganya. Walaupun riwayat hadisnya dikatakan dhoif, tetapi menjadi amalan yang masyhur di kalangan para ulamak. Yang penting bukan sanad riwayat itu, tetapi laungan suara azan itu, yang terpenting ialah ucapan dua kalimah syahadah sehingga meninggal dunia pun disuruh.

Apa makna anak-anak dan bayi dilahirkan itu diucapkan dua kalimah syahadah yang penuh dengan keberkatan, menandakan di sana ada kaitan yang berbentuk diri manusia mengikut acuan Allah SWT.

Yang paling penting ialah mendidik anak itu dengan asas-asas ilmu fardhu ain, ilmu yang wajib di atas tiap-tiap orang lelaki dan perempuan yang mesti diberi sejak zaman kanak-kanak lagi. Ilmu fardhu ain tentang agama ini, yang berkait dengan aqidah, yang berkait dengan amalan, yang berkait dengan akhlak adalah asas yang penting bagi seorang manusia. Walaupun dia seorang ulama, dia seorang profesional, dia seorang rakyat, dia seorang bijak, seorang yang tidak bijak, tetapi ilmu fardhu ain adalah asas.

Menuntut ilmu wajib di atas tiap-tiap orang lelaki dan tiap-tiap orang perempuan. Dalam dunia hari ini, manusia sudah beralih kepada acuan ciptaan sendiri tanpa peduli kepada asas-asas fardhu ain untuk membentuk diri manusia ini. Maka lahirlah ulama-ulama yang jahat, pemimpin-pemimpin yang jahat, profesional-profesional yang lebih bertujuan untuk cari makan daripada menjadikan khalifah Allah di atas muka bumi Allah SWT.

Tujuan kita membuka PASTI, Pusat Asuhan Tunas ini adalah untuk menyempurnakan acuan yang asas, yang sangat penting, untuk membina jati diri anak-anak kita dengan Islam. Ini tujuannya, membina jati diri anak kita dengan acuan Allah SWT walaupun ilmunya dianggap ilmu yang kecil, yang tipis, yang rendah, tetapi adalah tunjang yang sangat penting bagi membina diri manusia. Kelebihan yang sudah pasti dicapai sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW:

“Apabila matinya seorang manusia, terputuslah amalannya melainkan tiga perkara, sumbangan harta yang kebajikannya berpanjangan, ilmu yang memberi manfaat, anak yang soleh yang mendoakan untuknya setelah meninggal dunia.”

Di mana inilah hasil yang mesti didapati daripada Pusat Latihan yang kita bina ini, yang penting ini. Menunjukkan bahawa kegiatan kita dalam alam PASTI ini satu kegiatan yang sangat penting dalam pendidikan Islam, tak boleh dianggap sebagai satu perkara yang kecil, perkara yang remeh temeh.

Saya mengalu-alukan majlis Alam Ria yang diadakan ini, bukan sahaja untuk menghiburkan anak-anak kita, menghibur dengan hiburan-hiburan, untuk menilai pencapaian mereka. Dalam masa yang sama untuk melatihkan amal jama’ie, amal berjemaah apabila dihubungkan di antara satu sama lain di seluruh negara. Anggaplah majlis ini satu majlis yang sangat penting bagi kita. Dan teruskan kerja amal yang sangat penting ini, mudah-mudahan diberkati oleh Allah, dan saya menumpang berkat sama, dalam kegiatan yang sangat penting, mudah-mudahan diberkati oleh Allah. – HARAKAHDAILY 26/9/2016

(Ucapan Perasmian Penutup Alam Ria PASTI Malaysia di Rusila, Marang, Terengganu pada 24 September baru-baru ini)

INILAH PENYELESAIANNYA

Sumber : http://www.harakahdaily.net.my/index.php/presiden/42373-inilah-penyelesaiannya

TUAN GURU ABDUL HADI AWANG | 02 September 2016.

Dunia kini mengeluh kerana dikepung dan dikongkong krisis ekonomi dan politik, manakala moral pula dianggap tidak penting. Menjadi rungutan masalah kezaliman di sana-sini, pencabulan terhadap hak asasi manusia, rasuah, pembahagian ekonomi yang tidak adil yang mencetuskan kesusahan hidup. Kekayaan berpusing dalam kalangan tertentu atau disalah guna atau diambil secara salah. Maka berlaku kebocoran, sedangkan rakyat yang majoriti berpendapatan rendah  pula tidak saksama dengan harga barangan keperluan yang semakin meningkat.

Kerajaan pula mengambil penyelesaian dengan meningkatkan cukai atau mengadakan cukai-cukai baru, akibatnya sangat membebankan rakyat. Pada masa yang sama,  meningkat pula kadar jenayah berat yang membahayakan, seperti merompak, membunuh, mencuri, menipu dan lain-lain.

Adapun rompakan secara nyata atau mencuri secara tersembunyi oleh pihak yang dikira berkuasa  tidak dikisahkan. Masalah jenayah ringan seperti keruntuhan akhlak yang merosakkan diri dan keluarga dianggap senarai yang dikemudiankan. Oleh kerana negara kita juga berada dalam dunia, maka tidak terlepas juga daripada wabak ini. Sebabnya manusia sendiri yang melakukan kejahatan. Firman Allah:

ظَهَرَ ٱلۡفَسَادُ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ بِمَا كَسَبَتۡ أَيۡدِي ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعۡضَ ٱلَّذِي عَمِلُواْ لَعَلَّهُمۡ يَرۡجِعُونَ
(٤١-الروم)

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di lautan dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan-tangan manusia, (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Surah Ar-Rum: ayat 41)

Kebanyakan manusia tidak sedar kelemahan dirinya sebagai makhluk ciptaan Allah yang tetap punya kelemahan. Seringkali mereka tidak mengaku salah dan mendabik dada sebagai paling bijak, sehingga melupakan petunjuk Allah Pencipta Alam Yang Maha Rahmat, Bijaksana dan Adil terhadap seluruh alam.

Punca semua masalah ini ialah kerana meninggalkan petunjuk Allah yang bernama ISLAM.  Ini boleh difahami menerusi ayat Allah SWT dalam Al-Quran:

أَفَغَيۡرَ دِينِ ٱللَّهِ يَبۡغُونَ وَلَهُۥٓ أَسۡلَمَ مَن فِي ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ طَوۡعٗا وَكَرۡهٗا وَإِلَيۡهِ يُرۡجَعُون
َ ٨٣ آل عمران.

“Patutkah sesudah (mengakui dan menerima perjanjian oleh umat terdahulu kepada Rasul zamannya) mereka mencari lain daripada Deen Allah (Islam)? Padahal kepadaNyalah tunduk taat sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi, samada dengan sukarela ataupun terpaksa (mengikut sifat naluri) dan kepadaNyalah mereka dikembalikan.” (Surah Ali-Imran: ayat 83)

Puncanya kerana memisahkan jasad daripada akal dan roh, serta memisahkan aspek kemasyarakatan, berpolitik, ekonomi dan lain-lain daripada agama.  Laksana memutuskan mata rantai yang menjadikannya tidak berfungsi dengan betul, tanpa menyedari perlaksanaan cara hidupnya tidak tepat dengan sifat kejadiannya sendiri kerana terkeluar daripada petunjuk Penciptanya iaitu Allah SWT, Yang Maha Mengatahui perkara berkenaannya.

Islam berprinsipkan atas asas-asas terpentingnya iaitu, “Akidah Tauhid” dan beriman kepada “Hari Akhirat”, serta berkonsepkan “Taqwa dan Ad-Deen”.

Semuanya adalah petunjuk Allah yang dibawa oleh semua para rasul AS yang berakhir dengan rasul akhir zaman Muhammad SAW. Terbukti sejak para rasul terdahulu yang berpeluang melaksanakannya apabila diimani dan diamalkan, telah mencapai kejayaan gemilang di zaman masing-masing.

Allah mengisahkan Nabi Daud dan Sulaiman AS begitu juga Raja Zulkarnain yang berjaya bersama Islam di zaman masing-masing. Allah juga mengisahkan kemusnahan Kaum ‘Aad,  Tsamud, Babylon dan Firaun yang musnah bersama tamadun kebendaan mereka yang kaya-raya yang dibina atas jahiliyah yang penuh kejahatan dan kezaliman kerana menentang para Rasul.

Islam yang dibawa oleh rasul akhir zaman Muhammad SAW yang berasaskan empat perkara di atas. Bermula dengan pembangunan insan generasi awalnya, walau pun berada di bumi yang tidak ada sumber ekonomi namun telah berjaya bersama Islam yang berasaskan perkara-perkara tersebut,  membawa obornya dengan kejayaan  di zaman keemasan Baginda.  Tamadun yang mengumpulkan ilmu wahyu dan ilmu akal manusia yang ditapis daripada tamadun-tamadun lain yang dibina oleh pelbagai kaum dengan mengambil kebijaksanaannya sahaja dan menolak kemungkarannya. Menjadikan jasadnya  berakal, berilmu dan roh yang berhidayah, serta bersama kemajuan kebendaan yang berkat.

Tegasnya, bahawa prinsip Akidah Tauhid dan beriman kepada Hari Akhirat, serta konsep Takwa dan Ad-Deen telah berjaya memandu  manusia serta akalnya yang lemah, dapat disempurnakan dengan hidayah Allah, telah memungkinkan mereka berfungsi mengikut hikmah mereka diciptakan Allah pencipta Alam. Tujuannya ialah:

1- Beribadat
(Menjaga hubungan dengan Allah dan mematuhi petunjukNya.)

2- Berkhilafah
(Melibatkan diri dengan politik, ekonomi dan lain-lain serta urusannya)

3- Beramanah
(Melaksanakan Syariat yang sempurna.)

Akidah Tauhid dengan mengesakan Allah sahaja Tuhan yang diibadatkan kepadanya dengan jasad, roh dan akal. Ini menjadikan manusia itu tidak berlagak menjadi Tuhan apabila berkuasa memerintah negara, atau diberi nikmat kehidupan berpangkat  atau berharta. Dengan tegas menolak syirik dengan maksud yang menyeluruh, bukan sahaja diharamkan menyembah berhala atau patung,  termasuk juga makhluk yang lain, termasuk sesama manusia, dan juga tidak mengadakan undang-undang sendiri dalam perkara yang tidak diizin oleh Allah.

Maka Islam menolak diktator yang bertuhankan individu atau kelompok atau rakyat, termasuk yang bertopengkan demokrasi, kononnya suara rakyat adalah suara keramat seperti Tuhan atau teokrasi yang bertuhankan agamawan yang bertopengkan agama. Semuanya menjadikan dirinya seperti Tuhan, rakyatnya sebagai hamba. Termasuk menjadikan harta dan segala khazanah negara sebagai miliknya yang boleh diambil dengan apa-apa cara dan menggunakannya tanpa batas sempadan halal dan haram.

Akidah Islam menjadikan tidak ada manusia yang mengatasi undang-undang termasuk raja atau ketua negara sehingga mengharamkannya berlagak Tuhan. Allah berfirman di dalam Al-Quran:

مَا كَانَ لِبَشَرٍ أَن يُؤۡتِيَهُ ٱللَّهُ ٱلۡكِتَٰبَ وَٱلۡحُكۡمَ وَٱلنُّبُوَّةَ ثُمَّ يَقُولَ لِلنَّاسِ كُونُواْ عِبَادٗا لِّي مِن دُونِ ٱللَّهِ وَلَٰكِن كُونُواْ رَبَّٰنِيِّ‍ۧنَ بِمَا كُنتُمۡ تُعَلِّمُونَ ٱلۡكِتَٰبَ وَبِمَا كُنتُمۡ تَدۡرُسُون
َ ٧٩ آل عمران

“Tidaklah patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Kitab agama dan hikmah serta kenabian, kemudian dia tergamak mengatakan kepada orang ramai: Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang menyembahku dengan meninggalkan perbuatan menyembah Allah. Tetapi (sepatutnya dia berkata): Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyyin (yang hanya menyembah Allah Taala dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu dan kerana kamu selalu mempelajarinya.” (Surah Ali-Imran: ayat 79)

Firman Allah SWT lagi:

ٱتَّخَذُوٓاْ أَحۡبَارَهُمۡ وَرُهۡبَٰنَهُمۡ أَرۡبَابٗا مِّن دُونِ ٱللَّهِ وَٱلۡمَسِيحَ ٱبۡنَ مَرۡيَمَ وَمَآ أُمِرُوٓاْ إِلَّا لِيَعۡبُدُوٓاْ إِلَٰهٗا وَٰحِدٗاۖ لَّآ إِلَٰهَ إِلَّا هُوَۚ سُبۡحَٰنَهُۥ عَمَّا يُشۡرِكُون
َ ٣١   التوبة

“Mereka menjadikan pendeta-pendeta dan ahli-ahli agama mereka sebagai tuhan-tuhan  selain dari Allah dan juga (mereka mempertuhankan) Al-Masih Ibni Maryam, padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuhan Yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Maha Suci Allah dari apa yang mereka sekutukan.” (Surah Maryam: ayat 31)

Ada pun akidah beriman kepada Hari Akhirat, menjadikan semua tindak-tanduk manusia, tanpa mengira sesiapa, tetap ada perhitungan dosa dan pahala, yang menentukannya mengikut hisab amalannnya, ke syurga atau neraka setelah mati dan dihidupkan semula. Maka yang terlepas daripada dihukum di dunia kerana kedudukannya yang bijak menipu atau dapat mengatasi undang-undang kerana kuasanya, tetap percaya tidak terlepas bahawa hukuman di Hari Akhirat itu lebih berat. Allah SWT menyatakan lagi:

يَوۡمَ نَدۡعُواْ كُلَّ أُنَاسِۢ بِإِمَٰمِهِمۡۖ فَمَنۡ أُوتِيَ كِتَٰبَهُۥ بِيَمِينِهِۦ فَأُوْلَٰٓئِكَ يَقۡرَءُونَ كِتَٰبَهُمۡ وَلَا يُظۡلَمُونَ فَتِيلٗا
٧١ الإسراء

“(Ingatlah) hari Kami menyeru tiap-tiap kumpulan manusia dengan nama imamnya (suratan amal, atau nabi atau pemimpin) ; kemudian sesiapa diberikan kitabnya di tangan kanannya, maka mereka itu akan membacanya (dengan sukacita) dan mereka tidak dikurangkan (pahala amal-amalnya yang baik) sedikitpun. (Surah Al-Isra’: ayat 71)

Firman Allah SWT juga yang mesti kita fahami:

وَعُرِضُواْ عَلَىٰ رَبِّكَ صَفّٗا لَّقَدۡ جِئۡتُمُونَا كَمَا خَلَقۡنَٰكُمۡ أَوَّلَ مَرَّةِۢۚ بَلۡ زَعَمۡتُمۡ أَلَّن نَّجۡعَلَ لَكُم مَّوۡعِدٗا ٤٨ وَوُضِعَ ٱلۡكِتَٰبُ فَتَرَى ٱلۡمُجۡرِمِينَ مُشۡفِقِينَ مِمَّا فِيهِ وَيَقُولُونَ يَٰوَيۡلَتَنَا مَالِ هَٰذَا ٱلۡكِتَٰبِ لَا يُغَادِرُ صَغِيرَةٗ وَلَا كَبِيرَةً إِلَّآ أَحۡصَىٰهَاۚ وَوَجَدُواْ مَا عَمِلُواْ حَاضِرٗاۗ وَلَا يَظۡلِمُ رَبُّكَ أَحَدٗا ٤٩ الكهف

“Dan mereka tetap akan dibawa mengadap Tuhanmu dengan berbaris teratur, (sambil dikatakan kepada mereka): kamu sekarang telah datang kepada Kami (berseorangan) sebagaimana Kami telah jadikan kamu pada mulanya; bahkan kamu dahulu menyangka, bahawa Kami tidak akan menjadikan bagi kamu masa yang tertentu (untuk melaksanakan apa yang Kami telah janjikan). Dan kitab-kitab amal juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya dan mereka akan berkata: Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya) dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorang pun. (Surah Al-Kahfi: ayat 48 – 49)

Konsep takwa menggantikan kebanggaan terhadap assobiyah bangsa, kaum, jantina, warna kulit, pangkat dan harta. Takwa menjadikan manusia bermasyarakat madani secara istiqamah dan tidak boleh berlaku ketidakadilan kerana perbezaan bangsa, harta, keturunan, pangkat dan jantina. Firman  Allah SWT:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ
١٣ الحجرات

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). (Surah Al-Hujurat: ayat 13)

Konsep Ad-Deen membezakan Islam dengan agama dan ideologi kerana ajarannya yang merangkumi segala aspek kejadian serta kehidupan dan bertalian tanpa dapat diputus atau dipisahkan antara satu sama lain.

Menjadikan aspek diri, keluarga, politik, ekonomi, kemasyarakatan dan segala pengurusannya tidah terpisah dengan Akidah Tauhid, Beriman kepada Hari Akhirat , Takwa dan Deen (Islam). Firman Allah:

مَن كَانَ يُرِيدُ حَرۡثَ ٱلۡأٓخِرَةِ نَزِدۡ لَهُۥ فِي حَرۡثِهِۦۖ وَمَن كَانَ يُرِيدُ حَرۡثَ ٱلدُّنۡيَا نُؤۡتِهِۦ مِنۡهَا وَمَا لَهُۥ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ مِن نَّصِيبٍ ٢٠ أَمۡ لَهُمۡ شُرَكَٰٓؤُاْ شَرَعُواْ لَهُم مِّنَ ٱلدِّينِ مَا لَمۡ يَأۡذَنۢ بِهِ ٱللَّهُۚ وَلَوۡلَا كَلِمَةُ ٱلۡفَصۡلِ لَقُضِيَ بَيۡنَهُمۡۗ وَإِنَّ ٱلظَّٰلِمِينَ لَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٞ ٢١ الشورى

“Sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) mendapat faedah di akhirat, Kami akan memberinya mendapat tambahan pada faedah yang dikehendakinya dan sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata, Kami beri kepadanya dari kebaikan dunia itu (sekadar yang Kami tentukan) dan dia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak. Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan mana-mana bahagian dari Ad-Deen (agama dan cara hidup) mereka sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah? Dan kalaulah tidak kerana kalimah ketetapan yang menjadi pemutus (dari Allah untuk menangguhkan hukuman hingga ke suatu masa yang tertentu), tentulah dijatuhkan azab dengan serta-merta kepada mereka (yang berbuat demikian) dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Surah Syura: ayat 20-21)

Setelah selesai menegakkan negara yang berteraskan manusia yang dibina jati dirinya dengan perkara-perkara tersebut di atas, maka Rasulullah SAW mengutus surat kepada ketua-ketua kerajaan kuasa besar dan kecil dikelilingi Baginda supaya menerima tawaran penyelesaian Islam tersebut. Apabila Raja Habsyah, Oman, Bahrain dan ketua-ketua kaum menerimanya, mereka semua dikekalkan di tempat masing-masing.

Ada pun yang menolaknya diturunkan daripada jawatannya, digantikan dengan mereka yang beriman dan bertakwa bersama Islamnya dengan jati dirinya mengikut acuan Islam.

Inilah pendekatan yang wajib dilakukan oleh umatnya yang menyambung risalah yang tidak selesai ini. Tegasnya bukan menukar pemimpin, tetapi menukar jati dirinya dengan Akidah, Syariat, Akhlak dan pendekatan dengan prinsip dan konsep tersebut. Maka pemimpin wajib bertukar sekiranya berdegil dengan prinsip dan konsep yang salah demi menyelamatkan umat dan negara.

Tegakkan Islam di dalam diri selamatkan negara, tegakkan negara tanpa jati diri Islam, negara tetap tidak selamat.

“INILAH PENYELESAIAN KITA”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
30 Zulkaedah 1437 / 2 September 2016 – HARAKAHDAILY 2/9/2016

Sumber : http://www.harakahdaily.net.my/index.php/presiden/42334-perutusan-presiden-pas-sempena-hari-kemerdekaan-2016

TUAN GURU ABDUL HADI AWANG | 30 Ogos 2016.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Firman Allah SWT (maksudnya): “Dan Kami tidak mengutus kamu (wahai Muhammad), melainkan kepada umat manusia seluruhnya sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi peringatan, tetapi kebanyakan manusia tiada mengetahui” (Surah Saba’: ayat 28)

Alhamdulillah, marilah kita panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT atas nikmat kemerdekaan yang kita kecapi untuk tahun ke-59 pada tahun ini. Sambutan kemerdekaan kali ini disambut dengan pelbagai rencah warna suka duka yang melanda negara kita dan dunia keseluruhannya.

Negara kita telah melalui tempoh penjajahan yang panjang selama hampir 450 tahun di bawah pelbagai kuasa penjajah sehingga terbentuknya Malaysia pada 1963. Sepanjang tempoh ini telah menyaksikan kebangkitan pelbagai golongan rakyat menentang penjajah terutamanya ulamak.

Perjuangan tokoh-tokoh ulamak hebat mewarnai perjuangan seperti Tok Janggut, Abdul Rahman Limbong, Syed Sheikh Al-Hadi, Sheikh Tahir Jalaluddin, Dr Burhanuddin Al-Helmy, Ustaz Abu Bakar Al-Bakir, Dr Zulkifli Mohamad dan ramai lagi. Marilah kita bugarkan kembali semangat perjuangan mereka untuk mengisi kemerdekaan negara dengan acuan Islam yang menyelamatkan.

59 tahun adalah satu tempoh kemerdekaan yang panjang dan cukup untuk membangunkan sebuah negara yang maju dan disegani. Namun realitinya hari ini, negara dihambat dengan pelbagai masalah yang mencengkam rakyat seperti kos sara hidup yang membebankan, ekonomi yang lemah, keselamatan, perpaduan kaum yang semakin rapuh dan berbagai masalah lain.

Maka, pada kesempatan ini PAS ingin menawarkan penyelesaian Islam yang telah terbukti memberikan keadilan dan keamanan kepada semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama di sepanjang sejarah Tamadun Islam yang memerintah sebahagian besar dunia selama ribuan tahun.

Sempena sambutan kemerdekaan negara kali ini, saya menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersama PAS dan keadilan Islam di atas semangat ukhuwwah ke arah membina Malaysia yang lebih baik dengan petunjuk dari Allah Tuhan sekalian alam.

“Inilah Penyelesaian Kita”

ABDUL HADI AWANG
PRESIDEN PAS
27 Zulkaedah 1437 / 30 Ogos 2016 – HARAKAHDAILY 30/8/2016

Sumber : http://www.harakahdaily.net.my/index.php/lain-lain/42053-golongan-profesional-bersama-pas

IZWAN ABDUL HALIM | 04 Ogos 2016.

PASCA pemilihan Muktamar Tahunan PAS yang lalu, berlegar dakwaan bahawa tiada tempat untuk golongan profesional di dalam PAS. Ia dikatakan mengakhiri dikotomi yang kononnya wujud sejak sekian lama antara profesional dengan ulama.

Ledakan yang sengaja dipersepsi dan diapi-apikan, sedang ia bermotif mensekularkan PAS dan agenda penguasaan strategik pihak-pihak berangkara. Hakikatnya, dari awal penubuhan tahun 1951 lagi PAS telah menarik penglibatan aktif golongan profesional untuk bersama dalam perjuangan Islam.

Kini, dalam dengungan hiruk pikuk politik dan masalah negara, PAS tetap menjadi sandaran dan harapan golongan profesional. Ikuti liputan khas Wartawan Harakah, IZWAN ABDUL HALIM yang mendapatkan sisi pandangan semasa golongan profesional terhadap PAS.

Pandangan Terhadap PAS

Pensyarah Unisel, Dr Mohd Fuad Mohd Salleh berkata, secara umumnya dilihat golongan profesional agak skeptikal terhadap PAS sekarang ini, namun semakin ramai yang terlibat aktif dalam gerak kerja PAS.

“Cuma mereka tidak mahu menonjolkan diri. Saya mengenali puluhan jika pun tidak ratusan sama ada memegang jawatan ketiga dalam PAS Negeri atau Kawasan, atau jawatan-jawatan lain. Juga ramai yang menganggotai Lajnah atau Jawatankuasa yang PAS tubuhkan.

“Golongan profesional akan terus ke depan dengan momentum yang ada. Saya yakin, beberapa orang lagi akan ditonjolkan dalam muktamar akan datang untuk membuktikan kepada masyarakat bahawa PAS memangnya menghargai mereka,” ujar beliau.

Bagi jurutera awam, Ir Hamdzah Abdul Rahman, golongan profesional Islam seharusnya bersama membantu PAS untuk menyumbang kepakaran mengikut bidang masing-masing sesuai PAS sebagai wadah politik Islam.

Menurut beliau yang juga Presiden Persatuan Anak Kelantan Perantauan (Perakan) Malaysia, pengalaman di Kelantan menunjukkan PAS mempunyai masa depan yang baik.

“Selepas 25 tahun, dapat mentadbir secara gandingan mantap antara agamawan dengan profesional. Maka masa depannya baik untuk rakyat,” katanya yang pakar dalam bidang struktur.

Manakala Pakar Perunding Perubatan Bius, Datuk Dr Suhaini Kadiman menyifatkan PAS sebagai parti yang mempunyai integriti dan perlu menggerakkan pimpinan serta jenteranya untuk menguasai isu-isu nasional hingga dekat dengan jiwa rakyat majoriti, di mana mungkin ada isu-isu dibangkitkan tetapi tidak sampai kepada rakyat.

“Golongan profesional percaya dengan integriti kepimpinan sedia ada dan yakin dengan potensi PAS yang perlu digilap supaya dilihat menjuarai isu nasional dan antarabangsa. Prinsip perjuangan PAS yang jelas perlu diharmonikan dengan pendekatan yang membina dan menyeluruh ke setiap lapisan masyarakat,” ujarnya melontar pandangan.

Kini katanya, para asatizah dalam PAS lebih mudah menerima pandangan daripada golongan profesional berbanding sebelum krisis dalam parti itu.

Namun nasihatnya, perlu lebih banyak diskusi untuk meningkatkan persefahaman serta melakukan pengurusan sumber manusia mengikut bidang-bidang kepakaran yang dilihat masih lemah.

Beliau yang juga Presiden Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (Papisma) melihat PAS banyak melaksanakan agenda tapi promosi masih lemah, seperti mengadakan projek bersifat ‘one-off’ dan tidak berterusan, contohnya kempen anti polisterin.

Bagaimanapun katanya, PAS berpotensi besar untuk memimpin negara, maka pengurusan bidang profesional sangat penting.

Turut berkongsi pandangan ialah Ahli Majlis Industri Pertahanan Negara, Ahmad Amzad Hashim di mana menurutnya, PAS sejak ditubuhkan dilihat mengumpulkan pengaruh dari kalangan masyarakat kampung di luar bandar dan digerakkan oleh para ulama atau guru agama, tetapi kini menjadi parti yang menjadi pilihan lebih ramai profesional Muslim.

“Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pun pernah sebut pada 2013 bahawa lebih ramai kalangan doktor, peguam, jurutera memilih menyertai PAS berbanding Umno. Begitu juga Sultan Nazrin Muizzuddin Shah semasa memangku Sultan Perak tahun 2013 pernah menitahkan pandangan mengenai PAS.

“Dalam Majlis Wacana Perpaduan Ummah anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka, baginda menyebut PAS adalah parti yang terdiri dari ulama, profesional, teknokrat dan pelbagai kategori masyarakat yang setanding Umno, malah punya kelebihan ketinggian peribadi.

“Kongres Profesional Muslim pada 18 April 2015 di Auditorium MPAJ, Ampang yang disertai lebih 300 profesional pelbagai bidang telah membuat resolusi penting berkait halatuju dalam proses pembinaan negara yang maju, adil, aman dan harmoni, mesti menjadikan Islam sebagai asasnya,” ulas beliau yang juga Pengarah Urusan MSET Shipbuilding Corporation Sdn Bhd.

Maklumnya, lebih banyak forum profesional menyatakan dokongan terbuka kepada PAS selain sambutan positif para NGO kepada pendekatan Budaya Politik Matang Sejahtera diperkenalkan PAS.

Secara umum ujar Amzad, profesional hilang keyakinan kepada Umno dan lebih yakin kepada PAS untuk menjaga amanah kepimpinan negara pada masa hadapan.

Sementara Ketua Pegawai Eksekutif Sightech Sdn Bhd, Prof Dr Mohamad Khazani Abdullah menyatakan bahawa golongan profesional melihat kepada kemampuan PAS.

PAS menurutnya, dilihat sebagai badan yang mampu menggalas cabaran dan membawa perubahan negara di masa depan atas kosistensi dan ketegasan menjadikan Islam sebagai dasar.

Jelasnya, perbezaan pertimbangan fundamental antara PAS dengan parti lain merupakan elemen penting keyakinan profesional Islam terhadap PAS.

Perkara itu jelasnya, dapat dilihat pada integriti pentadbiran kerajaan diketuai PAS tidak terjadi kes salah laku berbanding parti lain yang terpalitskandal dan keraguan luar biasa. – HARAKAHDAILY 4/8/2016

%d bloggers like this: