Tag Archive: PAS Pahang


Sumber : http://www.harakahdaily.net.my/index.php/kesatuan-fikrah/41226-akhirnya-dia-tahu-kelebihan-markas-pas

SETENANG AIR -SIRI 5

AHLI PAS ada pelbagai kerjaya, latar belakang pendidikan dan tahap kemampuan. Dari yang miskin hingga kepada golongan jutawan, dari penoreh getah hingga kepada golongan korporat, dari golongan agama hingga golongan profesional, dari golongan pondok hingga golongan universiti malahan yang pernah merengkok dalam penjara pun ramai saya jumpai, mereka menyertai PAS setelah insaf dan bertaubat termasuklah juga golongan artis.

Golongan inilah yang membangunkan markaz PAS di merata-rata sehingga aset PAS seluruh negara mungkin mencecah berbilion ringgit. Memberi ikut kemampuan, malahan ada juga markaz yang saya temui kos pimbinaan markaz PAS yang bernilai hampir 400 ribu tersebut hanya didermakan oleh seorang sahaja. Dia memiliki banyak tanah peninggalan orang tuanya, lalu dijual dan duitnya diwakafkan untuk membina markaz PAS.

Ada juga markaz PAS yang dibina dengan penuh kesusahan, mengumpulkan dana sedikit demi sedikit mengikut kemampuan cawangan, kerja pembinaan pula dilakukan secara bergotong-royong, sedikit demi sedikit akhirnya siap.

Kini rasanya ratusan lagi markaz PAS yang masih belum siap dibina dan juga banyak cawangan dan kawasan sedang berkira-kira untuk membina markaz PAS baru, termasuklah di Pahang yang sekarang kami sedang membina Kompleks PAS Al-Makmur di Kerdau yang bernilai 6 juta ringgit yang telah pun 60 peratus siap dan kami masih memerlukan lagi 2 juta untuk siapkan kompleks kami.

Lima tahun lalu seorang kontraktor mula berjinak dengan PAS, dia memang banyak duit, sokong PAS setelah mula berjinak dengan masjid, pernah dia ingin mengikuti saya bermusafir selama tiga hari, masa tu baru berjinak dan tak masuk PAS lagi.

“Saya tak tahu pun yang selama ini markaz PAS dibina melalui duit derma ahli-ahli”, katanya, dia gambarkan bahawa PAS Pusat yang keluarkan belanja untuk cawangan dan kawasan membina markaz seperti pembinaan balai raya.

Saya kata “Bukan binaan markaz sahaja, malahan semua pergerakan parti termasuk belanja pilihan raya adalah sumbangan dari ahli dan penyokong.”

Dia menggelengkan kepala ‘teruja’.

“Banyak tu Ustaz, bukan sikit.”

Waktu saya singgah di pejabat agung seketika bersamanya, dia sekali lagi teruja melihat pejabat agung PAS di Jalan Raja Laut.

“Bangunan ni dibeli dengan sumbangan ahli dan penyokong PAS,” kata saya, tak terkata dia hanya sepatah kalimah ‘hebat’ katanya.

“Kalau derma kat Masjid tu, saya tak hairan lah Ustaz, tapi kalau orang PAS sanggup derma berjuta-juta untuk Markaz, itu yang pelik tu, apa istimewa Markaz PAS ni Ustaz, sampai begitu sekali sumbangan orang PAS”?, tanya dia. Saya terpaksa bercerita tentang pergerakkan Rasulullah SAW pada awal Islam ketika Nabi SAW dan sahabat berkumpul di rumah Arqam bin Abi Arqam, bagi menjelaskan tentang Islam dan strategi dakwah. “Itulah antara fungsi Markaz”, kata saya.

Markaz adalah bangunan kedua selepas Masjid bagi orang PAS, kehidupan sebahagian besar ahli PAS adalah adalah di Masjid dan Markaz. Di Masjid kita solat berjamaah, menuntut ilmu dan bermuamalat dengan masyarakat seluruhannya, di Markaz orang PAS berkumpul untuk bermesyuarat, berbincang soal strategi dakwah dan menuntut ilmu berkaitan perjuangan seperti Ijtima Tarbawi, Usrah, Liqa Fikri, ceramah dan bagai-bagai lagi.

Sekarang ni dia antara penyumbang besar di kawasannya, Pusat Tarbiyyah di kawasannya, dialah antara penyumbang terbesar. Sekarang dia faham fungsi Markaz PAS, insan kelahiran Markaz sangat hebat pengorbanannya untuk agama, Markaz PAS melahirkan ramai golongan tegar dalam berjuang untuk kemenangan PAS tanpa mengira masa dan keadaan, tak kira susah ataupun senang, tak kira sihat ataupun sakit.

Dia kini adalah penyumbang besar pembinaan Markaz kerana tarbiyyah yang diperolehi di Markaz PAS menjadikan ia meletakkan perjuangan Islam itu lebih berharga dari harta yang dia miliki.” Itulah hebatnya Markaz PAS ni”, kata saya.

Nak ukur kekuatan jamaah PAS di suatu tempat, lihatlah Markaznya dan nak tahu mengapa orang PAS sanggup berhabis harta kerana bina Markaz, jawapannya “Jom masuk PAS”. – HARAKAHDAILY 18/5/2016

Sumber : http://www.harakahdaily.net.my/index.php/kesatuan-fikrah/41180-kisah-markas-tarbiyah-macam-buaian

USTAZ ROSLI ABD JABAR | 13 Mei 2016.

SETENANG AIR – SIRI 4

MUNGKIN dah ratusan markas diseluruh pelosok negara saya berceramah, dari markas yang kecil hingga yang tersergam, yang mencecah puluhan ribu ringgit hingga kepada jutaan ringgit, ada bangunan markas yang disewa, beli dan dibina secara upah ataupun gotong-royong.

Begitu juga tanah yang dibina markas, ada yang dibeli dan ada juga yang diwakafkan kepada PAS. Dah tak terhitung banyaknya, rasanya dah berbilion ringgit duit dihabiskan untuk membina markas atau pusat tatbiyyah PAS di seluruh negara, malahan di cawangan pelosok kampung pun ada markas.

Pernah saya berusrah sekali disebuah markas yang sangat dhaif disebuah kampung terpencil, hanya boleh menaiki motorsikal di Kuala Lipis pada tahun 90-an. Dibuat dalam kebun getah seorang ahli, ahlinya hanya sekitar 25 orang termasuk muslimat. Semua ahli hanya kerja kampung sebahagian besarnya adalah penoreh getah. Bersyahadah saya apabila melangkah kaki menaiki tangga markas.

Mahunya tidak, bangunan markas kayu itu hanya bertiangkan kayu bulat, pokok hutan yang ditebang, dinding kayunya hanya baru sebahagian, atap zink buruk yang entah dari mana diperolehi dengan kekudanya juga dari kayu-kayu hutan. Bangunan markas itu menari-nari mengikut hayunan kaki saya walaupun saya ni bertubuh kecil, kurus kering pulak pada masa tu.

Sahabat di sana ketawa bila saya katakan ‘macam naik buaian’, ketua cawangan PAS kata ‘jangan bimbang Ustaz, kalau roboh, kita syahid bersama’, hihihi. Mereka bina secara gotong-royong, masa tu program lepas asar, tak boleh buat malam sebab tak ada elektrik. Yang duduk dalam markas sekitar 10 orang, muslimat semua duduk di bawah, bentang tikar atas tanah.

“Kami himpun getah 2 ‘pot’ seminggu setiap orang.” Masa tu harga getah sekitar 60 hingga 80 sen sekilo. “Yang takde getah bagi je apa sahaja. Yang bagi ikan sungai pun ada,” kata ketua cawangan. Markas itu dibina secara bergotong-royong dengan kos dalam 3 ribu ringgit, upah orang cari dan angkat kayu juga beli sedikit papan dinding dan atap yang tidak mencukupi dicampur dengan atap terpakai.

Panas berasap rasanya nak habiskan usrah sekitar satu jam setengah. Macam dok dalam “sauna”. Macam port kominis pun ada jugak, dok dalam kebun. Begitulah semangat ahli PAS dalam usaha membina markas atau pusat tarbiyyah harakiyyah ditempat masing-masing.

Betapa ahli PAS sanggup membina markas atau pusat tarbiyyah kerana mereka melihat kepentingan tarbiyyah sebagai nadi kepada jamaah.

Namun begitu, dari markas yang dhaif inilah lahirnya graduasi amilin ISTIQAMAH yang sanggup untuk berkorban apa sahaja demi perjuangan Islam. Tidak seindah universiti atau balai raya, namun kelahiran pusat tarbiyyah ini mampu membina ketamadunan dan pembangunan jiwa yang kental demi perjuangan untuk menegakkan agama Allah SWT melalui wadah PAS.

Esok saya sambung lagi cerita Markaz PAS, cuma nak bagitaunya, orang PAS sangat pentingkan tarbiyyah sebab itu bila adanya cawangan, maka pastinya akan ada markas yang menjadi pusat tarbiyyah dibina walaupun kecil, kalau kat bandar atau kawasan orang berduit tu, usah ceritalah, hingga ada markas yang dibina dengan kos jutaan ringgit. – HARAKAHDAILY 13/5/2016

Sumber : http://www.harakahdaily.net.my/index.php/kesatuan-fikrah/40785-kalau-mati-masa-ni-mak-tak-runsing

13 April 1966 – 13 april 2016, Meniti jambatan usia bersama kebingitan suara mak.

Membesar dengan situasi kemiskinan dan sebagai anak yatim seusia 4 tahun. Namun bahagia dalam pelukan dan didikan ibuku yang miskin harta tetapi kaya dengan kasih sayangnya.

Masa berlalu tanpa cita-cita, mengikut arus masa, mungkin masa itu tiada yang menyalur dan menghulur di hati untuk genggam cita-cita kecuali dari seorang ibu yang mahunya hanya anaknya menjadi soleh.

Ingat lagi pesan Mak, “Mak tak kisah anak mak kerja apapun, asalkan halal, yang penting anak mak tak tinggal sembahyang, pandai baca al-Qur’an dan berdoa untuk ayah dalam kubur dan untuk mak bila mati.

Cita-cita begitu tiada value ekonomi, tapi itulah cita-cita mak saya, seorang ibu miskin yang sedaya upaya membesar saya dan adik-beradik, ketika meninggalnya ayah semuanya masih bersekolah dan kecil-kecil lagi.

Tak pernah jemu kejutkan saya untuk solat dan nasihatkan saya supaya jangan tinggal solat, tapi masa remaja, nasihat itu bingit bunyinya, selalunya saya menutup telinga. Tapi yang bingit itulah juga siang malam dilagukannya.

Tapi akhirnya yang bingit itulah juga yang meresap dijiwa, suara bingit itu akhirnya mampu mengalahkan semua suara-suara lain. Yang bingit itu rupanya menjadikan saya mengangkat kaki menjauhi kebingitan itu.

Dengan iringan kebingitan itu saya mencari tempat untuk memenuhi cita-cita mak supaya jadi anak yang soleh. Mungkin tidak sesempurna harapan mak, tapi cukuplah untuk dia tersenyum memandang saya, tak lah seperti saya yang dulu, hanya menyebabkan panadol dikedai berhampiran semakin laku.

Kini tiada lagi suara bingit, tiada lagi sebab untuk dia membingitkan saya, dia pun dah semakin lemah, suaranya sangat perlahan, lusuh tubuhnya.

Saya bagitau dia “Hari ini hari jadi saya ke-50”,

“Alhamdulillah awak hidup lagi,” katanya.

“Mak suka saya mati ke?” tanya saya.

“Kalau awak mati masa ni, mak tak runsing sangat, tapi kalau awak mati masa belasan tahun dulu”, mmmmm sambil dia geleng kepala. Saya senyum jer, tahu sangat dah jawapan dia.

Sekarang saya faham rupanya cita-cita dia lebih hebat dan jauh ke hadapan, dia faham bahawa ‘dunia akan mengiringi akhirat, tetapi akhirat tidak mengiringi dunia’, bingitannya suruh saya mencari akhirat supaya saya juga akan memiliki dunia.

Umur saya dah 50 tahun, cita-cita mak nak tengok saya solat, solat, solat, Insya-Allah saya kerjakan, terserahlah pada Allah SWT untuk menilainya,saya lakukan dengan kadar mampu dan kadar ilmu sedikit ini.

Cita-cita saya sahaja belum tercapai iaitu:
1. Nak mati syahid
2. Nak tengok hukum Allah tertegak di Malaysia.
3. Nak tengok Ma’had Tahfiz Darul Fikri menjadi sekurang-kurangnya sebuah kolej universiti.

Yang akhirnya moga semua cita-cita saya tercapai walaupun usia kehidupan dah tak panjang.

Kini saya pula yang membingitkan telinga anak-anak, padan muka dia, biar dia rasa apa yang aku rasakan. “Pedih tapi bahagia”. – HARAKAHDAILY 13/4/2016

Tarikh : 25 Mei 2014

Penceramah : Tan Sri Muhammad bin Muhammad Taib, mantan Menteri Besar Selangor & Naib Presiden UMNO

%d bloggers like this: