Saya tertarik dengan pencerahan berkenaan Parti Islam SeMalaysia (PAS) yang disampaikan oleh Mazlan Aliman. Ceramah  dirakamkan di Beaufort baru-baru ini. Menariknya beliau bercerita dari sisi dirinya yang berasal dari Johor yang merupakan negeri kelahiran dan kubu UMNO. Latar belakang keluarganya, jiran tetangga dan masyarakatnya semuanya UMNO. Ditakdirkan beliau menyambung pengajian di Kelantan pada tahun 80-an dan menyaksikan perubahan mindanya terhadap PAS dan Kelantan.

Selama ini maklumat yang diperolehi tentang PAS dari pihak lain, semuanya negatif tentang PAS. Apabila berada di Kelantan, beliau menyaksikan Islam secara praktikal di sana, solat berjamaah, masjid dan surau yang meriah, anak muda  turun berjamaah dan mendengar kuliah dan ceramah PAS daripada kalangan tokoh-tokohnya ketika itu. Walaupun mindanya beliau masih UMNO, tetapi jiwa mudanya mahu dan boleh mendengar hujah dan ceramah pemimpin PAS.

Saya letakkan ceramah ini sebagai ceramah pengenalan PAS dari sisi pengalaman Mazlan Aliman sejak zaman sekolah hingga penglibatannya sekarang. Ceramahnya santai, bersahaja dan jujur hasil pengalaman yang dikutip dari dirinya sendiri. Ia bagus untuk disebarkan kepada mereka yang mahu berjinak dengan gerakan Islam ini. Kawan-kawan dan pelayar blog ini di kalangan UMNO, dengar dan hayatilah dulu. Ini dunia demokrasi, kalau selepas mendengar dan menonton ceramah ini mahu sertai PAS pun boleh, mahu tinggalkan UMNO pun boleh. Selamat menghayati.