Tag Archive: Parti Demokrat


Sumber : http://ulamasedunia.org/2016/11/19/keruntuhan-gerakan-liberalisme-antarabangsa/

Kemenangan Donald Trump dalam pilihanraya presiden Amerika sangat mengejutkan rakyat Amerika dan seluruh penghuni dunia. Ia menandakan kemunculan Nasionalis Konservatif yang diperjuangkan oleh Parti Republican, dan Nasionalis Populis yang diperjuangkan oleh Trump.

Sebelum pentadbiran Barrack Obama, Nasionalisme sangat kuat dengan mempertahankan hak-hak penduduk warganegara, mempertahankan sistem kenegaraan yang tegas agar menjaga keharmonian, dan mempertahankan kedaulatan negara yang membabitkan persempadanan kukuh agar menghalang penduduk luar merampas keistimewaan penduduk tempatan.

Idea sebegini sangat popular di Eropah sejak sebelum perang dunia lagi. Bahkan ia merupakan unsur penting kemunculan negara-negara Moden Eropah yang meruntuhkan Empayar Rom yang telah menjangkau usia lebih seribu tahun. Ia juga merupakan unsur penting kemunculan negara-negara Moden Arab yang meruntuhkan Khilafah Othmaniyyah yang telah menjangkau usia lebih tujuh ratus tahun.

Namun, idea Nasionalisme ini mula pudar di zaman Millenium terutamanya apabila Obama menjawat jawatan Presiden Amerika. Di era pentadbiran beliau, ideologi Liberalisme merupakan perjuangan utama. Bukan sahaja hak minoriti kulit hitam dipertahankan, hak wanita dan hak LGBT mendapat tempat dalam undang-undang negara.

Golongan Nasionalis Amerika dalam Parti Republican melihat Obama sebagai pejuang bangsa kulit hitam dan LGBT. Begitu juga, Nasionalis Amerika melihat Hillary Clinton sebagai pejuang hak asasi manusia, pejuang wanita dan minoriti Immigrant. Oleh demikian, permulaan serangan Trump terhadap Clinton sangat membabitkan Perlembagaan Kedua (Second Constitution) yang membicarakan kebebasan (liberty).

Bagi Clinton, kebebasan ini sangat luas sehingga memberi hak kepada setiap individu memilih dan bertanggungjawab terhadap pilihannya. Contohnya, wanita diberi kelonggaran untuk menggugurkan anak dalam kandungan dengan pilihan ibunya.

Manakala Trump melihat kebebasan ini hendaklah selari dengan semangat Nasionalisme iaitu jikalau kebebasan bercanggah dari hasrat negara, kebebasan tersebut perlu disekat. Oleh itu, seorang wanita tidak disaran menggugurkan anak. Malah, ibu bapa yang mempunyai lebih dua orang anak diberi keistimewaan dan diberi pelepasan cukai pendapatan.

Kekalahan Clinton bermakna kekalahan Parti Demokrat dan legasi Obama. Ia juga bermakna berakhirnya kepimpinan utama Liberal Antarabangsa yang menuntut agar masyarakat seluruh dunia berpaksikan hak asasi manusia. Perkembangan ini sangat mengejutkan. Oleh demikian, pada tanggal 16 November 2016, Obama melawat Canselor Angela Merkel yang merupakan peneraju Kesatuan Eropah (EU) bagi membincangkan kesinambungan
gerakan Liberalisme Antarabangsa.

Kepimpinan Canselor Merkel dianggap satu-satunya harapan gerakan Liberalisme Antarabangsa meneruskan agendanya. Beliau bukan sahaja dilihat wakil negara maju Jerman yang mempunyai eksport yang tinggi, malah berpotensi menyekat kebangkitan Nasionalis Populis yang semakin berkembang di Eropah.

EU sedang berhadapan tuntutan rakyat Britain agar keluar dari kesatuan yang diberi jolokan Brexit yang dilihat timbul dari semangat Nasionalisme Populis. Begitu juga, EU sedang berhadapan tuntutan Parti Nasionalis Perancis agar keluar dari kesatuan yang diberi jolokan FREXIT. Malah, ideologi Nasionalis ini sedang berkembang di negara-negara Eropah yang lain seperti Austria, Denmark, Netherlands, Finland dan Sweden.

Justeru, masa depan kepimpinan utama gerakan Liberalisme Antarabangsa perlu bertukar tangan dari Amerika kepada EU dan lebih khusus Merkel dan negaranya Jerman. Merkel perlu merancang tanpa Amerika dan Britain. Situasi ini sangat berat kerana empat kuasa Veto iaitu Amerika, Britain, Rusia dan China merupakan negara Nasionalis. Hanya tinggal Perancis sahaja yang bergantung dengan EU untuk memperjuangkan Liberalisme.

Ini menunjukkan gerakan Liberalisme sedang jatuh merundum. Barangkali, zaman Liberalisme akan berakhir. Zaman ideologi liberalisme di hujung tanduk. Malah, pendokong-pendokong Liberalisme perlu sedar bahawa masyarakat dunia sudah mula menolak fahaman ini. Seterusnya, perjuangan ultras hak asasi manusia dan ultras LGBT akan berakhir sebagaimana nasib ideologi Sosialisme dan Komunisme.

Dr. Muhammad Atiullah bin Othman
Akademi al-Ghazali

Sumber : http://www.harakahdaily.net.my/index.php/presiden/43244-perbandingan-di-antara-buaya-dan-singa

ABDUL HADI BIN AWANG | 17 November 2016.

SAYA telah mengulas perkembangan Pilihan Raya Presiden Amerika di ruangan akhbar Harakah bertajuk “Pilihanraya Presiden Amerika dan Zionis” pada bulan April yang lalu dengan menyebut bahawa perbandingan di antara dua calon Pilihan Raya Presiden Amerika iaitu Hillary Clinton (Parti Demokrat) dan Donald Trump (Parti Republikan) adalah kedua-duanya berlumba-lumba membuat kenyataan terbuka menyokong Israel dengan pendekatan yang berbeza, namun tujuannya tetap sama. Tetapi masih ada di kalangan kita sudah lupa betapa konsep dan matlamat kedua-duanya sama sehingga ada yang bersedih kerana calon yang diminati kalah.

Perbandingannya laksana buaya dan singa, kedua-duanya mengganas. Perbezaan singa mengaum dengan kuat, nyata dan menerpa secara terbuka di lapangan. Adapun buaya seperti kata pepatah Melayu ‘bagaikan air yang tenang jangan disangka tiada buaya’.

Parti Demokrat dan Parti Republikan semuanya terlibat dalam campur tangan yang menimbulkan ketegangan di seluruh pelosok dunia secara langsung atau tidak langsung melalui wakil mereka. Tragedi pembunuhan yang mencecah jutaan mangsa korban dan menjadi pelarian dibenarkan atas nama mendokong kebebasan, demokrasi, keadilan dan hak asasi manusia.

Namun, undang-undang antarabangsa dan mahkamah laksana sarang labah-labah yang boleh memerangkap makhluk kecil sahaja. Apa-apa tindakan pun tidak boleh di ambil ke atas Amerika dan sekutunya dan semua keputusan PBB boleh dihalang dengan mudah melalui kuasa vetonya.

Seganas-ganas singa dan buaya boleh dikawal oleh Jabatan Mergastua dan dikurung dalam sangkar zoo. Begitulah politik, sejarah menunjukkan kuasa besar yang memuncak keganasannya seperti Adolf Hitler dan Benito Mussolini lebih cepat tersungkur.

Amerika adalah sebuah negara yang mendokong demokrasi bebas tetap dikawal melalui perlembagaan dan undang-undangnya. Di samping berlaku protes rakyat terhadap keputusan pilihan raya itu secara demokrasi jalanan, negara Barat di Eropah juga menujukkan tekanan bahawa Donald Trump tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya seperti kempennya di masa pilihan raya kecuali kalau mahu menempah kehancuran Amerika seperti berkecainya kuasa besar Kesatuan Soviet di abad yang lalu atau kemusnahan dengan cara yang lain.

Apa yang perlu menjadi iktibar adalah betapa kecelaruan demokrasi Barat kini kerana disebabkan oleh tidak beriman dan hilangnya sifat budiman dalam pemilihan kepimpinan.  Tiga faktor penting yang menjadi rukun manipulasi pemilihan iaitu 3M (Machinery/Jentera; Media; dan Money/Wang). Apabila tiga faktor ini yang dikuasai bangsa Yahudi dimanipulasi sepenuhnya sebagaimana yang diceritakan benar oleh Al-Quran. Firman Allah SWT:

﴿وَقَالَ لَهُمۡ نَبِيُّهُمۡ إِنَّ ٱللَّهَ قَدۡ بَعَثَ لَكُمۡ طَالُوتَ مَلِكٗاۚ قَالُوٓاْ أَنَّىٰ يَكُونُ لَهُ ٱلۡمُلۡكُ عَلَيۡنَا وَنَحۡنُ أَحَقُّ بِٱلۡمُلۡكِ مِنۡهُ وَلَمۡ يُؤۡتَ سَعَةٗ مِّنَ ٱلۡمَالِۚ قَالَ إِنَّ ٱللَّهَ ٱصۡطَفَىٰهُ عَلَيۡكُمۡ وَزَادَهُۥ بَسۡطَةٗ فِي ٱلۡعِلۡمِ وَٱلۡجِسۡمِۖ وَٱللَّهُ يُؤۡتِي مُلۡكَهُۥ مَن يَشَآءُۚ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٞ٢٤٧ وَقَالَ لَهُمۡ نَبِيُّهُمۡ إِنَّ ءَايَةَ مُلۡكِهِۦٓ أَن يَأۡتِيَكُمُ ٱلتَّابُوتُ فِيهِ سَكِينَةٞ مِّن رَّبِّكُمۡ وَبَقِيَّةٞ مِّمَّا تَرَكَ ءَالُ مُوسَىٰ وَءَالُ هَٰرُونَ تَحۡمِلُهُ ٱلۡمَلَٰٓئِكَةُۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَأٓيَةٗ لَّكُمۡ إِن كُنتُم مُّؤۡمِنِينَ٢٤٨﴾ [البقرة: 247-248]

“Berkatalah Nabi mereka kepada mereka (apabila mereka meminta Nabi itu menetapkan calon raja setelah dimintanya): Sesungguhnya Allah melantik Talut menjadi raja kamu. Mereka berkata: Bagaimana dia dilantik, padahal kalangan kami ada yang lebih layak, dan dia pula tidak berharta banyak (kaya raya)? Nabi mereka menjawab: Allah yang memilihnya kerana dia berilmu dan sihat serta gagah perkasa. Allah sahaja yang memberi kurnia pemerintahan kepada sesiapa yang di kehendaki-Nya dan Allah itu Maha Luas Pengetahuan dan Kuasa-Nya lagi Maha Mengetahui. (247)

“Nabi mereka menegaskan lagi: Sesungguhnya Allah menunjukkan tanda perlantikannya bahawa datang kepada kamu Tabut (peti) yang dibawa oleh Malaikat, yang ada di dalamnya ketenangan daripada Tuhan kamu dan pusaka peninggalan pengikut Nabi Musa A.S dan Nabi Harun A.S. Sesungguhnya itulah dalil daripada Tuhan kamu sekiranya kamu beriman.” (248)] (Al-Baqarah: 247-248)

Al-Quran adalah kitab suci mukjizat yang kekal daripada Allah kepada Rasul akhir zaman Muhammad SAW yang membawa kisah petunjuk sepanjang zaman.

Donald Trump memenangi pilihan raya dengan politik wang kekayaan yang mempengaruhi jentera dan media. Tegasnya, siapa paling kaya dan hebat Zionisnya dipilih dalam pilihan raya di Amerika. Apabila dicampur wang dan Zionisnya maka sangat kuat sumbangan mempengaruhi politik terkini, apabila akal berada di perut dan apabila yang tinggi ilmunya dapat diperkudakan.Para ulama tafsir al-Quran menegaskan pengajaran itu diambil daripada lafaznya yang umum bukan sebabnya yang khusus.

“Inilah Penyelesaian Kita”

ABDUL HADI BIN AWANG
Presiden PAS
17 Safar 1438H / 17 November 2016M

HARAKAHDAILY 17/11/2016

%d bloggers like this: