Tag Archive: Parmin Sahlan


Tarikh : 20 Julai 2015

Lokasi : Taman Perkuburan Kg Likas

Semoga Allah SWT merahmati guru kami Ustaz Haji Parmin Sahlan yang kembali ke rahmatullah. Mudah-mudahan Allah menerima amal soleh beliau dan menempatkan Allahyarham bersama golongan beriman.

IMG-20150720-WA0008IMG-20150720-WA0005 IMG-20150720-WA0006 IMG-20150720-WA0007IMG-20150720-WA0009 IMG-20150720-WA0010 IMG-20150720-WA0011 IMG-20150720-WA0012

Tarikh : 17 Ogos 2014

Lokasi : Taman Kingfisher Likas

Alhamdulillah, nampaknya Ustaz Haji Parmin Sahlan semakin sihat dan segar berbanding sebelum ini. Rombongan Darussyifa’ diundang ke rumah beliau sebagai tanda ukhuwah dan hajat beliau hendak berkenal-kenalan dengan perawat-perawat Darussyifa’ khususnya setelah Allah SWT menyembuhkan penyakit beliau.

Semoga Allah SWT memelihara beliau dan keluarga.

Raya Ustaz Parmin (1) Raya Ustaz Parmin (2) Raya Ustaz Parmin (3) Raya Ustaz Parmin (4)

ZIARAH USTAZ PARMIN SAHLAN

Kisah kesihatan Ustaz Haji Parmin yang tidak memberansangkan sudah kedengaran dan banyak pihak berziarah sama ada di hospital atau di rumah apabila beliau dibenarkan balik. Saya dan sahabat-sahabat seusrah pernah menziarahi ketika di wad hospital, dan kali ini berziarah langsung ke rumah.

Saya menyertai ziarah Ustaz Muchlish, Ustaz Mohammad Suaid, dan Tuan Haji Fauzi Haw ke rumah beliau di Taman Kingfisher Likas pada petang sabtu 8 Mac 2014. Ustaz Muchlish sempat meruqyah beliau dan mendoakan semoga kesihatan ustaz kembali pulih. Dalam kesihatan yang begitu, kelihatan sekali Ustaz Parmin gembira dengan kunjungan Ustaz Muchlish. Maklumlah mereka teman lama yang berhijrah ke Sabah pada awal 70an dari kampung masing-masing.

Sebenarnya sahabat Darussyifa’ ada menghulurkan khidmat rawatan kepada beliau beberapa kali. Mudah-mudahan ikhtiar ini membantu memulihkan kesihatan ustaz. Insya Allah, amin.

Ustaz Parmin (1) Ustaz Parmin (2)

ZIARAH USTAZ PARMIN

Sahabat-sahabat seusrah mengambil ruang untuk berziarah ke wad perubatan C Hospital Queen Elizabeth, khususnya menemui guru yang dikasihi Ustaz Haji Parmin Sahlan yang sudah ditahan beberapa hari sebelum ini.

Di wad sudah ada beberapa jamaah masjid Bandaraya yang lebih awal datang, dan sahabat-sahabat kami turut membawa buah tangan untuk diedarkan kepada pesakit dan petugas wad berkenaan. Menyambut kami di wad ialah anak Ustaz Parmin sendiri, Khairul Basyah.

Saya turut mengambil peluang untuk meruqyah ustaz dan berharap apabila beliau kembali ke rumah nanti, pihak kami akan bergilir-gilir meruqyah beliau di rumah pula. Doa kami Ustaz Parmin akan sembuh dan kembali seperti biasa.

UstParmin (1)UstParmin (2)UstParmin (3)

USTAZ HAJI PARMIN SAHLAN

Ustaz Haji Parmin Sahlan

Beliau seorang yang saya kenali sejak pertengahan 90an, ketika kami mula menuntut di Maahad Tahfiz al-Quran, barangkali agak terlambat saya mendengar nama beliau berbanding perjuangannya dalam dunia dakwah khususnya di Sabah sejak awal tahun 70an lagi. Tahun-tahun pertengahan 90an itu, saya mengetahui beliau bertugas di SMKA Kota Kinabalu dan pernah mengajar ilmu tarannum di beberapa lokasi.

***

Ustaz Haji Parmin Sahlan, anak jati Pontian Johor dilahirkan pada 10 Ogos tahun 1942. Di kampungnya di Kg. Parit Bugis, beliau menjadi imam dan mengajar orang kampung dengan ilmu-ilmu asas al-Quran dan Islam, suatu kerja yang amat diminatinya sebagai guru kepada masyarakat.

Hasrat untuk berhijrah ke Sabah timbul pada tahun 1973, apabila beliau dikhabarkan hendak dilantik sebagai Naib Qadhi di daerah Pontian. Oleh kerana minatnya kepada dunia pendidikan, menjadi guru agama kepada masyarakat menyebabkan beliau akhirnya berhijrah ke Sabah meninggalkan kampung halaman dan jawatan yang bakal ditawarkan kepadanya.

Pada peringkat awal hijrahnya ke Sabah, beliau ditempatkan di pejabat Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) yang ketika itu beroperasi di Bandaran Berjaya, tidak jauh dari Padang Merdeka kini bersama-sama dengan Muhiddin Yusin (Ybhg Datuk) kini mantan Pengarah Pelajaran Negeri Sabah.

Tidak lama, beliau dihantar bertugas di lokasi pertama iaitu di SK Tagaroh Kota Marudu. Tahun 1973 ketika itu, perjalanan dari Kota Kinabalu ke Kota Marudu memakan masa perjalanan sekitar setengah hari. Beliau berhadapan pengalaman manis dengan kebanyakan masyarakat di kampung tersebut majoritinya adalah saudara baru yang sangat memerlukan bimbingan tentang asas ajaran Islam.

Hanya lapan bulan di kampung tersebut, beliau kemudian dipindahkan ke pekan, iaitu di SMK Pekan Kota Marudu pula. Di sini beliau selain mengajar ilmu fardhu ain dan al-Quran kepada masyarakat setempat di masjid-masjid yang beliau kunjungi, beliau juga mula membimbing kumpulan nasyid, satu seni dakwah yang sangat beliau minati.

SETAHUN DI DAKWAH SENI

Selepas lapan bulan di sini, sekali lagi beliau dipindahkan, kali ini ke Kota Kinabalu. Beliau dimaklumkan oleh Datuk Hamid Egoh bahawa Tun Datu Mustapha sendiri mahu beliau dibawa ke Kota Kinabalu, khususnya bertugas di Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA), dengan ditempatkan di satu bahagian yang dinamakan Dakwah Seni. Tun Datu Mustapha dikatakan tertarik dengan kebolehan Ustaz Parmin membimbing kumpulan nasyid dari Kota Marudu yang membuat persembahan dalam mesyuarat agung USIA.

Beliau turut mengimbas kenangan, bersama-sama dengan Ustaz Jalidar Abd Rahim dan Ustaz Bahri, mereka diberikan dana sebanyak RM15 ribu untuk membeli alat-alat muzik sebelum dimanfaatkan dalam majlis-majlis rasmi dan keramaian bersama USIA. Setahun di USIA, beliau dibawa menjelajah seluruh Sabah mengiringi majlis-majlis pengislaman yang dianjurkan oleh USIA dengan persembahan nasyid bagi menarik perhatian masyarakat ketika itu.

KEMBALI KE DUNIA PENDIDIKAN

Selepas itu beliau berpindah lagi dek minat beliau dalam dunia pendidikan. Kebanyakan lokasi beliau tidak lama seperti sebelum ini. Hanya sekitar setahun, beliau berkhidmat pula di SUI Sembulan pada tahun 1977, kemudian berpindah ke Maktab Sabah pada tahun 1978 sebelum ke SRK St Agnes Likas pada tahun 1981-1990.

Beliau terkenang ketika mengajar di sekolah ini, beliau dipanggil sebagai ‘cikgu ustaz’, kerana turut mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu dan jawi. Anak-anak beliau turut bersekolah di sini, sambil menjual kuih-muih kepada murid-murid beragama Islam kerana pengusaha kantin dikendalikan oleh bukan muslim.

Sekitar tahun 1985, ketika masih bertugas di SRK St Agnes, beliau turut diundang dan mula mengajar secara sambilan ilmu fardhu ain dan al-Quran kepada warga kerja Istana Negeri Sabah, yang ketika itu berketuakan Tun Said Keruak (Allahyarham) sebagai Yang Di Pertua Negeri Sabah. Ketika itulah beliau mencadangkan kepada Allahyarham Tun dan (Tan Sri) Sukarti Wakiman yang bertugas sebagai Setiausaha Sulit TYT agar membina sebuah surau di kawasan istana bagi kegunaan para pekerja istana.

Sesuatu yang menarik perhatian, dalam tempoh itu pihak istana dengan bimbingan Ustaz Parmin turut mengadakan solat hajat banyak kali memohon agar Allah SWT memberi peluang kepada umat Islam memimpin negeri ini. Untuk rekod, sekitar tahun 1985-1994 kerajaan Sabah dipimpin oleh Parti Bersatu Sabah diketuai oleh Datuk Seri Panglima Pairin Kitingan.

Pada tahun 1991, beliau berkhidmat di SMK Agama Kota Kinabalu sehingga pencen dalam perkhidmatan awam pada 1997. Dalam tempoh antara tahun 1995-1997, Ustaz Haji Parmin juga bertugas sebagai pensyarah sambilan di Maktab Perguruan Gaya (kini Institut Pendidikan Guru Gaya).

Apabila pencen pada 1997, tidak bermakna beliau turut bersara daripada dunia pendidikan yang sangat dicintainya. Beliau terus berkhidmat dengan membimbing sebuah tadika yang diadakan di Masjid Jamek Kg Likas.

Ketika umur menganjak ke angka 59 tahun, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Cawangan Sabah menagih kudrat dan kepakaran beliau sebagai Penyelia KAFA selama 8 tahun sekali lagi mengimbas kenangan bersama USIA, dengan sering meninggalkan rumah untuk menjelajah pelusuk Sabah memberi kursus pula kepada para guru-guru KAFA.

Selepas lapan tahun itu, beliau mengakui dengan umur yang semakin lanjut beliau mengangkat tangan tidak mampu lagi berjalan jauh dan berhenti perkhidmatan bersama JAKIM Sabah.

Pada tahun 2008, beliau diamanahkan sebagai guru besar di Madrasah al-Mubarak Masjid Bandaraya Kota Kinabalu sekaligus ahli jawatankuasa masjid berkenaan sehingga kini walaupun sudah berusia 71 tahun.

Demikianlah beliau, Ustaz Haji Parmin Sahlan yang mendambakan dirinya dalam dunia pendidikan khususnya pengajaran al-Quran sejak usia mudanya sehingga kini dek mengambil manfaat hadith Nabi SAW (bermaksud) : “Orang yang terbaik di kalangan kamu ialah mereka yang belajar al-Quran dan mengajarkannya”.

Dalam masa yang sama, kepakaran beliau dalam bidang tarannum al-Quran turut dimanfaatkan oleh negeri ini dengan sering diundang menjadi hakim dalam majlis-majlis tilawah al-Quran pelbagai peringkat di Negeri Sabah. Di peringkat negeri contohnya beliau sudah terlibat sebagai hakim sejak tahun 1975 lagi dengan kebanyakan dalam kategori tarannum (lagu).

Begitu juga dalam bidang-bidang seni suara lain seperti nasyid, marhaban, barzanji dan lain-lain beliau juga sering diundang sebagai hakim dan pembimbing. Jabatan-jabatan kerajaan dan swasta, institusi pengajian tinggi, sekolah-sekolah juga sering memanfaatkan ilmu beliau kepada warga kerja dan pelajar mereka mempelajari ilmu asas al-Quran khususnya ilmu tarannum.

KELUARGA

Ustaz Haji Parmin mendirikan rumahtangga dengan Puan Suti binti Yusuf yang berasal dari Singapura pada tahun 1961, seorang suri rumah dan pendidik anak-anak mereka sepenuh masa. Anak-anak mereka seramai tujuh orang juga terdiri daripada mereka yang mencintai dunia pendidikan Islam.

Mereka ialah Norhidayah, Jauhariah, Khairul Bashah, Siti Khairiah, Khairunnisak, Siti Faridah dan Mohd Shalahuddin, yang sebahagian mereka terlibat dalam dunia pendidikan juga. Bahkan sehingga kini Ustaz Parmin dibantu oleh salah seorang anaknya Ustazah Siti Khairiah masih mengajar al-Quran di rumah untuk anak-anak penduduk sekitar.

%d bloggers like this: