Tag Archive: Palestin


Masjid Kg Contoh Petagas

Khatib : Ustaz Mohd Azrin Bin Samsudin (Aman Palestin)

Lokasi : Masjid as-Salam, Kg Contoh Petagas

Firman Allah SWT bermaksud : Maha suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (Al-Isra’ :1)

Rasulullah SAW bersabda (bermaksud) : Janganlah kamu bersusah payah untuk pergi (bermusafir) melainkan ke tiga buah Masjid : Masjid al-Haram, Masjid al-Aqsa dan Masjidku ini (Masjid al-Nabawi)” (HR al-Bukhari dan Muslim).

Bumi Palestin dan Baitul-Maqdis telah diceroboh oleh tentera-tentera penjajah Zionis. Masjid al-Aqsa telah dikotori oleh golongan Yahudi yang melampau. Masjid al-Aqsa adalah kiblat pertama bagi umat Islam dan terletak di salah sebuah daripada tiga kota suci bagi kaum muslimin selepas Makkah dan Madinah.

Sepatutnya seluruh umat Islam berasa cinta untuk mempertahankan kesuciannya dan merasakan kehilangannya. Akan tetapi mereka semua masih ‘nyenyak’ tidur! Bangsa Arab sering mengatakan bahawa ‘kami telah kehilangan Masjid al-Aqsa..’ Sedangkan sebenarnya masalah yang menimpa Masjid al-Aqsa adalah masalah umat Islam seluruh dunia, bukannya bangsa arab sahaja.

Iran Palestinians Israel Syria Talks

Sumber artikel : http://zainurrashid.com/kembalinya-seorang-pahlawan/

Ramai di kalangan rakyat Malaysia yang mengenali Ismail Haniyya, PM Palestin sekarang. Semakin ramai juga yang mengenali as Syahid Sheikh Ahmad Yassin dan as Syahid Dr Abdul Azizi Rantisi kerana mereka berdua adalah pengasas Pergerakan Hamas.

Namun tidak ramai yang mengetahui bahawa Khaled Mashaal sebenarnya adalah merupakan seorang pemimpin kanan Hamas. Bahkan beliau sebenarnya adalah lebih kanan daripada Ismail Haniyya sendiri. Bezanya adalah kerana Khaled Mashaal adalah pemimpin Hamas yang berada dalam buangan.

Hamas membuat pendirian yang strategik untuk tidak mengumumkan siapakan sebenarnya ketua nombor satu mereka selepas syahidnya Sheikh Ahmad Yassin dan Abdul Aziz Rantisi. Ada kemungkinan bahawa tokoh nombor satu Hamas adalah dr Mahmood Zahar dan kemudiannya diikuti oleh Khaled Meshaal.

Khaled Mashaal telah dilahirkan pada 28 Mei 1956 dan telah menjadi peneraju utama Pergerakan Hamas sejak pembunuhan Abdel Aziz al-Rantissi pada tahun 2004. Khaled diberikan amanah sebagai Ketua Biro Politik Hamas.

Beliau telah dilahirkan di Silwad, sebuah kampung utara Ramallah dan berpindah ke Jordan pada tahun 1967 selepas Baitul Maqdis dijajah oleh Israel. Semasa belajar di Kuwait University, Khaled telah menjadi pemimpin utama pergerakan pelajar Islam dan telah mencabar dominasi Yasser Arafat dan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO).

Beliau telah mengambil bahagian dalam penubuhan Blok al-Haq Islami yang telah bersaing dengan Fatah untuk kepimpinan Ketua Kesatuan Pelajar Palestin di Kuwait. Selepas penubuhan Hamas pada tahun 1987, Khaled telah dipilih untuk memimpin Hamas di cawangan Kuwait. Beliau kemudiannya berpindah dari Kuwait ke Jordan pada tahun 1991.

Beliau hampir syahid di dalam beberapa percubaan membunuhnya. Beliau pernah diracun oleh Mossad Israel di atas arahan Benjamin Netanyahu dan Raja Hussin Jordan telah campur tangan untuk mendapatkan antidote (lawan racun) melalui Presiden Bill Clinton, AS sebelum Khaled Mashaal berjaya diselamatkan.

Khaled sekali lagi dibuang apabila kepimpinan Hamas disingkir dari Jordan pada bulan Ogos 1999 dan beliau tinggal di di Qatar buat beberapa ketika sebelum berpindah ke Damsyik, ibu negara Syria pada tahun 2001. Beliau adalah tokoh yang begitu dihormati dan ditakuti lawan. bahkan pada tahun 2010, sebuah majalah British iaitu New Statesman telah menyenaraikan Khaled Mashaal pada nombor ke 18 di dalam senarai “The World’s 50 Most Influential Figures 2010″

Beliau tidak berpeluang untuk terus tinggal lebih lama di Syria di bawah kekejaman Presiden Bashar al Assad kerana dia telah mengumumkan sokongannya kepada rakyat Syria yang bangkit menentang Bashar al Assad. Khaled terpaksa berhijrah sekali lagi pada Februari 2012 ke Qatar. Di antara kejayaan besar Khaled Meshal ialah apabila beliau berjaya menguruskan pertukaran Ghilad Shalit (tseorang entera Israel yang dicolek) dengan 1,027 rakyat Palestin yang ditahan di dalam penjara Israel.

Kedatangan Khaled ke Gaza semula buat kali pertama selepas 45 tahun beliau diusir keluar dari Palestin pada 1967 bagi menyambut Festival Ulang Tahun ke 25 Hamas adalah merupakan satu lagi petanda perkembangan kekuatan dan kemenangan Hamas yang semakin digeruni regim Zionis Israel dan sekutunya AS.

Ya, sudah semakin nyata bahawa “Era Zionis Pasti Akan Berakhir”…..!

khalid1khalid2khalid3khalid4khalid5

idf-mourning-casualty

 

Bagaimana tentera zionis meratap kematian…

 

Sumber : http://zainurrashid.com/igauan-israel-menjadi-realiti/#more-2285

Israel terpaksa mendesak pihak ke 3 agar diadakan gencatan senjata awal setelah mereka mengganas selama ‘hanya’ 8 hari dan telah mengorbankan ‘hanya’ 161 syuhada’ rakyat Palestin. Sedangkan serangan Gaza 2008-2009 berlangsung selama 22 hari dan telah mengorbankan lebih 1450 orang rakyat Palestin di Gaza.

Apa tidaknya ?

1-Roket al Qassam menemui sasaran strategiknya sehingga ke Tel Aviv dan Jerusalem (74 km) sedangkan kemampuan roket ini hanya 40-50 km pada tahun 2009.

2-Ben Gurion International Airport terpaksa memberhentikan operasinya selama beberapa hari disebabkan roket al Qassam.

3-Roket juga telah memaksa warga penjajah Israel tinggal di bawah tanah dengan ketakutan selama 8 hari dan operasi kerja harian kerajaan dan swasta dibatalkan sepanjang 8 hari yang lalu.

4-Buat kali pertama, roket al Qassam juga berjaya menjatuhkan jet pejuang F16 bersama  juruterbangnya ke perairan Gaza. Ini adalah kali pertama dalam sejarah perang Israel.

5-Roket al Qassam juga berjaya menjatuhkan helikopter Apache, drone dan berjaya mensasarkan kapal perang Israel sebagai destinasi roket ini.

6-Unit R & D IDF telah mendapati bahawa roket al Qassam yang sampai ke Tel Aviv adalah buatan tempatan (bukan dari Iran dsb). Ini membuktikan kemampuan unit R & D al Qassam mengeluarkan roket mereka sendiri.

7-Iron-Dome yang merupakan sistem penangkis peluru berpandu yang tercanggih Israel (dengan bantuan US) hanya berjaya menangkis 20-25 % daripada lebih 1400 roket al Qassam yang sampai ke Israel.

8-Israel terpaksa menggesa gencatan senjata terlebih awal miski pun Briged al Qassam baru menggunakan kira-kira 15 % daripada keseluruhan roket yang dipersiapkan kali ini.

9-Keterlibatan Mesir dan Turki yang memberikan sokongan secara terbuka kepadaPalestin amat menakutkan Israel miski pun mereka belum memberikan sokongan ketenteraan kepada Palestin. Apatah lagi sekiranya negara-negara Arab dan negara umat Islam yang lain turut memberikan sokongan kepada mereka.

Ingatilah firman Allah swt :

وَمَكَرُواْ وَمَكَرَ اللّهُ وَاللّهُ خَيْرُ الْمَاكِرِينَ –

Surah al-Imran ayat 54

“Dan Mereka Merancang(tipu daya),Allah juga merancang(membalas tipu daya),Dan ALLAH sebaik-baik Perancang(membalas tipu daya)”

Subhanallah, alhamdulillah, Allah akbar….

Sumber : http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/14824–qkami-menang-atau-syahidq-pemimpin-hamas

KAHERAH: ‘Roket rintangan’ yang menyerang Tel Aviv menunjukkan perubahan dalam imbangan kuasa antara Hamas dan entiti Israel, kata ahli biro politik Hamas, Dr Mahmoud al-Zahar ketika bercakap secara eksklusif kepada Asharq Al-Awsat. Beliau mendakwa, roket ini menyeimbangkan ‘keganasan’ oleh satu pihak ke atas pihak yang lain, menambah keseimbangan baru ini akan menyebabkan Israel berfikir dua kali sebelum memulakan apa-apa pencerobohan baru terhadap Semenanjung Gaza.

Al-Zahar juga memuji kedudukan yang diambil oleh Mesir dalam konflik dan usahanya dalam mendapatkan perjanjian gencatan senjata, berkata “kami menjangka kedudukan ini dari Mesir yang baru yang mana Presiden, kerajaan dan rakyatnya berdiri teguh di belakang rakyat Palestin”. Al-Zahar (gambar) menyamakan peluru berpandu jarak jauh Hamas seperti “batu-batu dari tanah yang dibakar keras”, merujuk al-Quran, Surah al-Fil.

Al-Zahar berkata “pertempuran batu-batu dari tanah yang dibakar” dengan Israel telah memberi faktor baru dalam konflik dan akan membentuk pengakhiran pencerobohan melalui pertempuran yang terancang dan meningkat yang akan mendedahkan tahap khayalan musuh yang mengabaikan kehendak rakyat Palestin dan ketahanan mereka.” Beliau menambah, “peperangan ini akan menjadi peristiwa penting,  bukan sahaja dalam sejarah di rantau ini, yang telah menyaksikan perubahan rejim yang banyak, khususnya di Mesir, tetapi juga dalam sejarah dunia.”

Al-Zahar juga memaklumkan Asharq Al-Awsat bahawa “[Perdana Menteri Israel] Netanyahu mahu menamatkan perang selepas tiga hari kerana pihak keselamatan beliau memberitahunya bahawa musuh hanya memiliki 300 roket yang boleh dilancarkan, namun mereka terkejut apabila roket terus dilancarkan dan menghujani Israel pada hari-hari terakhir di mana pada pencerobohan dipesatkan, bukan dikurangkan.” Al-Zahar mendedahkan bahawa Israel telah menerima semua syarat Palestin, tanpa apa-apa pindaan, tidak seperti yang didakwa oleh media Israel.

Beliau berkata “Kami tidak menerima cadangan Israel mengenai penyelesaian dua peringkat, iaitu pertama gencatan senjata dan kemudian membuka lintasan sempadan. Kami menolak cadangan tersebut dan tetap dengan tuntutan asal kami iaitu gencatan senjata dan membuka lintasan sempadan dalam satu langkah, dan Israel bersetuju untuk ini.” Beliau menambah, “Kami telah membuktikan bahawa pilihan melawan kembali ketika konflik berlangsung adalah satu-satunya pilihan yang menunjukkan kejayaan dan kita telah menunjukkan ini ketika menghalau keluar pendudukan Israel dari Gaza pada tahun 2005.”

Beliau berkata “Tempoh di mana musuh menyerang kita sudah berlalu, dan kita sekarang dalam peringkat kita menyerang mereka.”  Beliau mengesahkan bahawa tempoh ini adalah “pertumpahan darah dan senjata” dan satu-satunya pilihan rakyat Palestin adalah melawan kembali. Di samping itu, beliau menyeru semua individu untuk mengkaji semula kedudukan mereka dan membentuk sebuah gabungan yang menyokong penentangan bersenjata, menegaskan bahawa rakyat Palestin yang keluar meraikan kemenangan Gaza mewakili satu referendum mengenai pilihan jihad dan penentangan.

Beliau menegaskan bahawa rakyat Palestin hari ini menyokong penentangan dan berdiri teguh dalam menghadapi pencerobohan Israel. Beliau berkata, “darah pemimpin kekal membakar perjuangan rakyat dan penentangan.” Al-Zahar juga menafikan laporan bahawa dia melarikan diri dari Gaza semasa pencerobohan Israel, mengatakan “syahid di tangan Allah dan mengalahkan penjajahan adalah matlamat kami, rakyat Palestin, yang tidak sabar-sabar untuk mendapatkannya.

“Kami telah menyerahkan anak-anak kami demi Islam dan untuk mempertahankan tanah dan tapak suci kami. Oleh itu, bagaimana anda boleh mengatakan bahawa saya, seorang pemimpin Hamas, akan lari dari peperangan ke Mesir? ” Beliau menambah, “Saya di Gaza dan saya bertemu dengan delegasi Mesir dan berkongsi kegembiraan rakyat Palestin malam tadi dalam kemenangan kita. Saya akan kekal di sini di atas tanah Palestin, di barisan hadapan rakyat Palestin sehingga menang atau syahid!”

* Tulisan asal  http://www.asharq-e.com/news.asp?section=1&id=31914

Khatib : Abu Nuha

Lokasi : Masjid al-Hilal Kg Tg Dumpil Putatan

Tindakan dan kejadian yang sepatutnya menyentuh hati dan naluri umat Islam di seluruh dunia. Menguji keimanan seluruh umat Islam, sejauh mana mereka bertanggungjawab untuk menjaga amanah membantu saudara seagama walaupun jauh beribu batu. Mereka yang menjadi saudara seaqidah kita dikepung, ditangkap, dipenjara, disiksa dan dibunuh oleh Zionis Laknatullah, kerana mereka – umat Islam di Palestin ingin agama Islam ini tertegak di dalam pemerintahan dan seluruh kehidupan mereka.

Jangan kita merasa hairan dengan sikap Yahudi Zionis yang melakukan kekejaman ini. Mereka membunuh orang tua, kanak-kanak dan perempuan. Ingat! Bangsa ini jugalah yang pernah membunuh para Nabi dan Rasul AS sebagaimana firman Allah SWT :

“Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah dan membunuh nabi-nabi dengan jalan yang tidak benar, serta membunuh orang-orang yang menyeru manusia supaya berlaku adil, maka sampaikanlah berita yang mengembirakan mereka (bahawa Allah akan menghukum mereka) dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya”. (Ali Imran : 21)

Bahkan para ulama Yahudi pernah memberi fatwa membenarkan tenteranya membunuh sesiapa sahaja tanpa mengira siapa mereka, kerana bangsa lain adalah haiwan dan binatang, terutama umat Islam, tetapi Allah SWT telah menetapkan bahawa cahaya agama Islam ini akan terus bersinar.

Cahaya dan hidayah Islam akan sampai di mana  sahaja cahaya matahari akan sampai. Allah SWT menjanjikan bahawa akan sentiasa ada hambaNya yang menjadi pejuang dan akan mempertahankan agama Islam ini walau darah dan batang tubuhnya menjadi pertaruhan.

Allah SWT telah memilih segolongan umat ini yang tidak boleh dikalahkan sehinggalah Allah SWT memberi keputusan, memenangkan Islam dan menghapuskan Yahudi. Allah SWT telah menunjukkan kepada kita melalui sabda Rasulullah SAW :

“Akan tetap ada satu kumpulan di kalangan umatku, mereka bangun berdiri menegakkan kebenaran agama ini. Mereka tidka boleh dilemahkan dan tidak boleh dikalahkan oleh orang yang mengecewakan mereka, sehinggalah datang keputusan daripada Allah SWT. Para sahabat bertanya, siapakah golongan itu wahai Rasulullah? Baginda menjawab : Mereka ialah penduduk Baitul Maqdis dan mereka yang berada di sekitar Baitul Maqdis”.

Hari ini sudah ada kumpulan-kumpulan yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW, mereka tampil dengan gagah berani, mereka cinta dan rindukan mati syahid bagi mempertahankan umat Islam dan tanah suci mereka. Kita melihat kebangkitan kumpulan Harakah Muqawamatul Islamiyyah (HAMAS) di Palestin dan Ikhwan Muslimin yang kini menguasai pemerintahan di Mesir melalui Presiden Dr Mohammed Mursi yang merupakan seorang penghafaz al-Quran, serta didukung oleh kumpulan-kumpulan Islam yang lain.

Sumber : http://www.tarbawi.my/

Pada tahun 636 M seramai 41’000 tentera Islam yang dipimpin oleh Khalid al Walid, berjaya menewaskan 70’000 tentera Rom yang terkenal dengan kelengkapan artileri. Kekalahan tentera Rom pada waktu itu yang dikenali dalam perang Yarmouk, telah membuka peluang kepada umat Islam menguasai Baitul Maqdis.

Kerajaan Rom ingin menamatkan penjajahan mereka di Timur Tengah dengan menyerahkan Kota Al Quds kepada umat Islam. Bagaimanapun, Patriarch Sophronius seorang uskup gereja di Al Quds berkeras dan enggan menyerahkan Baitul Maqdis kepada umat Islam kecuali Amirul Mukminin, Umar Al Khattab datang sendiri menemui rakyat Illiya’ dan mengambil kunci dari tangannya sendiri. Di sinilah hikayat agung pembukaan Kota Al Quds yang diukir Sahabat Rasulullah S.A.W yang digelar Al Faruq, Umar al Khattab.

Setelah bermesyuarat, Umar-pun berangkat dari Madinah ke Palestin dengan hanya menaiki seekor unta dan ditemani oleh seorang khadamnya sahaja.  Menurut riwayat, Umar dan khadamnya bergilir-gilir menaiki unta. Jika Umar menaiki unta, maka khadamnya yang akan memandu pedati unta tersebut. Manakala jika khadamnya naik unta, Umar pula yang akan berjalan menjadi pemandu permusafiran itu. Setiap kali giliran dilakukan, mereka akan membaca surah Yassin sehingga tamat. Itulah yang dilakukan oleh Umar dan khadamnya sehingga tiba di Kota al Quds.

Apabila Kota al Quds semakin dekat, khadamnya memesan agar Umar terus mengambil kedudukan di atas pelana unta, sementara dia yang akan memandu unta tersebut. Tetapi Umar melarang dan mengarahkannya agar terus mengikut tempoh gantian yang telah disyaratkan sejak berada di Madinah. Dan kebetulan saat mereka berdua hampir ke gerbang Kota Al Quds, ia adalah giliran Umar memandu unta tersebut. Saat itu rakyat Illiya’ yang majoritinya beragama Nasrani memenuhi Jerusalem. Mata mereka tertumpu kepada seorang pemimpin yang tidak pernah mereka lihat sepanjang sejarah.

Lazimnya penguasa-penguasa Rom akan membawa bala tentera dan sejumlah kebanggaan diraja, permaisuri dan gundik-gundik yang sudah menjadi kemestian mereka. Tetapi Umar sebagai khalifah Islam, yang berjaya mengurus tenteranya menundukkan Rom, datang dengan baju yang lusuh dan bertampal, manakala kedua-dua kakinya dipenuhi debu pasir.

Pembesar-pembesar Kristian terpegun melihat kerendahan Umar sekalipun kuasa pemerintahan terbuka luas di tangannya. Mereka semua mengandaikan Umar akan tiba dengan satu rombongan yang besar, sehebat reputasi kerajaan dan namanya, sebaliknya Umar hanya ditemani oleh seorang khadam dan unta yang dipandunya Umar sendiri.

Mereka merasakan perbezaan yang sangat ketara antara peribadi Khalifah Umar dengan semua Raja Kaisar yang pernah menakluk Jerusalem sebelum ini. Lalu seluruh rakyat Iliya’ di Kota Al Quds itu memberikan penghormatan kepada Umar sambil menundukkan kepala. Kemudian Umar berteriak keras,

“Angkat kepala kalian sesungguhnya kamu tidak perlu menundukkan kepala (sujud) seperti ini kecuali kepada Tuhan”.

Terpegun Sophronius melihat kesederhanaan Khalifah, lalu dia berkata, ”Jika beginilah pemimpin Islam, sesungguhnya kerajaan kamu (Umar) tidak akan tewas”.

Khalifah Umar kemudiannya menerima penyerahan kunci kota suci itu secara rasmi dari Sophronius. Kemudian Umar mengikat jaminan aman kepada penganut Kristian Iliya’ yang ingin tetap tinggal di Jerusalem.

“Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Inilah perdamaian yang diberikan oleh hamba Allah Umar, Pemimpin Negara Islam kepada rakyat Iliya’. Islam menjamin keamanan rakyat Iliya’, keselamatan harta benda , gereja-gereja, salib-salib, mereka yang sakit mahupun yang sihat dan seluruh keyakinan aliran agama mereka. Tidak boleh mencerobohi gereja mereka mahupun memusnahkan, mengurangi (melakukan rampasan) mahupun menghilangkan sama sekali…”

Genap 10 hari Saidina Umar bersama tentera-tentera Islam yang kemudiannya masuk ke Kota al Quds dengan aman. Kejayaan tersebut diraikan dengan doa kesyukuran kepada Allah Taala. Sewaktu berdoa, Umar tiba-tiba menangis.  Lalu salah seorang bertanya kepada Umar, “Wahai Umar adakah kamu menangis kerana kemenangan ini?”

“Iya, aku menangisi kemenangan ini. Aku teringatkan Baginda Nabi S.A.W pernah bersabda… – Demi Allah, bukanlah kemiskinan yang aku khuatirkan terhadap diri kalian. Tetapi yang aku khuatirkan adalah kesenangan dunia yang dibentangkan pada kalian sebagaimana diperolehi oleh orang-orang sebelum kalian. Lalu kalian semua saling pintas-memintas untuk mendapatkannya sebagaimana mereka, sehinggalah harta tersebut membinasakan kalian seperti mereka dibinasakan…” [Sahih Muslim]

Setelah itu, Umar kembali bersama khadamnya menuju semula ke Madinah. Datang dan perginya Khalifah Umar, hanya berperawakan seperti musafir biasa dan rakyat jelata. Inilah sifat peribadi tokoh yang mampu membebaskan Palestin, mereka adalah orang yang zuhud (memanfaatkan dunia seadanya, tidak melampau atau berlebih-lebihan) dalam semua perkara.

Kisah Sultan Salahuddin Al Ayyubi

“…This is what the Lord Almighty says, ‘I will punish the Amalekites for what they did to Israel when they waylaid them as they came up from Egypt. Now go, attack the Amalekites anda totally destroy everything that belongs to them. Do not spare them; put to death men and women, children an infants, cattle and sheep, camels and donkeys’.” – Samuel I 15:3, International Version.

Berikut adalah paragraf Bible yang diimani para tentera Salibiyyah ketika melumatkan penduduk Islam di Palestin pada 7 Jun 1099 M (493 H). Amalekites ataupun disebut ‘Amlaaq’ di dalam bahasa Arab, disifatkan sebagai golongan anti-Semitism. Mereka yang menanggung gelaran itu berhak dirampas haknya, dirosakkan bangunan dan penginapannya serta segala harta milik kaum Muslimin terutamanya dihancurkan, tidak kira samada mereka itu lelaki, wanita, kanak-kanak mahupun warga emas. Semuanya dibelasah, dibantai dengan jiwa rakus penuh kekejaman.

Ketika perang Salibiyah berlaku pada tahun tersebut, diangggarkan 40’000 kaum Muslimin yang terbunuh, dan dengan megah Godfrey of Bouillon menegakkan Ordo Sion di bumi Palestin. Peranan yang dimainkan Godfrey telah berhasil mengangkat adiknya, Baldwin I sebagai Raja Jerusalem pertama setelah rampasan kota suci tersebut dari tangan Muslim. Berita kemenangan Godfrey itu dikhabarkan sehingga mereka terpaksa merenangi lautan darah apabila deretan gelumang mayat umat Islam dibunuh setinggi kaki kuda.

Keserakahan Salibiyyah di bumi Palestin kemudiannya dihentikan oleh Salahuddin Al Ayyubi (1169-1193 M) pada 583 H di dalam peperangan Hittin. Tentera Salibiyyah yang dibidak Guy The Lusignan dan Reynald The Chatillon mengalami kekalahan teruk dan sangat memalukan.

Namun, apa yang yang dilakukan oleh Salahuddin Al Ayyubi sangat berbeza dengan apa yang pernah dilakukan oleh Godfrey, peristiwa pembantaiannya terhadap penduduk Palestin 90 tahun sebelum ini. Setelah Jerusalem berjaya ditawan tentera Islam, Salahuddin diancam oleh Balian, Baron of Ibelin yang telah kalah dalam pertempuran itu untuk membunuh keluarga mereka sendiri, haiwan ternakan, membunuh 5’000 orang Islam yang ditawan, meruntuhkan kubah batu (Doom of the rock) dan juga Masjidil Aqsa.

Setelah Salahuddin mendengar hujjah dungu kekalahan Balian, seraya beliau bertanya kepadanya, “Adakah kaum wanita, kanak-kanak yang tidak berdaya hendak juga kamu bunuh?!!”

Mengingatkan ancaman Balian itu, Salahuddin Al Ayyubi menawarkan kepada orang-orang Kristian di Palestin, “Jika tentera Salib menyerah, mereka dan seluruh keluarga termasuklah harta-harta mereka boleh meninggalkan Jerusalem dalam tempoh masa 40 hari”. 

Hal itu mengejutkan Balian, walaupun sebelum ini tentera Salibiyyah yang pernah dipimpin Godfrey membunuh puluhan ribu orang Islam setelah berjaya merampas Palestin, tetapi Salahuddin tetap memberikan peluang kepada tebusan-tebusannya tanpa menaruh rasa dendam untuk membalas perbuatan Godfrey.

Salahuddin memberi peluang membebaskan mereka dengan wang tebusan bagi seorang lelaki sebanyak 10 dinar, wanita 5 dinar dan kanak-kanak 1 dinar. Wang tebusan itu adalah harga kemerdekaan yang paling murah pernah dilakukan, malah Salahuddin menetapkan bahawa seluruh jumlah wang tersebut akan digunakan untuk membangunkan semula Jerusalem yang telah musnah. Lalu berbondonglah para bangsawan dan panglima tentera Salib keluar dari Jerusalem, mereka keluar dari kota itu tanpa mempedulikan nasib yang menimpa kepada para pengikut mereka sebelum ini yang tidak mampu membayar wang tersebut walau dengan jumlah 1 dinar.

Apabila Salahuddin Al Ayyubi mengetahui masih ada yang tidak mampu membayar dengan jumlah yang ditawarkan itu, maka Salahuddin kembali mengumumkan bahawa sesiapa yang miskin akan dibebaskan tanpa bayaran. Keluarlah mereka beramai-ramai dari pintu St. Lazarus dari pagi sehingga ke malam bersaksikan keadilan yang dimiliki oleh Sultan yang beragama Islam itu.

Keluhuran akhlak dan kecintaan Salahuddin Al Ayyubi kepada kedamaian begitu mendalam walaupun beliau sendiri merupakan panglima perang, tetapi jalan peperangan bukanlah jalan yang ditagih, sebaliknya perang dilakukan adalah kerana cintanya untuk mempertahankan Islam.

Di Mesir, Salahuddin membina sebuah benteng tebal yang kukuh dan panjangnya lebih dari satu kilometer. Di Dimashq, beliau telah mendirikan rumah pemeliharaan bagi orang-orang miskin. Demikian juga di Sudan, Yaman dan lain-lain negara yang pernah ditadbirnya terdapat banyak bangunan kebajikan untuk rakyat. Tetapi ketika akhir hayat Salahuddin, sultan yang pernah mengepalai negara dari Syam sehingga ke Afrika itu hanya meninggalkan 1 dinar dan 36 dirham.

Tiada sebutirpun emas, sebidang kebun atau tanah yang mampu diwariskannya. Sehinggakan peruntukan untuk membeli kain kafan-pun merupakan hasil sumbangan menteri kerajaannya. Ternyata Panglima besar ini, Salahuddin tidak memikirkan sama sekali harta untuk dirinya. Semua tenaga dan harta miliknya  dicurahkan untuk perjuangan di jalan Allah semata-mata.

Kisah Sultan Saifuddin Qutuz

Sejarah kembalinya Palestin ke tangan orang Islam diteroka dan ditinjau, sebenarnya diteraju oleh pemimpin yang terdiri dari orang yang terlebih dahulu berjaya membebaskan dirinya dari penghambaan kepada nafsu mahupun mana-mana perkara yang tidak selayaknya disembah melainkan Allah Taala. Ini kerana, bagaimana kita mampu menewaskan musuh yang nyata sekiranya kita sendiri kalah dengan musuh yang menghuni diri kita sendiri. Demikian itu, kita saksikan hari ini di Palestin, Israel terus menggasak kerana percaya bahawa umumnya dunia Islam masih belum berhijrah memperbaiki diri dan mudah diperbudakkan ibarat lembu yang dicucuk hidungnya.

“Perbaiki cela yang ada pada diri, baharulah kamu mampu memperbaiki cela orang lain…”;

Inilah rumus kemenangan umat Islam ke atas tentera-tentera anak cucu Genghiz Khan (tentera Tatar) di Ayn Jalut, Palestin. Ketika seluruh peta Islam jatuh ke pesta pembunuhan yang dilakukan tentera-tentera Tatar, Sultan Saifuddin Qutuz telah berjaya menewaskan mereka yang kelaparan darah para mujahidin.

Apakah kaedah yang digunakan oleh Qutuz?

Sebelum Qutuz membawa bala tenteranya ke medan perang, beliau terlebih dahulu menyisihkan pemimpin yang korup dan memerangi penguasa umat Islam yang kecundang dengan nafsu. Qutuz pernah melaungkan kata-katanya kepada penguasa yang bertuankan hawa nafsu :

“Wahai pemimpin umat Islam! Kamu diberi gaji dari baitul maal sedangkan kamu benci untuk berperang, kamu tidak mempertahankan maruah Islam! Aku ingin berhadapan kepada Allah dan Rasul-Nya dalam keadaan mempertahankan agama, maka sesiapa di antara kamu memilih untuk berjihad, temani aku. Dan sesiapa memilih untuk enggan berjihad, pulanglah ke rumah. Sesungguhnya Allah tidak akan membiarkan dosa kehormatan Muslimin yang akan ditanggungnya oleh orang yang tidak turut  berjihad…”.

Dari hal itu, Qutuz telah mendahulukan harta kerajaan untuk diinfaqkan ke medan jihad, sebelum meminta kerahan hasil baitul maal dan harta rakyat jelata disumbangkan.

Qutuz turut melakukan pengislahan terhadap politik negara yang ketika itu tidak stabil dengan ketamakan dan perebutan kuasa yang berlaku di antara penyokong Turansyah (cucu Al Marhum Sultan Salahuddin Al Ayyubi), penyokong Syajaratud Durr, penyokong Sultan An Nasir Yusuf di Syam dan penyokong Sultan ‘Aizzudin Aibaq. Qutuz menghentikan permusuhan yang berlaku antara Mamluk Bahriyyah dan Mamluk Mu’izziah, serta mengeratkan hubungan Mesir dan Syam yang sebelum ini tegang dengan persengketaan di antara ‘kem’ Ayyubiyah dengan ‘kem’ Mamluk. Orang-orang Ayyubiyah menganggap orang Mamluk tidak berhak memerintah Mesir kerana mereka dari golongan hamba.

Qutuz turut menjernihkan perbalahan antara penyokong Khawarizmiyyah dengan penyokong Abbasiyyah yang pernah dihangatkan dengan api permusuhan doktrin dan aliran. Qutuz juga meninggikan institusi ulama’ sebagai organisasi tertinggi di dalam kerajaannya, di mana Sultanul Ulama’ Sheikh ‘Izziddin Abd Salam dijadikan penasihatnya dalam semua keputusan kerajaannya. Demikian itu, baharulah Allah Taala memberikan kemenangan kepada Qutuz di Ayn Jalut, bertepatan dengan syarat kemenangan-Nya :

“…Setelah mereka campakkan (benda-benda itu), Nabi Musa berkata:” Apa yang kamu datangkan itu, itulah sihir; Sesungguhnya Allah akan membatalkan (kemenangan), adapun Allah tidak akan memberikan kebaikan (kemenangan) kepada orang-orang yang melakukan kerosakan. Dan Allah akan mengukuhkan kebenaran dengan ketetapanNya, walaupun orang-orang yang membuat dosa tidak menyukai” – Surah Yunus:81, al Quranul Karim.

Allah akan membatalkan kemenangan dan memberikan kepalsuan kepada orang yang melakukan kerosakan. Dan kemenangan dari Allah hanya akan diberi bila syarat-syarat telah terpenuhi apabila syariat-Nya dijaga.

Buku yang sudah dibaca :

Penulis : Maszlee Malik
Penerbit : JIM Media
Harga : RM8.00 / RM10.00

Isu Palestin merupakan isu umat Islam sedunia. Mengapa tidak, kerana di sanalah terdapatnya kiblat umat Islam yang pertama dan juga tempat berlakunya Isra’ dan Mi’raj, iaitu Masjid al-Agsa. Palestin juga merupakan tanah milik umat Islam sejak dari zaman nabi Allah Sulaiman lagi. la kemudian silih berganti dijajah oleh bangsa Yahudi, Rom dan Parsi sehinggalah pada zaman Umar, Palestin kembali menjadi milik umat Islam. Pada awal abad ke-12 Masehi Palestin kembali dijajah oleh tentera Salib, namun akhirnya berjaya dibebaskan oleh Salahudin al-Ayubi. Kini, semenjak tahun 1948 Masjid al-Aqsa dan bumi Palestin sekali lagi dijajah oleh rejim Zionis Yahudi.

1. Dimanakah Palestin?

2. Apakah keistimewaan Palestin kepada umat Islam?

3. Apakah keistimewaan bumi Palestin kepada agama lain?

4. Siapakah penduduk Palestin?

5. Betulkah dakwan kaum Yahudi sebagai penduduk asal bumi Palestin?

6. Bagaimanakah kaum Yahudi boleh menduduki dan memerintah Palestin?

7. Mengapakah Barat menyokong penubuhan negara Israel?

8. Apakah pertubuhan Zionis dan bilakah gerakan ini ditubuhkan?

9. Bilakah bermulanya pendudukan Zionis di bumi Palestin?

10. Mengapakah umat Islam memerangi Yahudi?

11. Apakah yang telah dilakukan oleh rakyat Palestin untuk memerdekakan tanahair mereka?

12. Bilakah negara Israel ditubuhkan?

13. Apakah pula PLO dan apa peranannya dalam isu Palestin?

14. Apakah yang dilakukan oleh rejim Yahudi dalam usaha mereka untuk mengYahudikan Palestin?

15. Bagaimanakah nasib rakyat Palestin yang menjadi pelarian?

16. Pernahkah rakyat Palestin memberikan tentangan yang hebat kepada rejim Zionis selepas tertubuhnya negara Israel?

17. Apakah erti Perjanjian Damai?

18. Apakah kesan Perjanjian Oslo?

19. Apakah gerakan Intifadah?

20. Apakah pula Intifadah kedua?

21. Adakah isu Palestin hanya merupakan isu umat Islam sahaja?

22. Apakah kesan kewujudan negara Israel kepada dunia?

23. Penutup

24. Lampiran

Sebuah filem perjuangan untuk Palestin

 

Sumber : Akhbar Siasah Bil : 0262 (29 Apr-05 Mei)

Muktamar persediaan bagi pembentukan kesatuan sedunia membantu al-Quds dan Palestin yang diusahakan oleh gabungan para ulama dunia turut disertai oleh tokoh politik, ahli akademik dan ahli parlimen yang kesemuanya bersepakat kearah membebaskan al-Quds dan Palestin. Kesatuan itu juga menentang apa jua bentuk kezaliman, kekerasan, pencabulan terhadap manusia yang dilakukan oleh penceroboh Zionis serta menentang sebarang usaha memilikyahudikan tanah suci al-Quds.

Ketika majlis pembukaan ketua-ketua deligasi dan perwakilan telah menegaskan akan kepentingan mewujudkan kerjasama diantara pertubuhan yang bekerja bagi membantu al-Quds dan Palestin. Para perwakilan juga telah membahaskan tentang projek mewujudkan kerangka asasi kesatuan sedunia bagi membantu al-Quds dan Palestin serta menggerakkan resolusi yang dicadangkan keatasnya.

Para perwakilan yang terdiri daripada ulama, professional, wanita, ahli parlimen serta tokoh akademik telah memerterai persetujuan semasa sesi bengkel untuk menyelaras dan mengkordinasikan gerak kerja mereka dalam bentuk pertukaran kepakaran, pandangan dan cadangan bagi membantu al-Quds dan Palestin dengan menubuhkan organisasi atau badan penyelaras.

BERSETUJU

Perhimpunan tersebut diadakan di bandar Istanbul yang bermula pada 10 hingga 11 Safar 1432H bersamaan 15-16 Januari 2011, disertai oleh 350 perwakilan mewakili 80 pertubuhan, persatuan dan kesatuan. Dalam muktamar tersebut para perwakilan telah bersetuju ke atas ketetapan berikut :

Pertama : Mengisytiharkan kesatuan antarabangsa membantu al-Quds dan Palestin.

Kedua : Pemilihan kepimpinan kesatuan sepertimana berikut :

Ketua : Dr Muhammad Said al-Katatani (Mesir)

Naib Ketua : Ahmad Agraqaja (Turki)

Naib II : Ahmad Abdul Karim (Syria)

Naib III : Nasharuddin Mat Isa (Malaysia)

Naib IV : Muhammad Ghulam (Mautitania)

Pemilihan jawatankuasa penaja seperti berikut :

Ketua : Sa’ud Abu Mahfodz

Naib Ketua : Munir Sa’id

AJK : Basil Jad’an

AJK : Dr Walid al-‘Audi

Ketiga : Meluluskan Resolusi Umum seperti berikut :

– Muktamar merakamkan ucapan tahniah kepada kerajaan dan rakyat Turki diatas kesungguhan mereka dalam menangani isu Palestin dan menghapus sekatan yang dikenakan ke atas Gaza.

– Muktamar menuntut negara Arab untuk membuktikan komitmen mereka dalam menghapuskan sekatan yang dikenakan keatas penduduk Gaza dan mengembalikan infrastrukturnya serta memberikan sumbangan kewangan yang telah dipersetujui oleh mereka.

– Muktamar menyeru negara Arab dan Islam untuk menentang ancaman mengyahudikan bandar al-Quds dan kesuciannya yang terletak padanya masjid al-Aqsa yang mulia. Begitu juga muktamar menuntut agar organisasi muktamar Islami untuk membuktikan komitmen mereka bagi membantu al-Quds.

– Muktamar mengalu-alukan kesungguhan rakyat dan negara Islam yang telah dan akan mengerah keringat bagi membantu rakyat Palestin serta memecahkan sekatan yang dikenakan keatas Gaza. Muktamar juga menyeru agar kesungguhan ini diteruskan bersama dengan masyarakat dunia yang lain bagi membantu rakyat Palestin.

– Muktamar menyeru kepada usaha yang berterusan bagi membongkar segala kekejaman zionis dan peri penting menggunakan segala ruang perundangan bagi mengheret mereka ke muka pengadilan.

– Muktamar menegaskan komitmennya menyokong rakyat Palestin dalam menghadapi jentera peperangan Zionis dan juga menyokong rakyatnya dalam menghadapi ancaman Yahudinisasi.

– Muktamar menyeru kepada penyatuan rakyat Palestin dan bersatu hati dalam menghadapi musuh yang satu serta mewujudkan suasana yang positif demi kepentingan rakyat Palestin.

– Muktamar menyeru pemerintah negara Arab dan Islam serta seluruh pertubuhan hak asasi manusia meningkatkan usaha bagi menuntut pembebasan rakyat Palestin yang ditahan di penjara-penjara Zionis.

INFO PALESTIN

Berita 1 :

Israel Memulakan Persiapan Untuk Membangun Sebuah Jambatan Terdekat Untuk Masjid Al Aqsa

Rabu ,22/09/2010 – Yayasan Wakaf dan Warisan Al Aqsa mengeluarkan kenyataan petang Khamis lalu yang mendedahkan bahawa Pihak Israel sudah mula melakukan persediaan untuk pembinaan jambatan di Gerbang Mughrabi berdekatan dengan Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis.

Persediaan bermula selepas mahkamah Israel bersetuju dengan pembinaan jambatan yang akan menghubungkan antara Al-Buraq (Berwarna Barat) dan Al Mughrabi Gate. Jambatan itu juga akan memudahkan tentera Israel dan para penduduk menyerang Masjid Al Aqsa, menurut yayasan tersebut. Sumber : http://www.imemc.org. Penterjemah : Hijjaz.

Berita 2 :

Tel Aviv antara pembayar gaji tertinggi

Selasa , 21/09/2010 – Bandar Tel Aviv yang terletak di tengah-tengah kawasan jajahan Palestin menduduki tempat ke 25 dalam senarai taraf hidup paling mahal di dunia.

Laporan dari Bank Dunia Swiss menyatakan Tel Aviv sedang pesat menuju ke arah bandar paling mahal nilai taraf hidupnya berdasarkan klasifikasi global Bank Dunia di Switzerland. Bank Dunia Swiss juga turut meletakkan Tel Aviv di kedudukan 33 dalam senarai pembayar pendapatan tertinggi dan kedudukan ke 34 untuk kuasa membeli. Sumber : The Palestine Telegraph. Penterjemah : Idawati.

Berita 3 :

Tentera Zionis Israel (IOF) mendirikan pos pemeriksaan baru di Nablus

Rabu ,22/09/2010 -Tentera Zionis Israel menahan puluhan kenderaan rakyat Palestin pagi ini di sebuah pos pemeriksaan di Nablus, di Tebing Barat. Saksi tempatan berkata bahawa tentera Zionis Israel mendirikan pos pemeriksaan baru di pintu masuk ke kampung “Assira” utara Nablus dan menahan sejumlah kenderaan Palestin yang bergerak di kedua-dua arah.

Saksi menambah bahawa tentera Zionis Israel yang ditempatkan di pos pemeriksaan merumitkan lagi urusan rakyat Palestin dengan menyemak kad pengenalan mereka dan menahan mereka selama beberapa jam tanpa alasan yang jelas. Sumber : The Palestine Telegraph. Penterjemah : Syuhada.

Berita 4 :

Hamas menentang kempen Zionis ke atas para tahanan

Rabu ,22/09/2010 – Hamas memperbaharui tentangannya terhadap kempen kekejaman yang dijalankan oleh pihak Biro Penjara Zionis bertemakan “demi para tahanan kita di penjara Nazi”, dan pertanggungjawaban serta kesan buruk kempen ganas mereka ini.

Hamas juga mengutuk sikap bodoh dan berdiam diri masyarakat antarabangsa terhadap isu jenayah ke atas hak riduan tahanan Palestin, di mana pada waktu yang sama mereka menangisi nasib para banduan Zionis yang ditahan sewaktu serangan Zionis ke atas Gaza.

Hamas dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Biro Informasinya pada hari Isnin (20 September) mengutuk kempen yang dijalankan oleh Biro Penjara Zionis, “demi keberanian tahanan kita” di penjara Ofer, Hadarim, Raymond dan Shattah. Hamas menyeru organisasi antarabangsa terutamanya PBB, kesemua negara-negara berkaitan dan rakyat Palestin sendiri untuk bersatu dan membantu para tahanan di penjara Zionis, melawan pencabulan dan keganasan yang amat hodoh yang dijalankan terhadap mereka. Sumber : http://www.palestine-info.info/ar/. Penterjemah : Azleen

Berita 5 :

Gaza Alami Kekurangan Sumber Makanan

Rabu ,22/09/2010 – Para penganalisis pertanian dan makanan menegaskan bahawa Semenanjung Gaza mengalami kekurangan sumber makanan, peningkatan pengangguran serta penurunan import dan eksport bahan makanan. Mereka memohon tindakan segera untuk menggalakkan pasaran tempatan di Gaza dengan cara mengaktifkan bercucuk tanam di sekitar kawasan rumah dan pengembangan pertanian kepada para pertani.

Ketua delegasi Belanda ke Semenanjung Gaza, Jack Twis, dalam satu latihan kerja yang diselenggarakan Lembaga Pengembangan dan Bantuan Pertanian di Gaza, menegaskan, Isnin (20/9), bahawa para petani Semenanjung Gaza mengalami kerugian besar dan kerosakan yang sangat banyak terhadap pertanian mereka. Ia membahayakan bidang pertanian, yang merupakan sumber utama ekonomi Gaza.

Beliau menegaskan bahawa delegasinya akan melakukan kerjasama dengan jawatankuasa-jawatankuasa kampung di Gaza untuk melancarkan dua projek yang bertujuan untuk memperkuat dan menggalakkan pertanian yang menghasilkan produk eksport di Semenanjung Gaza untuk meningkatkan pasaran. Projek ini melibatkan dana 45% dari jumlah anggaran untuk penanaman 300 hektar mawar bagi 50 petani, 350 hektar buah-buahan untuk 80 petani, 52 hektar sayur-sayuran untuk 25 petani. Diharapkan hasil akhir mencapai 30 juta mawar dan 700 ton buah-buahan dan sayur-sayuran. Sumber : COMES. Penterjemah : Osman.

Layari maklumat Palestin di http://palestinkini.info/

%d bloggers like this: