Tag Archive: Pakatan Rakyat


DEBAT SINAR : PTPTN

 

 

 

 

 

Wan Saiful Wan Jan

Satu tulisan / artikel yang baik dan wajar direnung oleh rakan-rakan penjawat awam. Berfikirlah secara matang dan berlapang dada.

Tajuk Asal : Penjawat awam perlu bersedia untuk perubahan kerajaan – IDEAS

Sumber : http://aspanaliasnet.blogspot.com/

Semakin hampir pilihanraya semakin banyak isu dan ‘idea’ yang timbul dan ini menunjukkan yang PRU kali ini merupakan PRU yang sangat penting bagi kedua-dua belah pihak PR dan BN. Jika ada perubahan, maka pegawai dan kakitangan awam perlu bersedia untuk menerima perubahan dan pertukaran kerajaan yang bukan satu perkara yang mustahil malah ia merupakan satu perkara yang amat diharapkan oleh banyak pihak untuk berlaku.

Wan Saiful Wan Jan, Ketua Eksekutif IDEAS (Institute for Democracy and Economic Affairs) telah membuat kenyataan supaya Penjawat Awam boleh menerima perubahan kerajaan dan membantu proses melaksanakan perubahan itu dengan lancar dan licin. Kita boleh mengikut contoh-contoh yang baik yang berlaku didalam kerajaan negara-negara maju seperti di Britian, yang merupakan demokrasi yang tertua dalam dunia ini.

Di Britain satu perubahan berlaku tahun lepas setelah kerajaan Labour Party telah gagal untuk mempertahankan kerajaan yang dikuasainya dan telah membantu proses peralihan kuasa dari Gordon Brown dari Labour Party kepada David Cameroon yang telah menjadi Perdana Menteri apabila mewujudkan kerajaan campuran dengan parti Liberal Demokrat.

Proses perubahan pimpinan itu terlaksana dalam tempoh 6 jam sahaja sejurus Gordon Brown keluar dari Istana Buckingham setelah mengadap Ratu Elizabeth. Peralihan itu tidak ada perkara tarik menarik yang kuat diantara parti-parti kerana yang kalah menerimanya sebagai perkara biasa dalam sebuah demokrasi ulung didunia ini.

Pihak yang memerintah boleh diturunkan dan duduk dipihak pembangkang dengan hati yang terbuka dan kembali berkuasa apabila rakyat kembali memberikan mandat pada pilihanraya yang seterusnya. PM Gordon Brown sebelum mengadakan pilihanraya umum Britain, tidak ada membuat ucapan yang beliau akan berhempas pulas dengan apa cara sekali pun untuk mempertahankan 10 Downing Street.

Ahli ahli legislatif di England tahu dan menerima hakikat bahawa negara rakyat yang punya, bukannya pemimpin yang diberikan kuasa itu yang punya. Mungkin oleh kerana kesedaran itulah yang IDEAS telah bersedia untuk memberikan pandangan dan nasihat kepada rakyat negara ini untuk belajar menerima hakikat bahawa kuasa itu tidak kekal. Kuasa itu hanya kekal ditangan rakyat kerana rakyat lah yang bertanggungjawab untuk memberikan kuasa kepada pihak mana yang mereka yakini.

Nasihat Wan Saiful kepada pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan itu sangat tepat pada masanya kerana mungkin IDEAS mempunyai keyakinan yang kali ini kuasa mungkin berpindah tangan dan itu adalah perkara yang biasa berlaku dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi. Dipihak pemerintah sendiri sedang mengalami igauan kerana memang kemungkinan untuk rakyat memindahkan kuasa kepada pihak lain itu adalah cerah.

Oleh kerana BN merasakan yang kuasa itu adalah hak mutlak mereka sahaja, maka Najib pun berkokok yang beliau akan lakukan apa sahaja untuk mempertahankan Putrajaya. ‘By hook or by crook’ Putrajaya has got to remain with them. Ini membayangkan yang BN lah yang gila kuasa, bukannya pembangkang.

Bagi saya IDEAS sepatutnya memulakan kursus sivik kepada semua rakyat untuk memberikan mereka kefahaman tentang demokrasi dengan mendalam. Rakyat wajar di latih untuk keluar dari kepompong pemikiran yang sempit sehinggakan masih ada yang sanggup dibohongi semata-mata kerana isu-isu yang dibangkitkan terhadap pihak alternatif oleh mereka yang amat takut kepada kehilangan kuasa ini.

UMNO mahukan rakyat untuk memberikan sokongan kepada mereka walaupun mereka bergelumang dengan rasuah yang besar-besar kerana kononnya UMNO telah mencapai kemerdekaan negara. Oleh kerana UMNO yang membawa negara kemerdekaan, UMNO mahukan rakyat mengikut sahaja walaupun mereka telah merosakkan perbendaharaan negara dan membinasakan budaya politik kita sampai ketahap yang tidak dapat dikenali lagi.

Saya memandang IDEAS sebagai satu NGO yang sangat relevan untuk kehadapan bagi memberikan ‘consequence’ yang baik untuk membina budaya demokrasi yang tulin dan mengutamakan semangat demokrasi itu dengan persepsi yang baik dan sempurna.

Saya sendiri mengenali beberapa orang anggota IDEAS ini dan mereka adalah dari gulungan yang baik dan menerima hakikat yang negara perlu kepimpinan yang beretika tinggi serta pimpinan yang mengikut ‘rule of law’ serta percaya kepada pembahagian kuasa diantara Eksekutif, Legislatif dan Judiciari yang mantap.

Kepada Penjawat Awam, mereka mesti akur dengan pilihan rakyat dan melaksanakan tanggungjawab seperti biasa tidak kira siapa yang diamanahkan untuk memerintah. Penjawat Awam wajar tidak memihak kepada mana-mana pihak dan berhak untuk memilih sesiapa sahaja dalam pilhanraya yang akan datang secara sulit, tanpa rasa takut kepada tekanan yang datang dari mana-mana pihak.

NABI Muhammad s.a.w bersabda :

“Mereka (kakitanganmu) adalah saudara (adik beradik)mu, Allah menempatkan mereka di bawah kelolaanmu; sehingga sesiapa mempunyai saudara di bawah kelolaannya maka harus diberinya makan seperti apa yang dimakannya (sendiri) dan memberi pakaian seperti apa yang dipakainya (sendiri); dan tidak membebankan  mereka dengan tugas   berat di luar kemampuan, dan jika kamu membebankannya dengan tugas seperti itu,   hendaklah kamu sendiri membantu mereka.” (HR. Muslim)

Saya ditugaskan berdiri di sini untuk membentangkan Kertas Jingga Tawaran Pakatan Rakyat berkaitan Perkhidmatan Awam Negara.

Pakatan Rakyat telah mencapai kemenangan. Semalam Perdana Menteri telah mengumumkan skim SBPA ditangguhkan. Pengumuman ini dibuat sehari sebelum Konvensyen Pakatan Rakyat di mana Kertas Jingga kita telah  mencadangkan bukan sahaja SBPA ditangguhkan tetapi digubal semula! Nampaknya Kertas Jingga kita telah dapat dikesan oleh PM.

Tahniah kita ucapkan kepada seluruh kakitangan awam atas kejayaan mereka menangguhkan pelaksanaan skim yang akan melebarkan lagi jurang pendapatan di kalangan kaki tangan awam negara ini. Selain tidak dirundingi secara lebih menyeluruh, SBPA benar-benar memberikan penekanan kepada lapis atas sektor perkhidmatan awam dan tidak memberikan pembelaan sewajar dengan kenaikan beban hidup kepada 80% lagi kaki tangan yang dimmasukkan dalam kategori pelaksana.

Berdasarkan Laporan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10), 40 peratus daripada rakyat negara ini tergolong dalam kategori isi rumah berpendapatan kurang daripada RM1,500 sebulan. Kira-kira 75 peratus daripadanya ialah keluarga Melayu/Bumiputera merangkumi keluarga kakitangan awam yang kononnya dibela oleh Kerajaan UMNO-Barisan Nasional (BN). Hakikatnya, masih ramai rakyat Malaysia yang hidup merana. Layanan terhadap golongan rakyat tersebut yang diberikan Kerajaan UMNO-BN dapat disifatkan umpama melukut di tepi gantang, keluar tidak mengurangi, masuk tidak memenuhi.

Jika kita merujuk kepada data terkini Kumpulan Wang Simpanan pekerja (KWSP), 5.3 juta pekerja dengan 92 peratus daripadanya adalah ahli aktif menerima gaji bulanan tidak melebihi RM5,000. Dengan kata lain, hanya 8 peratus daripada golongan pekerja, termasuk kakitangan awam yang berada dalam kategori berpendapatan  melebihi RM5,000. Anggaran Bank Dunia meletakkan bahawa 34 peratus daripada tenaga kerja masih dibayar kadar RM700 sebulan, bermakna satu pertiga daripada tenaga kerja Malaysia berada di bawah paras kemiskinan. Kakitangan awam juga berdepan dengan situasi sedemikian.

Gaji yang bertepatan dengan keperluan kewangan menampung hidup mengikut kos semasa bukanlah keistimewaan atau kemewahan yang dituntut oleh kakitangan awam, tetapi satu konsep hak asasi manusia yang diterima pakai di seluruh dunia. Prinsipnya adalah seharusnya menepati maksud hadis yang saya bacakan tadi.

Bahawa setiap manusia wajar menerima upah yang membolehkan dia menampung kos asas kehidupan seperti kediaman, makanan, pendidikan dan perubatan. Oleh yang demikian, kemelut tuntutan gaji minima yang berpanjangan dan tidak berkesudahan melambangkan persepsi Kerajaan UMNO-BN yang memandang remeh kehendak rakyat, termasuk kakitangan awam yang begitu asasi, seolah-olah rakyat menagih dan meminta sedekah. Hasilnya, sama seperti mahasiswa yang dibelenggu dengan hutang PTPN, kakitangan awam negara kita sebenarnya turut terbelenggu dengan perangkap hutang.

Kerajaan Kelantan pada asasnya bersetuju, Insyaallah jika PR mentadbitr Putrajaya, royalti petroleum yang terhak kepada Kelantan akan dibayar dan semua pinjaman PTPN rakyat Kelantan bermula sejak 2005 akan dijelaskan. Saya telah mendengar ucapan Dato Seri Anwar Ibrahim menjelang 901 yang menyebut PR akan menyemak semula kedudukan PTPN seluruh negara jika PR menguasai Putrajaya. Di bawah SPBA yang dicadangkan, masih terdapat kakitangan awam yang menerima gaji di bawah RM900. Sebagai contoh:

Tangga Gaji Bagi Skim N(Pentadbiran & Sokongan):

Gred N5-1 (SSM – N11) 850 – 2390 (Kenaikan gaji tahunan KGT RM80)

Gred N4-1 (SSM – N17) 955 – 2780 (Kenaikan gaji tahunan KGT RM95)

Prinsip mendekatkan jurang pendapatan akan diguna pakai bagi tawaran alternatif PR kepada perkhidmatan awam negara. Prinsip lain ialah Pakatan Rakyat mengiktiraf sumbangan kakitangan awam yang telah lama berkhidmat atau ‘seniority’ bagi memastikan kenaikan gaji golongan tersebut adalah sepadan. Elaun khas profesional akan ditetapkan bagi kakitangan awam yang mempunyai pengiktirafan profesional seperti jurutera (Ir), juru arkitek (Ar), juruukur tanah (Sr) dan seumpamanya.

Pakatan Rakyat akan menghentikan serta-merta kecenderongan dan amalan menggunapakai tenaga perunding antarabangsa yang penuh dengan pertikaian dalam proses keputusan kerajaan seperti amalan sekarang dan mengembalikan pengaruh dan kedudukan kakitangan awam dalam proses kerajaan.

Tindakan membuka jawatan penting kerajaan kepada lantikan luar juga membuktikan bahawa Perdana Menteri tidak mempunyai kepercayaan kepada kakitangan awam untuk melaksanakan agenda transformasi beliau sehingga terpaksa mengimport tenaga profesional luar seperti yang dilakukan melalui Pemandu di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala dan melibatkan syarikat perhubungan antarabangsa seperti APCO dan FBC. Oleh kerana kertas ini disediakan untuk memberikan pandangan PR terhadap SBPA, izinkan saya melanjutkan sedikit ulasan saya mengenainya.

Kakitangan awam kategori Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) C dijangka menerima kenaikan hampir 45 peratus pada peringkat permulaan gaji berbanding SSM. Meskipun kumpulan pengurusan premier hanya mempunyai 36 orang di negara ini, tetapi Kumpulan Premier 1 mendapat kenaikan sehingga RM60,000 sedangkan gaji mereka sebelum ini hanya sekitar RM30,000. Sementara itu, kakitangan awam biasa hanya menerima kenaikan gaji 7-13 peratus selepas menerima SBPA.

Sebahagian kakitangan juga menuduh SBPA tidak menghargai kakitangan yang bekerja lama atau warga tua. Sebagai contoh, selepas kenaikan tangga gaji skim SSM kepada skim SPBA, kakitangan awam B hanya mendapat separuh daripada kenaikan kakitangan awam A, masalah sama juga berlaku kepada kakitangan awam C gred gaji N1 yang berkhidmat lebih 20 tahun mendapat kenaikan kurang daripada kakitangan awam A. Padahal kakitangan awam C sepatutnya layak menerima lebih kenaikan berbanding kakitangan awam A.

Oleh sebab peningkatan gaji bergantung kepada peratusan daripada pokok gaji, ini menyebabkan peningkatan gaji kakitangan awam yang rendah tidak mendapat peningkatan yang ketara apabila dilakukan kenaikan daripada SSM kepada SBPA.  Mengambil gaji guru sebagai contoh, perbezaan peratusan kenaikan gaji bagi guru di bawah SBPA sangat ketara. Guru DG44/DG1-2 cuma mendapat kenaikan gaji sebanyak RM2.01 atau 0.07% iaitu daripada RM2,982.99 kepada RM2,985 selepas menukar daripada SSM kepada SBPA. Nilai ini terlalu rendah jika dibandingkan dengan kenaikan gaji guru DG54/DG1-6 sebanyak RM1,857.46 (bersamaan 35.94%), daripada RM5,167.64 kepada RM7,025.00.

Gaji guru

Penelitian kami  menunjukkan bahawa pengiraan SBPA akan menyebabkan berlakunya peningkatan gaji guru yang tidak adil. Tambahan juga, terdapat guru dalam gred berbeza menikmati gaji yang sama. Contohnya, seorang guru P1T10 yang menikmati gaji bulanan RM2509.90 dalam SSM, selepas menerima SBPA, gajinya sama dengan guru P1T9 sebanyak RM2615 sebulan.

Jika dihayati ucapan Perdana Menteri semasa membentangkan Belanjawan Negara 2012, tempoh guru DG41 (DG1-1) dinaik pangkat ke DG44 (DG1-2) adalah tahun ke-8 dan seterusnya tahun ke-16 dikira dari pelantikan DG41 akan dilantik ke DG48 (DG1-4). Tapi mengikut SBPA, pihak yang terlibat harus menunggu tahun ke-9 atau menggenapkan perkhidmatan selama 8 tahun di DG41/DG1-1 sebelum dinaikkan pangkat ke DG44/DG1-2 dan perlu menggenapkan 8 tahun perkhidmatan di DG1-2 sebelum layak dinaikkan pangkat secara ‘time-based’ ke DG1-4.

Pengumuman penangguhan SBPA oleh PM membuktikan terdapat begitu banyaknnya kelemahan dalam skim ini. Soalnya, kenapa kabinet meluluskan pelaksanaannya tanpa benar-benar menelitinya? Pakatan Rakyat mencadangkan bukan sahaja SBPA ini ditangguhkan bahkan satu tawaran alternatif berasaskan prinsip akauntabiliti dan kecemerlangan perkhidmatan awam dibentangkan dalam tempoh 60 hari dari tarikh konvensyen ini.

Selain dari itu, satu jawatankuasa mengkaji Akta Pekerja yang dicadangkan oleh Kerajaan BN di mana ia lebih menyebelahi majikan berbanding kakitangan terutama kaki tangan kontrak. Sewaktu menyiapkan kertas ini, kami juga menerima permintaan dari kakitangan MAS yang merasa tidak puas hati dengan kedudukan mereka ekoran ‘share swapping’ antara Air Asia yang mempunyai kakitangan yang sedikit berbanding pesawat dan MAS di mana kaki tangannya lebih besar dengan nisbah pesawat yang lebih kecil.

Di samping itu, dari maklum balas yang kami terima, lebih dari 50% kakitangan awam memihak kepada PR kerana mereka merasakan PR lebih ‘fatherly and motherly’. Simbol ‘fatherly’ PR ada pada tokoh seperti Tuan Guru Nik Aziz dan tokoh ‘motherly’ seperti Datuk Seri Dr. Wan Azizah. Sementara dinamisma yang diperlukan oleh perkhidmatan awam ada pada tokoh seperti YAB Lim Guan Eng. Dengan itu, PR mempunyai kelebihan bagi memberikan tawaran yang lebih bertepatan dalam rangka meningkat mutu perkhidmatan awam kita yang sebenarnya menjadi kunci ‘delivery and perfomance’ Kerajaan.

Dengan saiz perbelanjaan mencecah 28.7% dari Belanjawan 2012 atau jumlahnya RM 52 billion, seharusnya mutu penyampaian perkhidmatan awam mestilah sangat tinggi dan cemerlang.

Sekian

Husam Musa

Konvensyen Pakatan Rakyat

14 Januari 2012

——————————————-

Kertas cadangan ini dibentangkan penulis dalam Konvensyen Ketiga Pakata Rakyat di Alor Setar pada 14 Januari 2012.

Sumber : di sini

Islam didahulukan, Melayu bersamanya. Bukan Melayu didahulukan, Islam mengikutnya, kerana Islam ditegakkan Melayu selamat. Kalau Melayu ditegakkan diatas aqidah kebangsaannya, Melayu sesat, Islam terpinggir. Inilah kecuaian Umno sejak ditubuhkan sehingga kini. Kecintaan kepada keluarga, kaum dan bangsa adalah fitrah yang digalakkan oleh Islam, tetapi menjadikannya aqidah perjuangan adalah satu kesesatan. Rasulullah S.A.W. memulakan perjuangan dengan keluarga dan kaumnya, tetapi dengan aqidah dan berpandukan Islam.

Rasulullah S.A.W. adalah ikutan yang dilantik oleh Allah, bukan dilantik melalui pilhanraya atau perhimpunan agung mana-mana parti. Apabila Rasulullah S.A.W. dilantik menjadi Rasul akhir zaman kepada seluruh alam, dipilih daripada kalangan bangsa arab qabilah Quraisy, paling jahil, miskin dan berada ditangah padang pasir paling gersang, tetapi menjadi paling sabar, berani dan paling lasak menghadapi cabaran kalau ditarbiyah.

Bangsa arab seluruhnya berpecah dan berperang sesama sendiri. Semenanjung arab, tanah air mereka dijajah oleh kuasa besar dunia Parsi dan Rom. Pesoalannya apakah yang didahulukan oleh Rasulullah S.A.W? Sama ada memulakan perjuangan diatas semangat kebangsaan arab, satukan mereka terlebih dahulu diatas semangat kebangsaan itu, tegakkan perjuangan kemerdekaan menentang penjajah Parsi dan Rom, selepas itu Islam boleh tegak dengan sendiri besamanya. Atau mulakan dengan Islam, perkasakan bangsa arab dengan Islam yang  sempurna, aqidah, syariat dan akhlak?

Ucapan pertama  disampaikan kepada penduduk Makkah dengan arahan wahyu daripada Allah ialah, firman Allah:

قُلْ يَاأَيُّهَا النَّاسُ إِنِّي رَسُولُ اللَّهِ إِلَيْكُمْ جَمِيعًا الَّذِي لَهُ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ لا إِلَهَ إِلا هُوَ يُحْيِي وَيُمِيتُ فَآمِنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ النَّبِيِّ الأمِّيِّ الَّذِي يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَكَلِمَاتِهِ وَاتَّبِعُوهُ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ } [الأعراف: 158

158.  Katakanlah: “Hai manusia Sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepada kamu semua, iaitu Allah yang mempunyai kerajaan langit dan bumi; tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia, yang menghidupkan dan mematikan. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, Nabi yang ummi yang beriman kepada Allah dan kepada kalimat-kalimat-Nya (kitab-kitab-Nya) dan ikutilah Dia, supaya kamu mendapat petunjuk.”

Bukan dengan seruan hidup arab Islam selamat !, hanya bangsa arab yang boleh menegakkan Islam , macam selogan Umno :”hidup Melayu!”.

Tegasnya bahawa Rasulullah S.A.W. memulakan perjuangan mengajak bangsa mengikut Islam, bagi memerdekakan diri daripada jahiliyah dalam diri sendiri  terlebih dahulu dengan bangsanya mengikut Islam. Walaupun mendapat tentangan hebat daripada pemimpin kaum bangsa dan keluarganya sendiri, sehingga dihalau daripada tanah air tempat dilahirkannya  (Makkah).

Kemudian menggunakan kuasa pemerintahan Islam yang ditegakkan oleh kaumnya yang menerima Islam dengan beriman mengikutnya dengan sempurna dan mengumpul serta menyatukan mereka dengan Islam. Kemudian kembali semula ke Makkah untuk memerdekakannya daripada kuasa pemeritahan jahiliyah arab  yang dipimpin oleh ayah mertuanya sendiri Abu Sufian bin Harb.

Allah mewafatkan Rasulullah S.A.W. setelah ajaran Islam disempurnakan secara wahyu serta cara beramalnya dinyatakan oleh Sunnah Rasulullah S.A.W. dan setelah menyampaikan mesej Islam secara bersurat yang dihantar kepada negara dan bangsa yang bukan arab. Ada yang menerima Islam, ada yang tidak menerima tetapi berdamai dan ada yang mengambil sikap permusuhan.

Sebelum wafat Rasulullah S.A.W. Allah menegaskan kepadanya secara wahyu kepada bangsa arab yang menganut Islam supaya berpandukan Islam, diantaranya Allah memberi amaran :

وَإِنْ تَتَوَلَّوْا يَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ ثُمَّ لَا يَكُونُوا أَمْثَالَكُمْ

38. Jika kamu berpaling (daripada menegakkan Islam) niscaya dia akan mengganti (kamu) dengan kaum yang lain; dan mereka tidak akan seperti kamu ini. (Surah Muhammad).

Khalifah Abu Bakar mengambil alih memimpin negara menentang bangsa arab yang murtad (berpaling tadah menentang Islam). Penyelewengan berlaku dengan bantuan penjajah Parsi dan Rom. Setelah Khalifah Abu Bakar berjaya mengalahkan bangsa arab yang murtad maka dimulakan dakwah mengajak kaum lain kepada Islam tanpa paksaan.

Dua kuasa besar dunia menentang secara ketenteraan kerana menganggap bangsa arab yang menganut Islam itu masih lemah saperti sebelum Islam. Tiba-tiba dua kuasa besar dunia ikut tumbang kerana jahiliyyahnya,  walau pun mereka maju daripada segi kebendaannya, tetapi dibejati kezaliman dan maksiat. Khalifah Umar R.A. yang berjaya menjatuhkan dua kuasa besar dunia itu manyampaikan ucapannya ketika berada di Kota Suci Bait Al Maqdis:

(Kita adalah bangsa yang diberi kemuliaan oleh Allah dengan Islam, sekiranya kita mencari kemuliaan yang lain daripada apa yang telah dikurnia Allah, nescaya kita akan ditimpa hukuman Allah menjadi bangsa yang hina). 

Ketika bangsa arab yang menganut Islam masih berpegang dengan ajaran Islam, mereka terus memimpin negara yang paling besar dalam sejarah, bersama masyarakat majmuk berbagai bangsa dan agama. Mereka mengislamkan bangsa lain tanpa paksaan dan mengislamkan ilmu serta kebijaksanaan daripada berbagai bangsa, sehingga melahirkan tamadun Islam yang paling hebat dalam sejarah manusia.

Apabila bangsa Arab menjadi leka terhadap Islam, maka Allah menukarkan bangsa bukan arab yang menganut Islam dan berpadukan Islam serta  menegakkannya. Bangsa lain mengambil alih pemerintahan telah melahirkan ilmuan Islam dan pemimpin negara. Manakala bangsa arab menjadi rakyat dibawah pemerintahan Islam, oleh para ulama dan pemimpin bukan berbangsa arab, saperti Kurdis, Turki, Bukhara dan lain-lain.

Bangsa Melayu di Asia Tenggara turut sama menjadi bangsa yang perkasa apabila mereka menganut Islam dan raja-rajanya memerintah dengan Islam. Bahasa Melayu berhuruf Al Quran bertamadun menjadi bahasa ilmu dirantau ini. Kedatangan penjajah yang mampu menguasai dunia Islam, termasuk dunia Melayu di rantau ini apabila mereka lemah berpegang dengan ajaran Islam. Cahaya Islam yang sedikit tidak boleh dipadamkan masih bersuluh membangkitkan perjuangan menentang penjajah.

Walaupun penjajah asing sudah meninggalkan tanahair kita, tetapi kesan daripadanya masih wujud dengan tebal. Kita tidak dapat mengembalikan jati diri melainkan dengan kembali menjadikan Islam tertegak di hadapan kita yang menjadi panduan seluruh cara hidup beragama dan bermasyarakat. Ini seperti yang pernah dilakukan oleh Rasulullah S.A.W dengan petunjuk Allah dan diperingatkan oleh Khalifah Umar bin Al Khattab R.A.

Mari kita menjadi bangsa yang insaf dengan muhasabah diri, bagaimana bangsa arab yang berjumlah ratusan juta, di tengah kekayaan hasil minyak yang tidak terkira,  dipermainkan oleh kuasa barat yang pernah menjajah mereka. Mereka tidak mampu berdepan dengan segelintir bangsa yahudi zionis yang diletakkan oleh penjajah bagi menjaga kepentingannya di Asia barat. Ini kerana mereka berpaksikan kebangsaan arab dan meminggirkan Islam di belakang mereka. Satu agenda penjajahan pemikiran yang sengaja dirancang bergitu rupa.

Hari ini bangsa arab mula sedar dan bangkit bersama Islam dengan memulakan kemenangan Islam secara aman memalalui pilihanraya yang adil setelah ditekan oleh pemimipin bangsa sendiri secara kuku besi.

Umno adalah pelakon yang sama memimpin negara yang dikatakan merdeka, dengan semangat hidup Melayu, Islam selamat. Nyata bahawa Melayu tidak selamat dengan cara Umno. Islam cara Umno  tidak mampu memperkasakan Melayu, kerana Melayu didahulukan, Islam tidak memandunya kerana tidak djadikan panduan. Maka bangsa Melayu tidak mampu bersaing dengan kaum lain dalam masyarakat majmuk.

Kita wajib menerima hakikat masyarakat majmuk yang diatur oleh penjajah ditanah air kita. Setelah mereka menjajah bangsa Melayu yang lebih dahulu yang bercampur dengan kaum pribumi berada ditanahair ini. Penjajah membawa kaum lain yang dijajah juga, untuk sama-sama diperhambakan untuk kepentingan penjajah barat. Bangsa Melayu dan penduduk asal yang lain terus dipinggir dikawasan luar bandar dengan keadaan terbiar dalam kemiskinan. Kaum Cina pula menjadi buruh di lombong-lombong  dan sebahagiannya di bandar dan kaum India menjadi buruh di ladang-ladang. Semua kaum diperkudakan untuk kepentingan penjajah dan seterusnya diatur untuk dilagakan diantara satu sama lain, untuk terus diperintah atau menjaga kepentingan penjajah  selepas merdeka.

Mengikut Islam bahawa masyarakat majmuk adalah satu adunan yang baik sekiranya dimanfaatkan dengan bijak, sekiranya wujud kedudukan yang seimbang dan saksama diantara satu sama lain. Kaum lain telah menerima hakikat bangsa Melayu yang beragama Islam adalah teras kepada negara dengan hak yang adil secara sama dengan kaum yang lain, kerana jumlah mereka lebih besar.

Tiba-tiba kedudukan orang Melayu yang beragama Islam ketinggalan jauh dibelakang dari segi pendidikan, ekonomi, politik dan lain-lain. Ini menyebabkan rasa tidak puas hati terhadap kaum lain, dengan terpinggir secara nyata di Singapura, Pulau  Pinang dan negeri-negeri lain di pantai barat dan Malaysia Timur. Semua negeri-negeri ini pada awalnya dipimpin oleh Umno yang bertemakan hidup Melayu mafhumnya tegaklah Islam.

Malangnya Umno menyalahkan pihak lain, khususnya PAS yang tidak bersama Umno sejak menentang penjajah dan cara mencapai kemerdekaan dan mengurus negara. Umno meletakkan Islam disamping atau dibelakang tanpa kuasa secara warisan penjajah yang merancang untuk melemahkan umat Islam mengikut kajian para orentalis. Akhirnya orang Melayu bukan sahaja terus dalam keadaan lemah, tidak mampu bersaing dengan kaum lain. Bukan sahaja ketinggalan dalam ekonomi dibumi sendiri, walaupun diberi tongkat hak istimewa Melayu dan bumiputera, bahkan ketinggalan dalam pendidikan dan kesadaran berpolitik.

Pemimpin yang tidak boleh menjadi model Islam kepada bukan Islam dan tidak mampu memimpin kumpulannya dan bangsanya sendiri, apatah lagi negara, tetapi lebih berlagak mampu dengan mempertahan kuasa dengan apa sahaja, kerana dibejati penyakit zalim dan fasad. Zalim mengikut takrif Islam ialah meletakkan sesuatu tidak kena pada tempatnya dalam segala bidang, seperti kehakiman, pentadbiran, ekonomi dan lain-lain aspek. Fasad pula ialah kemunkaran dalam segala aspek saperti rasuah dan segala maksiat terhadap Allah, diri sendiri dan masyarakat.

Pemimpin utama Umno sendiri sudah mengaku adanya penyakit yang kronik dalam diri parti Umno. Politik rasuah (wang) membarah dalam diri sendiri dan menyebarkannya kepada orang Melayu untuk mendapat sokongan, mengampu dan menipu sesama sendiri. Maka orang Melayu dalam bahaya bersama Umno.

Ketinggalan orang melayu dalam politik Singapura ditahun lima puluhan dan enam puluhan adalah dibawah pimpinan Umno. Tertinggalnya orang Melayu di Pulau Pinang adalah dibawah Umno juga. Umno menyelamatkan kedudukan dengan mengasak orang Melayu dengan kawasan pilihanraya campuran bagi memenangkan rakan kongsinya daripada kaum lain setelah parti itu kalah dikawasan mereka. Mereka menekan bangsa sendiri yang menegurnya dan tidak bersamanya, dengan menindas negeri Melayu yang tidak berpihak kepada Umno.

Tindakan menafikan hak royalti minyak terhadap Kelantan dan Terengganu suatu ketika dahulu serta melambatkan bayaran perkapita. Begitu juga dengan Kedah. Ini adalah contoh nyata Umno menindas negeri Melayu.  Umno juga mengapi-apikan semangat perkauman Melayu sehingga tegang hubungan dengan kaum lain, seterusnya orang Melayu dilekakan dengan wang, media yang menipu dan melalaikan mereka. Ketika bangsa lain berpolitik secara matang dengan kefahaman merancang masa depan yang jauh. Namun orang Melayu berpolitik diajar oleh Umno untuk mencari peluang beberapa hari dimusim pilihanraya sehingga lupa menjadi mangsa setiap lima tahun sehingga lebih lima puluh tahun terus ketinggalan.

Sudah tiba masanya orang Melayu memberi peluang kepada Umno berehat atau bersara atau berhenti terus.

Ucapan berapi dalam perhimpunan Agung Umno baru-baru ini lebih banyak membedil diri sendiri, bukan sahaja ada yang menikam dari belakang bahkan ada yang berani menikam secara berhadapan. Walaupun pada zahirnya menyerang lawan dan kawan. Yang tidak faham bertepuk tangan syok sendiri sehingga membengkak tangan. Adapun yang  faham pula berubah wajah kerana kebimbangan bahteranya menunggu karam ditebuk kelasi sendiri.

PAS berulangkali mengajak Umno bermuzakarah secara ilmu Islam dan adabnya bagi selamatkan umat dan negara dengan Islam, bukan berbincang untuk bersama memikul biawak hidup yang diternak oleh Umno. Mengajak kepada Islah sekadar kemampuan, kerana bukan cara menyelamatkan negara dengan mengapi-apikan semangat perkauman yang menegangkan hubungan diantara kaum dan agama. Caranya ialah dengan konsep adil untuk semua dan menjaga hak masing-masing secara adil, serta ruang demokrasi dengan batas-batas dan sempadannya yang sebenar secara ikhlas bukan secara menipu. PAS percaya Islam adalah hujah yang terkuat daripada Allah S.W.T kerana Islam adalah Rahmat Allah kepada seluruh alam.

Tulisan ini bukan menjaga tepi kain orang lain, tetapi hanya peringatan kepada mereka yang kainnya  sudah parah terkoyak, sehingga menampakkan  kecacatan yang memalukan.

PRESIDEN PAS
Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang

RAPAT RAKYAT

 

 

 

 

EKSKLUSIF BERSIH 2.0

Percayalah, kita hampir menuju saat pilihanraya – Abang Mad.

Faktor 3M – Money, Media & Missionary yang digunakan oleh BN untuk mempengaruhi rakyat. – Mustafa Ali.

Penipuan yang berlaku sangat terang-terang. SPR terlibat melakukan penipuan dan melanggar prinsip perlembagaan persekutuan – DSAI.

Pertambahan daftar memilih pos  sangat meragukan – Saifuddin Nasution Ismail.

Tajuk Asal : Pas Bersama PR, Melayu Untung Umno Rugi

Sumber : http://idrisahmad.wordpress.com/

Sejak PAS bersama dengan Pakatan Rakyat, maka terdapat suara sumbang supaya PAS jangan bersama PR, barulah kami akan sokong PAS. Persoalannya ketika PAS bersendirian pun puak ini tidak menyokong PAS juga. Ini hanya golongan mencari alasan sahaja. Sebenarnya mereka ialah orang yang diperalatkan oleh Umno termasuk melalui doktrin yang dibawa melalui Biro Tatanegara.

Berbagai alasan supaya PAS keluar daripada PR, barulah dapat melaksanakan agenda Islam yang lebih terancang, sehingga pipi tersorong-sorong untuk menyuruh PAS berpakat dengan Umno. Sengaja saya meletakkan tajuk ini supaya menjelaskan bahawa Melayu tidak rugi kalau menjauhkan diri daripada Umno. Selama ini pemimpin umno, menganggap Umno sahaja boleh menjaga melayu. Sebenarnya yang rugi bila PAS bersama PR ialah Umno.

Umno rugi kerana tidak dapat memfaraid harta rakyat dengan rakus. Terutama negeri-negeri yang kaya seperti Selangor. Memerintah Selangor seperti memerintah Malaysia kerana di sini ialah lubuk emas. Pemimpin Umno teringin untuk mendapat Selangor sehingga meleleh air liur apabila mengenangkan banyak projek yang selama ini diperolehi oleh suku sakat meraka sudah tidak ada lagi. Selangor ialah sebuah negeri industri, pelabuhan, lapangan terbang dan pusat pengajian tinggi. Jika PAS tidak bersama dengan PR sudah tentu pemimpin Umno menjadi korporat, Melayu merempat.

Umno rugi tidak boleh mematikan majlis ilmu yang diimarahkan di seluruh masjid negeri Pakatan Rakyat. Mereka mengetahui apabila rakyat berilmu dan beragama maka tidak ada harapanlah untuk bersama dengan Umno. Apabila rakyat memahami Islam yang syumul maka rakyat akan mengetahui bahawa Islam yang dihayati oleh Umno tidak menepati dengan kehendak agama yang disampaikan oleh Rasulullah SAW.

Melayu untung bila bersama dengan Pakatan Rakyat kerana dapat mendampingi ulamak yang muttaqin yang sering menyampaikan risalah Islam di masjid dan surau. Samaada melalui ceramah, forum, kuliah dan wacana ilmu. Selama ini orang Melayu dijauhkan dengan ulamak yang muttaqin. Ulamak diburu seperti komunis bintang tiga. Rakyat Selangor tidak akan lupa bagaimana Dato’ Dr Harun Din, almarhum Datuk Ishak Baharom bekas mufti kerajaan Selangor diburu dan hendak ditangkap semata-mata kerana hendak menyampaikan risalah agama.

Sebenarnya Umno yang rugi kerana gagal menjauhkan rakyat dengan ulamak yang muttaqin. Walaupun mereka cuba mempopularkan ulamak mereka melalui media namun selera rakyat tetap tidak beralih kepada ulamak yang Umno taja. Umno rugi kerana ulamak yang muttaqin ini tidak bersama dengan Umno dan tidak sealiran dengan perjuangan Umno, sebaliknya ia lebih selari dengan perjuangan PAS.

Melayu untung kerana dapat menikmati limpahan nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT di negara ini kerana Pakatan memerintah negeri mereka. Selama ini rakyat tidak pernah terfikir mendapat air percuma setiap bulan. Apabila mati waris mendapat wang RM2500. Malahan rakyat yang diperintah oleh Umno begitu cemburu dengan apa yang diperolehi oleh rakyat di negeri PR. Pemimpin Umno tidak pernah terfikir untuk memberi kembali kepada rakyat, yang paling menyedihkan rakyat, apa sahaja program yang dibuat oleh negeri Pakatan Rakyat maka mereka menuduh negeri tersebut akan bankrap.

Umno merasa rugi kerana lebihan wang negeri di kembalikan kepada rakyat. Selama ini wang ini akan masuk ke dalam kantong mereka sendiri, dengan membiarkan rakyat hidup susah. Kesusahan rakyat akan menjadi simpanan tetap Umno setiap kali pilihanraya. Melayu yang senang tidak bersama dengan Umno. Sekarang Melayu senang , pemimpin Umno yang susah.

Melayu untung dapat menyampai dakwah Islam secara bebas menepati dengan manhaj Rasulullah SAW tanpa sekatan. Lebih daripada itu Islam dapat dilihat oleh orang bukan Islam secara praktikal, bukan sahaja teori. Bagaimana rakan-rakan PR yang bukan Islam begitu berminat untuk mengetahui ajaran Islam, fenomena ini berbeza dengan MCA rakan karib Umno walaupun sudah bersahabat hampir 54 tahun tetapi tidak memahami Islam dan sensitiviti orang Islam.

Keceluparan mulut Dr Chua Saw Lek adalah bukti gagalnya Umno mendidik rakan politik mereka. Ucapan beliau yang mengguris perasaan orang Melayu seperti memperlekeh Cikgu Normala Sudirman yang tidak mahu bersalam dengan lelaki yang bukan mahram. Ketika isu ini dibangkitkan maka rakan-rakan bukan Islam dalam PR tolong menjelaskan kepada orang bukan Islam. Inilah manfaat yang cukup berharga diperolehi oleh orang Melayu apabila berjaya menyampaikan Islam kepada bukan Islam. Suasana ini tentulah merugikan Umno, kerana mereka berusaha untuk memastikan supaya orang bukan Islam tidak nampak kebaikan Islam, dengan ini mudah untuk mereka mengekalkan kuasa mereka.

Melayu untung kerana mereka boleh berniaga berdasarkan merit dan kebolehan bukan berdasarkan di mana kamu menjadi ahli cawangan Umno. Trend perniagaan ini telah ditamatkan di bawah Pakatan Rakyat. Keadaan ini merugikan Umno, selama ini mereka hanya bertindak sebagai broker dengan memakan persen sahaja bukan kerana kebolehan mereka. Akhirnya projek kepentingan negara hangus dan hancur kerana diberi kepada bukan ahlinya. Buat stadium runtuh, kapal selam tidak boleh menyelam, jambatan MRR2 retak, semuanya angkara kroni Umno.

Melayu untung kerana dapat melihat orang agama mentadbir negeri dengan baik dan teratur. Selama ini Umno ajar orang Melayu, bahawa ustaz atau Tuan Guru hanya boleh membaca kitab di dalam masjid. Kemampuan Tuan Guru Nik Aziz yang memerintah Kelantan lebih 20 tahun walaupun mempunyai kekangan kewangan namun lebih berjaya daripada negeri yang diperintah oleh Umno.

Begitu juga kemampuan Datuk Seri Ustaz Azizan Razak yang telah menunjukkan rekod cemerlang menguruskan Kedah walaupun terpaksa memikul bebanan hutang peninggalan BN RM2.3 bilion. Apa yang mengejutkan Kedah telah menunjukkan prestasi kewangan dengan lebihan RM19 juta untuk kewangan 2010. Negeri yang diperintah oleh Umno, pengurusan kewangan mereka boleh diletakkan di dalam Wad “ICU”. Jika sekiranya tanpa bantuan pusat mungkin rakyatnya akan dilelong.

Melayu untung apabila PAS bersama dengan PR, kerana taraf hidup rakyat berjaya ditingkatkan. Kebetulan rakyat miskin di negara ini majoriti rakyatnya ialah orang Melayu. Kelantan sewaktu tahun 1990, negeri ini nombor dua termiskin, sekarang berada di tangga keenam. Ini menunjukkan PAS akan berusaha untuk memastikan kualiti hidup rakyat lebih terbela. Ia berlainan daripada tindakan Umno yang mengkhianat orang susah kebetulannya orang Melayu.

Rakyat miskin akan menjadi simpanan tetap Umno setiap kali pilihanraya. Tidak hairanlah kepada kita bagaimana miskin memang dirancang supaya rakyat sentiasa di tahap miskin. Buktinya wang untuk Projek Perumahan Rakyat Termiskin sebanyak RM32 juta lesap. Dana untuk saham bumiputera sebanyak RM52 bilion telah lesap. Dana sebanyak ini membolehkan bumiputera memiliki ekuiti saham lebih 45 peratus.

Ustaz Idris Ahmad

Ketua Penerangan PAS Pusat

Tarikh : 6 Mei 2011 (Jumaat)

Masa : Selepas Solat Jumaat

Lokasi : Perkarangan Masjid Negara menuju ke pejabat JAWI

Henti politik hina, selamatkan maruah rakyat

Aziz Muda (Harakahdaily)

KUALA LUMPUR, 6 Mei: Para pemimpin dan ahli-ahli parti Pakatan Rakyat serta lebih 80 NGO, hari ini sebulat suara menzahirkan kemarahan mereka terhadap perkembangan dan krisis ekonomi, sosial budaya dan politik kotor yang semakin parah di tanah air. Mereka dengan tegas mengutuk penularan gejala politik yang tidak sihat, budaya memfitnah dan mengaibkan seorang musuh politik, sehingga mengakibatkan maruah masyarakat dan seluruh negara telah tercela, malah semacam dijadikan tebusan untuk memenuhi nafsu serakah politik pihak tertentu.

Exco Dewan Pemuda PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata, mereka amat kesal kerana penyebaran bahan lucah dalam bentuk amat menjijikkan, ditambah pula dengan usaha penyebarannya secara meluas dalam media massa, sudah sampai ke tahap menjadi barah negara. Menurut beliau, perkembangan tidak sihat itu jika tidak dibanteras akan mengakibatkan seluruh masyarakat menjunam ke gaung kehinaan.

Katanya, mereka ingin menegaskan bahawa rakyat Malaysia sudah mual dan sangat tersinggung terhadap mereka yang terlibat dalam kehinaan mengaibkan keperibadian seseorang, tidak kira siapa pun beliau, semata-mata hanya kerana bernafsu untuk mengekalkan kuasa.

“Rakyat Malaysia belum pernah dihadapkan dengan politik sehina seperti yang berlaku sekarang. Malah persaingan politik sepanjang mencapai kemerdekaan 53 tahun lalu tidak pernah mencecah ke tahap politik kotor dan jahat keterlaluan seperti yang sedang dipaparkan sekarang,” katanya. Ketika berucap pada perhimpunan aman Hari Amarah Rakyat di dataran Masjid Negara dan di hadapan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Jawi), di sini, hari ini, beliau menyuarakan kekesalannya dengan penyebaran secara sengaja bahan-bahan lucah itu.

“Ia ternyata bertujuan untuk mempengaruhi pemikiran masyarakat, sehingga menyebabkan rakyat terpaksa melihat bahan murahan yang menghina pemikiran dan nilai budaya keseluruhan warga Malaysia,” katanya. Perhimpunan aman itu dianjurkan oleh Gerakan Saf Anti Fitnah (Saf) dan turut disertai parti-parti politik serta lebih 80 NGO termasuk Teras, Shura, Muafakat Perubuhan Islam Kedah (Wehdah), Jaringan Muafakat Pertubuhan Islam Perak (Jama’iy), Insititut Penyelidikan dan Pengembangan Syariat dan Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis).

Perhimpunan yang turut mendapat kerjasama Gabungan Pemuda Pakatan Rakyat Anti Politik Lucah/Fitnah (Maruah) bagi membantah gejala politik fitnah dan lucah di tanah air itu diadakan selepas solat Jumaat, dengan disertai lebih 1,000 orang dari seluruh Kuala Lumpur, Selangor dan negeri-negeri lain di seluruh negara.

Sebelum itu, Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan Malaysia, Rozan, ketika berucap turut menzahirkan kemarahannya kerana ketika rakyat perlu berfikir jernih dan matang untuk memacu pembangunan negara segara secara sihat dan beradab, pemimpin negara pula membiarkan budaya politik lucah untuk menjadi santapan rakyat setiap hari.

“Akibatnya, persoalan-persoalan pokok negara yang sepatutnya ditumpu kini berkecai oleh politik murahan dan menjijikkan,” katanya.

Manakala Pengerusi Saf yang juga Pengerusi Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Azmi Abdul Hamid ketika berucap menyuarakan kekesalannya dengan seluruh institusi awam dan swasta dalam negara termasuk polis, Jabatan Peguam Negara, Jabatan Agama Islam, institusi kehakiman, Menteri Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri, Perdana Menteri. Turut dikesali seluruh Jamaah Menteri Kabinet, institusi mufti, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, media massa awam dan swasta kerana kini berada dalam kedudukan sangat tercemar, akibat kehilangan wibawa dan integriti untuk bertindak menangani isu politik lucah.

Katanya, mereka menyatakan kemarahan mereka kerana pihak berkuasa dilihat bersekongkol dengan mereka yang terlibat dengan amalan jijik itu, tanpa tindakan segera menangani isu penyebaran bahan lucah berdasarkan undang-undang sedia ada.

“Kami menyatakan kemarahan kami lantaran pihak berkuasa yang diberikan mandat menguatkuasakan undang-undang qazaf yang diperuntukkan dalam Seksyen 41, Enakmen Jenayah Syariah 1997 Wilayah Persekutuan sehingga kini tidak dilaksanakan.

“Apakah yang menyebabkan pihak yang berkuasa ini seolah-olah tidak bermaya untuk bertindak, malah hanya menjadi penonton sahaja kepada jenayah dilakukan secara jelas itu,” tegasnya yang juga Setiausaha Agung Sekretariat Himpunan Ulama Malaysia (Shura). Beliau menegaskan, mereka merasakan kemarahan rakyat adalah wajar kerana bukan sahaja agensi yang sepatutnya menguatkuasakan undang-undang Islam kini dilihat mandul, malah integriti dan wibawanya pun turut terjejas.

“Kami menzahirkan kemarahan kami kerana isu politik lucah ini sudah diabsahkan sebagai budaya politik yang akan diwarisi oleh generasi muda yang bakal mengambil alih kepimpinan negara,” ujarnya.

Sebelum itu, beberapa orang pemimpin NGO ketika berucap turut menzahirkan kekesalannya kerana pernyataan ulama yang menegur supaya pihak berkenaan menghentikan amalan mengaibkan peribadi seseorang tidak diendahkan sama sekali oleh mereka yang terbabit. Malah lebih parah lagi, ia disemarakkan pula oleh media arus perdana yang bertindak biadab dan menonjolkan budaya jahiliah kepada seluruh rakyat di dalam dan di luar negara.

Ucapan mereka turut diselang-seli dengan pelbagai laungan kutukan terhadap Umno dengan kata-kata “Hancur Umno” dan ucapan-ucapan lain, termasuk kutukan terhadap media tertentu yang turut memainkan peranan menyebarkan budaya politik fitnah dan lucah di dalam negara. Sementara setelah penyerahan memorandum yang mengandungi tuntutan 10 perkara kepada pihak Jawi dilakukan, Dinsman turut menyuarakan kekesalannya dengan membacakan sajak.

Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Ahmad Syazwan Muhammad Hassan yang turut menyertai perhimpunan itu bersama sekitar 300 rakan pelajarnya, ketika berucap menzahirkan perasaan mualnya dengan budaya politik hina di tanah air sekarang.

“Kami selaku generasi muda dan golongan pelajar tidak boleh menerima sekali-kali budaya politik hina, jijik, lucah, fitnah seperti sekarang dan mendesak agar semua itu dihentikan segera demi kepentingan negara,” tegasnya. Sempena himpunan aman itu, turut kelihatan pelbagai sepanduk yang dipamerkan oleh para peserta yang kesemuanya mengutuk keras budaya politik fitnah, lucah yang sedang berlaku dengan berleluasa di tanah air kita sekarang.

CERAMAH MIRI 8 APRIL 2011

 

%d bloggers like this: