Tag Archive: Nasrudin Hassan


Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/ketua-penerangan/38284-perkongsian-parlimen-jumlah-aliran-dana-asing

NASRUDIN HASSAN | 04 November 2015.

Nasrudin Hassan [Temerloh] minta Menteri Kewangan menyatakan jumlah dana asing yang mengalir keluar dari negara ini ekoran daripada penjualan saham-saham oleh pelabur antarabangsa sejak April hingga September 2015. (Tarikh: 3 Nov 2015)

JAWAPAN

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat dalam tempoh separuh pertama 2015, negara telah mencatat aliran keluar wang bersih dalam akaun kewangan sebanyak RM27.4 bilion.

Jumlah ini adalah kurang berbanding aliran keluar wang sebanyak RM32.4 bilion yang dicatatkan dalam tempoh separuh kedua 2014.

Daripada jumlah ini, pelaburan portfolio yang merupakan urusniaga antarabangsa dalam sekuriti ekuiti (seperti saham) dan sekuriti hutang (seperti bon, sukuk) mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak RM19.6 bilion atau USD5.4 bilion bagi tempoh 6 bulan pertama 2015.

Angka ini adalah lebih rendah berbanding RM31.5 bilion yang dicatat dalam tempoh yang sama tahun lalu. Ini menunjukkan keyakinan pelabur asing kekal positif dan mereka terus mempelbagaikan aset kewangan dalam negeri untuk mendapat pulangan yang lebih tinggi.

2. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, sebagai perbandingan aliran keluar bersih negara sebanyak USD5.4 bilion bagi tempoh 6 bulan pertama 2015 ini jauh lebih rendah berbanding aliran keluar bersih pelaburan portfolio di negara Singapura (USD21.9 bilion) tetapi selari dengan Thailand sebanyak USD5.1 bilion.

3. Sungguhpun terdapat aliran keluar dalam pelaburan portfolio, namun begitu negara terus mencatat aliran masuk pelaburan asing terutamanya berikutan asas makro ekonomi yang kukuh seperti kadar pengangguran yang rendah, tabungan negara yang tinggi, rizab antarabangsa yang mencukupi dan hutang kerajaan yang terkawal.

Kerajaan senantiasa berusaha untuk menyediakan persekitaran kompetitif serta mesra perniagaan yang seterusnya akan menaikkan sentimen pasaran dan pelabur.

Salah satu inisiatif kerajaan termasuklah menggesa Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) bagi mengkaji semula pelan pelaburan dan pembelian aset di luar negeri agar melabur semula pendapatan dalam negara.

Di samping itu, dalam usaha melindungi pelabur daripada kesan turun naik (volatility) mata wang ringgit, Bank Negara Malaysia (BNM) akan terus memantau secara terperinci jumlah dan jenis aliran keluar sama ada oleh pemastautin dan juga bukan pemastautin. – HARAKAHDAILY 4/11/2015

BERJUANG ITU INDAH

Sumber : http://www.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/32652-berjuang-itu-indah

NASRUDIN HASSAN | 12 Disember 2014.

1. Mehnah (karenah) dan Ibtila’ (ujian) di pentas perjuangan ini adalah merupakan sunnatullah. Sepanjang jalannya penuh dengan cabaran dan dugaan yang sengit dan perit. Fitnah dan tohmahan yang dilemparkan kepada sang pejuang adalah asam garam perjuangan. Firman Allah SWT:

وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ حَتَّىٰ نَعْلَمَ الْمُجَاهِدِينَ مِنكُمْ وَالصَّابِرِينَ وَنَبْلُوَ أَخْبَارَكُمْ

Dan demi sesungguhnya! Kami tetap menguji kamu (wahai orang-orang yang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami tentang adanya orang-orang yang berjuang dari kalangan kamu dan orang-orang yang sabar (dalam menjalankan perintah Kami); dan (sehingga) Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita-berita tentang keadaan kamu. (Surah Muhammad: Ayat 31)

2. Usahlah gusar dan resah. Jangan gentar dan gundah mendepani segala roma-roma perjuangan tersebut. Melainkan segalanya memulangkan keredhaan dan anugerah pahala dari Allah Azza wa Jalla. Asal saja kita sabar dan tabah serta ikhlas dan tawajjuh kepada Allah dalam memikul beban amanah perjuangan ini, maka perit jerih, suka duka dan penat lelah dalam perjuangan ini tidak sia-sia. Lihat bagaimana tawaran Allah Jalla Jalaaluh:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا هَلْ أَدُلُّكُمْ عَلَىٰ تِجَارَةٍ تُنجِيكُم مِّنْ عَذَابٍ أَلِيمٍ

Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?

تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَتُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasul-Nya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).

يَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَيُدْخِلْكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ وَمَسَاكِنَ طَيِّبَةً فِي جَنَّاتِ عَدْنٍ ذَٰلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

(Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga “Adn”. Itulah kemenangan yang besar. (Surah As Saff: Ayat 10-12)

3. Ertinya, perjuangan suci untuk menjulang kalimah Allah swt telah dijanjikan oleh Allah swt beberapa perkara, (asal saja kita beriman kepada Allah dan RasulNya serta ikhlas dan gigih berjuang di jalan Allah):

i ~ kelepasan api neraka

ii ~ keampunan dari dosa

iii ~ keanggotaan syurga

Justeru itu, jangan beralah dengan tekanan yang diterima dan jangan mengah dengan jauhnya jarak perjuangan ini. Banggalah apabila anda telah berjuang. Anda telah jadi orang-orang Allah swt meskipun mereka membenci anda!

Penulis ialah Timbalan Pengerusi 1 Lajnah Dakwah PAS Pusat.

Sumber : http://www.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/32568-salah-faham-terhadap-ulama-haraki

NASRUDIN BIN HASSAN | 08 Disember 2014.

1. Ulama yang terlibat dengan gerakan Islam dikenali sebagai Ulama Haraki. Iaitu Ulama yang aktif mengamalkan ilmunya dan menggerakkan kebangkitan ummah untuk mendaulatkan syariat Allah SWT di atas muka bumi tercinta ini.

2. Sifat haraki pula ialah pro aktif, responsif, kreatif, sensitif dan agerasif. Maka Ulama yang Haraki terdedah kepada teguran, kritikan dan nasihat terbuka dari pelbagai pihak. Sementelah berada dipentas politik terbuka di era globalisasi ini. Tanggapan ulama haraki ini tidak boleh ditegur dan dikritik lalu disamakan dengan kepimpinan mullah juga adalah fitnah berangkai yang tiada sudahnya untuk menjatuhkan reputasi dan prestasi mereka.

3. Ulamak haraki dalam PAS pula jelas kelihatan sifat keterbukaan mereka dalam menerima kritikan dalaman mahupun luaran. Mereka dihujani kritikan dan teguran yang keras dari pelbagai pihak. Bermula dari Al Mursyidul Am PAS dan ahli Majlis Syuranya sehinggalah kepada Presiden parti dan seluruh anggota Dewan Ulamak PAS Pusat juga negeri, mereka menyerap segala kritikan dan teguran itu dengan tabah dan cekal serta mengambil pengiktibaran dari sudut yang wajar.

4. Pengamatan saya, sesekali mereka tampil memberi penjelasan dan pencerahan di atas kekeliruan dan salah faham anggota parti dan masyarakat awam terhadap sesuatu isu, maka ia bukanlah bermaksud mereka tidak boleh menerima teguran dan kritikan. Sebaliknya mereka bertanggungjawab untuk mendidik dan membimbing ummah berasaskan ilmu Islam yang mereka bawa tanpa memperkecilkan teguran, nasihat dan kritikan membina yang dihantar kepada mereka.

5. Malah secara jujurnya, saya lihat perkembangan mutaakhir aksi para ulama haraki juga sebahagiannya hasil dari “ambil kira” teguran dan kritikan membina yang dihantar kepada mereka secara dalaman mahupun secara terbuka. Kepimpinan Ulama yang dipraktiskan dalam PAS sebagai sebuah Gerakan Islam unggul di Malaysia adalah sebuah kepimpinan yang sangat berkesan dan teruji khasnya apabila Negeri Kelantan mempamerkan skil dan skima pemerintahan di bawah Kepimpinan Ulama sejak 1990 yang lalu. Ia sangat dihormati dan disayangi oleh semua termasuk majoriti masyarakat.

HARAKAHDAILY 8/12/2014

Nasrudin bin Hassan ialah Timbalan Pengerusi 1, Lajnah Dakwah PAS Pusat

Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/31921-tidak-maksum-kenapa-tidak-boleh-ditegur

NASRUDIN HASSAN | 05 November 2014.

“Ulama tidak maksum! Kenapa tidak boleh ditegur? Kenapa tidak boleh dikritik? Mereka bukan maksum!”

Demikianlah berlegar di satu sudut laman sosial facebook dan lainnya secara berulang ketika melampirkan hujah dalam mempersoal dan mempertikai beberapa keputusan dan tindakan pimpinan. Saya lihat hujah sebegini hanyalah memaparkan sikap skeptikal yang berterusan terhadap para alim ulamak kita, justeru:-

Pertama: semua orang tahu bahawa tidak ada manusia yang maksum di muka bumi ini kecuali para Anbiya’ Alaihimus Solaatuwas Salam.

Kedua: tidak ada siapa, khasnya dari alim ulama kita yang mengeluarkan kenyataan bahawa ulama tidak boleh ditegur dan dikritik.

Umum menyedari bahawa sejak sekian lama, alim ulamalah yang sering menjadi tumpuan. Pelbagai teguran dan kritikan dihamburkan kepada mereka. Saya perhatikan segalanya diterima dengan lapang dada. Meskipun terdapat kritikan liar dan kesat. Ianya diserap dengan penuh sabar. Insyaallah, ulama haraki selayaknya peka dengan pelbagai teguran dan kritikan.

Namun bukan bermakna mereka tidak boleh menjawab segala kritikan yang dirembas kepada mereka. Memberi pencerahan, membetulkan fakta dan menjelaskan betul duduk sesuatu perkara adalah suatu yang wajar dilakukan di samping teguran dan kritikan membina diterima dengan baik dan dialu-alukan para alim ulama kita. Semua pihak mesti mengamalkan kaedah “sebagaimana kita sedia mengkritik, maka kita juga mestilah bersedia untuk dikritik”.

Isunya bukan maksum atau tidak kerana sememangnya tiada yang maksum di kalangan kita. Persoalan berbangkit ialah adab mengkritik. Sebagaimana kita mahu para alim ulama kita menerima kritikan, maka kita juga sayugianya mengemukakan kritikan yang membina bukan menghina.

Saya lihat ramai yang gagal membezakan antara teguran dengan cemuhan, nasihat dengan cercaan, kritikan dengan herdikan, bantahan dengan tohmahan. Akhirnya ia merosakkan adaabul ikhtilaf (adab perbezaan pendapat) dan mengusutkan tali ukhuwwah (persaudaraan).

Firman Allah swt:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْم

Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa. (Surah Al Hujurat: 12)

Nasrudin bin Hassan

Timbalan Pengerusi 1

Lajnah Dakwah PAS Pusat

Sumber : http://bm.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/25773-percukaian-dan-negara-berkebajikan

Oleh : Nasrudin Hassan

Ekonomi Berkat. Vol 10

1.Seperti juga tata kelola perbankan Islam yang dipandu oleh jawatankuasa syariah, bukankah menjadi suatu praktis unggul bagi kerajaan mempunyai jawatankuasa syariah kewangannya yang tersendiri? Yang menjadi keutamaan ialah memastikan aliran sumber kewangan untuk membiaya emolumen perkhidmatan awam yang sepatutnya dibayar dengan hasil yang jelas halalnya.

2.Hal ini kerana wang gaji dan elaun yang diberikan akan digunakan untuk membiaya kehidupan berkeluarga, makan dan minum suami, isteri dan anak-anak. Apakah pengasingan ini sudah berlaku atau pun sekadar isu picisan dalam kepedulian pemerintah? Di manakah cakna kerajaan dalam soal ini jika mahu ekonomi kita berkat .

3.Agenda keempat – “Percukaian dan Negara Berkebajikan”

Satu dari sisi penting idea kenegaraan PAS iaitu “Negara Berkebajikan” ialah komponen cukai. Percukaian di negara-negara kebajikan konvensional secara puratanya adalah tinggi tetapi Negara Berkebajikan menyasarkan cukai hanya sekadar keperluan. Justeru itu kita menolak GST bukan atas sebab nama GST semata-mata. Kita menolak GST kerana kita tahu, rakyat tahu, malah kerajaan pun tahu bahawa negara belum lagi kehabisan idea dan kaedah untuk melakukan penjimatan, mengawal kos, membanteras rasuah, kebocoran dan ketirisan sebelum sesuatu cukai baru atau cukai ganti khususnya cukai seperti GST dilaksanakan.

4.Pemerintah perlu sedar bahawa cukai dilakukan cuma dalam keadaan terpaksa. Tetapi malang bagi pemerintah, cukai seperti GST menjadi sumber baru pendapatan dan kekayaan negara. Inilah yang dikatakan sebagai “berniaga dengan rakyat”. Satu sudut dilihat Kerajaan memberi. BRIM, baucer buku dan sebagainya, kita perlu sedar, itu adalah pemberian yang sumbernya dipungut dari rakyat – setelah pendapatan rakyat diambil oleh kerajaan melalui cukai pendapatan. Sekarang Kerajaan nak ambil lagi, kali ini daripada perbelanjaan rakyat pula melalui GST. Sudahlah sebelum ini rakyat berdepan pemotongan subsidi bahan bakar, pemotongan 34 sen subsidi gula dan sebagainya. Inilah disebut sebagai Belanjawan Untuk Rakyat dari Rakyat. Dia bagi kepada rakyat, apa yang diambil daripada rakyat. Zahirnya nampak kerajaan beri kepada rakyat, kemudian ambil balik. Orang kampung kata inilah perbuatan “buruk siku”

5.Selayaknya, sebelum GST dikenakan ke atas rakyat:

a.Siasat dan bawa kepada pengadilan, mereka yang menyebabkan kehilangan saham-saham peruntukan Bumiputera berjumlah 52 billion ringgit. Jumlah ini pastinya ada disesuatu tempat dan kembalikan semula ke khazanah rakyat.

b.Potong penggunaan jet peribadi kerajaan yang telah melibatkan perbelanjaan 104 juta ringgit dalam masa 3 tahun! Potong juga penggunaan elektrik yang berjumlah sehingga 110 juta ringgit manakala 1.9 juta ringgit untuk bil air untuk rumah Perdana Menteri dan timbalan Perdana Menteri

c.Tangguhkan program yang kurang nilai tambah. Contoh yang dibangkitkan oleh rakyat ialah seperti program PLKN yang berjumlah 800 juta ringgit setahun.

Nasrudin Hassan ialah Timbalan Pengerusi 1, Lajnah Dakwah PAS Pusat

Sumber : http://bm.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/25322-ekonomi-islam-malaysia-boleh-belajar-dari-turki

Oleh YB Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi

1.Saya amat tertarik dengan perkembangan di Turki. Di dalam ijtihad pemerintah, kadar faedah sebenar Turki diturunkan secara beransur-ansur sehingga menjadi “kosong” manakala kadar faedah nominalnya mengikut kadar inflasi. Memandangkan inflasi adalah fenomena “semulajadi” maka terdapat kelonggaran mengikat kadar faedah kepada kadar inflasi. Para penganalisis dari pemodal kewangan antarabangsa sejak dari akhir 2010 menjangkakan nilai lira akan jatuh, defisit akan berkembang dan inflasi akan meningkat hasil dari pendekatan ini.

2.Namun sehingga ini, Turki masih merupakan antara pasaran menyinar di dalam ekonomi Eropah yang rata-ratanya merudum. Pengalaman Turki ini, saya percaya risiko-risiko yang dibangkitkan ada benarnya dan sebarang usaha untuk mewujudkan ekonomi tanpa kadar faedah perlu dilakukan dengan penuh berhati-hati, apatah lagi apabila komuniti kewangan antarabangsa mula berkonspirasi menyuntik keraguan di dalam pasaran. Begitu pun komitmen Perdana Menteri Turki yang mahu melihat orang-orang Turki “mendapat untung dengan berkerja, dan bukannya melalui kadar faedah” merupakan satu komitmen yang berani.

3.Visi pemerintah Turki ini membuka ruang ijtihad yang sepatutnya diteladani pemerintah Malaysia sekiranya kita benar-benar beriman kepada larangan Riba’.

Agenda Kedua – Program Pengurusan Hutang Negara

Pembentangan Bajet 2014 saya kira kerajaan tidak mengumumkan langkah konkrit untuk menangani hutang negara selain dari meletakkan beban kelangsungan biaya kerajaan ke atas rakyat melalui program percukaian GST. Masalah ini ibarat gajah di dalam bilik yang tidak diendahkan.

4.Menurut Islam, hukum hutang adalah harus malah ulama menafsirkan memberi hutang itu lebih utama dari bersadaqah. Sekalipun hutang itu dibenarkan tetapi apabila menjadi berlebihan dan bertransformasi pula menjadi suatu ketagihan, ia akan menjadi punca ketidakstabilan, punca keresahan dan hilangnya keberkatan di dalam muamalah. Hakikatnya, inilah yang sedang berlaku di dalam negara kita ini dan ia menghalang keberkatan dalam muamalah kenegaraan dan bermasyarakat.

5.Buktinya, hutang fiskal kita terus meningkat, dan dalam kadar yang membimbangkan. Sepanjang tempoh 1970 hingga tahun 2000, hutang kita meningkat sehingga lebih sedikit dari 100 bilion ringgit. Dari tahun 2000 sehingga 2012, yakni tempoh 12 tahun sahaja, hutang kita meningkat mendadak dari 100 bilion sehingga 420 bilion ringgit. Perdana Menteri pernah berkata rakyat ketagih subsidi, tetapi nampaknya kerajaan sendiri pun ketagih berhutang.

6.Mengikut rekod sejak 1970, Malaysia mengamalkan bajet defisit setiap tahun kecuali untuk sebahagian kecil tahun-tahun 90-an. Tidak cukup setakat itu, saban tahun termasuklah untuk 2013, kerajaan memohon peruntukan tambahan secara puratanya dalam lingkungan 7 hingga 10 billion ringgit setahun. Bukankah ini satu bentuk ketagihan kepada hutang?

7. Peringatan Nabi SAW mengenai hutang adalah jelas, ertinya:

“Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari dosa dan hutang, lalu Baginda ditanya : Mengapa engkau sering meminta perlindungan dari hutang, wahai Rasulullah? ; Baginda menjawab : “Jika seseorang berhutang, apabila berbicara ia dusta, apabila berjanji ia mengingkari.” ( Riwayat Al-Bukhari, 1/214 )

8.Bila membaca hadis ini, saya terimbau kembali kenyataan-kenyataan kerajaan mengenai hutang negara. Tahun 2009, Datuk Idris Jala yang bertanggungjawab terhadap program-program PEMANDU memeranjatkan negara dengan mengatakan Malaysia akan bangkrap. Tahun 2012, Datuk Idris Jala menegaskan program transformasi negara telah berjaya menjauhkan Malaysia dari kebangkrapan.

9.Perdana Menteri pun terus melukis gambar-gambar indah mengenai ekonomi negara biar pun hutang bertambah dan kos sara hidup meningkat. Hanya apabila Fitch Ratings menurun taraf piawai fiskal kita, barulah pemerintah tersentak. Kerajaan pun panik, memotong subsidi petrol biarpun harga petrokarbon global pada dasarnya stabil. Sudah terkena baru terngadah lalu rakyat dimangsakan.  Maaf jika saya katakan, bukankah perilaku pemerintah ini satu pendustaan?  Benarlah kata-kata Rasullulah saw.

10.Terdapat satu hadis lain pula, Nabi SAW diriwayatkan berkata, ertinya:

“Ya Allah, aku berlindung daripada kekufuran dan hutang, Mendengar itu seseorang bertanya,” Apakah engkau menyamakan kekufuran dengan hutang wahai Rasulullah?; “Benar” Jawab Rasulullah.” (Riwayat An-Nasaie, 2/316 ; Ahmad , 3/38 ; Al-Hakim berkata Sohih dan disepakati oleh Az-Zahabi; Menurut Albani : Dhoif)

Nasrudin bin Hassan

Timbalan Pengerusi 1 Lajnah Dakwah PAS Pusat

Mencorak Masa Depan

tantawi

Sumber : http://bm.harakahdaily.net/index.php/columnist/ketua-pemuda-pas/19893-hayati-dan-laksana-5-prinsip-amal-jamaei-

Sebahagian dari usaha untuk memperkasakan PAS agar Islam yang menjadi asas dan dasar perjuangan dapat dilaksanakan dengan cemerlang , kita sewajarnya memastikan intima’ atau penglibatan kita dengan PAS ini benar – benar dihayati bersama 5 prinsip Amal Jamaei.

5 Prinsip yang saya maksudkan itu ialah:

1. Iltizam

Memberikan komitmen yang tinggi terhadap setiap aktiviti amal Islami yang dianjurkan oleh PAS demi menjayakan gerakkerja pengkaderan atau pembinaan :

Aqidah yang sohih,
Fikrah yang syumul,
Syakhsiyyah yang soleh,
Dakwah yang benar,
Tanzim @ Organisasi yang mantap

Jangan abaikan setiap keputusan jamaah apalagi membuat keputusan yang bercanggah dengan apa yang telah diputuskan secara jamaei melalui prosedur mesyuarat yang sah. Pastikan juga kita tidak mengakibatkan aktiviti jamaah lumpuh atau terbiar dengan sikap yang acuh tidak acuh dalam menjayakannya.

Terapkan rasa wajib ke atas diri dalam menunaikan semua peraturan dan arahan jamaah yang tentunya untuk kepentingan perjuangan Islam yang suci dan bersih dari sebarang elemen yang bersifat kepentingan diri sendiri.

Rasa diri terpanggil untuk menyelesaikan apa jua tanggungjawab dan amanah perjuangan yang terbengkalai walaupun bukan kita pemegang amanah yang bertanggungjawab langsung terhadapnya.

2. Wala’

Kesetiaan dan kejujuran kita terhadap perjuangan Islam yang didokong dengan PAS sebagai platform untuk menjayakannya , lalu menggapai objektif dan matlamat.

Tidak berlaku curang atau tidak mengkhianati perjuangan dengan melakukan sesuatu yang bukan sahaja bercanggah dengan dasar perjuangan tetapi juga mendedahkan jamaah kepada risiko ekoran tindakan kita yang kurang berhati-hati seperti mengakibatkan kebocoran rahsia dan lainnya.

Jangan sekali-kali bermain kayu 3 dengan jamaah yang akhirnya mencetus dilemma dalam melaksanakan arahan pimpinan. Antaranya sikap menyertai 2 atau 3 jamaah sekali gus kononnya didirikan atas kefahaman bahawa yang penting ialah Islam bukan jamaah, maka boleh menyertai mana-mana jamaah yang mahukan Islam.

Tindakan ini membawa kepada pecah wala’ lalu timbul pula ‘fatwa’ kononnya wala’ tidak wajib kecuali kepada Allah dan Rasul demi menghalalkan tindakan mereka menyertai 2 atau 3 jamaah secara serentak.

Menyertai 2 atau 3 jamaah serentak sebenarnya menggangu proses pembinaan secara terancang dan mencetuskan kekeliruan fikrah serta membawa kepada dilemma dalam ketaatan dan komitmen. [perbincangan panjang dan jelas telah saya tulis dalam kertas kerja saya yang bertajuk Ummah Centric : satu kekeliruan.]

3. Dengar dan Taat.

Melancarkan misi dan operasi yang telah dirancang demi mencapai objektif dan matlamat perjuangan suci ini pastinya dengar dan taat adalah mekanisme yang tidak dapat tidak mesti dihayati dan dilaksanakan.

Kita tidak selayaknya mengklasifikasikan ketaatan kita kepada pimpinan dan jamaah selama mana ia tidak mengheret kita dan jamaah ke kancah maksiat dan mungkar. Sekalipun pemimpin yang mengeluarkan arahan hanya seorang junior atau pimpinan bertaraf cawangan, jika kita bertanggungjawab langsung dengan arahan tersebut maka hendaklah ianya dilaksanakan dengan penuh amanah.

4. Ukhuwwah fillah

Jalinan persaudaraan antara ahli PAS mestilah diikat dengan semangat berlapang dada, berbaik sangka, tawadhu’ atau merendah diri antara satu sama lain, kasihkan saudara sebagaimana kita kasih kepada diri sendiri, mengutamakan kebaikan buat saudara kita mengatasi diri sendiri.

Eratnya jalinan antara ahli sesama ahli dan ahli dengan pimpinan membentuk benteng kukuh buat jamaah dari sebarang anasir yang merosakkan struktur kepimpinan dan pentarbiyahan jamaah.

Usaha dan aktiviti yang menumbuhkan kemesraan sesama ahli atau program yang menanam rasa kasih yang mendalam mestilah diberikan keutamaan. Justeru ukhuwwah yang terbina utuh antara ahli dan pimpinan akan meminimakan ruang khilaf dan menutup peluang krisis.

5. Tadhiyyah [pengorbanan]

Tiada perjuangan tanpa pengorbanan malah pengorbanan antara pra syarat kemenangan. Sukar untuk kita jayakan misi dan visi perjuangan besar ini tanpa pengorbanan semua pihak. Mengorbankan tenaga, harta benda dan nyawa demi perjuangan Islam ini sememangnya telah diwartakan oleh Allah dalam al Quran sebagai sunnah perjuangan sejak zaman Nabi saw.

Kegagalan berkorban memerangkap diri dan jamaah dalam kelemahan yang tidak mungkin boleh diatasi. Terutama kita berjuang di era menang, kedengaran akhir-akhir ini suara yang mahu titik peluh dan penat lelahnya untuk perjuangan ini dibayar dengan imbuhan dunia. Tanpa imbuhan atau perolehan lumayan maka tiada tenaga jauh sekali nyawa untuk perjuangan.

Ini satu musibah! Pengorbanan adalah tuntutan perjuangan yang sama samaada sebelum atau selepas menang. Tanpa pengorbanan terlalu sukar untuk kita mencapai kemenangan sebagaimana jua tanpa pengorbanan pasti sahaja kemenangan yang dicapai tidak akan bertahan lama.

Ringkasan ini sebagai satu nota kecil buat petugas, ahli dan pimpinan PAS yang saya dedikasikan buat semua khasnya diri saya sendiri yang masih perlu dibimbing dan dibina dengan apa yang telah saya notekan di sini. Saya harap perbincangan lanjut dibawa ke usrah atau liqa fikri berkait 5 prinsip amal jamaei ini dan dilengkapkan dengan nas qura’ani dan dalil sunni berasaskan manhaj perjuangan an nabawi.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.

JEJAK ORANG MUDA GENG KITA

Suasana kelab atau studio Underground Gig

Pemuda PAS santuni anak muda underground

Rosli Yasmin

KUALA LUMPUR, 13 Jun: Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hasan berkesempatan bersama dengan anak-anak muda Chow Kit di Jalan Tunku Abdul Rahman di ibu negara semalam dan bertemu dengan kumpulan underground. Program yang di bertemakan “Chow Kit Kita” yang dianjurkan oleh anak-anak muda dan aktivis di sekitar Chow Kit dan Kuala Lumpur telah mengadakan berberapa aktiviti seperti pameran, menyanyi bersama, jualan baju dan lain-lain lagi.

Beberapa orang peserta program agak terkejut dan gembira dengan kehadiran Nasrudin dan sempat bergambar bersama-sama beliau dan rombongan. Selepas itu, rombongan pemuda PAS menjenguk kumpulan underground yang sedang mengadakan konsert mereka berhampiran di situ.  Anak-anak muda underground dan punk yang pada mulanya agak rimas dengan kehadiran Ketua Pemuda PAS yang memakai kopiah itu, akhirnya serasi dan biasa dengan penampilan itu.

Selain bersama-sama mengambil gambar, Nasrudin juga diberi peluang masuk ke dalam dewan konsert yang gelap, yang hanya disuluh oleh lampu neon yang bersimpang siur serta disantap dengan muzik-muzik punk dan underground. Turut menyertai Nasrudin ialah Khairul Faizi Ahmad Kamil (setiausaha), Kamaruzaman Mohamad (exco), Firdaus Jaafar (exco), Zamri As’ad Khuzaimi (exco) dan kepimpinan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan.

Sumber foto : facebook Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi

Ustaz Nasrudin : brother ni kata : Ustaz, rock rock juga, punk – punk juga tapi saya bersama dgn ustaz. kami sokong perjuangan Islam. dilehernya sedari awal saya perhatikan terlingkar mafla selamatkan Gaza biarpun telinganya penuh subang bertindik

Ustaz Nasrudin : Selamat datang ustaz ke kelab kami. kami sokong dan menyertai dewan Pemuda PAS, ustaz bantu kami ustaz, bimbing kami, kami tidak jahat, kami hanya mahu luahkan hasil seni kami. jgn jauhkan diri dari kami. jgn buang kami… itulah luahan perasaan awir yg berambut panjang tu, ermmm mcm rambut saya dulu – dulu 🙂

%d bloggers like this: