Tag Archive: Nasrudin Hassan Tantawi


KEMBARA SEORANG PEJUANG

Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/35461-kembara-seorang-pejuang

NASRUDIN HASSAN | 16 Mei 2015.

1. Ummat Islam di seluruh dunia sedang menyambut ulangtahun peristiwa Isra’ dan Mikraj. Isra’ dan Mikraj adalah merupakan satu mukjizat pengembaraan seorang Insan bertaraf Rasul untuk mengadap Tuhannya Qadhi Rabbul Jalil.

2. Ulama’ berbeza pendapat dalam menentukan tarikh tepat berlakunya peristiwa agung ini. Al Imam An Nawawi dan Al Qurtubi mentarjihkan pandangan yang meletakkan tarikh lima tahun sebelum hijrah sebagai tahun berlakunya Isra’ dan Mikraj.

Sementara ada pandangan yang menyebut bahawa Isra’ dan Mikraj berlaku pada tanggal 27 Rejab tahun kesepuluh An Nubuwwah pula ditarjih oleh Al A’llaamah Asy Syeikh Mansur Puri. و الله أعلم بالصواب

3. Apa yang menarik  (menurut pandangan yang kedua) peristiwa Isra’ dan Mikraj ini berlaku pada tahun yang dikenali sebagai tahun dukacita . ( عام الحزن)

Tahun Dukacita ( عام الحزن )

Ada 3 peristiwa penting yang mengheret Baginda Rasul saw. ke kancah rasa dukacita yang sangat mencengkam jiwa dan perasaan.

a ) Kewafatan Saidatina Khadijah Rha.
b) Kematian Abu Talib.
c) Peningkatan kadar tekanan

Kewafatan Saidatina Khadijah Rha.

Seorang tokoh yang sangat penting dalam hidup baginda saw. Bukan sahaja sebagai seorang Isteri tetapi juga sebagai individu yang bertanggungjawab membiayai perjuangan Baginda saw.

Khadijah Rha. adalah orang yang pertama beriman kepada Allah dan RasulNya saw. di saat orang lain kufur kepadanya, yang menghulurkan seluruh hartanya disaat orang lain memboikot perjuangan Rasulullah saw. yang menenangkan perasaan baginda saw. di saat orang lain menyakitinya.

Tokoh yang disegani oleh seluruh penduduk Quraisy justeru beliau adalah seorang tokoh hartawan terkemuka di kalangan mereka. Pastinya pemergian Saidatina Khadijah Rha. sangat dirasai oleh Baginda saw.

Kematian Abu Talib

Tidak syak , sejarah sangat menyedari kehadhiran Abu Talib yang bertanggungjawab menjaga dan memelihara Nabi saw. sejak kewafatan datuknya, Abdul Muttalib.

Bahkan Abu Talib selaku bapa saudaranya turut memainkan peranan penting dalam melindungi Rasulullah saw. sepanjang detik-detik cemas dan getir berhadapan dengan ancaman dan ugutan kuffar Quraisy.

Namun tokoh besar ini juga dimatikan wataknya di awal kisah perjuangan baginda Rasul saw. sementelah pula, matinya Abu Talib tanpa Iman (menurut pandangan Ahli Sunnah wal Jamaah).

Tentu sahaja kehilangan watak Abu Talib yang terlalu banyak jasanya terhadap Rasulullah saw. tanpa sempat beriman sangat memilukan perasaan baginda saw.

Peningkatan Ancaman Musuh

Sering kali perancangan kuffar Quraisy untuk memerangkap dan menyakiti Rasulullah saw. tergendala ekoran kehadhiran 2 tokoh besar dan terbilang dalam hidup Baginda Rasul saw.

Sejurus kedua-dua tokoh tersebut meninggal dunia, ianya menjadi kesempatan terbaik buat kuffar Quraisy untuk melipat gandakan tekanan dan asakan mereka kearah perjuangan yang didokong oleh Rasulullah saw.

Penentangan yang dihadapi oleh Rasulullah saw itu adalah penentangan yang dilakukan oleh kaum kerabat dan sanak saudara baginda saw. sendiri. Pastinya fenomena ini menghiris perasaan Baginda saw. , sedang sebelumnya masyarakat Quraisy sangat mengenali keperibadian Baginda saw. sebagai insan al Amin.

Percubaan Baginda saw. menembusi benteng daerah sendiri

Memandangkan Islam agama yang benar ditolak mentah-mentah oleh mereka yang berada di dalam “UPU” dan “DUN” baginda saw. sendiri, Baginda saw. mengambil langkah membawa Islam ini ke Taif dengan harapan penduduk Taif boleh menerima Islam jika ianya di tolak oleh penduduk Makkah.

5. Ternyata , SB Makkah lebih cepat bertindak dengan melaporkan pemergian Nabi saw. ke Taif kepada pembesar – pembesar Taif. Laporan negative dan tidak benar yang dibawa itu , membuatkan pembesar Taif “menyambut” kedatangan Nabi saw. dengan batu dan kata nista yang dilemparkan kearah baginda saw. oleh pemuda – pemuda tahan lasak yang telah diupah.

Munajat Baginda saw

6. Baginda saw. terpaksa pulang kembali ke Kota Makkah setelah mendapat bantahan sengit dari pembesar dan penduduk Taif. Kecederaan yang dialami oleh Baginda saw. menambah penderitaan dan kesengsaraan yang rasai dalam memimpin perjuangan suci ini.

7. Pertengahan jalan, Baginda Rasul saw. berhenti rehat buat seketika di sebuah kebun milik Utbah dan Syaibah bin Rabiia’h. Rasulullah saw. menadah tangan lantas bermunajat dengan hati baginda yang hiba .[1]

اللهم إليك أشكو ضعف قوتي و قلة حيلتي و هواني على الناس يا أرحم الراحمين أنت رب المستضعفين و أنت ربي . إلى من تكلني ؟ إلي بعيد يتجهمني ؟ أم إلى عدو ملكته أمري ؟ إن لم يكن بك علي غضب فلا أبالي و لكن عافيتك هي أوسع لي . أعوذ بنور وجهك الذي أشرقت له الظلمات

Ya Allah , kepadaMu aku mengadu betapa lemahnya kekuatanku dan betapa sedikitnya helah upayaku dan betapa hinanya aku pada pandangan manusia. Wahai Tuhan yang maha Penyayang mengatasi segala yang menyayangi, Engkaulah tuhan orang-orang yang lemah dan Engkaulah tuhanku.

Kepada siapakah Engkau serahkan diriku ini? kepada orang jauh yang senantiasa memerangiku atau kepada musuh yang mahu menangkapku? Jika tiada kemurkaanMu terhadap diriku ini , nescaya aku tidak peduli (akan ku teruskan perjuangan ini). Akan tetapi naungan kesejahteraanMu terlebih aku harapkan. Aku berlindung dengan cahaya keredhaanMu yang telah menerangi kegelapan.

8. Al Marhum Syeikhuna Sya’rawi al Mutawwalli pernah menyebut bahawa doa ini telah didengar dan dijawab oleh Allah swt. ketika beliau menafsirkan ayat pertama dari surah Al Isra’ :[2]

إنه هو السميع البصير

Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Melihat.

9. Ada riwayat menyebut bagaimana Allah menghantar Malaikat yang menjaga bukit datang mengadap Nabi saw. untuk memohon izin bagi menghempaskan Bukit Taif ke atas seluruh penduduknya yang telah menyakitkan Rasulullah saw. Namun Nabi saw. tegas menjawab:

و الله بل أرجوا أن أخرج من أصلابهم من يعبد الله وحدة .

Demi Allah , bahkan apa yang aku harapkan ialah bakal lahir dari sulbi-sulbi mereka , generasi yang mengabdikan diri kepada Allah tuhan yang Esa.

10. Demikianlah jauhnya pandangan dakwah Nabi saw. demi masa depan agama suci ini. Ternyata kebangkitan generasi muda telah mewarnai perjuangan Islam yang telah diasaskan oleh Rasulullah saw. ini.

Perjuangan diselubungi Nusrah

Saat menanggung rasa penuh dukacita, menghadapi segala musibah yang menimpa dan karenah golongan kuffar Nabi saw. diundang oleh Allah swt. untuk naik mengadapnya guna dipamerkan kepada baginda saw. tanda-tanda keagungan Allah swt.

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

Maha suci Allah Yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), Yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui. (Surah Al Israa’ : 1)

11. Tanda-tanda keagongan Allah swt. justeru satu bukti bahawa Allah swt. adalah Tuhan yang maha Perkasa lagi Gagah . Tiada tolok bandingnya. Tiada siapa yang mampu mengalahkannya. Itulah Allah swt. yang senantiasa menaungi perjuangan Islam ini.

12. Maka tiada apa lagi yang mengembirakan Nabi saw. setelah menghadapi segala penderitaan dan kesengsaraan di pentas perjuangan melainkan baginda saw. melihat sendiri bagaimana keagongan Ilahi.

13. Ianya menjadi Nusrah (pertolongan) buat Nabi saw. dan juga kepada mereka yang menjejaki Manhaj an Nabawi ini disepanjang zaman.

14. Biarpun musuh sering menguasai keadaan dan pula senantiasa mempunyai kesempatan untuk menyakiti perasaan dan tubuh badan pejuang-pejuang Islam, Allah pasti sahaja tidak akan mensia-siakan mereka.

15. Menghayati tanda keagongan Allah swt. menjadikan pejuang Islam beroleh keyakinan bahawa perjuangan Islam ini bersandarkan satu kekuatan yang tidak mungkin dapat ditewaskan.

16. Fenomena inilah membuatkan Nabi saw. dan seluruh pejuang Islam di sepanjang zaman tidak lagi berasa gentar terhadap ancaman musuh , biar setinggi mana kuasa mereka , selebar mana pengaruh mereka dan sebanyak mana dana mereka , ternyata mereka teramat kerdil dan hina di sisi Allah swt.

Firman Allah swt:

وَلَا تَهِنُوا فِي ابْتِغَاءِ الْقَوْمِ إِن تَكُونُوا تَأْلَمُونَ فَإِنَّهُمْ يَأْلَمُونَ كَمَا تَأْلَمُونَ وَتَرْجُونَ مِنَ اللَّهِ مَا لَا يَرْجُونَ وَكَانَ اللَّهُ عَلِيمًا حَكِيمًا

Dan janganlah kamu berasa hina menghadapi golongan itu (musuh kamu) jika kamu berasa sakit, sesungguhnya mereka juga berasa sakit sebagaimana kamu berasa sakit sedang kamu mengharapkan (redha) Allah, suatu yang tidak diharapkan oleh mereka. (Surah An Nisa’: 104)

[1] Rujuk Sirah An Nabawiyyah Ibnu Hisyam . Hal. 48 . Juz kedua. Cetakan DarulJiil Beirut.

[2] Saya masih ingat ketika mendengar ceramah Isra’ dan Mikraj yang disampaikan oleh Asy Syeikh Al Marhum Sya’rawi al Mutawwalli di Mesir satu ketika dahulu.

Sekian.

Nasrudin Hassan
Timbalan Pengerusi 1 Lajnah Dakwah PAS Pusat.

Tarikh : 19-21 Mac 2015

Lokasi : Masjid Rusila Marang Terengganu

Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/34185-konon-nak-jaga-kawan-sampai-lupa-nak-jaga-islam

NASRUDIN HASSAN | 06 Mac 2015.

DUNIA Islam alami pelbagai zaman. Bermula zaman perang kabilah, perang antara negara, perang dunia, perang ekonomi, perang pemikiran, perang budaya dan kini perang siber.

Semuanya membawa satu matlamat iaitu memadam cahaya Agama Allah SWT dengan kelicikan strategi dan helah mereka seperti divide and rule, character assassination dan lainnya. Ini adalah suatu yang telah disahkan oleh Allah SWT:

يُرِيدُونَ لِيُطْفِئُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ

Maksudnya: Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahaya-Nya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian). (Surah As-Saff: 8)

Hari ini jelas kelihatan samseng-samseng cyber dan keyboard trouble memenuhi segenap jalur dalam jaringan jalur lebar untuk menyebar virus fitnah, racun pembunuh karektor, melagakan pimpinan gerakan Islam, menghina alim ulamak, mempersenda syariat dan merosakkan maruah serta imej perjuangan Islam. Kerancakan serangan mereka makin menjadi-jadi di era post Islamisme ini.

Pejuang Islam kena alert perkara ini. Kena sedar perancangan musuh dan sepak terajang mereka yang mahu merosakkan Islam. Kena ada tindakan positif dan efektif dari para pejuang Islam untuk protect jamaah Islam ini dari serangan virus tersebut. Kalau bukan pejuang Islam menjadi firewallnya maka siapa lagi?

Ingat pesan Saidina Umar al Khattab rha. (Athar ini disebut oleh Syeikhul Islam Ibn Taimiah dalam Minhajus Sunnah.)

إنما تُنْقضُ عرى الإسلام عروةً عروةً إذا نشأ في الإسلام مَن لم يعرفِ الجاهلية

“Akan terungkai ikatan Islam itu serungkai demi serungkai dari ummat Islam apabila merata dalam Islam ini mereka yang tidak mengenali (dan memahami) sepak terajang jahiliyah (musuh).”

Justeru itu, sifat pejuang Islam ialah responsif secara positif dan efektif dengan bangkit pertahankan Islam, pertahankan alim ulama yang memperjuangkan Islam dan membawa suara Islam meskipun berdepan dengan 1001 halangan. Jangan playsafe. Sampai bila nak diam?

Saya terbaca dalam kitab yang berjudul Imam Ahmad ibn Hanbal: Baina Mehnatiddin wa Mehnatiddunya dimuatkan pesan Imam Ahmad ibn Hanbal rhm.

إذا سكت العالم تقية و الجاهل يجهل فمتى يظهر الحق

“Apabila diamlah orang yang mengetahui kerana taqiyah ( playsafe ) sedang orang yang tidak mengetahui terus dalam keadaan tidak mengetahui (jahil) maka bilakah kebenaran itu akan zahir?”

Lebih malang jika sikap tidak berpihak ini terbawa-bawa sampai ke peringkat “makan keliling”. Bertemu dengan kita, mereka berkata kami bersama kamu, jangan bimbang!

Namun apabila mereka bersama syaitan-syaitan mereka, mereka berkata “kita serupa, di sana tadi kami hanya berolok-olok”. Sifat ini adalah percikan dari sifat munafik yang tidak wajar kita biarkan.

Lihat bagaimana karektor munafiq dalam firman Allah SWT:

وَإِذَا لَقُوا الَّذِينَ آمَنُوا قَالُوا آمَنَّا وَإِذَا خَلَوْا إِلَىٰ شَيَاطِينِهِمْ قَالُوا إِنَّا مَعَكُمْ إِنَّمَا نَحْنُ مُسْتَهْزِئُونَ

Maksudnya: Dan apabila mereka (munafiq) bertemu dengan orang-orang yang beriman, mereka berkata: “Kami telah beriman, dan manakala mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka, mereka berkata pula: “Sesungguhnya kami tetap bersama kamu, sebenarnya kami hanya memperolok-olok (akan orang-orang yang beriman)”. (Surah Al Baqarah: 14)

Jangan sampai sifat munafik terpercik kepada kita. Hindarinya sejauh yang boleh. Sikap suka makan keliling ini adalah keji. Kononnya nak jaga kawan sampai lupa nak jaga Islam. Gejala ini berleluasa dan akhirnya menjadi fitnah kepada Islam. Lihat sahaja bagaimana aksi mereka.

Mereka serang Islam dan alim ulama bagai nak rak, tetiba kita pula masih berada dalam zon “sangka baik”, zon playsafe, tidak mahu berpihak, kononnya kita mahu bersikap waraK sedang mereka tidak pernah bersimpati sebaliknya terus menyerang tanpa henti.

Cyber trooper mereka membelasah dan mengganyang Islam dan para alim ulamanya tanpa wisel pelerai. Di mana kamu wahai pejuang? Pilihlah kebenaran dan berpihaklah ke arah kebenaran. – HARAKAHDAILY 6/3/2015

Penulis ialah Timbalan Pengerusi 1 Lajnah Dakwah PAS Pusat.

Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/33488-maaf-saya-mohon-untuk-menyokong-tuan-guru-presiden-pas

NASRUDIN HASSAN | 27 Januari 2015.

1. Islam menggariskan kriteria khusus untuk melantik pemimpin, namun tidak menetapkan secara tetap kaedah pelantikannya. Kita tidak perlukan pilihanraya kerajaan tempatan sebaliknya pihak berkuasa negeri boleh memainkan peranan bijak dan pintar untuk melantik individu-individu yang kompeten dan berintegriti bagi mengurus tadbir hal ehwal masyarakat setempat.

2. Kerajaan negeri boleh memanfaatkan peruntukan undang-undang semasa dan proses konsultansi bersama masyarakat untuk memilih pihak berkuasa tempatan. Paling utama ialah penyampaian khidmat kepada masyarakat dapat dilakukan dengan lebih efisyen dan efektif tanpa terlalu banyak berpolitik.

3. Kerajaan negeri di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat selayaknya menunjukkan praktis terbaik pihak berkuasa tempatan. Dari aspek pemilihan, koordinasi, kerjasama dan tadbir urus yang baik antara kedua-dua pihak. Jika ini dapat dipenuhi, maka ruang memanipulasi sistem pilihanraya untuk kepentingan sempit pihak tertentu dapat dielakkan.

4. Politik bukan sekadar demokrasi dan demokrasi bukan hanya berpilihan raya. Politik adalah mekanisme bagi memastikan negara ditadbir dengan adil untuk mencapai kemaslahatan agama dan rakyat.

5. Dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia, perpaduan dan keharmonian rakyat perlu diutamakan. Apatah lagi, dalam situasi sekarang, gerakan rasis sering dicetuskan oleh pihak-pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab. Oleh itu, kebimbangan Datuk Seri Tuan Guru Presiden PAS serta faktor sejarah juga perlu diambil perhatian.

6. Saya meneliti pandangan Datuk Seri Tuan Guru Presiden PAS menerusi artikel asal beliau berkait isu ini yang bertajuk: “Pembangunan Bandar Bermasyarakat Madani”, saya rumuskan seperti berikut:

a] Beliau menyeru supaya masyarakat majmuk dalam negara ini dijalin dengan baik termasuk Melayu, India, Orang Asal, Cina dan komposisi kaum lain justeru petualang negara hanya mencari peluang untuk meniup api perkauman.

b] Beliau tidak mahu sebuah kemenangan politik dan pemilikan kuasa ekonomi oleh satu pihak, pula menjarakkan jurang masyarakat desa dan bandar. Justeru ia menafikan keadilan sosial serta mencacatkan keharmonian dan kedamaian bermasyarakat.

c] Beliau tegas menolak faham perkauman dan memberi peringatan agar tidak bermain di sempadan api perkauman. Kebimbangan yang dicetuskan adalah supaya ketegangan hasil elemen perkauman itu tidak berlaku. Beliau bukan menuduh atau mensabitkan sesiapa dengan label perkauman. Peristiwa 13 Mei disebut sebagai satu kebimbangan agar ia tidak berulang dek kerana wujudnya ketidakseimbangan dan bara api perkauman ini boleh dihidupkan pada bila-bila masa oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

d] Bermula dengan membawa falsafah pembinaan tamadun Ibnu Khaldun, beliau menyentuh soal pembangunan manusia, bandar dan pentadbirannya dengan peranan federal, sosio ekonomi dan komposisi kaum secara luas dan saksama. Saya melihat pandangan yang dibawa oleh beliau sangat halus, tinggi dan menyeluruh. Tidak terperangkap dalam jalur fikir yang sempit.

Maka tidak selayaknya Datuk Seri Tuan Guru Presiden PAS diseret dalam kancah politik sempit dan tidak matang dengan hanya beliau mengemukakan kebimbangan agar tidak berulang tragedi malang negara itu.

7. Saya melihat penumpuan utama yang perlu difokuskan adalah penyelarasan serta peningkatan kualiti di antara kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan. Contohnya apabila wujud pertindanan dasar dan peranan untuk membangun kawasan-kawasan tertentu, maka proses perundingan mesti dilakukan secara bersama dan saling menghormati. Ia adalah mekanisme terbaik bagi memastikan pembangunan seimbang dapat dijalankan dengan lebih berkesan.

8. Musibah banjir telah mengajar kita bahawa kepentingan rakyat mesti diutamakan. Rakyat telah memilih wakilnya di peringkat negeri dan persekutuan supaya mereka dapat memberikan khidmat yang terbaik. Tanpa mengira fahaman politik, ras dan agama, seluruh rakyat berganding bahu, saling membantu dalam tujuan yang satu. Saya amat mengharapkan agar efisiensi di peringkat kerajaan tempatan dapat dipertingkatkan, dan agenda politik keterlaluan dapat dihapuskan.

Sekian, terima kasih.

AJK PAS Pusat|Ahli Parlimen Temerloh
26 Januari 2015|4 Rabi’ul Akhir 1436

JANGAN BERPELUK TUBUH

Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/32256-jangan-berpeluk-tubuh

NASRUDIN HASSAN | 21 November 2014.

1. Sering kali alasan dikemukakan untuk tidak turun bergelanggang bagi menyampai risalah dan memperjuangkan Islam. Alasan itu akhirnya melemahkan umat Islam justeru alasan boleh dicipta dan direka tanpa ada penyudahnya. Ingatlah Firman Allah swt:

إِنَّمَا يَسْتَأْذِنُكَ الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَارْتَابَتْ قُلُوبُهُمْ فَهُمْ فِي رَيْبِهِمْ يَتَرَدَّدُونَ

Sesungguhnya orang yang akan meminta izin (dengan mengemukakan pelbagai alasan) kepadamu (untuk tidak disenaraikan sebagai delegasi yang turung berjuang) hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan yang hati mereka (sangat) ragu-ragu. Oleh itu mereka sentiasa bingung teragak-agak dalam keraguannya. (Surah at Taubah: 45)

2. Kita tiada pilihan! Saksikan bagaimana keadaan ummah di luar sana. Mereka keliru tanpa bimbingan, mereka hanyut tanpa dahan berpaut, mereka alpa tanpa isyarat yang menyedarkan, mereka sesat tanpa cahaya yang memandu. Apakah kita masih rela dan tega untuk berpeluk tubuh? dengan 1001 alasan yang kita ungkapkan? Allah swt telah tegaskan:

وَلَوْ أَرَادُوا الْخُرُوجَ لَأَعَدُّوا لَهُ عُدَّةً وَلَٰكِن كَرِهَ اللَّهُ انبِعَاثَهُمْ فَثَبَّطَهُمْ وَقِيلَ اقْعُدُوا مَعَ الْقَاعِدِينَ

Dan kalaulah mereka mahu keluar (untuk turut berjuang), tentulah mereka menyediakan persiapan untuknya; tetapi Allah tidak suka pemergian mereka, lalu dilemahkanNya semangat mereka, dan dikatakan (oleh Syaitan): “Tinggalah kamu bersama-sama orang-orang yang tinggal”. (Surah at-Taubah: 46)

3. Semoga kita tidak tinggal bersama orang yang qaai’din (duduk berpeluk tubuh) tanpa melibatkan diri bersama gerakan Islam melunas amanah perjuangan demi mengembalikan izzah (kemuliaan dan kehebatan) ummah serta menegakkan syariat Allah swt. di atas tanah air tercinta ini. Bangkitlah wahai para duat (pendakwah)!

Nasrudin bin Hassan
Timbalan Pengerusi 1
Lajnah Dakwah PAS Pusat.

Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/32192-berdakwah-umpama-hendak-jual-produk

NASRUDIN HASSAN | 18 November 2014.

Seseorang tidak akan berubah melainkan setelah ada maklumat. Kita tidak akan membeli satu barang melainkan setelah kita mengetahui khasiat dan kebaikannya. Ini menggambarkan betapa pentingnya penerangan dalam suatu hal untuk meyakinkan seseorang bagi mendapat sesuatu.

Menyampaikan ceramah, kuliah atau apa jua bentuk penerangan, ia umpama hendak menjual sesuatu produk kepada orang lain, produk yang baik dan berkualiti sekalipun, kalau tidak diterangkan dengan teknik dan strategi yang berkesan pasti tidak ada pembelinya, malahan produk yang tidak berkualiti pula, kalau disampaikan, dipromosi dan dikempen dengan hebat dan baik pasti akan menarik orang ramai untuk membelinya.

Orang yang memainkan peranan penting dalam mempromosikan produk ialah jurujual itu sendiri. Bagi menarik orang ramai membeli produk tersebut, jurujual akan menggunakan kepetahan bercakap, penampilan dirinya yang kemas, bahasa yang cukup menawan dan berbagai-bagai aksi lagi, disertai pula dengan demonstrasi barangan.

Sudah pasti cara ini akan menarik minat orang ramai membelinya. Begitulah para pendakwah, produk yang kita hendak pasarkan ialah Islam dan PAS sebagai wadah atau platform perjuangan.

Produk yang akan kita pasarkan ini memerlukan teknik, taktik dan strategi yang sesuai dengan suasana setempat, situasi semasa, budaya dan sebagainya. Inilah hikmah atau kebijaksanaan dalam dakwah.

ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ

Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah (kebijaksanaan) dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk. (Surah An Nahl: 125)

Nasrudin bin Hassan

Timbalan Pengerusi 1, Lajnah Dakwah PAS Pusat.

TOLAK JAMAAH DHIRAR

Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/32053-tolak-jamaah-dhirar

NASRUDIN HASSAN | 11 November 2014.

1. Kebenaran sesebuah perjuangan bukan dinilai pada ramainya penyokong kerana musuh kebenaran iaitu Syaithan A’laihi Laknatullah juga tidak terbilang pengikut dan penyokongnya. Sebaliknya mi’yar (neraca) penentu benar atau salah ialah berasaskan matlamat dan manhaj yang diguna, sejauh mana ianya patuh syariah. Firman Allah swt:

وَأَنَّ هَٰذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَن سَبِيلِهِ ذَٰلِكُمْ وَصَّاكُم بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (ugama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa. Surah Al Ana’am: Ayat 153

2. Hanya Islam dan perjuangannya yang diakui benar oleh Allah SWT. Ia berlandaskan prinsip dan objektif yang jelas, iaitu tunduk dan patuh kepada Allah SWT. Bukan perjuangan yang dibina atas dasar tidak puas hati dan kebencian kepada pihak tertentu. Sementelah tindakan mengasaskan sebuah jamaah untuk memecahbelahkan kesatuan ummah, maka sifatnya tidak ubah seperti penubuhan Masjid Dhirar yang wajib dibubarkan.

3. Meskipun zahirnya Masjid Dhirar itu adalah sebuah masjid, sebagai tempat beribadah kepada Allah SWT. tetapi Nabi s.a.w. mengarahkan supaya masjid itu diruntuhkan kerana ia tidak dibina atas dasar taqwa iaitu tunduk dan patuh kepada Allah SWT, sebaliknya diasaskan untuk memberi saingan kepada masjid yang terlebih dahulu dibina oleh Rasulullah s.a.w.

Nasrudin bin Hassan
Timbalan Pengerusi 1
Lajnah Dakwah PAS Pusat.

TAAT VS AMPU

Sumber :http://www.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/31234-taat-vs-ampu

NASRUDIN HASSAN | 02 Oktober 2014.

1. Ketaatan dan wala’ pada jamaah dan pimpinan bukan pengampu. Justeru ia adalah didikan Nabi kita Muhammad saw. Apabila Nabi saw bersabda :

  عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ (( اسْمَعُوا وَأَطِيعُوا وَإِنْ اسْتُعْمِلَ عَلَيْكُمْ عَبْدٌ حَبَشِيٌّ كَأَنَّ رَأْسَهُ زَبِيبَةٌ رواه البخاري 7142

Maksudnya: Dengar dan taatlah olehmu sekalipun pemimpin yang dilantik ke atas kamu hanya seorang hamba abdi Habasyi dan rambutnya kerinting (hitam dan tidak smart).

2. Mengampu ialah tindakan mengipas atau mengangkat pimpinan untuk mencapai kepentingan tertentu dari pimpinan tersebut. Sementara taat dan wala’ yang diberikan kepada pimpinan adalah untuk memastikan perjalanan sebuah organisasi berjalan lancar dan setiap agenda serta gerakkerja jamaah dapat diurus dengan jaya dan terancang.

3. Perbuatan mengampu memang satu perbuatan yang keji kerana ia sekadar memuji dan memuja pimpinan sebagai batu loncatan bagi mengapai kepentingan tertentu. Sedang ia tidak membantu gerakkerja jamaah dan melunaskan amanah perjuangan.

4. Dengar, taat dan wala’ terhadap jamaah dan pimpinan adalah sikap terpuji. Ia sebahagian dari sistem Islam dalam pengurusan organisasi. Tiada kepentingan selain Islam yang diperjuangkan. Selama mana pimpinan tidak menyuruh perkara mungkar maka dengar, taat dan wala’ adalah tuntutan syara’ ke atas setiap anggota jamaah.

5. Ketaatan dan kesetiaan (wala’) yang diberikan kepada jamaah dan pimpinannya tidak menghalang untuk anggota menegur atau mengkritik kelemahan dan kesilapan pimpinan. Malah Islam menyediakan kaedah tertentu untuk melaksanakan tanggungjawab nasihat dan teguran kepada pimpinan tanpa meluntur prinsip atau nilai taat dan wala’.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/wawancara/semak-kontrak-tahaluf-siyasi-demi-survival-pas-1.319952

NIZAM ZAIN

PERGOLAKAN dalaman Pas ekoran kemelut Menteri Besar Selangor membuka mata banyak pihak apabila hubungan parti itu dengan rakan komponen lain dalam PR dilihat bagaikan retak menanti belah, lebih-lebih lagi perkara itu menjadi perbahasan perwakilan dalam Muktamar Pas ke-60 yang melabuhkan tirainya minggu lalu.

Konflik dalaman itu juga telah mengundang cadangan kepada perlunya menyemak semula ‘kontrak rumahtangga’ Pas dalam PR apabila percanggahan pendapat dan pandangan antara pimpinan Pas, PKR dan DAP kian menular seolah-olah menyerang sesama sendiri dalam menentukan siapakah yang layak menerajui Selangor.

Ikuti wawacara eksklusif wartawan Sinar Harian Online, Nizam Zain bersama Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nasrudin Hassan bagi mengupas lebih lanjut isu tersebut sekali gus memberi pencerahan terhadap persepsi negatif kepada parti Islam itu.

SINAR HARIAN ONLINE: Pada Muktamar Pas tahun lalu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mahu mengembalikan peranan ulama sebagai pembuat dasar, keputusan dan menerajui perjuangan Pas. Jadi apa yang YB harapkan pada Muktamar kali ini?

NASRUDIN: Itulah yang sepatut ada oleh alim ulama dan secara khasnya Dewan Ulama Pas Pusat supaya mereka benar-benar memaksimakan peranan mereka sebagai pemimpin dan peneraju, sekaligus menjadi penawar kepada parti itu sendiri agar dapat disemak dari semasa ke semasa untuk memastikan tiada pelanggaran syarak atau di luar batas keizinan syarak dalam proses perjuangan Pas ini.

Terutamanya apabila kita melibatkan dalam kancah politik, yang kita tahu bahawa politik itu sifatnya terlalu pragmatik. Oleh kerana itu Pas sebagai sebuah gerakan Islam mesti diawasi dan dipimpin dengan cermat serta teliti, berasaskan kepada ilmu dan nas-nas syarak supaya kita tidak terikut-ikut dengan parti politik lain yang mempunyai dasar, matlamat dan prinsip yang berbeza.

Oleh kerana itu, Dewan Ulama Pas selayaknya meletakkan diri mereka antara anggota dengan kepimpinannya pada tahap seperti itu, iaitu memimpin, mengawal, menerajui dan kemudiannya memantau pergerakan parti secara keseluruhannya merangkumi dasar, objektif, aktiviti, pendekatan kontemporari dan sebagainya.

Dalam masa sama kita juga mahu dilihat kontemporari, mampu untuk menerima perkembangan semasa dan perubahan terkini supaya Pas sentiasa dilihat segar dan penmapilan ulama sendiri menepati keperluan dan memenuhi tuntutan semasa yang sedang dihadapi oleh masyarakat.

SINAR HARIAN ONLINE: Bagaimana persepsi masyarakat terhadap ulama Pas yang dilihat agak terkebelakang dari segi pendekatan kontemporari dan anak muda?

NASRUDIN: Pas bergerak secara kolektif, kita mempunyai sayap-sayap dalam parti, untuk menangani segmen wanita, kita ada Dewan Muslimat, untuk menangani anak-anak muda, kita ada Dewan Pemuda dan untuk menangani golongan intelektual atau golongan cendikiawan agama termasuk untuk memastikan dasar-dasar parti itu menepati dasar Pas iaitu al-Quran dan as-Sunnah.

Ketiga-tiga sayap ini bergandingan, kini kita tambah satu lain untuk menjadi jambatan kepada golongan bukan Islam, kita ada Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP). Oleh kerana itu, kita bergerak secara kolektif dan menangani semua segmen. Kalau persepsi itu datang daripada masyarakat melihat kepada satu segmen, maka itu adalah pandangan yang tidak tepat.

Kita tidak boleh menafsir seekor gajah itu dengan memegang kakinya, macam tiang dan kita pegang ekornya macam tali. Kita jangan jadi orang buta menafsir seekor gajah itu. Jadi kalau hendak disebut bahawa ulama terkebelakang dan tidak menangani anak-anak muda, maka saya kira itu adalah satu tanggapan yang tidak wajar.

Ada dua perkara, bukanlah kita tidak menemui anak-anak muda, kalau kita lihat di peringkat akar umbi, ulama-ulama inilah yang paling banyak turun padang sama ada di surau dan masjid ataupun aktiviti-aktiviti pendidikan serta kegiatan sosial seperti dakwah jalanan yang kita perkenalkan dan pengedaran risalah.

NASRUDIN: Insya-ALLAH, saya sendiri pun nampak semangat atau proses ini, terutamanya apabila Dewan Ulama mula menerima dan membuka ruang kepada generasi pelapis ulaman khususnya di kalangan ulama muda menyertai organisasi Dewan Ulama sekaligus dapat digandingkan dengan ulama senior atau veteran dalam parti.

Dengan itu mereka dapat mempelajari bagaimana kemahiran ulama dalam memimpin parti ini. Dalam masa sama, kita gabungkan dua perkara iaitu ‘hikmatul syuyuk’ atau hikmah ulama senior ini dengan semangat ulama muda yang menyertai dewan ini.

Apabila gandingan itu terjadi, saya fikir Dewan Ulama akan lebih jadi matang. Jumlah ulama muda yang menyertai organisasi ini semakin ramai. Saya sendiri pun memang tidak pernah terfikir dan merancang sebelum ini apabila saya bersara dari Dewan Pemuda, saya dijemput untuk menyertai Dewan Ulama.

SINAR HARIAN ONLINE: Sejak akhir-akhir ini, Pas lihat giat melakukan kerja-kerja ‘pembersihan’ ke atas ahlinya daripada unsur-unsur yang boleh memecahbelahkan perpaduan Pas sendiri. Bagaimana Dewan Ulama Pas boleh memainkan peranan ini?

NASRUDIN: Sudah tentu Dewan Ulama Pas akan memberi perhatian serius kepada perkara ini untuk meletakkan badan itu sesuai dengan peranannya untuk mengawal, menjaga dan menyemak supaya parti ini menepati dengan dasar Islam yang telah digariskan dalam Perlembagaan Pas.

Sebenarnya, dengan mengambil langkah itu juga kita dapat menjaga perpaduan parti, dapat menjaga keutuhan, kita dapat menjaga eratnya hubungan kepimpinan dengan anggota parti. Ini adalah kerana punca perpecahan hari ini disebabkan masing-masing hendak membuat persepsi dan kenyataan masing-masing, malah antara mereka juga mempertikai antara satu sama lain.

Mereka yang terlibat ini tidak dikenakan sebarang tindakan tatatertib, sekiranya perkara ini dipertegaskan, kita mengharapkan anggota parti menginsafi dan menyedarinya. Kalau hendak menegur atau mengkritik pemimpin, ada caranya…ada laluannya, ada ruangnya dan bukanlah menjadikan ianya sebagai satu peluang untuk ‘membelasah’, menjatuhkan pemimpin secara terbuka, sekaligus merosakkan mereka.

SINAR HARIAN ONLINE: Bagaimana Dewan Ulama Pas Pusat boleh berperanan dalam memperbaiki dan menyemak semula tahaluf siyasi jika berlaku pelanggaran syarat dan rukunnya antara Pas, PKR dan DAP?

NASRUDIN: Salah satu paling penting dalam tahaluf itu ialah Islam mestilah terpelihara, dipertahan dan diperjuangkan. Sekiranya berlaku pelanggaran syarat, seperti Islam terancam atau tergugat dalam apa jua keadaan, maka sudah tentulah batal syarat tahaluf itu.

Apabila perkara itu berlaku, maka tiada lagi tahaluf siyasi. Sebab itu menjadi tanggungjawab ulama untuk sentiasa memerhati dan memantau tahaluf itu, sama ada masih terpelihara syaratnya atau telah berlaku pelanggaran itu. Kalau berlaku pelanggaran, adakah ia masih boleh diperbaiki, ditegur atau boleh dianggap sebagai batal.

Sebab itulah Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din meminta ulama memberikan perhatian kepada perkara itu dengan semak balik perjalanan dan saya fikir gesaan itu bukan luar biasa. Hal itu umpama urusan sewa rumah, satu peringkat tuan rumah akan jumpa kita untuk membuat semakan semula kadar sewa kemungkinan kadar itu perlu dinaikkan sekarang mengikut kadar semasa dan itu hak tuan rumah kerana dia memegang kontrak sewa itu dan berhak menyemak balik kadar sewaan.

Tindakan menyemak semula perjanjian itu adalah perkara biasa, begitu juga dalam konsep tahaluf siyasi supaya Pas ‘selamat’ dan begitu juga PR. Hari ini yang menjadikan PR itu terancam adalah disebabkan berlaku pelanggaran syarat, bukan kerana mereka menolak tahaluf siyasi atau mereka mahukan kerjasama politik itu. Tidak timbul persoalan itu.

Masalahnya apabila berlaku pelanggaran syarat, individu yang melanggar syarat tahaluf siyasi itu telah merosakkan kontrak itu, jadi ulama mesti berani untuk kaji selidik dan semak imbang, ini kena buat, jangan bersikap acuh tidak acuh, jangan sambil lewa, saya keadaan nanti melarat dan parah, masa itu tiada apa yang boleh dilakukan.

Sebelum ia nasi menjadi bubur, kita ada ruang untuk mengkaji semula dan semak semula kerjasama politik itu yang disarankan oleh Timbalan Mursyidul Am Pas memang tepat pada masanya.

SINAR HARIAN ONLINE: Apakah wajar bagi Pas terus dengan PKR dan DAP dalam PR?

NASRUDIN: Ia bergantung kepada sejauhmana syarat yang telah dimuktamadkan oleh Majlis Syura Ulama sewaktu melancarkan tahaluf siyasi ke medan politik dapat dipelihara dan dijaga dengan baik. Sekiranya berlaku perlanggaran syarat itu, maka ulama dan pemimpin mesti baiki sementara boleh diperbaiki.

Saya kira masih ada ruang untuk diperbaiki, jika hendak baiki pun tidak boleh, perlanggaran terus berlaku, maka saya fikir tahaluf siyasi itu batal. Apabila batal tiada maknanya untuk kita meneruskan tahaluf siyasi, sebelum sampai ke peringkat itu, perlu kepada semak semula tahaluf siyasi.

Harapan saya secara peribadi, saya memang mengharapkan supaya tahaluf siyasi itu kekal sebab kaedah Islam ialah mengurangkan musuh, kaedah Islam juga meramaikan kawan, jadi dengan tahaluf siyasi semuanya itu boleh dicapai.

Kalau tahaluf siyasi itu dirempuh syaratnya, maka tiada makna lagi kawan, tiada maknanya lagi kerjasama dan sokongan, sebab dia sudah langgar kontrak, macam kita berumah tangga. Asas kerukunan rumahtangga itu adalah kesefahaman, saling percaya mempercayai dan kasih sayang. Jika berlaku saling tuduh-menuduh, fitnah-memfitnah, kianat-mengkhianati antara satu sama lain, maka dia sudah langgar syarat perkahwinan itu.

Ulama sentiasa bangkit dan sifatnya jaga kemaslahatan pejuang parti supaya tidak dipersenda oleh pelbagai pihak sama ada dalam ataupun luar. Ulama bertanggungjawab.

SINAR HARIAN ONLINE: Tentang ancaman dalaman Pas selepas wujudnya kelompok tertentu termasuk NGO Pasma dan sebagainya yang memperlihatkan perpecahan semakin membarah, apakah nasihat kepada mereka yang terlibat dalam hal ini?

NASRUDIN: Saya melihat perkara itu sebagai cabaran, sebab sudah nama pun perjuangan, maka kita akan berdepan dengan ancaman bukan sahaja luaran bahkan dalaman juga. Kita bukan sahaja bersiap untuk berdepan dengan ancaman luaran bahkan kita juga bersedia menghadapi ancaman dalaman.

Cabaran itu juga menjadi perjalanan Nabi-Nabi terdahulu sampai ke zaman kita pada hari ini. Maka saya berharap supaya dalam kalangan parti sama ada pemimpin atau ahli biasa supaya mereka tidak panik dengan ancaman ini dan jangan jadi gelabah sehingga kita bertindak tidak rasional yang berteraskan emosi.

Segalanya itu menjadi ujian yang telah dijanjikan kepada perjuangan ini, maka kita mesti menanganinya dengan berhemah, bijaksana dan matang, sesuai dengan usia parti yang kini mencecah 63 tahun. Kita sudah masak dan matang, ia bukan perkara baharu termasuk lahirnya NGO-NGO ini, seperti sebelum ini wujudnya Hamim, dan Berjasa.

Kita juga pernah berdepan dengan konflik yang berlaku di Kelantan di mana wujudnya Majlis Gerakan Negara (Mageran), begitu juga konflik di Perak, Kedah dan terkini di Selangor. Saya fikir semua ancaman ini terus berlarutan sampai bila-bila kerana ia adalah satu tabiat kepada perjuangan, tinggal lagi kita mengurus dan menangani konflik serta ancaman itu supaya kita tidak lebur dan hancur dengan kehadiran ancaman itu.

Sepatutnya ancaman itu datang untuk menguatkan kita di samping mengukuhkan hubungan dalam kalangan pemimpin, bersatu apabila berdepan dengan ancaman. Malang sekali apabila ancaman itu datang, kita pula berpecah dan berantakan, saya nasihatkan kepada rakan-rakan pimpinan supaya bersatu, berpegang semula kepada prinsip perjuangan, berlapang dada serta akhirnya kita menjadi barisan yang kukuh, apabila kuat kita dapat menghindari segala ancaman yang datang.

SINAR HARIAN ONLINE:  Bagaimana Pas mengimbangkan kuasa antara Presiden Pas dengan Majlis Syura Ulama dalam membuat sesuatu keputusan dan pendirian seperti isu Menteri Besar Selangor?

NASRUDIN: Dalam kita berorganisasi, apabila sampai ke peringkat proses membuat keputusan, di sana kita ada dua keadaan, pertamanya bermesyuarat, ia banyak peringkat, dalam kes di Selangor, kita ada mesyauarat Jawatankuasa Politik, kita ada mesyuarat dalam kalangan AJK Pas Pusat, kita ada mesyuarat dalam kalangan Adun-Adun Pas Selangor, Badan Perhubungan Pas Negeri dan sebagainya.

Masing-masing bermesyuarat dan mengambil beberapa keputusan serta pendekatan, sesuai dengan peringkat masing-masing. Tidak terkecuali Majlis Syura Ulama bermesyuarat, namun ia tidak bererti kita mengetepikan proses membuat keputusan melalui mesyuarat, malah ia menjadi amalan dalam parti.

Perkara itu juga diajar dalam Islam, namun dalam Pas ada satu lagi proses membuat keputusan iaitu peruntukan yang ada kepada seorang ketua. Apabila kita memberi mandat dan kepercayaan kepada seseorang yang bergelar ketua, kalau Pas dipanggil Presiden, maka dia mempunyai sedikit ruang yang diperuntukan Perlembagaan parti iaitu kuasa untuk membuat keputusan.

Ini sebenarnya selari dengan syariat bahkan Nabi Muhammad SAW sendiri sewaktu hendak turun ke medan Badar, baginda mengajak kaum Muhajirin dan Ansar untuk bermesyuarat, kemudian hasil mesyuarat itu Nabi kata sampai masa ke medan perang kerana baginda nampak menangan berpihak kepada Islam. Nabi ambil keputusan mesyuarat itu menyebabkan kaum Muhajirin dan Ansar sedia untuk berperang.

Bagaimanapun dalam peristiwa Hudaibiyah, Nabi membatalkan hasrat untuk mengadakan Umrah pada tahun itu dalam keadaan para sabahat Nabi tidak setuju dibatalkan hasrat itu. Itulah kuasa ketua, sehingga Nabi pernah kata,”dengar dan taatlah ketua yang dilantik di kalangan kamu, sekali pun ketua itu seorang hamba”.

Kenapa datangnya nas taat ini? Kerana sesekali waktu proses membuat keputusan, ada masanya ketua akan membuat keputusan secara individu tanpa korum mesyuarat, sebab mungkin keputusan itu perlu kerana perkara kecemasan yang tidak dapat dielakkan atau faktor lain yang tidak boleh menunggu mesyuarat dengan semua orang dan makan masa, mungkin boleh jadi.

Oleh kerana ada peruntukan, maka kita pertahankan peruntukan itu dan memang menjadi amalan Presiden sebelum ini pun, saya masih ingat lagi Allahyarham Ustaz Fadhzil Noor melantik Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Menteri Besar Kelantan tanpa perlu panggil mesyuarat pun.

SINAR HARIAN ONLINE: Adakah Pas bersedia kedepankan golongan profesional memimpin perjuangan parti sementara ulama menjaga soal peraturan dan menyokong dari dalam?

NASRUDIN: Kepimpinan parti kalau melihat kepada dasar dan undang-undang tubuh Pas, ia tidak menyatakan seseorang ahli Pas itu dihadkan kepimpinannya. Ia terbuka, seketikanya Presiden Pas itu seperti Tuan Guru Ustaz Abdul Hadi, seketika yang menjadi Timbalan Presiden itu Ustaz Nasarudin Mat Isa, tetapi yang berlaku pada hari ini pula Mohamad Sabu menjadi timbalannya.

Kepimpinan itu melalui proses pengundian dalam Muktamar, itulah yang diterima pakai sejak sekian lama, tinggal lagi saya ingin menegaskan, siapa pun yang menjadi pemimpin, dia mesti memiliki kriteria yang penting.

Pertamanya ialah ilmu sebab kita tidak boleh memimpin gerakan Islam dalam keadaan jahil. Kita bukan pimpin badan kebajikan, NGO yang spesifik tugasnya, kita sedang pimpin sebuah gerakan Islam dan politik, kita perlu ilmu. Ilmu itu pula bukan terhad kepada politik sahaja, ia mesti ilmu mampu untuk berijtihad, mampu mencari hukum dalam al-Quran dan as-Sunnah, sebab ia menjadi dasar parti.

Macam mana kita hendak jadi pemimpin tiba-tiba hendak capai dasar parti, sudah tentu tidak boleh, kerana dasar Pas itu sendiri bertunjangkan dua sumber itu. Kriteria hendak menjadi pemimpin itu wajib mempunyai ilmu. Sudah tentulah jika akar umbi berilmu atau alim mana mungkin pemimpinnya tidak munasabah, sudah tentu pemimpin itu lebih baik daripada mereka yang dipimpin.

SINAR HARIAN ONLINE: Dalam Pas, antara golongan ulama dan profesional, mana satu yang ke hadapan dalam memimpin parti?

NASRUDIN: Saya melihat ia bergerak secara serangkai, tiada yang kita panggil satu pihak ke depan, satu pihak lagi terkebelakang. Pada dasarnya, parti ini bergerak dalam satu jenis anggota, iaitu ahli Pas. Dalam Perlembagaan Pas, tiada kategori keahlian kita, ini ahli Pas ulama, ini pula ahli Pas profesional dan aktivis.

Cuma kita hanya ada beberapa dewan untuk dianggotai seperti Dewan Ulama Pas, Dewan Muslimat dan Dewan Pemuda, tetapi itu bukan dikategorikan sebagai keahlian, ia cuma platform dewan untuk mereka fokus gerak kerja.

Statu keahlian Pas itu tetap saya, kita bergerak atas kapasiti ahli Pas, kebetulan dia itu ulama, maka mereka dalam Dewan Ulama, kalau mereka pula ahli profesional, maka profesional mereka itu. Maka kedepan atau kebelakang itu bergantung kepada prestasi masing-masing, kalau kebetulan yang menunjukkan prestasi itu ulama, maka golongan itu akan dilihat kehadapan begitu juga profesional.

Umumnya kita melihat semacam berlaku pertembungan antara ulama dan profesional, sebenarnya individu tersebut kebetulannya ulama atau profesional sedang dilihat sedang bertelagah, maka dilihat seolah-olah mewakili dua golongan itu sedangkan ia tidak berlaku.

1. Saya ingin menegaskan bahawa PAS tidak akan sekali-sekali menggunakan jalan kekerasan dalam menegakkan Syariat Islam di Malaysia. Itu pendirian yang telah ditetapkan PAS sejak tertubuhnya parti Islam ini pada tahun 1951.

2. PAS mengambil pendekatan ‘muwajahah silmiyyah’ iaitu suatu bentuk pendekatan secara berdepan melalui penglibatan PAS dalam medan politik di negara ini.

3. Walaupun sepanjang penglibatan PAS di dalam persada politik negara, PAS sering kali menjadi mangsa fitnah dan kejian pihak musuh. Tidak cukup dengan itu, peristiwa berdarah yang terkenal seperti yang pernah berlaku di Memali yang telah mengorbankan pimpinannya, As-Syahid Ustaz Ibrahim Libya dan 14 yang lain pada 14 November 1985, dan juga termasuk siri-siri penahanan ramai di kalangan pimpinan dan aktivis PAS di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) suatu ketika dahulu.

4. Meskipun begitu dahsyat tekanan yang dikenakan terhadap PAS setelah sekian lama, ia tidak pernah menjadikan PAS berhasrat untuk mengubah keputusan dan kedudukan PAS dalam menyampaikan mesej-mesej Islam melalui jalan politik. Saya yakin masyarakat mula sedar dan menerima kehadiran PAS di medan siasah seterusnya menerima dakwah Islamiyyah yang diperjuangkan parti itu sejak kemerdekaan negara.

5. Adapun penglibatan Ustaz Lotfi Ariffin dengan kumpulan mujahidin di Timur Tengah adalah keputusan dan ijtihad peribadi beliau. Ianya bukan mewakili keputusan rasmi PAS secara keseluruhan. Justeru, tindakan sesetengah pihak menggembar-gemburkan isu mengangkat senjata di Malaysia adalah sangat tidak tepat apatah lagi dikaitkan pula dengan PAS.

6. Saya juga ingin menegaskan bahawa pengganas sebenar yang mengancam negara-negara umat Islam Timur Tengah adalah Amerika Syarikat (AS) dan Israel itu sendiri. Mereka yang telah mencatur dan membiayai keganasan di sana. Pengaruh media barat berjaya memainkan watak penting dalam mengalih perhatian umat Islam sehinggakan mujahidin yang mengangkat senjata menentang rejim Basyar pula digelar sebagai ‘pemberontak’.

7. Istilah-istilah ‘pro-terrorist’ yang dilabelkan kepada kumpulan pejuang Islam yang mengangkat senjata ini sedikit sebanyak telah mempengaruhi pemikiran umat Islam terutamanya di negara ini. Walaupun sejarah panjang AS dan Israel telah pun membuktikan mereka perancang utama kepada keganasan di sana, namun, mereka tidak pernah dipandang sebagai pengganas.

Nasrudin Hassan
Ahli Parlimen Temerloh
7 Julai 2014

%d bloggers like this: