Tag Archive: Nasrudin Hasan Tantawi


ZIARAH TOK GURU

baqi1 baqi2

Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/ketua-penerangan/40107-ziarah-tok-guru

NASRUDIN HASSAN | 24 Februari 2016.

1. Indahnya suasana dua Tok Guru bertemu. Mereka saling menasihati dan mendoakan antara satu sama lain. Suasana diceriakan dengan ucapan yang lucu tetapi ilmiah. Menyegarkan suasana dan Tok Guru Hj Baqi kelihatan sangat ceria dan gembira dengan kehadiran Tok Guru Hj Hadi.

“Tok Guru belajar sezaman dengan ana. Ana di Madinah, Tok Guru di Makkah” kata Tok Guru Hj Hadi kepada kami semua apabila saya bertanya berapa usia sebenar Tok Guru Hj Mohd Baqi.

2. Usia Tok Guru Hj Mohd Baqi kini mencecah 75 tahun. Masih gigih ke serata daerah untuk menyampaikan ilmu Islam kepada masyarakat.

“Kalau tidak kerana Allah swt suruh menyampaikan ilmu Islam ini, memang rasa nak berehat banyak di rumah. Kerja dakwah ini berat dan memenatkan. Tapi ini adalah tugas kita, kita kena sampaikan Islam ini kepada masyarakat” Tok Guru Hj Baqi memula bicara seraya menasihati kami anak-anak muda yang masih perlukan bimbingan yang banyak dari alim ulamak.

3. Tok guru berehatlah! Sambung Tok Guru Hj Hadi menasihati Tok Guru Hj Baqi. Nasihat itu disambut dengan senyum oleh beliau. Saya segera mencelah ” beginilah keadaan tok-tok guru kita, kalau tak sakit begini, tak reti nak berehat. Allah swt bagi sakit ni maknanya Allah nak suruh Tok Guru berehatlah seketika” usikan saya membawa rakan-rakan yang hadir turut ketawa kecil sambil membenarkan apa yang saya kata.

4. Seperti biasa, Tok Guru Hj Hadi tatkala menziarahi pesakit, beliau akan bagitahu ramuan ramuan herba untuk rawatan alternatif. Kali ini Tok Guru sebut ada sejenis ubi yang biasa orang asal menanamnya dan dikenali sebagai Ubi Sembelit (kalau tidak salah pendengaran saya tadi) yang sangat baik untuk rawatan kencing tak lawas.

5. Selain bab agama, Tok Guru Hj Hadi memang terkenal dengan pengetahuan mengenai ramuan dan rawatan herba/alternatif ini.

6. Hampir 25 minit kedua-dua Tok Guru kesayangan ummah ini berbual, Tok Guru Hj Hadi kata, ziarah orang sakit ni tak boleh lama-lama. Orang sakit nak berehat pulak. Saya nak mohon diri dulu sambil ketawa mesra.

7. Begitulah seringkali saya perhatikan akhlak Tok Guru Hj Hadi dalam bab ziarah ini. Saya sendiri acap kali juga mengiringi beliau menziarahi orang sakit sama ada di rumah mahupun di hospital.

8. Saya pernah bersama Tok Guru Hj Hadi menziarah Ustaz Ismail Mina di rumahnya yang sekian lama terlantar. Seperti biasa, Tok Guru akan mendoakan pesakit yang diziarahi dan menceritakan bahan-bahan herba untuk dijadikan rawatan alternatif sebelum mohon diri meninggalkan pesakit.

9. Kenangan saya terhenti apabila Tok Guru Hj Hadi minta izin untuk meninggalkan wad bagi meneruskan perjalanan beliau ke Terengganu. Sebelum Tok Guru Hj Hadi meninggalkan wad, Tok Guru Hj Baqi sempat meminta supaya Tok Guru Hj Hadi mendoakan beliau agar dikurniakan kesihatan untuk terus menyambung tugas dakwahnya. Allahu Akbar! Menitis air mata saya…

10. Ya Allah! Aku bangga bersama jamaah ini. Jamaah yang dipimpin oleh orang yang berilmu, warak dan memimpin jamaahnya dengan ilmu Islam. Kurniakanlah kesihatan dan keafiatan buat alim ulamak ini terus memimpin perjuangan Islam di bumi tercinta.

Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/35589-label-antara-benar-dan-batil

NASRUDIN HASSAN | 23 Mei 2015.

Saya tidak dapat gambarkan bagaimana sengitnya perang cyber sepanjang tempoh menghampiri detik Muktamar Tahunan PAS nanti. Pelbagai pihak mula mengambil bahagian dengan aneka pendekatan yang membawa misi masing-masing. Lebih menarik, DAP yang tidak ada kena mengena dengan muktamar PAS itu pun ‘galak gatal’ mencampuri urusan dalaman PAS.

Media baru jadi meriah dengan pelbagai label dan ia bagaikan peluru M16 yang dilepaskan ke arah musuh masing-masing untuk memastikan kepala dan dada dirobek semahunya. Semuanya bertindak nekad tanpa peduli lagi kesan sampingan atau kesan langsung yang bakal berlaku.

Pihak ketiga yang paling ramai terlibat dan mereka adalah cybertrooper dan sharpshooter. Sama ada mewakili satu pihak secara sukarela atau mereka sememangnya dibayar khusus atau sememangnya mereka bermaksud mahu mengadu domba dan melaga-lagakan antara pihak yang berkonfrantasi.

Pertembungan sengit ini turut melibatkan pihak keempat. Satu pihak yang asalnya tidak terlibat langsung dengan perang cyber ini tetapi terseret secara tidak langsung kerana mereka juga adalah pengguna tegar media baru.

Maklumat dan jaringan sosial mereka terpaksa melalui jalur lebar media baru tersebut. Akhirnya, mahu tidak mahu mereka turut terpalit dalam menentu sikap sama ada pro dan kontra sekalipun di dalam hati mereka penuh dengan taman dan bunga.

Terlalu sedikit mereka yang benar-benar ambil sikap berkecuali melainkan kecuali mereka adalah kecuali yang berpihak jua. Jaringan gerak hidup mereka dikepong oleh whatsapp group, telegram, facebook, twitter, instagram, we chat, sms, blog dan web site. Hampir tiada jalan keluar kecuali mereka yang hanya berkurung di ceruk dapur beratap nipah.

Suka atau tidak, demikianlah situasi di pentas politik tanah air kita buat masa ini. Kalau lah label itu peluru dan bom, tentu sahaja kita bagai berada di bandar Allepo dan Hums atau di Genting Gaza yang gamat dengan bedilan senapang dan meriam. Lebih sadis, peluru tidak kenal mangsa. Ramai pula menjadi mangsa peluru “sesat” yang tidak tahu arah datangnya.

Label terdapat dua kategori sifatnya. Label yang bersifat benar dan label yang bersifat fitnah. Al-Quran juga sarat dengan label tetapi pastinya penggunaan label di dalam Al-Quran adalah benar.

Label seperti kafir, munafik, musyrik, taghut, sesat, khianat, bodoh, himar, boneka dan sebagainya memang terdapat dalam wahyu Allah swt dan ditujukan kepada sebahagian manusia.

Saya ambil satu contoh firman Allah swt:

وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ تَعَالَوْا إِلَىٰ مَا أَنزَلَ اللَّهُ وَإِلَى الرَّسُولِ رَأَيْتَ الْمُنَافِقِينَ يَصُدُّونَ عَنكَ صُدُودًا

Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Marilah berhakim kepada hukum Al-Quran yang telah diturunkan oleh Allah dan kepada hukum Rasulullah,” nescaya engkau melihat orang-orang munafik itu berpaling serta menghalang (manusia) dengan bersungguh-sungguh daripada menghampirimu. (Surah An Nisa’: 61)

Ayat ini menyaksikan bagaimana Allah swt menyebut golongan yang tidak mahu melaksanakan hukum Allah swt dan RasulNya saw sebagai golongan munafik iaitu berpura-pura Islam.

Kedudukan begini kita tidak boleh menolak dan mempertikai Al-Quran kenapa melabel manusia dengan munafik, bodoh, tolol, samseng, khianat, jahil, sesat, dan lain-lain yang sangat banyak dalam Al-Quran bah kan juga sunnah Nabi saw. Label kategori ini adalah label yang bersifat benar.

Sementara label yang bukan pada sasaran yang betul dan tidak mempunyai bukti atau saksi yang benar maka ia adalah label yang bersifat fitnah. Biasanya digunakan untuk membunuh karektor dan menjatuhkan imej seseorang.

Label jenis ini dilarang dan tidak dibenarkan oleh Islam. Memanggil para alim ulama dan para pejuang Islam yang mukhlisin serta insan yang soleh dengan panggilan, gelaran atau label yang buruk adalah keji dan hina.

Justeru sebagai seorang anggota Jamaah Islam, kita patut tahu perkataan yang mahu ditulis dan istilah yang mahu diungkap atau label yang mahu ditampal agar tidak terjebak dalam melepaskan ‘peluru’ pada sasaran yang salah. Itu adalah fitnah yang keji. Bertaqwalah kepada Allah swt.

Kata pada yang benar itu benar dan kata pada yang batil itu batil. Jangan kata pada yang benar itu batil dan jangan kata pada yang batil itu benar pula jangan diam dari berkata benar. – HARAKAHDAILY 23/5/2015

Penulis ialah Ahli Parlimen Temerloh.

 

Siri Kuliah Maghrib Ustaz Nasrudin Hassan Ahli Parlimen Temerloh | Syarah Hadith 40 Imam Nawawi | 17 April 2014 | Masjid Ubudiah Batu 1 Temerloh | http://www.tvmakmur.com |http://makmurfm.blogspot.com |

HIJRAH KOTA RAYA

Hijrah : Kebangkitan Anak Muda

Perutusan Maal Hijrah Ketua DPP Malaysia :

1. Hijratur Rasul S.A.W adalah satu lembaran agung yang telah memahat sejarah gemilang buat perjuangan Islam yang didokong oleh al Musthafa saw tatkala ia adalah garis pemisah yang membebaskan ummah dari belenggu jahiliyyah dan noktah gemilang pembentukan sebuah baldatun toyyibah wa rabbun ghafur [ Negara yang baik – aman, sejahtera dan membangun – sementara tuhan mengurniakan keampunanNya ]

2. Justeru memperingati ulangtahun perisiwa hijrah, selayaknya setiap individu  khasnya anak muda menghayati sejarah agung ini dan bersedia untuk  melakukan sebuah perubahan total ke arah pembentukan masa depan negara yang aman, sejahtera, harmoni dan mendapat lindungan rahmat serta keampunan Allah swt.

3. Peristiwa Hijratur Rasul sarat dengan kisah pengorbanan. Samaada pengorbanan nyawa sebagaimana yang dibuktikan oleh Saidina Ali Karramallahuwajhah, pengorbanan harta seperti yang dipamerkan oleh Suhaib ar Ruumi sehingga kisahnya dirakam oleh Allah swt di dalam al Quranil Kareem :

وَمِنَ النَّاسِ مَن يَشْرِي نَفْسَهُ ابْتِغَاءَ مَرْضَاتِ اللَّهِ وَاللَّهُ رَءُوفٌ بِالْعِبَادِ

Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata; dan Allah pula Amat belas-kasihan akan hamba-hambanya. (Al Baqarah:207)

4. Sunnatullah, bahawa perjuangan besar untuk melunaskan sebuah perubahan dan amanah gerakkerjanya, menghadapi cabaran yang mengundang implikasi besar, namun itulah harga sebuah perjuangan yang mesti dibayar oleh para pejuang . Harta dan nyawa menjadi taruhan demi sebuah perjuangan suci.

5. Bangkitlah wahai sekalian anak muda dari tidur yang panjang. Kini kita berada selekoh akhir untuk membuat pecutan kemenangan ke garis penamat. Sempena ulangtahun  Hijrah ar Rasul saw kali ini, kebangkitan anak muda mewarnai gerakan perubahan adalah suatu yang sangat didambakan.

%d bloggers like this: