Tag Archive: Najib Tun Razak


Baca, faham dan sebar!

img_1738Lokasi : Jalan masuk ke Kg Timbua, Ranau

Jumaat dan sabtu, bersama beberapa rakan, kami ke Kg Timbua mengisi program untuk pelajar sekolah dan orang kampung. Ini kali kedua hadir ke sana, dan kali pertama hujung tahun lalu.

Memang ada projek untuk membuat jalanraya aspal, tetapi nampaknya terlalu lambat. Apakah ia semata-mata beralasan struktur muka bumi tempat berkenaan, atau masalah wang pendahuluan projek menjadi halangan, wallahu a’lam.

Khabarnya jalan yang ada sudah berusia puluhan tahun, mungkin sejak 60an atau 70an lagi. Itu yang disebutkan oleh beberapa penduduk kampung kepada saya sendiri.

Selain masalah jalanraya, kampung-kampung di dalam ini sehingga ke hujung yang memakan masa berjam-jam lagi perjalanan darat, juga punya masalah bekalan air yang sering terputus, bekalan elektrik sekadar guna generator 6-12 malam yang dibekalkan oleh SESB, juga masalah coverage talian telefon bimbit yang hampir 100% tiada dan telefon talian sendiri.

img_1734Cuba sekali, PM Najib duduk semalam bersama rakyat dengan keadaan begitu, tanpa tilam yang empuk, bekalan air dan api yang tidak sempurna.

Jangan lupa, pergi ke sana guna kenderaan marhaen seperti perodua kancil, kelisa atau proton wira yang dipandu sendiri tanpa eskot. Jangan pula naik helikopter.

Bukankah PM Najib hendak mendahulukan rakyat?

Saya ada idea baik untuk menyambut slogan PM Najib ini. Oleh kerana sesekali saya keluar daerah, dan kamera biasanya ada di samping, maka saya persembahkan gambar-gambar daripada masa ke masa untuk perhatian semua.

Bukan saja untuk PM Najib, tetapi mereka yang berkenaan, khususnya kepada mereka yang beriman dengan slogan ini.

Kalau mereka menjawab, slogan ini baru dilancarkan oleh PM Najib yang baru mengangkat sumpah, dan beliau tidak wajar dipersalahkan,  ertinya pemimpin lalu tidak mendahulukan rakyat tetapi mendahulukan suku sakat mereka.

Pemimpin lalu, bukan daripada jenis lain daripada BN. Ertinya spesis dan parti yang sama juga dengan PM yang sekarang.

img_1589Lokasi : Kg Tarangkapas, Kota Marudu.

img_1602Keluarga berbangsa dusun ini memeluk Islam pada pertengahan 80an. Punya dua anak, namanya Md Azli (11 tahun) dan Norlina (8 tahun).

Ketika kami tiba, kedua-dua mereka baru pulang daripada kelas mengaji, tidak jauh dari rumah. Saya diberitahu nama guru mereka disebut sebagai Ustaz Ikhwan dan Ustazah Suriati.

Lihatlah rumah mereka. Sekali pandang, sudah tahu, basah dan tempias hujan pasti mengena tubuh mereka sekeluarga.

img_1592Lihatlah tangga rumah mereka, bagai tangga di kandang atau di reban rupanya. Duduk di rumah, saya diingatkan agar berhati-hati menyandar ke dinding. Takut-takut dinding roboh. Memang rapuh teratak mereka ini.

Saya berharap ada kesempatan PM Najib, jenguk-jenguklah rumah mereka. Bukan jauh di luar negara, dalam bumi sendiri juga. PM ada pesawat khas, datanglah. Buktikan rakyat didahulukan, bukannya slogan semata-mata.

img_1618Kami sempat hadir, sekadar membawa dan menyampaikan kiriman orang-orang Islam yang prihatin di Kota Kinabalu untuk saudara mereka di Kota Marudu. Bantuan yang tidak seberapa, hamper dan beberapa pakaian untuk mereka.

%d bloggers like this: